Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, April 07, 2017

Misi HIKMAH Aceh 2017 - Tafakur di Makam Sultan Sayyid Maulana, kemuncak di makam Ratu Nurul Aqla dan ketenangan di makam Sultan Malikussaleh

Salam petang Jumaat. Pergi kita pada hari ke-6 perjalanan di Aceh 16-23 Mac, satu hari yang pada saya mengandungi kemuncak bagi lawatan ke bumi Serambi Mekah kali ini. Bersambung daripada artikel Misi HIKMAH Aceh 2017 - Memulakan perjalanan jauh ke luar Banda Aceh.


Pagi Selasa 21 Mac 2017. Kami bersarapan di hotel sebelum memulakan penjelajahan hari...


Saya keluar lewat sedikit. Anak-anak, isteri dan kawan sudah menunggu untuk masuk kereta.


Hotel tempat kami menginap ada nama Al-Atas. satu marga atau kabilah keluarga Arab berketurunan Nabi Muhammad SAW. Teringat bapa angkat saya Syed Hussien al-Attas di Janda Baik. Dekat-dekat kawasan hotel ini memang ada keluarga Al-Attas dan saya pernah menziarahi mereka tahun 2009 atau 2010 gitu.


Hotel itu terletak di kota Idi, kira-kira setengah jam sebelum Perlak. Kami menginap di situ kerana takut tiada penginapan di Perlak. Sampai ke Idi malam sebelumnya pun sudah jam 10. Semua orang terutama pemandu sudah penat.


Kota ini dan kawasan sekelilingnya telah banyak berubah membangun pesat. Lihat artikel Views from a new hotel in Idi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.





Hampir ke Perlak terlihat sebuah masjid yang dibina seorang kawan dari Malaysia yang sudah lama menetap di Aceh. Saya pernah hadir sambutan Maulidur Rasul merangkap majlis pembukaan masjid 7 tahun lalu. Lihat artikel lama Maulidur Rasul di Aceh : Majlis Maulud di Masjid Nurin Niswah, Perlak.


Tidak lama kemudian kelihatanlah jambatan utama menyeberangi Sungai Perlak. Lihat The main bridge crossing Perlak river.


Sampai kota atau bandar Perlak saya singgah di masjid besar ini. Teringat persinggahan lama ketika ia masih dalam pembinaan, belum ada kubah. Lihat artikel Rupa baru Masjid Zadul Muad (New look of the mosque of Zadul Muad), Perlak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Di masjid ini saya mewakafkan Quran terakhir antara 5 naskah yang saya diminta berbuat begitu oleh seorang kawan lama. Rujuk balik cerita berkenaan dalam artikel Misi HIKMAH Aceh 2017 - Memulakan perjalanan jauh ke luar Banda Aceh.


Isteri yang ikut sama masuk teruja melihat perkembangan masjid lalu ingin mempromosi usaha wakaf tanah seperti yang kelihatan pada papan maklumat.


Kota Perlak juga kelihatan ada perubahan, tidak begitu 'cowboy' seperti dilihat dalam lawatan-lawatan terdahulu.





Kali terakhir saya ke Perlak tahun 2014 lalu masuk ke satu kawasan pendalaman masih terdapat banyak rumah atap rumbia. Kini sudah ada bangunan-bangunan moden dan banyak rumah batu. Tak nampak pun lagi atap rumbia kecuali pada sebuah bangsal...


Jalan pendalaman yang pernah saya lalui 5 kali sebelum lawatan ini juga dah cantik, elok...


Teringat dahulu orang luar begitu takut hendak masuk kerana masih terdapat ramai pemberontak bersenjata atas nama GAM (Gerakan Aceh Merdeka).


Teringat kali pertama masuk bersama satu rombongan diiringi dua trak polis bersenjata mesingan tahun 2009. Sampai satu bahagian ada pokok buluh tumbang melintang. Seorang pun tak berani mengalihkan pokok, takut ada serangan hendap. Bila dah lama sangat tunggu saya pun nekad seorang diri alihkan pokok. Baru rombongan dapat menyambung perjalanan.


