Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, July 19, 2007

Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban!

Alhamdulillah, seperti diharapkan sementara berada di Alor Setar ini (dah 3 hari 2 malam kat sini, musti jalan dah woo...), saya telah berjaya menyiapkan tiga lagi artikel untuk blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH. Biar saya beri link dan tajuknya...

In Kuala Lipis to settle an old 'debt'?
Masjid Kampung Laut, enough said!
A night at Masjid Tok Kenali...

Sekarang, barulah saya terasa sedikit lapang untuk menunaikan janji kepada ramai pembaca yang menanti sejak beberapa hari lepas. Perhatikan... Merah Silu presents, sebuah cerita mengenai Masjid Brunei di Danau Tok Uban! Terbitan Wasilah Merah Silu Enterprise @ kerja musafir fakir yang betul-betul sendirian berhad, Insyaallah sendirian berhad dalam keEsaannya jua yang memiliki segala Qudrat dan Iradat. Sila... Ooppsss... Baca Bismilah dulu! :]


Mula-mula tengok gambar ini... Jeng jeng jeng!!! Siapa sangka di sebuah kawasan ceruk di dalam negeri Kelantan ada masjid secantik ini... Malah siapa sangka, masjid yang indah di dalam kawasan Rong Chenok (walaupun di tepi Danau Tok Uban, orang sini kata Tok Uban tu belah seberang), jajahan Pasir Mas ini telah didirikan oleh Sultan Brunei, individu yang pernah dikatakan orang paling kaya di dunia suatu masa dahulu! Sebelum kedudukannya dalam senarai kekayaan harta benda dipotong oleh Bill Gates, tuan punya Microsoft...


Perhatikan tulisan di atas... Masjid Brunei Darussalam... Serta-merta saya teringat nama kerajaan lama Samudera Darussalam yang diasaskan oleh Sultan Malikus Salih di Aceh abad ke 13 Masihi... Apakah ada kaitan?

Yang pasti, dalam sejarah Islam dunia, tempat pertama memakai nama Darussalam adalah Madinah Darussalam setelah diperintah Nabi Muhammad Rasulullah SAW... Dan di Tanah Melayu pula kerajaan Samudera Darussalam lah yang mula-mula dikenali dengan nama Darussalam yang bermakna daerah yang aman sejahtera, juga kerana penduduknya masuk Islam tanpa dipaksa atau perlu diperangi. Kemudian baru muncul Pattani Darussalam juga Brunei Darussalam.

Maka apakah kaitan semua ini? Cukuplah kalau dikatakan, semua tempat-tempat Darussalam ini melibatkan para Ahlul Bait anak cucu Nabi sebagai para penguasa yang berwibawa serta pendakwah Islam yang membawa kesejahteraan di manapun mereka berada!


Sekarang fikirkan, kenapa pula Sultan Brunei boleh mendirikan masjid di Rong Chenok ini, di sisi sebuah tasik agak luas yang dikenali sebagai Danau Tok Uban. Apakah sebab-musababnya? Kenapa tak dibina di Kota Bahru, ibunegeri Kelantan? Kenapa tak di Kuala Lumpur atau Putrajaya yang jauh lebih terkenal dan glamour?
Untuk pengetahuan, tak ramai orang yang tahu pun bahawa masjid ini wujud. Jalan untuk masuk ke sini pun agak berbelit-belit melalui perkampungan orang, agak jauh daripada mana-mana jalan besar. Nak masuk ke situ pun satu hal... Kenapa pula perlu bersusah-payah mendirikan masjid sebegitu indah di tempat sebegitu ceruk? Nama pun Rong Chenok... Nasib baik bukan Rong Tenuk.
Oh... Pada sesiapa yang tak tahu pasal cerita Danau Tok Uban ni, silalah menjengok di Danau Tok Uban pula...

Tu dia... Papan peringatan masjid dalam tulisan Jawi... Baca sendiri da... Saya setakat boleh menyatakan Masjid Brunei Darussalam ini didirikan tahun 1992 berserta sebuah madrasah (masjid ini dalam kawasan madrasah mengaji Quran) atas nama almarhum Sultan Omar Ali Saifuddin, ayahanda kepada Sultan Brunei sekarang. Dan ia dirasmikan oleh Sultan Kelantan!


