Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, December 25, 2008

Nombor 444 sebagai pelengkap satu cerita

Gambar sebuah cap mohor lama dari Aceh sebagai hiasan

Assalamualaikum. Dengan selesainya membuat artikel Projek buku masjid - bertemu penunggu masjid lama tinggal! , dapatlah saya membuat artikel ini pula, artikel ke 444 di blogspot ini. Untuk makluman, saya menulis artikel itu juga artikel baru bertajuk New trip to the North - The Ubudiyah mosque and Perak royal mausoleum revisited... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dari sebuah cyber-cafe di bandaraya Melaka.

Semasa menulis ayat ini jam sudah melepasi 4 pagi. Kesian isteri saya di sebelah menunggu saya habis bercerita... sampai tertidur tertunduk di atas kerusi. Sebab itu saya sangat sayangkannya, kerana dia faham perjuangan saya. Sedangkan kami sepatutnya berada di Masjid Kampung Hulu untuk beriktikaf dan bermalam seperti telah kami rancang awal tadi.

Esoknya kami mahu ke kampung ibu bapa saya ke Muar, lusa mungkin ke Pulau Besar sebelum menghadiri majlis berkhatan di sebuah rumah keluarga belah isteri di Bagan Lalang tengahari Sabtu. Banyak nak berjalan tu... Sedangkan baru 3 hari lepas kami suami isteri mengembara hampir 1,200 km turun naik Kuala Lumpur sampai ke Perlis untuk membuat kerja saya.

Tetapi saya terasa patut menyiapkan beberapa artikel untuk blogspots saya sebelum betul-betul dapat berehat di Kampung Hulu. Saya mahu menyiapkan artikel ke 444 pula kerana dalam perkiraan saya ia ada makna tertentu.

Saya tahu, kaum Cina cukup fobia dengan nombor 4 yang dikatakannya bermakna mati. Sebaliknya bagi orang Islam, mati cuma pembuka masuk ke alam lain malah mereka yang memahami keadaan sebenar alam amat mencita-citakan kematian... cuma sahaja mereka harus melalui sejumlah perjalanan kehidupan sebelum dapat mati dengan tenang. Ditakuti jika tersilap cara mati macam kes orang bunuh diri maka akibatnya di alam akhirat lebih teruk nanti.

Seperti yang ramai pembaca setia di sini tahu, saya amat sukakan nombor 131. Nombor 313 pula membawa makna-makna berikut - 313 tentera Thalut melawan tentera Jalut (ke 313 tentera Jalut, lupa pulak dah pagi-pagi buta ni), 313 tentera Badar dan 313 jumlah keseluruhan Rasul. 444 pula bersamaan 131 + 313. Maka ia melengkapkan kedua-dua nombor ini.

4 + 4 + 4 bersamaan 12... boleh dipadankan dengan 12 bulan dalam satu tahun. Ia juga boleh dipadankan dengan 12 not keseluruhan dalam satu octave untuk muzik (A, A#, B, C, C#, D, D#, E, F, F#, G, G#) di mana 7 not adalah major (A, B, C, D, E, F) dan 5 sharp (A#, C#, D#, F# dan G#). 7 adalah 3 +1 + 3 sementara 5 adalah 1 + 3 + 1. Cukup. Sekarang saya boleh ke Masjid Kampung Hulu. Selamat malam! :]

Projek buku masjid - bertemu penunggu masjid lama tinggal!

Adapun malam itu, saya dan isteri bermalam di Batu Feringgi sedangkan Shamsul di rumah ayahnya di Kulim. Seperti dijanjikan, selepas tengahari keesokannya saya pun bergegas meninggalkan Pulau Pinang melalui jambatan panjangnya untuk mengambil Shamsul di tol Sungai Bakap sebelum menyambung kerja...


Memandangkan saya tidak dapat mengambil gambar dari sudut yang lain sambil memandu kereta, saya meminta isteri pula mengambil gambar...



Sebahagian bandaraya Pulau Pinang (maaf, saya tidak suka nama panggilannya Georgetown)...


Sebahagian Seberang Prai (saya juga tidak sukakan nama Butterworth, nama yang juga yang diberi penjajah Inggeris)...



Sekitar jam 2 petang, kami pun sampai ke masjid seterusnya iaitu Masjid Lama Bandar Taiping...