Tujuan kami masuk ke kawasan pendalaman ini malah tujuan kami setiap kali sampai ke Perlak adalah untuk menziarahi makam Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah, sultan pertama kerajaan Perlak. 


Baginda yang menaiki takhta pada tahun 840 Masihi adalah pemerintah pertama di Alam Melayu diketahui memiliki darah Ahlul Bait iaitu keturunan Nabi Muhammad SAW.


Seperti di bandar Perlak juga jalan menuju ke sini, kompleks makam juga sudah banyak berubah. Sudah ada rumah-rumah untuk orang menjaga makam tinggal. Lihat Rupa baru kompleks makam Sultan Sayyid Maulana (New look of the Sultan Sayyid Maulana tomb complex). Sebetulnya saya teringin untuk bermalam di makam... atau pondok sebelah makam. Tetapi pemandu risau hendak masuk malam-malam. Takut ada ancaman kerana baru sebulan dua sebelum itu ada kes tembak menembak di Perlak. Kalau terpulang pada saya tanpa memikirkan kerisauan orang lain tentu akan nekad masuk ke dalam. Kalau tahu sudah ada rumah cantik sebegitu rupa tentu pemandu pun yakin menurut kehendak.


Di sekitar kompleks itu juga saya mengambil masa bertafakur melihat bahagian Sungai Perlak yang katanya dahulukala sering dimasuki kapal-kapal besar termasuk dari Tanah Arab dan Parsi. Lihat Perlak river from Sultan Sayyid Maulana complex.


Seorang ustaz yang menjaga kompleks pula memberitahu tentang kewujudan sebuah makam panjang. Rasanya dahulu, ketika pertama kali datang menziarahi makam Sultan Sayyid Maulana kami ada diberitahu tentang kewujudan makam tersebut. Cuma ketika itu saya tak ambil tahu. Baru kini tergerak hendak menziarahi. Lihat Makam panjang dekat Sayyid Maulana (The long tomb close to Sayyid Maulana).


Selesai urusan di Perlak kami menuju kembali ke utara iaitu ke arah Bandar Aceh.


Ingat. Banda Aceh terletak lebih 8 jam perjalanan sedangkan kami meninggalkan Perlak pun sudah hampir tengah hari. Sampai di kota Panton Labu, singgah bersolat Zuhur dan jamak Asar di masjid besar sana. Lihat artikel Masjid raya (Main mosque of) Pase, Panton Labu.


Sampai di kota Lhoksukon pula kami mengambil jalan pendalaman ke Matangkuli.


Ada satu tempat ceruk dalam kampung mahu dituju.


Setelah bertanya kepada beberapa orang baru kami mendapat arah ke tempat tersebut. Sebelum itu kami setakat meneka-neka dekat kawasan mana. Perlu lalu jalan yang teruk ini...


Subhanallah. Rasa suka tak terkira apabila terlihat papan tanda menunjukkan kami sudah sampai ke tempat yang dituju iaitu kompleks makam Ratu Al-Aqla. Beliau atau lebih tepat baginda (kerana pernah menjadi raja perempuan Pasai) juga dikenali sebagai Ratu Nurul Aqla. Papan kenyataan menyebut nama sebenar baginda adalah Dannir binti Sultan al-Malik azZahir bin Raja Khan bin Raja Kedah. Dinyatakan juga baginda meninggal dunia tahun 1389 Masihi. 


Ketika mencari makam inilah baru saya dapat tahu tidak seorang pun kawan kami di Banda Aceh pernah sampai. Nasib baik saya teringat, seorang pengkaji dari CISAH (Central Information for Samudra Pasai Heritage), Ustaz Taqiyuddin pernah meneliti batu nesan di makam itu lalu meminta kawan di Banda Aceh menghubungi beliau.


