Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, May 14, 2010

Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete!

Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa cerita terakhir siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" telah berjaya disiapkan sejurus sebelum masuk waktu Maghrib tadi. Ini bersesuaian dengan azam saya untuk meluahkan rasa tentang perkara tersebut sebelum masuk tarikh 1 Jamadil Akhir. Di sini biar dikumpulkan links untuk ketujuh-tujuh artikel dalam siri ini berserta artikel sokongan yang diletakkan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Selepas ini saya akan memulakan satu siri baru berkaitan keretapi. Tunggulah ia apabila saya kembali dari satu tugasan nanti.

1. Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Perjalanan malam ke Kuala Kangsar

2. The bridges across the Perak river at Kuala Kangsar

3. Mouth of Sayong river and the palace of Bukit Chandan

4. Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Sembilan makam Sultan dan lain-lain di Kuala Kangsar

5. Visiting the mystical island of Pulau Semat

6. The trip back from Pulau Semat

7. Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Makam keramat di Pulau Semat...

8. Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan di sekitar Bota

9. Going around Pasir Salak

10. Latest visit to the tombs of the two Muazzams...

11. Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Tujuh makam Sultan di sekitar Kampung Gajah ...

12. Latest visit to the old abandoned mosque at Teluk Memali (or is it just Bandar Baharu)?

13. Looking for the tombs of Sultan Shahabuddin and Sultan Iskandar Zulkarnain...

14. Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan yang susah diziarahi di sekitar Pulau Besar

15. Latest visit to the tomb of Keramat (saintly figure of) Sungai Durian

16. Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Satu makam Sultan di Teluk Intan dan satu makam yang menjadi punca segalanya buat saya

Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Satu makam Sultan di Teluk Intan dan satu makam yang menjadi punca segalanya buat saya

Assalamualaikum semua. Sementara masih adalah satu setengah jam sebelum masuk bulan Jamadil Akhir ini biarlah disiapkan artikel penutup bagi siri ini. Bersambung dari Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan yang susah diziarahi di sekitar Pulau Besar.


Selepas hampir 2 jam meninggalkan anak dan isteri untuk menziarahi makam Sultan Shahabuddin dan Sultan Iskandar Zulkarnain saya pun kembali ke jeti.


Adapun selepas itu tinggal 3 sahaja makam yang perlu diziarahi... satu milik satu-satunya Sultan Perak yang tinggal dalam senarai iaitu Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah II di Teluk Intan, 2 lagi makam milik manusia yang dianggap keramat. Dua makam itu ialah makam Keramat Kuala Bidor, 6 km melalui jalan darat ke timur bandar (tak sampai 1 km kalau lalu sungai) dan makam Keramat Sungai Durian, 17 km melalui darat ke barat bandar.


Dari Kampung Bandar rasanya lebih dekat jika pergi terus ke makam Keramat Sungai Durian. Tetapi adab berziarah menghilir Sungai Perak menyebabkan saya harus berpatah-balik utara ke Pasir Salak sebelum menyeberangi sungai masuk ke Kampung Gajah. Kemudian turun selatan menghala ke Teluk Intan masuk ke Kampung Bahagia untuk menziarahi makam Keramat Kuala Bidor terlebih dahulu...

Adapun Keramat Kuala Bidor ini disebut sebagai orang yang sama dengan Nakhoda Hitam, Laksamana pertama Perak yang merupakan bapa mertua kepada Keramat Sungai Durian. Maka memang sesuailah sangat saya ke sini dahulu apalagi kajian peribadi saya menunjukkan beliau juga memiliki satu identiti lain, identiti yang menunjukkan beliau sebagai ayahanda kepada seorang Sultan malah beliau sendiri pernah menjadi Sultan! Lihat artikel Makam (Tomb of ) Keramat Kuala Bidor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Lagipun laluan ini membawa ke Teluk Intan. Cuma apabila sampai ke sana sekitar jam 6:45 petang keadaan lalulintas agak sesak dan melambatkan. Sedangkan masih ada 2 buah makam yang perlu diziarahi sebelum masuk waktu Maghrib.



