Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Julai 01, 2024

Di manakah daku pada 1 Muharram sejak CATATAN SI MERAH SILU dimulakan

Salam. Satu perkongsian sempena tarikh 1 Julai 2024 (walaupun dah penghujung hari). Sedangkan kurang seminggu sahaja lagi iaitu pada hari Ahad 7 Julai akan masuk tahun baru Islam 1446 Hijriah.


Menyusuri Sungai Perak di sekitar Batak Rabit, Teluk Intan pada 1 Muharram 1440 Hijrah...


Kira-kira 2 minggu lalu saya mendapat poster pemberitahuan daripada ibu saudara di Batak Rabit, Teluk Intan mengundang datang ke majlis perkahwinan seorang anaknya di rumah. Tarikh majlis Ahad 7 Julai 2024 dinyatakan sebagai bersamaan 1 Muharram 1446 Hijriah dan ini boleh disemak dalam kalendar. Kebetulan pada Selasa 9 Julai saya harus berada di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh untuk mendengar keputusan kes hak faraid terhadap harta Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Harap-harap betul-betullah selesai. Dahulu katanya hendak diputuskan pada  bulan Februari (ke Mac? Dah lupa tarikh), kemudian tunda ke Isnin 15 April. Yang ini saya sekeluarga ada datang ke Ipoh. Tetapi bila sudah menunggu beberapa lama dalam mahkamah tengok-tengok ditunda pula ke Selasa 25 Jun. Lihat  Dugaan perjalanan raya 1445 Hijriah.

Hampir sampai tarikh 25 Jun, ketika sudah merancang laluan mana hendak diambil di Perak sebelum dan selepas ke mahkamah dapat makluman baru ia ditunda ke 9 Julai. Jadi apabila kemudian mendapat undangan untuk ke majlis perkahwinan di Batak Rabit 7 Julai maka dirancanglah agar ke Teluk Intan dahulu kemudian baru ke Ipoh sekali jalan. Dan ada rancangan perjalanan unik kali ini yang akan diceritakan selepas jadi nanti. Alang-alang 7 Julai itu adalah bersamaan 1 Muharram elok juga datang awal pada malamnya untuk beriktikaf di masjid warisan keluarga di Batak Rabit.

Hal ini mengingatkan bagaimana saya pernah beriktikaf bersama isteri dan anak-anak di masjid itu pada 1 malam Muharram beberapa tahun yang lalu. Timbul rasa untuk mengesan di manakah saya berada pada 1 Muharram setiap tahun Hijriah sejak CATATAN SI MERAH SILU dimulakan penghujung tahun 2006.


Adapun artikel pertama CATATAN SI MERAH SILU iaitu Apa-apa aje le... ditulis dan dipersembahkan pada 12 November 2006. Ini harus bersamaan (atau sekitar) 21 Syawal 1427 Hijrah. 1 Muharram berikutnya iaitu bagi tahun 1428 Hijrah harus bersamaan (atau sekitar)  20 Januari 2007. Saya cuba kesan di manakah berada pada 1 Muharram itu dan berikutnya berdasarkan artikel-artikel dalam CATATAN yang ditulis pada atau sekitar waktu itu.


a. 1 Muharram 1428 Hijrah @ 20 Januari 2007 atau sekitar

Artikel Gambar-gambar di Muar yang ditulis 15 Januari menyatakan ketika itu saya sudah lebih seminggu mengembara di utara tanah air sedangkan artikel Chaakkk!!! yang ditulis Februari 3 (Sabtu) menyatakan pengembaraan itu selesai Isnin sebelum itu (29 Januari). Turut dinyatakan pengembaraan mengambil masa hampir sebulan. Berdasarkan cerita dalam Chaakkk!!! (walau tidak dinyatakan tarikh) besar kemungkinan saya sedang berada di sekitar Lembah Bujang pada 1 Muharram.


b. 1 Muharram 1429 Hijrah @ 10 Januari 2008 atau sekitar

Artikel Mencari Muzium Bugis di Pontian... yang ditulis hari Sabtu 12 Januari menyatakan sejak hari Rabu (9 Januari) saya berehat seorang diri di Kajang. Ini adalah akibat kepenatan semenjak kembali daripada di Johor kemudian singgah di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan hari Selasa. Maka pada 1 Muharram saya harus berada di Kajang.


