Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, September 19, 2009

Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur...


Assalamualaikum semua. Sempena malam ini sudah pun masuk 1 Syawal 1430 tahun Hijrah sedangkan fasa penceritaan perjalanan di Aceh 15-22 Jun 2009 telah pun selesai baru ini, biarlah dipersembahkan di sini segala links untuk artikel ceritanya demi kesenangan pembaca ya. Agar penceritaan jadi lebih mantap dan menyeluruh, saya satukan segala cerita berkaitan daripada ketiga-tiga blogspots saya iaitu CATATAN SI MERAH SILU , BERPETUALANG KE ACEH and SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Semoga ia lebih menarik walaupun dahulu anda pernah mengikutinya sejak dari mula.

Di sini juga saya ingin mengucapkan selamat hari raya kepada setiap pembaca setia blogspot ini. Ampun dan maaf dipinta saya sekeluarga jika ada apa-apa kesalahan samada sengaja atau tidak disedari. Semoga kita semua mendapat berkat dari bulan mulia perayaan ini. Selamat malam! :]




Mukadimah







Isnin 15 Jun









Selasa 16 Jun



















Rabu 17 Jun










Khamis 18 Jun













Jumaat 19 Jun










Sabtu 20 Jun













Ahad 21 Jun








Penutup, Isnin 22 Jun








p/s: Pada mulanya saya menyangkakan ini adalah artikel ke 575 ke sini. Rupa-rupanya saya silap, ia adalah yang ke 574. Harap maklum, ini ialah buat peringatan diri saya yang ada gila-gila nombor. Sekian...


Thursday, September 17, 2009

Ke lapangan terbang untuk kembali ke Malaysia... tamatlah cerita perjalanan di Aceh...

Alhamdulillah, masuk 27 Ramadhan ini saya sempat menyelesaikan banyak perkara. Antaranya berjaya mengkhatamkan Al-Quran sebelum masuk waktu senja, satu pencapaian yang amat bermakna kerana itulah kali pertama saya mengkhatamkan kitab suci ini sejak hampir 28 tahun!

Kali terakhir dan julungkali saya khatam Al-Quran adalah ketika berumur 12 tahun. Itupun sebab dipaksa mengaji dan bila dikenangkan kembali ia berlaku dalam keadaan 'mengelat'... saya sebenarnya berhenti mengaji setelah selesai Juzuk ke 29.

Oleh kerana terlebih dahulu saya pernah khatam kitab kecil Muqaddam yang sebenarnya merupakan himpunan Surah-surah dalam Juzuk ke 30 Al-Quran, saya memberitahu guru mengaji bahawa cukuplah, saya sudah boleh dikira khatam seluruh kitab. Guru yang merupakan seorang perempuan tua ini mengalah sahaja. Melihat saya tidak mahu lagi pergi mengaji dan sentiasa mencari jalan untuk melarikan diri apa guna lagi dipanjangkan cerita?

Kini, dalam bulan Ramadhan tahun Hijrah 1430 ini baru saya betul-betul berjaya mengkhatamkan Al-Quran dengan membaca dari mula secara tertib dan menurut adab. Lebih bermakna lagi, ia berlaku sejurus sebelum masuk tarikh 27 Ramadhan yang merupakan ulangtahun ke 40 saya dilahirkan menurut tahun Hijrah! Maka itu elok juga ditamatkan terus cerita perjalanan di Aceh ini...


OK. Cerita-cerita perjalanan yang dinukilkan dari hari ke hari semuanya sudah tamat untuk meliputi apa yang berlaku sejak sampai ke Aceh 15 Jun sehingga sampai masa santai hari Ahad 21 Jun. Kini cuma tinggal cerita hari Isnin 22 Jun yang merupakan hari terakhir saya dan isteri berada di Aceh untuk kembali ke Malaysia.


Pagi sekitar jam 10 kami sudah keluar dari hotel lalu singgah sebentar di pejabat Kak Ann. Kemudian baru kami ke lapangan terbang untuk mengejar penerbangan yang akan berlepas sejurus sebelum masuk tengahari...

Cerita perjalanan dari Banda Aceh ke lapangan terbang dengan melalui bandar universiti atau daerah pelajar bernama Darussalam telah dinukilkan lebih awal tadi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH melalui artikel bertajuk Through the university town of Darussalam and on to the airport... . Ternyata di lapangan terbang terdapat ramai orang Malaysia turut mahu balik ke negara dengan penerbangan yang sama. Ada di antara mereka para pelajar universiti yang mengikut rombongan, ada yang datang mengikut program melawat penempatan anak-anak yatim terutama mereka yang kehilangan tempat bergantung setelah ombak ganas tsunami menyerang Aceh 26 Disember 2004.


Di sini di ruang menunggu, saya dan isteri meminta orang untuk mengambil gambar terakhir kami berdua di Aceh.



Sambil bersedia untuk menaiki kapal terbang, ternampak gunung Seulawah yang terserlah lagi menggamit kenangan. Ternampak juga sebuah pesawat penerbangan tempatan milik Sriwijaya Air. Sriwijaya? Macam ada sesuatu isyarat yang mahu diberikan...




Ketika ini kami sudah menaiki kapal terbang yang sedia berlepas daripada lapangan terbang, lapangan terbang antarabangsa Sultan Iskandar Muda yang diberi nama sempena pemerintah paling terkenal dalam sejarah Aceh (memerintah 1607 - 1636) Masihi. Sebuah artikel bertajuk The journey back home from Aceh and aerial pictures... memaparkan perjalanan di udara serta gambar-gambar dari dalam pesawat sudah pun dibuat di BERPETUALANG KE ACEH. Dengan ini selesailah segala nukilan perjalanan terbaru di Aceh. Semoga ia membawa faedah kalau tidak pun menghiburkan semua. Sekian, selamat maju jaya! :]






Deja vu panjang di dayah pimpinan ulamak Abu Madinah...

Kiranya ini bersambung daripada artikel Hari Ahad yang santai di Aceh diikuti majlis penuh warna-warni... ya! Mari...


Selepas majlis di hotel tamat, saya dan isteri duduk bersama Kak Ann berehat di lobi. Tempat kami terus didatangi 2 orang ulamak terkemuka Aceh kini, seorang dipanggil sebagai Walid, seorang lagi yang lebih tua dan senior dipanggil Abu Madinah. Walid sendiri merupakan seorang ulamak besar yang dihormati, turut dirujuk para pembesar Indonesia dari Jakarta. Tetapi di hadapan Abu Madinah dia kelihatan segan. Diciumnya tangan orang tua berumur sekitar 60an itu (kalau tak salah saya le) menunjukkan tanda hormat yang amat sangat.