Setelah membelek papan peringatan masjid tadi, timbul gerak hati untuk meletakkan poster promosi buku "Berpetualang ke Aceh" di sini! Malah ia dibiarkan di situ selama saya berada di masjid ini sampai tengahari keesokannya. Siapa pula nak tengok poster ini di tempat terpencil yang jarang didatangi orang ya tak?


Kebetulan semasa saya sampai petang Jumaat itu, ada sekumpulan guru sekolah dan keluarga serta anak murid juga baru sampai untuk membuat sedikit majlis makan-makan di rumah-rumah penginapan di sebelah masjid milik madrasah. Boleh kata hampir semua mereka yang datang ini baru pertama kali menjejakkan kaki ke Danau Tok Uban walaupun mereka semuanya berasal daripada daerah Pasir Mas!

Dalam pada itu, kelihatan anak-anak kecil bermain berlari-lari riang-ria meneroka segala ceruk rantau masjid ini. Nampaklah anak tangga berpusing naik ke atas... Apa lagi saya... Ibarat beruk diberi pokok suruh panjat le jadinya... Hehe!


Menara masjid setakat yang mampu ditangkap oleh kamera digital murah yang tidak ada wide view...

Kawasan rumah penginapan di sebelah... Nampak meriah juga dengan kehadiran pelawat-pelawat daripada Pasir Mas ini... Kalau tak kawasan ini boleh dikatakan jarang ada orang kecuali para pelajar madrasah, itupun mereka selalu berada di kawasan lain dalam lingkungan madrasah yang boleh tahan luas ini, madrasah yang menurut ceritanya ditanggung sepenuhnya oleh Sultan Brunei termasuk kos pembiayaan pelajar!


Jeti tepi masjid ke Danau Tok Uban dilihat daripada satu sudut yang cuma 'beruk-beruk' macam saya sahaja boleh sampai. Orang lain yang melihat kedudukan saya ketika itu terus rasa seriau... Gilo ke hapa budak ni bertenggek kat sudut atas masjid cam ni weehh??


Subhanallah! Ternyata Danau Tok Uban jauh lebih indah apabila dilihat daripada Masjid Brunei berbanding dengan di seberang!


Oh... Lupa hendak beritahu. Sebenarnya sebaik sahaja nampak bangunan Masjid Brunei daripada teksi yang dinaiki dari Pasir Mas, terus saya rasa satu macam kejutan eletrik di badan. Ah... Saya deja vu lagi... Seluruh reka bentuk masjid ini, kawasan sekelilingnya, malah-malah pagar kecil juga bangunan rumah penginapan di sebelah pernah saya lihat dalam mimpi atau bayangan lama dahulu... Tak pasti bila tapi memang saya pernah nampak semua ini walaupun secara fizikalnya, baru kali inilah saya sampai di sini!

Apakah makna semua ini? Ah... Relaks.... Bagi suspense sikit lah... Hehe!


Mimbar masjid dengan kubah di atas ini mengingatkan saya pada topi perang orang Islam dahulukala... Mungkin ada kena-mengena?

Adapun pada malam itu, seorang ustaz kanan madrasah dengan seorang anak muridnya telah datang menemui saya. Tujuannya adalah untuk memastikan siapakah saya ini sebenarnya... Lawyer? Majistret? Atau cuma Kasim Selamat! Kerana ada juga pengunjung (orang-orang Pasir Mas yang menyewa rumah di sebelah) risau akan kehadiran seorang manusia yang tidak dikenali di situ... Takut saya ini perompak ataupun penyangak?

Ah... Saya dah biasa dengan semua ini. Malah sepanjang pengembaraan kali ini, ramai orang beranggapan saya adalah seorang anggota Special Branch polis Bukit Aman, yang ingat saya military intelligence pun ada, mungkin keluar menyamar untuk meninjau keadaan sekeliling... Kalau saya kata bukan pun, sesetengah orang dah buat kesimpulan lebih awal... Mana ada orang berani mengembara seorang diri masuk ceruk rantau kampung orang seorang diri macam saya dengan penuh keyakinan diri kecuali orang itu ada kaitan dengan pihak berkuasa ya tak?

Apapun, ustaz itu sedikit lega setelah melihat kad pengenalan saya serta membuat sedikit temu-ramah. Apa yang menarik adalah temu-ramah lapisan lain yang dibuat secara batin... Nampaknya ustaz muda yang umurnya mungkin tak sampai lagi 40an ini pun bukan orang sembarangan. Ya lah... Takkan hantar orang 'kosong' untuk bertemu orang asing yang mungkin boleh membahayakan ya tak...

