Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, October 26, 2017

Aktiviti-aktiviti kecil bulan Oktober - Ganti balik masa bersama keluarga...

Gerak hati ini menyuruh membuat satu artikel merangkumkan sejumlah aktiviti kecilyang dibuat selepas kembali daripada perjalanan bermotosikal jauh 6-8 Oktober hingga kini. Untuk itu 7 artikel baru yang boleh menyokong penceritaan telah dibuat dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH berserta satu di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Begini ceritanya...


Senarai aktiviti dibuka tengah hari Sabtu 14 Oktober apabila kami anak beranak pergi menghadiri majlis perkahwinan seorang adik sepupu saya di Shah Alam.


Kalau tidak kerana itu tidak saya keluar rumah hari tersebut kerana masih lagi kepenatan setelah kembali daripada perjalanan bermotosikal besar yang disertai pendakian gunung setinggi hampir 7,000 kaki dari paras laut. Rujuk artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Tempoh masa yang terlajak dan kenangan cabaran panjat gunung sebelum melihat suasana majlis melalui artikel  Attending a cousin's wedding reception in Shah Alam.


Disebabkan majlis di Shah Alam itu juga timbul gerak untuk naik melihat pemandangan dari atas Bukit Jugra di Banting.


Ia dibuat dalam rangka perjalanan menuju ke kampung isteri di Tanjung Sepat.  Kalau tidak kerana majlis di Shah Alam mungkin pagi Ahad 15 Oktober baru kami ke kampung. Lihat On for views on top of Jugra hill.



Kami ke kampung supaya dapat bertemu adik beradik isteri sebelum ke majlis perkahwinan seorang anak saudara isteri ke selatan sedikit dari kampung.


Kira seimbanglah jadinya kerana hari Sabtu dapat bertemu saudara mara sebelah saya. Hari Ahad bertemu pula saudara mara sebelah isteri. Lihat A niece's wedding reception at Bagan Lalang.


Dalam perjalanan kembali ke rumah singgah di tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk melihat jambatan baru pejalan kaki menyeberangi Sungai Gombak ke masjid jamek. Lihat The new pedestrian bridge to Masjid Jamek Kuala Lumpur.



Tengah hari Khamis 19 Oktober saya menghantar kereta yang telah dibawa ke kampung masuk bengkel  di Rawang untuk memperbaiki sistem brek yang sedikit rosak. Ketika menunggu ia siap timbul rasa untuk melihat satu lebuh raya baru memotong dari Serendah ke selatan Rawang. Lihat Checking out the Rawang-Bypass.


Menariknya kedudukan tinggi lebuh raya di lereng bukit dengan 3 km daripada keseluruhan 7 km jalan terdiri daripada sistem jejantas yang mencapai ketinggian 60 meter atas tanah memberikan pemandangan sekeliling yang menakjubkan. Terfikir alangkah bagusnya jika diadakan satu sesi larian santai atau fun run sebelum dibuka untuk kenderaan. Lihat rakaman video yang dibuat secara langsung terus ke Facebook di sini dan sini.


Sabtu hujung minggu itu 21 Oktober saya bercadang untuk duduk rumah sahaja. Tetapi apabila terlihat hebahan di FB malam sebelum itu menunjukkan ada acara wayang kulit di KLCC terus tukar fikiran.


Alang-alang dah buat keputusan keluar hari Sabtu maka mahu dihadiri sekali satu majlis busana di selatan Kuala Lumpur. Kalau tidak kerana wayang kulit tentu saya tidak membawa keluarga ke situ. Lihat Dari wayang kulit beralih ke Festival Busana Kreatif.



Kembali dari majlis timbul rasa untuk singgah di satu tempat yang istimewa...


Itulah kali pertama setiap daripada kami menjejakkan kaki ke kawasan Istana Negara yang baru. Sekali lagi, kalau tidak kerana wayang kulit tidak kami sampai ke sana hari itu. Lihat First actual visit to the new Istana Negara.


