Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Julai 21, 2023

Kejelasan dalam kerancuan : Al-Ghazali, Ibnu Rushdi dan pemikiran saintifik

Salam petang Jumaat pertama tahun baru 1445 Hijriah. Sedikit perkongsian daripada satu majlis ilmu yang dihadiri petang semalam.


Adapun dalam setahun dua kebelakangan ini saya jarang hadir atau mengikuti majlis ilmu, tidak seperti sebelum itu. Namun sesekali muncul tajuk atau topik menarik yang menyebabkan saya rasa wajib mengikuti, kalau ada kelapangan saya akan berusaha untuk hadir secara fizikal. Majlis yang dinyatakan dalam poster atas adalah satu contoh. Sejak melihatnya disiarkan dalam WhatsApp grup ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) sekitar sebulan lalu saya sudah berazam untuk mengikutinya.

Tajuk bagi syarahan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan sebagai "Kejelasan Dalam Kerancuan : Al-Ghazali,  Ibnu Rushdi dan Pemikiran Saintifik". Disampaikan oleh Profesor Dr Edward R. Moad dari Qatar University di Doha ia adalah sekitar perdebatan ilmu melibatkan falsafah yang pernah berlaku dalam dunia Islam lebih 1,000 tahun lalu. Dekan ISTAC Profesor Abdelaziz Berghout bertindak sebagai moderator atau pemudah cara.



Nasib baik majlis berlangsung pada hari Khamis 20 Julai 2023. Ini kerana pada hari tersebut isteri boleh membuat kerja dari rumah, tidak perlu ke pejabat lalu boleh mengambil anak dari sekolah pagi dan menghantar untuk ke sekolah  petang. Kalau tidak saya yang harus membuat urusan berkenaan. Dengan itu bolehlah hadir secara fizikal ke majlis di ISTAC 40 km dari rumah. 



Kelihatan AbdelAziz sedang memberikan pengenalan tentang pembicara. Walaupun Edward O. Moad masih mengekalkan nama Barat beliau sebenarnya sudah lama masuk Islam.



Kebiasaan saya apabila hadir secara fizikal dalam suatu majlis adalah mengambil gambar-gambar termasuk paparan slaid pada skrin untuk dikongsikan dalam artikel di blogspot. Kali ini saya membuat keputusan untuk mendengar sahaja tanpa mengambil gambar kecuali dua di atas tadi. Setelah agak lama menjadi biasa mengikuti majlis secara atas talian iaitu bermula daripada tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang wabak virus Covid-19 awal 2020 saya dapati adalah lebih mudah dan jelas mengambil screenshot paparan slaid daripada video majlis (kalau ada). Inilah yang ditunjukkan di atas juga dalam gambar-gambar seterusnya di bawah.




Moad memulakan dengan menyatakan bahawa apa yang akan dikongsikan adalah berdasarkan isi buku terbaru beliau yang akan terbit tidak lama lagi. Bahagian pertama tajuk buku sama dengan bahagian pertama tajuk syarahan. Cuma bahagian kedua sahaja berbeza. Ia boleh diterjemahkan sebagai "Antara Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi tentang Alam Semulajadi dan Alam Semesta". Oh. Pada paparan ini baru nampak bahawa beliau ada memakai nama Islam Omar. Ini digunakan sebagai middle name atau nama tengah beliau. Bagi penulisan seterusnya biar beliau dirujuk sebagai Omar. 


Beliau memberitahu akan menggunakan pengenalan dalam buku untuk membuka perkara. Sebetulnya syarahan ini sangat sarat dengan ilmu aras pemikiran tinggi. Untuk memahaminya dengan baik harus tahu terlebih dahulu bagaima ilmuwan tersohor dunia silam Islam 1,000 tahun lalu, Imam Al-Ghazali yang hidup pada tahun 1058-1111 Masihi pernah menulis kitab bertajuk Tahafut al-Falasifa (boleh diterjemahkan sebagai "Kekeliruan Falsafah") bagi mengkritik ahli-ahli falsafah Islam yang dilihat terlalu mengagungkan gaya fikir falsafah warisan Yunani Purba seperti dibawah oleh Plato dan Aristotle lalu dijawab oleh Ibnu Rushdi yang hidup kemudian (1126-1198) melalui kitab Tahafut al Tahafut ("Kekeliruan atas Kekeliruan"). Kena faham bagaimana kritikan Al-Ghazali dilihat sesetengah pihak sebagai punca bermulanya kemunduran ilmu sains (kononnya) dalam dunia Islam. Lalu Ibnu Rushdi dilihat sebagai mewakili suara yang membela kembali ilmu falsafah, yang dengan itu dilihat juga membela ilmu sains.

