Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, October 01, 2015

Kamera digital ke-7 memulakan peranan secara rasmi

Melepaskan satu gerak bercerita untuk keberkatan kerja-kerja akan datang. Mengambil kesempatan atas masuknya bulan Oktober hari ini, 1 Oktober 2015 bersamaan 17 Zulhijjah 1436 Hijriah.



Ini adalah kamera baru saya, kamera digital ke-7 pernah saya miliki. Ia baru sahaja dibeli 2 hari lalu iaitu pada 29 September bersamaan 15 Zulhijjah. Ada keadaan tertentu menyebabkan saya membuat update berikut di Facebook petang itu. Ada le sebut sikit pasal beli kamera baru...


-------------------


MENGHARAPKAN BERKAT 15 ZULHIJJAH


Hari ini, selepas satu perbincangan tengah hari dengan seorang profesor di CASIS, UTM untuk mengatur satu bahagian isi dokumentari "Daulah Melayu", saya tergerak untuk pergi makan nasi kandar di Jalan TAR. Kereta ditinggalkan di satu jalan belakang. Selepas makan terasa mahu bersolat Zuhur di masjid jamek KL. Mulalah berjalan kaki menghala ke sana, terlihat bangunan Maju Tower kat Maju Junction, teringat ada pejabat Perbadanan Kota Buku di sana. Dah pi naik pulak lepak sat dengan CEO, tuan Sayed Munawar. Setelah beberapa lama saya pun beritahu nak sambung gerak pi solat Zuhur di masjid jamek. Dia kata dia pun sebenarnya baru nak bersolat bila saya sampai. Dia pun ajak solat berjemaah kat Kota Buku. Saya pun ikutlah.

Lepas tu masih ada rasa nak pergi masjid jamek. Nampak kedai kamera kat Pertama dah melencong ke situ. Tengok ada kamera yang saya berkenan dan cukup murah. Dah sambar satu. Lagipun saya dah lama hilang kamera, asyik pakai kamera pinjam kawan aje. Teruskan berjalan, melencong pulak masuk Sogo. Pi beli air kopi sejuk Famous Amos, lepas tu tengok orang busking pulak.

Akhirnya tak jadi pergi masjid jamek kerana dah lewat. Ikut plan asal, lepas makan nasi kandar nak pi Perpustakaan Negara. La ni jam 5 baru sampai perpustakaan. Lepas solat Asar pi le cari beberapa buku sejarah tentang Perak. Bukak laptop tengok2 ada wi-fi. Layan le sat. Tu yang buat update ni. Tengah nak buat update ada pulak seorang anak muda yang duduk tidak jauh daripada saya menegur kerana melihat saya berbusana penuh tradisional Melayu, bersampin, bertanjak dan berkeris. Cerita punya cerita, rupanya anak muda ini daripada keluarga Megat campur raja Perak. Macam tau2 je...

Semua yang berlaku sejak selesai perbincangan di CASIS tadi, walaupun melencong ke sana ke mari, tujuannya cuma satu sahaja. Saya dah berjanji pada diri sendiri. Hari ni nak ambik berkat 15 Zulhijjah untuk memulakan penulisan buku baru untuk satu siri yang akan dipanggil "Siri Pemikiran Merah Silu". Saya sudah diminta agar dapat menyiapkan manuskrip secepat mungkin supaya buku dapat diterbitkan bulan Disember. Hari ni, dapat 2-3 perenggan sebagai syarat pun jadi le. Doakan saya ya... 





Update dalam FB itu ada menyebut tentang sebuah kamera pinjam. Ini gambarnya, kamera Sony model awal 2000an kalau tak salah. Cerita kamera pinjam ini ada dilakarkan dalam artikel Sekitar HIKMAH Seri Menanti setengah tahun lalu. Ia merujuk pada acara anjuran pihak saya awal April. Lihat artikel Acara ketiga belas HIKMAH di Ladang Alam Warisan, Seri Menanti, Negeri Sembilan 4 April 2015 di blogspot  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)

Selepas saya hilang kamera ke-6 beberapa hari sebelum acara seorang kawan di Shah Alam menawarkan untuk meminjam kamera milik keluarga yang jarang dipakai. Dalam perjalanan untuk ke tempat acara di Negeri Sembilan saya pun singgah ke rumahnya untuk mengambil kamera. Biar dicopy paste perenggan-perenggan berkaitan :-


-------------------


Adapun acara itu sendiri berlangsung pada Sabtu 4 April. Tetapi disebabkan ia bertindan dengan satu program belia yang bermula malam sebelumnya saya harus bergerak ke lokasi petang Jumaat itu. Ini adalah gambar di rumah seorang kawan di Shah Alam yang disinggahi dalam perjalanan. Saya ambil gambar ini untuk menguji kamera digital yang dipinjam daripada kawan itu. Ini kerana beberapa hari sebelumnya saya hilang kamera milik sendiri setelah berjalan keluar masuk hutan berdekatan rumah. Nak beli kamera baru yang sesuai perlukan masa untuk memilih dengan bijak. Dan saya pun tiada bajet untuk membeli buat masa ini.

