Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, January 05, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Jeti bercat kuning dan masjid di Pengkalan Brandan

Assalamualaikum semua. Hari ini Khamis 5 Januari 2012, hari lahir ke 37 isteri saya terasa sesuai untuk membuat artikel sambungan siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'" merangkap artikel ke 2 untuk blogspot ini tahun ini. Cuma dari semalam hingga pagi tadi lama juga saya memikirkan bagaimana mahu mengatur artikel ini... mahu bercerita sampai ke mana kerana kalau mengikut aktiviti yang dibuat pada hari yang terlibat cerita harus meliputi sebanyak mungkin hal yang berlaku di Pengkalan Brandan diikuti Pulau Kampai sebelum masuk ke Aceh malam harinya. Setakat ini setiap artikel yang dibuat dalam siri ini mewakili satu hari dalam perjalanan Medan-Banda Aceh 2-13 November 2011. Namun apabila disemak kembali pengalaman lebih 7 tahun lalu seperti diceritakan dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", saya memutuskan untuk bercerita hal sekitar Pengkalan Brandan sahaja buat masa ini. Mari... :]


Dalam artikel sebelum ini Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Tanjung Pura Langkat, Amir Hamzah, Sheikh Abdul Wahab dan Kampung Besilam yang meyebut tentang perjalanan meninggalkan Medan untuk ke utara, ada disebut pada perenggan akhir begini...


Selepas makan di kedai berdekatan kami pun mendapatkan kenderaan ke destinasi seterusnya. Destinasi ini agak penting dalam siri novel "Berpetualang ke Aceh" kerana menjadi tempat tidak disangka dan dirancang untuk saya berehat dan berlindung apabila perjalanan menghadapi masalah. Lalu saya mahu menunjukkan kepada anak dan isteri apa yang dirasakan istimewa tentangnya. Bersambung insyaallah selepas masuk tahun baru 2012...


Sekarang biar diletakkan sedutan berkaitan... dari buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007)... muka surat 25-26.


Pagi Khamis, 8 haribulan Januari 2004. Setelah selesai solat Subuh berjemaah di masjid Kampung Babussalam, Rasyid pun bersiap-sedia untuk memasuki Aceh. Pemuda itu bersarapan di warung hadapan masjid lalu terjumpa seorang penduduk kampung yang menawarkan untuk menghantarnya ke persimpangan jalan besar menghala ke Pengkalan Brandan, laluan utama bas daripada Medan ke Aceh... Dengan membonceng motosikal tetapi bukannya free, harus membayar ongkos 2,000 Rupiah.

Setelah menunggu setengah jam di persimpangan, dapatlah sebuah bas menuju ke Langsa, bandar Aceh yang terdekat... Tetapi sekali lagi Rasyid kena ‘cekik’ dalam bab tambang. Kalau semalam, dia terpaksa membayar 20,000 Rupiah untuk menaiki beca dari Tanjung Pura ke Babussalam, kali ini terpaksa membayar jumlah yang sama untuk tambang bas ke Langsa pula. Padahal mengikut kata Apin semasa di Medan, ini adalah harga tambang bas Medan ke Langsa, dua kali jarak Medan ke Tanjung Pura.

Apa boleh buat, pemuda kelahiran Muar, Johor itu tidak tahu selok-belok tempatan. Kalau tidak setuju dengan harga yang dikemukakan, senang sahaja, kata budak yang mengambil tambang. Turun bas dan tunggu kenderaan lain... Dia boleh meletakkan harga sesuka hatinya kerana perkhidmatan bas di sini tidak menggunakan tiket. Tidak ada harga tetap yang tercatit... Ikut ikhsan orang yang mengambil tambang. Itu sahaja...

Rakyat tempatan biasanya tidak akan bertanyakan harga. Bayar sahajalah ikut berapa yang orang biasa beri. Ini tak, sudahlah tidak tahu berapa tambang yang biasa orang beri, daripada gaya bahasa dan percakapan pun orang boleh tahu Rasyid adalah orang luar, orang Malaysia yang selalunya berduit. Maka itu, pada orang Indonesia yang mengambil tambang bas, apa salahnya “pangkah” lebih? Sabor ajelah... Yang penting selamat

Dalam perjalanan ini, anak Malaysia itu tidak henti-henti berzikir dan berdoa dalam hati agar dapat masuk ke Aceh tanpa sebarang halangan. Sebelum ini dia telah beberapa kali diingatkan bahawa peluang untuk memasuki bumi Serambi Mekah yang sedang bergolak ketika itu amat tipis sekali. Aceh sedang dalam keadaan darurat dan di bawah pemerintahan tentera. Buat masa ini tidak ada seorang pun orang luar yang dibenarkan masuk ke sana. Maka itu, ramai juga yang menganggap pemuda ini cuma menempah maut kerana hendak memasuki kawasan perang. Macamlah sudah tidak ada kerja lain boleh dibuat. Buang tebiat agaknya...

Rasyid hanya berserah bulat-bulat kepada Allah Subhanahuwata’ala. Pemuda ini sudah begitu lama kempunan hendak ke Aceh, lebih setahun menyimpan hasrat yang kuat... Makin ditunda makin terasa tidak bernyawa. Samada dapat masuk atau tidak, hidup atau mati biar Tuhan sahaja menentukan. Dia pasrah menerima segala kemungkinan. Setelah hampir dua jam menyusuri jalan, bas itupun sampai ke sempadan Sumatera Utara-Aceh. Ada pula military checkpoint, pos kawalan askar di hadapan…


Bahagian seterusnya berkenaan apa yang berlaku di sempadan akan dipaparkan dalam artikel kemudian. Di sini biar dipaparkan bahagian lebih relevan untuk penceritaan peringkat ini... daripada Bab 6 muka surat 40-41.


Telah ditakdirkan, Rasyid belum lagi dapat masuk lebih dalam. Askar-askar di pos sebelah sana ternyata lebih tegas, lebih banyak syarat yang diberi... Kata ketua mereka, pemuda itu bukan sahaja memerlukan surat keizinan Menteri Kehakiman di Jakarta malah surat kebenaran masuk daripada Panglima Tentera Aceh, pemerintah tertinggi TNI yang berpusat di Aceh. Apapun, sarjan di pos awal tadi memberikan sedikit lagi harapan. Katanya, kalau pemuda itu boleh mendapatkan surat izin masuk ke Aceh dari pihak konsulat Malaysia di Medan, mungkin ada lagi peluang.

Dengan sedikit harapan yang diberi, dia berjalan kaki meninggalkan sempadan Sumatera Utara-Aceh menyusuri jalan besar ke Medan. Walau terdapat beberapa buah pengangkutan awam, van-van sewa dan bas menghala ke arah yang sama, walaupun pemuda ini boleh menjimatkan tenaga dengan menunggu dan menaiki kenderaan-kenderaan yang lalu-lalang sepanjang jalan, Rasyid terus berjalan kaki tengah hari buta yang panas terik itu kerana masih belum pasti lagi ke mana hendak dituju. Walaupun dia tahu harus ke Medan untuk mendapatkan surat konsulat Malaysia sebagai jalan terakhir untuk masuk ke Aceh dengan cara yang sah, pemuda berdarah Aceh ini masih belum bersedia untuk bergerak jauh daripada bumi asal nenek moyangnya.. Maka itu dia berserah kepada Takdir untuk menentukan ke mana dia akan pergi selepas ini. Niat yang terbetik - mana-mana van atau pengangkutan awam yang berhenti tanpa ditahan lalu menjemputnya naik, itulah yang akan dipilih nanti. Ke mana destinasi kenderaan itu yang terakhir di situlah pemuda itu akan turun...

Kalau ke Medan, ke Medanlah Rasyid hari itu kemudian buatlah apa yang patut. Kalau destinasinya setakat ke pekan yang terdekat walaupun pekan itu cuma ada dua tiga pintu kedai sahaja, maka di situlah dia akan bermalam. Itu sahaja keputusan yang boleh dibuat dalam masa ini.

Setelah berjalan kaki sekitar 2km, barulah terdapat sebuah van yang berhenti tanpa ditahan. Pemandu van terus menyapa mengajaknya naik.Destinasinya adalah ke Pengkalan Brandan, 40km ke selatan. Teringat pula bas-bas dengan tulisan P. Brandan yang dilihat ketika meninggalkan Medan kelmarin.Entah apalah yang terdapat disana... Timbul juga rasa ingin tahu. Apapun yang ada, bukankah anak muda ini telah memasang niat untuk menurut sahaja keadaan dan kenderaan? Maka ke situlah dia pergi. Nampaknya, niat yang dibuat di Babussalam semalam untuk bermalam Jumaat di Aceh akan bertukar menjadi sesi bermalam di Pengkalan Brandan pula! Begitu mudah Tuhan boleh menukar arah perjalanan seseorang...



Maka cerita di dalam buku membawa kita ke Pengkalan Brandan, semua bandar pantai timur Sumatera yang terletak kira-kira 40 km ke selatan sempadan Aceh. Begitu juga halnya penceritaan 'Jejak "Berpetualang ke Aceh"'. Adapun selepas Tanjung Pura kami sampai ke sini waktu malam lalu mendapat tempat penginapan (gambar pertama). Esoknya Rabu 9 November 2011 saya pun memulakan proses membawa anak dan isteri melihat tempat-tempat yang pernah dijejaki Januari 2004 seperti diceritakan dalam buku. Dari tempat penginapan kami berjalan kaki ke pusat bandar yang terletak berdekatan.



Lalu di sebuah sekolah rendah. Sebelum ini terlihat sebuah surau yang agak menarik. Lihat artikel Langgar Haji Ahmad Intan, Pengkalan Brandan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Beginilah keadaan di pusat bandar. Nampaknya masih sesuai dengan catatan dalam buku yang dibuat begitu lama dahulu... daripada Bab 7, muka surat 77-78.


Tidak lama setelah meninggalkan sempadan Sumatera Utara-Aceh, Rasyid pun sampai ke Pengkalan Brandan. Bandar yang besarnya lebih kurang seperti pekan Semenyih di Negeri Sembilan ini merupakan salah sebuah bandar utama di daerah atau kabupaten Langkat. Malah ia adalah satu-satunya bandar pelabuhan di daerah ini yang pernah menjadi sebuah negeri berdaulat yang diperintah oleh keSultanannya sendiri.