Ini kerana Al-Ghazali lebih dilihat ramai sebagai seorang agamawan sementara Ibnu Rushdi dilihat sebagai seorang saintis silam. Lalu perdebatan antara pemikiran mereka sering dilihat sebagai perdebatan antara agama dan sains. Kata Omar ini salah. Kedua-duanya mereka sebenarnya adalah agamawan dan saintis. Masing-masing sebenarnya adalah pakar dalam pelbagai bidang. Oleh itu ia sebenarnya adalah perdebatan antara dua orang agamawan sains.

Kata Omar, Al-Ghazali juga adalah seorang ahli falsafah lalu yang dikritiknya bukanlah ilmu falsafah secara keseluruhan tetapi hal-hal berkenaan yang dilihat bercanggah dengan pemikiran sejati Islam. Tambah beliau, yang dikritik sebenar adalah ahli-ahli falsafah 'palsu' (terma yang digunakan adalah philosophy posers - orang yang suka berlagak bercakap perkara-perkara tinggi supaya kelihatan pandai, sebenarnya bukan ahli falsafah tetapi suka bercakap tentang falsafah). Mereka tidak mencerminkan ilmu falsafah sebenar. Lalu jika Al-Ghazali dikatakan menyerang kerancuan atau kecelaruan dalam pemikiran falsafah, Ibnu Rushdi yang sering dikatakan membuat hujah balas membela falsafah dikatakan Omar sebagai sebenarnya selari fikiran dengan Al-Ghazali.

Dengan itu pemikiran serta hujah-hujah mereka yang berkenaan harus diteliti secara 'sebelah menyebelah' untuk mencapai keseimbangan. Melalui cara itu juga dapat dilihat apakah atau bagaimanakah rupa bentuk pemikiran saintifik yang patut dicontohi daripada mereka. Kata Omar beliau akan berkongsi penilaian berkenaan lalu menyenaraikan 10 sifat atau 'hukum' yang dilihat sebagai mewakili pemikiran yang betul-betul layak dipanggil sebagai saintifik.



Sungguh syarahan ini sangat sarat ilmu sedangkan banyak perkara yang diperkatakan, kitab-kitab yang disebut saya belum bersempatan atau ada kelapangan untuk menelaah. Namun kritik-kritik dan hujah berkenaan pernah saya temui melalui bacaan-bacaan lain lalu dapatlah sedikit sebanyak faham. Di sini cukuplah dikatakan bahawa di celah-celah pelbagai perkara yang dikongsikan Omar menyatakan satu persatu 10 sifat pemikiran yang saintifik. Pertama, perlukan perhatian mendalam terhadap hubungan antara dakwaan-dakwaan empirikal dengan yang bersifat metafizikal.



Kedua. Perlu kejelasan dan keterbukaan tentang piawai epistemik atau kaedah ilmu yang dipakai. Tentunya Omar memberikan contoh-contoh berkenaan. Tetapi cukuplah saya sekadar menyatakan tanpa contoh atau huraian kecuali di satu dua tempat ya...




Ketiga. Perlunya kejelasan dan keterbukaan tentang had-had pada cara kita. Lalu jujurlah tentang darjah keyakinan yang dapat dicapai juga tentang ketidakpastian yang timbul.



Keempat. Perlunya kejelasan tentang terma-terma yang digunakan lalu mengelak daripada hal percanggahan atau kekeliruan semantik (kekeliruan boleh berlaku disebabkan beza faham tentang suatu terma merujuk kepada apa sebenarnya).
 


Kelima. Jelas tentang objektif atau arah tujuan dan skop/liputan apa yang hendak disiasat. Tentukan dengan cermat liputan siasatan berdasarkan kesedaran menyeluruh tentang arah tujuan kita. Skop/liputan sebenar bergantung pada hakikat perkara, bukan definisi yang dibuat oleh diri sendiri.




Keenam. Sedar bahawa penyanggahan suatu hujah cuma menunjukkan bahawa hujah itu tidak membuktikan apa yang didakwa suatu pihak boleh dibuktikan. Ia tidak memerlukan atau membuktikan bahawa kesimpulan hujah itu salah, atau suatu kesimpulan lain adalah benar.




Ketujuh. Suatu kritik atau penyanggahan yang dibuat semata-mata kerana itu (tanpa membentuk suatu pemahaman alternatif) nilainya boleh dipersoalkan. Ada dimensi sosial dalam sains membawa kepada tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan.




Kelapan. Terdapat pencapaian saintifik yang kurang demonstratif (kurang kelihatan cara pembuktiannya secara fizikal) namun lebih daripada sekadar dialektif (mencari faham melalui rangkaian pemikiran logik).