Dalam perbualan itu saya berterus-terang mengaku suka menziarahi makam para wali, raja-raja dan tempat-tempat berkaitan demi menelusuri sejarah Melayu Islam terutama yang berkaitan dengan keluarga. Saya tahu ustaz ini juga meneliti saya secara batin untuk memastikan samada saya bercakap benar ataupun tidak...

Yang menarik adalah apabila ustaz ini mengaku masjid itu malah seluruh Danau Tok Uban terletak di dalam lingkungan kawasan sebuah kota lama yang masih boleh dilihat dengan mata batin... Hmm... Tak boleh cerita sangat tentang ini. Cukuplah kalau dikatakan dalam Danau Tok Uban itu terdapat banyak harta peninggalan dahulukala, cukup banyak... Kata si ustaz, ada juga beberapa pihak cuba menarik harta ini tetapi tidak berjaya. Yang menarik, ustaz ini tahu bahawa harta tersebut adalah harta untuk belanja perang akhir zaman... Hmm... Cukuplah...

Oh, untuk menjawab soalan para pembaca terutama Kak Tim, apakah kaitan Brunei dengan Kelantan. Le... Ingatkan ramai dah tahu... Bukankah Sultan Kelantan itu dikatakan berasal daripada keturunan Sayyid Hussein Jamadil Kubra yang pernah mengetuai kumpulan Wali Tujuh datang ke Tanah Melayu abad ke 14 Masihi dahulu? Sultan Brunei pula adalah keturunan Sharif Mekah yang nasabnya sampai pada Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW! Masing-masing berpunca daripada darah daging Nabi Muhammad SAW jua... Allahumasali ala Muhammad wa ala ali Muhammad!

Sekarang fikirkan apakah kaitan semua ini... Di manakah anak cucu Nabi ini pernah berkumpul di Tanah Melayu ini sehingga Sultan Brunei terpanggil untuk mendirikan masjid di sini setelah mengalami sebuah mimpi... Ada cerita lain pula menyebut, ada penduduk lama di Rong Chenok mendapat mimpi tiga malam berturut-turut lalu mencari jalan untuk menghadap Sultan Brunei demi menceritakan pesanan yang diberi dalam mimpi.

Apapun, masjid ini didirikan setelah seseorang (atau mungkin banyak orang?) mendapat mimpi yang misteri tapi penuh makna. Yang pasti, kehadiran Masjid Brunei di tempat terpencil ini menimbulkan banyak tanda-tanya lalu menjadi asbab atau sebab-musabab untuk pihak-pihak tertentu dipertemukan lalu saling kenal-mengenali ni sini... Peh... Tiba-tiba teringat nama Tok Kenali...

OK... Cukuplah ya... Dah lama saya menulis ni... Perlu bergerak meninggalkan Alor Setar sekejap lagi... Teringat pula ustaz yang menemu-ramah saya dan anak muridnya dua-dua orang Kulim. Macam nak suruh saya pergi situ pula... Insyaallah jumpa kita di lain waktu. Wassalam!

BKA Tour run: Laporan daripada Aloq Setaq!