Ahad keesokannya 22 Oktober baru kami keluar menurut rancangan yang sudah difikirkan sejak awal untuk hari keluarga syarikat tempat isteri bekerja. Lihat TM family day at the National Sports Complex in Shah Alam.


Secara rata aktiviti-aktiviti kecil yang dilaku sejak kembali daripada perjalanan bermotosikal awal bulan melibatkan keluarga. Kiranya saya menggantikan masa untuk berjalan bersama mereka setelah 4 hari 3 malam keluar mengembara bersama kawan-kawan. Sekian gerak penceritaan...


Tuesday, October 24, 2017

Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Tempoh masa yang terlajak dan kenangan cabaran panjat gunung

Salam 4 Safar. Sampai masanya untuk menutup siri kecil tentang perjalanan yang dibuat awal bulan Oktober. Bersambung penceritaan daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Dari Gunung Brinchang mendaki ke puncak Gunung Irau.


Awal pagi buta Ahad 8 Oktober 2017. Setelah mendapat rehat tidur dalam 3-4 jam di masjid Kampung Raja baru kami bersedia untuk meninggalkan Cameron Highlands.  Ikut rancangan asal seperti disebut dalam artikel pembukaan Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Antara Raub dan Janda Baik perjalanan ini harus tidak memakan masa lebih 3 hari 2 malam. Tetapi kami memutuskan menambah satu malam lagi disebabkan apa yang berlaku sepanjang hari Sabtu...


Kalau ikut rancangan asal untuk hari tersebut kami mahu minum teh di Ladang Teh Boh, Sungai Palas jam 5 petang  kemudian meninggalkan Cameron Highlands. Mungkin singgah sebentar di bandar raya Ipoh sebelum kembali ke rumah. Sebaliknya jam 5.30 pagi Ahad keesokan harinya baru kami mengorak langkah meninggalkan kawasan tanah tinggi. Sekarang biar diperincikan apa yang berlaku sehingga perjalanan kami jadi terlajak sehingga harus ditambah lagi satu malam di luar...


Pada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Dari Gunung Brinchang mendaki ke puncak Gunung Irau sudah disebut bahawa selepas meluangkan masa lebih sejam di puncak Gunung Brinchang kami mengorak langkah untuk mendaki Gunung Irau, gunung ke-9 tertinggi di Semenanjung Malaysia. Turut disebut pendakian bermula tepat jam 11 apabila kami menaiki tangga pintu masuk kawasan hutan berlumut yang dipanggil Mossy Forest. Sekarang bolehlah perincian dibuat menggunakan gambar-gambar terpilih yang telah diletakkan dalam artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-








Secara rasminya memang pendakian boleh dikatakan bermula apabila kita masuk ke Mossy Forest. Tetapi tidak semua yang masuk ke situ mahu mendaki Gunung Irau. Kebanyakan pengunjung sudah cukup puas dapat melihat hutan berlumut seperti dalam alam fantasi di kawasan Mossy Forest dan laluan pelantar kayunya yang sudah pun terletak pada ketinggan 2,000 meter dari paras laut. Berbanding jumlah keseluruhan pengunjung yang biasa datang ke kawasan ini tidak ramai meneruskan sehingga tamat kawasan pelantar lalu kelihatan papan tanda ini. Difahamkan pihak Jabatan Perhutanan membenarkan paling ramai pun 100 orang masuk mendaki ke Gunung Irau setiap satu hari.


Kami pula masuk bertiga atas rancangan mendaki yang baru diutarakan 2 hari sebelum itu. Malam sebelum pendakian dibuat baru menetapkan tekad itupun bergantung pada apa yang berlaku pagi Sabtu. Ternyata kami orang paling lewat masuk. Kami dapat tahu ada pihak lain telah memulakan pendakian seawal jam 2.45 pagi dengan niat mahu melihat matahari terbit dari atas puncak Gunung Irau.


