Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Julai 07, 2007

MSD (Military, Spy, Detective)... Akhirnya jadi kongsi gelap pula?

Dan ini pula bahagian terakhir daripada cerita MSD ini. Semoga kawan-kawan yang sudah lama tidak berhubung, rasanya yang lebih 25 tahun tak dengar berita pun ada dapat ditemukan kembali melalui cerita-cerita seperti ini.
Teringat pula seorang kawan rapat, Irwan Noris, anak Pegawai Daerah Muar ketika itu, orang paling kanan saya dalam MSD... Entah apalah jadinya sebab memang kami tak pernah berjumpa setelah meninggalkan sekolah rendah. Cuma saya dapat tahu dia ada melanjutkan pelajaran dalam bidang perhotelan di Switzerland... Itu aje...

--------------------------


Ketika Boy sedang terlantar di hospital, tersebar cerita di Sekolah Ismail Dua bahawa dia telah jatuh pokok kerana mengikut aktiviti lasak sebuah kumpulan “kongsi gelap” yang diasaskan Rasyid, kumpulan yang dianggotai ramai pelajar Darjah Enam terutama kelas Enam Beruang. Lalu pada satu hari, hampir seluruh pelajar Darjah Enam disoal-siasat guru disiplin sekolah serta beberapa guru lain... Semua yang menganggotai kumpulan MSD pun disuruh mengakui “kesalahan” lalu dihukum ketuk hujung jari dengan pembaris kayu besar kemudian dipaksa berdiri hampir sejam di tengah panas di luar darjah.
Peristiwa itu agak menggemparkan kerana buat pertama kali dalam sejarah sekolah rendah di Muar, ada pelajar dituduh menjadi anggota kumpulan “kongsi gelap”, bukan seorang dua malah hampir 80 orang! Lebih menggemparkan, ketua kumpulan iaitu Rasyid adalah seorang pelajar cemerlang sekolah... Selalunya, kes pelajar nakal sering dibabitkan dengan mereka yang ada masalah akademik tetapi dalam kes in tidak. Sebaliknya ramai pelajar contoh sekolah terlibat! Mereka pun disuruh ‘bertaubat’ dan kumpulan itu dibubarkan.
Apapun, setelah disiasat lebih lanjut, anak-anak ini tidak lagi dipersalahkan kerana tidak pernah terlibat dengan aktiviti-aktiviti jahat seperti mencuri, memukul orang atau memeras-ugut. Mereka cuma terlibat dengan aktiviti-aktiviti lasak yang boleh membahayakan nyawa, itu sahaja... Maklumlah, para pelajar berumur 12 tahun ke bawah, tinggi pun tak sampai lima kaki. Tetapi sanggup memanjat pokok besar, juga bangunan (tempat favourite, Masjid Jamek Muar sampai ke menara azan) sehingga 10 kali lebih ketinggian badan!
Walaupun nama Rasyid tercalar, dia cepat diterima balik pihak sekolah kerana status sebagai pelajar cemerlang, juga pelajar terbaik matematik yang menjadi rujukan pelajar lain sejak Darjah Tiga. Anak ini juga dianggap genius kerana kelebihan akal fikiran anugerah Allah. Ini terbukti dengan kemampuannya mengatur keenam-enam muka dan warna permainan Rubik’s Cube dalam masa kurang seminit di samping menjadi satu-satunya pelajar yang diketahui boleh mencipta perisian komputer. Ingat, waktu itu tahun 1982. Komputer masih asing lagi di pejabat, apalagi untuk digunakan budak sekolah!
Sedikit-sebanyak, Rasyid juga terhibur apabila ada guru mengakui bakat kepimpinan semulajadi yang wujud dalam dirinya, bakat yang terserlah apabila berjaya menarik lebih 100 pengikut kanak-kanak untuk menganggotai kumpulan pimpinannya tanpa bimbingan orang dewasa. Lalu catitan dalam sijil berhenti sekolahnya menyebut, pelajar ini “memiliki sifat-sifat kepimpinan.” Ada juga akuan daripada pihak sekolah, tak sia-sia segala penat-lelah...
Apapun, dia sedih mengenangkan kumpulan MSD yang telah bergiat lebih setengah tahun terpaksa dibubarkan. Ia adalah wadah untuknya melampiaskan tenaga lebihan akibat sifat hyper-activenya yang kadang-kala muncul tanpa dapat dikawal... Wadah yang menjadikan hidup Rasyid lebih terarah, di kala kehendak semulajadinya yang agak pelik terasa goyah menongkah arus zaman.
Anak muda ini ingin sangat berkongsi cita-cita dan rasanya yang lain daripada yang lain... Ingin bertukar fikiran tentang penciptaan alam, hal-hal ghaib melibatkan keTuhanan juga falsafah kehidupan bersama rakan-rakan. Malangnya, berapa ramai yang sedia memahami dan memberi ruang? Sedangkan apa yang difikirkannya dikira pelik bagi orang dewasa, apalagi untuk diluahkan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun? Dalam zaman di mana ilmu dicari untuk mendapatkan pangkat, harta dan kuasa, berapa ramai yang peduli akan kebenaran mutlak? Lalu pemuda itu sering terasa kesepian walau dikelilingi rakan bermacam ragam... Walaupun nanti dia turut dikelilingi ramai teman wanita yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menghiburkan hatinya yang duka lara.
Itulah masalah dilahirkan dengan jiwa yang agak lain daripada orang lain... Susah mahu mencari kenalan yang mampu memahami... Kalau ada pun, setakat beberapa orang yang dikenali secara rawak , selalunya ketika berkelana... Itupun untuk memberi petunjuk hidup sekali-sekala kerana menurut mereka, Rasyid perlu melalui liku-liku kehidupan dan menghadapi segala cabaran yang muncul dengan sendiri sehingga cukup matang lalu dapat mencapai dirinya sejati
Di kalangan orang perempuan pula (selain nenek yang telah kembali ke pangkuan Ilahi tahun 2002), setakat ini cuma Nur dan seorang lagi teman wanita (yang pernah bersamanya enam tahun sebelum berpisah) sahaja yang mampu sedikit untuk memahamia. Maka itu, apabila pemuda itu mula ‘menggilai’ cerita-cerita dan sejarah lama Melayu terutama berkaitan Aceh, dia terasa amat seronok dan gembira apabila terjumpa rakan-rakan yang dapat melayan. Terhibur jugalah jiwa anak muda ini yang selalu sunyi dan kesepian, dapat juga menghidup dan menyemarakkan kembali sifat-sifat intelektual yang wujud dalam diri.
Oh… Walaupun MSD telah ‘diharamkan’ di Muar, ia masih lagi beroperasi di luar negara malah mempunyai cawangan-cawangan di England, Amerika, Australia dan beberapa buah negara lain! Cuma untuk mengelakkanya daripada dikesan musuh yang bertebaruran di serata jagat-raya, namanya telah ditukar daripada Military, Spy and Detective kepada Malaysian Student Department
Kenapa? Tak percaya ke? (Teringat iklan kat TV, hehe!)

MSD (Military, Spy, Detective)... Tempat jatuh lagikan dikenang...

Sambungan posting sebelum ini. Berdasarkan pengalaman sebenar seorang rakan jatuh pokok lalu koma 2 minggu, duduk di hospital hampir sebulan akibat mengikuti aktiviti lasak MSD...