Untuk mengelakkan kesesakan, saya secara spontan mengambil satu simpang ke kanan. Tak sangka pula ia membawa ke hadapan bekas istana Raja Muda yang sudah lama tidak digunakan...


Dari situ sudah dekat untuk ke Kampung Terengganu (dahulunya sebahagian dari Kampung Durian Sebatang) di mana terdapatnya makam Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah I (memerintah 1851-1857). Kami pun berziarah. Dengan ini cukuplah jumlah 28 makam Sultan Perak campur satu makam tanda diziarahi dalam tempoh 2 hari. Kini tinggal makam Keramat Sungai Durian 17 km melalui jalan darat (5 km sahaja jika boleh menembus terus air dan daratan) ke barat Teluk Intan.

Asalnya saya bercadang untuk singgah makan di hadapan menara condong. Maklumlah sejak jam 8 pagi tak makan apa-apa lagi, asyik alas perut dengan air sahaja. Tetapi ketika itu sudah masuk 7 petang dan saya perlu sampai ke makam Keramat Sungai Durian...

Kedudukan makam masih agak jauh selain terletak di dalam kawasan belukar yang agak sukar ditembusi. Saya pun bertanyakan isteri jika dia boleh tahan lapar sehingga segalanya selesai. Isteri saya mengangguk tersenyum. Saya pun meneruskan perjalanan.





Sekali-sekala kelembapan lalu-lintas membuat saya terasa amat gelisah.

Sambil itu saya terfikirkan hutan belukar dengan duri yang perlu diredah untuk sampai ke makam. Lihat artikel Latest visit to the tomb of Keramat (saintly figure of) Sungai Durian di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.






Dipendekkan cerita saya berjaya sampai ke makam Keramat Sungai Durian @ Toh atau Tok Jambu sebelum masuk Maghrib. Biarlah dimaklumkan bahawa watak inilah yang menjadi sebab utama saya berjalan ke Perak membawa isteri dan anak sehingga menziarahi kesemua 28 makam Sultan yang ada berserta sejumlah makam lain. Kajian peribadi yang menunjukkan beliau juga memiliki identiti lain yang lebih rapat dengan istanalah yang membuatkan saya teringin menziarahi makam seorang Sultan yang tak terfikir akan dijejaki. Alang-alang mahu ke makam Sultan di satu ceruk yang belum pernah diterokai, biar diziarahi sekali setiap makam Sultan...

Dahulu saya menyangkakan Keramat Kuala Bidor dan Nakhoda Hitam sebagai punca segalanya buat susur-galur keturunan saya. Namun penemuan seterusnya menunjukkan Nakhoda Hitam lebih kepada kerabat diraja Bugis sedangkan Keramat Sungai Durian lebih pada kerabat diraja Aceh. Apapun hajat untuk menziarahi makam-makam tertentu telahpun tertunai. Identiti alternatif Keramat Sungai Durian telah membuat saya terpanggil untuk memulakan perjalanan dan di makamnya juga saya secara rasmi menutup kembara.




Selesai ziarah ke makam Keramat Sungai Durian baru kami anak-beranak makan di tempat rehat bersebelahan jambatan. Setelah itu kami pergi kawasan pemakaman keluarga Laksamana di Batak Rabit untuk menziarahi makam keluarga terdekat...




Di masjid lama sebelah makam baru saya dapat mandi untuk menyegarkan badan. Setelah bersolat jamak Maghrib dan Isyaq kami pergi ke rumah seorang saudara, tengah malam baru kembali ke Lembah Kelang. Sekian penceritaan! :]

Thursday, May 13, 2010

Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan yang susah diziarahi di sekitar Pulau Besar

Kita ke kawasan bernama Pulau Besar yang terletak di antara Kampung Gajah dan Teluk Intan. Perhatikan betul-betul. Kawasan yang dimaksudkan dilingkungi aliran Sungai Terus di utara, Sungai Perak di barat dan Sungai Kinta timur ke selatan sedangkan Sungai Terus berpunca dari Sungai Kinta. Maka ia memang dikelilingi air walaupun tidak selebar mana. Jadilah ia sebuah pulau sepanjang 7 km dengan kelebaran lebih 3 km...