Assalamualaikum kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Rasanya tajuk di atas sudah cukup terang untuk memberitahu di manakah saya berada (atau masih berada) sekarang.
Tadi ada seorang pembaca menalifon bertanyakan apakah saya sudah sampai ke Perak. Jawab saya tidak, masih di Kedah. Lalu dia bertanya, kalau begitu, kenapa ada cerita tentang saya di Perak baru diletakkan di blogspot ini... La.... Jawab saya. Mungkin dia tak perasan bahawa artikel-artikel baru yang dibuat semalam bawah tajuk "Jalan-jalan cari makam" itu dikarang berdasarkan satu pengembaraan di Perak Disember lepas.
Apapun, saya ingin memberitahu... Saya ada banyak lagi bahan yang boleh dikongsi bersama di sini, bahan yang makin lama makin 'bertempek' banyaknya disebabkan pengembaraan demi pengemberaan baru yang muncul tiba-tiba... Sedangkan pengembaraan lalu pun belum habis diceritakan. Maka itu saya telah membuat keputusan, biarlah pengembaraan yang dibuat dalam masa terdekat sahaja yang diceritakan di dalam blogspot ini ya...
Untuk makluman, sebahagian pengembaraan sebelum ini yang bermula Disember lalu sehingga Februari untuk meliputi Pantai Timur, sedikit bahagian Selatan kemudian Utara ada diceritakan di sini dalam posting yang lepas-lepas. Saya tak mahu ceritanya berlaga dengan pengembaraan yang dibuat kini maka itu saya telah membuat keputusan sambungan pengembaraan lalu itu akan diceritakan cuma dalam blogspot berbahasa Inggeris saya iaitu BERPETUALANG KE ACEH.
Adapun, saya telah membuat empat artikel baru di situ dan akan menyambung banyak artikel lagi apabila ada masa dan peluang. Silalah masuk ke sana... Kalau tak faham bahasa Inggeris, mungkin ini permulaan untuk anda menguasai bahasa penjajah yang sudah menjadi Lingua Franca dunia ini? Paling tidak pun, sila tatap banyak gambar-gambar menarik yang disajikan.
Tak salah belajar bahasa musuh kita lebih-lebih lagi apabila ia digunakan untuk berkomunikasi di peringkat antarabangsa. Lagipun bukan semua orang Inggeris itu musuh Melayu... Ramai rakyat biasa mereka tidak terfikir pun hendak menjajah negara orang. Yang membuat keputusan sebegitu cuma golongan tertentu sahaja terutama mereka yang didalangi pihak Yahudi Zionis.
Hmm... Nak mudah, meh saya terus bagi link... Sekurang-kurangnya boleh nampak, cerita apa yang diletakkan di blogspot Inggeris itu.... Ini dia...

Kota Bahru, the Islamic city...
An 'Incursion' to Besut
Enter Tok Pulau Manis
A look at Kuala Berang...

OK... Sekarang biarlah saya sambung kembali laporan perjalanan mengembara sambil mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" ya, pengembaraan seterusnya setelah meninggalkan Kota Bahru untuk menghala ke Kedah. Sila...


Selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammadiyah Kota Bahru, saya berehat sebentar sebelum pergi ke stesyen bas. Jika sebelum itu saya merancang untuk terus ke Kedah sebaik sahaja selesai solat Jumaat, pagi tadi di Masjid Tok Kenali, saya ada mendapat gerak hati untuk singgah malah bermalam di Masjid Brunei di Danau Tok Uban.

Maka saya pun mengambil bas ke Pasir Mas... Adapun Danau Tok Uban dan persekitarannya terletak di dalam jajahan Pasir Mas, Kelantan. Gambar di atas diambil di stesyen bas Pasir Mas.


Setelah bersiar-siar seketika di bandar Pasir Mas. Saya pun mengambil teksi untuk terus pergi ke Masjid Brunei. Ada ketikanya saya jadi terlalu penat untuk berjalan kaki sepanjang jalan atau menunggu kehadiran bas awam, juga menumpang kenderaan orang sedangkan masa juga perlu dikejar lebih-lebih lagi apabila kita tidak tahu di manakah kedudukan sebenar sesuatu tempat.

Pakcik pemandu teksi mendakwa sering memancing dan menjala ikan di kawasan Danau Tok Uban. Cerita punya cerita, rupa-rupanya akhir sekali dia di sana adalah hampir 30 tahun dahulu! Apa da... Nasib baik dia masih tahu jalan untuk masuk ke dalam, jalan yang agak berbelit-belit, orang Pasir Mas pun belum tentu tak tahu tentangnya... Malah ramai rakyat Kelantan sendiri tak tahu akan kewujudan Danau Tok Uban, apalagi tentang sebuah masjid cantik yang entah kenapa dibina oleh Sultan Brunei di sana!

Apapun, kawasan di mana masjid itu terletak tidak dipanggil Danau Tok Uban... Ia adalah dalam kawasan Rong Chenok. Pada orang tempatan di situ, Tok Uban adalah kawasan yang terletak di seberang danau. Perhatikan gambar di atas... Nanti saya akan buka satu cerita mengenai Masjid Brunei... Nanti ya! Sabar itu separuh daripada iman! :]

Sudah terang lagi bersuluh. Gambar yang diambil setelah puas bermalam di Masjid Brunei lalu meninggalkannya untuk menyambung pengembaraan...