Kesembilan. Keberanian untuk menghadapi kejahilan diri sendiri adalah sebahagian daripada merendah diri dalam keilmuan. Namun, meninggalkan suatu penyiasatan hanya semata-mata kerana kita bukan pakar dalam bidang bukanlah bermakna kita tahu tempat (sedar kekurangan). Tetapi ia sebenarnya satu sifat pengecut dan kemalasan.





Akhir sekali. Pemikiran yang saintifik adalah terbentang  lebar antara iman (keyakinan) dan sikap skeptik (berhati-hati lalu mempersoalkan setiap sesuatu). Sebagai rumusan melibatkan sikap dan hujah antara Al-Ghazali dan Ibnu Rushdi yang diperdebatkan, jika falsafah menyatakan bagi setiap sesuatu ada susunan yang boleh ditemukan Al-Ghazali mengatakan kita tidak boleh tahu tentang itu. Ibnu Rushdi pula menjawab dengan mengatakan kalau kita tidak percaya (bahawa adanya susunan yang boleh ditemui) maka kita tidak akan sesekali mencarinya (lalu hilanglah usaha dan terbantutlah pencarian ilmu). Maklum balas yang boleh ditanggap daripada sikap (berdasarkan penulisan-penulisan) Al-Ghazali adalah kita tidak boleh mencari tanpa menguji (suatu andaian yang menentukan arah tuju carian). Dan tanpa rasa ragu-ragu (kerana terlalu yakin lalu menerima sesuatu pernyataan tanpa soal) kita tidak akan menguji. Untuk mengikuti sendiri syarahan sila tonton video di sini.


Rabu, Julai 19, 2023

Maklum balas pembaca tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad

Artikel ini yang sebahagian daripada isinya sudah disediakan dua hari lalu sepatutnya sudah disiarkan selewatnya jam 10 pagi. Tetapi disebabkan saya dan keluarga sedang berada di kediaman kakak isteri di Felda Jelai kerana beliau baru kematian suami  dan di situ tiada talian Internet pula maka kena tunggu sampai kembali rumah sendiri kemudian selesai beberapa hal dapat disiarkan ia.


-----------


Salam kepada semua pembaca yang dimuliakan. Hari ini Rabu 19 Julai 2023 yang bersamaan 1 Muharram, hari pertama tahun baru 1445 Hijriah baru terasa mahu hendak menulis kembali di blogspot setelah lama menyepikan diri. Kali terakhir saya menulis adalah apabila mengeluarkan artikel ke-2,400 iaitu Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak pada 8 Jun iaitu lebih sebulan lalu. Adapun antara sebab utama saya menyepikan diri adalah untuk memberikan tumpuan penuh bagi membuat pembetulan terhadap tesis pascasiswazah saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Untuk pengetahuan tesis saya telah diluluskan pada awal bulan Ramadhan iaitu hampir 4 bulan. 

Namun saya diminta untuk melakukan sejumlah pembetulan dan ini harus diselesaikan dalam tempoh 6 bulan. Hal tersebut ada dikongsikan dalam artikel Apabila perjuangan dihargai yang disiarkan pagi Khamis 6 April bersamaan 15 Ramadhan lalu. Ini berlaku setelah dibuat peperiksaan lisan tesis pada pagi Jumaat 24 Mac bersamaan 2 Ramadhan.  

Cuma ketika itu saya juga amat sibuk dengan proses-proses akhir bagi menyiapkan  buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad. Tepat seminggu kemudian iaitu pada 13 April baru cukup siap untuk dihantar ke kilang cetak.  Petang itu dibuatlah artikel Buku Laksamana Muhammad Amin dan Orang Kaya Arshad dah masuk kilang untuk berkongsi berita gembira. Dinyatakan dalam artikel bahawa saya sudah boleh memberikan tumpuan penuh pada hal pembetulan tesis di ISTAC.


Namun berlaku pelbagai kesibukan termasuk persiapan bagi menyambut 1 Syawal Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada hari Sabtu 22 April. Harus pula membuat perjalanan bersama keluarga sehingga ke Singapura pada awal musim raya seperti sudah lama dijanjikan kepada mereka. Lihat Kompilasi cerita perjalanan selatan sempena cuti Aidil Fitri 2023. Selepas itu harus memastikan buku dapat keluar daripada kilang cetak sebelum tarikh pelancaran Sabtu 13 Mei bersamaan 22 Syawal, tarikh yang dipilih atas sebab tertentu melibatkan sejarah keluarga. Lalu berlakulah hal-hal seperti diceritakan dalam artikel-artikel berikut :-


1. Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Persediaan dalam kegelisahan




Selepas itu saya disibukkan lagi dengan hal-hal keluarga di samping hal buku. Berlaku pula hal-hal yang dinyatakan dalam artikel-artikel berikut (menurut kronologi) :-