c. 1 Muharram 1430 Hijrah @ 29 Disember 2008 

Artikel Salam tahun baru, baik Hijriah mahupun Gregorian (tahun mat saleh le...) yang ditulis hari Rabu 31 Disember menyatakan ketika itu isteri sedang menunggu untuk memulakan satu perjalanan ke Pantai Timur. Turut dinyatakan hujung minggu sebelum itu kami baru sahaja kembali dari satu perjalanan di selatan. Ahad hujung minggu adalah 28 Disember sedangkan 29 Disember hari Isnin. Ada dinyatakan dalam artikel bahawa 2 hari sebelum 31 Disember (29 Disember lah itu) masuk Ma'al Hijrah. Ertinya ketika itu kami sedang berehat di rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Ketika itu kami baru 2 minggu lebih berumah tangga. Lihat Nombor 131 dan makna satu pernikahan...

.

d. 1 Muharram 1431 Hijrah @ 18 Disember 2009

Pada tarikh tersebut saya telah menulis artikel bertajuk Selamat menyambut masuk tahun Hijriah 1431 dan sedikit tentang kaitan Aceh-Bugis.... Ini nampaknya dibuat di rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Artikel ada menyebut sepatutnya saya berada di Tawau, Sabah. Dalam tempoh masa berdekatan nampaknya tidak berjalan jauh Cuma ada pergi ke beberapa majlis di sekitar Lembah Klang. Untuk pengetahuan ketika itu anak pertama saya bersama isteri (kami masing-masing sudah ada anak daripada perkahwinan terdahulu) sudah berumur lebih 2 bulan.


e. 1 Muharram 1432 Hijrah @ 6 Disember 2010 

Saya telah membuat dan mempersembahkan artikel Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1432!. Nampaknya sedang berada di rumah. Sebelum itu telah membuat beberapa perjalanan jauh lalu seminggu dua kebelakangan lebih banyak menghabiskan masa untuk menulis dan berehat.


f. 1 Muharram 1433 Hijrah @ 26 Disember 2011 

Mempersembahkan artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Berastagi ke Danau Toba lalu ada menyatakan ketika itu sudah Ma'al Hijrah, sementara tarikh Gregorian atau Barat 26 Disember adalah hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-41. Harus sedang berada di rumah. Telah membuat beberapa perjalanan lalu sedang banyak menulis dan berehat. Perjalanan yang diceritakan pula berlaku ketika meliputi beberapa tempat dari Sumatera Utara ke Aceh 2-13 November. Lihat Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Selepas itu iaitu pada 10-18 November pergi pusing Johor membawa ke Singapura dan Pulau Bentan. Lihat Koleksi Kembara Johor-Riau. Ketika itu isteri sedang sarat mengandungkan anak kedua kami.


g. 1 Muharram 1434 Hijrah @ 16 November 2012 

Mempersembahkan artikel Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Complete  yang merupakan kompilasi bagi cerita perjalanan berkenaan yang berlaku 27 September - 1 Oktober. Ada dinyatakan hari itu adalah awal Muharram. Harus sedang berada di rumah. 


h. 1 Muharram 1435 Hijrah @ 4 November 2013 

Artikel Bersendirian Maal Hijrah di Hulu Selangor yang ditulis 7 November menyatakan bahawa ketika Ma'al Hijrah hari Isnin saya sedang mengembara seorang diri menunggang motosikal besar kesayangan berjalan-jalan pusing di Hulu Selangor. Ini adalah kali pertama berjalan dengan motosikal, setelah mengalami kecederaan agak teruk patah kaki awal tahun tahun. Di celah-celah itu ada mengembara ke Tanah Bugis di Sulawesi Selatan sehingga menyebabkan tulang kaki patah tumbuh kembali tidak sekata lalu perlu dipatahkan balik sebelum dimasukkan besi. Selepas beberapa hari duduk di hospital pergi pula ke Pantai Timur untuk menjayakan satu acara.  Lihat artikel-artikel berikut :-


1. Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot



4. Sekitar perjalanan untuk HIKMAH V di Kuala Terengganu


i. 1 Muharram 1436 Hijrah @ 25 Oktober 2014 

Artikel Borobudur tinggalan Nabi Sulaiman? - Mencari kebenaran di sebalik dakwaan yang melampau yang dipersembahkan pagi Jumaat 24 Oktober menyatakan ketika itu hari terakhir tahun 1435 Hijrah. Maka 25 Oktober memang sudah masuk 1 Muharram. Artikel selepas itu Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan... yang ditulis Selasa 28 Oktober pula menyatakan bahawa pada hari sebelumnya (27 Oktober) saya pergi ke majlis berkenaan. Berdasarkan ada sejumlah artikel dilepaskan penulisan, besar kemungkinan pada 1 Muharram saya sedang berada di rumah. Tetapi bukan lagi di Bandar Tasik Puteri. Sebaliknya sejak awal tahun 2014 kami telah berpindah ke Bandar Sungai Buaya, Rawang.


j. 1 Muharram 1437 Hijrah @ 14 Oktober 2015 

Artikel Reunion kecil Sains Johor sambil meraikan buku baru "Mencari Diri dan Erti" yang ditulis 13 Oktober Selasa malam Rabu menyatakan ketika itu iaitu sejak selepas Maghrib sudah masuk Ma'al Hijrah. Siang sebelumnya anak sulung saya bersama isteri kini, Muhammad Al-Aminul Rasyid genap umur 6 tahun (menurut kiraan Barat). Nampaknya malam itu dan siang seterusnya 14 Oktober kami berada di rumah.


k. 1 Muharram 1438 Hijrah @ 2 Oktober 2016 

Sabtu 1 Oktober malam Ahad sudah masuk 1 Muharram dan ini ada disebut dalam artikel Forum di KUIM dan persekitaran Kuala Sungai Baru. Beberapa hari sebelum itu ada berjalan dari Kuala Kangsar hingga ke Melaka belah Linggi sana melakukan pelbagai aktiviti termasuk memberikan syarahan ilmu. Lihat Dari Bukit Chandan ke Kuala Linggi - Menurut gerak untuk penghujung 1437 Hijriah. Maka pada 1 Muharram dan sekitar masa dihabiskan di  rumah untuk berehat juga menulis cerita.


l. 1 Muharram 1439 Hijrah @ 22 September 2017

Artikel Google Street View dan perubahan rumahku yang ditulis hari itu petang Jumaat jelas mengatakan hari itu adalah 1 Muharram dan saya berada di  rumah. Cuma ada keluar untuk bersolat Jumaat.


m. 1 Muharram 1440 Hijrah @ 11 September 2018 

Artikel Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan yang ditulis 10 September menyatakan beberapa hal yang berlaku pada hari sebelumnya 9 September.  Artikel seterusnya, Menyambung/memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan sempena Ma'al Hijrah tahun 1440 ditulis 11 hari kemudian iaitu pada 21 September. Namun ia jelas menyatakan saya dan keluarga bergerak ke Batak Rabit di Teluk Intan pada petang Isnin 10 September supaya dapat beriktikaf malam itu masuk 1 Muharram di masjid warisan keluarga. Inilah kali pertama seingat saya pernah beriktikaf pada tarikh begitu cantik di sana. Siangnya 11 September, siang Selasa 1 Muharram kami dibawa berjalan menaiki bot di Sungai Perak menyusuri kesan-kesan sejarah yang ada kena mengena dengan keluarga kami, keluarga Laksamana Raja Mahkota. Maka secara rata kami berada di Batak Rabit waktu itu.


n. 1 Muharram 1441 Hijrah @ 1 September 2019 

Artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Mencari jejak Awalun Islam di Barus ketika Malaysia menyambut Hari Merdeka yang ditulis 27 September menunjukkan bahawa ketika masuk malam awal 1 Muharram kami masih dalam perjalanan dari Barus di pantai barat Sumatera untuk ke Geudong di pantai timur pulau, dalam wilayah Aceh. Pada siang 1 Muharram bersamaan 1 September kami mengadakan satu majlis di makam Sultan Malikus Saleh. Lihat Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai. Boleh juga lihat keseluruhan cerita pengembaraan agak epik ini dalam Kompilasi artikel perjalanan pusing Aceh dan utara....


o. 1 Muharram 1442 Hijrah @ 20 Ogos 2020 

Telah menulis dan mempersembahkan artikel Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Menjejak sejarah dan makan-makan dari Bandar Maharani ke Bukit Kepong membawa ke Negeri Sembilan pada tarikh tersebut. Dinyatakan dalam artikel bahawa memang 20 Ogos itu bersamaan 1 Muharram. Nampaknya saya sedang berada di rumah selepas penat membuat perjalanan berkenaan (lihat juga Dari Kuala Muar ke Kuala Pahang - Mukadimah perjalanan malam) lalu sekadar ingin berehar dan menulis.


