Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, March 31, 2009

Bunga-bunga orkid dan cerita An-Nur... juga cerita umrah 2005

Gambar di sebuah ladang bunga orkid berdekatan rumah saya dan isteri. Seronok juga membawa ayah dan ibu ke sana kerana mereka memang minat bunga-bunga... tengok sahaja sejumlah pokok yang 'diborong' mereka di dalam kereta...

OK. Dengan selesainya penulisan artikel Ziarah ke Batak Rabit dan sangkar ikan di Sungai Perak tadi maka selesailah segala proses penceritaan yang mahu dilepaskan berkaitan lawatan ke Jengka untuk menghadiri majlis perkahwinan sepupu. Adapun disebabkan majlis itulah berlaku beberapa perjalanan agak jauh selepas hampir 2 bulan mengekang diri dengan cuma berjalan paling jauh pun setakat ke Negeri Sembilan dan keliling Selangor. Disebabkan perkahwinan itu juga saya dan isteri dapat berjumpa ayah dan ibu setelah lebih 2 bulan tidak bersua. Malah disebabkan itu juga buat pertama kali ayah dan ibu datang bertandang ke rumah kami sehingga tidur 3 malam di situ selain pergi berjalan-jalan ke banyak tempat bersama.

Dengan ini bolehlah mood penceritaan di bawa ke peringkat seterusnya. Dalam artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini... yang dibuat seminggu lalu, saya ada menyebut :-

Mereka yang sudah membaca siri novel "Berpetualang ke Aceh" kemudian mengikuti tulisan-tulisan di blogspots saya mungkin sudah terbiasa mendengar nama Nur, gadis yang dijadikan watak wanita utama dalam siri itu. Itu yang menyebabkan ada yang terkeliru, apakah An-Nur itu sama dengan Nur walhal mereka memang watak yang berlainan malah ternyata berpangkat saudara dua pupu gitu...

Mungkin ada yang akan keliru dengan semua ini. Lebih-lebih lagi kemudian muncul watak yang saya panggil sebagai Nur kedua, gadis yang kemudian menjadi isteri saya kini, dalam dunia nyata. Ya, semua watak-watak ini wujud dalam dunia realiti, bukan watak angan-angan atau ciptaan fikiran atau garapan penceritaan semata-mata. Sesungguhnya memang siri novel "Berpetualang ke Aceh" diatur berdasarkan pengalaman sebenar saya.

Adapun watak-watak ini ditimbulkan bukan semata-mata untuk suka-suka bercerita tetapi untuk melepaskan beban gerak rasa... sebelum saya dapat meneruskan kerja-kerja lain dan mencapai peringkat kehidupan seterusnya kerana itulah saya, menangani hidup menurut gerak rasa dengan sejujur yang mungkin walaupun harus membuka pekung di dada. Sebab itu saya rasa cerita An-Nur tetap harus dinukilkan nanti. Selepas itu baru boleh diceritakan apa yang berlaku ketika umrah 2005, di mana satu watak wanita lagi akan diperkenalkan kerana itu yang berlaku sebelum kita beralih kembali kepada cerita Nur.

Sebelum itu, elok dilepaskan dahulu apa-apa rasa dan gerak penceritaan berdasarkan perjalanan terbaru yang berlaku dalam tempoh seminggu kebelakangan.

Oleh kerana gerak penceritaan berdasarkan perjalanan terbaru telah pun selesaikan bolehlah saya menyambung ke cerita An-Nur. Sambil itu bolehlah juga saya menyambung satu kerja terjemahan penting yang sudah hampir sebulan tertunda. Maka bila saya menulis lagi di sini, akan saya mulakan dengan satu cerita pembukaan tentang perkenalan dengan An- Nur. Dari situ dan cerita-cerita yang bakal menyusul nanti, insyaallah pembaca akan dapat mengikuti dengan lebih tepat apa yang berlaku ketika umrah 2005 yang membawa beberapa implikasi... salah satunya adalah kemunculan siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang nyaris-nyaris tak jadi. Dan lagi, mungkin umrah 2005 itu ada kena-mengena dengan mengapa saya begitu lama mendambakan kehadiran Nur pertama sebagai penyeri hidup tetapi ditakdirkan akhirnya beristeri kembali dengan orang lain iaitu gadis yang dikenali sebagai Nur kedua.