Keluar daripada kawasan rumah kawan di Shah Alam saya test lagi. Nampak ok kamera ini. Cuma ada sedikit masalah. Segala tulisan yang muncul pada skrin adalah tulisan Jepun, nak ubah tak boleh. Ini kerana kamera adalah hadiah yang diterima suami kawan semasa menghadiri satu majlis di sana. Maka nak ubah apa-apa settingpicture resolution dan sebagainya tak dapatlah kita. Kedua, ia model lama. Tidak ada butang terus untuk merakam video, kena ambil sedikit masa pakai dial untuk mengubah fungsi. Ketiga, setelah tangkap gambar ada pause sesaat dua tanpa ditunjukkan bagaimana rupa gambar yang diambil seperti boleh dilihat pada kamera-kamera digital sejak lebih 5 tahun kebelakangan kalau tak salah. Terpaksa masuk playback mode dan itu pun ambil masa untuk access, baru kita tahu gambar elok ke tak. Bila masuk playback pula kalau kita ada zoom sebelumnya ia akan kembali pada posisi asal. Dah satu kerja pulak nak kena zoom balik selepas itu. Apapun, alhamdulillah ada juga kamera kawan untuk membantu saya yang rajin merakamkan keadaan. Cuma rentak kebiasaan merakam sedikit terganggu akibat masalah-masalah ini.


-------------------



Berbalik pada hal sekarang. Setelah beberapa lama menggunakan kamera pinjam tersebut ternyata gambar-gambar yang diambil boleh tahan cantik. Mungkin sebab lensanya bagus. Tetapi selain masalah yang disebutkan dalam sedutan ada satu perkara lagi kena sabar. Saya tak dapat tukar resolusi sedia ada pada kamera iaitu 1920 x 1080. Ini menyebabkan gambar kelihatan memanjang bila diambil melintang, melonjong bila membujur kerana ia adalah setting rakaman untuk paparan widescreen televisyen Full HD iaitu High Definition.

Paparan sebegini menggunakan ratio atau nisbah 16:9 berbanding 4:3 untuk tv lama (lebar berbanding tinggi). Saya pun tak tahu camana dapat setting tu, yang saya tahu itulah sedia ada yang paling menjimatkan memory boleh  saya dapat daripada kamera itu. Paparan biasa kamera menyerupai paparan tv lama iaitu nisbah lebar berbanding tinggi adalah 4:3. Pada kamera pinjam tu kalau nak tukar paparan 4:3 bukan tak boleh, seharusnya semua kamera digital boleh. Cumi tak reti tukar setting lantaran semua paparan maklumat dalam skrin adalah dalam bahasa dan tulisan Jepun.

Sebenarnya kita boleh masuk ratio 4:3 menggunakan dial. Tapi terus masuk setting resolution rakaman 12.1 Megapixel lalu menelan memory 6 kali ganda banyak berbanding pakai 1920 x 1080. Kamera ini pula jenis model lama yang hanya boleh memakai memory card khas dengan muatan maksimum cuma 2 Gigabyte. Dalam settung 12.1 Megapixel sekitar 350 lebih gambar sahaja boleh disimpan, pada setting 1920 x 1080 baru boleh dapat lebih 2,000 keping.

Apapun, memang tabiat saya suka mengoptimumkan penggunaan kamera agar dapat mengambil sebanyak gambar yang mungkin tanpa menjejaskan kualiti. Walaupun kamera digital pertama saya memiliki resolusi tertinggi 8Mp, dan kamera-kamera selepas itu memiliki resolusi lebih tinggi (kamera ke-7 boleh pergi 20Mp) saya rasa cukup 2-3 Mp untuk kegunaan biasa,. Bila nak gambar yang betul-betul teliti baru pakai resolusi lebih tinggi. Oleh itu,  nak tak nak saya perlu mendapatkan kamera lain yang lebih selesa. Nah, masuk le lagi cerita kamera baru.