Ketika itu, Zohor baru masuk. Seperti di Medan, Pengkalan Brandan agak riuh-rendah dengan penduduk berjalan-jalan di merata pekan... Dengan beca mencari pelanggan juga van pengangkutan awam tersusun rapi di sisi jalan mencari dan menunggu penumpang ke utara menghala ke Aceh atau ke selatan menghala ke Tanjung Pura dan Medan. Walaupun bandar ini jauh lebih kecil daripada Medan, ibukota Sumatera dan bandar kedua terbesar di Indonesia, ia juga nampaknya padat dengan penduduk dan aktiviti bermacam ragam. Suasananya hidup seperti orang berpesta di pasar malam. Boleh terasa kemeriahannya sepanjang jalan...

Agaknya memang budaya penduduk bandar di Sumatera suka berjalan, muda-mudi ada yang berpasangan, mereka yang berkeluarga membawa anak bersantai selepas tengahari dan waktu petang. Hendak dikatakan santai hujung minggu, hari itu hari Khamis, hari orang bekerja… Mungkin kerana suasana di sini kurang menekan, tidak terkejar-kejar seperti di Kuala Lumpur? Maka penduduknya ada lebih banyak masa untuk bersuka-ria...

Rasyid pula tumpang gembira dengan keadaan. Walaupun sedih kerana tidak dibenarkan masuk ke Aceh, dia berjalan seperti biasa sambil bertegur sapa dengan penduduk tempatan... Anak muda ini perlu berjaga-jaga kerana tidak mahu dikenali sebagai orang luar, apalagi sebagai orang Malaysia yang selalu datang membawa banyak duit ke Indonesia. Takut “dikacau” orang yang berniat jahat atau mereka yang ingin mengambil kesempatan.



Tetapi dahulu saya sampai selepas Zohor atau Zuhur masuk. Kali ini saya sampai bersama anak dan isteri sekitar jam 10 waktu tempatan. Hmm. Biar disambung sedutan buku agak panjang lebar. Dari muka surat 80-82.


Mencari masjid utama atau Masjid Raya Pengkalan Brandan bukanlah susah. Kebetulan jalan yang mula-mula dilalui semasa sampai di pekan ini adalah jalan utama. Maka tidak sampai 10 minit mencari sudah terjumpa masjid itu tanpa perlu bertanyakan arah kepada sesiapa. Sampai sahaja ke masjid, pemuda ini terus menghala ke serambi di mana terdapat ramai lelaki dewasa sedang berehat, sesetengahnya bersandar pada dinding masjid, ada pula yang nyenyak tidur di atas lantai marmar sambil menunggu masuk waktu Asar. Apa lagi, dia pun terus ke situ dan join sama…

Setelah memberi salam kepada orang di sana, Rasyid mengambil satu sudut selesa lalu meletakkan beg galas di atas lantai dan bersandar di atasnya. Rehat seketika, termenung memikirkan langkah seterusnya, mengimbas kembali, kenapa dia telah ‘diarahkan’ pergi ke Pengkalan Brandan ini... Renung dalam-dalam apakah hikmah di sebalik perjalanan ke Aceh yang terhalang pagi tadi... Kerana pengalaman hidup telah mengajar, mesti ada hikmah di sebalik sesuatu kejadian, tak kiralah apapun yang berlaku.

Zahirnya Rasyid terhalang kerana tidak memiliki surat perjalanan daripada Menteri Kehakiman di Jakarta. Tetapi pemuda itu percaya kalau ditakdirkan akan masuk ke Aceh pada waktu itu, dia tetap akan dapat masuk juga. Tidak tahulah bagaimana, mungkin kerana askar yang menjaga sempadan Sumatera Utara-Aceh terlupa hendak memeriksa? Tiba-tiba terasa lapar hendak makan atau sakit perut nak buang air, sebelum sempat menyuruh bas yang dinaiki anak muda itu berhenti?

Kalau Allah hendak beri, macam-macam boleh jadi... Jadi kenapa Rasyid tersangkut pula? Kenapa mesti sampai ke Pengkalan Brandan sedangkan tarikan hendak ke Aceh begitu kuat sejak dari Malaysia lagi? Apakah ada perkara lain yang perlu diselesaikan sebelum dapat masuk ke sana?

Setelah lama mengelamun, hatinya terbetik... Mungkin dia perlu mencari jejak Sultan Malikul Mansur terlebih dahulu, jejak cucu Sultan Malikus Salih yang disingkir dari takhta kerajaan Samudera kerana kesalahan mengambil seorang perempuan dari istana Pasai yang dimiliki kekandanya Sultan Malikul Mahmud? Mungkin itu missionnya di sini. Bukankah baginda meninggal dunia sebelum sempat kembali ke tanah air asalnya setelah lama hidup dalam buangan? Setelah lama bermastautin di Semenanjung Tanah Melayu, menjadi raja di Beruas tetapi tiap-tiap hari mengidam hendak kembali ke Samudera?Mungkin Rasyid perlu menyusuri perjalanan raja itu sebelum dia sendiri dapat “balik kampung”?

Tiba-tiba pemuda itu dikejutkan. Seorang lelaki yang turut berehat di serambi masjid datang menegur... “Saudara ini dari mana?” dia bertanya.

Rasyid menoleh lalu memandang muka orang itu. Nampak agak mesra. Dia menjawab: “Oh... Dari Kampung Babussalam tadi.” Sengaja tidak mahu bercakap banyak dengan harapan diterima sebagai warga tempatan.

“Hmm... Bagaimana boleh sampai ke sini?” orang itu bertanya lagi.

“Sahaja berjalan... Tak sangka boleh sampai ke Pengkalan Brandan!” jawab anak kelahiran Muar, Johor itu ringkas... Masih mengharap agar statusnya sebagai tetamu dari seberang tidak dapat dikesan.

“Saudara ni dari Malaysia ya?” orang itu bertanya lagi. Nampaknya hamba Allah ini dapat juga menangkap asal-usul Rasyid, daripada loghat dan cara percakapan... Bila orang sudah tanya begitu, anak muda itu tidak boleh berbohong. Lalu dia mengiyakan sambil menganggukkan kepala..

Orang itupun menyambung: “Memang banyak orang Malaysia datang ke Babussalam. Orang Tariqat, belajar agama hendak mendekati Allah.”

Kebetulan Rasyid memakai kopiah di kepala. Walaupun pakaian lainnya seperti seluar cerut dan t-shirt buruk agak rugged, kopiah itu sedikit-sebanyak menampakkan rupa orang beragama. Nampaklah rupa Islam. Dia pun menceritakan sedikit pengalaman di Babussalam... Tentang perasaan, tentang gerak hati yang mengatakan ada sesuatu tidak kena dengan perkampungan itu. Seolah-olah roh agama tempat itu tidak sesuci dahulu, tidak seperti semasa pengasasnya Sheikh Abdul Wahab yang dianggap wali besar dan khalifah tariqat Naqsyabandiah di Sumatera masih hidup lagi.

Seorang lagi penghuni masjid muncul dari sebelah lalu menyampuk: “Memang khalifah Babussalam sekarang ini bukan yang sebenar. Orang yang sepatutnya menjadi khalifah ada di sini, di sekitar Pengkalan Brandan.”

Ketika itu sudah ramai yang memasang telinga mendengar cerita. Perbualan itu disambut orang lain pula. Mulalah mereka berbual mesra berkenal-kenalan. Dan seperti biasa anak Malaysia itu tidak boleh berbohong apabila ditanya. Maka terkeluarlah cerita dia pernah menjadi wartawan selama lima tahun, kemudian tiga tahun tidak bekerja merayau merata tempat mencari jawaban kepada beberapa persoalan yang membelenggu jiwanya. Terkeluar juga cerita bagaimana Rasyid boleh sampai ke Pengkalan Brandan, tentang niat asalnya dari Medan singgah ke Babussalam hendak masuk Aceh tetapi disuruh patah balik oleh pihak tentera... Bagaimana dia naik van lalu sampai ke sini, semuanya kerana mengikut gerak hati!

Di antara mereka ini, ada seorang yang paling banyak bertanyakan hal dan asal-usul Rasyid, Buyung Sharif namanya. Dia mengaku bekerja sebagai seorang wartawan juga, kalau tidak silap dengan akhbar harian Tempo yang berpusat di Medan tetapi sebagai wakil di Pengkalan Brandan. Buyung lah yang memberitahu bahawa kopiah yang dipakai anak Malaysia itu adalah sejenis kopiah Aceh. Kopiah Aceh? Tetapi dibeli di Masjid India, di Kuala Lumpur… Buyung kata memang rekabentuknya, corak jahitan dan perhiasannya jenis buatan Aceh. Patutlah Rasyid terus tertarik melihat kopiah hitam bercorak seperti awan larat berwarna merah ini semasa sibuk membuat shopping last minute untuk pakaian hari raya, dua tahun lalu. Tidak perlu berfikir panjang, terus tergerak untuk membelinya. Agaknya memang terselit citarasa orang Aceh di dalam dirinya? Walaupun pemuda ini cuma tahu yang dia mempunyai darah Aceh kira-kira setahun lalu?

Perbualan mereka terhenti apabila kedengaran azan. Semua yang hadir termasuk mereka yang tadi tidur nyenyak di serambi bangun untuk mengambil wuduk kemudian masuk ke dalam masjid untuk solat Asar. Selepas solat, Rasyid sempat pula bertemu dengan beberapa orang pengikut jemaah tabligh yang cara percakapannya saling tak tumpah seperti orang utara Malaysia, seperti orang Kedah gayanya... Rupa-rupanya mereka berasal dari Kampung Kedah, perkampungan orang-orang yang dua tiga keturunan dahulu berasal dari Kedah, tidak berapa jauh dari masjid ini.

Semasa keluar masjid menuju kembali ke serambi pula pemuda itu ditegur seorang tua, lebih kurang sebaya ayahnya, dalam lingkungan umur 60 tahun begitu yang mengenalkan dirinya sebagai Pakcik Hassan.

“Sebut sahaja Hassan Oka. Orang di sini kenal sama saya,” katanya.