Oh, pertukaran mood bercerita yang muncul malam ini turut disentuh di dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH... melalui artikel Of orchids and old college memories... yang baru dibuat tadi. Dengan menggunakan satu gambar lain di ladang orkid yang sama, saya menyatakan azam untuk menyambung kembali cerita tentang kenangan lama semasa belajar "A" Levels di kolej 20 tahun lalu. Kebetulan artikel Of orchids and old college memories... adalah posting ke 303 di situ, satu nombor yang simmetrikal lagi menarik. Sedangkan artikel ini pula adalah yang ke 481 di sini. Oleh kerana blogspot saya yang satu lagi iaitu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sudah mempunyai 217 postings, ini membawa kepada jumlah keseluruhan 1001 artikel (303 + 481 + 217), satu nombor simmetrikal yang bukan sahaja cantik malah mengingatkan pada cerita 1001 malam. Selamat malam! :]

p/s: Hmm... kebetulan sekejap lagi masuk 1 April. Tapi apa yang saya ceritakan ini bukan April Fool ya. Adios!

Ziarah ke Batak Rabit dan sangkar ikan di Sungai Perak



Dari majlis perkahwinan di Selekoh, saya, isteri, ayah, ibu dan beberapa ahli keluarga pergi ke Bagan Datoh untuk melihat kuala Sungai Perak. Sila lihat artikel The Perak river mouth at Bagan Datoh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Kemudian kami terus pergi ke Teluk Intan untuk melihat tempat lama keluarga. Singgah bersolat di masjid lama Batak Rabit yang didirikan semasa zaman pemerintahan Sultan ke 23 Perak, Sultan Ja'afar Muazzam Syah (memerintah 1857-1865), ayahanda kepada Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles kerana terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch.


Sebenarnya di sebelah masjid ini terdapat tapak sebuah masjid yang lebih lama. Lebih penting lagi bagi kami, di sebelah inilah terdapat tanah perkuburan nenek-moyang dan ahli keluarga kami, keluarga Laksamana Raja Mahkota.

Selain bersolat, kami juga menziarahi makam datuk iaitu ayah kepada ayah saya...


Sementara menunggu semua ahli keluarga kami selesai bersolat, saya pun berjalan-jalan di sekitar masjid lalu terlihat ini...



Ikan talapia, beratus-ratus, mungkin beribu-ribu berebut-rebut menghampiri!




Rupa-rupanya sudah didirikan beberapa sangkar membela ikan di tepian masjid masuk ke Sungai Perak...



Oh... satu pemandangan masjid dari belah belakang.



Inilah kawasan sangkar ikan...




Seronok juga berjalan-jalan melihat ikan, berjalan-jalan di atas Sungai Perak. Teringat pula satu cerita tentang seorang moyang kami dahulukala yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Diceritakan, pada satu malam beliau pernah berjalan-jalan di atas Sungai Perak yang tiba-tiba menjadi keras semata-mata untuk mengambil air yang boleh dibuat wudhuk. Rupa-rupanya air menjadi keras kerana malam itu malam lailatul qadar!





Satu lagi gambar ikan-ikan. Seronok saya melihat begitu banyak ikan berebut-rebut menggeliat-menggeliat naik sampai naik atas badan satu sama lain semata-mata untuk mendekati... mungkin kerana menyangkakan saya ada membawa makanan. Sekian...



Bertandang ke rumah pengantin lelaki di Selekoh, Bagan Datoh dan sedikit rasa tentang Perak...

OK. Memandangkan saya ada sedikit gambar-gambar sekitar majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki iaitu suami kepada sepupu saya, eloklah ia dikongsi lalu dijadikan penyambung gerak cerita. Mari... :]

Pada pagi Khamis 19 Mac 2009, saya, isteri, ayah dan ibu pun berlepas menghala ke Bagan Datoh dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri dengan menaiki kereta isteri, kereta ayah ditinggalkan di rumah. Malam sebelum itu, saya dan isteri telah menjemput ayah dan ibu yang berada di Kajang agar datang bermalam di rumah kami. Dari situ sudah jauh lebih dekat untuk ke Bagan Datoh... cuma 26 km gitu sahaja untuk ke Kuala Selangor yang terletak di tengah laluan sedangkan dari Kuala Lumpur jaraknya 70 km apalagi daripada Kajang, mahu lebih 90 km!