Ini pula gambar poster promosi BKA digantung di berhadapan restoran terapung Jeli (gambar restoran malas nak tunjuk kat sini, mungkin dalam artikel lain nanti). Sebaik sahaja sampai daripada Tanah Merah, baru saya tahu perkhidmatan bas ke Grik (nak pergi ke Kedah atau Perak, mesti lalu Grik) cuba ada sekali sehari sahaja iaitu pada jam 10 pagi. Kalau naik teksi, mahu kena RM90 sebab Grik letaknya lebih 130km daripada Jeli... Sori le... Nak hitchike pulak badan tengah letih. Maka bermalamlah saya di bilik sewa sebelah restoran terapung itu.


Stesyen bas Jeli...


Setelah hampir 3 jam dalam bas melalui jalan berliku turun-naik Banjaran Titiwangsa, barulah sampai ke Grik...


Daripada Grik, saya membuat keputusan untuk singgah di Baling. Rasanya kali terakhir saya ke sini adalah 10 tahun lalu. Pada awalnya, saya bercadang untuk singgah sebentar sahaja tetapi seorang teman wanita yang menalifon bertanyakan khabar meminta agar saya pergi menziarahi tempat Raja Bersiong, apabila mendapat tahu saya berada di Baling.

"Saya dah lama teringin nak pergi tempat Raja Bersiong tapi tak sampai-sampai. Awak boleh tolong pergi tak dan ceritakan keadaannya pada saya," dia meminta...

Kalau diikutkan, saya memang sangat penat. Dah lah dahulu saya merancang, sebaik sahaja masuk 1 Rejab, saya mesti berada di Kuala Lumpur untuk memulakan proses karangan terakhir buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA III. Ini tak, malam ini akan masuk 1 Rejab tetapi saya baru sahaja sampai ke Kedah! Dan banyak lagi tempat yang rupanya perlu diziarahi terutama di Perak...

Lama juga saya termenung. Apakah saya perlu mencari jejak Raja Bersiong juga? Tetapi apabila memikirkan setiap gerak yang muncul adalah atas izin dan arahan Allah belaka walaupun zahirnya ia keluar daripada mulut seorang wanita, saya pun menurut sahaja. Tentu ada hikmahnya.


Kebetulan tadi, poster promosi BKA digantung di hadapan stesyen teksi Baling... Saya pun disapa pemandu teksi. Dipendekkan cerita, saya sampai ke Siong menaiki teksi... Ada le monumen siong seperti dilihat dalam gambar tapi itu setakat hiasan sahaja rupanya sedangkan tempat sebenarnya yang berkait dengan watak legenda Raja Bersiong bukanlah di situ... Pemandu teksi bukan tahu sangat... Yang dia tak tahu adalah nak 'pangkah' duit saya je... Apa? Ingat aku ni tourist bawak banyak duit? Terpaksalah berjalan kaki berbatu-batu untuk mencari sendiri...


Singgah sat solat Asar kat masjid ni... Apabila mendapat tahu bahawa saya sedang mencari jejak Raja Bersiong, maka berceritalah panjang lebar imam masjid dan pembantunya tentang Raja Kedah yang dikatakan pernah gila makan darah dan daging manusia ini... Cerita yang diberi sama sahaja dengan cerita dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang pernah saya baca berkali sejak dari kecil lagi...

Dipendekkan cerita, saya menjejakkan kaki seorang diri dalam kawasan belukar/kebun/hutan dengan banyak rimbunan pohon buluh yang dikatakan pernah menjadi kota zaman Raja Bersiong sejurus sebelum masuk Maghrib. Tidak lama kemudian, azan pun berkumandang menandakan masuk sahaja 1 Rejab, saya sedang berada di dalam lingkungan sebuah kota purba...

Gambar di atas diambil keesokan harinya setelah bermalam di Baling. Itupun nasib baik ada orang sudi menghantar daripada luar Kampung Kota ke Baling... Rasanya tak sanggup lagi nak 'menapak' dekat 10 km untuk ke Baling... Semasa mencari tempat-tempat berkaitan Raja Bersiong petang itu pun saya sudah berjalan kaki sekitar 5km dengan membawa rucksack besar dan mengheret kit promosi buku "Berpetualang ke Aceh" ke sana ke mari. Penat woo!!!


Semasa di Baling, saya telah singgah di Internet Cafe lalu leka melayari Internet. Keadaan ini menyebabkan saya tertinggal bas jam 5 ke Alor Setar. Bas seterusnya, bas terakhir ke sana cuma akan sampai jam 7.30...