Kami pergi setelah mendapat tahu daripada bacaan dalam Internet bahawa puncak boleh dicapai oleh orang biasa malah kanak-kanak dalam tempoh 3 jam. Mereka yang lebih bertenaga pula katanya boleh melakukannya dalam tempoh 2 jam. Kelihatan dalam gambar kami sampai di kawasan peralihan antara Gunung Brinchang dengan Gunung Irau. Adapun Mossy Forest masih terletak berdekatan puncak Gunung Brinchang. Kena turun buat beberapa lama kemudian baru bertemu lereng naik ke Gunung Irau.


Lapan minit kemudian iaitu pada jam 12.12 tengah hari terjumpalah papan tanda menyebut kami sudah 800 meter meninggalkan Gunung Brinchang. Rasanya jarak ini merujuk pada tangga atau pintu masuk Mossy Forest. Ini kerana puncak gunung tersebut sendiri terletak lagi 800 meter ke selatan Mossy Forest. Papan tanda ini menunjukkan masih ada 1.55 km untuk sampai ke puncak Gunung Irau. Melihatkan ini saya merasakan mampu sampai dalam tempoh 3 jam kerana sudah melepasi 1/3  perjalanan dengan dalam tempoh lebih sedikit sejam. Belum dijangka lagi cabaran akan semakin meningkat semakin jauh kita berjalan apa lagi dengan keadaan denai licin berlumpur tebal dan kemudian turun hujan.


Gambar ini diambil pada jam 1.20 petang iaitu setelah hampir sejam setengah lagi berjalan. Ketika ini seorang daripada kami sudah berpatah balik kerana tidak dapat meneruskan pendakian. Beliau ada masalah kencing manis yang memerlukan suntikan insulan sedangkan kami tidak membawa bekalan makanan kecuali 2-3 botol air dan 2-3 batang biskut cokat, juga beberapa keping cakoi. Beliau kembali bersama satu kumpulan yang sudah lebih awal sampai ke puncak.


Pada jam 1.35 terjumpa papan tanda menunjukkan kami baru meliputi 60 peratus perjalanan. Ketika ini sudah cukup jelas kami memerlukan lebih 3 jam untuk sampai ke puncak Gunung Irau. Sepanjang perjalanan kami asyik bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang kembali dari puncak. Kami dapat tahu ada yang datang 50 orang tetapi berpecah kepada 2-3 kumpulan lebih kecil mengikut kecergasan. Ada yang datang 30 orang kemudian berpecah. Kamilah kunpulan paling kecil, daripada 3 orang tinggal cuma berdua meneruskan. Tapi sekurang-kurangnya kami dapat tahu masih agak ramai orang berada di hadapan...


Jam 1.52 kami sampai di satu puncak yang dikenali sebagai Anak Irau. Kelihatan ramai orang berehat setelah kembali dari puncak utama Gunung Irau.


Letaknya 6,666 kaki dari paras laut, lebih kurang sama tinggi dengan ketinggian puncak Gunung Brinchang. Puncak utama Gunung Irau yang terletak 300 kaki lebih tinggi pula katanya memakan masa lagi sejam perjalanan. Oleh itu ada yang menasihatkan kami cukuplah sampai ke Anak Irau. Ini kerana kami akan memakan masa lagi untuk keluar sedangkan keadaan katanya mula gelap seawal jam 6 petang dalam hutan.


Kami membulatkan tekad untuk meneruskan perjalanan sampai ke puncak utama. Selepas berehat 5 minit di Anak Irau kami harus turun sedikit ke arah puncak. Jam 2.25 baru denai mula menaik balik...


Sepuluh minit kemudian sampai pada kawasan penanda yang dikenali sebagai CP (Check Point) Slide. Ia dinamakan begitu kerana di kiri kanan terdapat lereng curam jauh menjunam.


Jam 2.41 sampai penanda yang dipanggil CP Bonzai 1.


