Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, October 30, 2008

Projek buku masjid - perjalanan selatan 3

Assalamualaikum sekali lagi. Alhamdulillah, tadi saya sempat membuat 2 lagi artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Sekarang biarlah disambung cerita daripada artikel Projek buku masjid - perjalanan selatan 2 ya. Mari! :]


OK. Pada akhir Projek buku masjid - perjalanan selatan 2 ada disebut bahawa selesai menziarahi sebuah masjid di Umbai di mana terdapat makam Sultan Ali @ Baginda Ali, saya dan jurukamera Shamsul Yunos pun berkejar masuk ke Pulau Besar, Melaka. Alhamdulillah, kami sampai pulau sekitar jam 9, terus menuju ke surau untuk bersolat sebelum menziarahi makam wali Allah, Sultanul Ariffin Sheikh Ismail di sebelah surau.

Lewat malam baru kami menuju ke rumah (atau pondok) tempat saya sering bermalam apabila sampai di pulau ini. Kali ini saya, juga Shamsul yang baru kali pertama sampai bermalam di sebuah pondok lain berdekatan milik orang yang sama. Sila lihat artikel Pondok rehat di (resting hut in) Pulau Besar, Melaka... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) semalam.

Kalau ikutkan, mahu sahaja saya berehat lebih lama lagi di sana tetapi memandangkan ada kerja yang belum selesai lagi di Muar, kami harus juga keluar dari pulau sebelum petang. Itupun kami nyaris-nyaris tersangkut di pulau. Sila baca cerita Pulau Besar, Melaka again... After almost getting stucked there! yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.


Apapun, kami sempat sampai ke Muar sebelum jam 2 petang. Sepatutnya kami keluar lebih awal kerana cadangnya mahu menikmati nasi beringin 'asal', satu hidangan tempatan di stesyen bas Muar... Maka harus sampai sebelum ke sana sebelum tengah hari kerana nasi beringin adalah hidangan pagi yang mungkin ada saki-bakinya sebelum masuk waktu tengah hari.

Sebaliknya akibat kepenatan, kami masih lagi terbaring pada jam 10.30 pagi di sekitar pondok sedangkan bot atau feri seterusnya cuma datang jam 12.30 pagi, itupun ada sedikit pertukaran masa seperti disebut dalam artikel Pulau Besar, Melaka again... After almost getting stucked there! Maka kami terlepas nasi beringin 'asal' yang dimaksudkan.

Oh... Kenapa saya sebut nasi beringin 'asal'? Kerana nasi beringin adalah satu hidangan orang Muar tetapi mungkin dihidangkan sedikit berbeza bergantung pada sesiapa yang memasaknya. Untuk pengetahuan, di perkarangan pejabat akhbar The New Straits Times di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur terdapat sebuah gerai nasi beringin yang sangat laris sejak sekurang-kurangnya 15 tahun lalu! Lalu nasi beringin itu menjadi bualan ramai orang dan memang ia pun sedap. Cuma bagi saya yang dilahirkan dan dibesarkan di Muar, rasanya tidak sama dengan nasi beringin 'asal; yang saya kenali di Muar!

Pada saya, rasa nasi beringin 'asal' ialah seperti yang saya rasa di sebuah kedai sejak kecil lagi. Walaupun kedainya sudah beralih tempat dan rasanya tidak seenak dahulu yang saya ingat, tetapi saya kenal ciri-ciri rasanya (yang entah kenapa cukup susah untuk saya nyatakan dalam tulisan tetapi tetap dikenali melalui rasa). Dan Shamsul yang memang sukakan rasa nasi beringin di Bangsar sudah lama teringin merasa nasi beringin 'sebenar' di Muar.

Sayang sekali, nasi beringin 'asal' yang dimaksudkan sudah habis semuanya apabila kami sampai. Begitu juga telur pindang yang cukup sesuai dimakan bersama nasi beringin itu, dan menurut Shamsul, dia sekeluarga (8 beranak woo, ada 6 orang anak termasuk kembar tiga!) amat sukakan telur pindang!

Maka kami terpaksa makan nasi beringin di kedai sebelah yang rasanya sedikit lain. Walaupun ia juga boleh tahan sedap, pada saya ia tidak menggambarkan rasa nasi beringin yang 'asal'. Apapun, kemudian kami pergi ke masjid jamek Muar. Di atas adalah gambar menara masjid diambil dari bukaan di atas kolam utama mengambil wudhuk...



