Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, October 16, 2010

Episod kemaruk Bugis - pembukaan terbaru dari Kuala Selangor

OK. Sebelum dimulakan siri baru tentang perjalanan ke Brunei biar dilepaskan dahulu sedikit rasa tentang bab kemaruk Bugis yang melanda diri saya sebulan dua kebelakangan berserta satu perjalanan dan penemuan baru di Kuala Selangor yang berlaku baru ini.


Petang Khamis 2 hari lepas, selepas ke klinik kerajaan di Batu Arang untuk suntikan Al-Rasyid kami sekeluarga bergerak ke Kuala Selangor melalui pekan Batang Berjuntai.




Rasanya ada penemuan baru yang akan berlaku tapi tak pasti apa...


Yang pasti kami mahu ke Bukit Melawati membawa anak bermain dengan monyet.



Sampai ke satu tempat sekitar 10 km sebelum pekan Kuala Selangor saya terlihat sesuatu yang mengujakan.


Ada rumah dengan bentuk lidah terjulur, perhati kali saya melihatnya di dalam daerah Kuala Selangor. Lihat artikel Rumah dengan bentuk lidah terjulur di Kuala Selangor (House with tounge-like shape hanging down at Kuala Selangor) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Ini membuat saya terasa pasti ada sesuatu yang melibatkan pencarian saya tentang sejarah lama di sekitar ini. Tapi bila pusing-pusing masuk ke dalam tak nampak apa-apa kecuali sebuah sungai, mungkin taliair yang mengalir masuk ke Sungai Selangor.

(saya tak nak sebut nama tempat ini iaitu Tanjung Siam... nanti ada pula pihak yang kata ini le bukti kat sini ada raja daerah empayar Siam-Islam konon. Untuk makluman pembohongan dan kesilap-tafsiran mereka terhadap sejarah telah pun dibongkar banyak pihak. Ternyata mereka sekadar waris kerajaan Ligor yang pernah menjadi agen pencacai kerajaan Buddha Ayuthia untuk menguasai kerajaan-kerajaan Melayu di utara Semenanjung. Cuma mereka yang cetek ilmu sejarah atau berkepentingan seperti keluarga mereka yang ada hati mahu menuntut takhta negeri Kedah malah jawatan Yang di Pertuan Agung sahaja terus berkokok dengan sejarah tipu-belit mereka).





Saya pun meneruskan perjalanan ke Kuala Selangor. Ternyata Kampung Kuantan yang terkenal dengan populasi kelip-kelip yang dikatakan kedua terbesar di dunia terletak cukup dekat dari tempat tadi.




Isteri saya mengingatkan kata-kata orang bahawa di Kampung Kuantan atau sekitarnya terdapat banyak makam lama. Saya pun tergerak untuk mencari dengan mula masuk ke satu bahagian tepian Sungai Selangor.





Saya biasa membawa isteri dan anak juga kawan-kawan ke sini untuk melihat kelip-kelip.






Pandangan ke kiri iaitu menghilir sungai, boleh kelihatan kompleks jeti kelip-kelip. Dari situ kita boleh menyewa bot untuk melihat kelip-kelip waktu malam. Tapi kena le bayar satu kepala RM40...





Pandangan ke kanan menghulu sungai. Kat mana ya nak cari makam-makam lama ni? Saya tahu berdekatan kompleks makam ada beberapa makam lama dan pernah melihatnya. Tetapi saya mahu mencari yang lain dari itu.

Ah... mungkin saya perlu masuk lebih dalam ke jalan kampung sekitar. Kami pernah mengambilnya suatu malam tetapi ketika itu kami sebenarnya mahu mencari jalan keluar untuk kembali ke jalan besar.





Kami menyusuri jalan tersebut tapi masih belum terlihat apa-apa. Pada ketika itulah isteri saya menelefon seorang rakan yang memberitahu di sekitar tempat yang saya tak mahu sebut namanya itu (hehe!) ada terdapat sebuah makam yang dikenali sebagai kubur panjang.

Kami pun berpatah balik untuk ke jalan besar. Sebelum sampai ke simpang terlihat sebuah rumah... ada orang berehat di serambi rumah. Tergerak pula untuk bertanya tentang kubur panjang yang dimaksudkan.



Alhamdulillah, tuan rumah, seorang pakcik yang sebaya bapa saya tahu tentang kubur panjang. Selepas menerangkan tujuan saya mencari makam tersebut dia pun menceritakan sejarahnya. Tersebutlah kisah seorang raja atau anak raja Bugis dihalau dari tanah-airnya oleh raja Bugis lain. Tak tahulah pasal apa. Mungkin ada membuat kesalahan, mungkin akibat kalah perang. Hamba Allah inipun belayar ke Tanah Melayu. Dengan takdir Allah, sampai ke kuala Sungai Selangor kapalnya karam. Beliau pun tenggelam ke dasar laut.

Jasad beliau ditemui dalam keadaan penuh teritip. Namun beliau masih hidup. "Bayangkan berapa lama agaknya dia tenggelam sampai badan penuh teritip," kata pakcik. Saya terlupa bagaimana tetapi beliau akhirnya diterima oleh Sultan Selangor sebagai saudara malah diminta mengajar agama di istana. Mungkin kerana Sultan Selangor berketurunan Daeng Chelak dari Tanah Bugis?

Pakcik ini tidak tahu Sultan manakah yang menerimanya. Tetapi ketika itu Sultan Selangor sedang bersemayam di Bukit Melawati (dahulu dikenali sebagai Bukit Selangor). Sejarah menyebut cuma 3 Sultan terawal sahaja yang bersemayam di Kuala Selangor. Mereka ialah Sultan Salehuddin (katanya ditabal tahun 1766, ada yang kata sudah mula memerintah sejak 1743 sebelum mangkat 1778), Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Muhammad (1826-1857). Maka raja/anak raja Bugis yang dimakamkan di kubur panjang telah datang ke Selangor sekitar 200 tahun lalu. Peristiwa ditemui di laut menyebabkan beliau (baginda?) dikenali sebagai Tok Laut. Lihat Makam (Tomb of) Tok Laut, Kuala Selangor.




Oh. Kami ditunjukkan jalan ke sini oleh anak pakcik tadi. Ternyata ia adalah jalan kampung yang telah kami ambil, cuma tidak sampai ke penghujung kerana kami berpatah-balik apabila timbul rasa ragu-ragu. Kawan yang memberitahu tentang kewujudan kubur panjang pula tidak tahu di manakah letaknya. Dia cuma pernah mendengar dari kawan lain.