Orang tua itu bertanyakan serba sedikit tentang latar-belakang Rasyid, bagaimana boleh sampai ke Pengkalan Brandan... Setelah mendapat tahu dia datang dari Malaysia, Pakcik Hassan Oka terus menjemput bermalam di rumahnya. Katanya, jika mahu, pemuda itu boleh ikut dia ke rumah sekarang dengan membonceng basikalnya. Rasyid jawab dia perlu menyambung perbualan dengan kawan-kawan yang baru dikenali di serambi masjid terlebih dahulu. Pakcik itupun menunjukkan arah ke rumahnya. “Tak susah, ikut belakang masjid inipun boleh. Ada lorongnya. Kalau tak jumpa tanya sahaja di mana rumah Hassan Oka. Semua orang kenal sama saya!”



Saya sempat membawa isteri ke bahagian serambi tempat saya berkenalan dengan orang-orang masjid dahulu. Oh. Satu pembetulan untuk sedutan di atas. Saya ada menyebut tentang Kampung Kedah. Sebenarnya saya tersilap ingatan. Ia adalah Kampung Perlis. Namun loghatnya kan sama dengan loghat orang Kedah? Lagipun Perlis dahulukala memang sebahagian daripada Kedah.

Oleh kerana kami sampai bukan pada waktu solat jemaah, pintu masuk pun berkunci dan masjid sunyi. Yang ada cuma seorang warga tempatan sedang berehat. Sambung sedutan panjang lebar... muka surat 83-87.


Pergaulan Rasyid dengan orang-orang di Pengkalan Brandan terutama pengunjung tetap masjid agak mesra walaupun baru sahaja berkenalan. Tidak seperti di Medan di mana dia terasa was-was untuk bergaul dengan penduduk tempatan (kecuali Kak Dewi, abang Arman, adiknya Apin dan keluarga), pemuda itu terasa begitu selesa dengan mereka seolah-olah sudah lama berkenal-mesra. Mungkin kerana orang-orang ini ahli masjid? Maka mereka dengan senang hati menerima kehadiran tetamu sebangsa dan seagama dari seberang itu? Sebagai orang Islam, apalagi pengunjung tetap masjid, mereka mestilah menghormati tetamu, apalagi yang sama-sama Islam dan Melayu... Kalau ikut adat orang lama pun, harus diajak bertamu selama tiga hari. Atau mungkin juga orang di sini lebih mesra disebabkan keadaan dan gaya hidup mereka yang lebih santai? Sedangkan Medan yang pembangunannya pesat, harga barang mahal berserta suasana metropolitan mementingkan diri sendiri menyebabkan penduduknya lebih banyak memikirkan duit dan untung-rugi daripada kebajikan masyarakat...

Apapun, kalau difikirkan balik, manusia bergaya samseng yang ditemui Rasyid di Medan adalah orang jalanan yang mungkin “berpengkalan” di tempat-tempat tertentu sahaja. Cuma pemuda itu sahaja tidak tahu kawasan mana yang “panas”, kawasan manakah yang lebih selamat… Sepertimana jika seseorang itu sampai ke Kuala Lumpur dan kebetulan lalu di kawasan yang banyak kutu rayap, banyak muka gangster dan “kaki pau”, mungkin di sebahagian hentian bas Puduraya, mungkin di beberapa ceruk sekitar Central Market atau lorong-lorong sempit di belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Chow Kit. Jika dia kelihatan seperti orang luar, orang yang baru sampai ke kota dan tidak tahu selok-belok tempatan, kemungkinan besar orang itu akan dikacau, diacah-acah dan diuji samada timbul rasa cuak, takut ataupun tidak. Kalau agak-agak boleh “dimakan”, kemungkinan besar dia akan kena “pau”, kena bagi duit untuk menyelamatkan diri... Kalau tidak pun kena buli seperti disuruh buat ketuk-ketampi kerana orang-orang jalanan seperti ini selalunya memang kaki buli, sahaja seronok tengok orang gelabah, terpaksa menurut cakap dan titah perintah mereka.

Rasyid faham gelagat orang-orang sebegini kerana dia sendiri pernah dibuli dan digertak semasa umur belasan tahun di sekolah asrama oleh pelajar senior. Ada pula pelajar mengaku mengenali kaki pukul di luar supaya digeruni ramai. Sampai satu masa, pemuda itu juga mula bergaul dan berkawan dengan gangster dan mula lali dengan gelagat mereka.

Orang-orang jalanan selalunya cukup bangga kalau dapat jadi gangster, atau ada hubungan dengan gangster... Suka ‘diiktiraf’ sebagai kaki pukul, lebih seronok lagi jika diketahui “ngam” dengan gangster-gangster besar yang terlibat dengan jenayah berat seperti merompak, mengedar dadah malah membunuh! Maka itu ramai di antara mereka ingin tunjuk handal, tunjuk besar kepala di hadapan khalayak ramai seolah-olah dunia ini berada di dalam genggaman mereka. Gangster yang terasa ada class atau taraf, ada gaya dan citarasa pula sering tunjuk lagak di kelab-kelab malam, kemudian sahaja cari alasan untuk bergaduh tunjuk kuat pada semua orang…

Sepanjang pengalaman Rasyid merantau ke sana ke mari, pernah bertembung dengan samseng-samseng kulit putih juga kulit hitam di England yang cuba menggugut tetapi menarik diri apabila terpandang matanya mula kelihatan merah semacam, mereka yang betul-betul handal jarang menonjolkan diri kerana tidak suka membuang masa dengan perkara remeh-temeh dan tidak mahu dikenali pihak berkuasa… Selalunya orang yang betul-betul handal dalam dunia underground, dunia gelap bawah tanah lebih “pandai makan pandailah simpan.” Kalau boleh jejak tindakan mereka tidak mahu dikesan, senyap tetapi dapat mencapai matlamat... Ibarat ninja mencantas mangsa, ibarat assasin, pembunuh upahan yang tanpa disedari pihak lawan telah berjaya memasuki kawasan yang dikawal ketat, menjalankan tugas kemudian keluar tanpa dapat dihidu kehadiran.

Kebanyakan mereka yang menjalankan aktiviti tidak sihat di jalanan adalah jenis “kurang handal”... Bolehlah bersilat sedikit-sebanyak, bertinju atau “bertomoi”, tahu kick-boxing dan sebagainya, kira handallah juga pada kebanyakan orang tetapi bukan sebenar-benarnya handal. Mereka ini sering bersikap seperti lalang yang sentiasa mahu menegak, tidak faham resmi padi yang semakin tunduk semakin berisi. Lalu ramai yang suka menjadi jaguh di kawasan sendiri, dengan dikelilingi rakan-rakan “sealiran” yang sedia membantu jika apa-apa terjadi. Bila disuruh mengembara seorang diri cari pengalaman di tempat orang mulalah kecut perut mencari alasan…

Sebab itu wujud istilah gangster kampung yang lagaknya tidak ubah seperti Sarip Dol, samseng Kampung Dusun dalam cerita P. Ramlee, “Seniman Bujang Lapok”. Orang seperti ini paling pantang tengok orang luar masuk kampungnya. Mesti hendak dicuba, kalau dapat hendak dibulinya sepuas hati. Hendak tunjuk kejantananlah konon, tunjuk terror. Kawan-kawan pun boleh tumpang gelak dan dia pula terasa dirinya gah, hebat...

Semasa mula sampai di Masjid Raya Pengkalan Brandan tadi ada juga orang yang cuba menggertak Rasyid dengan menegurnya secara kasar dan biadab... Lalu bertanya kenapa pemuda itu boleh sampai ke daerah itu dengan nada memerintah, seolah-olah dia sedang bercakap dengan seorang budak hingusan dan mentah, ada hati hendak menguji keberaniannya.

Mula-mula anak Malaysia ini menjawab dengan elok kerana tidak mahu menimbulkan apa-apa ketegangan, setakat memberitahu bahawa dia cuma mengikut gerak hati lalu sampai ke Pengkalan Brandan, setelah tidak dibenarkan masuk ke Aceh pagi tadi... Tidak ada rancangan pun hendak ke tempat ini, tidak pernah terfikir pun wilayah ini wujud di mukabumi... Cuma Takdir sahaja menentukan dia boleh sampai ke sini...

Kemudian orang itu bertanya pula jika Rasyid ada membawa banyak duit, masih dengan nada biadab dan memerintah. Apabila ditanya balik kenapa, katanya kerana setahunya, orang Malaysia kaya-raya belaka. Adakah patut bertanya begini? Apa punya adat? Adat Sarip Dol agaknya.

Rasyid mula terasa marah tetapi cuba menyembunyikan keadaannya. Lalu menjawab dengan nada yang tegas tetapi terkawal. “Kalau saya banyak duit, tentu saya tidak akan sampai ke sini. Buat apa pergi ke Pengkalan Brandan? Ini bukan tempat pelancongan. Kalau saya banyak duit tentulah saya sudah pergi ke Danau Toba. Atau mana-mana tempat orang biasa pergi. Apa ada di sini sampai saya perlu menjejakkan kaki?”

Mendengarkan jawaban yang “separuh kurang ajar” ini, orang itu terus terdiam. Mata Rasyid pula merenungnya tajam, tidak berkelip langsung! Tetapi tidak pula terlalu tajam seperti mahu memukul orang. Setakat hendak menghantar “message” jangan cuba-cuba hendak membuli...

Akhirnya orang itu tidak berani bertentang mata lagi lalu kepalanya tertunduk ke bawah. Selepas itu barulah dia bercakap dengan lembut. Rasyid sedia menyambut dan mereka pun mula berbaik-baik. Pemuda ini datang bukannya hendak mencari musuh apalagi hendak mencari gaduh. Tetapi kalau orang hendak juga mencari pasal, dia tidak boleh memberi peluang. Nanti tidak habis-habis diganggu! Jangan sampai dia tidak ada pilihan… Alangkan tikus kecil yang tersepit pun akan menerkam menggigit balik walaupun pihak yang menghimpit itu sebesar gajah inikan lagi anak muda berdarah Aceh yang tahu sedikit-sebanyak ilmu berperang.

—————————————

Masuk jam 6 petang, Buyung Sharif muncul kembali di laman masjid lalu mempelawa Rasyid untuk bersiar-siar menaiki skuter buruk. Singgah sebentar di rumah kakaknya di pinggir pekan kemudian, bapa kepada beberapa orang anak itu (kata orang Buyung beristeri dua, ada kata tiga) membelanjanya minum kopi dan makan serabi, sejenis kuih seperti apam yang dimakan dengan kuah durian di sebuah warung belakang masjid.