Adapun masjid ini terletak di tepian Sungai Muar hampir ke kuala...


Lihat rekabentuknya yang menarik. Cuma kelihatan ia telah dicat baru dan mungkin kelihatan sedikit 'semacam'.

Masjid jamek Muar ini sangat bermakna dalam hidup saya. Di sinilah saya banyak menghabiskan zaman kanak-kanak samada ketika bersolat jemaah mahupun ketika bermain-main memanjat keliling masjid. Malah saya ingat, di hadapan masjid ini jugalah kanak-kanak dan pemuda sekitar generasi saya sering berlatih (juga bermain) silat termasuk permainan batin Nasrul Haq, boleh pula dilawankan dengan Kuda Kepang dan sebagainya... macam-macam! :]





Saya bertanya pada Shamsul, apa pendapatnya tentang rekabentuk masjid ini. Jawab Shamsul ringkas: "Confused (Keliru!)"

Ya, saya menyambut. Memang ada sedikit kekeliruan. Walaupun senibinanya tetap menarik, tetapi ada kelihatan unsur-unsur kekeliruan dari segi mentaliti dan identiti. Dan ini dikuatkan lagi dengan pernyataan di hadapan masjid itu sendiri yang menyebut ia dipengaruhi senibina Inggeris. Kenapa pula saya kata keliru apabila dikaitkan dengan Inggeris? Saya rasa tak perlulah dipanjangkan sangat, takut ada pihak yang sensitif dan akan melenting nanti. Cukuplah disebut yang di bawah ini...

Awal sebelum itu, Shamsul ada bertanya kenapa saya memilih masjid jamek Muar ini untuk diketengahkan dalam projek buku mengenai masjid-masjid di Malaysia ini. Jawab saya, saya cuma menurut konsep penceritaan latar-belakang sejarah yang ingin diketengahkan... adapun masjid jamek Muar ini melambangkan satu era sejurus selepas naik-naiknya Raja-raja Melayu yang disokong Inggeris.

Dalam kes ini ia berlaku selepas kejatuhan empayar Johor-Riau-Lingga yang dipecah-belahkan melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 (yang boleh dikaitkan dengan Masjid Tengkera di Melaka di mana terdapat makam Sultan Hussin yang memerintah empayar ketika itu). Demi memecah-belahkan lagi jajahan takluknya agar dapat dipengaruhi Inggeris, para pembesar Melayu digalakkan mendapatkan autonomi untuk memerintah jajahan takluk sendiri. Dalam keadaan itulah muncul Bendahara Wan Ahmad mengisytiharkan diri sebagai Sultan Pahang juga Temenggung Abu Bakar diisytiharkan sebagai Maharaja Johor membawa kepadaSultan-sultan dan kerabat diraja Johor kini.

Pernah tengok gambar Raja-raja Melayu zaman itu (penghujung abad ke 19 hingga awal abad ke 20 Masihi) memakai baju-baju kebesaran Inggeris? Rasanya itu sudah cukup menerangkan makna 'keliru' yang dinisbahkan Shamsul pada masjid jamek Muar. Cukuplah tentang itu!






Adapun perjalanan hari sebelum itu telah menyebabkan bukan sahaja tubuh-badan kami kehilangan tenaga, peralatan yang dibawa termasuk kamera, flash (Shamsul menggunakan 3 set flash) juga komputer laptop, tak lupa juga telefon bimbit kehilangan tenaga. Nasib baik di masjid ini ada power-point yang boleh digunakan. Maka kesempatan ini digunakan untuk mengecas bateri mana yang patut sedangkan kami sempat 'tumbang' sebentar merehatkan badan sebelum menyambung kerja.

Di sini juga saya menyambung sedikit penulisan untuk projek buku yang telah dimulakan awal pagi Sabtu di Masjid Kampung Hulu. Hasilnya, masuk waktu Asar baru kami bergerak meninggalkan masjid ini sedangkan ada lagi masjid di Muar yang perlu diziarahi untuk kerja. Allah!






Oh... Kami juga perlu menziarahi rumah ibu bapa saya sebelum menyambung kerja di masjid seterusnya. Kebetulan juga tadi di masjid jamek Muar, kami tidak sempat mengecas video kamera yang turut dibawa Shamsul... Maka di rumah ibu bapa sayalah baru kami dapat mengecasnya.