Di ketika hadirin lain rata-rata berkumpul bersama sekutu politik masing-masing menyambung cerita mahupun rancangan dan percaturan, kami pula agak santai bercerita tentang keadaan semasa masyarakat, masuk sedikit bab-bab agama. Entah kenapa Abu Madinah yang tidak banyak bercakap tetapi lebih selesa memasang telinga tertarik dengan saya dan isteri. Terus dia mengajak kami berjalan-jalan melihat sebuah dayah (bahasa Aceh untuk institusi pengajian pondok, juga dipanggil pesantren dalam bahasa Indonesia) pimpinannya di pinggir Banda Aceh. Rupa-rupanya Abu Madinah yang pernah duduk lama di Madinah, Tanah Arab memimpin 2 buah dayah di sekitar bandaraya...


"Sudilah naik van buruk saya," dia menjemput. Walaupun jam sudah masuk 1 pagi kami menerima sahaja. Bukan selalu dapat peluang begini. Lagipun siang nanti kami akan kembali ke Malaysia.

Abu Madinah pun membawa kami ke dayah yang terletak sekitar 5 km dari hotel. Rupa-rupanya ada sebab kerana di situ sekali lagi saya mengalami deja vu panjang.



Saya percaya para pembaca setia blogspot ini sudah sedia maklum betapa saya selalu mengalami deja vu... pengalaman seperti pernah sampai di suatu tempat di mana segala yang berlaku, apa yang dilihat, jalan yang dilalui, perbualan yang terkeluar sama sahaja seperti apa yang pernah dilihat samada dalam mimpi ataupun bayangan . Walaupun di Aceh juga saya selalu deja vu, tetapi seingatnya saya cuma beberapa kali sahaja mengalami deja vu panjang melihat apa yang berlaku sama sahaja seperti 'pengalaman lepas' sehingga menjangkau tempoh melebihi 5 minit.

Di sini biar disenaraikan kembali pengalaman deja vu panjang di Aceh... seingat saya tiada yang lain sebegini...

1. Ziarah ke Makam Lapan hari Rabu. Lihat artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan?

2. Ziarah ke makam Laksamana Malahayati dan bukit sekitarnya. Lihat artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... .

3. Singgah restoran karaoke berdekatan aliran timur Sungai Aceh. Lihat artikel Tutup cerita hari Sabtu : Deja vu di restoran karaoke, 'mengopi' di Ulu Kareng dan membeli buah-tangan di Jalan Sultan Malikus Salih! .

4. Di dayah pimpinan Abu Medinah pada awal pagi Isnin sejurus sebelum kembali ke Malaysia!



Abu Medinah menunjukkan kawasan sekitar dayah dengan beberapa bangunan sedang diperbaiki atau diperbesarkan. Maaf gambar-gambar yang ada kelam-kelam belaka... tetapi begitulah keadaannya seperti saya lihat hingga menjadi deja vu. Apabila mendengar saya berhajat untuk melihat Banda Aceh daripada menara di tengah bandaraya (semasa saya datang ia sedang ditutup), dia menawarkan untuk membawa saya naik ke menara masjid utama Aceh iaitu Masjid Baitur Rahman! Tapi tak mengapalah, ini cuma dapat dilakukan selepas waktu Subuh sedangkan kami harus bersiap-sedia untuk kembali ke Malaysia selain saya masih perlukan sedikit rehat di hotel, tak larat jalan-jalan lagi dah.

Ulamak yang dihormati ini memberikan pesan... carilah dia jika datang lagi ke Aceh. Dia akan membawa kami berjalan-jalan. Saya mengangguk-angguk kepala, terasa malu juga dilayan begitu hormat oleh seorang ulamak besar. Sejurus kemudian dia menghantar kami kembali ke hotel. Cukuplah lawatan sekitar setengah jam ke dayah pimpinannya untuk menzahirkan satu pengalaman melihat masa hadapan melalui proses deja vu yang mungkin nanti akan saya pecahkan makna sebenarnya nanti Insyaallah. Sekian laporan...


Hari Ahad yang santai di Aceh diikuti majlis penuh warna-warni...

Hari Ahad 21 Jun 2009. Setelah beberapa hari asyik berjalan-jalan ke merata tempat kali ini kami sekadar duduk santai di hotel dan sekitar...


Rasanya cukuplah kami sudah pergi ke semua tempat yang ingin kami pergi ditambah tempat-tempat yang tidak sangka kami akan pergi tetapi dirancangkan oleh orang lain pula buat kami atas Qada dan Qadar Allah jua. Lagipun esok harinya Isnin pagi masuk tengahari sekitar jam 11 gitu (saya pun dah lupa jadualnya dengan tepat) kami akan berlepas kembali ke Malaysia. Maka itu biarlah kami berehat menghilangkan penat seraya menikmati apa yang terdapat di hotel paling mewah di Aceh ini sendiri...

Rupa-rupanya masih ada lagi sesuatu yang menarik mahu diberikan Allah untuk kami menikmati. Petang itu kami mendapat panggilan daripada Kak Ann bahawa ada majlis besar akan berlangsung di hotel kami malam nanti. Dan tidak seperti majlis hari Jumaat malam Sabtu di mana kami sebenarnya masuk secara curi-curi tetapi selamba (lihat artikel Menikmati tarian tradisional Aceh di majlis orang! ), kali ini kami dijemput hadir sama sebagai sebahagian daripada tetamu VIP!


Lalu kami pun masuk menghadiri majlis yang merupakan satu persediaan untuk pilihanraya memilih presiden Indonesia...



Turut hadir adalah beberapa orang ulamak terkemuka Aceh kini...




Selain itu kebanyakan yang hadir adalah orang-orang yang terlibat dalam dunia politik Indonesia juga Aceh sendiri...





Ah. Majlis pun bermula dengan rasmi...






Tetamu-tetamu VIP disambut dengan cara tradisional Aceh...







Alhamdulillah, saya dan isteri dapat menikmati lagi persembahan tradisional Aceh. Dan kali ini kami tidak begitu 'kemaruk' lagi. Kerana hajat untuk menikmati sudah dipenuhi lebih awal pada majlis terdahulu di hotel ini juga. Yang ini kira bonus le sebelum kami kembali ke Malaysia...