Jam di tangan menunjukkan hampir pukul 6. Kepala ini sedang mengira-ngira perlukah berbuka puasa sunat bulan Rejab di dalam bas ke Alor Setar. Tidak lama kemudian kelihatan bas 6.30 untuk ke Sik... Ah... Bantai aje le jalan pi sana... Tu yang jadi macam gambar di atas, diambil keesokannya di hadapan masjid jamek Sik tempat saya bermalam hari itu.


Sementara menunggu bas 2.30 petang Sikh ke Alor Setar, sempat menggantungkan poster tidak jauh daripada stesyen bas...


Dan akhirnya saya sampai ke Alor Setar, ibunegeri Kedah... Sempat juga singgah di Langgar buat apa yang patut sebelum berehat di hotel dalam gambar, hotel murah yang terletak di Jalan Langgar!

OK... Saya mahu membuat beberapa artikel baru tentang perjalanan di Pantai Timur Disember lalu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH pula ya. Selesai itu, baru saya akan membuat cerita tentang Masjid Brunei, Insyaallah! :]



Wednesday, July 18, 2007

Jalan-jalan cari makam II...

OK... Boleh sambung cerita makam...
Adapun selepas selesai menziarahi kawasan makam Keramat Kuala Bidor berhampiran Teluk Intan, kami pun bergegas menghala ke Kampung Gajah sebelum masuk ke sebuah kawasan terpencil. Tidak lama kemudian kelihatanlah papan-tanda buruk ini...

Sebenarnya untuk sampai ke sini, kami perlu melalui beberapa tempat lain yang ada makna tersendiri. Tak apa... Kita teruskan aje cerita pasal makam... Maklumlah, jalan-jalan cari makam, heh!


Tu dia makam jelas kelihatan...


Maka tercatitlah akan cerita mengenai Sultan Abdul Malik Mansur Shah, Sultan Perak ke 19 (memerintah 1806-1825)...


Sekali lagi, saya terpaksa membetulkan kedudukan kain kuning yang agak janggal...

Tidak jauh daripada makam Sultan, terdapat pula kubur mala'un ini... Rasanya tak payah sebutlah nama dia, baca aje le cukup... Meluat aku....
Teringat kali pertama saya terserempak dengan kubur ini waktu Maghrib seorang diri dalam bulan September lepas... Terus secara spontan keluar perkataan ini: "Chis! Celaka!"


Tengok... Nasib baik masih ada juga rasa perikemanusiaan dan perasaan menghormati mereka yang telah pergi. Kalau tak mahu aje aku karate batu-batu nesan ni... Kalau tangan tak tahan, karate aje le dengan kapak ya tak.

Tak apa le. Semoga kita mengambil iktibar akan apa yang berlaku... Kesilapan menandatangani Perjanjian Pangkor 1874 yang memberi ruang penjajah laknat Inggeris bermaharajalela di Tanah Melayu ini...


Tengok dengan teliti... Kucing pun tahu menyampah dengan penjajah!


Lihat rumah tinggal ini...


Lihat pula belukar dan semak-samun di sekeliling...

Sekali lagi, sebuah rumah tinggal. Inikah nasib sebuah penempatan Melayu? Malah kawasan sekitar ini pernah menjadi ibunegeri Perak semasa Sultan Abdul Malik Mansur memerintah awal abad ke 19 Masihi dahulu, sebuah bandar besar yang memiliki kota berlapis berserta penempatan ramai dan aktiviti perniagaan dan sebagainya yang dipelopori bangsa Melayu belaka!
Kalau nak tahu, inilah contoh bandar Melayu yang hilang akibat pemainan penjajah yang disokong pihak tertentu yang dibawa masuk ke Tanah Melayu... Maka muncullah bandar-bandar baru acuan Barat bermula dengan Taiping yang dibangunkan setelah para pejuang Melayu yang membantah hasil Perjanjian Pangkor 1874 berjaya ditundukkan sekitar tahun 1880an! Bandar-bandar yang diwujudkan kononnya atas nama kemajuan tapi bertujuan untuk memadamkan sejarah ketuanan Melayu...
Tergadailah hak orang Melayu... Pihak lain pula yang mengambil keuntungan dengan sokongan penjajah yang telah merancang nasib Tanah Melayu sehingga jauh ke hadapan!