Pada waktu malam, setelah selesai solat Maghrib, pemuda itu berjalan kaki mencari rumah Pakcik Hassan Oka, mengikut arah yang ditunjukkan siang tadi. Kalau tak salah ingatan, letaknya berdekatan kawasan penempatan bernama Sei Kelah. Rasyid sudah lupa nama tempat itu tetapi masih ingat arah sampai sekarang. Memang pemuda ini selalu terlupa alamat rumah, nama jalan dan tempat, juga nama orang tetapi boleh mengecam rupa rumah atau tempat, juga lokasinya melalui landmarks, bangunan-bangunan tertentu di sepanjang jalan. Begitu juga dia mengecam muka orang, dengan mengenali ciri-ciri yang menonjol pada muka seseorang.

Oleh kerana anak muda ini kurang pasti lorong manakah yang patut diikuti daripada belakang masjid, dia menurut sahaja jalan besar menghala ke pasar sebelum menyusuri tepi sungai. Sampai ke simpang tiga dengan sebuah jalan yang menurut orang sekitar menuju ke rumah Hassan Oka, tiba-tiba Rasyid déjà vu, terasa seperti pernah melihat tempat ini suatu masa dahulu... Hakikatnya, inilah kali pertama dia sampai ke sini malah mana-mana di Indonesia tetapi apa yang terbentang begitu jelas seperti kelihatan entah bila. Simpang tiga dengan jalan besar bertemu sebuah jalan kecil... Di kiri jalan kecil pula terdapat pondok dua tingkat seperti pos askar tanpa orang di dalam dengan sebuah lampu minyak terpasang terang.

Ah... memang pemuda ini pernah melihatnya dalam sebuah mimpi entah beberapa tahun yang lalu. Agaknya memang telah diTakdirkan dia mesti sampai ke Pengkalan Brandan suatu hari nanti? Tetapi tidak pasti lagi untuk apa. Cuma hati kecilnya berkata, ada kena-mengena dengan Aceh juga…

Dipendekkan cerita, Rasyid sampai ke rumah Hassan Oka lalu disambut baik pakcik itu dan isterinya yang cuma tinggal berdua di rumah. Sementara menunggu Isyak dan makan malam disediakan, mereka duduk di serambi menghisap rokok dan minum kopi. Terkeluarlah kisah tujuan pemuda itu ke Sumatera ini serta kaitan keluarganya dengan Aceh... Sebab-musabab anak kelahiran Muar, Johor itu terasa perlu menjejakkan kaki ke bumi Serambi Mekah iaitu untuk menyambung wasilah diri dan keluarga di sana...

Pakcik Hassan pula mendedahkan bahawa nenek moyangnya berasal daripada keluarga diraja Siak. Agaknya Rasyid memang ditakdirkan ke sini untuk menyambung silaturrahim dengan beberapa keturunan diraja di Sumatera kot? Agaknya sebab itu pakcik ini boleh mengajaknya bertandang ke rumah tanpa banyak bertanya sedangkan orang tua itu tidak pernah mengenali pemuda itu, tidak tahu apakah dia itu orang baik ataupun penyangak. Di antara mereka seolah-olah wujud semacam bentuk komunikasi, satu current atau aura yang tidak kelihatan tetapi cukup kuat untuk menyatakan mereka mesti berhubung dan saling kenal-mengenali antara satu sama lain... Satu bentuk hubungan yang menyatakan mereka adalah keturunan orang baik-baik, maka tidak perlu disangsikan niat dan isi hati mereka malah perlu diberi pertolongan jika ada yang memerlukan.

Mungkin inilah yang sebenarnya berlaku semasa Rasyid mula sampai ke Sumatera... Mungkin kerana wujud semacam daya tarikan antara mereka yang berdarah raja, maka itulah juga yang terjadi dengan Hassan Oka? Sepertimana Kak Dewi yang dikenali dalam feri dari Pulau Pinang ke Belawan boleh mengajak bertandang ke rumahnya di Medan apabila Rasyid memberitahu dia mesti melawat Istana Maimon iaitu Istana keSultanan Deli di sana... Rupa-rupanya suami Kak Dewi iaitu abang Arman berasal daripada keturunan Sultan Serdang, satu pecahan keSultanan Deli yang mengikut cerita beberapa masyarakat setempat lebih layak menaiki takhta kerajaan Deli daripada beberapa orang Sultan Deli kebelakangan ini.

Malam itu Rasyid tidur dengan perut yang kenyang, nyenyak di hamparan tilam yang selesa... Setelah dihidangkan beberapa hidangan kampung termasuk gulai ikan yu masakan Aceh. Keesokan paginya, sebelum bergerak ke kebun, Pakcik Hassan telah memberikan pesanan supaya pemuda itu duduk berehat di rumah ataupun berjalan-jalan.

“Suka hati kamulah apa hendak dibuat tapi bila malam nanti baliklah ke rumah ini,” katanya sambil menolak basikal buruknya keluar.



Saya tak pasti jika pernah berjumpa warga yang ada di masjid ini tadi. Dia juga tidak ingat jika ada bertemu saya lebih 7 tahun lalu. Tetapi dia tahu bila disebut tentang Buyung Sharif dan Pakcik Hassan Oka. Katanya Buyung masih datang ke masjid tetapi tidak selalu. Pakcik Hassan pula sudah kembali ke rahmatullah lebih setahun lalu. Innalillah...

Apapun saya mengharap dapat berjumpa sekurang-kurangnya si Buyung apabila masuk waktu Zohor. Namun masih ada banyak waktu untuk berjalan lalu saya pun membawa anak dan isteri ke destinasi seterusnya dalam ingatan. Biar disambung sedutan, muka surat 87-88...


Memandangkan terdapat beberapa helai pakaian kotor yang belum dibasuh sejak perjalanan “Berpetualang ke Aceh” dimulakan, semenjak meninggalkan Kuala Lumpur lebih seminggu lalu, Rasyid menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu secara “manual” kerana tidak ada washing machine... Kemudian menggantung pakaian yang dibasuh di ampai belakang dapur. Selesai mandi dan sarapan, pemuda inipun berjalan kaki ke masjid raya mengikut short-cut, jalan pintas yang telah ditunjukkan Pakcik Hassan.

Sampai sahaja di masjid, Rasyid terus mencari rakan-rakan yang dikenalinya semalam. Ternyata mereka tiada kerana masing-masing sibuk bekerja, tinggal pakcik penjaga masjid sedang membersihkan persekitaran di luar. Pemuda itupun berbaring sekejap di serambi, tertidurlah dalam sejam begitu. Sebaik sahaja terbangun, kakinya mula menggatal hendak berjalan tetapi tidak pasti ke mana... Maka seperti biasa, dia pun main redah ikut gerak hati, berjalan kaki mengikuti jalanraya utama yang setentang dengan masjid kemudian menyeberangi jambatan merentangi sebuah sungai kecil lalu sampai ke sebuah pasar di mana orang sedang berniaga hasil tani.

Dari sana, anak muda itu tergerak pula untuk berjalan terus ke hujung pasar sehingga sampai ke sebuah simpang. Timbul rasa untuk belok ke kiri dan berjalan lagi sampai ke hujung lalu terjumpa sebuah jeti berbumbung sederhana besar yang cantik berhias dengan ukiran awan-larat, seluruh bangunannya dicat kuning, barulah terasa hendak berhenti rehat.



Kami menyusuri jalan yang pernah saya ikuti menurut gerak hati dahulu. Lihat artikel Walking at the market area of Pengkalan Brandan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Jauh juga kami berjalan mencari jeti dengan bangunan bercat kuning yang dimaksudkan dalam sedutan. Apabila bertanyakan orang ditunjukkan sebuah jeti yang ternyata berdekatan masjid, bukan jeti yang dicari. Kami pun berpatah balik. Singgah di sebuah surau. Lihat Mushalla Al Hidayah, Pengkalan Brandan.


Kemudian saya tergerak untuk mencuba lorong berdekatan surau, lorong yang sudah dilepasi tadi.


Kelihatan papan-papan bercat kuning... kuning kejinggaan sebenarnya menunjukkan pernah berdiri bangunan berwarna itu di tempat ini.


Patutlah apabila ditanya orang menunjukkan jeti lain. Rupa-rupanya bangunan di sini telah dirobohkan dan jeti tidak lagi dibuka kepada umum. Yang ada cuma tambatan untuk ke rumah-rumah berdekatan. Sekarang biar disambung sedutan sambungan dari buku. Biar dipersembahkan panjang lebar hal yang terbit di fikiran ketika berada di jeti sepertimana terdapat pada muka surat 88-93.


Rasyid naik ke atas jeti. Kelihatan sebuah sungai yang agak luas, lebih kurang seluas Sungai Muar di bahagian kuala. Pemuda itu mengambil satu sudut yang selesa untuk menikmati pemandangan indah sungai yang luas dengan ramai orang sedang berperahu merata di permukaan air. Di seberang sungai kelihatan sebuah kampung yang terdiri di atas pelantar kayu atas air, berlatar-belakangkan hutan kayu bakau saujana mata memandang. Suasana dan pemandangan itu sungguh mempesonakan. Terasa begitu tenang dan aman, sudah lama betul dia tidak merasa damai sebegini...

Tiba-tiba anak muda itu terasa seolah-olah jiwanya ditarik satu kuasa anih memutarnya kembali ke tahun 60an (walaupun tidak pernah mengalaminya kerana dilahirkan tahun 70)... Balik pada suatu zaman di mana kehidupan lebih santai dan aman damai. Kata orang putih, simple life... Hamba Allah ini amat merindukan suasana kampung sejati di mana manusia tidak terkejar-kejar mencari dunia seperti sering dilihatnya sekarang. Rasanya, di Malaysia sekarang ini susah sungguh hendak terjumpa kampung yang betul-betul dapat memberikan rasa aman damai yang pernah dikecapi seperti semasa dia kecil-kecil dahulu. Zaman telah begitu jauh berubah dan manusia semakin mementingkan diri sendiri, kononnya di atas nama kemajuan. Semuanya nafsu-nafsi, seolah-olah tidak wujud lagi rasa kasih-sayang sejati yang tidak meminta pembalasan budi...