Menariknya kubur panjang ini terletak di dalam sempadan kawasan tempat yang namanya tidak suka saya sebut. Tapi jangan pula ingat dia orang Siam... ini kaum kerabat Bugis ya. Dan orang Bugis bukanlah orang Portugis Islam seperti dakwaan karut pihak yang terlalu pro-Siam sampai sanggup mencipta cerita tentang empayar besar khayalan demi mengaburi mata orang-ramai...

Apapun, pakcik tadi ada menyebut dia adalah salah seorang waris Tok Laut. Tapi itu dari susur-galur belah perempuan, dari salah seorang neneknya. Kata pakcik itu susur-galur beliau sekitar 7 keturunan atau lebih sedikit sampai kepada seorang bangsawan Bugis yang dikenali sebagai Daeng Tok Hussin. Dan menurutnya ini berkaitan dengan salasilah pahlawan Melayu Perak yang memegang daerah Kampung Gajah iaitu Tok Sagor.

Hmm... teringat, selain dikaitkan dengan Bugis keluarga Tok Sagor (sebenarnya satu sebutan tempatan untuk jawatan turun-temurun Datuk Sri Agar Diraja) turut dikaitkan dengan Aceh. Apakah ada kaitan dengan Dinasti Bugis yang menjadi raja-raja di Aceh sejak tahun 1720an, dinasti yang terus berkuasa sehingga keSultanan Aceh diluputkan oleh Belanda awal 1900an?




Anak pakcik itu juga menawarkan diri untuk menunjukkan satu lagi kawasan makam, kali ini di dalam Kampung Kuantan.





Ternyata pencarian makam ini lebih mencabar akibat semak dan belukar yang tebal.






Hampir sahaja saya mahu meninggalkan isteri dan anak kerana ada parit sederhana besar turut menghalang. Tetapi apabila saya mendapati mampu memangku anak sambil menyeberang parit, isteri pun terus ikut.




Masalah juga membawa mereka masuk belukar tebal dengan duri nibung dan sebagainya apalagi tanah tidak rata dengan ada kawasan berbonggol tinggi, ada pula seperti berlubang dengan semuanya diliputi daun dan semak. Kemudian tak pula jumpa makam. Rupa-rupanya kali terakhir anak pakcik itu melihat tempat ini adalah 6 tahun lalu.




Namun dia terus bersemangat untuk mencari sedangkan saya sudah terfikir mahu beredar. Maklumlah saya mahu membawa anak bermain dengan monyet di Bukit Melawati. Takut terlewat sampai ke senja.

Nasib baik dapat berjumpa makam. Menurut anak pakcik, arwah ibunya pernah berpesan ia adalah makam kerabat. Tambahnya yang dimakamkan di sini adalah bangsawan Bugis. Lihat Makam-makam bertanda batu di Kampung Kuantan (Tombs marked by stones at Kampung Kuantan).





Kami pun terus ke Bukit Melawati. Alhamdulillah, sempat sampai sebelum monyet 'masuk tidur'. Lihat artikel Al-Rasyid with the monkeys of Bukit Melawati di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Dan buat pertama-kalinya saya dapat membawa isteri dan anak ke bahagian bukit di mana terdapat huruf besar bertulis "Kuala Selangor" ini. Kali pertama saya sendiri sampai adalah 3 bulan lalu. Lihat artikel lama Baru betul-betul melihat Bukit Melawati... .




Perjalanan diteruskan ke Pasir Penambang kerana saya mahu menunjukkan kepada isteri pokok besar yang baru tumbang, pokok di mana terdapat makam-makam lama di pangkal. Lihat Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?. Kali ini saya ternampak sebuah jalan yang sebelum ini saya asyik terlepas pandang. Ternyata jalan itu membawa kami agak hampir ke kuala Sungai Selangor.




Beginilah kedudukan hujung jalan berbanding Bukit Melawati. Nampak tak bukit di tengah? Inilah kali pertama saya berada di sekitar ini. Harap-harap akan lebih banyak petunjuk dan ilham yang timbul dan terbuka nanti.

OK. Kenapa saya sebut "Episod kemaruk Bugis" pada tajuk artikel kali ini? Rasanya mereka yang selalu mengikuti blogspot ini tentu nampak bagaimana saya asyik menulis tentang Bugis kebelakangan ini dan ini bertambah kuat sejak sebulan dua. Sebelum ini, selama beberapa tahun saya lebih mementingkan susur-galur keluarga bapa yang dikatakan berasal dari Aceh. Ternyata apabila diselidiki lebih mendalam, kaitan Bugis juga sangat kuat malah nenek-moyang bapa yang di Aceh abad ke 18 dikenali sebagai keluarga Raja Aceh dari Dinasti Bugis.

Sebulan dua kebelakangan ini saya rasa lebih terpanggil untuk mencari nasab Bugis belah ibu. Adapun ibu saya berdarah Bugis campur Jawa... bapanya Bugis ibunya Jawa. Selama setahun dua gitu, saya sekadar tahu nama bapa ibu ialah Ismail bin Hussin bin Betak dan ada kemungkinan nasab ini sampai kepada Raja Ahmad ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak. Baru awal musim raya ini saya mendapat kepastian bahawa Betak ini adalah pembuka Parit Betak di Batu Pahat, Johor. Dan pada malam Jumaat selepas membuat perjalanan terbaru ke Kuala Selangor, selepas menziarahi kubur panjang @ makam Tok Laut, makam-makam lama di Kampung Kuantan hingga sampai ke satu bahagian terdekat ke kuala Sungai Selangor yang semuanya berkaitan Bugis, saya mendapat berita bahawa ayah kepada Betak (turut dipanggil Daeng Betak) adalah Daeng Makkuaseng yang membuka Parit Makkuaseng di Benut, Pontian.

Lebih tepat lagi, beliau adalah La Makkuaseng yang berasal dari Loa di Wajo, Sulawesi Selatan. Allah. Teringat bagaimana dahulu almarhum Nenek iaitu ibu kepada bapa saya pernah memberi petunjuk bahawa susur-galur keturunan bapa dan sulur-galur keturunan ibu ada kena-mengena. Teringat kembali identiti moyang kami yang menjadi Laksamana Raja Mahkota pertama di Perak tahun 1700an. Dahulu moyang yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam ini saya sangkakan berketurunan terus dari Aceh... rupa-rupanya walaupun benar ada kaitan Aceh beliau (sebenarnya baginda) berasal dari Wajo.

