Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, February 28, 2020

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini

Salam petang Jumaat pertama bulan Rejab 1441 Hijriah. Meneruskan gerak penceritaan yang bersambung daripada artikel Pameran "The Lost Kingdoms" di Muzium Negara - 'Meneroka' kerajaan-kerajaan 'hilang' di Alam Melayu.


Dari Muzium Negara kami bergerak ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk mengikuti edisi ke-3 siri syarahan buku "Classification of Knowledge in Islam" (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam") tulisan Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar bagi tahun 2020. Kami sampai seawal jam 3.27 petang sedangkan syarahan dijadualkan bermula jam 5.15. Sebelum itu kami sempat singgah ke perkarangan Istana Negara untuk meninjau perkembangan terbaru melibatkan politik dan pentadbiran tanah air.


Ia adalah susulan daripada kejatuhan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selepas sejumlah 37 orang wakil rakyat mengisytiharkan diri keluar daripada Pakatan hari Isnin 23 Februari 2020.  Ini diikuti tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menghantar surat perletakan jawatan dan beberapa hal lain. Ketidakpastian yang muncul menyebabkan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan untuk memanggil lalu menemubual secara berhadapan empat mata setiap 221 orang ahli Dewan Rakyat (selain Tun M) dalam dua sesi Selasa dan Rabu. Akibat daripada itu berpuluh wakil media berkampung di hadapan Pintu 2 Istana Negara bagi melaporkan perkembangan.


Isteri yang mengajak lalu membuat live video atau rakaman siaran langsung melalui Facebook memandangkan istana terletak dalam perjalanan dari Muzium Negara ke ISTAC. Lihat sini. Selepas itu iaitu sebaik sahaja sampai ke ISTAC kami dimaklumkan oleh kawan-kawan bahawa kedatangan kami memakai busana tradisional lengkap Melayu dengan saya berkeris, bersampin dan bertanjak menarik perhatian media sehingga jelas kelihatan begitu lama dalam rakaman satu web portal. Lihat di sini bermula minit 3:12. Sekarang pergi kita pada syarahan Osman.


Ia adalah sambungan bagi syarahan terdahulu petang Rabu 19 Februari. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat. Namun beliau memilih untuk berpatah balik dahulu satu perenggan.





Maka kembalilah kita pada perenggan terakhir muka surat 45. Sudah disebut dalam artikel terdahulu bahawa ia secara rata menyebut sudah cukup contoh daripada Quran dan Hadith diberikan untuk menunjukkan memang terdapat hierarki pelbagai perkara atau aturan kedudukan dan kepentingan  dalam Islam. Ayat-ayat akhir perenggan yang bersambung ke muka surat 46 menyatakan hieraki sebegitu sedia difahami oleh masyarakat (zaman itu) lalu membentuk cara mereka melihat konsep-konsep dan falsafah sains.



Disebut kembali tentang cara ulamak silam Islam besar al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi) melihat psikologi atau ilmu jiwa. Beliau menggunakan cara rasional (berdasarkan prinsip logik/mantiq falsafah) untuk menanggapi persoalan-persoalan metafizik melibatkan hieraki kedudukan makhluk dan ilmu. Osman mengulas dengan menyebut metafizik sebagai ilmu al-Ilahi (ilmu keTuhanan). Dipanjangkan bahawa setiap manusia adalah 'alam kecil' (little cosmos) lalu kepandaian (terjemahan saya untuk perkataan Inggeris intelligence) setiap makhluk selain kita sebenarnya ada wujud dalam diri kita. 

Pengetahuan dan pemahaman sebegini rata-rata diterima pakai oleh para ilmuwan zaman itu. Tetapi ia telah menjadi sesuatu yang susah dan rumit lalu memerlukan penerangan panjang untuk manusia sekarang menerima. Osman pun menyebut tentang satu hadis Rasulullah SAW menyatakan masyarakat secara rata menjadi semakin buruk semakin jauh daripada zaman keNabian. Ia adalah realiti yang tidak dapat dielakkan kecuali oleh sedikit sahaja yang diberi faham.