Taqiyuddin tidak dapat dihubungi tetapi ada ahli lain CISAH dapat kami jejaki untuk mendapatkan arah. Nampaknya makam ini jarang dikunjungi orang kecuali oleh pengkaji tegar terutama daripada wilayah sekitar yang terkait dengan pusat pemerintahan lama kerajaan Samudera-Pasai, kawasan kajian CISAH.


Saya sendiri sudah bertahun menyimpan hajat untuk menjejakkan kaki. Timbul rasa gembira amat. Dan entah kenapa terasa sayu amat juga apabila akhirnya sampai. Perasaan gembira dan sayu amat ini rupa-rupanya turut dirasai seorang anak muda tempatan berambut panjang yang ditemui ketika mula-mula sampai. Rupa-rupanya beliau daripada keluarga yang menjaga makam. Namanya ada gelaran bangsawan Aceh iaitu Teuku. Kata beliau kalau dilihatnya orang lain macam, misalnya hendak meminta nombor ekor atau memuja makam tentu dihalaunya keluar dan ini pernah berlaku. Ketika mula ditemui pun beliau sedang memegang pisau sabit panjang kerana sedang berkebun. Tetapi dengan kami beliau terus jadi mesra tanpa banyak penerangan.


Sebetulnya makam ini sangat terkenal dalam kajian kerajaan-kerajaan Islam lama di Alam Melayu/Nusantara. Cuma ternyata tak ramai orang pernah sampai. Sebab itu susah hendak mencari kedudukan melalui Google. Bukan kami tak cuba cari melalui cara moden yang sangat diagung-agungkan oleh para pengkaji atas talian tak berani turun padang merangkap pahlawan papan kunci (keyboard warriors) itu. Tapi memang tak dapat jumpa kerana tiada orang berkongsi cerita tentang pencarian makam


Yang kami jumpa berulang-ulang dalam Internet adalah gambar-gambar serupa seperti di atas, gambar batu nesan kaki Ratu Nurul Aqla. Inilah yang dikenali pengkaji sebagai "Batu bersurat Minye Tujoh" atau "Prasasti Minye Tujoh" itu. Tulisan yang ditafsirkan pengkaji pada batu inilah yang selalu dijumpa terpapar di mana-mana lalu diulas dan ditafsir orang sehingga berulang-ulang. Sehingga ada pula membuat tafsiran memandai-mandai kerana merasakan diri begitu pandai tanpa perlu menjejakkan kaki ke lapangan, cuma perlu menciplak hasil kajian orang kemudian mengulas dan mengolah kembali penulisan seolah-olah semuanya hasil kajian sendiri... seolah-olah merekalah yang paling ke hadapan mengkaji sambil mencelikkan orang.

Beginilah bunyi salah satu tulisan dan tafsiran yang saya temui. Sekurang-kurangnya ia adalah daripada sumber akademik yang boleh dipercayai walaupun dah lupa jumpa dalam buku mana. Cuma saya ada paparkan dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" yang terbit Mei 2007)..


Hijrah Nabi mungstapa yang prasaddha
Tujuh ratus asta puluh savarasaa
Haji catur dan dasa vara sukra
Raja iman varda rahmat Allah.

Gutra bharu bhasa (ng) hak Kadah Pase.
Matarukk tasih tanah samuha
Ilahi ya rabbi tuhan samuha
Taruh dalam svarga tuhan tutuha.

Terjemahannya (menurut buku tersebut) :  

Pada hari Jumaat 14 Zulhijjah 781 Hijrah (1380 Masihi), seorang puteri yang beriman kembali ke rahmatullah. Puteri daripada keturunan “Gutra Bharu Bhasa” atau “Kaum Bahasa Baharu”, penganut-penganut budaya baru iaitu agama Islam serta mempunyai hak dan kuasa ke atas Kedah dan Pasai, dan atas segala laut dan darat. Ilahi ya Rabbi, Tuhan semesta ‘alam, letakkanlah beliau di dalam syurga.