Yang berketurunan terus dari Aceh sehingga menjadi darah induk keluarga bapa adalah seorang menantu Nakhoda Hitam yang dikenali sebagai Toh Jambu. Itupun Toh Jambu berasal dari Dinasti Bugis yang menjadi Raja-raja Aceh. Menariknya, Dinasti Bugis ini boleh disusur hingga ke seorang moyang bernama Daeng Mansur yang dikatakan datang dari Wajo tahun 1600an. Walaupun ada cerita menyebut bapa Daeng Mansur sebenarnya adalah seorang anak raja besar Aceh, hakikat bahawa ibunya berdarah Bugis sudah cukup untuk menyebabkan beliau (juga baginda sebenarnya) dikenali sebagai seorang ulamak Bugis.

Yang menarik mereka semua ada kaitan dengan Wajo. Adalah juga menarik untuk difikirkan bahawa Sayyid Jamaluddin Kubra, wali besar keturunan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan menurunkan para Wali Sembilan di Pulau Jawa akhirnya mangkat di Wajo. Makamnya masih ada di sana bersebelahan dengan makam seorang Raja Wajo yang menjadi menantunya. Apakah kaitan semua ini? Apakah ini adalah punca (atau salah satu punca) munculnya darah Ahlul Bait pada Raja-raja Bugis? Mungkin inilah yang menyebabkan mereka lebih gagah dan berwibawa daripada Sultan-sultan Empayar Johor-Riau berketurunan Bendahara yang naik selepas Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dibunuh orang tahun 1699. Walhal kalau menurut salasilah besar Bugis 5 Daeng terkenal yang datang ke Johor sekitar itu sebenarnya cuma berpangkat bangsawan menengah, bukan anak raja...

Faktor yang sering diperbesarkan anak cucu Bendahara yang menjadi raja (keturunan ini kemudian menjadi Sultan-sultan Johor, Pahang dan Terengganu hingga sekarang) untuk menyokong hak dan kedaulatan mereka menaiki raja adalah Bendaharaja Johor ketika itu berketurunan Sayyid dari Aceh. Sayyid ini pula dikatakan dari keturunan Ba' Alawi di Hadramaut yang sampai kepada Saidina Hussein. Namun ramai dapat melihat bahawa Sayyid Jamaluddin yang turut dikatakan berasal dari keturunan Ba' Alawi telah menurunkan cabang Ahlul Bait yang lebih hebat. Harus ditambah bahawa ada salasilah dari Aceh menyebut Sayyid Jamaluddin yang hidup abad ke 14 hingga ke 15 Masihi sebenarnya adalah seorang anak cucu Sultan Malikus Salih dari Samudera-Pasai.

Turut disebut sumber Aceh adalah kewujudan seorang ulamaknya Sheikh Ali Muqaisar yang datang ke Tanah Bugis hampir sezaman dengan kedatangan Sayyid Jamadil Qubra. Namun sejarah rasmi Bugis sendiri setakat menyebut mereka mula diIslamkan setelah kedatangan 3 orang datuk dari Minangkabau yang menuntut ilmu di Aceh abad ke 16. Nampaknya mereka kurang tahu tentang kedatangan Sayyid Jamadil Qubra apalagi Sheikh Ali Muqaisar. Menurut cerita dari Aceh, nama kota Makassar yang menjadi pusat kerajaan Goa di Tanah Bugis timbul akibat kedatangan Sheikh Muqaisar...

Oh. Satu lagu berita yang baru saya dapat sejak perjalanan petang Khamis ke Kuala Selangor. Biar diberi sedikit latar-belakang. Dahulu saya percaya bahawa moyang saya yang menjadi Laksamana pertama adalah adik-beradik dengan Daeng Selili, Maharajalela pertama Perak. Kemudian saya diberitahu oleh seorang waris dari Sabah bahawa Laksamana yang turut memakai nama Daeng Hanasah ini adalah anakanda kepada Daeng Selili, bukan adik-beradik. Nama Daeng Selili pula katanya adalah identiti samaran bagi La Madukelleng seorang Raja Wajo yang menjadi Raja besar Bugis, sangat dibenci dan ditakuti Belanda kerana selalu mengalahkan pihak mereka. Namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini saya mendapati timbul arah lain apabila kaitan dua watak ini disebut di forum-forum. Semalam baru saya dapat tahu bahawa kajian terbaru waris-waris menyebut Daeng Selili bukanlah La Madukelleng. Beliau cuma pengikut Nakhoda Hitam yang paling setia. Sekian luahan kemaruk Bugis..


Friday, October 15, 2010

Kemeriahan Al-Rasyid berhari-raya

Gambar selepas solat Jumaat minggu lepas, hari terakhir bulan Syawal...

Tu dia. Semasa memulakan siri "Al-Rasyid berhari-raya" sebulan lalu saya menyebutnya sebagai satu siri kecil kerana menjangkakan ia cuma filler, selingan untuk mengisi masa dan kelompongan sebelum memulakan satu siri lebih serius dan berisi tentang perjalanan ke Brunei yang dibuat sebelum Ramadhan. Saya menyangkakan akan membuat paling kuat pun 4 artikel di sini yang disokong mungkin paling banyak 5-6 artikel di blogspots saya yang lain.

Ternyata banyak juga yang berlaku lalu mahu diluahkan mengenai aktiviti hari-raya sehingga siri yang baru ditamatkan pagi tadi menjangkau 11 artikel induk dan 13 artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH (serta sejumlah lagi di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)). Di sini biar diletakkan links berkenaan (kecuali di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)). ). Insyaallah siri ini akan lebih menarik apabila dibaca kembali mengikut turutan malah mungkin menimbulkan petunjuk dan ilham dalam hal tertentu terutama bab pencarian salasilah belah Bugis yang sering menerjah fikiran sejak kebelakangan ini.



Al-Rasyid berhari-raya : Mula di Tanjung Sepat...

A Raya family outing with the monkeys in Tanjung, Muar

Al-Rasyid and the old Muar railway

Al-Rasyid berhari-raya : Menghidupkan tradisi keluarga di Muar

Album for 3rd Raya... enter the JB folks

Al-Rasyid berhari raya : Beberapa kenangan lama, mukadimah untuk pengembaraan kecil berkaitan Bugis?