Jam 6 petang, baru kami bersedia untuk berlepas ke destinasi seterusnya di Pagoh, sekitar 30km dari rumah ibu-bapa saya. Sampai di Bukit Pasir, dalam 10km perjalanan begitu, saya mendapat panggilan telefon dari ibu... katanya beg saya yang mengandungi komputer laptop juga paspot antarabangsa dan beberapa barangan lain tertinggal di rumah. Dah, terpaksalah berpatah balik...

Sampai di kawasan bukit-bukit menghampiri Pagoh di mana terdapat sebuah ladang rempah besar, video kamera yang digunakan untuk merekod sedikit cerita perjalanan pula buat hal. Shamsul cuba membetulkannya tetapi tidak berjaya sedangkan langit semakin gelap menandakan masuk waktu Maghrib. Akhirnya kami sampai ke masjid seterusnya ketika orang sedang bersolat Maghrib...








Inilah dia Masjid Jamek Sultan Alauddin Riayat Shah I di Kampung Raja, Pagoh. Di perkarangan masjid ini terdapat satu-satunya makam Sultan Melaka yang masih wujud di Malaysia iaitu makam Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah 1477-1488).

Hmm... Mungkin ada hikmahnya berlaku pelbagai perkara yang melambatkan perjalanan hari itu, Ahad... dari kepenatan di Pulau Besar yang menyebabkan kami keluar lewat dicampur bot yang tidak mengikut jadual, kepenatan lagi di masjid jamek Muar ditambah beg yang tertinggal lalu video kamera rosak. Kalau katakan kami masih ada masa tadi, tentu saya akan menyuruh Shamsul bergegas ke sebuah lagi masjid iaitu masjid lama Olak Sepam (lihat artikel Masjid lama (old mosque of) Olak Sepam, Pagoh, Muar ) sekitar 2-3km ke utara lagi sebaik sahaja selesai mengambil gambar di Masjid Sultan Alauddin. Sebaliknya keadaan seolah 'memaksa' kami untuk menutup pengembaraan ke selatan dalam kerangka projek buku masjid ini di hadapan makam Sultan Alauddin!







Kalau menurut rancangan asal yang dibuat minggu lepas, perjalanan ke selatan ini sepatutnya ditamatkan di Singapura, samada di Masjid Sultan di Kampung Gelam yang berkait dengan raja-raja terakhir empayar Johor-Riau-Lingga, Masjid Ba' Alawi yang berkait dengan kabilah Ba'Alawi keturunan anak cucu Nabi dari belah Hadramaut atau Masjid Teluk Belanga yang berkait dengan keluarga Temenggung Johor yang kini menjadi Raja-raja Johor. Atau mungkin juga di makam Habib Nuh, seorang ulamak terkenal keturunan Nabi lagi bertaraf wali. Dalam rancangan itu, kami juga sepatutnya melawat masjid jamek Johor Bahru yang memiliki ciri-ciri serupa dengan masjid jamek Muar, juga Masjid Bentara Luar di Batu Pahat.

Beberapa hari kemudian, saya mendapat pembentangan belanjawan untuk projek yang turut mencadangkan agar jumlah masjid yang diliputi diturunkan kepada 20 sedangkan dalam rancangan asal saya terdapat sekitar 50 masjid agar dapat membuat penceritaan yang mantap! Lalu saya mengambil jalan tengah mahu mengenengahkan mungkin sekitar 36 masjid... Maka sejurus sebelum bergerak ke selatan ini, saya asyik terfikir, perlukah kami bergerak sehingga ke Singapura sedangkan perjalanan bermula dari Negeri Sembilan masuk ke Melaka hingga ke Muar sahaja bakal mengenengahkan 13 buah masjid... belum dikira perjalanan ke Pantai Timur, utara dan juga mungkin sekitar Lembah Kelang yang akan dibuat nanti.

Alhamdulillah, persoalan ini terjawab dalam perjalanan ke Seremban apabila Shamsul baru tersedar yang dia terlupa membawa paspot antarabangsa. Dengan ini kami tidak perlu memakan masa menghabiskan minyak dan sebagainya untuk ke Singapura jadi apa perlu sampai ke Johor Bahru sedangkan ciri-ciri masjid di sana boleh diketengahkan melalui masjid jamek Muar juga?

Dengan itu juga timbul keputusan bahawa perjalanan ke selatan ini paling jauh sampai ke Muar sahaja. Ini membolehkan kami turut membuat keputusan untuk bermalam satu malam di Pulau Besar lalu surau di sebelah makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail yang sebelum ini tiada dalam rancangan turut dapat diketengahkan dalam projek buku kami. Dan kemudian hari Ahad pula, keadaan membawa kami untuk menamatkan perjalanan dan penceritaan belah selatan di hadapan makam Sultan Alauddin Riayat Shah pula!