Rombongan ahli keluarga kami yang lain pula bermalam di rumah seorang adik-beradik kepada ibu pengantin perempuan (bapa pengantin adalah adik kepada ayah saya) di Gombak. Mereka bertolak lebih awal dan menghubungi kami yang masih lagi berada di rumah sebaik sahaja melepasi Ijok. Dari rumah kami mahu ke Ijok cuma sekitar 5 -7 km sahaja. Dipendekkan cerita kami bertemu di Sungai Besar sebelum sama-sama masuk ke Perak.


Kalau tak salah ingatan, inilah kali pertama saya masuk ke Perak bersama ayah sejak lebih satu tahun lalu. Kalau bersekali bersama adik-beradik ayah pula, ini mungkin julung-kali seumur hidup! Sejak datuk (ayah kepada ayah) meninggalkan Teluk Intan untuk berhijrah ke Raub, Pahang penghujung tahun 1940an, sesekali sahaja mereka akan datang beraya di wilayah tempat kaum kerabat nenek-moyang kami hidup dan mati selama beberapa kurun ini. Seingat saya pula, saya cuma pernah beraya bersama keluarga di Teluk Intan mungkin paling banyak pun 5 kali seumur hidup! Eh, ya ke? Atau setakat 2 kali? Ah... tak ingat...

Siapa sangka sepupu saya yang keluarganya sudah lama menetap di Bandar Muazzam Syah kemudian Jengka, kedua-dua tempat jauh di Pahang mendapat jodoh orang Perak, orang Selekoh di Bagan Datoh yang tempatnya sudah cukup dekat dengan Teluk Intan malah terletak lebih hampir ke kuala Sungai Perak yang memiliki banyak sejarah berkaitan keluarga. Walaupun suaminya katanya orang Jawa sedangkan keluarga kami di Perak berketurunan Melayu Perak campur Aceh campur Bugis, perkahwinan ini tetap membawa kami semua untuk memperbaharui pertalian dengan negeri bertuah ini!

Teringat perkahwinan saya sendiri dengan isteri kini, orang yang saya panggil dalam cerita-cerita di sini sebagai Nur kedua. Teringat bagaimana suatu masa dahulu saya seperti amat membenci orang Jawa lantaran marah dengan cara orang Jawa di Jakarta mencengkam Aceh sedangkan ibu kepada ibu saya berdarah Jawa. Kini saya berkahwin dengan isteri yang terang-terang diketahui berketurunan Jawa. Tetapi rupa-rupanya isteri saya juga ada berdarah Bugis, cuma tak pasti bagaimana asal-usulnya.

Isteri saya pernah bersekolah di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Perak ataupun SEMESTI sedangkan dia lahir dan dibesarkan di Selangor. Apakah kerana beliau juga sebenarnya ada kaitan dengan Teluk Intan? Yang pasti dia akhirnya menjadi isteri saya sedangkan saya memang ada asal-usul dari Teluk Intan. Begitulah aturan Tuhan...

Perkahwinan sepupu dengan orang Selekoh, Bagan Datoh seolah-olah mahu menyambungkan kami kembali dengan Teluk Intan dan Perak. Seperti disebut atas tadi, itulah buat julung-kalinya saya pergi ke Perak bersama ayah serta adik-beradiknya dan keluarga. Walaupun cuma dua adik ayah dan keluarga mereka sahaja dapat bersama ke Bagan Datoh, tidak seperti ketika majlis pihak perempuan di Jengka yang dihadiri semua 9 adik-beradik ayah dan keluarga kecuali satu, rasanya kedatangan kami ke Perak cukup bermakna. Ini kerana ia berlaku dalam keadaan Perak baru sahaja mengalami masalah politik yang rumit sehingga kedaulatan rajanya Sultan Azlan Shah dipersoalkan ramai pihak termasuk orang Melayu!

Di sini saya ingin melepaskan satu rasa. Sejak berlaku peristiwa pertukaran kerajaan negeri dengan sokongan sultan, ada pihak yang mempersoalkan kelayakan baginda untuk menentukan kerajaan. Ada yang sampai menghina raja seolah-olah mereka tiada tahu adat. Mungkin mereka merasa mereka boleh mempersoalkan kedudukan Sultan Azlan kerana tahu cerita-cerita yang menyebut baginda bukanlah waris yang paling layak untuk menduduki takhta. Malah ada yang menceduk sedutan siri "Berpetualang ke Aceh" tentang proses giliran menaiki takhta yang pernah dimuatkan dalam blogspot ini untuk merendahkan kelayakan baginda.