Perkara sebegini pernah berlaku lebih awal pada zaman Yunani purba, beliau memberikan contoh. Pada zaman Plato (hidup sekitar 429–347 Sebelum Masihi) masyarakat lebih mudah menerima konsep-konsep tinggi tanpa memerlukan penerangan panjang lebar kerana begitulah cara fikir dan faham biasa mereka. Oleh itu pemikir besar Yunani yang dilihat ulamak silam Islam sebagai salah seorang ahli hukama lama ini boleh menyebut konsep-konsep keTuhanan secara terus tanpa menimbulkan bingung. Tetapi masuk zaman Aristotle (hidup 384–322 SM) yang juga dilihat sebagai seorang ahli hukama masyarakat telah menjadi lebih skeptik. Oleh itu ilmu logik/mantiq diperlukan bagi membuat mereka menerima dan faham.

Namun Allah SWT tidaklah membiarkan kita pada zaman-zaman kemudian terkapai-kapai begitu sahaja. Disebabkan realiti zaman yang semakin memburuk diberikan pula beberapa kelebihan bagi generasi-generasi kemudian. Osman memperkenalkan konsep divine compensation yang boleh diterjemahkan sebagai 'pampasan' Ilahi. Disebabkan cabaran zaman yang semakin getir mereka yang berbuat amal kebaikan akan diberikan balasan berganda berbanding masyarakat-masyakat terdahulu.





Dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat ada diberitahu bahawa walaupun tinggal beberapa ayat sahaja lagi sebelum sub-topik 2.1 tamat syarahan ditutup kerana hampir masuk waktu Maghrib. Oleh itu saya menggunakan sedutan muka-muka surat berkenaan daripada artikel tersebut untuk menyambung perkara dalam artikel baru. Cuma bezanya kali ini syarahan dipanjangkan sehingga melengkapi sub-topik. Perenggan terakhirnya menyatakan walaupun konsep hieraki diterima oleh pemikir silam Islam ia tidaklah difahami melalui satu cara sahaja. Al-Farabi memiliki cara beliau sendiri. Ini akan dipanjangkan melalui 3 bab seterusnya dalam buku "Classification of Knowledge in Islam".




Maka masuklah kita pada subtopik 2.2. Tajuknya "The Bases of the Hierarchy of Sciences" boleh diterjemahkan sebagai "Asas-asas hieraki bagi ilmu-ilmu sains". Menurut al-Farabi asas yang benar bagi membuat aturan terdiri daripada satu atau lebih daripada tiga elemen. Elemen-elemen yang menentukan kecemerlangan suatu ilmu sains mahupun seni ini adalah seperti berikut :-


1. 'Kebangsawanan' perkara dalam ilmu tersebut. Saya terjemahkan terus daripada ungkapan 'nobility of subject matter' kerana tidak tahu apakah perkataan Melayu yang sesuai untuk membawa makna nobility ini. Yang faham adalah makna nobility yang memang terjemahan terusnya (direct translation) adalah kebangsawanan.  Ia membawa makna sifat-sifat kemuliaan seperti tidak pentingkan diri sendiri, selalu memikirkan kemaslahatan orang lain melebihi diri sendiri dan sedia berkorban demi menegakkan kebenaran. Hmm... mungkin kita boleh gunakan ungkapan "kemuliaan suatu perkara".

2. Kedalaman dalam pembuktian ilmu (profundity of proofs). Maksudnya begitu bermakna dan dalamnya perkara dalam membuktikan kebenaran ilmu tersebut

3.  Keluasan (immensity) faedah ilmu. Ini lebih jelas. Faedah-faedah yang diberikan oleh suatu ilmu.


Contoh ilmu yang memberikan faedah yang luas adalah ilmu agama. Ia sangat penting kerana boleh membentuk segenap aspek cara kehidupan manusia. Satu lagi adalah ilmu kraf atau kemahiran yang diperlukan bagi setiap zaman dan setiap negara. Contohnya ilmu pertanian. Ia amat diperlukan dan memberi faedah setiap orang.

