Merujuk pada artikel Tentang kemahiran mengatur diri sendiri yang dipersembahkan petang Jumaat. Ada disebut bahawa ketika sampai di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk majlis ilmu terakhir daripada 3 mahu diikuti minggu itu didapati ada persidangan antarabangsa selama 3 hari hendak bermula. Saya sempat mengikuti sedikit hari itu tetapi memberitahu tidak dapat hadir pada hari-hari seterusnya kerana ada komitmen keluarga. Namun setelah berbincang kembali dengan isteri rancangan hujung minggu mendapat ruang untuk hadir satu hari.
Pagi Sabtu 23 Mei 2026 bergegaslah ke ISTAC untuk mengikuti hari kedua persidangan.
Tidak perlu lagi menemani isteri untuk urusan di rumah di Bandar Sungai Buaya kemudian di Bukit Damansara. Saya boleh mengikuti persidangan hari itu sehingga selesai kemudian isteri datang berjumpa di ISTAC lalu bersatu untuk urusan seterusnya.
Kebetulan hari itu ada majlis perkahwinan di dewan makan di ISTAC. Tak disangka ini menyebabkan penganjur mengalihkan persidangan ke tempat lain pula. Fikir saya boleh sahaja ia berjalan di dewan utama.
Bergegaslah ke pusat bandar raya Kuala Lumpur untuk ke lokasi lagi satu.
Ia di sebuah hotel yang baru tahu wujud sekitar itu.
Ketika sampai sesi awal pagi sudah selesai lalu hadirin keluar untuk rehat kopi (coffee break). Sedap sungguh bau kopi hotel yang walaupun pada saya tidak cantik sangat rupa walau bertaraf 4 bintang ini. Namun saya sedang berpuasa Zulhijjah lalu boleh tengok sahaja.
Masuk sesi seterusnya memilih salah satu daripada dua bilik sesi. Persidangan mengandungi banyak sesi, dua sekali dijalankan secara selari.
Kelihatan pembentang pertama di bilik itu, Nikita Zychowicz bercakap tentang usaha melawan Islamofobia di Russia.
Atur cara yang diterima cuma menyatakan nama, tiada pangkat, kedudukan atau asal/bertugas di mana. Carian atas talian menunjukkan beliau berketurunan Russia-Poland, seorang pelajar dan sarjana di University of Leeds, United Kingdom. Faham saya kalau tak silap mendengar, seperti saya beliau sedang membuat PhD.
Saya tertarik apabila diberitahu bahawa Russia memiliki polisi melawan Islamofobia yang dijalankan oleh negara. Ia adalah polisi yang diangkat oleh Presiden Vladimir Putin, kelihatannya untuk membela Islam di mana-mana. Tetapi Zychowicz menyatakan ia sebagai hipokrisi. Ini kerana Russia tidak berkata apa-apa apabila negara-negara rakan seperti India dan China ada menindas orang Islam.
Pembentang seterusnya Farrukh Hakeem bercakap tentang bagaimana Islamofobia boleh muncul di India. Ramai tahu bagaimana ganasnya keadaan sejak Perdana Menterinya sekarang, Narendra Modi memegang kuasa.
Dinyatakan ia bermula daripada dasar pecah dan perintah British untuk menjajah benua kecil Hindi seawal 4 abad lalu.
Islam yang sudah beratus tahun menguasai benua dicanangkan sebagai agama yang dibawa penceroboh lalu merosakkan keamanan penduduk asal.
Naratif ini diteruskan oleh puak esktremis Hindu iaitu Hindutva pada zaman moden. Itu yang membawa pada keadaan sekarang di mana umat Islam dengan sewenang-wenangnya boleh diserang malah dibunuh oleh orang Hindu.
Pembentang seterusnya, Abdullah al Masum (Profesor Dr sebenarnya, sepertimana sejumlah pembentang dan hadirin persidangan. Tapi masing-masing setakat memanggil nama tanpa pangkat dan gelaran) pula bercakap tentang Islamofobia di Bangladesh.
Pada awalnya pelik memikirkannya. Bukankah Bangladesh adalah negara yang hampir seratus peratus penduduknya Islam (kalau bukan 100%)? Ia sendiri terbit daripada pemecahan/pemisahan negara India selepas merdeka dari British, antara wilayah dikuasai Hindu dengan wilayah dikuasai Islam. Bagaimana boleh wujud Islamobia di sana?
Setelah beberapa lama baru faham.
Walaupun tidak dinyatakan secara berterus terang, nampaknya Islamofobia wujud di Bangladesh kerana seperti di Malaysia, golongan liberal takut dengan kebangkitan golongan agamawan.
Pembentang terakhir sesi Nur Adillah Omar saya sudah kenal sejak masuk ke ISTAC tahun 2018. Ketika itu beliau membuat PhD. Saya baru memulakan Masters.
Adillah memilih untuk membandingkah bagaimana apa yang dianggap sebagai kelampauan beragama ditangani berbanding Islamofobia.
Kelihatan yang dirujuk itu adalah secara umum walaupun saya tahu ia sedang berlaku di Malaysia.
Cukup senang mereka yang dianggap sebagai pelampau agama diambil tindakan walau belum terbukti begitu. Sedangkan apabila berlaku kes Islamofobia, apabila sudah meledak, apabila timbul kontroversi dalam kalangan masyarakat baru hendak diambil tindakan.
Poster bagi majlis. Ia sebenarnya adalah persidangan tahunan ke-5 anjuran International Islamophobia Studies Research Association (Persatuan Antarabangsa Pengajian Penyelidikan Islamofobia). Carian atas talian menunjukkan yang ke-4 tahun lalu diadakan tahun lalu di University of Granada, Sepanyol. Bukan calang-calang majlis ini. Nasib baik berkesempatan menyertai.