Mouth of the Kesang river

The giant trishaw of Muar

The beach at Tanjung Bidara

The beach at Pengkalan Balak

Al-Rasyid berhari raya : Sedikit bab politik dan sejarah sambil menjejak legasi Bugis Daeng Chelak...

The bride's home wedding reception on Saturday

Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu

My first taste of a Chinese tea ceremony for newly-weds...

The antics at the Sharing-La penthouse

The lavish night reception at Shangri-La

Al-Rasyid berhari-raya : Upacara teh Cina, pengalaman lucu di penthouse dan majlis gilang-gemilang di Shang...

From Malaysia's Palais de Justice to the steel mosque

Al-Rasyid berhari raya : Asbab yang membawa ke makam Raja Melewar dan menjejak makna mimpi lama di Putrajaya

Al-Rasyid berhari-raya : Kembali lagi ke Muar... sempat ke rumah ipar di beberapa tempat juga pertunangan sepupu di Segamat

Al-Rasyid berhari-raya : Kembali semula ke rumah... jejak 3 buah masjid di 3 buah negeri dan misteri berkaitan

A Hari Raya do with all batches (well, almost...) from my old school

Al-Rasyid berhari-raya : Bertemu kawan lama dan lepasan dari sekolah sains...

Al-Rasyid berhari-raya : Pernikahan yang dipercepatkan




Al-Rasyid berhari-raya : Pernikahan yang dipercepatkan

Salam Jumaat untuk semua. Adapun bulan Syawal atau bulan raya Aidilfitri baru ini bermula pada hari Jumaat dan tamat pada hari Jumaat. Maka eloklah siri "Al-Rasyid berhari-raya" ini ditamatkan dengan ceritanya yang ke 11 hari ini hari Jumaat. Mari... :]


Petang Khamis sebelum Asar 8 Oktober 2010 bersamaan 28 Syawal 1431, saya, isteri dan anak pergi ke sebuah masjid di Sungai Lang, Banting, Selangor. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ar-Rohmaniah, Sungai Lang, Banting di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kami mahu menghadiri majlis pernikahan adik bungsu isteri. Untuk makluman, pernikahan ini asalnya mahu dibuat penghujung Oktober. Tetapi tiba-tiba awal minggu itu pihak perempuan meminta agar ia dipercepatkan ke tarikh baru.


Mungkin mereka mahu mengambil berkat bulan Syawal? Yang pasti sudah sampai penghujung Syawal kerana ia akan tamat Jumaat selepasnya. Mungkin Khamis terakhir bulan Syawal itu dipilih agar sebaik sahaja masuk malam Jumaat, adik ipar saya dan tunangnya sudah bergelar suami isteri. Apapun keluarga isteri saya menunggu di masjid sehingga tamat solat jemaah Asar namun mendapati keluarga pengantin perempuan tak sampai-sampai lagi. Apa hal?


Rupa-rupanya kami tersilap masjid. Pernikahan mahu diadakan di sebuah masjid lain 2-3 km gitu dari situ. Lihat Masjid (Mosque of) Al-Ihsan, Sungai Lang, Banting.



Keluarga pengantin perempuan sudah lama menunggu di sana sedangkan kami pula menunggu di masjid lain. Apa daa...




Apapun dapat juga kami berkumpul selepas Asar seperti yang dijadualkan untuk majlis.












Dipendekkan cerita pengantin selamat diijab-kabulkan...






Dokumen nikah yang ada pun ditandatangani seperti sepatutnya.







Alhamdulillah, selamat. Adik ipar berpeluk dengan adik-beradik. Satu perkara yang saya perhatikan keluarga sebelah isteri agak sentimental ketika berjumpa dalam acara tertentu terutama pada pagi raya dan kini selepas majlis pernikahan. Mereka akan berpelukan erat dan ini selalunya disulami dengan perasaan sayu ditambah dengan kata-kata, mungkin nasihat atau kata-kata aluan yang memakan masa tidak kurang seminit dua. Yang perempuan selalunya akan menangis syahdu malah yang lelaki pun kelihatan hampir begitu, boleh nampak air mata mengalir. Semua yang ada akan kelihatan sebak, setelah selesai berpelukan dengan semua baru keadaan kembali seperti biasa.

Dahulu saya mungkin tidak menghargai situasi ini. Terbetik di hati... apa ni... lebih-lebih pula nak sedih-sedih. Apa daa... macam le saya ni macho sangat tak peduli perasan halus naluri manusia. Namun melihat kemesraan yang sering ditunjuk keluarga mereka yang berdarah Jawa, saya semakin memahami. Saya akui pelukan 'sentimental' antara keluarga isteri adalah satu budaya yang sangat mengeratkan mereka.





Cukuplah dikatakan semakin lama saya semakin menghargai isteri dan keluarga. Kelihatan di sini isteri saya dan keluarga bergambar bersama pengantin perempuan.




Tahniah kepada Atan dan isteri. Semoga menjadi suami yang bertanggungjawab dapat mengatur dan membahagiakan rumahtangga.



Wednesday, October 13, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Bertemu kawan lama dan lepasan dari sekolah sains...

Hmm. Setelah disajikan 2 cerita gempak (konon) Bahaya yang mengancam Kaabah... dan Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?, kita kembali semula pada cerita raya (atau sisa-sisa raya). Sukacita dimaklumkan, hari ini 13 Oktober 2010 genaplah umur anak kecil saya Muhammad Al-Aminul Rasyid satu tahun. Dan cerita raya kali ini ada kena-mengena dengan bab Al-Rasyid genap satu tahun juga...

Minggu ke empat raya, Ahad 3 Oktober 2010 saya pergi ke kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi untuk menghadiri satu majlis.


Ia adalah majlis sambutan hari raya untuk bekas pelajar sekolah lama saya Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang (SMSJ). Menariknya jemputan terbuka kepada semua bekas pelajar sedangkan sekolah berasrama penuh yang merupakan salah sebuah sekolah menengah yang terkemuka di tanah air ini sudah menerima pelajar sejak tahun 1974 (batch pertama yang masuk tingkatan 4). Ini bermakna yang dijangka datang sekitar 30 batch atau lebih pelajar...