Contoh ilmu yang memiliki pembuktian mendalam adalah geometri. Cabang ilmu matematik ini memang diketahui sangat penting pada zaman silam. Pembuktian yang terlibat untuk menunjukkan kebenaran suatu perkara dalam ilmu memang mendalam sekurang-kurangnya daripada segi pemikiran.

Contoh ilmu yang cemerlang kerana memiliki kemuliaan perkara adalah astronomi atau kaji bintang. Kata Osman ini disebabkan ia berurusan dengan badan-badan di langit (planet, bintang dan sebagainya, umum dalam bahasa Inggeris disebut sebagai celestial bodies). Apapun 3 perkara atas atau 2 daripadanya boleh tergabung dalam satu ilmu misalnya metafizik. Dalam buku ia diberikan nama bahasa Arab al-ilm al-ilahi atau ilmu Ilahi.

Osman pun mengulas panjang dengan menyatakan metafizik sebagai ilmu keTuhanan. Jika dilihat pada asal usul daripada perkataan Inggeris metaphysics yang pula berasal daripada gabungan perkataan-perkataan Yunani meta dan fysiki ia membawa makna melangkaui alam fizikal atau alam yang boleh dilihat. Dengan itu ia juga meliputi ilmu-ilmu tentang malaikat dan perkara-perkara akhirat.

Saya meminta beliau untuk memberikan ulasan tentang dua makna bertentangan metafizik yang ditemui dalam Internet. Satu, adalah seperti disebut tadi, tentang konsep-konsep tinggi di luar alam fizikal biasa. Satu lagi pula meremehkan metafizik sebagai suatu perkara buruk bersifat angan-angan kerana tidak bersandarkan pada realiti (konon).

Jawab Osman, apa-apa takrifan elok yang diberikan Barat dan dunia moden terhadap metafizik pun sebetulnya masih belum cukup kerana maksudnya lebih tinggi dan meluas daripada yang ramai faham. Apa-apa yang buruk dan merendahkan pula menunjukkan kejahilan terhadap realiti sebenar kewujudan yang memiliki banyak dimensi di luar apa yang manusia biasa mampu lihat. Apapun metafizik sebagai ilmu Ilahi atau ilmu keTuhan memang sangat unggul.




Perenggan terakhir muka surat 46 yang bersambung ke muka surat 47 secara rata menegaskan kembali 3 elemen yang menjadi asas bagi membina aturan atau hieraki ilmu tadi. Selepas menamatkan pembacaan perenggan sehingga separuh muka surat syarahan pun tamat. Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,910 di blogspot ini.



Pameran "The Lost Kingdoms" di Muzium Negara - 'Meneroka' kerajaan-kerajaan 'hilang' di Alam Melayu

OK. Sesuatu untuk malam Jumaat. Artikel ini asalnya difikirkan mahu diletakkan dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tetapi apabila melihat isinya ada terkait dengan beberapa artikel lama di CATATAN SI MERAH SILU biar diletakkan di sini. Bersambung daripada Bukti dan legasi kerajaan Langkasuka - Antara rasa dan bukti empirikal.


Selepas makan tengah hari sempena majlis ilmu di auditorium Muzium Negara kami pergi ke bahagian pameran sementara yang sedang membuat pameran "The Lost Kingdoms" - Kerajaan-kerajaan yang hilang.



Ia merujuk pada kerajaan-kerajaan lama di Alam Melayu/Asia Tenggara seperti Funan, Khmer, Langkasuka, Srivijaya. Pameran sebenarnya telah dimulakan penghujung tahun 2019.


Ketika itu saya ada menghadiri wacana ilmu yang diadakan seiring dengan pembukaan pameran. Ia ada menerangkan kenapa pameran dibuat dan kenapa diberikan tajuk berkenaan. Lihat artikel Negara Kota Yang Hilang - Satu tajuk yang menyuburkan imaginasi.


Cuma ketika itu saya tiada masa untuk melihat pameran. Baru semalam tergerak untuk meneliti apa yang ada bersama isteri.


Kami diberitahu bahawa ada barangan dipinjam daripada Muzium Kebangsaan Cambodia di Phnom Penh.