Jam 2.48 terjumpa papan tanda menyatakan masih ada 350 meter sebelum sampai ke puncak Gunung Irau. Harus dah cukup dekat bukan?


Tetapi tidak terasa dekat bagi kami yang sedang mendaki dalam keadaan yang semakin mencabar...

Jam 3.10 sampai di CP Banzai 2. Orang yang berehat di situ setelah kembali dari puncak memberitahu ada setengah jam lagi perjalanan.


Kawan saya mula terasa hendak berpatah balik. Dalam perjalanan memang kami asyik bertemu kumpulan-kumpulan dalam perjalanan balik. Apabila ditanya ada yang kata sejam lagi nak sampai, kemudian setelah beberapa lama jumpa kumpulan lain yang juga kata sejam lagi nak sampai. Setelah beberapa lama lagi ada yang kata tinggal setengah jam. Ke hadapan lagi jumpa kumpulan lain tapi juga kata setengah jam lagi. Kalau begini bila sebetulnya nak sampai-sampai? Masa semakin lewat sedangkan semua yang ditemui sudah mengorak langkah kembali, kami masih belum tiba ke puncak.


Nasib baik saya dapat memujuk beliau untuk meneruskan. Kata saya dah tinggal sedikit sahaja ini. Kalau berpatah balik kemudian dapat tahu betapa tinggal sedikit sahaja sebelum mencapai matlamat tapi mengalah tentu akan menyesal panjang. Saya biar beliau yang lebih muda dan cergas berjalan di hadapan lalu menyusul sedikit lambat. Alhamdulillah tidak lama kemudian beliau sampai ke puncak. Saya sampai seminit dua lewat pada jam 3.35.


Secara rata kami mengambil masa 4 jam 35 minit untuk sampai ke puncak Gunung Irau. Ini adalah lebih 50 peratus terlajak berbanding masa jangkaan 3 jam berdasarkan bacaan di Internet.


Untuk menunjukkan jangkauan pengembaraan dan pendakian menuju ke puncak Gunung Irau biar dikongsikan gambar daripada artikel lama Misi penganjuran HIKMAH IV - Rehat di Cameron Highlands... nyaman.... Gambar ini diambil selepas bermalam di sebuah tempat rehat di Tanah Rata awal tahun 2013. Semakan menggunakan program Google Earth menunjukkan ia diambil menghadap hampir tepat ke utara menuju ke Gunung Brinchang dan Gunung Irau.


Beginilah kedudukan kawasan-kawasan yang dilalui dalam perjalanan. Untuk makluman pintu masuk ke Mossy Forest terletak sekitar 800 meter ke utara, barat sedikit dari puncak Gunung Brinchang. Daripada sudut pandang gambar ia terlindung oleh puncak. Dari situ kami bergerak barat laut 2.35 km untuk sampai ke puncak Gunung Irau.


Apabila sudah sampai ke puncak memang terasa gembira amat kerana berjaya mencapai matlamat walaupun rancangan dibuat baru 2 hari sebelum itu dalam keadaan saya kurang cergas. Dan lagi, ia dibuat di celah perjalanan jauh bermotosikal besar. Rasanya jarang sekali orang melakukan dua perkara yang cukup mencabar dalam satu masa. Kalau mahu mendaki gunung orang biasanya membuat persediaan yang patut hanya untuk itu lalu menuju ke gunung. Kalau mahu mengembara menaiki motosikal orang bersiap untuk mengembara begitu, tidak memanjat sekali gunung kecuali kalau boleh dinaiki dengan motosikal...



Kali terakhir saya naik sampai ke puncak gunung adalah pada bulan April di Gunung Jerai yang ketinggiannya adalah 3,992 kaki dari paras laut. Itupun dengan kereta kemudian baru berjalan kaki sedikit. Lihat Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Berhimpun di puncak gunung sebelum menutup majlis di kaki barat. Kalau betul-betul mendaki berjalan kaki daripada bawah sampai ke atas kali terakhir saya mencapai puncak gunung adalah pada tahun 2003 di Gunung Nuang yang memiliki ketinggian 4,898 kaki dari paras laut. Ia adalah gunung tertinggi di negeri Selangor. Sebahagian puncaknya terletak di dalam negeri Pahang, sebahagian lereng sedikit bawah hingga ke kaki berkenaan terletak di dalam Negeri Sembilan. 

