Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, May 18, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Memulakan ibadah umrah di Mekah

Alhamdulillah. Setelah beberapa lama sampailah satu fasa baru dalam penceritaan siri perjalanan ke Tanah Suci 1-12 April. Bersambung dari Ziarah dan umrah 2013 - Panji-panji hitam Bani Hashim dan jalan-jalan hari Jumaat.


Pagi Sabtu 6 April 2013. Saya ke Masjid Nabawi lebih awal dari biasa untuk menunaikan solat Subuh.


Seperti biasa, selepas solat saya mesti berjalan-jalan untuk melihat isi masjid dari beberapa sudut. Kelihatan dalam gambar bahagian terangkat sedikit seperti pangkin yang merupakan kawasan Ahlus Suffah, tempat para sahabat Nabi menumpang tidur, serambi luar masjid zaman baginda masih hidup lebih 1,400 tahun.


Tengah hari nanti rombongan saya akan meninggalkan Madinah untuk menunaikan umrah di Mekah. Ziarah sat makam Nabi tapi bukanlah ziarah wida' iaitu ziarah perpisahan sebelum berlepas. Itu saya akan buat tengah hari nanti kerana kalau dah buat ziarah wida' tak boleh berlegar-legar lagi di sekitar masjid. Lihat artikel Makam (Tomb of) Nabi (Prophet) Muhammad SAW di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Apabila keluar dari masjid saya dapati pintu masuk ke tanah perkuburan Baqi' sudah dibuka. Saya pun masuk untuk menziarahi makam Saidina Hassan dan para Ahlul Bait. Kali ini saya berjalan lebih jauh ke dalam melihat banyak lagi makam, antaranya makam para isteri Nabi, anak lelaki baginda yang meninggal dunia ketika kecil iaitu Ibrahim, makam ibu susuan baginda Halimatul Saadiah dan makam seorang sahabat paling rapat. Lihat Makam (Tomb of) Saidina Uthman.


Tengah hari saya masuk lagi ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat Zuhur berjemaah. Sempatlah melepak agak lama di kawasan Ahli Suffah sebelum membuat ziarah wida' ke makam Nabi.


Kembali ke hotel ramai yang sudah bersiap memakai ihram.


Asalnya kami dijadualkan meninggalkan Madinah jam 2 petang. Tapi bas berlepas hampir 4 petang.


Sampai di Masjid Bir Ali (8 km di luar Madinah kalau tak salah) iaitu tempat miqat dari arah Madinah mutawif menyuruh kami setakat berniat atas bas. Katanya terlalu ramai orang singgah dan dia tidak mahu kita berebut masuk lalu mengambil banyak masa. Esoknya baru saya dapat tahu satu lagi bas yang membawa kumpulan jemaah kami singgah di masjid lalu mereka dapat solat sunat. Teringat saya mandi sunat sekali di sini tahun 2005, timbul juga rasa marah pada mutawif bas saya. Terbetik di fikiran, entah-entah dia ni cuma fikir ahli jemaahnya yang dibawa dari Kelantan belasan orang kerana selalu juga ahli jemaah ini yang ramai orang tua melambatkan perjalanan. Terkilan sebab tak dapat menjejakkan kaki lagi di Bir Ali disebabkan hal orang.


Jarak dari Madinah ke Mekah adalah lebih 400 km dan perjalanan memakan masa 5 jam. Kelihatan kami makan malam di sebuah tempat rehat.


Akhirnya sampai ke hotel di Mekah sekitar 10 malam. Rehat sebentar sebelum keluar menunaikan umrah. Kena berjalan 1 km untuk sampai ke Masjidil Haram. Lihat artikel An introductory view of Mecca and its holy mosque di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Alhamdulillah suka betul isteri dapat berada di Masjid Haram dan di hadapan Ka'abah. Suka sungguh kerana sudah lama bernazar mahu menunaikan umrah. Ambik gambar sat selepas tamat tawaf 7 pusingan.


Ibadah umrah disambung dengan sa'ei antara Safa dan Marwah. Lihat Puncak bukit (Summit of the hill of) Safa.


Selesai sa'ie kemudian tahalul (memotong atau mencukur rambut) untuk melengkapkan ibadah kami keluar dari pintu di sebelah Marwah.


Melihat ke kanan nampaklah bahagian bangunan panjang Masjidil Haram yang menempatkan tempat sa'ie di dalam.


Betul-betul menghadapnya di luar adalah bukit Jabal Qubis yang dahulu terkenal sebagai tempat orang-orang Sufi dan Tariqat berkumpul di Tanah Haram. Sejak beberapa dekad bukit ini ditutup kepada awam. Yang ada cuma salah satu istana keluarga Bani Saud yang memerintah negara Saudi Arabia.


Kami sampai ketika Masjidil Haram sedang mengalami proses pembinaan apa entah yang sangat besar. Semua pintu berhadapan Jabal Qubais termasuk pintu paling afdhal untuk memasuki Masjidil Haram iaitu Babussalam ditutup kepada awam.