-----------------

Hmm... Timbul pula rasa nostalgia kuat. Ada sesuatu yang menarik tentang pohon jejawi besar di kawasan tersorok tidak jauh daripada Masjid Jamek Muar ini. Dengan ketinggian melepasi pohon kelapa (terdapat dua tiga buah pokok kelapa tumbuh di celah rimbunannya), dengan dahan bercabang-cabang serta dedaunan menaungi kawasan seluas hampir setengah ekar, pangkal pohon selebar sebuah bilik tidur disaluti akar-akar besar yang berbelit-belit menerbitkan beberapa ‘gua-gua’ kecil, ia adalah satu taman permainan yang tersendiri.
Bagi Rasyid, ia seperti negeri pokok pisang “Separuh” yang pernah ‘diasaskannya’ ketika berumur lima tahun tetapi jauh lebih besar. Walaupun penduduk sekitar melarang anak-anak mereka bermain di sana kerana menurut ceritanya, pohon jejawi itu adalah sarang pontianak dan tempat kepala orang dipancung semasa zaman pemerintahan Jepun, pemuda ini terasa begitu tenang di situ sehingga adakalanya dia akan memanjat pohon seorang diri lalu berehat di atas dahan besar di pertengahan ketika senja sehingga matahari terbenam!
Ada masanya, Rasyid akan membawa rakan-rakan, kadang-kala sehingga 30 orang sekali datang untuk “beriadah” di pohon jejawi tersebut. Memang seronok bergayut seperti Tarzan pada akar-akar atas yang menjulur keluar daripada dahan-dahan sehingga terjuntai mencecah tanah atau bermain sorok-sorok dan perang... Paling tidak pun berehat sambil bercerita di ‘gua-gua’ di pangkal pokok, terutama sebuah ‘gua’ besar yang dilengkapi pangkin buatan mereka.
Hendak dijadikan cerita, suatu hari, setelah menghadiri dua tiga kelas pagi sekolah agama, timbul rasa jemu lalu Rasyid mengajak dua orang kawan, Hid dan Boy (dipanggil Boy kerana dialah satu-satunya anak lelaki dari 7 orang adik-beradik, anak bongsu lagi!) untuk bermain di pohon itu. Sudah jadi semacam kewajiban kanak-kanak di Muar untuk menghadiri sekolah agama yang diadakan bergilir dengan sekolah harian biasa. Jika sesi sekolah harian diadakan petang, maka sekolah agama pula diadakan sebelah pagi. dan begitulah sebaliknya.
Hid dan Boy yang selalu mengikutinya bermain pun pergi bersama, masing-masing menaiki basikal setelah berjaya ‘melepaskan’ diri daripada pengawasan guru. Sampai sahaja di sana, mereka terus berlumba memanjat ke pertengahan pohon di mana dahan-dahan besar mula bercabang. Tak sampai seminit sudah sampai pada ketinggian tidak kurang 25 kaki. Aktiviti seterusnya adalah meniti sebuah dahan besar yang menjulur keluar lebih 30 kaki untuk sampai ke bahagian hujung di mana sebuah akar ‘Tarzan’ menunggu untuk dijadikan buaian.
Rasyid memulakan langkah diikuti Boy. Hid yang boleh tahan lincah mengekori di belakang. Langkah mereka bertukar menjadi lari-lari anak. Tiba-tiba Hid menjerit “Berhenti! Berhenti!” dengan nada panik.
Pemuda itu yang sedang menumpukan perhatian pada hujung dahan pun berhenti dan menoleh ke belakang. Ada sesuatu yang tidak kena...
“Mana Boy?” dia bertanya. Sepatutnya Boy ada di belakang Rasyid...
“Ada di bawah... Dia terjatuh tadi!” Hid tercungap-cungap menjawab.
“Alamak!” jantung Rasyid mula berdegup kencang. Masalah ini!
Dia melihat ke bawah. Kelibat Boy langsung tidak kelihatan, mungkin terperosok di celah semak dan rimbunan anak pokok lebih 20 kaki ke bawah? Belukar yang tumbuh di sekeliling pohon jejawi boleh tahan tebal...
Dalam keadaan berdebar, pemuda itu memberikan arahan: “Kita turun!”
Hid menganggukkan kepala lalu berpatah balik untuk turun melalui pangkal pokok. Rasyid pula berlari ke hujung dahan dan turun melalui akar “Tarzan”. Mereka bertemu balik di celah belukar. Sah!… Tubuh Boy terperosok di celah semak dan rimbunan anak pokok. Tidak sedar langsung, pengsan. Terus out...
Rasyid mulai panik. Sebagai ketua, sudah tentu dia perlu bertanggungjawab. Sudahlah ponteng sekolah agama, sanggup menyeludup keluar secara senyap semata-mata untuk memanjat pohon jejawi kegemaran, sekarang rakan baiknya pula tidak sedarkan diri di bawah pohon itu, entah hidup entahkan mati...
Anak yang ketika itu berumur tidak sampai 12 tahun pun tidak tahu keadaan sebenar Boy, tidak terfikir pun hendak memeriksa nadi dan pernafasannya. Dalam jiwanya cuma terbayang masalah besar yang bakal timbul nanti, mengikut imaginasinya yang hyper-active lah itu – Dia telah menyebabkan kematian seorang kawan, ketika mereka sedang ponteng sekolah... Lalu dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan itu. Malah terbayang kelibat Boy reput sedikit demi sedikit dimakan ulat, mungkin bangkit balik nanti menjadi hantu! Begitu jauh imaginasinya bermain… Ternyata Hid lebih waras lalu mencari orang di rumah yang berdekatan, lebih kurang sepelaung dari situ kemudian memecutkan basikalnya balik ke sekolah agama untuk mendapatkan bantuan guru. Akhirnya Boy di bawa ke hospital di kala Rasyid menangis penuh perasaan memohon ampun daripada guru kerana menyebabkan ‘kematian’ rakannya itu.
Lama juga Boy terlantar di wad ICU, pusat rawatan intensif hospital daerah Muar dalam keadaan koma, langsung tidak sedarkan diri. Lebih dua minggu kemudian, barulah anak bongsu kesayangan keluarganya itu, satu-satunya anak lelaki di antara lebih 10 adik-beradik mula membuka mata dan berkata-kata, itupun sering dalam keadaan meronta-ronta dan meracau-racau, bercakap yang bukan-bukan seperti disampuk hantu ataupun syaitan! Kata orang Boy dirasuki penunggu pohon jejawi besar, maklumlah tempat pontianak dan jin bertendang! Sebulan kemudian barulah rakan sedarjah Rasyid di kelas Enam Beruang ini berjaya dipulihkan sehingga cukup waras untuk dibawa keluar daripada hospital... Itupun mengikut ceritanya setelah dikunjungi beberapa orang ahli perubatan tradisional... Setelah beberapa percubaan untuk memulihkannya gagal!
Rasyid masih ingat betapa marahnya ibu Boy kerana menyebabkan anak emasnya jadi begitu. Boy merupakan seorang pelajar cemerlang, pengawas serta ahli jawatankuasa pelbagai persatuan di Sekolah Ismail Dua, salah sebuah sekolah rendah terkemuka di Muar, selain olahragawan dan jaguh lumba lari jarah jauh peringkat negeri Johor..Tetapi sejak peristiwa itu, dia tidak aktif lagi seperti dahulu malah adakalanya kelihatan seperti orang sewel.
“Saya jaga anak saya macam jaga ayam Australia. Tiba-tiba ikut budak ini boleh jadi begini pula,” katanya dalam nada pedas tetapi masih terkawal di hadapan beberapa orang rakan dan guru sekolah yang menziarahi hospital.
Perubahan fizikal Boy paling ketara sejak berlaku peristiwa itu...Kepalanya menjadi ‘teleng (bahasa budak-budak Muar) ataupun senget... Sentiasa mengiring ke sisi seperti orang mengantuk atau terlentuk. Air-mukanya pula kelihatan pelik, seperti orang “tiga suku” atau orang tidak betul. Dia sentiasa tersengih seperti kerang busuk, adakalanya seperti tenggelam dalam dunia sendiri...
Beberapa tahun kemudian, ketika Rasyid menuntut di Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang, Boy terlibat dalam satu lagi peristiwa “Misteri Nusantara”. Dia menceroboh masuk asrama perempuan Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (SAB), tidak jauh daripada rumahnya selepas tengah malam. Mengikut cerita orang, dia telah menutup suis eletrik utama asrama sehingga black-out kemudian masuk ke bilik seorang pelajar perempuan tertentu dalam keadaan separuh sedar, ada yang kata sleep-walking, berjalan dalam tidur! Kononnya anak muda ini telah dirasuk penunggu pohon jejawi besar tempatnya jatuh dahulu lalu disuruh berbuat perkara yang tidak elok... Wallahualam!
Apapun, Boy berjaya melanjutkan pengajian ke universiti di England di bawah tajaan MARA. Di England lah, di Malaysia Hall, London, pada musim panas 1995, Rasyid bersua kembali dengannya setelah lebih 10 tahun tidak bertemu. Ternyata Boy masih ‘teleng’ dengan air-muka “tiga-suku”nya…