1. ISTAC, buku dan majlis raya keluarga Laksamana tahun 2023

2. Pulau Besar tahun 2023 atas asbab jengok ibu bapa di Muar

3. Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023 

4.  Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak


Disebabkan berbagai hal itu saya menghadapi masalah untuk mendapatkan mood bagi menyiapkan pembetulan tesis. Khamis 22 Jun baru mendapat gerak rasa yang cukup bagus lalu pembetulan dapat disiapkan pada hari Selasa 27 Jun selepas Maghrib. Terus dihantar kepada penyelia tesis Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Sekarang menunggu suntingan beliau siap untuk proses-proses seterusnya yang harus mengambil masa beberapa bulan lagi sebelum boleh dianugerahkan ijazah sarjana berkenaan.

Selain mahu menyiapkan pembetulan tesis saya hilang mood untuk menulis di blogspot malah apa-apa bentuk media sosial kerana melihat semakin lama semakin teruk orang bermain wayang bagi mendapatkan perhatian, jadi influencer dan sebagainya. Hal ini menimbulkan rasa letih untuk meneruskan perjuangan demi mendaulatkan agama, bangsa dan tanah air pada kala ramai melaungkan slogan sebegitu rupa tetapi sebenarnya berpura-pura lalu sanggup mencipta senario bermacam-macam, sebenarnya untuk mendapatkan duit dan mengumpul pengikut sambil mencari perhatian ramai. Akibatnya blogspot ini tidak dikemaskinikan sejak 8 Jun. Petang Selasa 11 Julai 2023 tiba-tiba timbul rasa untuk mendapatkan maklum balas daripada pembaca tentang isi buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. 

Sebelum itu saya tidak berani dan merasa tidak patut bertanya kerana sedar orang ramai harus mengambil masa untuk selesai membaca dan menghadamkan segala macam perkongsian yang ada dalam 576 muka surat buku. Pada 11 Julai iaitu setelah hampir 2 bulan buku diterbitkan fikir saya harus sudah banyak dapat dibaca walaupun mungkin tak selesai. Kemudian timbul rasa untuk berkongsi apa-apa maklum balas yang dapat bagi siaran dalam blogspot pada 1 Muharram. Dengan itu dapat memecah kesepian selama ini. 

Berikut adalah maklum-maklum balas yang diterima...


1. Saya memang cukup minat membaca sejarah Perak. Buku saudara kali ni saya habis baca dalam tempoh seminggu selepas kali terakhir kita berWhatsApp. Memang buku kali ni paling puas dibaca sebab sarat dengan cross referencing dan sumber rujukan. Sampai saya terasa kepayahan saudara menyiapkan buku ni dan cabaran-cabaran yang saudara hadapi. 

Cukup terkesan pada saya. Dan memang buku terbaik dari saudara yang saya sudah baca. Banyak jugak buku saudara yang lain saya belum baca. Nanti kalau ada kesempatan saya hendak berjumpa meminta nasihat macam mana saya nak buat penyelidikan bagi susur galur saya pula.

- Zamanhuri bin Ahmad Norilah, 48 tahun. Ketua Pegawai Risiko & Integriti UDA Holdings, Kuala Lumpur.


2. Saya sudah habis membaca buku ini. Secara keseluruhan ia membentangkan banyak maklumat baru berbanding dengan apa yang saya ada sebelum ini. Pembentangan secara berfakta dengan dokumen-dokumen daripada arkib  lama memberi kesegaran baru bila membaca buku ini. Kajian secara berfakta begini amat diperlukan dalam menggali sejarah lama Malaysia zaman dahulu. Semoga diteruskan usaha.

- Hj Rizlan Darus, 56 tahun. Jurutera awam, Klang.


3. Banyak pencerahan daripada penulisan. Banyak sumber rujukan yang diperolehi dan penulisan adalah daripada fakta-fakta yang dikaji. Memamg terbaik. Dapat kami menyelusuri sejarah dan susur galur keluarga. Tahniah atas kejayaan menerbitkan buku Orang Kaya-Kaya Dato' Laksamana Raja  Mahkota Muhammad Amin Alang Duakap. Syabas

- Nurul Akmal binti Mohd Zaki Osman, 37 tahun. Pegawai polis, Kota Bharu Kelantan.


4. Dah baca sikit-sikit. Daripada sini dapatlah tahu serba sedikit tentang  susur galur keluarga keturunan nenek moyang  saya dari keluarga Laksamana walaupun sudah peringkat jauh. Terima kasih kepada tuan penulis. Dengan usaha yang tak ternilai terhasilnya buku buat tatapan kami semua.