Memanglah 30 batch pelajar sekolah lama saya itu tidak sehebat apa yang mampu dikumpulkan oleh sekolah-sekolah elit lebih terkenal seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar atau MCKK (Malay College Kuala Kangsar) misalnya. Ditubuhkan tahun 1905, MCKK sudah memiliki lebih 100 batch pelajar dan sebagai sebuah institusi yang asalnya ditubuhkan Inggeris untuk melatih golongan bangsawan Melayu agar berfikir seperti mereka (iaitu kebaratan), diketahui ramai bekas pelajar mereka menjadi para pemimpin, ahli perniagaan dan pentadbir ulung negara. Namun SMSJ juga memiliki status yang tinggi apabila muncul sebagai salah satu sekolah sains perintis di Malaysia. Selain menjadi sekolah sains pertama di Johor (sekolah kedua iaitu Sains Muar bermula sekitar 10 tahun kemudian), ia juga turut menghasilkan ramai bekas pelajar yang menjadi tunjang negara... kerana ia memang didirikan untuk melatih anak-anak paling cerdik terutama dari Johor.

Di atas adalah gambar isteri dan anak kami Al-Rasyid yang turut ikut sama. Untuk makluman isteri saya sendiri adalah bekas pelajar sekolah sains iaitu di Teluk Intan, Perak (SEMESTI). Adapun tarikh majlis ini diadakan sebenarnya sama dengan tarikh lahir anak saya. Oh, selain tarikh hari ini iaitu 13 Oktober, anak saya juga memiliki tarikh lahir lain mengikut kiraan Islam yang bersamaan 24 Syawal... kerana beliau lahir 13 Oktober 2010 bersamaan 24 Syawal 1430. Tarikh majlis sambutan hari raya SMSJ ini iaitu 3 September 2010 pula adalah bersamaan 24 Syawal 1431. Kiranya menurut kalendar Islam, Al-Rasyid sudah genap umur satu!


Satu perkara menarik adalah tarikh Islam Al-Rasyid dilahirkan itu adalah bersamaan tarikh saya patut dilahirkan 40 tahun lalu. Lihat artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131.... Di atas adalah nasi kambing yang disumbangkan oleh batch saya, mereka yang mengambil peperiksaan SPM tahun 1987. Teringat pula majlis qeqah anak yang diadakan di Jelai, Negeri Sembilan. Lihat Qeqah di Jelai, melihat Gunung Ledang di Asahan, bermalam di Pulau Besar dan kamera yang rosak.

Hmm... batch saya ni memang suka makan kambing dan nasi Arab. Dalam pertemuan atau reunion kami sebelum inipun ada kambing dan nasi Arab kalau tak pun nasi beriani atau nasi lain yang sewaktu denganya. Oh. Biar diberitahu, saya cuma aktif berhubung dengan rakan-rakan sekolah ini hampir ke penghujung 2008. Sebelum itu hubungan saya dengan mereka boleh dikatakan terputus langsung sejak ditendang keluar dari sekolah akibat masalah disiplin penghujung 1986... sekali-sekala sahaja ada terserempak ketika bekerja atau berjalan ke sana ke mari.



Sejak itu saya telah dua tiga kali menghadiri pertemuan dengan kawan-kawan lama sekolah. Tetapi itu sekadar bersama batch saya sahaja, mereka yang sama umur dan turut mengambil SPM 1987 (walaupun saya mengambil SPM di sekolah lain kerana sudah ditendang keluar). Majlis hari raya ini adalah kali pertama saya datang ke pertemuan yang turut melibatkan batch lain apalagi semua bekas pelajar dijemput tidak kira tahun. Terfikir juga apakah saya akan terasa janggal nanti bertemu orang-orang dari batch lain yang sudah 24 tahun tidak ditemui, apalagi super senior, pelajar lama yang langsung tidak pernah bertemu-muka.




Alhamdulillah, apa-apa rasa was-was atau kemungkinan timbul kejanggalan hilang sebaik sahaja menjejakkan sampai. Timbul pula rasa selesa melihat ramai muka yang dikenali... dan tidak terlalu susah untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang tidak pernah berselisih bahu sebelum ini.





Isteri saya pun turut selesa sekurang-kurangnya dengan batch saya kerana pernah bertemu dalam 2 reunion yang pernah dihadirinya bersama saya dahulu. Beliau memberi ruang untuk saya membuat hal sendiri bertemu dengan bermesra dengan sesiapa apalagi apabila mula disedari bahawa saya seorang penulis yang sudah menerbitkan beberapa buku (sebelum itu mungkin batch saya sahaja yang tahu).


















Muncul lambat sedikit iaitu hampir waktu Zuhur adalah Timbalan Menteri di Jabatan Menteri Datuk Ahmad Maslan merangkap ketua penerangan UMNO Malaysia. Seingat saya beliau adalah ketua pelajar ketika saya berada di Tingkatan Satu iaitu tahun 1983. Selepas meninggalkan sekolah, saya pertama kali terjumpa kembali Ahmad Maslan ketika dia menjadi setiausaha politik kepada Datuk Mustapha Mohamed. Ketika itu saya masih wartawan akhbar The New Straits Times, Datuk Mustapha pula Menteri Keusahawanan gitu yang berpusat di Medan Mara.

Menariknya, ketika beliau mula aktif mendekati dunia politik, 3 orang rakan batchnya sedang mengejar karier yang sangat berlainan walaupun boleh dikatakan sama terkenal. Seorang yang dipanggil Arab (saya lupa nama sebenarnya, sejak zaman sekolah memang dipanggil Arab) menjadi penyanyi dan penulis lagu (Arab dan Aidid), seorang pula Sam kembali dari Australia dengan ijazah kejuruteraan tetapi menjadi pemain gitar (kalau tak salah menyanyi sekali) bersama kumpulan metal Cromok. Seorang menjadi wartawan hiburan di bekas pejabat saya iaitu NST sebelum dia sendiri terlibat secara langsung menjadi pengacara dan sebagainya iaitu saudara Zainal Alam.





Itulah kepelbagaian yang muncul dari bekas pelajar sekolah kami. Lihat gambar atas. Di kiri itu memang seorang pemusik professional yang sering bermain di hotel-hotel besar. Terperanjat juga saya melihatnya di majlis ini kerana dia pernah menegur dan memperkenalkan diri sebagai pemuzik ketika saya berehat santai di La Bodega Bangsar. Apakah dia juga bekas pelajar SMSJ?