Tetapi ternyata masih ada yang belum kami saksikan di Aceh. Nasib baik kami menghadiri majlis ini. Rupa-rupanya ada persembahan tarian dabus! Tahu apa itu tarian dabus? Sila lihat video-video yang diletakkan pada artikel Enjoying some more Aceh traditional shows, this time as VIP guests at a political rally function... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Di situ ada 'cebisan-cebisan' daripada semua persembahan yang ada, daripada paluan gendang dengan nada keagamaan, bacaan istimewa Al-Quran sehingga ke persembahan ala Bob Dylan membawa ke tikam menikam menghiris badan. Sekian...


Wednesday, September 16, 2009

Tutup cerita hari Sabtu : Deja vu di restoran karaoke, 'mengopi' di Ulu Kareng dan membeli buah-tangan di Jalan Sultan Malikus Salih!

OK. Selesai melihat Benteng Iskandar Muda seperti disebut dalam artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... kami pun mengorak langkah kembali ke Banda Aceh.


Oleh kerana sebelum ini boleh kata kesemuanya segmen-segmen perjalanan hari Sabtu berserta gambar-gambarnya telah diluahkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH , biar perjalanan kembali ke Banda Aceh pula diluahkan 100 peratus di sini.


Kami menyusuri kembali jalan sama yang digunakan untuk ke Teluk Lamreh @ Lamuri, juga dikenali sebagai Lambri dan Lam Urik. Memang ini satu-satunya jalan yang menghubungkan pinggiran Banda Aceh dengan teluk itu yang lebih dikenali dengan bandar pelabuhannya, Pelabuhan Malahayati...


Sampai di pinggir Banda Aceh kami singgah di satu tempat untuk mendapatkan hidangan kari kambing yang dikatakan sangat enak. Sayangnya ketika itu kari kambingnya sudah habis, maklumlah kami sampai ke sini pun sudah jam 5 petang gitu sedangkan hidangan ini dibuat untuk makan tengah hari...



Seterusnya kami menyeberangi lagi aliran timur Sungai Aceh...




Seperti ada disebut dalam artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... , Kreung atau Sungai Aceh berpecah di selatan Banda Aceh untuk membentuk 2 aliran berasingan yang keluar melalui 2 kuala ke laut. Aliran timur ini ternyata lebih luas dengan kelebaran sekitar 300 meter sedangkan aliran barat yang meliku di tengah bandaraya lebarnya cuma sekitar 80 meter sebelum meluas ke 140 meter gitu di kuala sana...



Selepas melepasi jambatan kami turun ke selatan lalu berhenti untuk makan di sebuah restoran berhampiran tepian sungai...





Rupa-rupanya ini adalah sebuah restoran karaoke yang boleh dikira eksklusif. Entah kenapa di sini saya deja vu panjang. Sungguh pelik apabila memikirkan, sepanjang berada di Aceh rasanya saya cuma 3 kali deja vu panjang iaitu deja vu yang berlaku lebih 5 minit. Apa yang berlaku secara nyata sama sahaja keadaanya seperti pernah dilihat dalam bayangan atau mimpi dahulu seolah-olah sedang menyaksikan kembali rakaman video sebegitu lama sedangkan saya tidak pernah sampai ke tempat-tempat yang dimaksudkan sebelum itu!

Saya tidak berapa hairan dengan deja vu panjang pertama kerana ia berlaku di kawasan makam para pejuang Aceh yang mati syahid seperti disebut dalam artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan? . Deja vu panjang yang berlaku lebih awal hari Sabtu seperti disebut dalam artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... juga berlaku di tempat yang sepatutnya. Lalu bagaimana boleh berlaku satu lagi deja vu panjang tetapi di restoran karaoke di mana saya pernah melihat rupa bentuk dalaman restoran serta aturan tingkap, langsir dan meja entah berapa lama dahulu. Apakah ada sesuatu yang istimewa di sini selain hidangan dan sesi menyanyi suka-suka?





Kemudian baru saya tahu restoran ini terletak di simpang satu jalan yang rupa-rupanya memang ada sesuatu...





Di sini, aliran timur Sungai Aceh yang lebar tadi sudah mengecil separuh lebar. Ada bahagian tanah yang digunakan untuk berekreasi seperti membuat sukan memanah...




Ada juga aktiviti sungai yang turut menambahkan rasa meriah.







Simpang di tepi restoran membawa ke satu jalan di mana terdapat makam seorang pahlawan nasional di tepian. Lihat artikel Makam (tomb of) Teuku Nyak Arif di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .


Kemudian kami singgah bersolat di sebuah masjid yang kelihatan seperti belum siap. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Hidayatul Islam...

Kedudukannya sudah dekat dengan satu kawasan pinggiran bandaraya yang terkenal iaitu Ulu Kareng...




Ulu Kareng terkenal dengan hidangan kopi tempatan yang amat enak. Menurut ceritanya, rangkaian kedai kopi mewah milik Amerika (betul kan milik Amerika?) iaitu Starbucks turut menggunakan kopi yang sama iaitu kopi Aceh yang ditanam di kawasan tanah tinggi Takengon.

Cuma Aceh tidak memiliki sebarang industri besar lalu kopi ini dieksport melalui Medan yang mendapat nama, sama keadaannya seperti Malaysia sebelum tahun 1980an di mana kebanyakan barangan mentah hasil bumi kita diproses dan dieksport melalui Singapura yang sebenarnya tidak memiliki apa-apa tetapi sering mendapat nama.

Apa lagi, seperti kata orang Indonesia kami pun mula 'mengopi'. Isteri saya seronok dan teruja dengan kopi yang ada. Kami pun membeli beberapa kampit kecil serbuk untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga.



Selepas itu kami pergi ke hadapan Taman Makam Pahlawan...





Ketika itu sudah hampir waktu Maghrib. Maka pintu masuknya sudah dikunci. Saya tidak pasti apakah yang ada di dalamnya, rasanya makam-makam pahlawan yang gugur dalam peperangan dan sebagainya terutama ketika menentang penjajah Belanda. Yang menarik adalah bentuk pintu masuk... nampaknya ia dibuat untuk menyerupai Pintu Khop yang dibina 400 tahun lalu. Lihat artikel Pintu Khop, jalan masuk ke nikmat duniawi (entrance to worldly pleasures) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Jumaat lalu.