Menariknya ia dibuat secara solo tanpa membawa peralatan yang patut - tiada lampu, tiada khemah, tiada peralatan masak, bekalan setakat sebuku roti dan satu botol air mineral - tetapi ada niat untuk bermalam di puncak gunung. Akibatnya saya merasa sesat dalam hutan selama 19 jam. Lihat artikel lama Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan,... Walaupun bukan pendaki tegar saya pernah merasa mendaki sampai ke puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu di Sabah (13,435 kaki dari paras laut). Sukacita dimaklumkan saya juga telah mencapai puncak beberapa gunung lain termasuk Gunung Ledang di selatan tanah air (4,187 d.p,l) dan Gunung Muria di Pulau Jawa 5,256 (d.p.l). 

Tetapi kepuasan mencapai puncak Gunung Irau (6,924 d.p,l) Sabtu 7 Oktober lalu tanpa dirancang dan tanpa persediaan yang patut pada umur menghampiri 47 tahun terasa lebih manis apa lagi dibuat dalam rangka perjalanan bermotosikal besar yang kemudian meliputi jarak keseluruhan hampir 600 km. Itu jarak yang diliputi saya kerana bermula dari rumah di Sungai Buaya, Rawang sehingga kembali. Bagi kawan yang sama sampai ke puncak jaraknya adalah sekitar 700 km kerana bermula dan berakhir daripada rumahnya di Bandar Seri Putra hampir ke sempadan Negeri Sembilan. Seorang lagi kawan iaitu yang harus berpatah balik selepas lebih sedikit 1/3 perjalanan ke puncak Gunung Irau meliputi jarak keseluruhan bermotosikal lebih 1,300 km. Ini disebabkan beliau datang hari Khamis dari Pasir Gudang, Johor dan kembali petang Ahad selepas singgah berehat sejam dua di rumah saya.


Di atas adalah gambar yang diambil jam 8 pagi Ahad setelah berhenti rehat makan pagi di Simpang Pulau sebelum kembali ke rumah.  Selain rasa puas amat kerana saya dan kawan dapat sampai ke puncak kami juga merasa lega apabila melihat masih ada orang lain di sana. Mereka, sekitar 13-15 orang adalah daripada kumpulan terakhir memulakan pendakian sebelum kami iaitu masuk ke Mossy Forest jam 9 pagi. Sekurang-kurangnya ada juga kawan untuk perjalanan kembali yang ketika itu sudah dijangka akan melepasi waktu Maghrib. 

Kami sama-sama memulakan penurunan dari puncak Gunung Irau jam 4 petang. Bermula di belakang mereka kami kemudian memotong kerana ada ahli kumpulan itu lambat bergerak. Ke hadapan setelah beberapa lama kami bertembung dengan satu kumpulan sekitar 10 orang yang terpecah daripada kumpulan besar yang sudah sampai ke puncak seawal waktu Subuh. Kumpulan tersebut menghadapi masalah kerana seorang terpelecok akibat tergelincir sementara dua orang mengalami kejang otot. 

Kami bergerak memotong mereka dan setelah beberapa lama lagi bertemu sekitar 7-9 orang yang asalnya daripada kumpulan yang masuk jam 9 pagi tadi, kumpulan yang ditemui di puncak. Mereka turun lebih awal kerana lebih cergas berbanding pecahan kumpulan yang ditinggalkan. Kami sama-sama meredah kegelapan hutan selepas masuk waktu Maghrib sebelum memotong meninggalkan mereka lalu keluar hutan sejurus sebelum kedengaran azan Isyak berkumandang. Di pintu keluar masuk Mossy Forest kelihatan 2-3 buah kenderaan pacuan empat roda dan sejumlah orang menunggu. Itu yang dapat dengar azan berkumandang daripada telefon bimbit salah seorang... 