MSD (Military, Spy, Detective)... Satu episod nakal seorang budak hyper-active

Ini ada satu cerita berkaitan zaman kanak-kanak di Muar, Johor yang dinukilkan atas nama pengalaman watak Muhammad Al-Aminul Rasyid, dalam buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal". Cerita yang disedut daripada bab bertajuk “Malikul Mansur: Pewaris yang disisihkan” ini boleh tahan panjang. Maka biar dipecahkan kepada tiga bahagian lalu dimulakan dengan cerita di bawah ya...
Oh... Cerita ini bertitik-tolak daripada perbincangan Rasyid dengan kawan-kawan tentang sejarah kerajaan Beruas dan Gangganegara. Dalam pada itu, terbayang akan peperangan serta peristiwa-peristiwa yang berlaku zaman itu. Seterusnya pemuda itu teringat pula pengalamannya suka menjadi ketua di kalangan rakan sebaya...

---------------------------

Ah! Teringat pula zaman kecil sebelum bersekolah di mana Rasyid telah “mengisytiharkan” sebuah kawasan sebesar bilik tidur yang dipagari serumpun pokok pisang di belakang rumah datuknya di Muar, Johor sebagai sebuah negeri sendiri bernama “Separuh”... Kerana setiap orang yang ingin memasukinya mesti bercakap dalam bahasa separuh, contohnya “Saya ingin makan” disebut “Say ing mak”. “Rakyat negeri” itu pula terdiri daripada adiknya yang terdekat, Wai serta beberapa orang anak jiran. Dan seperti biasa, Rasyid lah yang menjadi ketua, ataupun raja…

——————————

Memang pemuda itu suka dan biasa menjadi ketua di kalangan kanak-kanak sebaya juga mereka yang lebih tua. Sejak kecil lagi, sejak tahu bermain-main di kawasan luar rumah dan berkawan dengan anak-anak jiran, Rasyid selalu mengepalai sesi-sesi permainan mereka, baik ketika bermain sorok-sorok, mahupun polis pencuri, juga bermacam jenis permainan yang kadang-kala diciptanya secara spontan. Mungkin ini disebabkan pembawakan semulajadi sebagai anak sulung daripada lima orang adik-beradik? Sudah biasa diikuti adik-adik lalu sifat ini terbawa-bawa apabila berkawan dengan orang lain pula..
Kebetulan ayahnya adalah anak sulung daripada 9 orang adik-beradik, ibunya sulung daripada 12 orang. Anak muda itu juga adalah cucu sulung sebelah ayah, juga sebelah ibu, bermakna dia adalah “lima kali sulung”! Anak sulung daripada ayah sulung, ibu sulung, cucu sebelah ayah yang paling sulung dan cucu sulung sebelah ibu juga... Kata orang tua-tua, air dari dagu anak sulung kepada anak sulung pun sudah cukup mujarab untuk dibuat minyak pengasih, apatah lagi “lima kali sulung” seperti Rasyid. Patutlah ramai girlfriend...
Akal serta kecerdasan semulajadinya ditambah sifat hyper-active, lasak serta tidak kenal erti penat menyebabkannya jarang kekeringan idea atau buah fikiran untuk memenuhi masa yang terluang. Maka itu tidak hairanlah jika dia sering mengetuai aktivit-aktiviti permainan dan sebagainya di kalangan rakan-rakan sebaya, adik-adik mereka, apalagi adik-adik dan sepupu-sepupunya sendiri.
Apabila berumur 12 tahun, ketika bersekolah Darjah Enam di Sekolah Ismail Dua, Muar, Johor, bakat kepimpinan semulajadinya semakin terserlah apabila Rasyid menubuhkan sebuah kumpulan aktiviti lasak budak-budak yang dinamakannya MSD, singkatan untuk Military Spy and Detective atau tentera, pengintip dan mata-mata. Walaupun anak muda yang amat meminati siri-siri filem pengintipan ajen MI6 British 007 James Bond, juga cerita-cerita pengembaraan kanak-kanak seperti The Hardy Boys yang menampilkan pelbagai aksi menarik di pelbagai lokasi ini pernah menjadi seorang ketua pengakap , dia sering tidak berpuas-hati dengan aktiviti-aktiviti yang ditawarkan pihak sekolah... Pada anak hyper-active berdarah Aceh ini, kebanyakan aktiviti yang ditawarkan terlalu tawar dan hambar. Sesi camping atau perkhemahan pun setakat di persekitaran sekolah, bukan di dalam hutan kerana mereka dikira masih anak-anak yang perlu dikawal-selia guru sekolah. Lalu Rasyid yang sejak dari zaman tadika boleh memanjat pokok kelapa dan terjun lebih 8 kaki tinggi dari tingkap sekolah menubuhkan kumpulan itu sebagai wadah tersendiri untuk menerbitkan aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar, bukan dikiranya ‘jinak’.
Imaginasi anak muda ini juga boleh tahan tinggi lalu dia menggunakan kumpulan yang dicipta sebagai wadah memenuhi impian tersendiri. MSD mempunyai tiga pecahan besar berdasarkan hierarki tentera, pengintip dan mata-mata... Siap dengan pangkat-pangkat seperti General, Colonel, Liutenant dan Inspector. Rasyid berjaya menarik lebih 100 ahli, kebanyakannya daripada kelas paling cemerlang di sekolahnya, Enam Beruang diikuti kelas seterusnya Enam Harimau yang terletak bersebelahan. Kumpulan itu juga mempunyai ‘cawangan’ luar melalui seorang sepupu di Kuala Lumpur serta seorang sepupu kawan di Johor Bahru. Sebagai pengasas dan pencetus aktiviti, pemuda itu bertindak sebagai Supreme Leader atau ketua tertinggi. Setiap ahli didaftar mengikut urutan pangkat dan pecahan organisasi di atas sekeping kertas buku sekolah.
Seorang rakan sedarjah bernama Alex yang sering bersaing dengan Rasyid dalam pelbagai hal termasuk pencapaian akademik pernah cuba mengasaskan sebuah kumpulan bernama Pyramid. Tetapi ia tidak bertahan lama kerana kurang ahli. Yang menarik, semua ahlinya kemudian masuk MSD! Bermulalah pelbagai aktiviti budak-budak seperti mengintip sarang penagih dadah dan permainan perang menggunakan bangku dan meja sekolah sebagai kubu.
Mereka yang sering mengikuti aktiviti dan berjaya melepasi ujian atau melaksanakan “misi” akan dinaikkan pangkat. Aktiviti paling diminati Rasyid dan sering diadakan, hampir setiap hari adalah memanjat pokok dan bermain di atas... Ada masanya melompat dari ranting ke ranting terutama di atas sebuah pohon jejawi besar berdekatan Tanjung Emas, tidah jauh daripada masjid...

Jumaat, Julai 06, 2007

Poster BKA 'beranak" tiga! Dan pengembaraan tetap diteruskan jua!