Sebagai akhir artikel ini, renungkanlah kata-kata yang terdapat pada papan-tanda di sebelah makam Sultan Alauddin ini, kata-kata yang saya minta Shamsul supaya ambil gambar dengan terang kerana ia perlu diketengahkan. Untuk makluman, kami sampai waktu gelap. Jika tidak kerana saya pernah sampai ke sini beberapa kali (Shamsul kali pertama sampai), mustahil kami dapat menyedari kewujudan kata-kata keramat penuh makna ini tertera di hadapan makam...

Adapun kata-kata ini terdapat pada ukiran batu nesan Sultan Alauddin yang termasuk dalam kategori batu nesan Aceh. Ia ditulis dalam bentuk seni khat berbahasa Arab lalu terjemahannya berbunyi begini...

Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah
Inilah kubur yang cemerlang Almarhum Sultan yang suci
Sultan Alauddin ibni Sultan Mansur Shah ibni Sultan Muzaffar Shah
Rahmat dan kesejahteraan Allah barang terlimpah ke atas roh mu
wahai wali Allah yang terpilih

Peh... lega! Sekarang, barulah saya dapat menyambung kembali penulisan untuk projek buku berdasarkan perjalanan yang telah berlalu. Sekian, selamat malam! :]




p/s: Baru teringat. Sila jenguk juga artikel-artikel yang baru dibuat tentang kewujudan kerajaan lama di tengah-tengah Putrajaya seperti pernah dipaparkan dalam berita malam di TV3 beberapa bulan lalu. Sila lihat artikel In Putrajaya, to look for the seat of an ancient kingdom di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Tapak kerajaan lama di Putrajaya? (Site of an old kingdom in Putrajaya?) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)


Projek buku masjid - perjalanan selatan 2

OK... Pada penghujung artikel Projek buku masjid - perjalanan selatan 1 saya ada menyebut cerita akan disambung "selepas ini" ya, maksudnya satu masa selepas artikel itu siap disiarkan malam semalam. Memang saya bercadang mahu menyambung terus selepas itu tetapi terpaksa menundanya kerana muncul hal-hal lain yang memerlukan perhatian.

Sekarang, sudah lebih 24 jam sejak artikel itu disiarkan, barulah saya boleh mula menyambung cerita. Walaupun dah lebih 24 jam, masih lagi kena dengan perkataan "selepas ini" kan?Lagipun esok lusa pun masih boleh dikira "selepas ini" juga, lain le kalau sebut "sejurus selepas ini", hehe! Banyak pulak alasan. Chis... Sambung aje le, jangan banyak songel pula... :]




Maka kami pun bermalam Jumaat malam Sabtu di Masjid Kampung Hulu, Melaka. Dalam artikel Projek buku masjid - perjalanan selatan 1 , saya juga ada menyebut:

"Di sini juga kami mendapat dan mendengar beberapa cerita yang pelik-pelik daripada beberapa orang. "

Hmm... Rasanya bolehlah saya bercerita sedikit tentang ini di sini ya. Lagipun tujuan saya bercerita di sini bukan sahaja untuk melepaskan satu gerak bercerita di blogspot ini seperti lazimnya saya buat selepas melalui sesuatu pengembaraan tetapi juga untuk mendapat rentak bercerita bagi isi buku projek coffee-table book tentang masjid-masjid di Malaysia yang membawa kepada pengembaraan kali ini. Kiranya sebahagian daripada cerita yang dilepaskan di sini akan juga digunakan untuk dikembangkan dalam buku mewah itu nanti, insyaallah!

OK... Dalam artikel Perigi (well of) Hang Tuah, Masjid (mosque of) Duyung serta (and) Kampung Hulu yang dibuat di blogspot lebih Ogos tahun lalu, saya ada menyebut begini:

"Masjid Kampung Hulu juga menjadi salah sebuah masjid kegemaran untuk orang-orang yang beramal dan beriktikaf terutama mereka yang berminat dengan hal-hal kebatinan. "

Tetapi rasanya dalam mana-mana artikel di blogspot-blogspot saya, saya belum pernah mengaitkan 'kelebihan' Masjid Kampung Hulu dengan mana-mana watak manusia baik raja mahupun ulamak ataupun wali... kecuali dalam artikel Enough of Pulau Besar. Time to head back to the mainland and a stop at the Kampung Hulu mosque... To ponder the mystery of Sheikh Abdullah there! yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH 3 bulan di mana saya ada menyebut tentang kewujudan makam seorang ulamak besar di masjid itu. Itupun saya setakat menyebut tentang kewujudan makam itu tanpa mengaitkan ia dengan kelebihan masjid.