Keadaan makam dan kompleks boleh dilihat melalui artikel Makam (Tomb of) Ratu Nurul Aqla. Bila dah sampai baru saya tahu beberapa perkara yang tidak dinyatakan dalam buku :- 


1) Menurut papan tanda dekat kompleks makam tahun kemangkatan ratu adalah 791 Hijrah bersamaan 1389 Masihi, bukan 781 H bersamaan 1380. 

2) Nama kampung di mana terdapatnya makam adalah Meunje Tujoh bukan Minye Tujoh. Patutlah bila tanya orang kampung sekeliling tak seorang pun tahu. Kena sebut ada makam ratu, itu pun seorang dua sahaja yang tahu.

3) Maklumat tentang makam yang ditemui di Internet rata-rata menyebut ia sebagai "Batu Bersurat Minye Tujoh" atau "Prasasti Tujoh". Saya pun tak ingat entah tulisan  mana yang ada menyebut ia sebenarnya merujuk pada batu nesan dengan maklumat, bukan sekadar batu bersurat sahaja seperti disangkakan ramai orang. Dah sampai sini baru pasti ia memang maklumat pada batu nesan.

4) Dan rupa-rupanya tulisan dan terjemahan yang terkenal seperti terpapar di atas gambar tadi cuma merujuk pada batu nesan di bahagian kaki sahaja. Ada banyak lagi tertulis pada bahagian lain batu nesan kaki juga pada batu nesan kepala.

5) Ada banyak makam dengan batu nesan Aceh. Tetapi cuma makam Ratu Nurul Aqla sahaja ada terukir tulisan dan hiasan. Entah kenapa batu nesan lain saya lihat semuanya kosong tidak bertulis mahupun terukir hiasan...



Tetapi paling hebat bagi saya adalah aura kuat yang dirasakan di sekitar makam seolah-olah membenarkan telahan saya tentang Ratu Nurul Aqla ini menjadi tali penyambung cerita antara keberadaan kerajaan Samudera dan Pasai dengan kerajaan Kedah dan Kelantan malah empayar lama Chermin dan Langkasuka. Terasa ziarah ke makam ini sebagai penutup sebenar pada gerak perjalanan awal tahun 2017 yang membawa saya pertama kali masuk ke Patani dan beberapa tempat di selatan Thailand atas asbab mahu hadir pada satu forum tentang batu nesan Aceh. Lihat Misi jejak Aceh-Langkasuka - The compilation.

Sesungguhnya saya merasakan ziarah ke makam Ratu Nurul Aqla merupakan kemuncak pada perjalanan saya ke Aceh kali ini. Sekadar mengingatkan, ini adalah perjalanan ke-8 sejak saya mula mengenali susur galur nenek moyang yang berkaitan. Susur galur itulah yang membawa saya berani menyabung nyawa apabila pertama kali masuk ke bumi Serambi Mekah ketika ia masih darurat dilanda perang awal tahun 2004.


Ketika itu misi utama saya ke Aceh adalah untuk menziarahi makam Sultan Malikussaleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, moyang kepada Ratu Nurul Aqla itu. Saya tidak berjaya sampai tahun 2004 kerana dihalang oleh keadaan dan ini sudah pun diceritakan panjang lebar melalui siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007. Pertengahan tahun 2009 baru dapat menjejakkan kaki, bersama isteri yang ketika itu sedang 6 bulan mengandungkan anak lelaki sulung kami. Lihat artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - Akhirnya... kembali ke makam nenda!.


Sejak itu kami sudah beberapa kali sampai ke makam moyang sebelah bapa saya ini, raja yang kisahnya dicari rombongan dari Mekah, atas pesan dan wasiat Nabi Muhammad SAW yang tersohor dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai juga kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Tentunya kedudukan sultan bertaraf wali ini lebih utama daripada cicitnya Ratu Nurul Aqla. Tetapi disebabkan sudah beberapa kali sampai ke makam Sultan Malikussaleh saya merasakan ziarah ke makam Nurul Aqla adalah kemuncak perjalanan kali ini.