———————————————

Sebagai anak muda yang sempat membesar dalam zaman “Buku Hijau” bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak kemudian melalui zaman pentadbiran Tun Hussein Onn, Rasyid merasakan orang Melayu seperti dahulukala yang sangat mesra alam, sayangkan kehijauan kampung halaman serta tidak hairan pada harta menimbun sudah hampir pupus. Sejak akhir tahun 80an, pemuda itu dapat melihat bagaimana anak-bangsanya telah diajar untuk menggunakan segala kebolehan yang ada, segala resources atau hasil dalam tangan lalu menggadai tanah, kebun dan sawah milik keluarga turun-temurun untuk mengejar apa-apa peluang membuat duit, menghambat kekayaan dan kesenangan materialistik zaman sekarang... Walaupun ini akan menyebabkan mereka mulai tamak-haloba dan hilang budi-bahasa kebanggaan bangsa, mulai jadi manusia yang kurang-ajar. Segalanya harus berubah atas nama pembangunan!

Berbagai alasan telah dikemukakan atas nama kemajuan dan kemodenan.Konon ini semua perlu, “anjakan paradigma” dan “perubahan minda” mesti dilakukan supaya orang Melayu dapat bersaing dengan bangsa lain terutama Cina... Kata Orang Putih, to join the rat race, supaya dapat memenuhi sasaran Bumiputera menguasai kek ekonomi negara sekurang-kurangnya 30 peratus, tidak ketinggalan dalam perlumbaan mencari harta. Lalu ramai yang berhijrah ke bandar besar untuk mencari kehidupan lebih sejahtera yang kononnya dapat diukur dari segi pencapaian wang ringgit. Banyak pula yang mula berubah perangai dan jadi lupa diri apabila terasa sudah moden, up to date... Lalu rambut yang hitam arang bertukar jadi blonde, loghat Kedah jadi pelat palsu British dan Amerika, makan pakai tangan sudah geli, mesti pakai sudu dan garfu sahaja!

Natijah perubahan tatacara hidup yang sangat nyata akhir 80an menyaksikan kemunculan ramai OKB – Orang Kaya Baru dalam persada perniagaan juga politik negara. Mereka adalah orang-orang kaya Melayu yang berjaya diwujudkan melalui pelbagai program tajaan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup Bumiputra termasuk proses pengswastaan yang menyaksikan ramai bekas pegawai kerajaan menjadi ahli perniagaan dan korporat segera... Termasuk di kalangan mereka adalah orang Melayu yang mempunyai “kabel” atau talian politik yang membolehkan mereka memperolehi hasil durian runtuh daripada pengagihan pink slip, saham-saham Bumiputra yang diterbitkan melalui polisi 30 peratus Bumiputra ownership yang diwajibkan terhadap syarikat luar yang ingin beroperasi di Malaysia. Maka pada ketika syarikat-syarikat luar diberi pelbagai insentif menarik untuk melabur dan membuka anak syarikat di Malaysia, ramai mendapat untung atas angin lalu menjadi para OKB dalam sekelip mata!

Pada masa itu juga muncul anak-anak muda gaya baru sebaya Rasyid yang datuk-neneknya dahulu pernah berhempas-pulas berkebun dan bersawah. Atas nama kemajuan, anak-anak berbapakan para OKB ini seolah-olah diajar untuk melupakan sejarah silam keluarga demi mencipta identiti baru yang dikira lebih ranggi dan selari dengan status sebagai orang bandar. Sesetengah daripada mereka masih memiliki sepupu yang leka bermain dengan lumpur di luar bandar tetapi mereka pula mendakwa tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung-kampung, kononnya jijik, kotor, tak standard. Maklumlah, mereka dibesarkan di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru, tidak pernah kenal erti kehidupan kampung, tidak tahu keseronokan mengejar anak ayam dan dipatuk angsa berang! Lalu terdapat anak-anak Melayu yang baru beberapa tahun menjejakkan kaki ke luar negara, sesetengahnya setakat pernah duduk setahun dua di England semasa kecil kerana mengikuti ibu-bapa yang menyambung pengajian ke peringkat Masters... Tetapi berani mendakwa kepada kawan-kawan di Malaysia bahawa mereka telah dibesarkan hampir seumur hidup di London dan bila balik kononnya tidak tahu berbahasa Melayu!

Masuk tahun 90an pula, Rasyid melihat suasana kampung dan luar bandar turut berubah apabila budaya “serba moden” bandar mula menyelinap masuk ke dalam. Rumah-rumah kayu yang memilki character tersendiri sebagai identiti dan jati-diri Melayu dari pelbagai daerah dan pecahan ras bangsa banyak telah dirobohkan atau direnovate untuk dijadikan rumah batu seperti di bandar juga. Penduduknya pula semakin mementingkan diri sendiri, nafsu-nafsi belaka sehingga kawasan dan halaman rumah jiran yang dahulu pernah menjadi tempat permainan anak muda itu dan kawan-kawan tergolek dikejar angsa telah dipagar-tutup supaya orang ramai tidak boleh lagi menumpang lalu. Kononnya takut diceroboh pencuri... Maka tidak ada beza lagi kampung dan bandar kecuali dari segi kepesatan pembangunan dan jumlah bangunan tinggi. Semuanya mementingkan diri sendiri, yang tinggal Melayu cuma sifat hasad dan dengki.

Sekarang, kalau mahu merasa suasana aman damai kampung yang suci murni, kita terpaksa pergi jauh mencari kampung terpencil di pinggir hutan. Malah pinggir hutan pun belum tentu selamat daripada arus pembangunan yang membawa kepanasan dosa manusia yang tamak-haloba... Terpaksa pergi lebih jauh masuk ke dalam, barulah ada sedikit kedamaian. Kemajuan material yang dikejar-kejar memang telah memberi banyak manfaat kepada bangsa Melayu yang dahulu sering merasa kerdil selepas hidup lama di bawah ketiak penjajah tetapi apakah harganya? Apakah kesannya terhadap hati dan jiwa kita?

Memang sudah menjadi adat manusia... Mereka yang hidup di kampung kepingin hendak menghirup kehidupan berwarna-warni serba-moden di bandar-bandar besar tetapi mereka yang telah merasa segala macam nikmat duniawi urbanisasi yang disertai hiruk-pikuk yang membingitkan akhirnya ingin kembali mendekati alam semulajadi di kampung. Dulu semasa dibesarkan di Muar, di kawasan pinggir bandar yang bukan kampung tetapi dirasanya seperti kampung, Rasyid selalu bermimpi hendak melihat bandar kelahirannya menjadi sebuah kotaraya besar seperti Kuala Lumpur... Selalu ternanti-nanti bilakah Muar akan memiliki jalan double-lane, jejantas bertingkat juga lampu isyarat kerana seingatnya itupun belum wujud di situ ketika dia masih menuntut di sekolah rendah lebih 25 tahun dahulu. Semasa itu, dia amat mendambakan pembangunan besar di daerah kelahirannya sehingga angan-angan untuk melihat Muar memiliki bangunan pencakar langit terbawa-bawa ke tempat tidur!

Ketika sedang duduk mengelamun di Tanjung Emas, di kuala Sungai Muar sambil menikmati angin laut pula, pemuda ini sering berimaginasi, jika memiliki kuasa ajaib atau superpower, ada kekuatan magic yang boleh mencabut dan mengalihkan bandar-bandar, maka dia akan mengambil secebis kota New York bersama secebis kota London lalu mengaturnya di kedua-dua tebing sungai supaya Muar menjadi kotaraya besar, jauh lebih besar dari Kuala Lumpur yang sering disebut-sebut orang. Semasa itu, Muar yang dianggap bandar kedua terbesar di Johor selepas ibu negerinya Johor Bahru cuma merangkumi sedikit bahagian selatan sungai... Terlalu kecil untuk memuaskan imaginasi suburnya yang sering membayangkan kehebatan serta kepesatan kota-kota besar dunia seperti London dan New York seperti dilihat.dalam buku, poskad dan majalah, juga rancangan televisyen yang menjadi sajian harian zaman kanak-kanaknya.

Lagipun Rasyid cukup berminat dengan bangunan tinggi dan megah menggapai awan, sudah lama tertarik dengan rekabentuk infrastuktur hebat seperti Empire State Building di New York dan Sears Tower di Chicago. Maka dia kecewa kerana semasa itu, sebelum awal 80an, Muar belum lagi memiliki bangunan yang lebih tinggi dari lima tingkat, apalagi pencakar langit 30 tingkat ke atas seperti di Kuala Lumpur ataupun Singapura... Sampailah satu masa nanti, kalau tidak salah ingatan selepas Rasyid masuk sekolah menengah apabila bangunan UMNO Cawangan Pagoh setinggi 12 tingkat didirikan di sebelah stesyen bas. Lalu dia cukup berbangga Muar sudah ada bangunan tinggi, boleh dijadikan modal bercerita kepada kawan-kawan yang datang dari seluruh pelusuk tanah-air di sekolah asramanya, Sekolah Menengah Sains Johor di Keluang..

Sekarang semua itu tidak begitu penting baginya... Bukan keperluan hidup yang dapat menjamin kebahagiaan atau kesejahteraan sesiapa. Rasyid masih sukakan bangunan tinggi lagi megah, cuma tidak lagi kuat seperti dahulu. Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah tentu dia merasa bangga apabila Kuala Lumpur berjaya memiliki bangunan tertinggi di dunia (sekarang entah ke berapa kerana sudah banyak negara lain membangunkan bangunan yang lebih tinggi) iaitu menara berkembar Petronas... Sudah merasa bersantai di zon eksklusif tingkat 88 bangunan itu, juga pernah menikmati hidangan buffet restoran berpusing menara Telekom di Bukit Nenas yang membolehkan pelanggan melihat pemandangan setiap sudut kotaraya daripada aras ketinggian 300m!

Hamba Allah berjiwa halus ini juga masih meminati infrastruktur besar seperti lebuhraya dan persimpangan bertingkat yang boleh didapati hampir di mana-mana bandar besar Malaysia kini, masih boleh terpesona melihat bahu batu gergasi yang menyokong lebuhraya MR2 (Middle Ring Road) terutama di persimpangan Ampang berhampiran pusat membeli-belah Ampang Point. Tetapi dia lebih merindukan suasana damai aman tenteram, bukan ribut traffic jam, orang kelam-kabut mengejar masa dan duit seperti sering dilihatnya sekarang... Orang lebih banyak menyamakan masa dengan duit, bukannya anugerah Allah Ta’ala untuk manusia mengenali Pencipta dan perbuataanNya.