Rupa-rupanya tidak. Dia adalah kenalan kawan kami yang dijemput untuk memeriahkan suasana. Ternyata majlis jadi lebih meriah apabila 2 orang kawan batch saya Sam (bukan Sam Cromok) dan Adrian naik ke pentas. Kalau tak salah Sam pernah menjadi seorang ahli geologis yang terlibat dengan pengkajian di universiti sebelum diberi peluang membuka stesyen minyak sendiri. Sejak itu dia dikatakan selalu goyang kaki, suka betul kalau diberi peluang bermain gitar dan menyanyi, hehe. Adrian pula adalah seorang VP (vice-president) sebuah syarikat besar teknologi. Namun apabila menyanyi boleh tahan... tak malu kalau diletakkan di sebelah M. Nasir...

Itulah yang membuat saya terasa begitu selesa berjumpa kawan-kawan lama. Mereka semua bukan calang-calang orang tetapi apabila berjumpa, adakalanya kami jadi macam budak-budak hingusan yang tak tahu apa-apa, sedia bermesra dengan sesiapa tanpa apa-apa prasangka. Untuk banyak lagi gambar dan cerita sekitar majlis, lihat artikel A Hari Raya do with all batches (well, almost...) from my old school yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Biar diletakkan sekali links pertemuan terdahulu kami juga cerita mengenai sekolah dan bandar Kluang yang pernah membentuk jiwa dan karakter kami...

1. Reminiscing the teenage years in Kluang - Part 1

2. Reminiscing the teenage years in Kluang - Part 2

3. Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor...

4. Open house di Ampang, barbecue geng moto beso di Rawang dan perjumpaan kawan lama SMSJ di Kajang

5. Nostalgia Sekolah Menengah Sains Johor...

6. Sekitar reunion SMSJ Batch SPM 1987 yang diadakan di Melaka 1 Mei baru ini...

7. Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya

8. Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan lama Gelanggayu, kopi Kluang dan kenangan sekolah menengah lalu...

9. Sains Johor upon reaching 40 reunion for batch 83-87...

10. My old alma mater, Sekolah Menengah Sains Johor (Johor Science Secondary School))

Monday, October 11, 2010

Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?

Adus! Apa pulak timbul tajuk gempak ni? Tak pa... follow aje cerita... :]


Petang tadi timbul rasa untuk menaiki motosikal besar ke Kuala Selangor...



Sampai di Bukit Rotan, gerak hati menyuruh mengambil simpang terus ke jeti tempat kelip-kelip di Kampung Kuantan.



Siang begini mana ada kelip-kelip boleh kelihatan. Namun pemandangan cantik Sungai Selangor menjadi ganti menghiburkan.



Lagipun di jeti ini saya boleh berehat tidur sebentar. Sebenarnya 2-3 hari kebelakangan saya kurang sihat. Rasa nak terbaring sahaja di rumah. Tapi petang Isnin ini saya melawan. Walaupun tubuh terasa lemah saya tetap keluar... kalau tak tahan boleh baring nanti di luar, sekurang-kurangnya saya tidak hanya duduk terperap di rumah.


Selepas setengah jam gitu tidur saya pun pergi ke masjid berdekatan. Tengok-tengok ia sedang diubah-suai. Nampaknya ia sudah kehilangan bentuk klasik yang sering menarik perhatian. Lihat artikel Masjid (mosque of) Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tahun lepas.


Perjalanan ke Kuala Selangor pun disambung. Tergerak untuk mengambil gambar masjid jamek di bahagian bandar baru Kuala Selangor. Lihat Masjid Jamek (Main mosque of) Kuala Selangor.


OK. Asalnya saya cuma bercadang mahu naik berehat melihat monyet-monyet di Bukit Melawati. Namun timbul rasa untuk terus bergerak melepasi pekan Kuala Selangor menyeberangi Sungai Selangor terus ke Pasir Penambang di mana terdapat makam purba di pangkal sebuah pokok besar. Alangkah terperanjatnya saya apabila sampai ke situ. Ternyata pokok besar yang sudah berdiri mungkin 200 tahun, mungkin lebih 300 tahun telah tumbang begitu sahaja!
Apakah yang sudah berlaku? Apakah ini sebahagian dari projek penyelenggaran kerajaan?

Tapi setahu saya pokok ini sudah beberapa kali cuba ditumbangkan dengan jentera dan sebagainya tetapi semuanya tidak berjaya. Kenapa boleh jadi begini pula? Perhatikan tanah perkuburan lama Islam di sekitar...


Saya mencari pangkal pokok besar. Ternyata ia bukan sekadar tumbang malah terbongkar hingga ke pangkal dan akar. Perhatikan batu-bata yang terlekat pada bahagian akar yang terangkat. Itulah sebahagian dari kepuk makam purba di pangkal...



Bahagian bawah di mana pernah terletaknya makam purba telah digantikan tanah berpasir lembut... cukup lembut sehingga apabila memijaknya saya terasa seperti mahu terjerlus...



Semasa melihat gambar ini ketika kembali ke rumah isteri saya menegur... tanah bawah pokok bukan sahaja berpasir malah boleh kelihatan kulit siput dan kerang. Sedangkan kedudukan pokok dan tanah perkuburan tidak kurang 200 meter dari air Sungai Selangor. Apakah ini bermakna kawasan ini dahulu berada di dalam atau di tengah laut? Baru kini terfikir akan kemungkinan ini...

Allah! Tiba-tiba saya teringat satu mimpi yang menunjukkan saya menyeberangi sebuah jambatan yang belum benar-benar siap dari satu kawasan yang kedudukannya menyamai kawasan sekitar pekan Kuala Selangor. Namun semasa menyeberangi jambatan tiba-tiba keadaan bertukar. Tiba-tiba saya berada di sebuah pulau kecil dengan pohon rendang lalu dapat melihat sebuah pulau hanyut di mana terdapat sebuah tanah perkuburan di atasnya. Lihat artikel Mimpi pelik Kuala Selangor... yang dibuat 3 bulan lalu.

Saya cuba mencari dua buah batu nesan Aceh yang pernah dilihat menandakan makam purba yang pernah berada di pangkal pokok. Bagaimana rupanya sebelum pokok tumbang? Lihat artikel Makam lama di (Old tomb at) Pasir Penambang yang dibuat berdasarkan satu lawatan ke makam ini penghujung Mei 2010. Ketika itu saya, isteri dan anak kecil kami sedang menuju ke Perak untuk melawat tempat-tempat tertentu di bahagian barat bersamaan jajahan takluk mudik kiri Sungai Perak. Lihat cerita yang telah dikumpulkan melalui artikel Apa yang boleh dikupas selepas jalan-jalan di Perak sebelah barat.