- Noorazean Bintik Mohd Khalid, 46 tahun. Kakitangan kerajaan, Kuala Nerus , Terengganu.


5. Sejujurnya memang masih banyak lagi belum selesai bacaan saya tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Apa yang boleh saya kata, maklumatdan dapatan kajian serta  rujukan-rujukan yang disertakan sangatlah membantu bagi memahami asal usul  Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Orang Kaya Arsyad serta perjuangan nenek moyang terdahulu. Teringin juga melihat suatu hari nanti diadaptasi dalam bentuk  dokumentari biografi di media TV supaya generasi muda dapat mengenali pejuang-pejuang Melayu.

- Mohd Shahrum bin Kadis, 40 tahun. Penolong Pegawai Seni Bina Kanan di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Seremban.


6. Karya terbaru oleh Tuan Merah Silu @ Radzi Sapiee ini pada pendapat saya merupakan kesinambungan daripada trilogi novel bersiri Berpetualang ke Aceh yang telah ditulis oleh beliau pada beberapa tahun yang lalu. Penulis ingin mengenengahkan cerita tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Orang Kaya Arshad kepada khalayak umum melalui bentuk penulisan buku. 

Pada hemat saya susunan cerita tentang daripada Bab 1 hingga Bab 8 adalah baik mengikut susunan kronologi kerana banyak disertakan informasi-informasi hasil daripada kajian tuan penulis sendiri. Nota-nota kaki serta infografik juga diletakkan untuk penjelasan tentang latar belakang cerita. Informasi-informasi tersebut amat membantu untuk memudahkan pembaca memahami penulisan buku ini. Perkara ini sangat memudahkan untuk memahami cerita yang hendak disampaikan oleh penulis walaupun para pembaca berkemungkinan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang sejarah negeri Perak.

Secara jujurnya saya sememangnya berminat untuk membeli buku ini kerana tuan penulis Merah Silu menonjolkan sisi cerita yang baru tentang perjuangan Laksamana Muhammad Amin dan anaknya menentang penjajah British. Semoga penulisan buku seperti ini diperbanyakkan lagi untuk menjadi rujukan dan menambah jati diri bagi generasi masa akan datang.

- Tengku Mohammad Fauzan Nasuha bin Tengku Shahrudin, 32 Tahun, Eksekutif Teknologi Maklumat, Rawang.


7. Saya baru-baru ini berkesempatan membaca sebuah buku yang benar-benar menarik dengan naratif yang kaya dan mendalam daripada segi sejarah tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, salasilahnya serta perkaitan beliau dengan sejarah Kesultanan Melayu Perak. Karya yang luar biasa ini dengan mudah menyatukan masa lalu dan masa kini, membuat saya asyik membacanya dari awal hingga akhir. Buku ini memiliki kekuatan untuk membawa pembaca ke era yang berbeza, mengundang mereka untuk menjelajahi catatan waktu dan menemukan "harta karun" yang tersembunyi daripada kolektif sejarah Malaysia.

Salah satu aspek yang menonjol bagi saya adalah dedikasi dan ketelitian penulis dalam mengumpulkan rujukan. Keahlian penulis yang luar biasa dan perhatian terhadap perincian kecil sangat terlihat sepanjang buku. Rentang sumber yang luas yang digunakan, tak dikecuali, dengan nota kaki yang melengkapkan informasi, menunjukkan keahlian penulis dan menambah lapisan keaslian pada naratif sejarah yang dibawa dalam buku. Jelas bahwa penulis tidak mengabaikan usaha apa pun untuk memastikan bahwa informasi yang disajikan tetap dan boleh dipercayai.

Apa yang benar-benar mengesankan adalah kemampuan buku ini untuk menghubungkan saya dengan warisan nenek moyang sendiri. Sebagai salah seorang waris keturunan Laksamana Muhammad Amin, buku ini membantu melengkapkan lagi penemuan asal usul diri saya sendiri serta garis keturunan keluarga lebih jauh. Buku ini bukan sahaja membantu menyusun semula cebisan-cebisan maklumat yang pernah saya ketahui sebelum ini malah ia melengkapkan dan kemudian meningkatkan lagi darjah pemahaman saya tentang salasilah keluarga sehingga beratus tahun jauhnya. Saya seolah-olah membaca kisah diri sendiri.

Sudah jelas bahawa penulis adalah individu yang berpengalaman dan telah banyak mengembara. Pengalaman dan petualangan beliau yang luas terserlah melalui penceritaannya lalu menciptakan perasaan keaslian dan kedalaman rasa. Deskripsi yang jelas apabila menggambarkan tempat-tempat bersejarah yang berkait dengan Laksamana Muhammad Amin dan penerangan terperinci tentang peristiwa sejarah yang terlibat membuatkan saya merasa seolah-olah secara peribadi mendampingi penulis dalam perjalanan beliau.