p. 1 Muharram 1443 Hijrah @ 9 Ogos 2021 atau sekitar

Selepas menulis artikel bertajuk  Penyusunan dan pengurusan ilmu di universiti : Sudut pandang Islam pada pagi Jumaar 25 Jun 2021 yang dinyatakan bersamaan 14 Zulkaedah 1442 Hijriah saya tidak menulis apa-apa di CATATAN SI MERAH SILU... sehinggalah keluar artikel Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat pada petang Jumaat 8 September bersamaan 1 Rabiulawal 1443 Hijriah. Ada dinyatakan dalam artikel bahawa sudah lebih 3 bulan saya tidak menulis di blogspot akibat hilang mood untuk menulis juga  untuk mengikuti mana-mana majlis ilmu. Cuma hari itu baru datang kembali mood baik. Sebabnya, buat pertama kali sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) diperkenalkan 18 Mac 2020 bagi membendung masalah penularan virus Covid-19 iaitu pada lebih 18 sebelum itu saya dapat masuk ke dalam kawasan dan bangunan kampus ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Hal ini membayangkan bahawa saya tidak dapat berjalan jauh akibat PKP. Jadi besar kemungkinan pada 1 Muharram sekadar berehat di rumah.


q. 1 Muharram 1444 Hijrah @ 30 Julai 2022

Menulis dan mempersembahkan artikel Hari Peradaban Bangsa Melayu dan misi keluarga Laksamana pada tarikh tersebut lalu ada dinyatakan 30 Julai itu bersamaan 1 Muharram. Selepas menulis artikel di rumah pergi menghadiri majlis berkenaan di Taman Melati di Kuala Lumpur. Lihat Permulaan Hari Peradaban Bangsa Melayu pada setiap 1 Muharram?


r. 1 Muharram 1445 Hijrah @ 19 Julai 2023 

Artikel Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad jelas menyatakan ia dipersembahkan pada tarikh tersebut di rumah dan memang hari itu 1 Muharram. Cuma ia dipersembahkan pada jam 3.23 petang walaupun isinya sudah disediakan 2 hari lebih awal. Ini kerana pagi dan malam sebelum itu berada di rumah kakap ipar di Jelai, Negeri Sembilan. Isyarat Internet kurang baik di situ lalu artikel tidak dapat dipersembahkan lebih awal.



Kesimpulan :

Setelah mengatur perkara tahun demi tahun Hijriah baru dapat dikesan di manakah saya berada pada 1 Muharram sejak 18 tahun kebelakangan iaitu sejak CATATAN SI MERAH SILU ini dimulakan penghujung tahun 2006, sejurus selepas itu masuk tahun 1428 Hijirah. Didapati secara rata saya berada di rumah kecuali untuk tahun-tahun berikut :-


a. 1428 Hijriah @ 2007 Gregorian di Lembah Bujang.

b.  1429 @ 2007 di Kajang

c. 1435 @ 2013 di Hulu Selangor

d. 1440 @ 2018 di Batak Rabit

e. 1441 @ 2019 di makam Sultan Maliks Salih, Aceh menganjurkan acara ke-19 HIKMAH.

f. 1444 @ 2022di Taman Melati, Kuala Lumpur menyertai Hari Peradaban Bangsa Melayu.

g. 1445 @ 2023 di Jelai, Negeri Sembilan


Begitulah al-kisah. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,515 di CATATAN SI MERAH SILU.



Ahad, Jun 30, 2024

Kenapa ciptaan adalah wahyu : Mengimbau teori dua kitab

Lagi sekali cerita melibatkan ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Memang 2-3 bulan kebelakangan ini saya rajin ke sana.



Gambar ini diambil tengah hari Jumaat 28 Jun 2024 di pejabat lama saya, Balai Berita di Jalan Riong, Kuala Lumpur yang menempatkan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times juga akhbar berbahasa Melayu Berita Harian dan Harian Metro. Ketika saya menjadi wartawan di NST tahun 1996-2001 ia turut menempatkan akhbar berbahasa Inggeris The Malay Mail dan Business Times.