Kawasan masjid yang dibina oleh keluarga usahawan besar Melayu Ngah Ibrahim abad ke 19 ini mengandungi tanah perkuburan Islam di mana disemadikan ramai tokoh-tokoh utama Melayu dan Islam Taiping. Kelihatan terserlah dalam gambar ini ialah makam Toh Puan Halimah binti Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, isteri kepada Ngah Ibrahim.





Satu gambar pusat bandar Taiping...


Kemudian kami ke bandar diraja Kuala Kangsar untuk mengambil gambar Masjid Ubudiyah di Bukit Chandan.



Kami turut mengambil gambar di sekitar kawasan pemakaman diraja Perak di hadapan Masjid Ubudiyah. Lalu saya mendapati makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin kini telah dipagar cantik malah diletakkan sebuah papan informasi di sebelah. Sila lihat artikel New trip to the North - The Ubudiyah mosque and Perak royal mausoleum revisited... yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



Kemudian kami ke Masjid Kota Lama Kanan yang terletak di tebing kanan Sungai Perak, masih di dalam kawasan daerah Kuala Kangsar.




Lalu entah ke berapa kali agaknya, saya menatap lagi batu nesan tunggal di dalam masjid yang menjadi tanda tempat sultan Perak kedua, Sultan Mansur Shah dikatakan ghaib ketika bersolat Jumaat. Perkara ini telah disentuh beberapa kali dalam blogspots saya. Kalau nak tahu cerita lanjut, gunakanlah alat search di atas kiri blogspot ini ya...

Oh, di dalam gambar ini kelihatan saudara Shamsul sedang tekun mencari angle. Ini adalah lawatan pertamanya ke sini. Adapun kami sampai ke masjid ini waktu Asar kemudian berhenti untuk makan laksa di gerai berdekatan kerana Shamsul tidak tahan lapar. Selepas jam 5.40 petang, baru kami meneruskan perjalanan. Terkejar-kejarlah saya memandu kereta kerana tempat yang ingin dituju seterusnya terletak sekitar 80 km ke selatan melalui jalan kecil... kalau boleh saya mahu sampai ke sana sementara masih ada siang!



Akhirnya setelah terkejar-kejar memotong banyak kereta melalui jalan yang membelah banyak kampung, dari Sayong ke Senggang hingga ke Parit, Bota Kanan dan Kampung Gajah, kami pun menghampiri tempat tujuan di Teluk Memali. Tetapi keadaan jalan masuk begitu teruk sehingga Shamsul mempersoalkan mengapa perlu sangat ke tempat ini? Kalau disuruh tinggalkan kereta untuk masuk berjalan kaki sedikit, dia tidak sanggup...

Ketika itu sudah senja, masuk 7 petang, pergi pula ke kawasan jin bertendang sebegini. Keadaan sebenar lebih malap dari apa yang kelihatan dalam gambar. Tetapi saya tidak boleh membiarkan peluang mengambil gambar masjid ini berlalu. Lalu saya meminta isteri dan Shamsul keluar dari kereta sebelum mengemudikan kereta melepasi jalan lecak berselut teruk di beberapa tempat, cukuplah untuk sampai ke bahagian yang kelihatan di atas ini. Dari situ sudah boleh nampak tempat yang dituju, alhamdulillah.









Perjalanan disambung dengan berjalan kaki sedangkan hari semakin gelap. Sekali lagi, gambar yang kelihatan ini jauh lebih terang dari keadaan sebenar. Inilah masjid tinggal yang gambarnya ada digunakan untuk menghiasi buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal". Masjid ini begitu penting kerana ia melambangkan kewujudan bandar-bandar Melayu yang hilang, hilang disebabkan angkara British cuba meminggirkan orang Melayu lalu menaikkan bangsa lain untuk menerajui ekonomi Tanah Melayu. Sila lihat artikel lama Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang!




Saya sudah beberapa kali pergi ke masjid ini termasuk dalam satu lawatan seorang diri waktu senja lebih setahun lalu. Inilah kali pertama saya terjumpa seekor kambing di dalam masjid ini. Isteri saya yang pernah ikut bersama ke sini (sebelum kami berkahwin) dalam rangka kerja membuat video "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" (sila lihat artikel Program berjalan sambil buat video cerita Perak sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan pembunuhan Birch, apa sebenarnya berlaku... Jemputan untuk semua! juga klip-klip video di tengah side-bar kanan) begitu teruja.