Sedar tak sedar dah dekat 6 bulan saya ke sana ke mari merakamkan pelbagai acara, majlis dan keadaan dengan menggunakan kamera pinjam yang memiliki pelbagai masalah itu. Hal ini, meminjam sampai setengah tahun ni pun baru saya sedari ketika menulis artikel ini. Selama ini saya cuma rasa dah lama pinjam, tak pasti berapa lama. Selain memerlukan kamera yang lebih selesa sambil bila nak pinjam kamera orang? Cuma tu le, baru 2 hari lepas muncul kesempatan.

Dalam tempoh 6 bulan menggunakan kamera pinjam itu bukan saya tidak meninjau-ninjau kamera yang sesuai dan dalam kemampuan. Setelah beberapa lama melihat ke sana ke mari baru jumpa di Plaza Low Yatt, sebelum bulan Ramadhan lalu kalau tak salah. Tapi tiada wang untuk membelinya ketika itu. Bila dah ada wang dekat-dekat nak raya Aidil Fitri muncul pula kes anak Melayu ditipu dengan handphone tiruan di Low Yatt. Ini menyebabkan anak Melayu itu dan kawan-kawannya mengamuk di kedai. Susulan daripada itu mereka dipukul warga peniaga Low Yatt yang rata-rata berbangsa Cina. Bertambah lagi kekecohan apabila beribu anak Melayu yang sudah lama tidak puas hati dengan kebiadapan bangsa ini terhadap orang Melayu menyerang Low Yatt.

Susulan daripada itu orang Melayu diseru agar memboikot Low Yatt. Saya pun akur dan ikut memboikot sama, Sebagai seorang aktivis kedaulatan Melayu dan Islam yang dikenali agak ramai orang mana boleh saya kelihatan membeli-belah di Low Yatt walaupun tak jumpa tempat lain   menawarkan kamera serupa pada harga lebih kurang sama? Di Low Yatt dahulu pun saya cuma jumpa satu kedai sahaja menawarkan harga cukup rendah untuk kamera yang diminati itu. Tak payah sebut berapa. Cukuplah dinyatakan bahawa harga yang ditawarkan itu hampir 50 peratus berbanding yang diiklankan di kedai-kedai lain. Di kedai lain tu kalau mintak turun pun tak lebih 10 peratus mereka beri...

Siapa sangka ketika berjalan kaki di Jalan TAR (Tuanku Abdul Rahman) 2 hari lepas dengan niat mahu bersolat Zohor di Masjid Jamek, Kuala Lumpur boleh terlihat kamera seperti di Low Yatt pada harga rendah yang pernah ditawarkan cuma satu sahaja kedai di pusat membelah-belah itu. Malah masuk-masuk je kedai terus nampak harga rendah hampir 50 peratus diiklankan. Cerita punya cerita dapat tawar lagi 7%/ daripada harga yang sudah sedia rendah itu. Terasa ada keberkatan ia berlaku pada 15 Zulhijjah sedangkan saya takkan berjalan di sana waktu itu kalau tidak disebabkan mahu menghabiskan masa sebelum menghadiri satu mesyuarat melibatkan beberapa NGO perjuangan Melayu dan Islam malam itu.





OK. Itu cerita 2 hari lepas. Jadi kenapa hari ini baru hendak bercerita panjang lebar dengan artikel diberikan nama "Kamera digital ke-7 memulakan peranan secara rasmi"? Sebenarnya saya cuma mengikut gerak yang sedikit sebanyak dipandu oleh keadaan seperti tarikh baik mengikut kiraan Barat mahupun kiraan Islam. Itulah diri saya dan cara saya menulis. Untuk penulisan dalam blogspots, saya selalu mengunakan gambar sebagai panduan. Setiap kali membuat perjalanan atau pergi ke majlis yang terasa signifikan saya akan mengambil gambar. Untuk penulisan saya pilih sejumlah gambar yang sesuai lalu penulisan dapat dibuat dengan menerangkan apa yang berlaku dalam gambar. Kadangkala suatu ilham boleh tercetus apabila melihat gambar.

Maka itu penggunaan kamera yang selesa, cukup menepati keperluan sangat penting buat saya. Sejak beberapa tahun kebelakangan saya mengumpulkan gambar-gambar mengikut tahun ia diambil. Saya sudah lupa apakah tahun tepat amalan ini dimulakan. Yang pasti saya mula aktif mengambil gambar apabila hadir ke majlis pengkebumian kembali seorang moyang penghujung 2006. Lihat Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan..