Kami meninggalkan kawasan itu dengan perasaan marah campur terharu. Tak apa... Allah jua menentukan segalanya. Biar kami menziarahi makam lain pula.


Maka tersebutlah nama Raja Ahmad, orang yang dikatakan sebagai penjaga jin kuala Sungai Perak iaitu Beting Beras Basah.... Ceritanya ada disebut dalam siri artikel tentang pencarian makam baginda, bermula di Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 1.


Adapun Raja Ahmad ini adalah moyang kepada Sultan-sultan Perak beberapa dekad kebelakangan...


Perhatikan kata-kata pada batu peringatan ini... Sultan Ahmad WALI ALLAH! Al-Fatihah! Menjunjung kasih nenda! Sekian...


Sedikit kata-kata hikmah untuk renungan...

Selingan...
Adapun semasa perjalanan menziarahi beberapa tempat di Perak yang berlaku 8 atau 9 Disember (lupa tarikh sebenar) bersama Zaidi, rakan yang sangat teruja kerana dapat melawat tempat-tempat penuh sejarah yang belum pernah dijejakinya sebelum ini turut mengambil gambar beberapa mukasurat isi kitab-kitab yang ditemui di masjid lama. Di sini, saya terasa ingin berkongsinya juga... Rasanya tak payah diberi apa-apa komen ya... Baca aje, apa yang tertera... Nasiblah kalau tak nampak ya... Takkan semuanya nak makan suap. Heh! :]










Jalan-jalan cari makam 1...

Assalamualaikum kawan-kawan dan para pembaca sekalian! Saya kini berada di Alor Setar dan sudah bermalam satu hari di sini. Rasanya akan bermalam satu hari lagi di ibunegeri Kedah ini untuk merehatkan tubuh-badan yang sangat kepenatan akibat sudah hampir 2 minggu keluar mengembara ke sana-sini.

Adapun malam tadi saya tergerak untuk menyemak kembali koleksi gambar-gambar pengembaraan terdahulu. Dalam pada itu, terfikir untuk berkongsi sedikit perjalanan menziarahi makam-makam lama yang ada kena-mengena dengan keluarga di Perak sebelum dapat menyambung cerita lain. Saya telah banyak kali menziarahi makam-makam ini maka biarlah dikongsi satu perjalanan yang berlaku Disember lepas ya. Inilah dia, sila... sila! :]



Ini adalah papan-tanda untuk makam Sultan Abdullah Muhammad Shah I, Sultan Perak ke 22 (memerintah 1851-1857). Makam ini terletak di Kampung Durian Sebatang, Teluk Intan.




Perjalanan kali ini ditemani seorang rakan, Zaidi. Dialah yang merakamkan gambar saya sedang membetulkan kedudukan kain kuning pada makam Sultan Abdullah I serta makam ahli keluarga baginda yang turut dimakamkan di situ. Sila klik Membetulkan kain batu nesan (Repositioning the clo... untuk cerita berkaitan...




Ini adalah makam purba keluarga Keramat Kuala Bidor, satu watak legenda lama Perak. Boleh klik Keramat Kuala Bidor untuk cerita berkaitan...



Lihat batu-batu nesan kontot yang dibalut kain kuning.




Sebuah makam lama yang berdekatan, tak tahu makam siapa...


Makam Keramat Kuala Bidor dilihat daripada jauh


Ini pula makam seseorang yang berkaitan dengan Keramat Kuala Bidor... Saya percaya ini adalah makam Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor. Perhatikan kain 'hitam' yang terikat pada batu nesan itu sebenarnya adalah kain kuning (menandakan pemiliknya adalah seorang kerabat diraja) yang telah lusuh.

Adapun ramai yang menganggap Nakhoda Hitam dan Keramat Kuala Bidor adalah orang yang sama. Pada saya, Keramat Kuala Bidor hidup sekitar 1,000 tahun lalu sedangkan Nakhoda Hitam menjadi Laksamana di Perak semasa zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III (memerintah Perak 1728-1754)

Mungkin benar mereka adalah orang yang sama tetapi pernah hidup dalam dua zaman yang berlainan? Perkara ini tidak mustahil bagi mereka yang faham! :]

Tu dia... Kalau boleh baca apa yang tertulis di batu nesan ini, memang le hang terror no! Hehe!