Kalau ikutkan, saya dan keluarga ada lebih hak untuk mempersoalkan ini. Kalau ikutkan cerita Nenek, ibu kepada ayah, kami dari keluarga Laksamana Raja Mahkota yang berkerabat dengan Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877, dari keturunan raja-raja Melayu yang nasabnya sampai kepada sultan-sultan Melaka bercampur nasab raja-raja Aceh dan raja-raja Bugis ada hak untuk menuntut takhta walaupun dari segi rasminya kami tidak lagi dilihat sebagai berdarah kerabat apalagi memakai perkataan Raja di pangkal nama. Tetapi itu semua tidak penting bagi saya. Yang penting adalah kedaulatan Melayu dan untuk itu saya menyokong pemerintahan Sultan Azlan asalkan nasib orang Melayu Perak terbela dan bumi bertuah ini tidak difaraidkan orang Cina.


OK. Seperti biasa, saya sebenarnya lebih suka mengambil gambar bangunan, tempat dan alam sekeliling berbanding majlis-majlis kahwin dan perkara sewaktunya. Lalu saya tidak dapat menghalang diri dari mengambil gambar parit di depan rumah pengantin lelaki ini... kalau dulu-dulu mesti saya cari alasan untuk 'menceburkan' diri. Seronok woo... :]

Kiranya perjalanan ke Perak disebabkan mahu bertandang juga menghantar pengantin ini dibuat bersama 3 adik-beradik ayah dan keluarga... ayah, Ayah Chik (bapa pengantin) dan Pak Lang. Mula-mula terasa macam 'kureng' le sebab hanya 3 orang. Tapi apabila terfikir bendera Perak yang mengandungi 3 warna, rasa macam kena le sangat pulak.

Adapun bendera Perak terdiri dari warna putih di atas, kuning di tengah dan hitam di bawah. Putih melambangkan sultan, kuning raja muda dan hitam raja di hilir. Menurut cerita-cerita lama yang saya dapat, itulah asal-usul penggiliran raja-raja di Perak, tiada pangkat-pangkat lain seperti Raja Bendahara, Raja Kecil Besar dan sebagainya yang sebenarnya wujud kemudian atau sekadar pembayang kepada mereka-mereka yang bakal menduduki 3 pangkat utama raja bergelar.

Menurut cerita yang saya dapat lagi, 3 warna dan kedudukan itu melambangkan 3 keluarga induk yang layak memerintah. Walaupun moyang induk mereka itu bersaudara, ada yang adik-beradik, ada yang ipar, ia boleh disimpulkan sebagai hak kerabat dari keturunan raja Melaka digilirkan dengan hak keturunan raja Aceh seterusnya hak keturunan raja Bugis untuk bergilir-gilir menaiki takhta Perak.

Apabila memikirkan ini, mahu sahaja saya mengajak semua keluarga yang ada agar dapat singgah ke Beting Beras Basah yang terletak di tengah kuala Sungai Perak, tempat pertabalan sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah. Tetapi tempatnya agak jauh dan jalan masuk ke jeti terdekat agak menyusahkan. Cukuplah kami sekeluarga dapat singgah melihat kuala Sungai Perak di Bagan Datoh, cuma 7 km sahaja dari rumah pengantin lelaki di Selekoh.

Insyaalah akan saya letakkan beberapa gambar untuk dijadikan artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH sebelum menyambung lagi cerita di blogspot ini. Sekian buat masa ini...

Monday, March 30, 2009

Menunaikan hajat 6 tahun tertunda di Gua Kota Gelanggi dan makan ikan patin gulai tempoyak di Temerloh...

Dalam artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini... yang dibuat Selasa lalu, saya ada memberitahu harus melepaskan cerita tentang perjalanan ke Jengka itu dua minggu lalu serta perjalanan lain yang berkaitan sebelum saya dapat beralih ke mood penceritaan seterusnya melibatkan beberapa kenangan lama dengan wanita-wanita yang pernah muncul dalam hidup saya. Sedikit rasa telah pun dilepaskan melalui artikel Dari atas highway Karak hingga ke Pulau Tawar... singgah sebentar ke makam Mat Kilau... sebelum saya disibukkan dengan sedikit aktiviti sekitar persidangan atau perhimpunan UMNO 2009 di PWTC baru-baru ini. Sekarang bolehlah saya menyambung cerita kembali... mari!