Oh... Dalam artikel itu, saya menyebut ada orang memberitahu bahawa Sheikh Abdullah yang dimaksudkan adalah orang yang sama naik ke Gunung Jerai dan mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah Kedah lebih 800 tahun lalu. Tetapi setelah saya bertanya kembali beberapa orang, fakta yang lebih tepat adalah makam di masjid itu milik Sayyid Abdullah al-Haddad yang datang selepas Masjid Kampung Hulu didirikan, menurut catatan rasmi pada tahun 1728 Masihi, mengikut satu catatan lain dari anak cucu Datuk Arom yang saya baru dapat dalam lawatan terbaru ini (Datuk Arom adalah Kapitan Melayu Melaka zaman pemerintahan Belanda), masjid itu telah didirikan sejak tahun 1670 Masihi lagi!

Apapun, yang pasti Sayyid Abdullah yang dimaksudkan tidak sama dengan Sheikh Abdullah yang muncul di Gunung Jerai lebih 800 tahun lalu... Kecuali le ada kes melompat masa ala-ala cerita Back to the Future gitu.

Hmm... Jadi panjang pula bercerita ni. Tak mengapa... apa yang mahu saya beritahu adalah kelebihan Masjid Kampung Hulu memang dikaitkan dengan kelebihan atau karamah Sayyid Abdullah. Saya telah beberapa kali menziarahi Masjid Kampung Hulu dan pernah tidur malam dua kali termasuk dalam perjalanan terbaru ini. Masjid ini tidak pernah sunyi dengan orang jauh dan dekat datang mengambil air kolahnya untuk dijadikan air penawar dan ubat... atau orang datang bersolat hajat dan bermunajat dan sebagainya waima pada jam 3-4 pagi disebabkan kenapa? Kerana karamah yang dikaitkan dengan Sayyid Abdullah al-Hadad ini!

Tanyalah orang-orang yang biasa ke sana. Sudah banyak sangat cerita tentang sakit ganjil, lumpuh, santau dan sebagainya yang pulih setelah air masjid digunakan sebagai ubat dengan melalui adab serta doa-doa tertentu. Jangan silap faham ya... penyakit itu sembuh bukan kerana 'kuasa' Sayyid Abdullah tetapi dengan 'berkat'nya. Harus faham konsep ini, kalau tidak boleh jadi syirik. Sayyid Abdullah yang sudah meninggal dunia lebih 100 tahun lalu tidak mampu menyembuhkan kita tetapi kita boleh bermunajat memohon kepada Allah SWT agar disembuhkan penyakit dengan barakah Sayyid Abdullah kerana beliau merupakan seorang alim ulamak bertaraf wali dan berketurunan Nabi. Maka barakah Sayyid Abdullah juga dikaitkan dengan syafaat Nabi. Faham ini betul-betul...


Malam itu, entah kenapa penjaga masjid tergerak menyampaikan banyak cerita tentang Sayyid Abdullah kepada saya dan Shamsul. Baru saya tahu Sayyid Abdullah ini hidup awal tahun 1800an.

Menurut satu cerita, ibu kepada Munshi Abdullah, orang yang dilabelkan sebagai bapa sastera Melayu moden menghadapi masalah anak meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan. Katanya ini berlaku 2-3 kali! Lalu Sayyid Abdullah memberi nasihat agar anak yang akan datang nanti diberi nama serupa dengannya, insyaallah akan umur panjang. Itulah jadinya Munshi Abdullah yang terkenal itu.

Saya sendiri kurang gemar dengan orang yang bernama Munshi Abdullah ini kerana peranannya bekerja dengan penyangak Inggeris Stamford Raffles yang berperanan besar menghancurkan empayar Johor-Riau-Lingga. Dan lagi Mushi Abdullah juga dikatakan telah menterjemahkan kitab Bible ke Bahasa Melayu tetapi itu cerita lain... Biar ditolak tepi rasa tidak puas hati saya terhadap Munshi Abdullah kerana yang mahu diceritakan di sini ialah betapa kewujudan Munshi Abdullah, seorang nama besar dalam sejarah Melayu moden itu dapat dikaitkan pula dengan kelebihan karamah dan kebenaran kata-kata seorang insan bernama Sayyid Abdullah al-Haddad.