Ini merupakan artifak-artifak yang terkait dengan kerajaan Funan (muncul dan berpusat di Cambodia/Kemboja abad pertama Masihi) sebelum digantikan dengan kerajaan Chenla abad ke-7 kemudian kerajaan Khmer abad ke-11.


Teringat kami sekeluarga pernah sampai ke muzium tersebut penghujung tahun 2018. Nak masuk kena bayar USD10 bagi setiap orang dewasa. Mahal tu. Lebih RM40 seorang. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Kehebatan kota Phnom Penh.


Sebelum ke muzium itu kami anak beranak telah bertandang ke pusat kerajaan Funan di Angkor Borei kira-kira 80 km ke tenggara Phnom Penh menghampiri sempadan negara Vietnam. Ada muzium kecil menonjolkan artifak seperti yang kelihatan. Tiketnya jauh lebih murah dan kedudukan pun dekat dengan tinggalan sebenar kerajaan. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menyambut hari lahir di tapak pusat empayar.


Beberapa hari sebelum menjejakkan kaki ke pusat empayar Funan pula kami ada pergi ke kuil Angkor Wat yang merupakan satu legasi agung kerajaan Khmer. Nak masuk kena bayar paling kurang USD37 bagi tempoh sehari. Ia turut meliputi lawatan ke peninggalan-peninggalan lain yang berdekatan. Rujuk artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar.

Oh. Saya juga pernah mengikuti satu wacana ilmu tentang Angkor Wat  oleh profesor dari Cambodia. Ia seperti mahu mengaitkan legasi lama kerajaan Khmer dengan penemuan industri besi purba di Kedah Tua.  Sila rujuk artikel Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa diikuti Wacana ilmu di UKM - Lagi tentang Angkor Wat dan industri besi purba Khmer

'
Terdapat juga replika batu-batu bersurat daripada kerajaan-kerajaan lama . Kalau tak salah yang ini daripada kerajaan Champa yang pernah terletak di timur Funan. Ia kini sebahagian daripada negara Vietnam.


Sejak 2-3 tahun kebelakangan saya ada menyimpan hajat untuk membuat pengembaraan jejak sejarah lama di sana tetapi belum berkesempatan. Yang dapat adalah melihat warisan Champa berupa orang Melayu Cham yang berhijrah ke Cambodia/Kemboja selepas kejatuhan kerajaan Melayu tersebut ke tangan orang Vietnam atau Dai Viet yang datang daripada selatan Cina. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham.


Kalau tak salah ini adalah replika-replika batu-batu bersurat daripada kerajaan Melayu Srivijaya yang pernah berpusat di tengah pulau Sumatera.


Saya belum pernah melihat batu-batu bersurat sebenar yang kalau tak salah ada tersimpan di Muzium Nasional Indonesia di Jakarta walau pernah sampai ke bandar raya tersebut.  





Namun saya pernah melihat batu-batu bersurat yang ada kena-mengena juga kesan-kesan sejarah berkenaan keberadaan Srivijaya di tempat-tempat lain. Lihat artikel-artikel lama berikut :-




3. Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - Chaiya/Cahaya/Jaya/Grahi : Tempat permulaan Empayar Srivijaya 1,400 tahun lalu?












Kalau tak salah ada juga artifak-artifak dipinjamkan daripada Muzium Nasional Thailand di Bangkok. Dengan itu lawatan kami sekeluarga ke muzium tersebut penghujung tahun 2018 boleh dirujuk. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Berjalan pusing Bangkok sebelum bermalam dalam kereta api ke selatan.





Hal Candi Borobudur yang katanya didirikan di Pulau Jawa abad ke-8 dan ke-9 Masihi turut disebut kerana ia juga legasi sebuah kerajaan lama. di Alam Melayu. Cuma terlupa untuk mengambil berkenaan. Dengan itu lawatan-lawatan lama saya ke lokasi berserta penemuan-penemuan berkenaan boleh dirujuk :-









Tidak lupa, pameran ini juga mengenengahkan kerajaan lama Langkasuka yang kemudian menjadi kerajaan Melayu Patani, kini di selatan Thailand. Oleh itu artikel lama Misi jejak Aceh-Langkasuka : Lawatan lapangan ke makam-makam dan petunjuk Dato' Panjang boleh dirujuk diikuti artikel baru Bukti dan legasi kerajaan Langkasuka - Antara rasa dan bukti empirikal.