Di sekitar ini terdapat makam 5 orang Sultan dengan seorang kerabat diraja Perak bernama Raja Ahmad.


Mula-mula singgah ke Masjid Pulau Besar...



Selain tumpang membuang air, saya juga mahu bersolat Tahiyatul Masjid seraya berdoa kepada Allah Ta'ala meminta agar perjalanan dimudahkan. Saya tahu di sekitar inilah perjalanan paling mencabar dan saya tidak mahu timbul apa-apa halangan. Jika anda merasakan perjalanan ke makam Sultan Tajul Ariffin di Pulau Semat (lihat Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Makam keramat di Pulau Semat...) sudah cukup adventure, tunggu sehingga anda dapat menjiwai perjalanan seterusnya...




Mula-mula kami menziarahi makam Raja Ahmad yang terletak cuma 600 meter gitu dari jalan besar. Dari segi cabaran ini belum apa-apa. Lihat artikel Makam (Tomb of) Raja Ahmad di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Seterusnya kami ke makam Sultan Mahmud Shah. Lihat Makam Sultan ke 16 Perak (Tomb of the 16th Sultan of Perak). Jalan kecil yang berlubang sudah mula menunjukkan cabaran...


Jalan menjadi semakin sukar selepas itu. Lihat sahaja laluan yang menunjukkan pernah ada jalan tetapi telah runtuh masuk ke dalam sungai. Jika tadipun jalan sudah teruk berlubang-lubang, dari sini kenderaan besar memang langsung tak boleh lepas. Saya terpaksa meninggalkan anak dan isteri di dalam kereta sebelum menumpang motosikal seorang penduduk tempatan.







Oh. Penduduk tempatan ini sebenarnya ditemui berdekatan makam Raja Ahmad. Dari mulutnya baru saya tahu makam tanda itu kini dijaga dengan baik oleh Raja di Hilir Perak, Raja Jaafar. Nasib baik dia sudi menolong apabila saya memberitahu mahu menziarahi makam-makam Sultan di sekitar Pulau Besar. Saya tahu keadaan jalan yang begitu teruk. Ini yang menyebabkan saya setakat itu cuma dapat menziarahi makam 2 orang Sultan, tidak pernah menziarahi 3 lagi yang terletak di kawasan paling ceruk.

Di atas kelihatan tanah perkuburan Kristian di mana jasad Residen pertama British ke Perak J.W.W. Birch disemadikan, setelah dibunuh orang-orang Datuk Maharajalela 1875. Ada yang kata beliau memang ditanam di sini tetapi jasadnya telah digali untuk dibawa kembali ke England. Adapun ini adalah kali ke 3 atau ke 4 saya sampai ke sini. Jalan yang teruk pernah memaksa saya untuk berjalan kaki tetapi dari arah yang berlawanan.







Lihat keadaan jalan. Ini boleh dikira bahagian elok kerana ada yang tidak boleh dilepasi kereta langsung, motosikal pun teruk nak lalu! Kali pertama sampai tahun 2006 saya berjalan kaki seorang diri sekitar 2-3 km, sampai di perkuburan Birch waktu Maghrib...


Seterusnya kami melalui makam Sultan Abdul Malik Mansur, Sultan ke 19. Lihat Makam (tomb of) Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Makam ini telah beberapa kali saya sampai malah boleh kata makam yang wajib diziarahi apabila berada di sini.