Lihat ini... Apakah yang telah terjadi?



Perhatikan betul-betul. Poster atau bunting untuk promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" didapati telah beranak tiga! Kenapa? Tak percaya ke?


Salah satu 'anak' poster ditinggalkan di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit. Untuk sedikit maklumat tentang kedai ini dan bagaimana hendak ke sana, sila klik Confirm! Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah .

-----------------------------

OK.... Baru boleh dimulakan cerita.

Adapun saya kini sedang berada di sebuah restoran di Plaza Damansara menunggu masuk waktu untuk bersolat Jumaat di masjid besar berdekatan. Kebetulan di sini ada signal wi-fi free, maka saya rasa elok juga membuat sebuah posting baru sementara ada masa dan peluang... Lagipun selepas ini saya akan memulakan sesi perantauan baru yang rasanya akan memakan masa tidak kurang seminggu, sebelum masuk bulan Rejab di mana saya merancang untuk menumpukan perhatian demi menyiapkan buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" ataupun BKA 3.

Tiga hari lepas, seorang kenalan di Central Market telah mencadangkan agar saya membuat mini versi poster atau bunting untuk promosi buku yang boleh ditinggalkan di tempatnya. Ini kerana dia tertarik dengan poster besar bersaiz 3 x 4 kaki yang saya gunakan untuk membuat promosi secara 'guerilla' jalanan. Maka setelah memikirkannya dan bertanya seraya beristikharah melalui hati, saya pun membuat poster kecil dengan rekabentuk sama tetapi bersaiz 1.5 x 2 kaki atau satu perempat saiz poster asal. Dan gerak hati ini menyuruh membuat 3 salinan kesemuanya untuk ditinggalkan di tempat-tempat tertentu.

Maka jadilah seperti yang ditonjolkan dalam gambar-gambar di atas. Satu poster ditinggalkan di kedai Khazanah Fathaniyah di Chow Kit, satu di kedai Pustaka Rezeki Harapan di hadapan Masjid India dan satu lagi di sudut pelukis Iedet di Central Market. Ketiga-tiga tempat ada menjual siri buku BKA. Nah... Lihatlah gambar-gambar ini!


Poster mini digantung di hadapan kedai Pustaka Rezeki Harapan di Masjid India.


Ini pula di sudut pelukis Iedet di Central Market...

--------------------------

OK... Sejak 2 minggu lepas, gerak hati saya sudah menyuruh untuk bersedia berjalan jauh sambil membawa kit promosi buku demi memperkenalkan siri buku "Berpetualang ke Aceh" secara jalanan ke khalayak yang lebih luas. Samada ia akan mendatangkan apa-apa hasil, itu semua atas kuasa dan ketentuan Allah. Saya cuma menurut gerak hati yang terbetik, sekurang-kurangnya untuk kepuasan jiwa sendiri.

Insyaallah, perjalanan akan dimulakan petang ini bermula di Kampung Janda Baik, Pahang. Berehat semalam dua kemudian naik ke Raub, seterusnya ke Kuala Lipis sebelum ke Kelantan... Mungkin singgah di Bukit Panau dan Tok Uban sebelum ke Kota Bahru?

Apapun, saya dapat merasakan, kali ini saya terpanggil untuk menurut jalan ini demi menyambung pengembaraan ke Pantai Timur Disember lepas yang terpaksa dipendekkan akibat kurang sihat serta 'panggilan' baru kembali ke Kuala Lumpur. Insyaallah, daripada Kelantan, saya akan masuk ke Kedah seterusnya Perak sebelum turun kembali ke KL.

Oleh itu, jika terlihat poster atau bunting besar "Berpetualang ke Aceh" tergantung di mana-mana seperti dalam gambar-gambar di bawah, carilah di sekeliling. Kemungkinan besar, saya sedang bertandang ke tempat anda. Wassalam!


Poster digantung di pejabat pos Ampang Point sementara menyiapkan satu urusan.


Depan Masjid Jamek Kuala Lumpur pun sempat tayang poster woo! :]

Rabu, Julai 04, 2007

Al-Fatihah untuk Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani

Gambar makam Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani di Kampung Ketek, Melaka yang diambil April lalu.

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Adapun, setelah membuat posting ke 131 iaitu posting sebelum ini, satu nombor yang entah kenapa membawa makna home sweet home untuk diri ini, saya bercadang untuk berehat seketika. Rancangnya, saya mahu menunggu sehingga masuk bulan Rejab, barulah boleh membuat apa-apa penambahan cerita baru di blogspot ini. Tetapi komen dalam c-box oleh seorang pembaca yang memakai nama Tok Dagang tentang sebuah rencana dalam Harian Metro hari ini telah merubah keadaan. Rencana ini menceritakan rancangan pemerintah Aceh untuk menyumbang batu nisan baru bagi makam Sheikh Shamsuddin as Sumatrani di Kampung Ketek, Melaka menyebabkan saya rasa wajib untuk memberikan reaksi lalu membuat posting baru, posting ke 132 dalam blogspot ini.
Sebelum meneruskan cerita, biar ditegaskan, saya lebih senang menggunakan ejaan Shamsuddin berbanding Syamsuddin dan gelaran As-Sumatrani berbanding As-Sumatrai seperti pernah dinyatakan sesetengah orang atas alasan-alasan tertentu. Pada saya ini masalah khilaf lalu boleh dipilih mana yang kita lebih selesa... Sepertimana house style di akhbar Berita Harian menggunakan ejaan Datuk berbanding Utusan Malaysia yang menggunakan Dato' apabila menyebut nama seseorang yang memiliki gelaran anugerah tersebut.
Untuk pengetahuan, Sheikh ini juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin Pasai... Kerana wilayah Sumatra (satu panggilan Arab untuk nama kerajaan lama Samudera, nama yang akhirnya digunakan untuk memanggil seluruh pulau Sumatera) juga dikenali sebagai Pasai, selepas kerajaan Samudera diserapkan ke dalamnya... Juga dikenali sebagai Samudera-Pasai. Almarhum pernah menjadi Qadi Al Malikul Adil atau Mufti besar Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda (memerintah Aceh 1607-1636). Apapun, lihat dahulu rencana yang saya copy and paste daripada Harian Metro on-line ini ya...

Makam pejuang bertaraf wali Allah, juga seorang khalifah tariqat Qadiriyah ini dilihat daripada bahagian kaki... Gambar ini juga adalah gambar yang saya ambil sendiri. Tak pastilah jika akhbar Harian Metro ada menyertakan gambar kerana saya tidak sempat menelaahnya. Yang pasti, tiada gambar makam dalam versi on-line.


Aceh sumbang nisan di makam ulama

MELAKA: Pemerintah Aceh bercadang membawa batu nisan tertulis nama Allahyarham Syamsudin Al-Sumatarani untuk diletakkan di makam ulama, sasterawan dan pahlawan terbilang itu di Kampung Ketik, Kampung Hulu, di sini, pertengahan bulan ini.
Sebelum ini, sudah ada batu nisan di makam berkenaan tetapi pemerintah Aceh ingin membawa batu nisan lain dari wilayahnya untuk diletakkan di makam itu sebagai menghormati pahlawan terbabit. Hasrat untuk meletakkan batu nisan baru itu disuarakan Gabenor Acheh, Irwandi Yusuf kepada Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Ab Rahaman Ab Karim, yang melawat wilayah itu baru-baru ini.
Ab Rahaman berkata, makam panglima besar itu sudah pun menjalani proses pemugaran selepas diwartakan kawasan konservasi dan dipulihara Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
“Makam berkenaan sering menjadi tumpuan pelajar sekolah, pengkaji sejarah dalam mahupun luar negeri dan pelancong asing. “Ia sekali gus menguatkan lagi fakta sejarah keberanian pahlawan Islam dan orang Melayu yang mempertahankan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dulu,” katanya ketika ditemui melawat makam berkenaan di sini, semalam.
Mengikut sejarah, Syamsudin adalah panglima tentera yang terkenal pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda yang memerintah Aceh ketika itu. Dia ditugaskan bersama rakannya, Panglima Pidi ke Melaka menyerang Portugis dan mengembalikan negeri itu kepada Sultan Melaka pada 1511.
Di samping itu, dia juga ditugaskan mengembangkan agama Islam. Bagaimanapun, dalam serangan yang dilakukan tentera Acheh pimpinan Syamsudin itu gagal menewaskan Portugis malah dia terkorban.


