Tajuk Johor Tanjung Puteri
Selat Tebrau airnya biru
Di Pantai Lido tepian mandi
Sepanjang masa di hari minggu
Atas bukit Tanjung Puteri
Taman hiburan indah berseri
Pemandangan menawan hati
Jalan tambak hubungan negeri
Setelah beberapa lama meninggalkan Pekan Nenas sampailah kita ke satu kawasan paling selatan di Semenanjung...
Sejurus kemudian kami mula menyusuri jalan tepian selat... Selat Tebrau yang memisahkan tanah besar dengan pulau kecil yang boleh tahan lagaknya iaitu Singapura!
Perjalanan tepian selat mengingatkan kepada zaman kecil-kecil di mana saya dan keluarga sering berkunjung ke rumah saudara-mara di Johor Bahru dan Singapura. Teringat betapa dahulu sepanjang perjalanan ini ada pantai yang cantik di mana orang sering bermandi-manda. Teringat mengutip siput laut yang bermacam rupa... lebih menarik lagi kehadiran bermacam jenis haiwan tapak sulaiman yang sering terdampar lalu saya bawa balik ke Muar di mana ia mula mereput dan menjadi busuk...
Ketika itu menara dan dataran bandaraya ini belum wujud begitu juga bangunan-bangunan tinggi yang kelihatan di latar-belakang...

Yang terselah di sekitar ini dahulu adalah Hospital Sultanah Aminah yang masih wujud dengan rupa yang sama hingga kini. Saya biasa dengan kawasan ini kerana selalu pergi ke rumah seorang datuk saudara di berek hospital. Dalam perjalanan terbaru ini, saya berhenti di hadapan hospital untuk menghubungi adinda bongsu saya yang bertugas sebagai seorang doktor...

Seterusnya di tepian selat boleh kelihatan Masjid Abu Bakar, sama lebih kurang seperti dahulu...

Dari masjid seseorang boleh mendapatkan pemandangan yang elok menyeberangi Selat Tebrau sehingga ke Singapura...

Tadi semasa membuat artikel baru tentang masjid ini di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) baru saya tersedar batu asas masjid ini diletak pada 1 Muharam 1310 Hijrah. Ini bersamaan 26 Julai 1892 Masihi, namun faktor 131 pada tarikh Hijrah tetap nampak terserlah. Sila lihat artikel
Masjid (Mosque of Abu Bakar), Johor Bahru... ).

Sepanjang berada di masjid, Al-Rasyid cuma tidur sahaja di dalam kereta. Sejak meninggalkan Pontian sejam lebih awal tadi begitulah keadaannya...

Selepas meninggalkan masjid timbul gerak rasa spontan untuk mencari makam diraja Johor di Johor Bahru yang belum pernah dilawati sebelum ini...