Ada satu cerita pula... pada satu ketika Sayyid Abdullah masuk ke bilik air pada masa yang sama dengan beberapa orang muridnya. Tiba-tiba beliau ghaib begitu sahaja, tidak dapat ditemui. Yang peliknya, apabila anak muridnya selesai menunaikan hajat lalu keluar bilik air, tiba-tiba juga Sayyid Abdullah muncul untuk keluar bersama. Apabila ditanya ke mana dia menghilang, jawab Sayyid Abdullah beliau ke Mekah untuk menolong memadamkan kelambu Ka'abah yang terbakar!

Ah... selain mendengar cerita-cerita ini, kami juga sempat keluar makan nasi lemak bersama seorang pengunjung masjid yang rupa-rupanya menurut kata pengunjung lain menghidap penyakit mental. Pendek-kata, macam-macam kami buat malam itu. Shamsul kemudian sibuk menyiapkan kerja lain di komputer laptop, saya pula mula membuka cerita untuk isi buku tentang masjid di komputer laptop saya, di sisi lain masjid hingga sampai waktu Subuh.

Hasilnya... Selepas Subuh baru kami betul-betul 'tumbang'. Hampir jam 11 baru Shamsul menyambung kerja mengambil gambar sedangkan saya pula perlu membuat photocopy beberapa dokumen penting yang boleh menyokong jalan cerita. Maka hampir jam 1 petang, baru kami keluar meninggalkan Masjid Kampung Hulu.



Kami keluar mencari Makam Hang Jebat kemudian Makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani/ Sumatra'i atau juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai sebelum masuk ke masjid seterusnya, Masjid Kampung Keling yang letaknya seperti makam-makam ini dalam lingkungan 500 meter dari Masjid Kampung Hulu. Kalau ada masa, sila baca artikel-artikel lama ini...

Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani dan Martabat Tujuh (dibuat Mei 2007)

Al-Fatihah untuk Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani (dibuat Julai 2007)

Ziarah terbaru ke makam Sheikh Shamsuddin Pasai (dibuat November 2007)


Sebuah artikel tentang masjid ini dengan tajuk Masjid (mosque of) Kampung Keling, Melaka telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) berdasarkan pengembaraan yang dibuat dalam perjalanan mahu kembali ke Muar dari Kuala Lumpur untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri sebulan lalu.



Hmm... Jika Masjid Kampung Hulu terkenal kerana 'kelebihan' yang melibatkan barakah dan rawatan penyakit, Masjid Kampung Keling pula lebih terkenal di kalangan pelancung kerana rekabentuk dan senibinanya yang mencampurkan unsur-unsur Timur-tengah, benua Hindi, Sumatera dan Cina.




Kemudian kami ke Makam Hang Kasturi sebelum menghala ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Tengkera, 3km di luar pusat bandaraya Melaka. Tetapi terpaksa berpusing-pusing dahulu melalui jalan-jalan sehala yang sempit lagi sesak sebelum dapat masuk jalan menghala ke sana...

Oh... Untuk melihat gambar-gambar Makam Hang Jebat dan Makam Hang Kasturi, sila lihat artikel Makam (tombs of) Hang Kasturi dan (and) Hang Jebat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .





Inilah Masjid Tengkera. Beberapa cerita bergambar tentangnya dan perkara berkaitan telah pun dibuat di dalam blogspot-blogspot saya. Sila lihat...







Seterusnya kami mahu ke Masjid Tanjung Keling yang terletak lagi 8km ke utara, melalui jalan menyusuri pantai. Memandangkan semasa itu sudah hampir jam 4 petang begitu sedangkan kami belum makan tengahari, maka kami terasa mahu mencari tempat makan yang sesuai, kalau boleh menghadap pantai.

Asalnya, tidak sampai 1km ke utara melepasi Masjid Tengkera, kita boleh sampai ke kawasan pantai yang menghadap Selat Melaka. Masalahnya, sebahagian besar kawasan pantai berdekatan bandaraya Melaka kini dalam proses penebusan tanah sehingga 500 meter masuk ke laut... lalu kawasan pantai yang dahulu indah kini dihalang timbunan pasir dan tanah.

Lama juga kami terus menghala ke utara mencari kawasan yang terasa elok sehingga melepasi Masjid Tanjung Keling! Kami terus menurut papan-tanda ke Pantai Puteri... nasib baik di situ ada pantai yang agak elok.