-------------------------





Di belakang tokong Cina inilah terletak makam ulamak besar yang dikira sebagai seorang daripada empat ulamak tersohor Aceh dahulukala!

Buat masa ini, saya tidak mampu bercerita lebih panjang lebar lagi kerana keletihan akibat menyelesaikan pelbagai perkara berkaitan buku kebelakangan ini. Cukuplah dinyatakan sedikit cerita berkaitan pernah dibuat dalam blogspot ini lebih sebulan lalu di Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani dan Martabat Tujuh .
Hmm... Biar disertakan sedikit lagi cerita berkaitan yang belum pernah dikongsi di sini... Cerita yang kebetulan telah dinukilkan dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II, dalam bab bertajuk "Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda: Puncak kegemilangan Aceh"... Sila...

p/s: Satu peringatan... Cerita di bawah ini lebih kepada kisah Hamzah Fansuri kerana itulah fokus cerita. Apapun, tetap ada kena-mengena kerana Sheikh Shamsuddin As-Sumatrani adalah anak muridnya dan mereka berfikiran hampir serupa!

-------------------------------

HAMZAH FANSURI DAN ISKANDAR MUDA:

PUNCAK KEGEMILANGAN ACEH


Sabda Rasul Allah: Man ‘arafa nafsahu
Bahwasanya mengenal akan Rabbahu
Jika sungguh engkau abdahu
Jangan kau cari illa wajhahu
Wajah Allah itulah yang asal kata
Pada wujudmu lengkap sekalian rata
Jika anggamu menjadi mata
Mangkanya dapat pandanganmu nyata
Dirimu itu seperti zilal (bayang)
Jangan kau pandang pada waham dan khayal
Jika pandangmu itu pada rupa Jamal
Engkaulah da’im beroleh wisal


- Beberapa bait Gurindam Hamzah Fansuri


Tidak akan wujud zaman kegemilangan Aceh tanpa para walinya. Begitu juga tidak akan terserlah kehebatan raja penakluk besar bernama Sultan Iskandar Muda tanpa kehadiran Sheikh Hamzah Fansuri dan anak muridnya Sheikh Shamsuddin al Sumatrani atau Sheikh Shamsuddin Pasai. Cuma masyarakat Aceh terlalu berbangga dengan kisah Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, (memerintah 1607- 1636 Masihi)... Mereka lupa bahawa zaman kegemilangan Aceh yang dipelopori baginda dengan dasar perluasan serta jihad membela Islam yang menyaksikan empayar Aceh meliputi hampir seluruh pelusuk Nusantara tidak akan berlaku tanpa sokongan para wali dan ulamak Tasawuf seperti sheikh tersebut..
Sejarah pemerintahan Sultan Iskandar Muda terus dikenang sebagai lambang kebesaran Aceh sementara peranan Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Pasai dilupakan atau cuma disebut sepintas lalu. Rakyat harus diingatkan bahawa Aceh berjaya menjadi pusat perdagangan antarabangsa juga pusat dakwah Islamiah dan peradaban tinggi serta perbincangan berbagai ilmu juga kesusasteraan Melayu bukan semata kerana kewibawaan raja. Ingat! Sang raja membesar berkat pendidikan guru juga... Guru yang bagaimana? Itulah yang kita harus ambil tahu!

.......... (melangkah beberapa mukasurat ke hadapan)............

Sheikh Hamzah telah mendalami berbagai cabang ilmu berkaitan Islam. Selain belajar di Aceh, beliau mengembara ke merata sudut dunia demi menambah pengetahuan termasuk di seluruh tanah Jawa, Semenanjung Malaysia juga India, Parsi dan Tanah Arab. Sheikh ini dikatakan sangat mahir dalam ilmu Fiqah, Tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula Hamzah Fansuri telah menguasai seluruh cabang ilmu berkaitan bahasa Arab (nahu, saraf dan sebagainya) selain boleh bertutur dalam bahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa!
Dunia sastera Melayu pula mengakuinya sebagai pelopor malah sasterawan serta pujangga Melayu terulung dahulukala atas sumbangan yang tidak terhingga terhadap perkembangan penulisan Melayu. Beliau telah memperkenalkan banyak gurindam, puisi, syair dan pantun yang sebenarnya merupakan ajaran Tasawuf yang dikarang begitu indah. Maka banyak perkataan Arab melibatkan konsep keTuhanan diMelayukan... Dengan ini, khazanah kata-kata Melayu turut menjadi lebih luas.
“Beliau menjadi rujukan utama dalam hal kerohanian di Aceh lalu menjadi guru mursyid yang bertanggungjawab menggilap peribadi Sultan Sayyid al Mukammil,” orang tua berketurunan Aceh di Perak memberitahu. “Antara karyanya yang masyhur ialah Al-Muntahi (Ilmu tertinggi), Ruba’i Hamzah Fansuri (sekumpulan puisi), Syair Si Burung Pinggai, Syair Si Burung Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Dagang dan Syair Perahu.”
Pengaruh kuat sang pujangga Sufi ke atas perkembangan kerohanian kerajaan Aceh Darussalam terus berlangsung sehingga ke zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636). Maka sudah tentu beliau mempunyai pengaruh penting terhadap raja besar itu.
“Tidak ramai orang tahu, selain membimbing Sultan Sayyid Al-Mukammil, Sheikh Hamzah Fansuri juga merupakan guru mursyid Sultan Iskandar Muda.” dia mendedahkan satu rahsia. “Malah pada zaman itu, beliau adalah mahaguru Tasawuf yang terkemuka di seluruh Nusantara!”
Walaupun tidak ada bukti akademik menyatakan Sheikh Hamzah pernah berjumpa kedua-dua Sultan ini, Rasyid percaya cakap orang tua itu. Sebagai seorang pemikir besar, ulamak dan wali yang sangat terkenal zaman itu, tidak hairanlah jika beliau dijemput mengajar atau didatangi Sultan-sultan ini. Lagipun Hamzah Fansuri memang mempunyai pengaruh ke atas mereka ini, setidak-tidaknya melalui anak muridnya Sheikh Shamsuddin Pasai, ulamak dan penasihat utama di istana Aceh zaman itu. Sayyid al Mukammil diketahui seorang pengikut Tariqat Qadiriyah iaitu jalan kaedah peningkatan kerohanian yang diasaskan oleh Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Sheikh Hamzah Fansuri pula adalah Khalifah tertinggi Tariqat ini untuk bumi sebelah sini . Maka tidak hairanlah jika penasihat utama istana Aceh itu pernah memimpin Sayyid Al-Mukamil dan cucundanya Iskandar Muda bersuluk dan apabila sampai masa, menyuruh mereka khatam mengaji dengan Hamzah Fansuri pula.
Sheikh Shamsuddin diketahui meneruskan aktiviti penulisan yang dimulakan gurunya Sheikh Hamzah. Tulisan mereka dikatakan senada dan seirama walaupun masing-masing ada cara tersendiri dalam pengajaran mereka. Paling menarik, kedua-duanya dikatakan menyokong pemahaman “Martabat Tujuh”. Ia menghuraian hakikat keTuhanan serta hubunganNya dengan alam ini dengan cara yang dikira amat kontroversi.