Kalau dah lalu sini tak sah juga jika tak menjenguk masjid lama tinggal ini. Lihat artikel Latest visit to the old abandoned mosque at Teluk Memali (or is it just Bandar Baharu)? di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Gambarnya pernah digunakan untuk menghiasi buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007). Kali pertama sampai ke sini 4 tahun lalu, saya terserempak masjid, kemudian makam Sultan Abdul Malik kemudian baru kubur Birch.


Dalam lawatan-lawatan lalu, saya masuk melalui jalan lain di mana terdapat sebuah kampung tersusun terus ke hujung satu simpang tiga dengan Sungai Perak di hadapan. Simpang masuk ke jalan tersebut terletak hampir 3 km ke selatan Jambatan Pulau Besar. Dalam lawatan pertama tahun 2006, saya naik teksi dari Teluk Intan hingga ke penghujung berhadapan sungai. Kelihatan pemandu teksi ketakutan, tidak ingin lagi masuk lebih dalam... maklumlah, ketika itu sudah hampir senja dan tempat ini memang tidak diduduki orang.

Dari simpang tiga saya berjalan kaki seorang diri membelok ke kanan mara ke hadapan. Begitulah caranya saya terjumpa masjid lama tinggal diikuti makam Sultan Abdul Malik seterusnya kubur Birch... lihat sidebar kanan tengah blogspot ini, pada bahagian yang bertajuk "Siapakah sebenarnya Raja Ahmad?". Dalam lawatan kali kedua tahun 2007, saya datang bersama rakan baik Zaidi @ PerpatihTulus lalu masuk lebih dalam. Namun 100 meter sebelum masjid kami terpaksa meninggalkan kereta kerana ada bahagian jalan berselut terlalu teruk. Begitu juga yang berlaku dalam lawatan 2 kali tahun 2008.

Dalam satu lawatan, dari simpang tiga saya masuk ke kiri dengan niat untuk menziarahi makam 3 orang Sultan yang terletak ke selatan. Namun apabila melihat sebuah kereta 4x4 terlekat teruk dalam lumpur saya membatalkan niat. Kali ini pula saya terasa wajib menyelesaikan hajat yang tertunda. Saya tahu kawasan sebelah sini memang tidak boleh dilepasi kereta. Ternyata sampai satu peringkat motosikal pun dah tak boleh lagi kerana jalan yang pernah ada sudah roboh ke dalam sungai sedangkan bahu jalan yang tinggal terlalu sempit!


Terpaksalah kami berjalan kaki. Lihat sahaja laluan sempit dengan hutan belukar di kiri, tebing tinggi sungai di kanan. Itupun saya amat bersyukur kerana cuaca elok terang-benderang sejak hari Sabtu. Padahal dalam tempoh beberapa hari sebelum itu boleh dikatakan hampir semua bahagian Pantai Barat Semenanjung sering dilanda hujan!





Dengan kuasa Allah sampailah kami ke makam pertama di sebelah selatan. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini.



Inilah makam Sultan ke 17 Perak, Sultan Alauddin Mansur Iskandar Muda yang telah lebih 2 bulan ingin dijejaki. Sejak mendapat tahu baginda memiliki satu identiti lain yang sangat rapat dengan keluarga saya sering berkira-kira hendak ke sini. Peliknya, saya mendapat ilham dan gerak rasa tentang identiti yang dimaksudkan sejurus setelah melawati sebuah makam lama di Kuala Selangor. Saya tergerak untuk menulis artikel bertajuk Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak? Januari 11 dan semasa menulis itulah terbetik akan identiti lain Sultan tersebut.

Namun selepas saya dan isteri pertama kali membawa anak kecil kami Al-Rasyid ke Aceh bersama seorang teman Januari 27 hingga Feb 1 baru saya berpeluang untuk bertemu seorang rakan lama yang sering memberikan petunjuk. Rakan itu sudah 8 bulan gitu tidak ditemui dan melalui ilmu tertentu yang dimiliki beliau dapat mentahkikkan atau memberi kepastian bahawa apa yang dijangkakan tentang Sultan ini adalah benar seperti yang diduga...