"Eh, kambing ini tidak takut langsung pada orang. Dah la dia muncul seekor je. Entah-entah penunggu masjid ini menjelma jadi kambing tak?", katanya.

Saya cuma tersenyum sahaja. Semasa itu saya lebih sibuk mahu mengambil gambar mimbar masjid ini dalam kegelapan, tak terfikir pun nak mengambil gambar kambing. Shamsul ada mengambil gambar kambing. Rasanya dia mahu bertanyakan pada orang lebih arif tentang kambing ini.

Apabila kembali ke Kuala Lumpur, isteri bertanya lagi tentang kambing itu. Terasa rugi pula tidak mengambil gambar, kalau ada tentu boleh ditunjukkan pada semua orang kemudian berilah pendapat dengan ilmu masing-masing tentangnya. Ah... terasa rugi juga tidak dapat berkongsi hal ini.

Ternyata Allah SWT telah merancang segalanya. Apabila dilihat kembali gambar mimbar yang diambil, kelihatan kambing berwarna putih dengan sedikit tompok hitam di satu sudut. Nah, ambik kau. Apakah ini penunggu masjid tinggal?



Sebenarnya saya lebih menumpukan perhatian pada mihrab untuk menganggarkan bilakah masjid ini dibina. Adapun di bahagian belakang atas pintu gerbang mihrab terdapat ukiran dalam tulisan Jawi menyebut nama Megat Ja'afar dengan tarikh dalam nombor Arab bersamaan 1339 Hijriah. Eh, ke 1239 Hijriah? Saya pun tak pasti kerana gambar yang diambil ini kurang terang.

Shamsul dapat mengambil gambar yang menunjukkan tahun itu dengan lebih jelas. Itupun setelah mencuba beberapa kali dengan menggunakan dua buah flash dari beberapa sudut untuk menghasilkan bayang-bayang yang dapat menimbulkan ukiran tanpa warna di belakang itu. Saya pula terlupa nak semak kembali kerana yakin dengan nombor 1339 yang saya lihat mula-mula. Lama kemudian baru saya terfikir, mungkin juga saya tersilap melihat nombor 3 dengan 2 yang tulisan Arabnya hampir sama kecuali tambahan satu 'lekuk' untuk nombor 3.





Adapun tarikh atau tahun itu memberitahu mimbar masjid lama tinggal ini dibuat oleh Megat Ja'afar. Tahun 1339 Hijriah bersamaan 1920 Masihi. Kemungkinan besar masjid ini dibina lebih awal sebelum mendapat mimbar.

Saya cuba padankan pula angka 1239 Hijriah. Ternyata ia bersamaan tahun 1823 Masihi. Jika memang angka yang terukir ialah 1239, ia tidak mustahil. Tidak jauh dari masjid, sekitar 300 meter sahaja di utara terdapat makam sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah yang memerintah dari 1806 hingga 1825.

Baginda telah menjadikan kawasan ini ibunegeri Perak yang dipanggil Bandar Baharu. Maka tidak mustahil masjid lama ini didirikan pada atau sebelum tahun 1823 bersesuaian dengan zaman pemerintahan baginda!




Apapun, alhamdulillah. Kami telah berjaya merakam gambar masjid itu untuk projek buku masjid kami. Harapan saya ia akan membuka mata pihak tertentu nanti agar dapat membaik-pulih masjid itu seraya mengenengahkan kembali sejarah hilang yang boleh mendaulatkan makna sebenar Melayu yang semakin tenggelam diancam suara-suara sumbang bangsa lain!

Kami pergi ke destinasi terakhir perjalanan ke utara ini dengan lebih tenang. Walaupun hari sudah malam, saya tidak terkilan lagi tidak dapat mengambil gambar waktu siang. Rasanya elok juga masjid seterusnya, masjid lama Batak Rabit di luar bandar Teluk Intan dipaparkan keadaannya waktu malam.