Di sini, di bawah pohon besar inilah kami makan tengahari lambat.



Kemudian baru menghala kembali ke Tanjung Keling... terambil satu jalan yang membawa ke Makam Hang Tuah terlebih dahulu sebelum ke masjid.

Oh... Betulkah ini Makam Hang Tuah sedangkan Hang Tuah dikatakan ghaib, tidak diketahui tempatnya di mana pahlawan lama Melayu Melaka ini meninggal dunia? Sila lihat artikel Makam (Tomb of) Hang Tuah di (in) Tanjung Kling, Melaka... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) hampir 2 bulan lalu.

Hmm... Terlupa pula nak ambil gambar Masjid Tanjung Keling. Kepada Shamsul pun saya cuma berpesan ambil gambar masjid itu sekadar untuk mengaitkannya dengan Makam Hang Tuah, memandangkan kami juga akan mengaitkan cerita dengan Makam Hang Jebat dan Makam Hang Kasturi yang terletak berdekatan Masjid Kampung Keling dan Masjid Kampung Hulu. Ini kerana gambar-gambar yang lebih detail ataupun teliti telah diambil di masjid-masjid itu, juga masjid Tengkera. Dan lagi kami ada 2-3 masjid lagi perlu diziarahi selepas ini...


Seterusnya kami ke Masjid Peringgit. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Peringgit, Melaka


Diikuti Perigi Hang Tuah di Kampung Duyung dan masjid di situ. Boleh lihat artikel lama Perigi (well of) Hang Tuah, Masjid (mosque of) Duyung serta (and) Kampung Hulu ...



Dari Kampung Duyung, kami bergegas ke Umbai untuk menziarahi dan mengambil gambar di sebuah masjid di sana di mana terdapat makam Sultan Ali anakanda Sultan Hussin Shah (yang dimakamkan di perkarangan Masjid Tengkera). Sila lihat artikel Makam (tomb of) Baginda Ali yang dibuat hampir setahun lalu.

Kami sampai di sana selepas masuk waktu Maghrib. Kemudian kami terus berkejar ke Anjung Batu untuk mendapatkan feri terakhir masuk ke Pulau Besar iaitu pada jam 8.30 malam. Nasib baik sempat...

Di atas adalah gambar di dalam feri. Sebenarnya keadaan ketika itu gelap-gulita kecuali sedikit lampu yang dipancarkan keluar dari bot. Tetapi bila pakai flash, nampak le macam terang sedangkan hakikatnya ketika itu tidak nampak apa-apa kecuali bayang-bayang. Sekian, nanti kita sambung lagi...

Wednesday, October 29, 2008

Projek buku masjid - perjalanan selatan 1

Assalamualaikum semua. Setelah melepaskan 2 cerita di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 3 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , baru saya dapat memulakan siri penceritaan baru di sini, siri penceritaan penghujung bulan Syawal agaknya. Mari! :]


OK. Minggu lepas adalah minggu yang agak sibuk dan padat buat saya. Setelah memenuhi jadual dengan beberapa perkara dan pertemuan melibatkan keluarga juga kawan-kawan lama dalam tempoh beberapa hari terus-menerus, saya harus ke Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang Selasa untuk mempromosi buku dalam satu majlis melibatkan perjuangan orang Melayu.

Malam itu juga saya harus berlepas ke Raub kerana mahu mempromosi buku di Kuala Lipis keesokannya hari Rabu... atas jemputan seorang pensyarah di Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan. Ceritanya ada dinukilkan sedikit dalam artikel A visit to the Tengku Ampuan Afzan teaching institute in Kuala Lipis yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Awal pagi Khamis pula saya harus berada di Petaling Jaya untuk memberi satu taklimat tentang Melayu dalam satu majlis Biro Tatanegara. Yang menarik, slot asal saya sepanjang setengah jam telah dipanjangkan jadi 2 jam! Nasib baik ada DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" boleh digunakan untuk mengisi ruang.

Jumaat keesokannya, saya berjalan jauh lagi. Setelah rancangan perjalanan jadi tidak menentu akibat muncul komitmen-komitmen lain, rakan zaman kolej saya yang turut belajar di United Kingdom tetapi di bandar lain kemudian bertemu kembali di bawah bumbung syarikat The New Straits Times apabila dia menjadi wartawan di akhbar Malay Mail, saudara Shamsul Yunos akhirnya dapat menetapkan masa untuk memulakan satu projek baru... berjalan keliling Semenanjung Malaysia untuk mengambil gambar-gambar seraya merekod cerita di sekitar/sebalik masjid-masjid terpilih untuk satu penerbitan tertentu. Di atas adalah gambar bandar Seremban diambil dari dalam kereta.