Kami pun mengambil kesempatan untuk bergambar anak beranak. Beginilah kami berpakaian sepanjang perjalanan hari itu. Lihat 2017 visit to the tomb of Sultan Malikussaleh. Isteri saya berpesan nanti gunakan gambar baru untuk menggantikan gambar paling atas pada blogspot ini ya. Ia adalah gambar yang ada tertulis dengan perkataan besar "Catatan si Merah Silu". 


Atas saranan isteri boleh kata hampir setiap hari saya berbusana tradisional Melayu dalam perjalanan 16-23 Mac ini. Dari makam Sultan Malikussaleh kami mengorak langkah kembali ke Banda Aceh. Tidak ada lagi singgah-singgah di mana-mana kecuali untuk bersolat Maghrib dan menjamakkan Isyaq di masjid yang kelihatan lalu makan malam satay enak di kedai berdekatan. Lihat Masjid besar (Big mosque of) Peusangan, Matang.


Rabu, April 05, 2017

Misi HIKMAH Aceh 2017 - Memulakan perjalanan jauh ke luar Banda Aceh

OK. Masuk cerita hari ke-5 perjalanan di Aceh 16-23 Mac.. Bersambung daripada artikel Misi HIKMAH Aceh 2017 - Berlangsunglah acara yang memberi nama....


Dengan selesainya acara ke-20 HIKMAH di Rumah Cut Nyat Dhien hari Ahad 19 Mac 2017 barulah saya cukup lapang untuk membuat perjalanan jauh ke luar Banda Aceh. Ini dimulakan pagi Isnin 20 Mac apabila saya, isteri dan anak-anak juga seorang kawan menaiki sebuah kereta sewa yang baru didapatkan pagi itu juga. Ketika itu kawan-kawan lain yang menyertai rombongan Malaysia ke acara HIKMAH sedang dalam penerbangan kembali ke tanah air Tinggallah kami berlima meneruskan penjelajahan di rantau orang...


Pemandu kami adalah seorang pengendali agensi pelancongan yang dikira antara paling senior di Aceh. Ini merujuk pada tempoh sejak industri tersebut mula hidup  di bumi Serambi Mekah setelah 4 tahun proses pemulihan Aceh daripada kebinasaan yang tercetus akibat serangan ombak ganas Tsunami, serangan yang merosakkan banyak infrastruktur di Aceh selain meragut lebih 200,000 jiwa 26 Disember 2004. Pemandu tersebut katanya tidak lagi membuat pemanduan untuk orang ke luar Banda Aceh. Dia cuma menguruskan perkara lalu memberikan kerja sebegitu untuk orang-orang bawahan. Tetapi disebabkan beliau sudah kenal lama dengan saya dan isteri, pernah menjadi pemandu kami pusing Aceh tahun 2009 ketika beliau sendiri baru bermula dalam kerjaya itu, beliau tanpa banyak kata menerima apabila diminta untuk menjadi pemandu kami.


Saya meminta beliau membawa ke Masjid Baiturrahman di tengah Banda Aceh terlebih dahulu.


Ada satu naskah kitab suci Al-Quran mahu diserahkan sebagai wakaf kepada masjid atas permintaan seorang kawan lama di Malaysia. Pagi sebelum bertolak saya telah menyerahkan satu naskah serupa di masjid besar berdekatan hotel tempat kami menginap di Jalan Teuku Omar.


Selepas itu kami menuju ke satu kawasan bernama Darussalam di bahagian timur kota...