Kami singgah di masjid berhadapan untuk solat Maghrib. Rupa-rupanya ia bakal menjadi masjid terakhir yang saya singgahi di Aceh, sekurang-kurangnya untuk lawatan Jun lalu! Sila lihat artikel Masjid hadapan Taman Pahlawan (Mosque in front of Taman Makam Pahlawan, the warriors' tomb park), Banda Aceh .





Dari masjid kami berjalan malam ke satu lagi destinasi...





Atas cadangan pemandu yang tahu kami mahu membeli sedikit buah tangan untuk dihadiahkan kepada keluarga, kami singgah di kedai ini. Eloklah diselesaikan bab buah tangan hari itu juga... takut tak sempat membeli-belah kerana kalau boleh hari Ahad esoknya kami mahu berehat sahaja di hotel sedangkan pagi Isnin sudah wajib bersiap-sedia untuk kembali ke Malaysia!




Apabila melihat alamat kedai ini baru saya tersedar satu perkara. Ia terletak di Jalan Sultan Malikus Salih!

Baru beberapa hari itu saya ada tertanya-tanya di manakah letaknya jalan ini setelah mendapat tahu kewujudannya di Banda Aceh. Bukan apa, saya cuma mahu memeriksa jika akan muncul satu petunjuk berkaitan nanti. Saya ada bertanyakan pemandu lain yang membawa kami berjalan-jalan di Aceh awal dahulu. Dia ada memberitahu tetapi bukannya saya dapat membayangkannya kerana belum mengenali jalan-jalan di bandaraya ini.

Siapa sangka hari Sabtu malam Ahad saya akan melangkah ke jalan ini? Pemandu yang membawa kami bukannya tahu saya berminat untuk mengetahui kedudukannya. Dia cuma mahu memperkenalkan kedai buah tangan yang dirasakannya paling setimpal harga barangannya. Saya pula tersenyum lebar. Selain barang yang ada ternyata murah, saya merasakan kedatangan tanpa dirancang di sini juga berkait dengan Sultan Malikus Salih itu sendiri!



Selepas itu baru kami makan malam... lambat, masuk jam 10 dah. Dengan itu selesailah segala aktiviti hari itu. Kami pun kembali ke hotel untuk masuk tidur. Maka dapatlah saya berehat setelah bertungkus-lumus cuba melepaskan cerita aktiviti hari Sabtu melalui penulisan yang dibuat Isnin malam Selasa hingga kini. Sekian! :]


Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi...

Alhamdulillah setelah bertungkus-lumus malam semalam dan tadi, baru saya dapat menyambung cerita perjalanan Aceh di sini. Setelah menyajikan 5 artikel baru berkaitan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH , 5 juga di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) berserta 2-3 artikel berlainan topik tetapi turut menolong membuka aliran pemikiran, baru saya boleh mula menceritakan apa yang berlaku di Aceh hari Sabtu 20 Jun 2009. Kiranya bersambung daripada artikel Menikmati tarian tradisional Aceh di majlis orang! ya...

Pagi Sabtu setelah menikmati sarapan secara buffet di hotel, pemandu dari syarikat Kak Ann datang menjemput untuk membawa kami berjalan. Kali ini pemandu yang datang adalah juga pemandu peribadi Kak Ann yang dipanggil Pak Tar (ke Pak Atar? Lebih kurang le tu...). Kereta yang digunakan juga sebuah kereta baru MPV Hyundai yang lebih canggih lalu kami dibawa menyusur sebuah jalan yang tidak pernah kami lalui sebelum ini...


Jalan ke timur Banda Aceh ini membawa kami menyeberangi bahagian Sungai Aceh yang lebih luas. Untuk pengetahuan, Sungai Aceh bercabang di selatan Banda Aceh untuk membentuk 2 aliran berasingan keluar ke laut. Semasa itu saya keliru bagaimana sungai di sebelah timur ini turut dipanggil Sungai Aceh atau bahasa tempatannya Krueng Aceh. Sedangkan saya tahu di tengah bandaraya memang mengalir Sungai Aceh dengan satu kuala yang berlainan.

Setelah melihat peta satelit melalui Google Earth, baru saya faham rupa-rupanya pecahan 2 aliran ini membentuk semacam pulau delta di tengahnya dengan 2 buah kuala terletak lebih 4 km antara satu sama lain. Baru saya faham kenapa Sheikh Abdul Rauf Singkel turut dipanggil Syiah Kuala (lihat artikel Baru sampai ke makam Syiah Kuala yang amat terkenal itu! ). Kerana kedudukan makam itu terletak antara 2 kuala, masih lagi dalam lingkungan aliran air Sungai Aceh yang keluar ke laut gitu...


Apapun perjalanan diteruskan ke timur. Kelihatan bukit-bukau yang pernah saya lihat terserlah dari hotel, bukit-bukau yang pada malam harinya boleh kelihatan jalan dan bangunan-bangunan berlampu menunjukkan ada penempatan di lereng-lerengnya. Lihat artikel Views of Aceh from our hotel early morning...




Jalan ke timur, sesekali ke timur-laut ini mula membawa ke tepian pantai...



Tidak lama kemudian kami mengambil satu simpang kiri untuk melihat satu peninggalan lama...



Selamat datang ke Benteng Indrapatra, sebuah peninggalan purba yang menggamit satu sejarah pra-Islam...






Di sini terdapat beberapa buah benteng atau kubu besar hampir serupa yang terdapat di tempat sejarah lama Eropah. Untuk pengetahuan ia dipercayai dibina sekitar abad ke 7 Masihi iaitu 1,400 lalu! Kiranya zaman semasa Nabi Muhammad SAW baru lahir gitu...

OK. Semasa di Aceh saya ingat ada membaca sedikit sejarah tentang benteng ini yang menyebut ia asalnya dibina oleh sebuah kerajaan Hindu yang kemudian berjaya diIslamkan sekitar abad ke 12 Masihi. Saya sudah lupa nama kerajaan tersebut, apakah ia Lamuri, apakah Inderapuri. Yang pasti kedua-duanya ada kena-mengena... rasanya ada juga kena-mengena dengan Masjid Indrapuri seperti dipaparkan melalui artikel Masjid Indrapuri, bukti agama Hindu memang berasal daripada syariat Nabi Ibrahim AS? yang dibuat lebih sebulan lalu.