Beberapa hari kemudian timbul ilham dan petunjuk baru sehingga tergerak untuk menulis artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... diikuti Teknik penggelapan salasilah... Februari 22. Kebetulan hari Jumaat itu Februari 26 bersamaan 12 Rabiulawal, hari Maulud Nabi atau Maulidur Rasul. Saya pun bercadang untuk ke Perak menziarahi makam Sultan Alauddin Mansur Iskandar Muda buat kali pertama seumur hidup saya. Namun sebaik sahaja selesai menulis 2 artikel tersebut saya mendapat panggilan telefon. Seorang kenalan menjemput kami sekeluarga untuk menyambut Maulidur Rasul di Perlak, Aceh.

Perkara ini telah diceritakan dalam artikel Maulidur Rasul di Aceh : Dari Perak bertukar ke Perlak.... Siapa sangka sebulan setengah kemudian baru saya dapat menjejakkan kaki ke makam Sultan Alauddin Mansur Iskandar Muda? Namun kelewatan ini tetap ada hikmahnya. Disebabkan jarak masa itulah timbul gerak baru untuk menziarahi setiap makam Sultan Perak yang ada.

Gambar di atas diambil ketika berpatah-balik ke motosikal. Walaupun papan-tanda di sebelah Jambatan Pulau Besar memberitahu kedudukan 2 lagi makam Sultan di sebelah selatan sudah tidak begitu jauh dari makam Sultan ke 17, saya diberitahu bahawa tiada lagi jalan darat untuk ke sana...





Sebaliknya saya harus mengambil kereta berpatah-balik 10 km utara ke Kampung Gajah...





Kemudian menyeberang Sungai Perak ke Pasir Salak sebelum bergerak lagi 12 km gitu ke selatan.


Perjalanan yang dilalui serupa dengan apa yang dibuat bersama rakan-rakan ketika membuat rakaman video untuk DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" penghujung 2008.





Bezanya kali ini saya bersama anak dan isteri pergi lebih jauh sehingga ke Kampung Bandar...





Malah kami pergi lebih jauh tanpa membelok sehingga jalan yang ada mengecil!






Rupa-rupanya jalannya mati...



Terpaksalah berpatah-balik... tengok-tengok ada jentolak membuat kerja menghalang pula...




Nasib baik ada burung-burung bermuka kelakar ini membuat saya leka...




Saya tahu, saya sudah berada di Kampung Bandar, satu tempat yang 2 tahun lalu ingin dilawati tetapi tidak pernah pergi kerana tersilap menjangkakan sebuah kampung lain sebagai kampung ini. Lihat catatan yang tertulis pada artikel Masjid (Mosque of) Muhammediah, Kampung Ayer Mati. Saya tahu di Kampung Bandar ini terletak sebuah masjid lama dengan makam seorang ulamak besar. Tetapi saya tidak dapat melihat ia atau cara menuju ke arahnya dari tepian jalan. Maka itu setelah mencari-cari lagi sehingga melepasi sekolah, saya mengambil satu simpang kanan menuju ke satu kelompok dua atau tiga buah rumah di tepian Sungai Perak...




Alhamdulillah, di salah sebuah rumah kami bertemu dengan seorang pakcik yang nampak begitu faham akan niat kami menziarahi makam-makam lama. Beliau pun membawa kami ke masjid dan makam. Rupa-rupanya kami perlu masuk ke satu simpang lain berdekatan sekolah. Lihat Masjid Bandar dan makam Sheikh Muhammad Taib (The Bandar mosque and tomb of Sheikh Muhammad Taib).