Di atas ialah gambar diambil dari bahagian teratas menara masjid dengan menggunakan flash. Ingatkan boleh dapat gambar bumbung masjid yang berlapis tiga sekali dengan bahagian atas menara... tetapi ternyata ini sahaja yang boleh ditangkap dengan kamera automatik Olympus saya. Cukup le...


Inilah menaranya...



Ini pula masjid...






Di sebelah masjid terletak kawasan pemakaman tertutup kaum keluarga saya dari sebelah bapa, makam keluarga Laksamana Raja Mahkota. Sila baca gerak ilham tentang masjid ini yang tercetus ketika membuat artikel Masjid lama Batak Rabit (The old mosque of Batik Rabit) yang blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) setahun setengah lalu.




Di masjid itu juga baru saya berkenalan dengan seorang tua yang rupa-rupanya datuk saudara saya! Kemudian saya menziarahi seorang ibu saudara dan keluarganya di rumah berdekatan tempat saya biasa bermalam di Teluk Intan sebelum mengorak langkah kembali ke Kuala Lumpur...

Hampir jam 11, baru kami makan malam di sebuah kawasan perhentian di tepian Sungai Perak. Kami membuat keputusan untuk mengambil jalan melalui Sabak Bernam dan Kuala Selangor untuk kembali ke Lembah Kelang.


Di batu 8 jalan Teluk Intan ke Hutan Melintang (yang juga membawa ke Sabak Bernam), isteri saya meminta agar saya memberhentikan kereta. Rupa-rupanya nak suruh ambil gambar sekolah lamanya, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI).

Dipendekkan cerita kami sampai ke Kuala Lumpur selepas jam 1 malam. Selepas menghantar Shamsul ke rumahnya di Bukit Damansara, baru saya dan isteri kembali ke sebuah rumah keluarga di Kajang, sampai jam 2 malam. Sekian! :]

Wednesday, December 24, 2008

Projek buku masjid - dari Perlis berkejar hingga ke Pulau Pinang

OK, sekarang barulah kita boleh memulakan cerita perjalanan. Mari...


Seperti disebut dalam artikel pengenalan Projek buku masjid - perjalanan terbaru ke utara..., saya, isteri dan Shamsul telah meninggalkan Kuala Lumpur pada jam 2 pagi. Kemudian dari Lebuhraya Utara-Selatan kami masuk ke Sungai Petani untuk mengisi minyak sebelum mengambil jalan lama menghala ke Alor Setar.

Tujuan saya adalah mahu berehat sebentar dan bersolat Subuh di kaki Gunung Jerai... terlihat pula notis bahawa jalan naik ke Gunung Jerai ditutup pada umum sehingga diberitahu.


Rupa-rupanya ada pertandingan lumba-lari sedang berlangsung 1-2 hari. Patutlah ternampak beberapa orang memakai baju sukan siap bernombor keluar dari surau...



Selepas tidur sekitar setengah jam saya pun menyambung pemanduan. Sampai ke pinggir bandaraya Alor Setar terus mengambil jalan ke Kangar. Menarik pula pokok-pokok di kiri-kanan jalan...


Tidak lama kemudian, kami pun sampai ke ibunegeri Perlis itu...



Selepas sarapan, kami memulakan kerja mengambil gambar di masjid pilihan di Perlis, Masjid Alwi. Sila lihat artikel Masjid Alwi (the Alwi mosque), Kangar, Perlis yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) semalam.




Kemudian kami pergi ke Jitra untuk menziarahi makam Datuk Maharaja Khadi Abdul Jalil. Untuk mengetahui siapakah beliau, sila baca artikel Makam Datuk Maharaja Khadi Sheikh Abdul Jalil yang dibuat awal tahun...





Selepas itu kami ke Langgar, 11 km dari Alor Setar. Oh, sebelum ke Langgar, kami sempat menziarahi makam seorang wali di Titi Gajah. Itu yang diceritakan dalam artikel Projek buku masjid - akhirnya, cukup tujuh wali... tadi.




Di Langgar, kami makan tengahari sebelum menziarahi beberapa tempat tertentu. Antaranya makam seorang ulamak (ada yang kata seorang Sultan Kedah lama...) bernama Sheikh Abdul Qadir yang dipercayai meninggal dunia lebih 1,100 tahun lalu!