Banyak perubahan zaman sekarang yang Rasyid rasa kurang berkenan. Dia melihat kesibukan untuk memajukan diri masing-masing telah menyebabkan orang Melayu yang dahulu cukup terkenal dengan adab sopan juga rasa keprihatinan dan semangat ukhuwah yang tinggi sudah tidak berapa pedulikan lagi nasib orang lain walau yang sebangsa dan seagama dengan mereka... Malah kebanyakkannya sudah pandai menipu dan “menyembelih” anak bangsa sendiri demi mencari kekayaan dalam dunia yang semakin kehilangan arah dan pedoman. Pada Rasyid, bangsanya tidak lagi mementingkan budi pekerti elok dan akhlak mulia yang sejati. Kalau ada pun, mereka setakat memandang budi pekerti zahir penuh kepura-puraan yang sering dibuat-buat untuk mencapai sesuatu matlamat, budi pekerti PR atau Public Relations yang menjadi kebanggaan para hipokrit! Maka hatinya sering menjerit.. Ke manakah perginya kejujuran, keikhlasan dan rasa kasih sayang yang sebenar? Apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu sekarang? Apakah berbaloi dikorbankan segala sifat mulia yang pernah menghiasi anak bangsa semata-mata untuk menjadi kaya-raya dan berkuasa, supaya di pandang hebat masyarakat? Inikah natijah segala usaha untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain?

Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.

Ke manakah perginya jati diri Melayu sebenar yang tidak hairankan harta dan pangkat, tidak boleh dibeli dengan apa bentuk imbuhan keduniaan apalagi rasuah yang menjadi penyakit manusia sekarang? Ke manakah menghilang hati-budi sejati bersuluh Nur Iman pancaran cahaya Ilahi yang tahu menilai budi pekerti mulia dan keikhlasan diri yang tidak mengharapkan balasan? Apakah terjadi kepada sifat-sifat mulia yang patut menjadi pakaian harian seorang Islam? Betul, zaman telah berubah dan arus kemodenan tidak dapat dielakkan... Tetapi adakah kita harus membuang segala yang lama sehingga hanyut dipukul gelombang kemajuan yang menghakis jati diri kita yang sebenar?

Rasyid sudah merasa hidup di Kuala Lumpur yang merupakan kotaraya terbesar di Malaysia... Pernah juga hidup bertahun di kotaraya London, sebuah kota yang jauh lebih besar dan maju dengan penduduk sekitar 10 juta orang. Dia pernah sampai ke Paris yang tidak kurang hebatnya juga beberapa kota megah lain di Eropah seperti Amsterdam, Brussels dan Frankfurt. Walaupun pemuda ini kagum dengan kepesatan hidup di sana, dia menjadi semakin rindu kepada kedamaian desa juga suasana santai seperti yang dirasakannya di pinggir bandar Muar ketika sedang membesar dahulu... Rindu suasana tahun 70 dan 80an ketika ramai orang masih suka berbasikal ke bandar, sesetengahnya menaiki beca...

Anak muda ini teringat pengalaman di Belanda, semasa hitchiking keliling Eropah selepas tamat pengajian di London tahun 1995. Kota-kota besarnya seperti Amsterdam dan Rotterdam bukan calang-calang, mewah dan kaya-raya lagi pesat dan maju pula. Tetapi beribu-ribu penduduknya masih memilih untuk berbasikal ke tempat kerja, juga bersantai di tengah kota. Kenapa Muar yang baru membesar sedikit meliputi bahagian utara sungai tidak mencontohinya? Apa salahnya terus berbasikal walau sudah berpangkat dan kaya-raya?

Anak mendiang Presiden Amerika, John F. Kennedy Junior, juga waris keluarga Onassis yang memiliki empayar perkapalan Greek bernilai berbillion Dolar pun boleh menunggang basikal ke tempat kerja, di tengah kesibukan kota gergasi New York. Kita yang tidak seberapa ini hendak sombong apa? Betullah cakap bekas Perdana Mentera Tun Dr. Mahathir, Melayu mudah lupa…


Kemudian di jeti ini saya pernah disapa penduduk tempatan yang membawa saya berjalan ke kampung seberang. Sambung cerita buku... daripada muka surat 94-95...


“Assalamualaikum!” suara orang memberi salam memotong lamunan

Rasyid disentak kembali ke atas jeti di tepi sungai luas di Pengkalan Brandan. Pemuda itu terus mencari sang empunya suara. Kelihatan dua orang wanita berumur, nampak gayanya baru selesai membeli belah di pasar berdekatan... Kedua-duanya memegang bakul-bakul yang sarat dengan sayuran dan bahan makanan. Anak kelahiran Muar, Johor itu menjawab salam seraya menguntumkan senyuman. Bermulalah satu perkenalan. Rupa-rupanya mereka hendak kembali ke rumah di seberang sungai.

Kakak-kakak ini gembira mendapat tahu Rasyid berasal dari Malaysia... Mereka mengaku keturunan orang Kelantan yang telah lama berhijrah dan menetap di sini lalu mengajaknya ikut kembali ke kampung atas air di seberang... Namanya pun Kampung Kelantan. Hmm... Apa salahnya. Rasyid pun tidak mempunyai apa-apa rancangan dalam masa terdekat… Pemuda itupun ikut sama menaiki sampan yang dikayuh salah seorang kakak. Sampailah ke sebuah rumah betul-betul di pinggir sungai. Kelihatan beberapa orang lelaki sedang mengait jala di bahagian serambi...

“Inilah rumah kakak!” kata kakak yang mengayuh sampan. “Yang itu suami kakak,” dia menuding ke arah seorang lelaki tegap di dalam rumah.

Rasyid mengangkat tangan tanda perkenalan. Lelaki berumur berkulit sawo matang yang sedang duduk di ruang tamu itu membalas kembali.

“Yang ini pula anak saudara kakak, dan ini kawannya,” kata kakak itu lagi sambil memperkenalkan Rasyid dengan dua orang lelaki muda yang sedang mengait jala di serambi. Anak Malaysia itupun dijemput masuk penuh hormat... Di bawa ke sisi sang suami yang juga sibuk mengait.

“Ini tetamu dari Malaysia,” kakak itu memberitahu. Si suami mengangguk tanpa suara. Rasyid memberikan salam lalu memperkenalkan diri. Lelaki itu sekadar menyuruhnya duduk lalu menyambung kerja.

Anak muda itu diam memerhatikan sekeliling. Lelaki itu menumpukan perhatian mengait beberapa bahagian jala yang agak rumit. Kakak tadi meminta diri untuk ke dapur. Suasana pun menjadi senyap sunyi. Terbetik juga dalam hati Rasyid, adakah kehadirannya mengganggu mereka. Lama kemudian baru lelaki itu bertanya bagaimana dia boleh sampai ke sini.

Pemuda itupun membuka langkah dengan menceritakan pengalaman berkelana daripada Medan ke Babussalam sebelum ditahan di sempadan Sumatera Utara-Aceh lalu sampai ke Pengkalan Brandan tanpa dirancang... Sambil memasang telinga untuk mendengar gaya perbualan orang sini.

Nampaknya orang di Kampung Kelantan ini agak lain daripada orang Kampung Kedah yang ditemui di Masjid Raya Pengkalan Brandan semalam. Jika orang Kampung Kedah boleh berbahasa Melayu loghat utara Malaysia, abang berketurunan Kelantan ini tidak pula bercakap cara orang Kelantan. Bahasanya sama seperti orang Indonesia lain di wilayah ini, begitu juga cara dan loghat percakapan isteri dan anak saudaranya yang sedang mengait jala di serambi bersama rakannya. Tidak ada kesan telo Kelantan langsung...

Apapun seperti kebanyakan warga tempatan, ternyata abang ini juga agak peramah. Cuma agak lama nak warm-up, kena tunggu masa sebelum dia menyambut cerita. Cerita punya cerita, terkeluarlah perbincangan mengenai ilmu Tasawuf... Tidak ingatlah bagaimana boleh beralih ke situ, agaknya sebab anak muda itu ada tersebut nama Kampung Babussalam tak?

Abang ini mengaku pernah mengikuti pengajian Tariqat Naqsyabandiah-Khalidiah yang dipelopori Sheikh Abdul Wahab di Sumatera tetapi bukan di Babussalam sebaliknya di Pengkalan Brandan. Menurutnya di sini ada orang yang lebih layak menjadi khalifah tariqat daripada yang di sana. Seperti Rasyid, dia juga menganggap pengajian Tasawuf Kampung Babussalam tidak semurni dahulu kerana sudah dijadikan seperti perniagaan untuk menanggung sara hidup beberapa orang Sheikh dan ahli keluarga.

Memang pemuda itu tergerak hendak bercerita tentang Tasawuf dengannya tetapi hendak membuka bab ini kena pandang kiri-kanan, kena tengok orang, tidak boleh bercakap sembarangan. Tidak sangka pula abang ini yang akan mulakan. Rupa-rupanya pemahaman mereka sealiran...

Kebetulan dua orang pemuda di serambi rumah, anak saudara kakak dan kawannya tadi mula berbincang tentang Tasawuf juga. Tetapi apa yang dapat Rasyid tangkap, salah seorang daripada mereka sedang menghuraikan pemahaman sesat mengatakan Allah dan alam ini adalah sama sahaja. Lalu abang di depan ini menyampuk seraya bertanya: “Kalau begitu, apa makna laisakamislihi syai’un (Tuhan tidak boleh diserupakan dengan apapun)?”

Rasyid tidak ingat apakah jawaban mereka. Yang nyata, ia memang tersasar daripada makna yang sepatutnya, jauh tersasar... Sudah masuk unsur-unsur fahaman wahdatul wujud ala Sheikh Siti Jenar yang telah dijatuhkan hukuman mati oleh para wali songo di Jawa kerana ajaran yang menyebabkan orang Islam jadi porak-poranda. Tidak disangka pula, persinggahan pemuda ini di Kampung Kelantan adalah mukadimah kepada satu perbincangan ilmu Tasawuf yang akan terjadi malam nanti...