Ketika itu saya meminjam kamera digital sepupu. Selepas beberapa bulan baru membeli kamera digital pertama untuk diri sendiri. Cuma saya terlupa untuk set atau menetapkan tahun dan tarikh dalam sistem kamera. Apabila kamera tersebut rosak lalu saya beralih pada kamera digital kedua yang lebih canggih, baru tahun dan tarikh ditetapkan dalam sistem, Maka itu apabila sampai masa dan rasa untuk mengatur koleksi gambar mengikut tahun. saya melabelkan satu fail sebagai tempat simpanan gambar-gambar sebelum tahun 2008,  Gambar-gambar selepas itu baru diatur betul-betul mengikut tahun.



Untuk setiap tahun pula gambar-gambar diatur mengikut bulan, atau mengikut acara/perjalanan yang cukup signifikan untuk memiliki fail sendiri. Lihat screen grab di atas. Ini adalah sebahagian daripada fail dalam folder saya tahun 2015. Oleh kerana kamera baru dan ke-7 dibeli pada 29 September, tinggal sehari sahaja sebelum bulan tamat maka biar gambar sehingga tamat bulan diambil menggunakan kamera pinjam. Ini dibuat supaya gambar daripada kamera baru tidak bercampur-aduk dengan gambar kamera pinjam yang sudah hampir sebulan dilonggokkan dalam fail September termasuk untuk acara yang dihadiri semala (lihat artikel Tentang Patani dan perjuangan Tuan Guru Haji Sulong, dipersembahkan jam 2 petang tadi). Masuk bulan Oktober iaitu hari ini, baru dibuka fail menggunakan gambar daripada kamera baru. Dengan itu, kamera digital ke-7 pun memulakan peranan secara rasmi...





Untuk meraikan perkembangan ini biar ditunjukkan kamera-kamera digital saya yang terdahulu. Gambar ini diambil daripada artikel Bakti 3 kamera lama dan misi kamera baru (dibuat penghujung 2010). Lihat juga Kamera digital murah ku juga "bersara" akhirnya! diikuti Kamera Olympus hitam pun 'bersara'....


Ini pula kamera ke-4 saya. Ia hilang akibat tercicir, mungkin terjatuh keluar daripada pouch bag atau beg pinggang akibat terlupa menutup zip dengan kemas ketika menunggang motosikal penghujung 2012. Lihat luahan berkenaan dalam artikel Makna di sebalik tamatnya perkhidmatan suatu kamera...


Kamera ke-5 dan ke-6 pula saya takda gambar. Kedua-duanya kini tinggal kotak. Kamera ke-5 serupa pada kotak yang bertenggek di atas, cuma berwarna silver ataupun perak, kamera ke-6 berwarna keemasan. Apa yang berlaku pada kedua-dua kamera ini ada diterangkan dalam artikel Hikmah laptop rosak. Dengan ini lengkaplah gerak penceritaan saya untuk hari ini. Selamat... :]


p/s : Artikel ini dimulakan sekitar 4 petang lalu dipublish atau diterbitkan pada jam 6.47 ketika separuh siap agar dapat tarikh Islam 17 Zulhijjah. Ia cuma betul-betul siap dan lengkap pada jam 9.20 malam Jumaat. Ketika itu sudah masuk tarikh Islam 18 Zulhijjah walau masih 1 Oktober menurut kiraan Barat.


Tentang Patani dan perjuangan Tuan Guru Haji Sulong

Salam. Semalam punya cerita...


Petang Rabu 30 September 2015 saya pergi ke UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris) di Tanjung Malim untuk menghadiri satu majlis ilmu.


Ia adalah diskusi, perbincangan tentang sebuah buku bertajuk "Tuan Guru Haji Sulong : Gugusan Cahaya Patani".


Penulis buku iaitu tuan Mohd Zamberi Abdul Malek sendiri membawa tajuk. Beliau ialah seorang penulis dan sejarawan Perak yang disegani. Saya panggil dia Cikgu Zamberi.


Oh. Diskusi ini bermula jam 2 petang dan berakhir jam 5. Ada begitu banyak masa untuk memperkatakan hal lalu Cikgu Zamberi memulakan majlis dengan menceritakan panjang lebar tentang buku yang mendefinisikan dirinya sebagai seorang penulis dan sejarawan, buku bertajuk "Umat Islam Patani : Sejarah dan Politik".