Mengapa pula makam di pangkal pokok di Pasir Penambang ini begitu penting bagi saya? Kerana selepas pertama-kali terlihat lalu menziarahi makam ini saya telah mendapat begitu banyak petunjuk yang dapat memecahkan beberapa rahsia dan persoalan di sebalik identiti beberapa orang nenek-moyang saya belah bapa iaitu keluarga Laksamana Raja Mahkota di Perak, identiti yang berkait rapat dengan salasilah keturunan keluarga diraja Perak juga Aceh dan Bugis. Lihat artikel Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak?.

Ah. Setelah mengelilingi pohon yang tumbang melawan arah jam hampir satu bulatan baru saya dapat melihat batu-batu nesan Aceh yang menandakan makam purba...

Di ketika kuburan lain di sekitar kelihatan masih utuh, cuma ada yang dilitupi rimbunan daun dari pohon yang tumbang, batu nesan Aceh dengan buatan yang menandakan ia mungkin berasal dari tahun 1500an, paling lewat pun tahun 1700-1800 (rujuk buku Batu Aceh : Early Gravestones in Peninsular Malaysia tulisan Dr Othman Yatim, mukasurat 33 di mana terdapat gambarajah dengan tajuk "Progression of Othman type") pula telah beralih pasak. Apapun saya ada terjumpa sebuah blogspot milik seorang ahli akademik yang mengklasifikan bentuk-bentuk batu nesan Aceh dengan aturan sedikit lain dari Dr Othman. Oleh kerana gambar dari blogspot boleh didownload untuk diletakkan sebagai perbandingan, biar diambil gambar. Kredit untuk blogspot BATU ACEH.



Perhatikan. Batu-batu nesan yang ada di pangkal pokok di Pasir Penambang yang kini telah terbongkar lebih menyerupai bentuk batu nesan yang diklasifikasikan sebagai jenis H atau lebih tepat H1 (bentuk H2 lebih berbunga-bunga). Apapun berdasarkan kajian batu nesan Aceh setakat yang saya tahu bentuknya sahaja sudah cukup untuk membuktikan makam di pangkal pokok berumur tidak kurang 200 tahun.


Lihat pula perdu pokok besar yang tumbang (yang kelihatan berdiri itu sebenarnya akar yang ternaik selepas pokok tumbang). Rasanya umur makam boleh dikira dengan membuat anggaran mengikut umur pokok besar. Bukankah boleh dilihat lapisan pada perdu pokok jika dipotong melintang, lapisan yang terbentuk tahun demi tahun menyebabkan ukurlilit membesar? Saya percaya makam itu umurnya sama atau lebih tua dari pokok. Tidak mungkin orang sengaja mendirikan makam di celah perdu pokok. Bagaimana mahu dikorek 6 kaki dalam dan diletakkan jasad ke dalam tanah yang sudah sedia ada pokok dan akar?

Maka logiknya makam didirikan di tanah lapang atau sudah dilapangkan dan kemudian baru tumbuh pokok... terus membesar sehingga meliputi makam, sehingga batu bata kepuk makam pun termasuk ke dalam lingkungan akar-akar. Dan lagi kita sudah lihat tadi... bahagian di bawah akar yang terdedah setelah pokok jatuh terbongkar adalah lembut berpasir... pasir yang pernah dilitupi bahagian bertanah yang ikut terangkat dengan akar pada ketebalan yang saya anggarkan 2-4 kaki.

Apakah tanggapan yang boleh dibuat berdasarkan ini? Apakah kawasan ini adalah tepian pantai berpasir berkulit siput dan kerang ketika jasad ditanam sekurang-kurangnya 200 tahun lalu atau ia terletak di atas sebuah pulau, mungkin juga pulau pasir? Bagaimanakah rupa bentuk mukabumi ketika itu? Bagaimana pula sempadan antara negeri Selangor dan Perak? KeSultanan Selangor secara rasminya mula wujud 1750an sedangkan ada kemungkinan makam purba ini sudah wujud lebih dahulu. Makam siapakah ini? Dari kerabat diraja mana? (kerana bentuk batu nesan yang dipakai cuma milik golongan bangsawan...)

Apapun saya berharap agar sesuatu dapat dibuat untuk menyelamatkan makam lama yang menjadi warisan Melayu lama di Selangor ini, makam yang mungkin berada di dalam sempadan negeri Perak ketika ia dibina. Sekurang-kurangnya batu-batu nesan Aceh yang ada mesti diselamatkan sebelum ada pihak tidak bertanggungjawab mencurinya jika tidak diberi perhatian. Pihak berwajib samada boleh mendirikan makam kembali selepas pohon yang tumbang dibersihkan. Tetapi gerak hati saya menyebut ada eloknya juga pihak muzium mengambil batu-batu ini untuk dijadikan pamiran warisan. Saya percaya pihak ghaib membenarkan...

Satu lagi perkara yang boleh dibuat. Sebelum pohon dibersihkan elok juga pangkal perdu yang dipotong dibuat kajian. Kira berasa lapisan yang ada. Itu boleh dijadikan anggaran berapakah usia makam.



Tentang pemilik makam, saya sudah beberapa kali bertanyakan identitinya kepada penduduk tempatan. Tetapi mereka cuma mampu menjawab ia adalah makam lama yang sudah wujud sebelum datuk mereka lahir. Siang tadi saya bertanya pada pemilik warung tempat saya biasa minum air kelapa dan tebu bilakah pokok besar di sini tumbang, pokok yang selama ini katanya tidak mampu diruntuhkan orang walau dengan jentolak sekalipun. Namun katanya ia akhirnya tumbang akibat angin ribut... angin ribut sahaja, bukan hujan lebat.

Seingat mereka pokok itu didapati tumbang pada hari Isnin lebih kurang seminggu selepas raya (maksudnya selepas 1 Syawal). Kalau begitu ia mesti berlaku pada 20 haribulan September bersamaan 11 Syawal. Ah... ketika itu saya sedang sibuk menolong bapa dan ibu menghantar van yang rosak ke pekan Kota, Negeri Sembilan. Ya, pada hari itu berlaku sesuatu hingga kami terjumpa sekelompok makam-makam lama berdekatan makam Raja Melewar. Pada hari itu juga saya dan isteri berjalan kaki dari bangunan Istana Kehakiman ke Masjid Besi, Putrajaya untuk menjejak makna sebuah mimpi yang berlaku lebih 10 tahun lalu. Lihat artikel Al-Rasyid berhari raya : Asbab yang membawa ke makam Raja Melewar dan menjejak makna mimpi lama di Putrajaya .