Kemudian kami ke sebuah masjid lama di Langgar sebelum ke Masjid Zahir di tengah bandaraya Alor Setar. Sila lihat artikel New trip to the North - places in Alor Setar revisited... yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.




Kemudian kami masuk ke Lebuh-raya Utara-Selatan lagi agar dapat cepat sampai ke Sungai Petani... Manakan tidak, ketika itu sudah lepas waktu Asar sedangkan kami juga berharap dapat membuat kerja di Pulau Pinang sementara masih ada matahari.




Sambil memandu laju, saya cuba mengambil gambar Gunung Jerai yang kelihatan dalam perjalanan...



Di Sungai Petani, kami mengambil gambar masjid jamek bandar ini, sebuah masjid moden yang ceritanya boleh dikaitkan dengan Islam di Afrika Utara kerana rekabentuknya. Nama rasminya, Masjid Sultan Mudzaffar Shah pula membolehkan saya membuka sedikit cerita lama kesultanan Kedah dalam buku nanti.

Kami sampai ke persimpangan masuk ke Butterworth sekitar jam 6.30 petang...


Sampai ke jejantas naik ke jeti masuk feri pula jam 6.40 petang. Sempat ke buat kerja di Pulau Pinang sementara matahari masih ada?




Ternyata, trafik untuk masuk ke jeti sangatlah teruk sehingga selepas jam 8 malam pun saya masih 500 meter jauh dari jeti dan feri!



Jam 8.30 malam, baru dapat masuk feri...



Walaupun tidak sempat membuat kerja di Pulau Pinang siang hari, sekurang-kurangnya timbul rasa lega yang amat sangat apabila melihat pulau itu semakin hampir... kerana di pulau ini juga saya akan berehat malam hari... setelah memandu sekitar 800 km dalam tempoh kurang 24 jam!


Kami makan malam di sebuah restoran nasi kandar sekitar jalan ini kemudian baru menyambung kerja.



Ini ialah Masjid Kapitan Keling yang cukup terkenal di kalangan pelancung ke Pulau Pinang.




Walaupun masjid ini cukup terserlah, kami lebih mahu mengenengahkan Masjid Lebuh Aceh yang terletak cuma sekitar 500 meter dari situ tetapi agak tersorok. Kerana Masjid Lebuh Aceh melambangkan nasib orang Melayu yang tersepit di Pulau Pinang. Sila lihat artikel New trip to the North - Lebuh Aceh mosque revisited... yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Bersambung nanti... saya perlu berkejar ke Bukit Damansara kemudian ke Shah Alam! :]



Projek buku masjid - akhirnya, cukup tujuh wali...

Assalamualaikum. Seperti dijanjikan dalam artikel Projek buku masjid - perjalanan terbaru ke utara... yang dibuat 2 hari lalu, mari dimulakan cerita...

Dalam perjalanan terakhir saya ke Kedah yang dibuat beberapa bulan lalu untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Jitra (sila lihat artikel Lawatan ke Jitra, penceritaan perjalanan terbaru Perak dan apa-apa perkara yang muncul ), saya telah lalu ke kawasan Titi Gajah ketika mahu kembali ke Kuala Lumpur melalui Alor Setar. Terus saya teringat dalam sebuah buku bertajuk "7 Wali Melayu" bahawa terdapat seorang ulamak bertaraf wali yang dikenali sebagai Tuan Hussein Kedah @ Tuan Hussein Al-Banjari yang katanya dimakamkan di Titi Gajah.

Adapun buku ini menyenaraikan tujuh orang ulamak besar bertaraf wali yang menyinari Tanah Melayu penghujung abad ke 19 hingga ke 20. Selain Tuan Hussein, mereka yang disenaraikan adalah Habib Nuh di Singapura, Tuan Tulis dan Sheikh Muhammad Said Linggi di Negeri Sembilan, Tok Ku Paloh di Terengganu, Tok Kenali di Kelantan dan Sheikh Muhammad Nur di Selangor. Sejak saya sibuk mengkaji salasilah keluarga bermula penghujung 2001, saya sudah beberapa kali menziarahi makam Tuan Tulis, Sheikh Muhammad Said, Tok Ku Paloh, Tok Kenali dan Sheikh Muhammad Nur sedangkan makam Habib Nuh dikunjungi 2-3 kali dalam satu sesi lawatan tak disangka ke Singapura penghujung 2006. Untuk melihat cerita berkaitan, sila buat search mana-mana nama ini di ruangan kiri teratas blogspot ini.