Satu kumpulan sedang menunggu 7-9 orang ahli mereka yang tertinggal akibat kecedaraan yang disebut tadi. Setelah berehat beberapa minit kemudian menyiapkan barangan saya dan kawan pun meluncurkan motosikal melalui kegelapan pekat malam turun Gunung Brinchang 7 km ke simpang kemudian bergerak 12 km ke Kampung Raja untuk bertemu seorang lagi kawan. Beliau yang telah berpatah balik selepas lebih sedikit 1/3 perjalanan ke Gunung Irau telah disuruh menunggu di masjid sana.

Di situlah saya membuat keputusan untuk berehat satu malam lalu yang lain ikut sama. Perjalanan ke Kampung Raja sebelum itupun sudah terasa begitu mencabar sejuk menggigil teruk disapa angin dingin malam pergunungan kerana pakaian kami basah terkena hujan juga lumpur ketika meninggalkan puncak Gunung Irau. Apatah lagi hendak meneruskan perjalanan kembali ke rumah sedangkan kami sampai ke masjid itupun dah lepas jam 9 malam. Di masjid kami mengambil masa mandi dan membersihkan badan dengan air paip yang begitu dingin sebelum menunaikan solat kemudian keluar makan. Saya juga mengambil peluang melepaskan hajat. Adapun sejak meninggalkan pekan Brinchang untuk naik ke gunung sekitar jam 9.15 pagi saya tidak ada lagi membuang air walaupun timbul desakan sepanjang perjalanan turun naik gunung.

Sehari dua setelah kembali baru dapat tahu kumpulan yang sama turun dari puncak keluar hutan sekitar jam 10.45 malam. Nampaknya bukan kami sahaja tersilap menjangkakan perjalanan naik gunung dapat dibuat dalam masa 3 jam seperti kami baca di Internet. Kumpulan-kumpulan besar yang ada jurupandu pernah beberapa kali turun naik gunung pun tersilap jangkaan. Kalau tidak, kenapa mereka yang sudah masuk hutan jauh lebih awal daripada kami pun keluar berjam-jam kemudian? Nampaknya keadaan denai pendakian yang sedia diketahui ramai selalu licin berlumpur menjadi lebih teruk akibat hujan hari itu. Jurupandu-jurupandu dan mereka yang lebih berpengalaman mungkin boleh melakukan pendakian pergi balik dalam masa 6-7 jam tetapi apabila membawa orang ramai yang kurang berpengalaman juga kurang cergas berbanding maka bersedialah untuk ketinggalan malah bersiaplah untuk bermalam di dalam hutan.

Cukuplah perkongsian saya tentang pengalaman terbaru perjalanan jauh setakat ini ya. Sekali lagi apa yang berlaku membuktikan apa yang kita dapati dalam pembacaan tidak semestinya sama dengan apa yang dilalui sendiri walaupun apa yang dibaca itu adalah berdasarkan pengalaman sebenar. Apatah lagi hendak dibandingkan dengan bacaan berdasarkan penulisan yang dibuat berdasarkan penulisan orang lain - bacaan atas bacaan malah bacaan atas bacaan atas bacaan... setelah beberapa lapis baru sampai pada bacaan yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar. Saya yang sudah banyak pengalaman merata ke pelbagai ceruk rantau pun boleh tersilap jangkaan  sehingga keluar masuk hutan Gunung Irau lebih 9 jam setelah membaca pengalaman sebenar orang membawa anak-anak sampai ke puncak 3 jam pergi dan kembali lagi 3 jam apatah lagi mereka yang kebanyakan masanya dihabiskan di hadapan komputer, jarang-jarang atau tidak pernah turun ke lapangan. Cukup.