Ahad, Julai 01, 2007

Sejarah berkaitan Muar dalam "Berpetualang ke Aceh"...

Tanpa membuang masa lagi, posting ke 131 saya dalam blogspot ini...
Tadi nyaris saya terkedu... Jam menunjukkan pukul 1.41 pagi, tiba-tiba ada gangguan signal wi-fi Internet, takut tak dapat buat posting ini... Sudahlah larut malam, pagi besok (sebenarnya pagi ini kerana sudah masuk hari Ahad) saya perlu pergi ke Bukit Damansara untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga.
OK... Ini dia, cebisan cerita berkaitan sejarah Muar dalam buku "Berpetualang ke Aceh", daripada bab bertajuk “KeSultanan Melaka: Kesinambungan Pasai ke Aceh”.

Mukasurat 108...


Kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang mencatatkan keSultanan Melaka bermula dengan kedatangan Raja Iskandar, seorang raja berketurunan raja besar Iskandar Zulkarnain, daripada zuriat baginda yang turun ke Bukit Siguntang, juga dikenali sebagai Bukit Siguntang Mahameru di Palembang. Raja ini pernah memerintah Singapura tetapi negeri itu dilanggar musuh. Lalu baginda pun melarikan diri ke utara dan cuba membuka negeri baru di Muar.
Atas sebab tertentu, usaha membuka negeri ini menemui kegagalan. Raja Iskandar naik lagi ke utara sehingga sampai ke Sungai Bertam lalu bersandar pada sepohon kayu. Di situ, anjing perburuan baginda terserempak seekor pelandok putih yang luar-biasa berani sehingga sanggup menerajang anjing itu jatuh masuk air. Peristiwa ini menyebabkan baginda merasakan tempat itu baik dibuat negeri, maka itu dinamakannya “Melaka” sempena nama pohon tempat baginda bersandar itu.
Sarjana Barat pula memanggilnya sebagai Parameswara, kononnya baginda adalah seorang anak raja Hindu yang lari dari Palembang ke Singapura lalu merampas pemerintahan negeri daripada seorang penguasa tempatan. Mengikut kata mereka, sebab itulah tidak lama kemudian, negeri itupun diserang lalu baginda lari ke utara dan mengasaskan Melaka...

Mukasurat 126...

Setelah Paduka Seri Maharaja mangkat, anakandanya Raja Iskandar yang menaiki takhta pula buat hal. Raja itu berkenan dengan anak Sang Rajuna Tapa, Bendahari Singapura kemudian menjadikannya sebagai gundik yang paling disayangi. Gundik-gundik lain irihati lalu memfitnahnya berbuat jahat. Baginda percaya kan fitnah tanpa usul periksa sehingga sanggup menyuruh anak Bendahari itu disula di hujung pasar. Maka wa’adat atau perjanjian asal antara Raja-raja Melayu dengan rakyat seperti dilafazkan Sang Si Perba dengan Demang Lebar Daun pun dilanggar... Kerana raja telah memalukan rakyat - Kalau betul pun gundik itu telah berlaku sumbang, mengapa perlu disula dan ditayangkan di khalayak orang?
Sang Rajuna Tapa berdendam lalu berkirim surat ke Jawa. Bunyinya: “Jikalau Betara Majapahit hendak menyerang Singapura, hendaklah segera datang, kerana hamba ada belot dari dalam kota.” Tidak lama kemudian, angkatan Majapahit datang menyerang. Rakyat Singapura dapat bertahan beberapa hari tetapi apabila Raja Iskandar menitahkan Bendahari mengeluarkan bekalan beras, beliau pula menipu dengan berkata beras sudah habis. walhal tidak! Pada malamnya, pembelot itu membuka pintu kota... Tentera Majapahit pun masuk menyerbu dan kalahlah Singapura.
Walaupun Bendahari berbuat begitu kerana marahkan raja, ia masih dikira perbuatan derhaka lebih-lebih lagi kerana menyebabkan seisi negeri menerima akibatnya. Dengan takdir Allah, rumah Sang Rajuna Tapah pun jatuh roboh... Beliau laki-bini bertukar menjadi batu, beras yang disorokkan pula menjadi tanah. Raja Iskandar melarikan diri ke utara bersama para pengikutnya... Sampai ke Muar hendak membuat negeri tetapi tempat itu selalu dinaiki biawak, setiap kali dibunuh esok datang lagi... Maka bertimbunlah bangkai biawak, dan tempat itu dipanggil Biawak Busuk. Sampai ke sebuah tempat lain di Muar, baginda cuba mendirikan sebuah kota tetapi apabila matahari naik keesokannya, kota itu menjadi buruk.
Baginda bergerak sampai ke sungai Bertam pula, dalam sempadan negeri Melaka sekarang. Di situlah anjing perburuan baginda diterajang seekor pelanduk putih ketika baginda bersandar pada sepohon kayu “Melaka”. Lalu tempat itu dibuat negeri dan dinamakan “Melaka”. Maka sampailah kita kepada beberapa khilaf tentang sejarah Raja-raja Melaka, salah satunya, siapakah yang mula-mula menganut Islam dan bagaimana...


Dan akhir sekali, mukasurat 128...

Rasyid mengangguk bersetuju. Kata-kata Azmil itu memang masuk akal. Agaknya sebab itu satu-satunya makam Sultan Melaka yang diketahui masih wujud di Malaysia, makam Sultan Alauddin Riayat Syah (memerintah 1477-1488) di Kampung Raja, Pagoh, Muar ditanda dengan batu nesan Aceh. Malah batu nesan berkepak itu hampir menyerupai batu nesan Sultan Malikus Salih, pengasas keSultanan berkembar Samudera Pasai yang dipercayai mangkat 1297 Masihi. Lagipun, bukankah batu nesan sebegini menandakan pemiliknya memang mempunyai titisan darah keSultanan dari bumi Aceh? Tidak semestinya daripada Aceh, mungkin daripada Samudera, mungkin Pasai, mungkin juga Perlak... Pendek kata mana-mana keSultanan yang pernah bertapak di bumi Serambi Mekah.
Malah batu nesan ayahanda kepada Sultan Alauddin iaitu Sultan Mansur Shah yang pernah disimpan Inggeris di Singapura juga adalah daripada jenis batu nesan Aceh walaupun ia tidak bersayap. Walaupun makam Sultan-sultan Melaka lain yang pernah berada di Kota Melaka sudah lama hilang dirombak penjajah selepas kota itu ditawan, cukuplah batu nesan dua orang Sultan itu sebagai bukti kaitan mereka dengan Aceh.
Azmil atau Raja Azmil kelihatan kesal menceritakan ini. Mungkin kerana beliau memiliki titisan darah Sultan-sultan tersebut? Azmil adalah seorang ahli kerabat diraja Perak dan keSultanan Perak memang berasal daripada keSultanan Melaka. Katanya pertalian darah antara keSultanan Melaka dengan keSultanan-keSultanan di Aceh nampaknya cuba hendak disembunyikan kitab Sejarah Melayu atas motif-motif tertentu.

--------------------

OK... Barulah saya boleh berehat dan tidur. 131, nombor home sweet home... Yahoo!!! (bukan Yahoo D yek, heh!) :]

Promosi dengan poster baru

Bunting @ poster baru digantung pada tiang Jalan Melaka di hadapan stesyen LRT Masjid Jamek. Cantik tak? Kelihatan juga kit promosi buku yang tersendiri termasuk tikar mengkuang buruk yang digunakan untuk membungkus buku di dalamnya.
Kebetulan memang ada kaitan antara Aceh dan Melaka. Malah salah satu tajuk bab dalam buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" ialah "KeSultanan Melaka: Kesinambungan Aceh ke Pasai"!