Dalam perjalanan dari Jitra ke Alor Setar beberapa bulan lepas dan apabila terlihat papan-tanda menyebut nama tempat Titi Gajah, timbul rasa ingin menziarahi makam Tuan Hussein pula. Tetapi ketika itu saya membawa ahli keluarga yang ingin kembali ke Kuala Lumpur secepat mungkin, jadi tak dapatlah singgah mencarinya.

Hujung minggu baru-baru ini baru saya berpeluang menziarahi makam itu. Dalam perjalanan dari Jitra ke Alor Setar, sekali lagi saya mengambil jalan yang sama, lalu di tepian lapangan terbang. Nampak papan-tanda Titi Gajah terus saya masuk ke tepian kampung dan bertanyakan orang. Rupa-rupanya memang ada sebuah masjid diberi nama Masjid Tuan Hussein Titi Gajah, satu lagi nama panggilan bagi ulamak besar ini.

Saya diberitahu bahawa makam Tuan Hussein terletak di belakang ini. Tetapi apabila masuk ke dalam, kelihatan begitu banyak kubur-kubur, tiada pula diletak apa-apa papan-tanda, batu peringatan atau apa-apa bentuk lain yang jelas kelihatan menandakan makam orang penting seperti biasa dilihat di kebanyakan tempat.

Yang sedikit terserlah adalah sepasang batu nesan bercat kuning ini. Tetapi saya lihat di bahagian lain kawasan perkuburan ini juga terdapat sepasang lagi batu nesan bercat kuning.

Walaupun ada gerakan hati yang menyatakan inilah makam yang dicari, logik akal saya pula menyuruh agar bertanyakan orang sekeliling.



Oh... untuk makluman, Sheikh Hussein ada seorang pelopor besar sistem persekolahan pondok di Kedah dan menjadi rujukan masyarakat mahupun istana dalam hal-hal agama. Beliau dikatakan berasal dari keturunan ulamak besar yang juga bertaraf wali, Sheikh Muhammad Arshad Al-Banjari. Tetapi seingat saya, ada percubaan untuk memperkecilkan kredibiliti beliau apabila ulamak ini tidak bersetuju untuk mengeluarkan fatwa yang menghalalkan beberapa perkara.

Antaranya adalah menghalalkan pelbagai bentuk instrumen pelaburan yang kini sudah menjadi perkara biasa akibat 'dihalalkan' pelbagai ulamak suk atau ulamak cari makan. Sedangkan dahulu ia amat dipersoalkan para ulamak yang masih berpegang kuat pada cara lama kerana instrumen yang dimaksudkan mengandungi unsur-unsur riba' yang cuba dihalalkan melalui hujah-hujah Fiqah yang kelihatan logik menepati kehendak Syariat tetapi batinnya ternyata dusta.



Walaupun batu nesan ini terang-terang menunjukkan nama Tuan Hussein, saya tetap pergi lagi mencari orang untuk memastikan kedudukan makam Tuan Hussein yang dicari. Akhirnya baru saya dapat kepastian dan baliklah saya ke makam ini.

Dengan ini cukuplah saya telah menziarahi makam ketujuh-tujuh wali yang disenaraikan dalam buku "7 Wali Melayu". Lebih menarik, isteri saya dapat turut sama menziarahi.

Saya juga pernah diberitahu bahawa ulamak moden yang banyak menulis buku-buku sendiri serta artikel-artikel dengan ulamak silam di dada-dada akhbar, Ustaz Wan Mohd Saghir turut dimakamkan di sini. Tetapi saya tidak sempat mencarinya kerana perlu berkejar untuk membuat kerja. Apapun, Al-Fatihah untuk mereka dan semua yang memperjuangkan Islam...

Monday, December 22, 2008

Projek buku masjid - perjalanan terbaru ke utara...

Gambar terbaru makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang sudah berpagar cantik di kawasan pemakaman diraja Perak berlatar-belakangkan Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan diambil semalam... Sila bandingkan dengan gambar lalu di artikel Laporan ringkas perjalanan terbaru ke Perak... Meriah woo tapi penat!