Sekali lagi diingatkan. Yang disebut sebagai Kampung Kedah di atas itu sebenarnya merujuk pada Kampung Perlis. Tak perlulah dipanjangkan bab Tasawuf yang dibincangkan. Ceritanya akan jadi berkait-kait dengan beberapa peristiwa lain yang dialami di Pengkalan Brandan. Lihat sahaja gambar-gambar cantik sekitar sungai pada artikel The river Babalan at Pengkalan Brandan.


Keluar dari lorong jeti kami mengambil becak atau beca bermotor. Isteri yang ketika itu sarat mengandung 6 bulan sudah penat sedangkan masih lagi ada perjalanan mahu dibuat di Pengkalan Brandan.


Pertama saya mahu menunjukkan laluan awal yang pernah digunakan untuk sampai ke rumah Pakcik Hassan Oka. Ada simpang tempat saya mengalami deja vu pertama di bandar ini. Tetapi saya terlupa mengambil gambar menggunakan kamera digital kerana terlalu sibuk membuat video dengan perakam video HD. Namun deja vu yang dimaksudkan ada diceritakan dalam "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" dan sedutan berkenaan telah diletakkan di bawah gambar masjid atas, sebahagian daripada sedutan panjang lebar muka surat 83-87. Biar diletakkan sekali...


Masuk jam 6 petang, Buyung Sharif muncul kembali di laman masjid lalu mempelawa Rasyid untuk bersiar-siar menaiki skuter buruk. Singgah sebentar di rumah kakaknya di pinggir pekan kemudian, bapa kepada beberapa orang anak itu (kata orang Buyung beristeri dua, ada kata tiga) membelanjanya minum kopi dan makan serabi, sejenis kuih seperti apam yang dimakan dengan kuah durian di sebuah warung belakang masjid.

Pada waktu malam, setelah selesai solat Maghrib, pemuda itu berjalan kaki mencari rumah Pakcik Hassan Oka, mengikut arah yang ditunjukkan siang tadi. Kalau tak salah ingatan, letaknya berdekatan kawasan penempatan bernama Sei Kelah. Rasyid sudah lupa nama tempat itu tetapi masih ingat arah sampai sekarang. Memang pemuda ini selalu terlupa alamat rumah, nama jalan dan tempat, juga nama orang tetapi boleh mengecam rupa rumah atau tempat, juga lokasinya melalui landmarks, bangunan-bangunan tertentu di sepanjang jalan. Begitu juga dia mengecam muka orang, dengan mengenali ciri-ciri yang menonjol pada muka seseorang.

Oleh kerana anak muda ini kurang pasti lorong manakah yang patut diikuti daripada belakang masjid, dia menurut sahaja jalan besar menghala ke pasar sebelum menyusuri tepi sungai. Sampai ke simpang tiga dengan sebuah jalan yang menurut orang sekitar menuju ke rumah Hassan Oka, tiba-tiba Rasyid déjà vu, terasa seperti pernah melihat tempat ini suatu masa dahulu... Hakikatnya, inilah kali pertama dia sampai ke sini malah mana-mana di Indonesia tetapi apa yang terbentang begitu jelas seperti kelihatan entah bila. Simpang tiga dengan jalan besar bertemu sebuah jalan kecil... Di kiri jalan kecil pula terdapat pondok dua tingkat seperti pos askar tanpa orang di dalam dengan sebuah lampu minyak terpasang terang.

Ah... memang pemuda ini pernah melihatnya dalam sebuah mimpi entah beberapa tahun yang lalu. Agaknya memang telah diTakdirkan dia mesti sampai ke Pengkalan Brandan suatu hari nanti? Tetapi tidak pasti lagi untuk apa. Cuma hati kecilnya berkata, ada kena-mengena dengan Aceh juga…


Becak yang sama digunakan untuk kembali ke tempat penginapan di mana kami terus mengambil barangan untuk dibawa keluar atau check-out. Seterusnya saya meminta pemandu membawa kami kembali ke masjid raya. Ketika itu sudah masuk Zohor, dapatlah saya masuk ke dalam dan bersolat. Lihat Masjid Raya (Main mosque of) Pengkalan Brandan.


Sayangnya saya tidak menemui apa-apa muka yang pernah dikenali ketika pertama kali sampai ke Pengkalan Brandan lebih 7 tahun lalu, Namun saya dapat melihat ramai orang berehat dan tidur di serambi seperti suasana dahulu...


Saya pun mengambil peluang untuk berehat sambil menghidupkan nostalgia lama. Teringat bagaimana saya mahu ditangkap tentera yang muncul dengan 2 trak membawa senjata. Tetapi ini berlaku selepas saya dapat memasuki Aceh lalu menginap 3 malam sebelum dihalau keluar. Baca cerita yang dinukilkan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" ... dari Bab 11, muka surat 128-133. Sekian buat masa ini.



Memang keadaan berubah begitu drastik hari itu. Tidak cukup dengan ‘ditendang’ keluar pihak imigresyen, sempadan Sumatera Utara-Aceh pula menyaksikan Rasyid dimarahi pihak tentera yang pernah melarangnya masuk 10 hari lalu. Nampaknya mereka masih ingat rupa-parasnya. Lalu dia diberi amaran keras jangan cuba-cuba lagi hendak masuk ke Aceh!

“Kalau tidak…” seorang askar berpangkat sarjan tidak menghabiskan ayat sebaliknya mengangkat mesingan tinggi dengan gaya mahu memukul orang. Faham-faham sahajalah, Askar-askar lain melihat sahaja...

Rasyid tidak berputus asa. Mungkin apa yang berlaku itu setakat satu setback sahaja, satu halangan sementara untuk menduga kesungguhan dan keyakinan pemuda itu terhadap Qada’ dan Qadar. Dia terus pergi ke Pengkalan Brandan, bandar kecil tempatnya berteduh ketika pertama kali dihalau daripada memasuki Aceh. Kali ini, anak Malaysia itu tidak mahu menumpang tidur mana-mana rumah kawan ataupun kenalan kerana hendak bermunajat di masjid memohon petunjuk akan gerak seterusnya.

Kebetulan di Masjid Raya Pengkalan Brandan, terdapat dua orang pengemis daripada Aceh menumpang sama. Tidak disangka, kehadiran mereka juga kehadiran pemuda itu menyebabkan satu operasi tentera akan dilancarkan! Pada malam kedua Rasyid bermunajat, dua buah trak tentera dengan lebih 20 askar bersenjata telah datang ke masjid. Dengan keras seperti menyerbu markas penjahat mereka terus mengangkut pengemis-pengemis ini serta dua tiga orang lain lalu membawa mereka pergi...

Ketika itu, Rasyid sedang minum kopi bersama kawan-kawan di warung seberang jalan. Terus dia teringat, siang tadi Pak Lurah iaitu penghulu kawasan ada memberitahu pihak tentera akan datang ke masjid untuk mencarinya. Pemuda lurus bendul ini mahu menyerahkan diri kerana tidak mahu orang lain ditangkap tetapi kawan-kawannya menahan,,,

“Jangan pergi!” kata seorang kawan sambil menarik baju anak muda yang sedang cuba bangun meninggalkan meja. “Teruk kamu nanti... Ada orang mengesyaki kamu ini orang GAM (Gerakan Aceh Merdeka)”

Kata seorang kawan lain, jika tidak disabit sebagai anggota GAM pun Rasyid boleh dituduh sebagai seorang penyokong dari luar. Ceritanya masuk ke Aceh sudah diketahui ramai... Maka pemuda ini boleh dianggap berani masuk ke wilayah darurat itu kerana ada kaitan. Selepas tentera beredar, baru dia kembali ke masjid. Tengok-tengok beg galas yang mengandungi paspot antarabangsa serta barang keperluannya pula sudah hilang!

Rasyid termenung panjang. Rasa-rasanya beg itu telah diangkut pihak tentera. Nampaknya, dia tidak ada pilihan kecuali pergi ke pejabat mereka untuk menuntut barang. Kebetulan Pak Lurah masih berada di sekitar masjid, dia pun meminta orang tua itu membawanya ke sana...

Markas tentera yang bertanggungjawab ke atas keselamatan Pengkalan Brandan terletak sekitar 2km dari Masjid Raya. Pak Lurah membawa Rasyid masuk lalu memperkenalkannya. Kelihatan beg galas pemuda itu sudah digeledah... Barangan seperti paspot antarabangsa, surat dari Kedutaan Malaysia dan telefon bimbit yang telah ditutup suisnya sejak berada di Indonesia telah diatur di atas meja seorang pegawai...

Dua orang pengemis dari Aceh yang diangkut tadi sedang duduk di sebalik pintu yang terbuka di sebuah bilik bersebelahan sementara tiga orang anak muda yang turut ditahan duduk di kerusi yang disediakan. Mengelilingi mereka adalah tidak kurang daripada 10 orang askar termasuk polis tentera juga mata-mata, dua daripadanya bersenjatakan mesingan...

“Itu barangan saya pak,” Rasyid membuka kata-kata sambil menuding jari ke arah barangan miliknya. “Saya tinggalkan di masjid tadi.”

“Hmm…” pegawai yang duduk di meja, nampaknya chief interrogator yang akan menjalankan soal-siasat menganggukkan kepala. “Ke mana kamu tadi semasa kami datang ke masjid?” dia bertanya pula.

Pemuda itu menjawab tenang: “Saya ada di warung bersebelahan... Sedang minum kopi dan makan bersama kawan-kawan.”

“Kamu orang Malaysia ya?” pegawai itu menunjuk paspot di meja.

“Ya pak!” Rasyid mengaku. Tiada apa yang perlu diselindungkan...

“Buat apa kamu ke sini?”

“Saya ingin menziarahi kampung halaman nenek-moyang saya pak. Mereka berasal dari Aceh,” jawabnya jujur.

Pegawai itu memberikan isyarat supaya Rasyid mengambil tempat duduk. Pemuda itu dengan selamba memilih kerusi di sebelah orang itu… Melihat caranya yang tidak menunjukkan sebarang rasa takut, seorang askar berpangkat lance corporal menyergah dengan mesingan yang diangkat tinggi, siap dengan gaya seperti hendak memukul kepala dengan laras.