Tentu juga Kedah Tua yang berada dalam negara kita Malaysia termasuk dalam senarai Lost Kingdoms atau kerajaan-kerajaan lama yang hilang. Lawatan-lawatan dan tulisan saya yang berkenaan termasuk daripada blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)  boleh dirujuk :-





4. Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Sedikit ringkasan ceritera

5. Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Antara Merong dan Mahapudisat

6. Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Dari zaman Funan ke zaman Kedah Islam

7. Tapak peleburan besi di Sungai Batu - Bukti Kedah sudah mengeksport besi sejak lebih 2000 tahun lalu!

8. Berkumandangnya azan Maghrib di Tapak 23 Pengkalan Bujang

9. Menjayakan acara di Lembah Bujang sebelum ke runtuhan dipercayai masjid purba

10. Sungai Batu, industri besi purba dan makam Sultan Muzaffar Syah I

11. Daulah Melayu di utara - Sekitar Bayan Lepas dan Lembah Bujang



Dengan ini cukuplah perkongsian tentang pameran. Satu video berkenaan telah dibuat untuk paparan langsung melalui Facebook. Sila masuk sini. Untuk makluman pameran akan berlangsung sehingga bulan April. Datanglah untuk mengambil pelajaran dan menambah ilmu pengetahuan juga mendapatkan 'rasa' yang berkenaan. Selepas itu, kalau berkelapangan dan diberikan rezeki cubalah jejak tempat-tempat yang diketengahkan seperti ada dilakukan oleh kami anak beranak. Sekian wassalam.



Thursday, February 27, 2020

Bukti dan legasi kerajaan Langkasuka - Antara rasa dan bukti empirikal

Salam petang Khamis 3 Rejab. Ada perkongsian daripada acara di Muzium Negara semalam.


Ini adalah poster bagi acara berkenaan pagi Rabu 26 Februari 2020. Ini adalah edisi terbaru siri wacana ilmu di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) atas nama "Bicara Muzium".


Isteri sudah lama mengajak ke majlis setelah menerima undangan khas daripada pihak muzium. Sampai masanya kami pun bergegas ke lokasi tepat majlis iaitu auditorium muzium.


Kelihatan ruang legar auditorium meriah dengan aktiviti. Seperti pada kali terakhir kami bertandang ke muzium hujung tahun lepas kami diberikan ruang untuk menjual buku. Lihat Negara Kota Yang Hilang - Satu tajuk yang menyuburkan imaginasi.








Jam 9.50 kami pun masuk ke auditorium.


Jam 10 baru muncul tetamu utama lalu majlis pun bermula.


Seperti biasa ada nyanyian Negaraku dan lagu muzium...





Tetamu utama itu adalah ketua pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim. Beliau memberikan ucapan pembukaan dengan menyatakan bahawa majlis ini adalah kesinambungan daripada pameran "Lost Kingdoms" atau "Kerajaan-kerajaan Hilang" yang sedang berlangsung di bahagian pameran sementara Muzium Negara. Cuma penumpuan kali ini diberikan terhadap kerajaan Langkasuka yang pernah wujud di bahagian utara Semenenanjung. Disebut bahawa nama Langkasuka itu ada dinyatakan dalam kitab  Hikayat Merong Mahawangsa sebagai berada di Kedah. Namun ada yang memberikan lokasi lain.


Selepas beberapa lama para panelis pun dipanggil untuk duduk di hadapan. Memperkenalkan adalah moderator Encik Nasrulamiazam bin Mohd Nasir, seorang pegawai JMN. Poster majlis menyebut para panelis seperti berikut :-


1. Encik Eddin Khoo Bu Eng, pengasas pusat budaya PUSAKA

2. Encik Mohd Zamberi bin A. Melak, penyelidik bebas

3. Profesor Madya Dr Farish Noor, Nanyang Technological University Singapura


Cuma Farish Noor sahaja tidak dapat hadir disebabkan dilarang keluar daripada negara Singapura. Ini disebabkan masalah serangan Coronavirus Covid 19 yang sedang melanda banyak negara telah menyebabkan Singapura meletakkan tahap berjaga-jaga kepada warna jingga (orange alert, bawah satu tahap sahaja daripada tahap cemas red alert).