OK... tadi dalam artikel Sekitar majlis bertandang ke rumah pihak pengantin lelaki... ada disebut bahawa saya dan isteri baru selamat kembali dari perjalanan 1,200 km. Sebenarnya perjalanan ini dibuat dalam rangka kerja projek buku masjid iaitu projek untuk menerbitkan coffee-table book atau buku mewah tentang masjid-masjid terpilih di Malaysia. Mereka yang "tertinggal bas" boleh merujuk pada artikel-artikel lama tentang perjalanan projek buku yang telah dibuat ke selatan juga ke Pantai Timur.

Seperti biasa, saya pergi bersama rakan lama saya Shamsul Yunos yang bertindak sebagai jurukamera. Bezanya, kali ini Shamsul tidak sempat mendapatkan kereta untuk dipandu-uji lalu saya menggunakan kereta sendiri dengan ditemani isteri.

Di sini biar diceritakan secara ringkas apa yang berlaku...

Selepas berehat di Bukit Damansara, saya dan isteri mengambil Shamsul di rumah berdekatan jam 2 pagi lalu terus bergegas masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui Jalan Duta... sampai Sungai Petani keluar mengisi minyak lalu mengambil jalan lama semata-mata untuk berhenti berehat dan menunaikan solat Subuh di kaki Gunung Jerai selepas Gurun. Kemudian terus ke Alor Setar lalu ke Kangar untuk mengambil gambar masjid pertama, Masjid Alwi di tengah bandar.

Seterusnya kami ke Jitra untuk menziarahi makam Datuk Khadi Maharaja Abdul Jalil (lihat artikel lama Makam Datuk Maharaja Khadi Sheikh Abdul Jalil ) kemudian mengala kembali ke Alor Setar, singgah di Titi Gajah untuk menziarahi makam Tuan Sheikh Hussein Al-Banjari juga dikenali sebagai Tuan Hussein Kedah @ Tuan Hussein Titi Gajah, satu antara 7 orang yang disenaraikan dalam buku bertajuk "7 Wali Melayu". Dengan itu cukuplah saya telah menziarahi makam ketujuh-tujuh wali yang disenaraikan dalam buku itu.

Hampir sampai ke Alor Setar, timbul rasa untuk ke Langgar dahulu. Selepas makan tengahari, kami ke Tanjung Inggeris untuk menziarahi makam Sheikh Abdul Kadir yang dikatakan berumur lebih 1,100 tahun sebelum ke masjid seterusnya, masjid lama berdekatan makam diraja Kedah. Kemudian baru ke Masjid Zahir di tengah bandaraya Alor Setar.

Seterusnya kami ke Sungai Petani mengambil gambar masjid jamek iaitu Masjid Sultan Mudzaffar Shah. Selesai itu kami ke Pulau Pinang, sampai malam untuk mengambil gambar Masjid Lebuh Aceh kemudian Masjid Kapitan Keling.

Malam itu Shamsul kembali menaiki feri ke tanah besar untuk ke rumah bapanya di Kulim sementara saya dan isteri pergi bermalam di Batu Feringgi. Esok tengahari baru kami berjumpa di Sungai Bakap sebelum ke Taiping untuk mengambil gambar Masjid Melayu Bandar Taiping.

Selepas jam 3 petang baru kami dapat pergi ke Kuala Kangsar, sempat berhenti sebentar di hadapan makam Sheikh Abdul Qadir (sila lihat artikel Makam Sheikh Abdul Qadir al-Jilani di Kuala Kangsar, Perak? ) sebelum naik ke Bukit Chandan untuk mengambil gambar Masjid Ubudiyah dan menziarahi kawasan pemakaman diraja terutama makam Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles dan makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang turut dibuang ke sana kerana terlibat dalam pembunuhan residen Inggeri J.W.W. Birch tahun 1875. Kami juga mengambil gambar masjid Kota Lama Kanan di mana terdapat satu batu nesan di dalam menandakan tempat Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah ghaib ketika bersolat Jumaat hampir 500 tahun lalu. Selesai semua ini, kami pun bergegas ke Teluk Memali untuk mengambil gambar masjid lama tinggal, masjid yang gambarnya ada digunakan pada muka hadapan buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal".