Pada penghujung artikel Dari atas highway Karak hingga ke Pulau Tawar... singgah sebentar ke makam Mat Kilau ada disebut cerita akan disambung dengan lawatan ke Gua Kota Gelanggi...



Sebenarnya selepas lawatan ke Pulau Tawar, saya telah cuba mencari Gua Kota Gelanggi. Dah jumpa dah bukitnya tapi tak jumpa jalan masuknya... mungkin sebab Tuhan mahu saya menolong ibu dan ayah saya mencari jalan ke rumah tempat sepupu saya akan melangsungkan pernikahan malam itu?



Setelah lebih 15 minit berpusing-pusing mencari jalan masuk sedangkan bukit batu kapur yang mengandungi kompleks Gua Kota Gelanggi sudah jelas kelihatan di depan mata, saya pun mengalah lalu menghala ke Jengka. Sebaik sahaja masuk ke pusat bandar Jengka, kelihatan papan tanda menghala ke hospital di mana terletaknya rumah sepupu saya.

Sebaliknya saya terasa mahu mengisi minyak kereta terlebih dahulu. Siapa sangka di hadapan stesyen Petronas yang terletak lagi 3 km ke hadapan menghala jalan masuk ke Temerloh, boleh terserempak kereta ayah yang ketika itu terletak di tepian jalan luar stesyen.

Bayangkan, sudah 2 bulan saya tidak bertemu mereka, boleh terserempak di tempat itu. Memang kami dijangkakan akan bertemu di rumah pengantin perempuan malam nanti, Jumaat malam Sabtu. Rupa-rupanya ayah sedang mencari arah ke hospital sedangkan saya dan isteri sudah lebih dahulu ternampak arah itu. Maka dengan takdir Tuhan dapatlah kami berjumpa lalu pergi ke rumah pengantin bersama-sama.

Apapun, saya tidak mengambil banyak gambar sekitar majlis pernikahan. Satu sudah pun dipaparkan pada artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini... sedangkan sejumlah gambar sekitar Gua Kota Gelanggi telah diletakkan dalam 3 artikel yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Sila lihat :-


A visit to Gua (cave of) Kota Gelanggi - the way in...

A visit to Gua (cave of) Kota Gelanggi - enter Gua Tongkat...

A visit to Gua (cave of) Kota Gelanggi - Gua Balai and out...



Oh... ini adalah rumah peranginan tempat kami menginap malam itu. Maaf, saya langsung tidak mengambil apa-apa gambar sekitar majlis persandingan yang diadakan tengahari Sabtu. Biasa le... gambar-gambar itu sudah ramai saudara-mara lain mengambilnya. Saya lebih berminat untuk mengambil gambar-gambar lain dalam perjalanan untuk dikongsi.

Untuk pengetahuan, lawatan ke Gua Kota Gelanggi dilakukan saya dan isteri sejurus sebelum majlis itu. Pagi itu saya terasa tidak boleh duduk diam... sudah begitu dekat dengan Gua Kota Gelanggi tetapi belum sampai lagi ke situ. Mana boleh?

Selepas majlis nanti kami harus bergegas ke Kuala Lumpur kerana ada hal penting. Bila pula ada masa untuk datang ke Jengka lagi? Nasib baik isteri memahami... sanggup menemani saya mencari lagi jalan masuk ke Gua Kota Gelanggi walaupun dia sedang berbadan dua. Atau dia risau hendak melepaskan saya keluar berjalan-jalan seorang diri? Takut terjumpa mana-mana 'minah' nanti? Hehe! Gurau je... ni mesti kena cubit nanti bila dia dapat tahu saya tulis begini, hehe! :]


Saya cuma mengambil gambar pemandangan dari rumah peranginan ini. Boleh kelihatan di latar-belakang ialah Gunung Senyum yang katanya juga memiliki gua-gua menarik di dalamnya. Ah! Cukuplah saya dah sampai ke Gua Kota Gelanggi setelah lawatan ke situ 6 tahun tertunda. Lihat kembali sedutan dari buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" yang ada diletakkan di dalam artikel Perjalanan ke Jengka dan mood penceritaan terkini...