Di atas adalah gambar sebuah pokok lain yang turut tumbang dipukul ribut. Namun pokok-pokok lain di sekeliling terus berdiri megah. Pohon besar di tanah perkuburan dan pohon atas sahaja yang jatuh.


Kawasan tanah perkuburan dilihat dari tempat saya mengambil gambar pohon lebih kecil yang turut tumbang. Sepatutnya di tengah gambar berdiri pohon besar yang tingginya tidak kurang 50 kaki.


Orang-orang di warung terasa pelik apabila saya asyik bertanya bilakah sebenarnya pokok ini tumbang. Kenapa mahu bertanya sangat? Kenapa mesti mendapatkan maklumat yang tepat. Saya cuma tersenyum sahaja. Kata saya, jatuhnya pohon besar yang sudah berdiri lama ini sehingga akarnya terbongkar sampai ke atas adalah satu alamat. Alamat apakah itu? Saya pun tidak dapat menjawab dengan pasti kecuali merasakan ia melibatkan keSultanan Selangor dan Perak juga kaitannya dengan keadaan sekarang... keadaan di mana ketuanan Melayu dan institusi keSultanan sering terancam akibat pelbagai permintaan dari kaum bukan Melayu yang boleh menggugatkan kewujudan kaum Melayu... permintaan yang banyak melampau, mungkin didalangi pihak tertentu yang ada kaitan dengan gerakan Zionis dan Illuminati...


Orang sekarang tidak lagi takut kepada Sultan kerana merasakan mereka tidak berdaulat. Mungkin kerana menyedari Sultan-sultan yang ada sekarang bukanlah keturunan paling afdhal kecuali mereka yang diangkat oleh penjajah Inggeris? Dalam konteks ini saya cuba memikirkan alamat di sebalik pohon besar yang terbongkar. Apakah ia satu pembongkaran yang bakal menggugat dua keSultanan, Selangor dan Perak? Saya meninggalkan Pasir Penambang untuk menuju ke Bukit Melawati.

Di sebelah kiri kelihatan bukit kecil di mana terdapat makam seorang bangsawan Bugis yang dikenali sebagai Upu Cendera Burung.

Naik ke Bukit Melawati saya melupakan soal sejarah sebentar untuk bermain-main dengan monyet. Lihat artikel Monkeying around at Kuala Selangor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Namun perkara melibatkan sejarah kembali memenuhi fikiran setiap kali berada di bukit yang pernah menjadi pusat pemerintahan 3 Sultan terawal Selangor ini. Lihat Historical places at Bukit Melawati.

Seterusnya saya ke bukit kecil di mana terdapat makam Upu Cendera Burung. Sampai ke permulaan denai masuk untuk ke makam terlihat sebuah lagi pokok tumbang sehingga terbongkar akar... kali ini bahagian yang tinggal di bawah dipenuhi air pula...

Ah. Teringat kata pembuat batu nesan yang ditemui di satu bahagian lain bukit kecil, orang yang menunjukkan arah ke makam. Lihat Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung . Katanya kawasan sekeliling bukit dahulu adalah sebahagian dari Sungai Selangor. Apakah bahagian terbongkar ini menunjukkan kawasan sekitar memang pernah dipenuhi air seperti mana bahagian terbongkar akibat pohon besar runtuh di Pasir Penambang menunjukkan kawasan tanah perkuburan dahulu adalah pantai ataupun pulau?



Makam Upu Chendera Burung. Siapakah orang ini? Baca dengan teliti apa yang telah diperkatakan dalam artikel Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung .



Yang nyata makamnya agak terjaga, siap sudah disalin kain kuning walaupun kedudukannya agak terpencil di belakang bukit kecil.



Ketika keluar dari kawasan makam saya terlihat batu besar di atas bukit lalu tergerak untuk melihat lebih dekat.

Dalam keadaan itulah saya terlihat sebuah lagi batu yang lebih besar, tinggi melebihi bangunan 3 tingkat. Lalu timbul satu rasa bahawa di sekitar ini pernah berdiri sebuah istana. Untuk pengetahuan saya pernah diberitahu bahawa sebelum keSultanan Selangor muncul secara rasmi dengan Sultan pertamanya bergelar Sultan Salehuddin ibni Daeng Chelak pertengahan abad ke 18 telah ada penempatan orang Bugis yang diketuai Upu Cendera Burung. Malah orang Bugis telah bertapak seawal tahun 1680. Kebanyakannya lari meninggalkan tanah air di Pulau Sulawesi (dahulunya dipanggil Pulau Selangi) akibat penjajahan Belanda yang bermula dengan Perjanjian Bungaya yang dipaksakan ke atas mereka tahun 1667.

Di bawah biar diletakkan links yang berkaitan secara pukal demi memecahkan persoalan akan apakah alamat sebenar di sebalik segala yang dilihat siang tadi. Kebanyakan cerita melibatkan Kuala Selangor dan tempat-tempat berkaitan di sekitar... atau melibatkan keberadaan bangsa Bugis yang menurut hemat saya ada kena-mengena juga dengan bangsa Aceh. Sekian selamat malam.
1. Kisah Keramat Anak Dara...

2. Meriam kuning di Bukit Melawati dan kuala sebenar Kuala Selangor

3. Seminar Beting Beras Basah, keluarga Al-Shahab dan faktor 191

4. Apa ada di Bukit Belimbing?

5. Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak?

6. Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra?

7. Aura misteri di Aceh?

8. Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak...

9. Teknik penggelapan salasilah...

10. Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete!

11. Makam-makam di Jugra dan apa yang ada di sekitar Jeram

12. Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung

13. Mencari Bukit Raja di Kuala Selangor... singgah juga di Bukit Talang, Kampung Permatang dan beberapa tempat

14. Mimpi pelik Kuala Selangor...

15. Bugis bersamaan Balqis?

16. Ke belah ulu Selangor menurut rasa

17. Pantai berdekatan Pulau Angsa

18. Apa yang boleh dikupas selepas jalan-jalan di Perak sebelah barat.

19. Baru betul-betul melihat Bukit Melawati...

20. Petunjuk baru tentang kerajaan lama di Putrajaya?

21. Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh

22. Dinasti Al-Kamil bakal bangkit semula...

23. Misteri identiti Raja Ahmad dan berbagai teori...

24. Panggilan dari Pulau Indera Sakti?