Apapun, nama Lamuri lebih banyak dikaitkan dengan Aceh purba walaupun Indrapuri juga ada disebut sama. Ini turut mengingatkan saya pada nama Lemuria, sebuah benua dengan penduduk spiritual yang katanya pernah wujud sezaman dengan benua hilang Atlantis yang cerita kewujudannya persis dongengan kayangan.

Apakah Lamuri ini ada kena-mengena dengan Lemuria yang turut hilang? Yang pasti, ada teori menyebut Lemuria yang kemungkinan berdiri sebagai benua besar sebelum zaman banjir Nabi Nuh terletak di Asia Tenggara dan berdiri di atas Pentas Sunda di mana terletaknya sebahagian besar Nusantara!

Oh. Cerita di sini ada sedikit melompat-lompat agar dapat meliputi banyak perkara. Untuk mengikuti jalan cerita dengan lebih teratur, sila lihat artikel To Lamuri and the fortress of Indrapatra... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Lihat juga artikel Benteng (Fortress of) Indrapatra... di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Perjalanan pun diteruskan ke Teluk Lamreh. Tetapi saya lebih selesa menyebutnya sebagai Teluk Lamuri berdasarkan fakta ia pernah menempatkan pusat kerajaan purba Lamuri. Lagipun perkataan Lamuri dan Lamreh itu memang hampir sama bunyinya...



Selepas menyeberangi Kreung (sungai) Raya masuklah kami ke sebuah bandar pelabuhan yang dipanggil Pelabuhan Malahayati... sempena nama seorang pahlawan wanita terkemuka Aceh iaitu Laksamana Keumala Hayati @ Malahayati... Keumala itu ejaan Aceh yang sama sahaja dengan Kemala dalam bahasa Melayu biasa.




Perjalanan ke sini asalnya mahu dibuat hari Rabu. Tempat utama yang mahu dituju adalah Benteng Inong Balee, sebuah kubu lama yang pernah dibina Laksamana Malayahati serta angkatan laut 2,000 orang janda yang dipimpinnya 400 tahun lalu. Sebaliknya hari itu telah menyaksikan saya dan isteri mengikut Kak Ann dan rombongan ke Bireuen 230 km ke tenggara Banda Aceh sebelum bergerak lagi 220 km ke Langsa... dalam rangka perjalanan untuk menziarahi makam Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera Pasai yang telah mangkat lebih 800 tahun lalu (lihat koleksi cerita berkaitan melalui artikel Himpunan cerita "Ke makam Sultan Malikus Salih" dan 999...). Selesai perjalanan itu serta sedikit rehat hari Jumaat, baru kami dapat membuat perjalanan yang ini pula hari Sabtu.

Sebenarnya saya pun tidak menyangka akan ke tempat ini pula selepas perjalanan itu. Adapun asalnya perjalanan ke Benteng Inong Balee cuma mahu dibuat sebagai aktiviti pengisi... aktiviti pengisi masa sementara menunggu peluang bilakah akan melangkah ke makam Sultan Malikus Salih. Untuk pengetahuan, sejak mengetahui siapakah dirinya pemerintah tersohor dalam sejarah lama Aceh ini, saya memang teringin sangat untuk menziarahi makam baginda. Seperti ada disebut dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", perjalanan pertama saya ke Aceh yang dibuat Januari 2004 cuma dapat sampai ke Langsa sahaja.

Siapa sangka lebih 5 tahun kemudian baru saya dapat sampai ke makam Sultan Malikus Salih. Maka itu saya menyangkakan perjalanan ke makam itu adalah klimaks lawatan ke Aceh Jun 2009. Rupa-rupanya masih ada lagi satu klimaks yang sama tinggi. Malah ada kemungkinan yang ini lebih tinggi dan hebat lagi!


Apakah yang menyebabkan saya menyebut ada klimaks yang mungkin lebih tinggi dan hebat lagi? 'Petunjuk' awal saya dapati apabila terlihat bangunan stor menyimpan simen ini.

Adapun saya dapat merasakan nombor 191 yang tertera pada bangunan (lihat perkataan "Sejak 1910") membawa makna yang ada kena-mengena dengan mukasurat 191 di ketiga-tiga buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Sila lihat artikel lama 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?) yang dibuat 2 tahun lalu, pada 11 September yang juga disebut 9/11 gitu!

Terus hati saya menyebut kira-kira setentang dengan bangunan ini mesti terdapat satu tempat yang memiliki makna tertentu yang mendalam. Ternyata telahan ini betul. Sila ikuti dahulu apa yang dinukilkan melalui artikel The number 191, a clue to something special about Lamuri...



Rupa-rupanya di sini terdapat makam Laksamana Keumala Hayati @ Malahayati. Siapakah laksamana wanita ini? Terlebih dahulu biar saya ceritakan melalui sedutan buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti", dari Bab 3...

---------------



Rasyid sedikit pelik. Bagaimanakah Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu Ahmad bin Abdul Rahman boleh menaiki takhta Aceh? Setahunya, pangkat itu bukanlah sebesar pangkat Bendahara atau Perdana Menteri. Bukan juga pangkat kerabat diraja, apalagi baginda dikatakan berketurunan Bugis. Siapalah si Ahmad ini jika dibandingkan dengan keturunan Sayyid anak cucu Rasulullah SAW yang diakui ketinggian martabatnya? Lalu dia pernah bertanyakan hal ini kepada seorang tua berketurunan Aceh yang sekarang menetap di Perak. Jawaban orang tua itu senang... Sebenarnya Ahmad bin Abdul Rahman bukan sekadar bangsawan biasa. Dia berasal daripada keturunan yang terpilih...

“Ayahandanya, Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu terdahulu, juga Laksamana bernama Abdul Rahman bin Zainal Abidin adalah anakanda Laksamana Raja Keumala Hayati, satu-satunya panglima perang perempuan yang pernah memimpin sebuah armada kapal laut yang terulung di Nusantara,” orang tua itu membuka cerita. “Angkatan perang yang terdiri daripada janda-janda para pejuang yang mati syahid itu pernah mengalahkan armada Belanda dalam peperangan di Teluk Aru.”

“Raja Keumala Hayati pula adalah generasi keempat keturunan Sultan Ali Mughayat Shah (1511-1530), raja besar dan pahlawan berwibawa yang diiktiraf sejarah sebagai Sultan pertama Aceh Besar kerana berjaya menggabungkan kerajaan-kerajaan Daya, Pedir, Pasai dan Haru ke dalam Aceh. Maka memang Ahmad bin Abdul Rahman mempunyai darah keSultananan Aceh dan memiliki kelayakan untuk menaiki takhta,” dia menyambung.