Alhamdulillah juga pakcik ini tahu kedudukan makam 2 orang Sultan di seberang. Memang pun ia lebih senang dicapai melalui jalan air dari Kampung Bandar. Apapun kami perlu mendapatkan bot sedangkan pakcik ini cuma memiliki sebuah sampan kecil. Nasib baik ada anak saudara di sebuah kampung berdekatan, dapatlah kami menumpang kenderaan miliknya untuk sampai ke makam-makam. Lihat klip-klip video berikut...











Perjalanan ke makam-makam ini ternyata adalah yang paling mencabar pernah dilalui antara kesemua 28 makam Sultan Perak yang ada di negeri ini. Ternyata paling mencabar adalah makam Sultan ke 15, Sultan Iskandar Zulkarnain yang terletak di Pulau Indera Sakti. Lihat Looking for the tombs of Sultan Shahabuddin and Sultan Iskandar Zulkarnain....



Sekarang biar diletakkan gambar satelit dengan kedudukan makam mengikut turutan dari utara ke selatan. Selama ini saya menyangkakan Pulau Indera Sakti adalah pulau yang boleh kelihatan di hadapan muara Sungai Kinta... rupa-rupanya ia sebuah daratan di tebing kanan muara sungai, selatan dari Pulau Besar. Mungkin dahulu ia memang sebuah pulau?

Oh! Saya ingin mengambil peluang ini untuk menghadiahkan bacaan Al-Fatihah kepada Almarhum Habib Ali Batu Pahat yang baru sahaja kembali ke Rahmatullah petang tadi, begitu juga kepada Allahyarham Ustaz Ashaari bekas pemimpin Arqam yang meninggal dunia siang lebih awal. Walaupun amat sederhana orangnya dan sering menolak permintaan untuk memimpin, Almarhum Habib Ali memang seorang yang amat dihormati sehingga dikunjungi para pencinta Ahlul Bait dari Afrika juga Tanah Arab.

Tentang Ustaz Ashaari pula saya menghormati perjuangan beliau memartabatkan Islam sehingga dapat membina rangkaian ekonomi sendiri yang mampu menggugat rangkaian perniagaan kuffar. Namun itu bukanlah tiket untuk menyatakan seseorang itu bertaraf wali apalagi Pemuda Bani Tamim. Kalau nak ikutkan, daya kepimpinan Ustaz Ashaari yang sering diwar-warkan sebagai ajaib oleh orang tertentu cuma 'seco'et' sahaja berbanding sesetengah orang. Banyak lagi orang yang pencapaiannya lebih dasyat baik dari segi kepimpinan mahupun kewangan dengan latar-belakang agama yang mantap berserta pengikut di seantero dunia...

Mereka yang berbangga dengan pencapaian Ustaz harus melihat, kalau dengan rangkaian yang dibinanya itupun ada yang merasakan beliau begitu tinggi, apalah sangat pencapaian itu berbanding menjadi Perdana Menteri Malaysia atau Presiden Amerika. Kita mungkin senang mengutuk PM atau Presiden sebagai orang yang angkuh dibuai harta, pangkat dan kuasa tetapi apakah kedudukan kita sendiri jika merasakan diri kita besar dan tinggi apabila mendapat pengikut beribu-ribu, belum lagi berjuta? Dalam konteks ini saya merasakan pemergian Ustaz Ashaari merupakan satu rahmah. Ternyatalah sungguh beliau bukan Pemuda Bani Tamim yang dicari, dapatlah kita semua keluar dari terus dibuai mimpi...

Oh, untuk pengetahuan walaupun pada bawah dinyatakan artikel ini ditulis pada jam 7.19 petang itu cuma waktu permulaan membuka ruang untuk menulis. Hakikatnya, selepas itu saya masih perlu menyiapkan beberapa artikel sokongan di blogspots lain. Lalu artikel ini cuma benar-benar dapat dimulakan selepas jam 9 malam, siap selepas jam 3 pagi! Selamat pagi Jumaat...

Wednesday, May 12, 2010

Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Tujuh makam Sultan di sekitar Kampung Gajah

Pagi selepas Subuh, Ahad 11 April 2010, kami anak-beranak pun bersedia menyambung ziarah...