Berketurunan panglima Patani yang berhijrah ke Taiping, Perak selepas cengkaman kerajaan Thailand terhadap kerajaan Melayu Patani semakin kuat beliau menceritakan dengan penuh semangat keprihatinan tentang nasib orang Melayu yang tertindas di sana. Diceritakan zaman kegemilangan Patani abad ke-16 dan 17 Masihi terutama di bawah pemerintahan 4 orang ratu (raja perempuan) yang amat terkenal itu - Ratu Biru, Ratu Hijau, Ratu Ungu dan Ratu Kuning.


Turut diceritakan kaitan dengan Kelantan dan Terengganu malah Pahang. Suatu masa dahulu Patani pernah menjadi sebuah kerajaan besar yang meliputi Kelantan dan Terengganu, di bawah pemerintahan satu persekutuan yang dikenali sebagai Patani Besar. Turut diliputi adalah beberapa buah kerajaan Melayu yang kini seperti Patani telah terserap ke dalam selatan Thailand. Tapi antara semua itu kelihatan Kelantan yang memiliki hubungan paling istimewa. Antaranya melalui Dinasti Raja-raja Jembal yang asalnya merupakan wakil kerajaan Patani memerintah di Kelantan dengan berpengkalan di Pengkalan Datu. Daripada dinasti ini muncul Raja Sakti yang kemudian mengalahkan Patani lalu muncul sebagai raja induk di sana pula. Sejak itu kerabat diraja Patani dan Kelantan sangat terkait hinggalah sekarang. Daripada segi dialek percakapan pula, memang orang Melayu Patani bercakap serupa seperti orang Kelantan...

Sejarah Patani yang sesekali diselitkan kaitan dengan Kelantan diceritakan Cikgu Zamberi dengan begitu teliti untuk menunjukkan bagaimana daripada sebuah kerajaan Melayu yang besar ia boleh menjadi jajahan takluk Thailand. Patani semasa zaman kegemilangannya malah pernah menyerang pusat kerajaan Thailand di Bangkok. Thailand pula memang selalu menyerang Patani tetapi tidak berjaya. Masuk penghujung abad ke-18 baru Patani dapat dikalahkan. Dicampur beberapa kali serangan baru ia betul-betul dapat ditundukkan lalu Patani dipecahkan menjadi beberapa wilayah yang dipaksi mengikut segala macam usaha Thailand untuk menghilangkan identiti keMelayuan dan keIslaman.

Sesekali saya mencelah bertanyakan soalan atau meminta penengan tentang suatu perkara. Bila dah jelas hal seperti hubungan Patani dengan kerajaan-kerajaan Melayu lain, permusuhan zaman berzaman dengan Thailand yang juga dikenali sebagai Siam tetapi berakar-umbikan kerajaan-kerajaan lama abad ke-13 dan 14 seperti Ayuthai dan Sukhotai maka lebih mudahlah kita memahami keadaan. Sesungguhnya cerita perjuangan orang Melayu Patani meliputi banyak hal yang perlu difahami. Antaranya adalah kedudukan dan sumbangan ulamak-ulamak besar mereka seperti Sheikh Daud al-Fathani yang turut mewarnai jiwa anak tempatan.


Ini adalah poster dalam Facebook mewar-warkan acara di UPSI ini. Bila dah jelas pelbagai perkara tentang sejarah dan politk Patani daripada abad ke-16 hingga awal abad ke-20 barulah Cikgu Zamberi mula membuka tajuk utama acara iaitu tentang Tuan Guru Haji Sulong. Saya datang ke majlis tanpa mengetahui langsung siapakah ulamak besar Patani abad ke-20 itu. Saya setakat ingat beberapa nama ulamak mereka, antaranya adalah Sheikh Said Barsisa yang dikatakan datang daripada Pasai untuk mengIslamkan Patani sekitar 700 tahun lalu. Seterusnya adalah Sheikh Daud, Sheik Ahmad, Sheikh Zain (ketiga-tiganya disebut dengan gelaran al-Fathani di belakang), abad ke-18 hingga 19 gitu. Pada acara ini baru saya tahu bahawa Tuan Guru Haji Sulong adalah nama besar yang dikenali semua anak Patani zaman sekarang baik di dalam sana mahupun yang telah berhijrah ke luar termasuk ke Malaysia. Ini adalah kerana beliau merupakan ulamak besar paling dekat dengan zaman kita ini lalu pemikirannya mewarnai fikrah perjuangan umat Melayu yang masih berlaku sekarang.