Kata orang tua itu lagi, ayahanda Ahmad, Abdul Rahman bin Zainal Abidin pula pernah berkahwin dengan Sultanah Naqiatuddin, raja perempuan kedua Aceh. Tetapi tidak pastilah jika baginda dilahirkan hasil perkahwinan ini atau daripada ibu yang lain.

“Nendanya, Zainal Abidin juga bukan calang-calang orang. Suami Laksamana Raja Keumala Hayati ini merupakan Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu juga Laksamana di zaman Sultan Alauddin Sayyid al Mukamil,” dia meneruskan. “Selain itu beliau juga dikenali sebagai anakanda seorang ulamak yang amat disanjung tinggi di Aceh, Daeng Mansur bin Sheikh Abdullah Al-Malikul Amin, ayahanda kepada Puteri Ratna Sendi Istana, Permaisuri kepada Sultan Iskandar Muda dahulu.”

Lagipun pangkat Laksamana di Aceh bukannya pangkat kecil-kecilan. Ia adalah satu pangkat besar kerabat diraja yang dahulunya sering digunakan oleh raja muda atau tengku mahkota, bakal Sultan Aceh!

Hmm. Sebenarnya sedutan tadi asalnya ditulis untuk meneroka keadaan bagaimanakah satu jalur keturunan yang katanya berasal daripada bangsawan Bugis dapat merajai Aceh bermula abad ke 18 Masihi. Rasanya sesuai juga dibaca sekali artikel Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? yang dibuat lebih 2 bulan lalu.

Sesuatu yang amat terserlah tentang makam Laksamana Malahayati ialah kedudukannya yang begitu strategik dan amat cantik. Tidak disangka, di sini saya dapat merasakan semacam aura yang lebih hebat daripada apa yang dirasai di makam Sultan Malikus Salih juga makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah (lihat artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak...). Dan tentunya aura di sini lebih hebat daripada yang terdapat di makam tengah Banda Aceh yang disebut secara rasmi sebagai makam Sultan Iskandar Muda sedangkan gerak hati saya menyanggah kesahihannya.

Sila lihat artikel Makam (tomb of) Sultan Iskandar Muda? yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 bulan lalu. Di sini saya mahu meletakkan pula sedutan berkaitan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal"... dari Bab 8 yang ada menceritakan sesuatu di sebalik Teluk Haru, sebuah teluk di selatan sempadan tenggara Aceh...

--------------


Teluk Aru memiliki keindahan serta sejarahnya yang tersendiri. Selain pernah menjadi pusat awal kerajaan lama Haru, sebuah kuasa besar bumi Melayu ketika awal kegemilangan Melaka 600 tahun dahulu, teluk yang nampak begitu permai ini pernah menyaksikan sebuah peperangan dahsyat di antara angkatan laut Aceh dengan armada Belanda.

Lebih menarik, peperangan yang berlaku penghujung abad ke 16 itu menonjolkan ketokohan seorang Laksamana perempuan, Laksamana Raja Kemala Hayati yang pernah memimpin sebuah angkatan laut perempuan! Angkatan itu terdiri daripada 2,000 orang janda yang kehilangan suami... Gugur akibat menentang percubaan penjajahan kufar Barat di rantau ini. Maka mereka berperang dengan azam yang sangat jitu lalu berjaya mengalahkan angkatan laut Belanda yang cuba bertapak di teluk itu.

“Raja Kemala Hayati sendiri telah kehilangan suami yang gugur syahid ketika menentang Portugis yang cuba menceroboh Aceh dahulu,” seorang tua berketurunan Aceh yang menetap di Perak pernah memberitahu. “Generasi ke-empat keturunan Sultan Ali Mughayat Shah ini (Sultan yang berjaya menyatukan Aceh, Daya, Pedir dan Pasai, juga Haru untuk mewujudkan Aceh besar sebagai pengganti kedaultan Melaka) diakui sejarah sebagai satu-satunya laksamana atau admiral dan pemimpin perang perempuan yang tersohor dalam sejarah Nusantara malah sejarah dunia!”

Untuk pengetahuan, orang tua inilah yang menerangkan bagaimana seorang yang dikatakan bangsawan Bugis, Laksamana juga Orang Kaya Maharaja Lela Melayu Ahmad bin Abdul Rahman boleh diangkat menjadi Sultan Aceh. Baca balik Bab 3 buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti.” Banyak juga cerita lama berada di dalam simpanan orang ini.

Katanya, Raja Kemala Hayati ternyata unggul dalam banyak bidang yang selalunya dikuasai lelaki malah sifat kepahlawannya mampu membuat ramai kaum Adam terasa malu pula! Selain memimpin angkatan perang Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid al Mukammil (1589-1604), anggota perempuan kerabat diraja Aceh ini pernah menjadi kepala barisan pengawal istana panglima rahsia (pengawal peribadi) dan ketua protokol istana.

Ah... memang Rasyid nampaknya disuruh ke sini untuk menyusuri sejarah dan susur-galur tertentu. Laksamana Kemala Hayati ini juga merupakan salah-satu daripada... Oh... Tidak boleh cerita ini. Kena ingat pesan orang tua-tua... Cukuplah setakat berkata mereka ada kaitan juga.


Walaupun kompleks makam ini dikenali sebagai makam Laksamana Malayahati, saya rasa turut sama terserlah malah mungkin lebih menonjol adalah makam di sebelahnya iaitu makam si suami! Walaupun sejarah cuma menyebut nama sang suami iaitu Laksamana Zainal Abidin cuma sepintas lalu, kajian peribadi saya menyebut ada kemungkinan besar lelaki ini memiliki identiti diraja yang sangat gah dan besar namanya, identiti yang sengaja disembunyikan dengan menyatakan sang suami telah gugur melawan Portugis terlebih dahulu...

Yang nyata makam beliau (atau baginda sebenarnya?) ditanda dengan batu nesan Aceh bentuk diraja yang hampir-hampir menyerupai apa yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih. Mungkin kaitan rahsia yang dapat saya rasakan inilah yang menyebabkan suasana serta aura sekitar makam ini dirasakan lebih hebat daripada mana-mana makam yang pernah dilawati sepanjang berada di Aceh?




Seterusnya saya tergerak untuk menerokai kawasan lereng bukit di belakang makam.