Alhamdulillah, walaupun jalan masuk ke dalam kurang elok, kami dapat menyelesaikan kerja di sana sejurus sebelum langit jadi gelap, Kemudian kami ke masjid lama Batak Rabit sebelum singgah di rumah seorang ibu saudara saya yang berdekatan. Seterusnya makan malam di tempat rehat tepian Sungai Perak sebelum kembali ke Lembah Kelang melalui jalan tepian pantai (lalu Sabak Bernam dan Kuala Selangor). Sekian... :]

Sekitar majlis bertandang ke rumah pihak pengantin lelaki...

Assalamualaikum semua. Alhamdulillah semalam jam 2 pagi saya dan isteri selamat kembali dari perjalanan 1,200 km... sedikit ceritanya akan dibuat di sini nanti. Oleh kerana ramai juga bertanya tentang gambar-gambar sekitar perkahwinan kami baru-baru ini, maka biar diletakkan gambar-gambar di bawah ini berserta sedikit cerita ya.

Adapun gambar sekitar majlis pernikahan dan makan di rumah pengantin perempuan yang berlangsung Khamis lalu 11 Disember bersamaan 13 Zulhijjah belum kami dapat kerana perlu bertemu dengan jurugambar yang berpengkalan di Lukut, Negeri Sembilan. Nantilah, kami jumpa insyaallah minggu hadapan. Apa yang dapat disajikan cuma 5 keping gambar dalam link yang ada diletakkan pada posting terakhir saya Nombor 131 dan makna satu pernikahan... Selasa lalu.

Nasib baik ada gambar-gambar dari majlis bertandang ke rumah pihak pengantin lelaki yang dibuat di rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara pada Ahad 14 Disember... diambil oleh seorang sepupu saya. Tanpa membuang masa lagi inilah dia...


Ini adalah gambar saya duduk bersebelahan bapa saudara dan bapa selepas majlis tahlil kecil yang dihadiri beberapa keluarga terdekat.


Selepas bermalam Jumaat dan seterusnya di rumah pengantin perempuan di Tanjung Sepat, saya ke rumah bapa saudara Sabtu malam Ahad meninggalkan isteri...

Kerana saya telah berjanji dengan bapa saudara akan menolong mendirikan khemah-khemah dan mengatur bangku meja (semuanya milik sendiri) untuk majlis ini dan ini dilakukan pagi Ahad.


Hampir jam 1 tengahari baru pengantin perempuan muncul diiringi keluarga... mereka datang hingga ke kawasan masjid Bukit Damansara sebelum saya mengambil mereka dengan menaiki motosikal besar kesayangan saya...



Tetapi ada ahli keluarga perempuan yang berlepas dari Putrajaya lalu saya terpaksa menerangkan arah...



Dan majlis pun dimulakan. Tak payah pakai pelamin kerana ini majlis ringkas...




Antara anak-anak buah saya yang turut serta...



Mereka juga turut jadi pengapit dan tukang kipas!



Sebahagian keluarga pengantin perempuan...



Sebahagian keluarga pengantin lelaki...




Bapa saudara saya memberi ucapan alu-aluan... diikuti sesi memperkenalkan diri antara kedua-dua keluarga...





Kemudian, menurut adat keluarga saya yang di belah Johor (keluarga belah ibu), pengantin pun menaburkan gula-gula dan duit-duit syiling...





Paling seronok adalah budak-budak...





Tu dia, berebut-rebut nak dapat duit dan gula-gula free!




Acara diteruskan sehingga habis segala duit dan gula dalam mangkuk...





Punyalah seronok, orang tua pun tumpang sekaki!




Malah apabila duit dan gula di mangkuk dah habis, bapa saudara saya pula boleh naik ke atas untuk menabur duit tambahan...




Bukan setakat duit RM1, duit RM10 pun ditaburnya sekali. Nasib baik tak tabur duit RM50... Bapa saudara saya ni duit berjuta pun dia boleh tabur tapi dia bukan jenis yang membazir...




Kemudian baru kami keluar makan. Saya dan isteri pula kena jadi 'patung' sekejap duduk di gazebo sambil dipertontonkan pada orang ramai... terpaksa menunggu orang lain melahap dahulu segala makanan terutama 2 ekor kambing panggang yang asyik membuat saya terliur! Sekian... :]