Jika penghujung abad ke-18 menjadi permulaan jatuhnya Patani ke tangan Thailand, tahun 1909 pula menjadi titik tolak di mana Patani betul-betul menjadi sebahagian daripada negara Thailand. Ini adalah natijah daripada Perjanjian Inggeris-Siam 1909 yang mana Kedah, Perlis. Kelantan dan Terangganu, dahulunya di bawah pengaruh Siam diserahkan ke bawah naungan Inggeris. Patani pula diserahkan kepada Siam dan itulah permulaan kita melihat sempadan negara Malaysia-Thailand seperti hari ini di mana Sungai Golok menjadi pemisah antara Patani dan wilayah-wilayah pecahannya di pantai timur selatan Thailand dengan negeri Kelantan. Ketika perjanjian ini berlaku Tuan Guru Haji Sulong sedang menuntut di Mekah, bermula tahun 1907 sebelum kembali ke tanah airnya tahun 1926. Kalau salah betulkan ya. Ini yang saya ingat daripada syarah Cikgu Zamberi tanpa membuat apa-apa catatan.

Maka itu Haji Sulong sempat menyaksikan perubahan-perubahan besar zaman seperti bibit-bibit kejatuhan empayar Uthmaniah yang berpusat di Turki juga dakyah dan makar Lawrence of Arabia. seorang pengintip Barat yang pandai berlakon seperti seorang yang sayangkan budaya Arab tetapi bertugas mengapi-apikan semangat Pan Arabic agar wilayah-wilayah majoriti Arab seperti yang terdapat di Semenanjung Arab dan utara Afrika memisahkan diri daripada pusat kekuasaan Uthmaniah yang diterajui bangsa Turki. Beliau juga sempat mendalami agama pada ketika para Syarif Mekah yang berketurunan Saidina Hassan cucu sulung Nabi Muhammad SAW masih memerintah Mekah, Madinah dan kawasan sekitarnya iaitu wilayah Hijaz. Ketika Perang Dunia Pertama berlaku 1914-1918 beliau tentu dapat merasakan kesan perang yang menyebab Uthmaniah jatuh lalu kekhalifahan dan kesultanannya dimansuhkan 1922. Malah Haji Sulong masih berada di Mekah ketika pemerintahan Syarif Mekah digulingkan oleb Bani Saud yang dibantu tentera British 1924.

Semua ini membentuk peribadi selain memberikan pelbagai ilmu dan pengetahuan untuk menangani permasalahan di tanah air sendiri apabila beliau kembali tahun 1926. Pun begitu, menurut Zamberi, Haji Sulong tidak pernah mengusahakan pemisahan Patani daripada Thailand. Apa yang beliau perjuangkan adalah pentadbiran autonomi agar dapat menentukan hala tuju sendiri walaupun masih di bawah bendera Thailand. Ini amat penting kerana melibatkan hal paling asas iaitu hak untuk terus mengamalkan agama Islam juga bahasa dan budaya Melayu. Ketika itu Bangkok sedang giat berusaha untuk menghilangkan identiti keMelayuan rakyat Patani. Malah kalau boleh keIslaman mereka pun mahu diganggu, antaranya dengan percubaan meletakkan hal nikah kahwin di bawah mahkamah bukan Islam.

Haji Sulong bergerak secara berhikmah dengan membuka madrasah demi madrasah dan mengajar daripada masjid ke masjid. Beliaulah orang pertama memperkenalkan sukatan teratur pelajaran dan waktu kelas tetap berbanding pengajian pondok tradisional yang lebih longgar dalam mengatur masa pengajian. Dengan cara ini beliau dapat menguatkan semangat orang Patani untuk mempertahankan Islam dan keMelayuan lalu dilihat oleh Bangkok sebagai ancaman yang perlu dihapuskan. Sampai satu masa, sekitar tahun 1950an kalau tak salah, beliau tiba-tiba 'hilang', tidak dapat ditemui. Pada tahun 1980an baru seorang anak beliau mendapat tahu Haji Sulong dan beberapa orang telah dibunuh dengan cara ditendang keluar daripada helikopter polis Thailand, jatuh ke dalam tasik besar dengan batu-batu berat terikat pada badan untuk menenggelamkan.

Rasanya cukuplah perkongsian saya tentang Patani dan Tuan guru Haji Sulong ini ya. Banyak lagi cerita menarik berkaitan dikongsikan Cikgu Zamberi sepanjang 3 jam kami bersama dalam majlis tapi tak larat le nak tulis. Sekian... :]