Ada barangan perjalanan yang perlu diambil pemandu di rumahnya di kawasan yang terkenal dengan dua buah universiti utama di Aceh iaitu Universitas Islam Ar-Raniri dan Universitas Syiah Kuala. Terlihat pula bas-bas besar yang baru sebulan dua diperkenalkan ke dalam sistem pengangkutan awam Banda Aceh. Sebelum itu kota ini cuma ada van, sejenis trak kecil dipanggil sebagai labi-labi juga beca bermotor sebagai pengangkutan awam. Kalau hendak lebih selesa  harus menyewa kereta (mereka sebut mobil, kalau kereta itu merujuk pada motosikal) seperti Avanza dan Innova dengan harga yang lebih tinggi.


Hampir jam 12 baru kami keluar daripada lingkungan Banda Aceh lalu masuk ke wilayah pendalaman yang dikenali sebagai Aceh Besar.


Kami menuju ke arah tenggara mengambil jalan utama yang dikenali sebagai jalan Banda Aceh-Medan.


Sambil itu saya meninjau-ninjau pemandangan Gunung Seulawah yang merupakan gunung ikonik di sekitar ini. Ia dapat dilihat dari jarak 50-60 km daripada semua arah.


Tidak lama kemudian sampailah ke Indrapuri dan masjid lama. Letaknya sekitar 26 km dari Banda Aceh. Setiap kali sampai ke Aceh saya akan berusaha untuk singgah. Kali ini dengan memberikan lebih tumpuan pada aliran Sungai Aceh di sebelahnya. Lihat artikel Indrapuri old mosque and the Aceh river besides  di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas Indrapuri laluan mula mendaki kawasan lereng Gunung Seulawah.


Seperti biasa apabila mengambil laluan ini kami berhenti di pekan Saree yang terletak di bahagian paling tinggi laluan.


Kedudukan dan ketinggiannya ibarat Genting Sempah di Lebuh Raya Karak.


Kami berhenti untuk makan tengah hari kemudian bersolat. Ketika gambar ini diambil sudah jam 1.21.


Masuk jam 3.42 kami berhenti di masjid kayu berusia hampir 400 tahun ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Teungku di Pucok Krueng di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ia terletak dalam Kabupaten atau daerah yang dipanggil Pidie Jaya, sekitar 170 km dari Banda Aceh. Daerah tersebut dilanda gempa bumi yang agak teruk hujung tahun lepas. Bangunan kayu masjid lama langsung tidak terjejas, namun ada bahagian batu yang retak. Lihat artikel Bahagian batu Masjid Teungku di Pucok Kreung (Brick section of Teungku di Pucok Kreung mosque).



Jam 4 baru kami meninggalkan masjid. Sekitar 35 minit kemudian kami berhenti lagi untuk menziarahi kawasan pemakaman yang dikenali sebagai Makam Syahid Lapan.


Ini merujuk kepada 8 orang pemimpin pejuang Aceh yang mati diserang hendap Belanda 100 tahun lalu. Cerita tentangnya ada dikongsikan dalam artikel lama Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan? yang dibuat berdasarkan perjalanan tahun 2009.



Sampai jambatan menyeberangi Sungai Peusangan, salah satu sungai utama di Aceh kira-kira 230 km dari Banda Aceh ada lencongan akibat jambatan rosak.


Ketika itu sudah hampir jam 6 petang, lagi setengah jam masuk waktu Maghrib. Kami disuruh masuk jalan kampung untuk sampai ke jambatan lain menyeberangi sungai sebelum kembali ke jalan besar. Lihat Peusangan river at a rural part close to the coast.


Lokasi tujuan kami hari itu sebenarnya adalah Perlak lagi 170 km perjalanan.


Hampir jam 7 baru kami berhenti untuk bersolat. Kalau tak salah ketika itu kami sudah sampai di pinggir kota Lhokseumawe, sekitar 270 km dari Banda Aceh. Baru teringat, satu Quran wakaf telah ditinggalkan di masjid lama Indrapuri, satu lagi di masjid lama dalam daerah Pidie Jaya. Tinggal satu lagi Quran perlu diwakafkan untuk mencukupkan lima. Saya bercadang untuk berbuat begitu apabila sampai di Perlak...