Saya ke situ kerana mahu menikmati hidangan istimewa kegemaran nasi beringin di medan makan bersebelahan. Selepas itu ke ISTAC di Bukit Tunku untuk menunaikan solat Jumaat di masjidnya.







Selepas solat duduk menghadap air pancut lalu membaca keseluruhan Surah Sad, pada kala hujan lebat. Ini adalah dalam proses untuk mengkhatamkan Al-Quran bagi bulan Zulhijjah. Ketika itu sudah hampir penghujung Juz 23.




Kemudian baru mengikuti majlis ilmu yang menjadi asbab utama saya ke ISTAC hari itu. Lain-lain perkara berlaku kerana seperti biasa saya akan memanfaat masa sebaik mungkin apabila perlu keluar  ke luar kawasan dari rumah. Hendak pergi ke ISTAC perlu memandu searah sejauh lebih 40 km. Tu yang ambil sekali manfaat makan nasi beringin dekat pejabat lama dan bersolat Jumaat.




Poster tentang  majlis ilmu kali ini. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Kenapa Ciptaan Adalah Wahyu : Mengimbau Teori Dua Kitab". Ia adalah yang ke-8 dalam siri "Wacana Falsafah Kursi Al-Ghazali 2024). Wacana ini diadakan setiap bulan.

Sekali lagi, buat kali ketiga berturut ia mengenengahkan perkongsian ilmu daripada pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Ini adalah untuk mengembangkan lagi hal-hal berkenaan ilmu berdasarkan wahyu berbanding ilmu berdasarkan akal fikiran yang telah disentuh sebelum itu. Sementara syarahan pertama beliau tentang hal dalam siri (beliau sebenarnya telah beberapa kali menyentuh hal-hal sama dalam siri wacana lain walaupun dahulu tidak bercakap secara spesifik tentang perkara) pula tercetus akibat soal jawab pada wacana sebelum itu. Rujuk cerita-cerita berkenaan menurut turutan :-


1. Bermusafir mengikuti pelbagai majlis dan aktiviti selama 2 hari (disentuh sedikit sahaja tentang majlis berkenaan pada 1 Mac namun ada rakaman video yang walaupun tidak penuh mengandungi sesi soal jawab yang mencetuskan perkongsian Osman pada edisi wacana yang seterusnya)

2. Jurang antara akal dan wahyu tidaklah sejauh yang kamu sangka (ada ulasan panjang lebar tentang perkongsian Osman)

3. Musafir ilmu dan buku - Antara ISTAC dan PBAKL (disebut sepintas lalu antara pelbagai aktiviti namun boleh menjadi jambatan untuk cerita dalam artikel terbaru).




Syarahan dibuka dengan menerangkankan dahulu apakah itu creation, saya terjemahkan sebagai "ciptaan". Ini kerana ada perselisihan ideologi tentang ini. Pada mereka yang tidak percaya akan kewujudan Tuhan, perkataan creation yang merujuk pada segala bentuk wujud yang diketahui seperti dunia, alam dan sebagainya mahu ditolak. Ini kerana creation atau ciptaan menggambarkan adanya creator atau pencipta. Lalu mereka lebih senang dengan perkataan seperti alam maya dan dunia kerana ia dilihat tidak menjurus kepada adanya pencipta.

Daripada segi falsafah pula ada perselisihan tentang bagaimana asal-usul, rupa, unsur alam, baik daripada segi material, spiritul dan sebagainya. Manusia juga berselisih dengan saiz alam, adakah ia mempunyai had saiz tertentu, atau besarnya tidak terhingga/infiniti?



Bagi mereka yang beragama, boleh menerima akan kewujudan Tuhan sebagai Pencipta, maka creation atau ciptaan itu adalah seluruh alam atau seluruh tingkat alam, seluruh alam maya, seluruh dunia-dunia dan apa yang terkandung di dalamnya (bagi orang Islam kita percaya akan adanya 7 petala langit, syurga, neraka malah tingkat-tingkat wujud yang lebih tinggi seperti Sidratul Muntaha yang melepasi langit ke-7). Atau bahasa mudahnya segala yang wujud selain Tuhan. Ciptaan meliputi semua lapisan wujud selain Tuhan baik material/fizikal juga spiritual dan halus (seperti alam jin, bagi orang Melayu ada juga kepercayaan terhadap alam bunian yang mana masih diperdebatkan apakah orang bunian itu suatu jenis jin, atau jenis manusia yang dighaibkan daripada mata kasar, atau campuran manusia-jin, atau memang jenis makhluknya yang tersendiri). Ciptaan adalah kesan tindakan kreatif Ilahi. Ia membawa pesanan daripada Tuhan bahawa "Aku ingin diketahui" (boleh rujuk hadis Qudsi yang berkenaan).