Secara keseluruhan, buku ini adalah eksplorasi yang luar biasa tentang sejarah, yang terampil dibuat oleh seorang penulis yang berpengalaman. Naratif yang memikat, penelitian yang teliti, dan kemampuannya untuk menjalin hubungan peribadi dengan pembaca membuatkannya menjadi bacaan yang luar biasa. Satu tepukan harus diberikan atas usaha untuk menyelamatkan cebisan sejarah yang hampir hilang. Sama ada pembaca seorang penggemar sejarah yang ingin mengeksplorasi masa lalu keluarganya, atau pembaca hanya mendambakan cerita yang menarik, buku ini memenuhi setiap jangkaan.

- Nadjmin Mohd Wahi, 42 tahun. Ahli perniagaan, Johor Bahru.


8. Naskah buku Laksamana Raja Mahkota pada saya mengandungi topik dan isi yang sangat teliti beserta bukti-bukti kukuh dan juga salasilah keturunan yang begitu molek sekali. Ada juga penceritaan pengarang berbeza berbanding naskah buku yang telah saya baca. Namun begitu penyampaian naskah buku ini lebih terperinci.

Akhir kata saya berterima kasih kepada pengarang yang telah menulis naskah buku ini sebagai bahan rujukan yang pada saya sangat diperlukan pada generasi muda sekarang yang ingin mengetahui sejarah.

 - Aida Rosna bt Che Salleh, 54 tahun. Pembantu Perpustakaan Muzium Negeri Perak, Taiping.


9.  Sebuah buku pensejarahan negeri Perak. Menerangkan kronologi keturunan Orang Besar Delapan Negeri Perak Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota  bermula dengan Nakhoda Hitam @ Toh Kuala Bidor tahun 1721 hingga kini 2023 (300 tahun). Penulis menerangkan fungsi dan peranan menjaga keselamatan dan kesejahteraan bermula dari zaman pra-kemerdekaan hingga negara mencapai kemerdekaan terutamanya moyang beliau OKK Dato’ Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin Alang Duakap dan anakandanya Orang Kaya Muhammad Arshad

Penulisan sejarah seperti ini adalah cara yang paling berkesan bagi mememelihara serta mengekalkan identiti  sesebuah negara bangsa serta dapat dijadikan rujukan kepada generasi akan datang.

Saya juga secara tidak langsung dapat memahami susur galur keluarga kami yang berkesinambungan antara Toh Tan Jana Pahlawan Haji Wan Yeop Ibrahim bin Wan Mat Zin (Penghulu  Pulau Tiga tahun 1912) yang merupakan cucunda kepada Wan Muhammad Saman  bin Laksamana Paduka Raja Wan Ismail iaitu Perdana Menteri Kedah pertama  penghujung abad 19. Anakanda beliau Wan Long  Saadiah binti Wan Muhammad Saman berkahwin dengan OKK Dato’ Laksamana Muhammad Amin. Daripada perkahwinan ini lahirlah Orang Kaya Arshad, diikuti Halimah isteri kepada Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Long Jaafar (Orang Besar Empat 1863) dan Aminah isteri kepada Haji Mat Yasin

Karya saudara penulis ini amat dekat dengan hubungan keluarga kami yang berasal dari Telok Anson (Teluk Intan) melalui sejarah Batak Rabit,Kg Bandor, Kuala Bidor, Pasir Salak dan Bandar Tua.

 -      Haji Faharul Azman bin Haji Ahmad Sabki, 56 tahun. CEO/ Co Founder  Detik Ventures Sdn Bhd, Kedah.


10. Pertama kali melihat buku ini, saya tertarik dengan judulnya Laksamana Raja Mahkota MUHAMMAD AMIN & Orang Kaya Arsyad : “Perjuangan Yang Belum Selesai". Saya langsung terfikir buku ini seharusnya ditujukan untuk anak cucu waris (yang ingin mulai belajar sejarah). Dan bukan sebagai "Treasure Hunter".

Sebagai pembaca buku-buku sejarah, saya melihat buku ini baik juga dimasukan ke dalam senarai buku untuk habis dibaca. Buku ini berjaya membuka minda waris-waris tentang sejarah jalur keturunan. Tahniah atas tulisan, kajian dan usaha tuan yang menjayakan berserta dengan rujukan helaian halaman.

Buku ini ditulis berdasarkan kajian yang mendalam.  Ia wajar dijadikan tatapan warga  yang cintakan keunggulan sejarah LMA supaya tidak terkeliru dengan tanggapan yang mengelirukan, warisan sejarah serta hak-hak berkenaan. Ini kerana mungkin terlalu kurang hal berkaitan dalam sejarah kerajaan negeri Perak telah dipaparkan.