Jauh sedikit ke kiri luar dari pintu sebelah Marwah boleh kelihatan sebuah bangunan kecil dua tingkat. Alhamdulillah, suka saya melihat ia masih ada. Untuk pengetahuan itulah tapak tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW.


Sebelum kembali ke hotel saya mengambil kesempatan bergambar di hadapan Ka'abah. Syukur ya Allah kerana masih sudi membawa hambaMu yang lemah, dhaif dan penuh dosa ini sampai di rumahMu ya Allah... :]


Friday, May 17, 2013

Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat

Di makam wali besar Sayyid Hussein Jamadil Kubro, leluhur para Wali Songo di desa Tosora, Wajo, Sulawesi Selatan pagi Jumaat minggu lepas...


Assalamualaikum semua. Selamat pagi Jumaat. Nampaknya saya semakin malas hendak menulis artikel baru di blogspot, mungkin akibat gangguan kesihatan yang dialami termasuk retak tulang atas buku lali lebih 3 minggu lalu yang belum lagi sembuh. Apapun saya tetap akan berusaha untuk menulis walaupun tidak berapa kerap.

Pada artikel lalu Ziarah dan umrah 2013 - Panji-panji hitam Bani Hashim dan jalan-jalan hari Jumaat yang ditulis 2 Mei saya ada memberitahu, esoknya akan ke Makassar untuk melaksanakan satu misi menziarahi tempat-tempat bersejarah di Tanah Bugis walaupun kaki kanan bersimen. Alhamdulillah misi ini telah berjaya dilaksanakan dan saya kembali ke tanah air Ahad malam Isnin. Adapun turut bersama adalah isteri dan dua anak kecil kami. Kesian isteri kerana dalam keadaan saya begini dialah yang harus mengangkat barangan keperluan, beg dan sebagainya sambil menjaga saya dan anak-anak.

Secara ringkas perjalanan dibuat 3-12 Mei. Kota Makassar yang terletak di Sulawesi Selatan, kira-kira 2,200 km dari Kuala Lumpur adalah pintu masuk utama ke Tanah Bugis. Kami ke sana kerana mahu menziarahi sejumlah tempat bersejarah termasuk makam para leluhur selain memenuhi jemputan seorang profesor. Dapatlah kami tidur selesa di rumahnya selain mendapat perkhidmatan kereta dan pemandunya untuk ke mana-mana.

Butiran akan diberikan apabila saya mula bercerita hal perjalanan ini dari hari ke hari. Cukuplah disebut antara tempat-tempat yang diziarahi adalah makam wali besar Bugis abad ke 17 Masihi iaitu Sheikh Yusuf Makassar, istana raja Goa, makam raja-raja Goa (Goa adalah kerajaan besar suku kaum Makassar yang wujud seiring dengan etnik Bugis) dan makam Arung Palakka (sangat terkenal dalam sejarah Bugis). Kami juga sempat menziarahi makam raja besar kerajaan Wajo (sebuah kerajaan Bugis yang gigih menentang Belanda) yang ke-31 iaitu La Madukelleng. Baginda dipercayai sesetengah pihak sebagai orang sama dengan Nakhoda Hitam yang muncul di Perak tahun 1740an, seorang pejuang yang dituduh sebagai lanun tetapi kemudian menjadi Laksamana Raja Mahkota Perak yang pertama, seorang leluhur utama dalam salasilah keluarga bapa saya.

Tidak boleh dilupakan adalah ziarah pagi Jumaat minggu lepas ke makam wali besar Nusantara atau Alam Melayu abad ke 14 Masihi iaitu Sayyid Hussein Jamadil Kubro seperti ditunjukkan pada gambar atas. Untuk makluman para Wali Songo di Tanah Jawa adalah keturunan beliau begitu juga raja-raja Patani/Kelantan dan ramai nama besar. Walaupun begitu sejarah kedatangan beliau ke Tanah Bugis agak kabur. Namun cukuplah diberitahu saya mendapat rasa bahawa sejumlah (mungkin bukan semua) raja-raja kerajaan Wajo termasuk La Madukelleng adalah dari keturunannya.

Cerita perjalanan ke Makassar dan Tanah Bugis ini biarlah dipanggil siri "Terhencot-hencot ke Tanah Bugis" kerana memang hakikatnya saya harus berjalan terhencot-hencot ke sana ke mari akibat kecederaan yang dialami. Sungguh mencabar berjalan dalam keadaan ini apalagi bila perlu turun naik tangga. Selain melawan sakit dengan kaki yang bengkak semacam, saya harus menumpukan berat badan pada kaki kiri dan ini sendiri amat memenatkan. Insyaallah nanti saya ceritakan panjang lebar ok. Buat masa ini biar dihabiskan dahulu siri "Ziarah dan umrah 2013" yang akan masuk hari terakhir di Madinah sebelum berlepas untuk menunaikan umrah di Mekah.