Namun ciptaan bukanlah satu-satunya unsur yang mendefinisikan hubungan antara Tuhan dengan alam. Ada yang melihat hubungan ini dalam bentuk Emanation atau pancaran. Ini ibarat hubungan antara matahari dengan cahaya matahari yang mana cahaya itu dilihat 'tidak putus' memancar daripada matahari. Cahaya matahari itu ibarat ciptaan, Tuhan ibarat matahari. Dalam pemahaman sebegini ciptaan bukanlah seperti sebuah jam yang dibuat oleh pembuat jam lalu jam boleh ditinggalkan untuk terus berjalan sementara pencipta meninggalkannya untuk membuat hal lain. Dalam konsep Emanation yang boleh diterjemahkan sebagai pancaran itu, segala bentuk ciptaan hanya boleh wujud selagi matahari terus memancarkan cahayanya. Secara hakikinya ia tidak pernah putus hubungan.




Sekarang, setelah boleh faham bagaimana ciptaan boleh dilihat sebagai pancaran, biar dilihat kenapa ciptaan juga adalah sebuah kitab. 

Segala isi ciptaan, alam ini dan segala yang ada baik dapat dilihat atau tidak, fizikal atau spiritual sebenarnya semuanya adalah 'pesanan' daripada 'pengarang' kitab iaitu Tuhan. Ciptaan terbentuk daripada ayat-ayat keTuhanan sepertimana sebuah buku atau kitab tulisan manusia terbentuk daripada ayat-ayat tulisannya. Maka itu sering ditekankan di dalam Al-Quran bagaimana pada penciptaan langit dan bumi, pertukaran antara siang dan malam dan perkara-perkara berkaitan ada isyarat-isyarat bagi mereka yang memahami.

Sebetulnya hal mengenai alam sebagai ayat-ayat Tuhan ini sudah beberapa kali dinyatakan Osman dalam wacana-wacana terdahulu lalu saya ada menulis tentangnya. Tetapi untuk mencari balik artikel-artikel tersebut memerlukan masa yang agak panjang. Apa yang dapat ditemui secara singkat adalah Gambar-gambar keQuranan alam - Satu alam, banyak dunia yang ditulis hampir 3 tahun lalu. Walaupun ia tidak menyebut hal ayat-ayat Tuhan sebagai ciptaan itu secara harfiah konsepnya ada di situ.




Ciptaan boleh dilihat sebagai buku autograf yang penuh dengan 'tanda tangan' Ilahi, tanda tangan yang ada pelbagai rupa dan ragam kerana Tuhan juga memiliki banyak nama, Yang dijelaskan di dalam Al-Quran adalah 99 nama-nama indah Asmaul Husna sedangkan yang sebenarnya ada lagi nama yang jumlahnya tidak terhingga. Setiap nama boleh menggambarkan satu sifat/perbuataan yang setiap satu ada kesan yang tersendiri. Apabila digabungkan perbuatan atas 2 atau lebih nama jadi lagi pelbagai ragam ciptaan.

Ciptaan juga adalah pentas bagi penzahiran atau Tajaliyat Ilahi. Hakikat ini memerlukan pendalaman yang lebih mendalam. Namun pada lapisan paling rendah penerangannya adalah sama seperti pada perenggan atas tadi. Ciptaan adalah penzahiran nama-nama Tuhan.




Maka masuklah pada hal "teori dua kitab". Ini adalah tentang bagaimana Al-Quran yang biasa kita baca itu adalah satu kitab yang boleh dibaca seiring dengan ciptaan dan segala isinya, alam, dunia, haiwan dan sebagainya sebagai isi sebuah lagi kitab. Kata Osman ilmuwan Islam sudah lama melihat dan menelaah perkara ini. Daripada kitab Al-Quran yang bersumberkan wahyu mereka boleh dapat manfaat untuk memahami ciptaan 'dalam kitab' lagi satu. Dan daripada ciptaan mereka dapat memahami lebih mendalam Al-Quran. Sila ikuti sendiri syarahan melalui rakaman video di bawah.