Saya sebut "makam diraja Johor di Johor Bahru" kerana tahun 2008 saya sudah pergi ke makam diraja Johor di Kota Tinggi tetapi tidak pernah menziarahi makam yang di sini. Makam di Kota Tinggi adalah tempat bersemadinya keluarga diraja Johor lama yang berasal dari keturunan Sultan-sultan Melaka sedangkan yang di sini pula adalah dari keturunan Temenggung yang merupakan satu pecahan keluarga Bendahara Johor lama.
Daripada kerabat diraja itu saya dapat tahu kedudukan makam Sultan Ismail, Sultan ke 25 Perak yang pernah diturunkan takhta oleh Inggeris selepas Perjanjian Pangkor 1874 kemudian diasingkan ke Johor akibat penglibatan baginda dalam pembunuhan Residen pertama Britsh ke Perak, J.W.W. Birch. Sahabat saya Merbawi yang rajin mengunjungi blogspot ini telah terlebih dahulu menjejaki kedudukan makam ini. Lihat artikel Mencari Makam Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Shah (Marhum Mangkat Di Sekudai) Sultan Perak Ke 25 yang dibuatnya Julai 2009.
Kemudian baru saya menyambung mengambil gambar-gambar bangunan dan tempat yang boleh dijadikan simbol-simbol atau identiti bandaraya Johor Bahru yang boleh diketengahkan dalam buku tentang keluarga sebelah ibu berketurunan Jawa yang sedang saya usahakan kini, buku yang penulisan dan pengumpulan datanya ketika ini sedang tergantung kerana atas sebab-sebab tertentu saya jadi hilang
mood dan masih belum 'pulih' dari situasi ini. Mungkin gerak kerja itu akan kembali bertenaga selepas atau semasa menyiapkan siri pengembaraan Al-Rasyid ke selatan? Harap-haraplah begitu...
Antara gambar yang diambil adalah sudut bandaraya yang ini. Saya ingat, suatu masa dahulu ia boleh dikira permulaan masuk ke bandaraya (dahulunya bandar) Johor Bahru... sedangkan kini sempadan bandaraya telah meluas lebih 10 kilometer ke semua arah ke utara Selat Tebrau...
Termasuk tempat/binaan/bangunan yang melambangkan keberadaan Johor Bahru adalah tambak Johor menyeberangi Selat Tebrau membawa ke kawasan Woodlands di Singapura...
Kompleks kastam dan imisgresyen lama yang kelihatan seperti itik kartun sedang tersengih di latar-belakang juga merupakan satu komponen yang menjadi satu identiti Johor Bahru walaupun kini fungsinya telah berpindah ke bangunan baru sedikit ke utara...
Kini kepesatan pembangunan Johor Bahru hampir menyamai apa yang ada di Kuala Lumpur. Tentunya ia jauh lebih maju daripada masa-masa ketika ia masih dikenali sebagai Tanjung Puteri iaitu sebelum dijadikan ibunegeri oleh keluarga Temenggung yang mula menaiki takhta penghujung abad ke 19 Masihi. Maka berbalik kita pada pada bait-bait akhir lagu "Tanjung Puteri" sebagai menyambung bahagian lagu yang membuka artikel ini...
Tanjung Sekijang nun di kuala
Tempat nelayan mengail gelama
Istana Hinggap di Kuala Danga
Pantai berkelah keluarga diRaja
Dari Tebrau orang berakit
Singgah Stulang membeli kopi
Pusara Si Bongkok di lereng bukit
Di tepi pantai Tanjung Puteri
Lalu mungkin ada yang bertanya kenapa pula tajuk kecil artikel ini diberi nama "Pusara si Bongkok, Tanjung Puteri"? Entahlah. Sebenarnya saya main bantai aje setelah teringat lagu "Tanjung Puteri". Bagi warga Johor yang tahu cerita-cerita lama, tentu pernah mendengar kisah pahlawan Si Bongkok ini. Namun ada yang menyebut pusara sebenarnya terletak lebih menghampiri Kota Tinggi dan Tanjung Puteri yang dimaksudkan itu sebenarnya terletak berhampiran Bukit Belungkor, menyeberangi Sungai Johor yang sangat lebar itu, ada le juga dalam 20km kalau berjalan terus dari Johor Bahru ke situ (laluan jalanraya lebih jauh kerana perlu ke Kota Tinggi sebelum menghala ke tenggara).
Apapun, nama Tanjung Puteri tetap disebut ramai sebagai nama lama Johor Bahru. Mungkin Si Bongkok dalam konteks ini lebih sesuai dikaitkan dengan Sultan Ismail Perak yang makamnya memang terletak di lereng bukit di Jalan Mahmoodiah? Kerana tidak mustahil pada akhir hayatnya baginda mula menjadi bongkok akibat hidup tua dalam keadaan terbuang daripada daerah asalnya. Atau mungkin juga Si Bongkok itu adalah saya sendiri yang sering 'terbongkok-bongkok' ke sana ke mari mencari entah apa lalu melepaskan cerita-cerita sebegini di blogspot ini? Kalau begitu di manakah pula pusara Si Bongkok ini yang kini menetap di Bandar Tasik Puteri?