Oh... Ini adalah untuk projek penerbitan coffee-table book atau buku mewah untuk satu syarikat seperti yang selalu terdapat di bilik menunggu syarikat-syarikat korporat. Saya telah dipilih sebagai penulis seraya pengarah kreatif lalu boleh menentukan jalan cerita dan memilih mana-mana masjid yang ingin diketengahkan. Lalu saya terasa ingin mengenengahkan cerita serta watak-watak di sebalik sesuatu masjid seperti raja-raja dan para wali demi mengingatkan balik sejarah Melayu Islam yang diharap dapat mengembalikan kegemilangan sebenar agama, bangsa dan negara... dalam kerangka cerita secara kembara.

Maka perjalanan untuk ke masjid-masjid terpilih pun dipecah tiga - perjalanan ke selatan, ke Pantai Timur dan ke utara. Jumaat lalu menyaksikan perjalanan ke selatan dimulakan selepas solat Jumaat dan masjid terpilih pertama ialah Masjid Tuan Tulis Ismail di Kuala Talang, Tanjung Ipoh, dalam daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Kenapa masjid ini dipilih? Hmm... sila lihat artikel Makam (Tomb of) Tuan Tulis yang telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 bulan lalu. Oh, sebelum itu kami singgah di makam Sheikh Muhammad Said al-Linggi di Ampangan, Seremban.

Adapun Shamsul yang kini seperti saya menjadi pemberita bebas bertindak sebagai jurugambar projek ini. Untuk makluman, beliau adalah salah seorang auto-journalist atau wartawan kereta yang paling dihormati di tanah-air. Maka sambil berjalan dalam projek ini, beliau juga dapat menguji-pandu sebuah kereta baru... Tak payahlah saya sebut kereta apa tapi pendek-kata kalau letak sebelah Porsche ataupun Ferrari pun kita tak malu!

Kami meninggalkan Masjid Tuan Tulis selepas jam 6.15 petang begitu. Walaupun kereta yang digunakan mampu senang-senang naik hingga ke kelajuan 260km/h, berapa lajulah kami boleh pergi melepasi kesesakan jalanraya menghampiri kembali Seremban dan selepasnya, apatah lagi apabila naik dan turun bukit. Lalu kami sampai ke destinasi seterusnya di Pengkalan Kempas masuk jam 7.30 petang.





Di sini terdapat sebuah makam lama dikatakan milik seorang ulamak yang hidup pertengahan abad ke 15. Di sekitarnya juga terdapat beberapa buah batu hidup atau megalithic stones...

Sila lihat artikel The megalithic stones of Pengkalan Kempas yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH 8 bulan lalu. Di atas kelihatan Shamsul sedang mengambil gambar di hadapan sebuah batu hidup yang dikenali sebagai "Batu Pedang". Di bahagian atas batu itu terukir nama Allah dalam huruf Jawi...

Kemudian kami ke Masjid Qariah Linggi yang didirikan oleh kaum keluarga Sheikh Muhammad Said Linggi sekitar 150 tahun lalu. Terlupa pula nak ambil gambar... Hmm... Tak apalah. Kita pakai sahaja gambar masjid lama di pekan Masjid Tanah yang diambil kemudian. Di hadapan kawasan ini, di tepian jalan tepi sungai baru kami makan malam, makan satay hampir jam 10 malam kalau tak salah ingatan.


Ikut rancangan asal, selepas Masjid Tuan Tulis di Kuala Pilah, Masjid Qariah Linggi dan Masjid Tanah, kami mahu ke Masjid Tanjung Keling, Masjid Tengkera dan Masjid Kampung Keling serta beberapa makam di sekitar sebelum berehat di Masjid Kampung Hulu, di tengah bandaraya Melaka. Tetapi memandangkan kami sampai ke Masjid Tanah pun sudah agak malam dan kepenatan, seterusnya kami menghala terus ke Masjid Kampung Hulu.

Di masjid inilah kami bermalam untuk perjalanan pembukaan projek penerbitan berkenaan masjid-masjid di Semenanjung Malaysia ini...

Di sini juga kami mendapat dan mendengar beberapa cerita yang pelik-pelik daripada beberapa orang. Cukuplah. Disambung selepas ini ya...