Giliran pembentangan tidak mengikut nombor dalam poster sebaliknya moderator meminta Zamberi memulakan. Pengkaji berumur ini pun membuka dengan menceritakan bagaimana suatu masa dahulu pihak muzium menyatakan pernah mahu menerbitkan manuskrip beliau tentang kajian Langkasuka. Tetapi berlaku  beberapa hal menyebabkan ia seperti ditolak ke sana ke mari. Setelah beberapa lama baru terbit dengan tajuk "Langkasuka : Negara Melayu Pertama" (rujukan di Internet menunjukkan ia terbitan sebuah syarikat swasta tahun 2011). 


Selepas itu barulah beliau bercakap tentang bukti kewujudan Langkasuka. Disebutlah nama kerajaan seperti direkodkan dalam catatan purba Hindi dan Cina menurut pelat cara sebutan dan tulisan masing-masing. Secara rata beliau mahu mengatakan bahawa Langkasuka wujud di pantai timur Semenanjung sekitar wilayah Patani sekarang, bukan di Kedah. Ia telah wujud seawal tahun 100 lebih Masihi (beliau memberikan beberapa nombor dan saya tidak mencatit. 

Hal ini sebenarnya boleh dirujuk sendiri dalam beberapa sumber Internet. Namun kedengaran kenyataan beliau seperti keliru apabila menyebut ia sebagai bermula pada abad pertama Masihi. Menurut takrif pernomboran yang saya faham, angka 0 hingg 99 Masihi itu baru boleh disebut sebagai abad pertama. Kalau 100 hingga 199 sudah masuk abad kedua Masihi.


'Pembentangan' kedua adalah rakaman video menonjolkan buah fikiran Farish dari Singapura. Ia adalah ganti tidak dapat hadir akibat dilarang keluar dari Singapura. Beliau membuka dengan menceritakan cara pensejarahan awal Barat terhadap Alam Melayu yang menurut beliau sebenarnya tidaklah mengikut kaedah pensejarahan sepatutnya yang digunakan para akademik. Sebaliknya ia lebih bersifat politik dalam konteks pihak kolonial atau penjajah mahu merendahkan anak watan sebagai justifikasi atau alasan untuk menjajah lalu 'mendidik' mereka.


Oleh itu sejarah harus dikaji kembali menurut kaca mata anak watan. Namun saya tidak dapat mendengar Farish menyebut tentang Langkasuka langsung. Yang banyak disebut adalah bagaimana pegawai British, Stamford Raffles membentuk pandangan dalam menulis buku "The History of Java"  (sejarah Jawa) menurut cara gurunya William Marsden menulis buku "The History of Sumatra" (sejarah Sumatera) iaitu menurut kaca mara berat sebelah Barat. Lalu ini diikuti oleh para pengkaji Barat yang lain seperti Skeats dan Winstedt kemudian semua ini menjadi rujukan para pengkaji tempatan. Pada penghujung rakaman ada disebut tentang "Lost Kingdoms". Nampaknya Farish sekadar tahu wacana melibatkan kerajaan-kerajaan hilang yang pamerannya sedang berlangsung di Muzium Negara tetapi terlupa pengkhususan telah diberikan terhadap Langkasuka.


Akhir sekali adalah pembentangan oleh Eddin Khoo, anak kepada sejarawan terkenal tanah air, mendiang Profesor Emeritus Khoo Khay Kim. Beliau yang banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti seni tradisional Melayu seperti persembahan wayang kulit selalu berulang-alik ke Pantai Timur dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang baik.