Rasanya tajuk artikel kali ini sudah cukup terang... Lagipun gambar di atas pun cukup jelas untuk menerangkan segala-galanya.
Dalam "Berpetualang ke Aceh" tour run 3, telah dinyatakan bagaimana bunting poster terdahulu telah hilang di Shah Alam hari Selasa lalu ada hikmahnya. Apakah hikmahnya? Salah satu yang paling utama, muncul design baru poster yang lebih terang menarik perhatian keesokannya harinya... Itulah poster yang gambarnya menjadi penghias bahagian atas blogspot ini yang mana sesiapa pun boleh klik lalu dapat file JPEG saiz sebenar yang boleh digunakan untuk simpanan peribadi... Atau buat printing sendiri dan gunakan untuk war-warkan kewujudan siri buku "Berpetualang ke Aceh" ke seantero jagat raya ya...
Di sini biar saya letak beberapa gambar melibatkan bunting @ poster terbaru ini ya... Sekadar supaya dapat gambaran betapa jauh ia telah 'melancung' di sekitar Kuala Lumpur walaupun baru sahaja diterbitkan beberapa hari lepas... Sila! (Suka sangat pakai perkataan sila... Elok le tu... Kalau ajak bersilat karang, ada pulang yang jadi abu, ada yang jadi arang. Heh! ;])




Hari Rabu, setelah kehilangan bunting lama hari sebelumnya. Saya tidak sabar untuk menerbitkan bunting baru... Nasib baik ada gerak ilham dan input daripada kawan-kawan. Dan nasib baik ada kedai di kawasan Chow Kit yang boleh membuat bunting yang ditempah jam 2 petang sehingga siap jam 6.
Maka sebaik sahaja siap, saya terus membuat test-run... Di kedai Khazanah Fathaniyah, tempat saya melancarkan siri buku BKA 9 Jun lalu.
Nak tahu hubungan saya dengan pihak ini, sila klik Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku.

Tengok... Kan dah ada peminat!


Bunting diletak di hadapan Plaza Safuan di kawasan pasar Chow Kit pula... Sementara menghabiskan sepinggan rojak tauhu dan tepung udang diikuti segelas kopi hitam panas...




Bunting juga sempat diletakkan di dalam bangunan bazar berhadapan Kompleks Pertama, di hadapan kawasan membuat Thai Massage...
Mau masat ka?... Kap kun kraappp!!! (Bantai aje le Labu!!!) Memang saya mau masat, badan saya penat... Tapi malam tu tak jadi sebab ada problem air-cond, jadi kedai tutup cepat...


Lalu terpaksalah saya balik ke Ampang tanpa mendapatkan masat... Sempat pula meletakkan bunting dalam LRT tanpa mempedulikan segala muka hairan yang memandang!


Keesokannya hari Khamis, saya ada appointment untuk membincangkan ulasan buku BKA oleh sebuah majalah yang berpejabat di Jalan Kampung Attap berhampiran menara UMBC. Sempat membuka kit promosi di restoran di bawah sementara makan ringan...


Selepas itu singgah sebentar di Central Market... Bukak bunting kat tempat pelukis Iedet pulak. Untuk cerita berkenaan CM, masuk sini... Central Market pula jadi port terbaru "Berpetualang .


Bunting diletakkan di hadapan kedai buku Pustaka Rezeki Harapan menghadap Masjid India. Kedai ini juga ada menjual siri buku BKA selain memiliki koleksi banyak buku-buku agama terutama yang berunsur Tasawuf daripada Indonesia.


Tu dia... Depan Minerva kat Jalan Tuanku Abdul Rahman pun jadi... Mesti orang pelik, macamana ada promosi style cam ni kat sini. Kalau kat London lain le, selamba je orang boleh jalan-jalan ronda satu bandaraya letak papan iklan kat badan...


Dan akhir sekali untuk hari Khamis itu, promosi di hadapan stesyen LRT Masjid Jamek. Saya setakat meletakkan bunting dan kit promosi dengan harapan orang yang lalu-lalang akan terbuka fikiran untuk membaca siri "Berpetualang ke Aceh". Bila-bila masa boleh beli di kedai-kedai berdekatan di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau MPH dan Popular Bookshops seluruh Malaysia. Tak sangka pula, ada yang berminat dan bertanya sehingga terus membeli kedua-dua BKA I dan BKA II daripada saya di situ juga!

Saya mula seronok membuat promosi jalanan sebegini lalu bercadang untuk membawa kit promosi "kesayangan buah hati jantung intan" ini dan membukanya di hadapan Masjid Jamek pada waktu makan tengahari sebelum solat Jumaat. Tetapi kita hanya merancang sedangkan Allah jua menentukan.
Rupanya, perasan teruja membuat semua ini sehingga sanggup naik ke Bukit Fraser dan merata tempat hampir tanpa henti telah menyebabkan saya demam dan sakit-sakit badan pagi Jumaat. Maka itu saya terpaksa berehat di rumah dan kurangkan berjalan sampailah sekarang... Hari Ahad pula mesti pergi ke Bukit Damansara untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sepupu.
Apapun, tetap ada hikmahnya berlaku demam dan sakit-sakit badan yang memendekkan langkah ini... Salah satunya, saya dapat duduk di rumah lalu membuat updates juga pembaharuan dalam rekabentuk ketiga-tiga blogspot saya iaitu blogspot ini, BERPETUALANG KE ACEH serta SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Sedar tak sedar, saya juga telah berjaya menyiapkan artikel ke 130 dalam blogspot ini sejak ia bermula operasi hujung tahun lepas. Dan insyaallah selepas ini saya akan membuat posting ke 131, satu nombor yang sering saya kaitkan dengan home sweet home yang amat didambakan selama ini!

Muar dan petualanganku...

Alhamdulillah, selesai sudah makan malam! Bolehlah disambung kembali 'marathon' penulisan malam ini... Rasanya dengan cerita-cerita mengenai Muar yang terdapat dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" setakat ini... Belum campur buku tiga (sub-title "Sirih Pulang ke Gagang?) yang sedang dalam proses penulisan dan akan mula disusun-balik tak lama lagi.
Adapun cerita-cerita mengenai Muar ini ingin diabadikan di blogspot ini sempena saya terjumpa kembali beberapa orang kenalan daripada daerah kelahiran saya itu, sesetengahnya setelah 20 tahun tidak berjumpa. Beberapa cerita telah dinukilkan lebih seminggu lepas dalam Cerita-cerita Muar dalam "Berpetualang ke Aceh"...... , cerita-cerita daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Sekarang sampailah masanya untuk membuka cerita mengenai Muar dalam buku dua, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syair yang Asal".
Biar dimulakan dengan cebisan kisah yang pernah diletakkan dalam blogspot ini atas nama artikel yang lain... Pertama yang ini, daripada Bab 7 mukasurat 88...

----------------------------

Rasyid naik ke atas jeti. Kelihatan sebuah sungai yang agak luas, lebih kurang seluas Sungai Muar di bahagian kuala. Pemuda itu mengambil satu sudut yang selesa untuk menikmati pemandangan indah sungai yang luas dengan ramai orang sedang berperahu merata di permukaan air. Di seberang sungai kelihatan sebuah kampung yang terdiri di atas pelantar kayu atas air, berlatar-belakangkan hutan kayu bakau saujana mata memandang. Suasana dan pemandangan itu sungguh mempesonakan. Terasa begitu tenang dan aman, sudah lama betul dia tidak merasa damai sebegini...
Tiba-tiba anak muda itu terasa seolah-olah jiwanya ditarik satu kuasa anih memutarnya kembali ke tahun 60an (walaupun tidak pernah mengalaminya kerana dilahirkan tahun 70)... Balik pada suatu zaman di mana kehidupan lebih santai dan aman damai. Kata orang putih, simple life... Hamba Allah ini amat merindukan suasana kampung sejati di mana manusia tidak terkejar-kejar mencari dunia seperti sering dilihatnya sekarang. Rasanya, di Malaysia sekarang ini susah sungguh hendak terjumpa kampung yang betul-betul dapat memberikan rasa aman damai yang pernah dikecapi seperti semasa dia kecil-kecil dahulu. Zaman telah begitu jauh berubah dan manusia semakin mementingkan diri sendiri, kononnya di atas nama kemajuan. Semuanya nafsu-nafsi, seolah-olah tidak wujud lagi rasa kasih-sayang sejati yang tidak meminta pembalasan budi...