Sebenarnya saya tergerak untuk meneroka kerana menyangkakan Benteng Inong Balee yang asalnya menjadi tujuan utama kami ke kawasan yang terletak 30 km dari Banda Aceh ini terletak dekat-dekat sini juga...





Sejurus kemudian baru saya tahu Benteng Inong Balee terletak 3 km ke timur lagi. Tetapi ada hikmahnya saya menyangkakan ia terletak sekitar ini kerana atas sebab itulah saya meneroka kawasan belakang makam lalu sampai pula di kawasan lapang lain yang selari...



Gambar-gambar sekitar lereng bukit ini saya ambil daripada artikel Deja vu at the hillside facing the bay of Lamuri yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH lebih awal tadi. Ada banyak lagi gambar di artikel itu, saya tunjukkan kerana di sinilah berlaku satu perasaan deja vu yang paling lama sejak saya berada di Aceh!

Kelihatan dalam gambar atas adalah bangunan makam yang terletak selari tetapi sedikit rendah dengan kawasan lapang bukit yang saya temui ini. Di sini saya dapat merasakan bahawa ia pernah menjadi serambi istana lama dengan pemandangan indah lagi strategik menghadap ke laut lepas...


Lihat pemandangan ke laut yang amat indah ini. Dalam artikel Deja vu at the hillside facing the bay of Lamuri saya cuma menyebut perasaan deja vu panjang yang muncul di sekitar ini. Saya terlupa hendak menyebut bahawa saya telah terlebih dahulu mendapat rasa deja vu yang panjang lagi nyaman sejak berada di kawasan makam lagi!



Saya pun turun kembali ke bangunan makam untuk membacakan Surah Ya Sin. Lihat bagaimana romantiknya makam pasangan ini di'sambung'kan dengan kain putih. Nampak seperti pasangan dua sejoli yang ada memegang janji untuk menyimpan identiti alternatif atau identiti lebih besar diri masing-masing demi mempertahankan Aceh daripada musuh luar dan dalam, lebih-lebih lagi dengan adanya kehadiran musuh-musuh dalam selimut yang cuba menghancurkan nasab berdaulat yang mampu mengembalikan kegemilangan Aceh seterusnya kegemilangan Islam di Nusantara!

Identiti alternatif yang dimaksudkan adalah sesuatu yang ditemui secara tidak sengaja apabila mengkaji lebih dekat susur-galur diraja kerajaan Aceh serta Perak yang turut berkaitan. Ia berkenaan sesetengah orang memakai pelbagai nama atas sebab-sebab tertentu lalu ada yang disangkakan sebagai 2 orang yang berlainan sedangkan ia cuma merupakan 2 nama panggilan bagi satu tubuh-badan!

Maka di sini saya tergerak pula untuk meletakkan sedutan daripada buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?"... daripada bab bertajuk "Dari Aceh ke Perak : Nakhoda Hitam Laksamana Tok Kuala Bidor"...

---------------

Salah satu misi utama Rasyid mengkaji cerita-cerita lama Melayu dahulukala terutama yang berkaitan keSultanan Perak dan Aceh adalah untuk mencari asal-usul keluarga Laksamana Perak yang ramai bermastautin dan beranak-pinak di sekitar Teluk Intan. Pemuda itu pernah diberitahu keluarga ini berasal daripada keturunan Sultan Malikus Salih pengasas kerajaan Samudera Pasai yang tersohor dalam sejarah Aceh... Mereka adalah keturunan anak cucu Sultan itu yang pernah membawa diri meninggalkan bumi Serambi Mekah atas sebab-sebab tertentu termasuk perang saudara dan perebutan takhta. Ada yang dapat kembali ke sana beberapa abad kemudian tetapi anak cucu mereka pula dipaksa untuk menyeberang lagi ke Perak. Maka hiduplah mereka turun-temurun di bumi sebelah sini sehingga dikenali sebagai keluarga Laksamana Raja Mahkota.

Kata almarhum Nenek dan bapa-bapa saudara, dahulu mereka ada menyimpan sebuah salasilah lama yang menyatakan secara tepat siapakah nenek-moyang keluarga Laksamana sampai ke pengasas kerajaan Samudera Pasai itu lebih 700 tahun dahulu. Malangnya salasilah ini telah hancur bersama beberapa barangan lama peninggalan turun-temurun apabila sebuah rumah ahli keluarga di Teluk Intan yang terletak di dalam lingkungan sebuah kota lama terbakar lebih 20 tahun dahulu. Ahli keluarga yang tua pula ramai sudah meninggal dunia, tinggal generasi muda yang kurang tahu cerita. Memandangkan tidak ada seorang pun masih ingat isi salasilah ini atau cukup berminat untuk mencarinya kembali, maka Rasyid yang pernah mendapat sebuah mimpi berkaitan keSultanan Perak juga keSultanan lama Aceh telah terpanggil untuk mencuba...

Sebenarnya, ada saudara yang berminat dan pernah cuba menggali cerita ini tetapi tidak berjaya. Malah ada yang mendapat amaran dalam mimpi menyatakan dia tidak layak mencari! Berdasarkan cerita almarhum Nenek bahawa moyang keluarga Laksamana yang pertama sampai ke Perak telah membawa diri daripada bumi Serambi Mekah setelah adinda sendiri merebut takhtanya, pemuda ini yang mempunyai latarbelakang kewartawanan pun cuba mencari identiti mereka. Ini dilakukan dengan mengkaji beberapa salasilah raja-raja termasuk hasil kajian Barat, disokong perasa dan gerak hati sambil meminta petunjuk daripada Allah Subhanahuwata’ala.

———————

Maka tersebutlah nama Sultan Salehuddin ibni Sultan Ali Mughayat Shah yang memerintah Aceh tahun 1530 kemudian dimakzulkan iaitu diturunkan takhta oleh adindanya yang menjadi Sultan Alauddin Riayat Shah al Qahar 1539. Ini ada tercatit dalam kitab Hikayat Aceh, juga salasilah kajian Barat yang diperolehi Rasyid... Tetapi kitab itu setakat menyebut Alauddin al Qahar menyumbatnya ke dalam penjara sedangkan kajian Barat pula menyebut Sultan Salehuddin akhirnya dibunuh adinda sendiri!