Penulis juga menyatakan  senarai jadual para pemegang jawatan Laksamana, salasilah dan peta tempat-tempat berkaitan. Dihiasi sekali kepingan gambar yang berkenaan. Ini dapat menghilangkan serba sedikit kekusutan pendapat yang bermacam-macam.

Penulis turut mencoretkan catatan bukti sumber juga pembuktian daripada sumber tradisi, Seterusnya  dipersembahkan beberapa aspek berkaitan satu daya perjuangan dan persaudaraan. Ini adalah suatu warisan yang harus dibanggakan.

- Wan Azmil Wan Zahari, 60 tahun. Pesara kerajaan, Ipoh.


11. Assalamualaikum tuan. Ini ulasan saya mengenai buku terbaru tuan mengenai sejarah Laksamana Muhammad Amin serta warisnya, Orang Kaya Arshad yang baru-baru ini dibeli ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023. Alhamdulillah sempat juga bertemu dengan tuan dan sedikit sebanyak meminta nasihat dan tunjuk ajar dari pihak tuan sendiri mengenai banyak perkara khususnya dalam penulisan sejarah dan pengkajian salasilah.

Saya memang mengharapkan pengetahuan sejarah yang baru dan segar daripada buku ini dan sememangnya buku ini berjaya mencapai perkara sedemikian. Penulis buku ini terbukti menyatakan fakta-fakta dan hujah-hujahan yang kukuh berdasarkan pengkajian penulis sendiri terhadap sumber-sumber primer (terutamanya petikan akhbar-akhbar dan rekod-rekod kolonial) dan kaedah rujuk silang kerap dilakukan penulis dengan sumber-sumber sejarah di negeri lain seperti Aceh, Bugis, Kedah dan sebagainya.

Rasa takjub, terkejut, duka dan insaf bercampur baur bila membaca satu demi satu bab dalam buku ini. Penulis menggalurkan sejarah keturunan Laksamana negeri Perak sehingga ke Laksamana Muhammad Amin dan warisnya, Orang Kaya Arshad dengan baik sekali dari awal sehingga ke akhir buku ini. 

Bab paling digemari adalah Bab 2 (khas tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin). Tetapi sejujurnya bab yang memberi kejutan dan ketakjuban pada diri saya sendiri setelah membacanya adalah Bab 7 (tentang tanah Laksamana di Mekah). Termenung juga saya memikirkan kesungguhan dan kemampuan nenek moyang kita dahulu mampu melakukan perkara sedemikian (membeli hartanah di Mekah walhal sedang berada dalam buangan) walaupun digempur penjajah ketika itu. Bab penutup (yang banyak menyentuh tentang perjuangan yang harus dilanjutkan) juga memberi banyak renungan dan iktibar kepada pembaca sebagai generasi Melayu kini yang sejujurnya sangat menyentuh hati saya. 

Sejujurnya satu pembacaan yang sangat membuka minda dan pandangan sarwajagat (worldview) kita mengenai sejarah Perak amnya dan Laksamana Muhammad Amin khususnya. Sudah tiba masanya beliau diangkat sebagai pahlawan utama Perak menentang penjajah sama terkenal seperti Dato' Maharaja Lela dan Dato' Sagor.

Penulisan ini sangat membantu sebagai sumber rujukan utama untuk diri saya dalam mengumpul dan menghimpunkan kisah-kisah Laksamana terkenal dalam peradaban Melayu. Kita selalu kenal Laksamana Hang Tuah sahaja, tetapi kali ini Laksamana Muhammad Amin juga tak kurang hebat jasanya sebagai salah seorang laksamana Melayu terulung dalam lipatan sejarah.

Sekian terima kasih. 

- Raja Ariff Danial bin Raja Azhar, 25 tahun. Pelajar UKM, Bangi.


12. Alhamdulillah, dalam tempoh 17 tahun sejak terbitnya buku pertama oleh Tuan Merah Silu, kini muncul pula buku tulisan beliau yang ke-14. Usaha gigih penulis untuk mengembara dan menyelidik dapat diikuti di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Buku ini membicarakan sejarah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Orang Kaya Arshad yang jarang kita ketahui. Hasil  penyelidikan penulis dikongsi dalam buku ini dengan disertakan banyak maklumat, gambar, rajah dan rujukan serta dapatan baru. 

Menarik sekali. Apatah lagi penulis adalah daripada jalur keturunan salasilah yang dikaji. Highly recommended! Moga Allah mempermudahkan segala urusan Tuan Merah Silu dan keluarganya dalam meneruskan perjuangan beliau. Sekian, wassalam.