Selesai majlis saya dan isteri pun bergegas untuk kembali ke Kuala Lumpur, singgah berehat sebentar di Temerloh...


Bukan apa daa... nak makan ikan patin masak lemak gulai tempoyak kat tepi Sungai Pahang. Sedap memang sedap... tetapi tentang harganya, nampaknya kami kena sembelih! Tak mengapa le, bukan selalu. Sedikit gambar sekitar Temerloh ada diletakkan dalam artikel In Temerloh for a dish of ikan patin... yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.



Kemudian kami pergi bersolat di masjid ini, sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Itu yang terasa nak buat artikel Masjid (mosque of) Abu Bakar, Temerloh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi.


Selepas ini, mungkin esok lusa cerita akan disambung dengan perjalanan terbaru ke Perak yang dibuat untuk bertandang ke rumah pengantin lelaki di Bagan Datoh. Sebelum itu, semasa di Kuala Lumpur, saya tergerak untuk memanjat naik ke Batu Caves lalu dijadikan artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dengan tajuk-tajuk ini.


Inside Batu Caves...

A climb up Batu Caves...


Sekian, selamat malam! :]


Promosi siri "Berpetualang ke Aceh" di PWTC sempena perhimpunan UMNO 2009

Assalamualaikum. Pada penghujung artikel Alif Mim Nun Wau - Lanun... eh silap, sarkis... yang ditulis hari Khamis tentang perhimpunan agung UMNO 2009 di PWTC, ada disebut :-

Selepas berjalan hampir ke seluruh pelusuk bangunan, sempatlah berjumpa beberapa kawan lama dari pihak media, saya membuat keputusan suasana di sini tidak sesuai untuk menjual atau mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh". Di sini tempat berjual-beli mencari peluang buat duit lebih, peluang perniagaan dan dapat projek, lobi-melobi jawatan dan kedudukan, bukan tempat betul-betul mahu berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Saya pun bergegas keluar lalu mengambil motosikal di belakang. Dalam perjalanan keluar, tiba-tiba ternampak satu tempat yang sesuai untuk membuat promosi jalanan. Ya, tempat itu memang sesuai. Tetapi bukan sekarang, insyaallah selepas solat Jumaat esok!

Sampai hari Jumaat, bermulalah misi membuat promosi...

Selepas bersolat Jumaat di Bukit Damansara, saya kembali ke pejabat isteri di Jalan Ipoh untuk mengambil motosikal. Kelihatan tanda-tanda hujan lebat baru sahaja tamat. Selepas mengatur apa-apa barangan yang perlu dibawa sama, saya pun bergegas ke hadapan PWTC. Tujuan saya adalah satu bahagian di hadapan kompleks membeli-belah The Mall di mana dirasakan elok untuk membuat promosi jalanan siri buku "Berpetualang ke Aceh".


Malangnya saya tidak dapat bertahan lama di sana. Bukan sahaja angin kuat selalu mengganggu sehingga menjatuhkan bunting promosi buku, setengah jam kemudian hujan mula rintik-rintik...

Saya tiada pilihan kecuali untuk berlindung di tepian The Mall. Setelah lama berteduh di situ, terfikir juga saya sudah begitu kekok untuk membuat promosi jalanan sebegini. Mungkin kehadiran isteri boleh menolong menyuntik semangat. Tapi haruslah menunggu selepas beliau habis kerja jam 5.30 petang.


Isteri saya sampai ke The Mall dalam keadaan redup antara hujan. Yang pasti promosi jalanan tidak dapat lagi dibuat di tempat tadi yang tidak berbumbung. Saya pula mula hilang rasa mahu membuat promosi. Maka kami suami isteri membuat keputusan berjalan-jalan melihat segala macam aktiviti dan apa-apa yang ada ditawarkan di PWTC sempenan perhimpunan UMNO 2009.

Selepas bersolat Maghrib di Hentian Putra, kami turun menghala kembali ke PWTC. Kelihatan aktiviti jualan di bahagian luar tepi PWTC begitu berwarna-warni. Ketika lalu di hadapan Restoran Riverside di dalam PWTC, kelihatan pula 2-3 penulis buku politik telah membuka meja untuk menjual buku sedangkan siang tadi tidak begitu. Ini membuat saya terfikir kembali, elok juga jika kami dapat membuka meja sendiri...



Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, kami dapat membuka meja di hadapan Bilik Perak, di bahagian lain dalam PWTC...




Sebenarnya meja ini ditinggalkan kosong di hadapan Bilik Pahang yang terletak bersebelahan. Kami pula mengalihkannya ke hadapan Bilik Perak kerana satu, kami turut membuat promosi DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" yang melibatkan Perak. Kedua kerana ia lebih dekat dengan sumber kuasa yang boleh digunakan untuk menghidupkan komputer riba lalu memainkan DVD itu untuk tayangan kepada mereka yang lalu-lalang...





Oh, ketika itu sudah melepasi jam 8 malam. Masih ada sedikit program berjalan di PWTC. Di atas ini adalah gambar sekumpulan orang mengelilingi Perdana Menteri Pak Lah yang singgah ke bilik media bersebelahan tempat kami. Melihatkan itu, isteri saya mencadangkan agar kami menghadiahkan satu set buku "Berpetualang ke Aceh" kepada beliau. Isteri saya sendiri menyampaikannya kepada Pak Lah sedangkan saya setakat melihat dari jauh.




Apapun, ternyata usaha kami membuka meja dan membuat promosi tidak sia-sia. Tanpa perlu dipanggil, ada yang sudi datang membeli buku malah ingin bergambar dengan saya. Ada pula yang setakat membelek-belek buku sebelum bertanya jika kami akan datang keesokannya hari Sabtu. Itu yang membuat saya lebih bersemangat untuk menyambung promosi. Kalau tidak, mungkin setakat hari itu sajalah...





Esoknya hari Sabtu, hari terakhir perhimpunan UMNO 2009. Kami sampai tengahari, terus membuka kembali meja malah terus mendapat satu keluarga pengunjung yang berminat dengan produk kami. Mereka-mereka ini telah membaca ketiga-tiga buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Kini mereka mahu mencari DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" lalu jadilah mereka pelanggan pertama DVD ini sejak kami mula beroperasi di sini...




Lihat! Dengan kuasa Allah, kami mendapat pertolongan sehingga diberi meja yang amat cantik ini! Walaupun asalnya kami tidak tahu di mana boleh mempromosi buku hingga hampir hilang semangat langsung, kami tetap tawakal dan pergi. Cuma yang cacat sedikit mungkin poster di belakang yang ada menunjukkan gambar kaki-kaki luka. Tetapi semasa itu saya membiarkan sahaja kerana suka dengan nombor 55 yang tertera.





Kehadiran orang yang sentiasa lalu-lalang di sini memastikan meja kami sentiasa ceria dan dikunjungi...




Kalau nak ramai lagi pengunjung, mungkin lebih elok buka meja di hadapan Restoran Riverview. Tetapi lihat sendiri keadaan di sana, begitu sesak, susah nak bernafas... lebih baik lagi tempat yang kami dapat di hadapan Bilik Perak...




Setelah agak lama, baru saya terfikir untuk menurunkan poster di belakang yang menunjukkan gambar-gambar kaki luka. Itupun setelah beberapa orang menyatakan kemusykilan kerana melihat poster tersebut sedangkan kami sedang menjual buku, bukan apa-apa ubatan yang kena-mengena dengan kaki luka!

Apapun, kami puas hati dengan promosi di sini. Cukuplah disebut, dalam tempoh tidak sampai satu setengah hari, hampir 50 buku di bawah siri "Berpetualang ke Aceh" telah dibeli orang termasuk oleh mereka-mereka yang berpangkat. Sejumlah DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" juga turut dibeli. Termasuk yang membelinya adalah Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry. Sekian! :]

p/s:
Harapan saya adalah kerajaan Perak kini dapat melihat masjid tinggal lama di Teluk Memali sebagai satu bangunan warisan yang perlu dipertahankan sebagai satu simbol ketuanan Melayu. Moga-moga ia akan mendapat pemeliharaan yang sepatutnya tidak lama lagi, begitu juga makam Sultan ke 19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah yang terletak berdekatan. Mana boleh makam raja Melayu dibiarkan tidak terjaga sedangkan kubur wakil penjajah J.W.W. Birch yang juga terletak tidak jauh dari situ boleh cantik dipelihara!