Apa yang menarik perhatian pemuda itu adalah bagaimana anak cucu Sultan Salehuddin yang tersisih daripada takhta Aceh mula memakai gelaran Laksamana... Bermula dengan anakandanya Raja Muhammad Said Shah dan diteruskan anakanda Raja Muhammad yang dikenali sebagai Laksamana Raja Mahmud Shah. Lalu dia tertanya-tanya, adakah ini permulaan keluarga Laksamana Perak memakai gelaran Laksamana?

Rupa-rupanya ini bukan jawaban yang tepat kerana Laksamana seterusnya adalah anak perempuan Laksamana Raja Mahmud Shah yang bernama Raja Kemala Hayati. Apa yang dicari adalah susur-galur lelaki atas lelaki yang dapat menyambungkan keluarga Laksamana Perak dengan nenek moyang yang paling awal di bumi Serambi Mekah. Walaupun Laksamana Raja Kemala Hayati memang termasuk salah seorang moyang mereka, orang yang dimaksudkan Nenek sebagai moyang pertama datang ke Perak adalah moyang terdahulu yang telah meninggalkan sebuah kerajaan besar di Sumatera sekitar 1,000 tahun lalu, bersesuaian dengan zaman kewujudan keSultanan Perlak. Hamba Allah ini cuma dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Makamnya masih wujud di Teluk Intan.




Selesai ziarah ke makam, kami singgah sebentar ke Masjid Malahayati yang terletak di kaki bukit. Di sini ada penanda yang menunjukkan kawasan ini pernah dilanda ombak tsunami setinggi 2.5 meter. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Malahayati di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .

Di masjid ini kami ditegur oleh seorang pakcik (datuk barangkali lebih sesuai!) yang telah berumur 80 tahun tetapi masih kuat berjalan-jalan. Cuma gayanya sedikit janggal... seperti orang nyanyuk pun ada, mungkin kerana dia ada cuba melepaskan suatu perasaan yang terbuku di tanpa mengira pandangan orang ramai...

Kedengaran pakcik ini pandai bertutur dalam bahasa Jepun. Lalu dia menghulurkan kad menyatakan dirinya sebagai penterjemah bahasa Jepun. Katanya, dia pernah berkhidmat ketika Jepun memasuki Indonesia lebih 60 tahun lalu.


Selesai hal di masjid baru kami pergi ke Benteng Inong Balee yang menjadi tujuan utama kami ke sekitar ini. Sila ikuti dahulu perjalanan yang dinyatakan secara bergambar pada artikel Walking to Malahayati's fortress, the Benteng Inong Balee... blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...

Gambar-gambar sekitar benteng ini pula lebih banyak diletakkan pada artikel Benteng (fortress of) Inong Balee, satu peninggalan (a legacy of) Laksamana Malahayati di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...


Begitulah Allah SWT telah mengatur segala perkara. Perjalanan untuk ke Benteng Inong Balee rupa-rupanya membuka banyak perkara... dapat melawat Benteng Indrapatra juga makam Laksamana Malahayati dan suami serta lereng bukit di belakang dan tepi yang ada makna tersendiri. Sedangkan asalnya ia cuma rancangan sampingan yang saya fikir boleh ditolak ke tepi...


Siapa sangka perjalanan untuk ke Benteng Inong Balee yang terletak tinggi di pinggir bukit tepian laut ini boleh memberikan rasa klimaks atau kemuncak yang lebih bererti. Sedangkan sebelum ini saya menganggap ziarah ke makam Sultan Malikus Salih itulah kemuncak perjalanan di Aceh. Siapa sangka setelah memikirkan tidak perlu lagi ke benteng ini, pemandu pula muncul untuk membawa kami ke sana... cuma berdasarkan perancangan yang dibuat untuk hari Rabu iaitu sebelum mengorak langkah ke makam Sultan Malikus Salih. Lalu tanpa dipinta mahupun dirancang oleh saya, pemandu turut membawa kami ke makam Laksamana Malahayati.


Sambil saya meneroka sekeliling dan mengambil gambar-gambar pemandu pula berbincang dengan 2 orang warga tempatan sambil isteri saya mendengar... rupa-rupanya tentang perniagaan lada kerana mereka ini ada menanam lada di kawasan beberapa ekar tidak jauh dari benteng. Satu masa dahulu wilayah-wilayah tepian pantai Aceh merupakan pembekal utama lada bagi seluruh Nusantara. Komoditi ini turut dieksport sehingga ke pasaran Eropah. Ini menjadi salah satu asbab yang menarik kuasa-kuasa Barat untuk cuba menjajah Aceh...




Lawatan ke Benteng Inong Balee juga mengharuskan kami turut melawat ke sebuah lagi benteng yang lebih teratur. Itulah Benteng Iskandar Muda yang terdapat pada hujung barat Teluk Lamreh atau Teluk Lamuri, dalam perjalanan kembali ke Banda Aceh...


Nasib baik untuk perjalanan hari Sabtu ini saya ada membawa sebuah pamplet tentang tempat-tempat bersejarah di sekitar ini, diperolehi semasa melawat Gunongan di tengah Banda Aceh. Sila lihat artikel Bismillahi rahman nir rahim, kasi selesai le aktiviti hari pertama di Aceh sampai habis! yang ditulis lebih 2 bulan lalu.


Melalui pamplet yang ditinggalkan di dalam kereta semasa naik bukit ke makam Malahayati inilah saya dapat tahu kedudukan sebenar Benteng Inong Balee. Lalu saya juga dapat tahu akan kewujudan serta kedudukan Benteng Iskandar Muda yang seakan-akan mengapit Teluk Lamreh @ Lamuri seiring dengan Benteng Inong Balee! Lihat artikel Benteng (fortress of) Iskandar Muda di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) untuk maklumat lanjut serta gambar-gambar lain.



OK. Tergerak saya untuk menggunakan Google Earth untuk memaparkan lokasi tempat-tempat penting yang dilawati atas niat asal untuk ke Benteng Inong Balee semata-mata. Maaf jika perkataan yang menunjukkan kedudukan makam Malahayati iaitu yang paling bawah kurang terang...

Tergerak juga saya untuk mengatur gambar-gambar berkaitan pada gambar satelit close-up yang mengenengahkan Teluk Lamreh @ Lamuri. Dengan ini tamatlah artikel yang dimulakan jam 2 pagi membawa kepada ayat terakhir yang ditulis hampir jam 7 pagi. Selepas ini, saya akan cuba menulis sedikit lagi cerita tentang perjalanan hari Sabtu sebelum menutup buku buat masa ini. Sekian buat sementara saya mahu bersolat Subuh...