- Ismail Omar, 64 tahun. Pengarah teknikal. Shah Alam.


13. Sejujurnya saya masih berusaha untuk menghabiskan naskah hebat ini. Berdasarkan pembacaan awal, dapat disaksikan penulis telah menjalankan kajian mendalam berkenaan bahan tulisannya. Banyak pengetahuan baru bagi saya berkenaan Almarhum Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Gaya penulisan beliau seolah-olah mengimbau kembali ke zaman itu dan mendekatkan semula dengan insan yang tak sempat dikenali secara empat mata. 

Syabas atas usaha gigih beliau yang sanggup mengembara demi mendapatkan sebegitu banyak info sahih dan berkongsi naskah berharga ini dengan kita semua!

- Nita Hamiri,47 tahun. Suri rumah, Subang.


14. Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum wrt

Setelah membaca buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad, apa yang saya temui adalah fakta yang amat berharga dalam menghargai jasa tokoh ini. Banyak penemuan hasil kajian dan usaha gigih Tuan Radzi selama setahun ini membuka mata tentang seorang tokoh bersejarah yang amat berjasa kepada negara dan orang Islam. 

Perjuangan beliau adalah pemula kepada bibit perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris. Daripada pembacaan saya yang tidak seberapa boleh dikatakan terdapat poin-poin yang menarik:-

    a. Tentang salasilah Laksamana Raja Mahkota yang berhubung dengan keluarga diraja Samudera Pasai. Ini menunjukkan kebangsawanan Laksamana bukanlah semata-mata kerana pangkat, tetapi terkait dengan satu susur galur darah keturunan mulia. Seorang penulis Inggeris ketika menerangkan akan sekeping foto Laksamana bersama pembesar Perak, dia menyatakan bahawa Laksamana adalah seorang Arab. Jadi, memang wajar ketokohan Laksamana di dalam memimpin masyarakat perlu dijadikan contoh teladan kepada pemimpin sekarang.

    b. Tentang salasilah keluarga keturunan Laksamana. Banyak kisah dan pemurnian nasab keturunan Laksamana telah dikehadapankan oleh penulis Tuan Radzi. Hal ini amat penting utk menentukan hak-hak seseorang di dalam hukum hakam. Temuramah dan sesi suai mesra antara keluarga membuahkan tali silaturrahmi yang diterjemahkan menjadi pepohon salasilah terkait. Hukum berkaitan perkahwinan, anak angkat dan harta pusaka begitu penting agar yang utama diutamakan menurut hukum Islam yang wajib kita taati.

    c. Tentang buku ini, bahawa ia akan menjadi rujukan akademik untuk tempoh infiniti. Para pengkaji sejarah dalam dan luar negara akan menjadikan buku ini sebagai bahan diskusi untuk menyusun semula kekosongan sejarah Malaysia yang sedang terkutip.

    d. Berkait tanah milikan Laksamana Haji Muhammad Amin di Mekah. Fakta ini merupakan suatu kejutan kepada saya, bahawa ketika mana Inggeris masih lagi mencengkam institusi kerajaan, tokoh tersebut telah berhasil membeli dua bidang tanah di kawasan al Misfalah. Saya amat gembira kerana tanah orang Nusantara di al Haram bukan sekadar tanah wakaf Aceh dan penempatan warga Pantai Timur serta Patani di atas bukit tetapi juga tanah milik orang kita berhampiran Masjidil Haram.

Begitulah review saya yang tidak seberapa, malah banyak lagi boleh dikupas. Dengan rendah hati, saya berterima kasih kepada Tuan Fahrulradzi Mohd Sapiee serta isteri dalam membongkarkan suatu kisah yang tidak diketahui rakyat Malaysia melalui kegigihan, keazaman dan  usaha beliau. Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan tentang tokoh perjuangan lain yang terdapat dalam tanah Melayu khususnya mereka yang "disembunyikan" demi kepentingan pihak tertentu. Wassalam

- Ahmad Wafee bin Mohd Ariff, 48 tahun. Pekerja swasta, Equine Park, Seri Kembangan.


----------------


Maklum-maklum balas ini harus cukup untuk menunjukkan bagaimana bernilai dan berisinya buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amim & Orang Kaya Arshad. Untuk mendapatkan buku sila ikut panduan ini...


Harga buku senaskah RM99 + RM7.90 Poslaju = RM106.90.

Sila buat bayaran bagi jumlah berkenaan ke akaun berikut :-

Affin Islamic Bank : 20-530-011171-1

Atas nama: Mohd Fahrulradzi b Mohamad Sapiee

Selepas itu WhatsApp ke nombor 013-3082131 bukti pembayaran juga alamat pos.