-------------------------

Cerita selanjutnya ada di sini... Nostalgia kenangan silam di bandar Muar
Ini pula cerita mengenai zaman baru hendak mengenali kaum Hawa selain daripada ahli keluarga dan jiran rumah sebelah. Rasanya kawan-kawan yang berasal daripada Sekolah Sultan Abu Bakar (SAB) mesti boleh click and relate punya... Daripada Bab 9 mukasurat 202. Sila!

------------------------------

Semasa di sekolah rendah, Rasyid begitu “geli” dengan perempuan. Dia meluat dengan perangai mereka yang suka bermain anak patung dan masak-masak sehingga terbetik perasaan “benci” terhadap kaum Hawa... Kecuali anak jiran sebelah rumah yang merupakan kawan sepermainan sejak bayi serta saudara-mara sendiri. Nasib baik sekolah rendahnya, Sekolah Ismail Dua adalah sekolah pelajar laki-laki sahaja tetapi di sekolah agama, dia tiada pilihan...Terpaksa bergaul dengan pelajar wanita walaupun dia cuba mengelak selagi boleh.
Anak muda itu begitu “bencikan” kanak-kanak perempuan sehinggakan jika tersentuh, dia akan cepat-cepat menyapu kulitnya seolah-olah membersihkan najis!. Ada masanya dia terasa begitu meluat sehingga sanggup meludah ke tanah di hadapan orang-ramai. Ini selalu berlaku apabila menaiki van Pakcik Zul ke sekolah. Van ini juga berkhidmat menghantar ramai pelajar perempuan ke Sekolah Convent dan Sekolah Sultan Abu Bakar (SAB), kedua-duanya sekolah perempuan. Tak sangka pula ini akan berubah apabila masuk Darjah Enam...
Sampai ketikanya, Rasyid dipilih mewakili sekolah dalam Kuiz Sains dan Matematik peringkat daerah Muar, Johor. Dia dan dua orang lagi pelajar terbaik sekolah dapat mengalahkan sekolah-sekolah lawan lalu mara ke peringkat akhir untuk bertembung dengan Sekolah SAB Dua, satu pertandingan “maruah” di antara sebuah sekolah laki-laki melawan sebuah sekolah perempuan.
Seperti Sekolah Ismail, SAB juga mempunyai dua sesi persekolahan untuk dua buah sekolah yang berkongsi bangunan serta kemudahan yang sama lalu dipanggil SAB Satu dan SAB Dua. Pertandingan akhir yang diadakan di Sekolah SAB itu ternyata sengit apabila kedua-dua pihak berjaya menjawab sama banyak soalan yang dikemukakan dengan tepat. Maka pemenang pun terpaksa ditentukan melalui soalan kalah-mati. Siapa yang berjaya menjawab dahulu soalan tambahan dengan tepat, sekolahnyalah yang akan muncul juara nanti.

-----------------------------

Yang ini rasanya belum pernah diletak di blogspot ini... Daripada Bab 8 mukasurat 155...

-----------------------------

Tiba-tiba pemuda ini teringat dua buah mimpi berkaitan yang pernah dialami dahulu . Dalam mimpi pertama, kalau tak salah ingatan berlaku semasa dia masih menuntut di England ketika berumur sekitar 23 tahun, Rasyid mendapati dirinya berada di sebuah teluk yang airnya sangat dalam dan amat jernih... Daripada tebing teluk, menjulur keluar pohon condong yang rendang, sama rupanya seperti pohon tepi pantai di Pulau Kampai yang dilihat di alam nyata. Bezanya, di dalam mimpi, pohon itu lebih besar dan bahagian bawahnya iaitu pangkal dan akar terbenam ke dalam air. Apapun, dia dapat melihat, jika tebing tinggi di pulau ini dinaiki air sampai ke gigi, keadaannya mungkin saling tidak tumpah seperti di dalam mimpi.
Dalam mimpi itu juga, Rasyid sempat berenang-renang di sekeliling pangkal pohon itu dengan amat riang sekali. Airnya terasa lain dari yang lain, tidak seperti mana-mana air yang pernah ditemui di dunia nyata... Ringan, tidak basah... Sangat jernih dan ada semacam kelembutan melebihi sutera yang membolehkannya bernafas di dalam. Paling dia tak dapat lupakan, tempat itu berserta pohon dan teluknya terasa seperti rumah, seperti home sweet home yang dicari-carinya seumur hidup tetapi belum lagi terjumpa!
Beberapa tahun kemudian, barulah Rasyid mendapat sebuah lagi mimpi yang dapat memberikan rasa selesa yang amat menenangkan ini. Dalam mimpi itu, dia berserta tiga orang saudara telah menaiki kereta mendaki sebuah bukit yang letaknya entah di mana... Pemandangan di bawahnya kelihatan seperti di Muar, bandar kelahirannya... Tetapi kenyataannya tidak pernah wujud bukit sebegini malah apa-apa jenis bukit di sekitar bandar itu! Apabila sampai di atas, terjumpa pula sebuah papan tanda bertulis perkataan “Aji Yaki Dastagi”, tidak tahulah apa maknanya… Pelik bukan?
Anak muda inipun melangkah keluar kereta, sampai ke suatu dataran lalu disambut dua barisan manusia, kiri dan kanan yang kelihatan seperti orang-orang Asli. Pada muka mereka terlukis bintik-bintik hitam, mulut pula sentiasa bergerak seperti ikan di darat tercungap-cungap mencari nafas. Lebih pelik lagi, keluar lafaz yang bunyinya seperti “ketak, ketak, ketak...” daripada setiap mulut tetapi Rasyid merasakannya seperti zikir mengingati Allah yang amat menenangkan! Latar-belakang mimpi bertukar apabila pemuda itu tiba-tiba mendapati dirinya berada di dalam sebuah bangunan berdekatan dengan rekabentuk seakan kuil lama tanpa berhala. Yang ada, cuma lampu minyak seperti lampu Aladdin tergantung di beberapa tempat serta sebuah kolam berbentuk empat segi dengan air yang amat jernih.
Selama di dalam mimpi, pemuda itu dapat merasakan ketenangan jiwa yang amat sangat. Setelah beberapa ketika tibalah masanya untuk beredar... Tahu-tahu sahaja, dia sudah berada di dalam sebuah lif menuruni bukit. Ait??? Tak logik bunyinya bukan tetapi itulah yang berlaku. Lif itu pula terbuka, tidak berdinding... Maka terhamparlah pemandangan seperti di bandar Muar dengan sebuah pelabuhan di kuala sungai penuh dengan yatch atau kapal layar, sedangkan pelabuhan sebegitu tidak wujud di bandar itu... Atau mungkin ia akan wujud suatu hari nanti? Di hujung kuala sungai yang luas itu pula Rasyid ternampak sebuah teluk kecil dengan pohon rendang... Sama seperti yang pernah dilihatnya di dalam mimpi terdahulu, lebih kurang seperti apa yang terdapat di Pulau Kampai secara nyata. Lebih pelik lagi, hujung kawasan teluk ini bersambung sampai ke Sumatera!

-----------------------------

Hmm... Kita tukar angin dahulu ya... Tergerak hendak membuat cerita sambungan tentang promosi jalan pula... :]