Saya paling tertarik apabila beliau menceritakan perbualan dengan Allahyarham Nik Rashiddin, (pengukir kayu terkenal yang namanya diabadikan pada Akademi Nik Rashiddin atau ANR dekat Bachok, Kelantan). Seniman besar yang diakui sebagai mahaguru kepada ramai pengukir kayu tradisional ini selalu membuat ukiran hulu atau pemegang keris menggunakan motif Tajong yang juga disebut sebagai motif Langkasuka. Eddin pernah bertanya (saya tulis setakat ingat dalam kepala) : "Bagaimana Abe (Abang) tahu ini dari Langkasuka?". Jawab arwah : "Sebab saya dapat merasakan dari dalam tanah".


Beberapa perkara berkaitan kemudian dibincangkan dalam sesi soal jawab termasuk kenyataan dalam Hikayat Merong Mahawangsa yang menyebut Langkasuka bermula di kaki Gunung Jerai pada suatu zaman di mana ia masih sebuah pulau bernama Pulau Serai. Zamberi menolak ini 100 peratus dengan menggunakan antara lain kenyataan dalam Hikayat Patani yang meletakkannya di Pantai Timur. Saya pula lebih tertarik untuk melihat perbandingan antara rasa dan keperluan untuk mendapatkan bukti empirikal. Ini kerana saya telah mendapat banyak petunjuk dalam pengkajian sejarah melalui mimpi.

Dalam siri syarahan "Classifications of Knowledge in Islam" oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar yang sering saya ikuti di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) saya dapati ulamak-ulamak silam Islam yang hebat-hebat dalam ilmu sains pun tidak menolak mimpi, apatah lagi mereka yang bergelumang dalam dunia Sufi dan Tasawuf. Cuma yang dipersoalkan adalah apakah itu mimpi mainan tidur atau satu petunjuk yang boleh dipakai. Sebetulnya ada kaedah untuk menapis mimpi supaya dapat mengambil perkara yang benar (jika ada) lalu membezakannya dengan angan-angan atau apa-apa yang tidak boleh dipakai. Maka itu dikatakan mimpi yang benar adalah 1 daripada 40 bahagian kenabian.

Tetapi Zamberi sebagai seorang anak Melayu Islam yang sering menyebut dirinya sebagai orang kampung kelihatan seperti meremehkan mimpi apabila memulakan pembentangan dengan menyatakan dia tidak mendapat apa yang dia tahu daripada mimpi. Sebaliknya Eddin yang bukan beragama Islam, lahir dalam keluarga warga bandar yang berada lagi berpendidikan tinggi pula menyebut tentang rasa lalu meminta hadirin untuk mengambil kira perkara-perkara berkaitan sebagai satu world view (pandangan sarwa jagat) orang Melayu dalam menanggapi sejarah tempatan. Terasa seperti dalam keghairahan mahu meletakkan diri sebagai seorang ahli akademik berwibawa kita sebagai anak Melayu sanggup menolak satu sumber ilmu yang termasuk sebagai ilmu naqli semata-mata kerana ia tidak diiktiraf oleh cara pemikiran akademik Barat. Sebaliknya ada orang bukan Melayu lebih yakin diri, tidak takut diremehkan apabila bercakap soal rasa sebagai satu sumber penegasan ilmu. 

Mungkin kerana yang yakin bercakap tentang rasa itu datang daripada keluarga yang sudah diakui dan dipandang tinggi pencapaian ilmu dan akademiknya. Lalu tidak perlu merasakan takut menyatakan perkara jujur yang boleh kelihatan melanggar segala prinsip-prinsip empirikal ilmu. Teringat apa yang sering disebut guru saya Osman Bakar yang diiktiraf sebagai seorang pemikir besar Islam dunia. Beliau yang seperti saya memiliki latar belakang pengajian tinggi matematik  di London (cuma beliau sampai peringkat sarjana, saya sarjana muda sahaja) menyatakan keperluan untuk memegang kepada bukti-bukti empirikal sahaja, selain itu semua ditolak adalah pemikiran sempit ilmuwan moden. Dahulu Barat tidak begitu. Apatah lagi para ilmuwan silam Islam yang secara jelas meletakkan ilmu metafizik atau ilmu keTuhanan melebihi apa sahaja bentuk ilmu lain termasuk sains.