“Kenapa orang Malaysia begitu senang hendak masuk ke sini tetapi orang Indonesia mahu ke sana begitu susah?,” dia menengking. “Kenapa kamu pula boleh masuk dengan mudah sedangkan kami banyak ditanya, banyak syarat-syaratnya? Dipandang pula seperti pendatang bangsat?”

Rasyid merenung mukanya dengan mata yang sedikit ditajamkan.... Gayanya seperti hendak melawan tetapi bukan mencari gaduh. Dia dapat merasakan orang ini ada hati hendak menguji keberaniannya. Lalu dengan tutur kata tenang tetapi tegas tanpa teragak-agak dia menjawab: “Apa kena-mengenanya dengan saya? Itu polisi pemerintah bukan polisi saya!”

Lance corporal itu tidak puas hati. Mesingan tadi diletakkan kembali di sisi tetapi mukanya masih merah padam. Chief interrogator memberikan isyarat supaya askar itu berundur ke belakang kemudian melemparkan beberapa soalan kepada pemuda itu... Antaranya, sudah berapa lama di Indonesia? Masuk ikut mana? Sudah sampai ke mana? Bagaimana boleh sampai ke Pengkalan Brandan sedangkan ia bukannya sebuah destinasi pelancongan? Siapakah yang dikenali di sini? Kerja apa di Malaysia…

Rasyid menjawab dengan jujur menggunakan tutur-kata yang terkawal. Dia sedar, setiap tentera, polis dan mata-mata yang berada di bilik itu (ada lima atau enam lagi di luar) sedang menganalisa setiap gerak-gerinya.... Cuba mencari tanda-tanda percubaan menipu melalui perubahan nada, juga gerak badan atau body language. Pemuda yang memiliki banyak pengalaman mengembara ke merata ceruk rantau, pernah beberapa kali cuba disantau orang itu dapat merasakan mereka juga cuba meniliknya secara batin.... Ini adalah perkara biasa di kalangan mereka yang pernah mendalami ilmu persilatan sampai ke peringkat pengajian ilmu ghaib ataupun batin dan merupakan salah satu skil atau kebolehan utama yang dimiliki mereka yang terlibat dalam dunia mata-mata atau dunia intelligence.

Tanyalah polis SB (Special Branch) yang selalu menyamar sebagai orang biasa untuk memantau keadaan sesuatu kawasan. Mereka mungkin tidak akan mengaku berbuat perkara sebegini tetapi kita boleh melihat sendiri dengan sedikit kepekaan... Biasanya, apabila seseorang cuba menilik kita, dia akan memandang kita penuh perhatian sambil jari tangannya kelihatan seperti berzikir memetik tasbih. Mereka mungkin SB atau orang yang mengamalkan ilmu ‘scanning’ atau menilik manusia secara batin.

Orang sebegini biasanya suka memakai cincin dengan batu berbagai jenis yang dikatakan memiliki pelbagai khasiat. Selalunya mereka akan cepat-cepat memandang ke tempat lain apabila menyedari kita sudah tahu mereka sedang menilik kita... Iaitu dengan memandang tepat ke mukanya penuh yakin tanpa berkelip mata. Rasyid sudah biasa melihat orang cuba meniliki peribadinya sehingga mula terasa lucu pula melihat ia berlaku!

Ada masanya Rasyid senyum dan tertawa kecil melihat keadaan dirinya sedang disoalsiasat, sekejap oleh chief interrogator di sebelah, sekejap oleh dua tiga pegawai di hadapan. Sesekali askar-askar berpangkat rendah yang berdiri jauh sedikit ke pintu cuba menunjukkan belang. Mereka cuba menyergah dengan soalan-soalan yang disuarakan secara kasar walaupun tidak sekasar askar yang cuba menggertak awal tadi. Anak muda itu tetap tidak menunjukkan tanda-tanda takut mahupun gementar. Sebaliknya mereka pula kelihatan pelik tertanya-tanya melihat pembawakan anak muda itu. Siapakah orang ini sebenarnya? Kenapa dia begitu berani?

Setelah berterus terang tujuan utamanya berada di Pengkalan Brandan adalah untuk ke Aceh demi melawat makam Sultan Malikus Salih lalu menceritakan sedikit kaitan peribadi (mereka asyik bertanya kenapa mesti ke makam itu), askar-askar ini mula kelihatan sedikit takut. Ini kerana nama pengasas kerajaan Samudera-Pasai itu masih bergema sebagai seorang Sultan yang sangat tinggi daulat dan keramatnya dalam jiwa sesetengah rakyat Indonesia yang kebanyakkannya sangat mempercayai hal-hal kebatinan. Rasyid dapat merasakan walaupun askar-askar ini lebih ramai, kuat malah siap bersenjata pula, mereka takut tersilap pukul atau buli orang... Takut juga dengan tulah dan balasan yang boleh datang…

Pengemis dua orang yang berada di situ kurang bernasib baik... Senang-senang sahaja boleh dimaki-hamun, diherdik malah diterajang di dada! Mereka disuruh berdiri dan berjalan walaupun kedua-duanya tempang. Askar-askar ini tidak percaya mereka betul-betul cacat walaupun seorang kakinya ternyata lembik dan bengkok ke dalam, seorang lagi mungkin menghidap penyakit polio, paha dan betisnya kecil sebelah.

Kata chief interrogator, ramai orang GAM menyamar sebagai pengemis menagih wang di kota-kota luar Aceh untuk menampung perbelanjaan GAM. Ada pula menjadi cacat akibat berperang dengan tentera Indonesia...

Daripada isyarat dan mimik muka yang diberikan dua orang pengemis ini, Rasyid dapat merasakan mereka sedikit lega dengan kehadirannya. Mereka tahu pemuda ini simpati terhadap rakyat Aceh berdasarkan cerita-ceritanya kepada kawan-kawan di Masjid Raya Pengkalan Brandan. Askar bermisai tebal seperti tanduk kerbau dengan perut buncit yang sering memaki-hamun dan memukul mereka kelihatan sedikit segan untuk bertindak lebih ganas di hadapan Rasyid. Mungkin kerana dia seorang rakyat Malaysia dan ada mengaku pernah bekerja sebagai wartawan?

Pihak tentera terus cuba mengaitkan Rasyid dengan GAM. Setelah tidak berjaya mendapatkan apa-apa bentuk akuan, mereka cuba menuduhnya sebagai seorang ahli puak pemisah yang telah merampas paspot antarabangsa Malaysia daripada seorang pemilik lain pula! Kedudukannya sebagai warganegara Malaysia pun dipersoalkan lalu mereka menguji dakwaan itu dengan bertanyakan lokasi Bangunan Felda di Kuala Lumpur. Pemuda itu menjawab, Jalan Ampang. Terus seorang askar menggertak, mengatakan jawaban itu salah. Menurutnya, Bangunan Felda terletak di Jalan Tun Razak maka ini adalah ‘bukti’ Rasyid bukan orang Malaysia...

Anak kelahiran Muar, Johor itu mula naik darah. Inipun mahu dijadikan alasan untuk memerangkapnya sebagai anggota GAM? Dia pasti jawabannya tepat tetapi orang ini pula masih hendak bermain teka-teki,,,

“Mana boleh!” Rasyid memotong dengan nada keras. “Saya selalu lalu-lalang di Ampang. Bangunan Felda memang terletak di Jalan Ampang, sebelum sampai pusat membeli-belah Ampang Point.”

Askar ini cuba menegakkan benang basah.... Sempatlah bertekak dua tiga minit sambil diperhatikan askar-askar lain. Rupa-rupanya Bangunan Felda yang dimaksudkan adalah Wisma Peladang di Jalan Semarak!

Chief interrogator pula sibuk membelek sekumpulan foto muka orang yang dikenalpasti sebagai anggota GAM sambil memadankannya dengan mereka yang ditahan. Sampai pada satu foto yang rupanya agak mirip dengan salah seorang pengemis tadi,dia pun mengangguk-anggukkan kepala memberi isyarat kepada askar lain. Pengemis itu sedar dirinya sedang diteliti lalu memandang muka Rasyid ... Pemuda itu pula menganggukkan kepala, memberikan isyarat kepada pengemis yang mukanya memang telah dikenal pasti. Air mukanya berubah seketika sebelum kembali tenang seolah-olah pasrah menerima takdir yang bakal menimpa.

Dipendekkan cerita, kedua-dua pengemis ditahan sementara tiga anak muda yang turut diangkut di masjid tadi dilepaskan kerana mereka sekadar kutu rayau. Rasyid turut dilepaskan dan semua barangannya dipulangkan... Tetapi dia tidak dibenarkan tidur lagi di Masjid Raya Pengkalan Brandan atau mana-mana tempat awam di pekan itu sedangkan jam sudah melepasi 1.30 pagi. Mana sempat menumpang rumah kawan ataupun kenalan?


------------------------------------


Rasyid menerima ini semua sebagai jawaban kepada munajat selama di masjid. Nampaknya kali ini, pemuda itu tidak akan dapat masuk lagi ke bumi Serambi Mekah malah harus meninggalkan Pengkalan Berandan.

Hati kecilnya pula berkata dia belum boleh ke makam Sultan Malikus Salih kerana tidak memenuhi syarat. Bukankah Rasyid pernah beberapa kali diberikan bayangan akan sampai ke sana bersama Nur nanti?

Bayangkan, dia sudah berada di Aceh dengan satu kemungkinan jodoh dalam tangan. Dan mungkin ada jodoh lain sekali jika sampai ke tapak Samudera Pasai... Tetapi pada pagi hendak ke Perlak, boleh pula terdengar Ayat 35 Surah al Ahzab dibacakan semasa solat Subuh di Masjid Raya Langsa. Kemudian bermimpi nampak si dia ketika sedang tidur sebentar!

Di kala anak muda ini telah menetapkan fikiran akan melupakan gadis itu buat selama-lamanya lalu membuka langkah untuk meluputkan si dia langsung daripada hidupnya, Rasyid dihalau keluar dari Aceh. Dan semasa di Pengkalan Brandan, bandar terdekat ke sempadan, ketika masih lagi mengharap untuk masuk kembali ke bumi Serambi Mekah, dia disoalsiasat tentera lalu disuruh meninggalkan masjid raya bandar itu, tempat yang sering menjadi ‘pengkalan’ untuknya bermunajat mencari penyelesaian...