Jika di Kuala Kangsar kami bermalam di sebuah surau di Kampung Temong, kali ini pula kami bermalam di Masjid Jamek Kampung Gajah. Mereka yang pernah mengikut saya membuat video "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" tahun 2008 mesti ingat masjid yang dimaksudkan...


Oleh kerana kami keluar awal, rasanya elok berjalan-jalan dahulu ke Pasir Salak.


Di sana Al-Rasyid diberi rasa sedikit semangat kepahlawanan para pejuang di hadapan masjid lama Pasir Salak. Lihat artikel Going around Pasir Salak di blogspot BERPETUALANG KE ACEH kemudian Masjid lama (Old mosque of) Pasir Salak di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas itu baru kami mula menziarah makam bermula di Kampung Melayu, Pulau Tiga 7 km ke utara Kampung Gajah.




Walaupun papantanda menyebut nama seorang Sultan, sebenarnya terdapat 2 makam Sultan selain makam seorang ulamak di sekitar. Lihat Makam 2 Sultan dan seorang ulamak di (Tomb of 2 Sultans and a religious master at) Kampung Melayu...





Seterusnya kami menghala kembali ke Kampung Gajah, singgah sebentar minum air di tempat rehat berdekatan simpang menuju ke jambatan. Kelihatan dalam gambar buku terbitan muzium yang digunakan sebagai panduan mencari tempat...






Di sebelah tempat rehat terdapat papantanda menunjukkan arah ke beberapa buah makam...







Di sini, di tempat bernama Kampung Jawa ini terdapat makam 3 orang Sultan juga makam pahlawan terkenal bernama Megat Terawis. Lihat Tiga makam Sultan di Kampung Jawa (Three tombs of Sultans at Kampung Jawa juga artikel lama Makam (the tomb of) Megat Terawis...


Kemudian baru kami menghala ke selatan Kampung Gajah. Ternampak sebuah masjid yang menarik. Lihat Masjid (Mosque of) Tok Jabar. Teringat rumah ibu saudara tempat saya menumpang di Ampang sebelum saya berkahwin lagi penghujung 2008, ibu saudara yang suaminya merupakan cucu kepada Tok Jabar...



Masjid ini terletak berdekatan sebuah litar lumba yang dibina menghadap Kompleks Sejarah Pasir Salak di seberang Sungai Perak. Oh, terlupa pula. Selepas singgah ke masjid lama Pasir Salak, kami pergi ke Masjid Kampung Selat. Lihat Masjid (Mosque of) Selat Pulau.


Di Pulau Juar beberapa kilometer lagi ke selatan, terdapat 2 buah makam untuk 2 orang Sultan Perak yang masing-masing ada memakai nama Muazzam. Lihat Latest visit to the tombs of the two Muazzams....




Adapun ziarah ke makam itu adalah yang ke 3 atau ke 4 buat saya tetapi pertama kali untuk isteri dan anak. Buku rujukan yang digunakan menyatakan di sekitar itu juga terdapat makam seorang Puteri Aceh, sebuah makam yang saya belum pernah sampai. Isteri saya teruja. Dia pula yang bersemangat bertanyakan arah. Kami pun mencuba mencarinya, Alhamdulillah, dapat jumpa. Lihat Makam Puteri Aceh (Tomb of the Aceh princess)

Pada peringkat ini kami sudah berjaya menziarahi makam sejumlah 22 orang Sultan Perak, 7 pada pagi Ahad, 15 hari Sabtu. Sekarang tinggal lagi 6 buah makam Sultan untuk mencukupkan jumlah 28 yang wujud di negeri Perak. Percayalah, perjalanan selepas ini lebih mencabar kerana selain satu di Teluk Intan, semuanya terletak di tempat yang amat terpencil, 3 daripadanya tidak dapat dicapai dengan kenderaan darat...