Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, December 08, 2007

Nukilan Spontan Cinta


Subhanaallah. Dua tiga malam lepas, ketika sedang berehat seorang diri di sebuah rumah keluarga di Kajang, saya tergerak untuk melihat fail-fail lama di dalam komputer riba. Lalu terjumpa dengan sebuah pantun yang dicipta secara spontan dalam tahun 2006... Pantun yang dicipta ketika sedang aktif berinteraksi dengan ramai orang melalui sebuah forum di Internet.
Adapun pantun ini diberi nama "Nukilan Spontan Cinta". Hari ini timbul pula rasa untuk memaparkannya di sini dan berkongsi dengan para pembaca. Sila... (tiba-tiba teringat iklan kopi Radix ke hapa... Yang ada Mat Saleh naik kereta 4x4 lepas tu cakap "Mintak kopi secawan". Heh! :]

p/s:
Baru teringat. Nukilan spontan ini muncul apabila melihat kata-kata seseorang di forum Internet yang bertanya: "Ke mana cinta itu pergi, apakah itu cinta..." Lebih kurang begitu le...


____________________


Hmm... Terkedu aku memikirkan kata-kata di paparan,
Ke mana cinta itu pergi, Apakah itu cinta...
Kalau tanya pada aku, jawabannya bergantung pada saat bila ditanya...
Ada masanya aku tersenyum bahagia, ada kala aku menggeleng kepala...
Tunduk, sedih, kerana aku pun tak pasti ke mana hidupku mengarah,
Apalagi jika ingin bercerita tentang cinta...
Walaupun rasanya aku telah saling-menyintai ramai wanita.


Tak dapat dinafikan, semua insan mengejar cinta,
Soalnya samakah makna cinta pada setiap insan?
Ada yang melihat perempuan cantik berlenggang,
Ramping pinggangnya, mulus kulitnya...
Terus dikatakan aku sudah jatuh cinta...
Ada yang sekadar mendengar suara,
Ah... Begitu nyaman... Aku rasa aku sudah jatuh cinta...
Ada pula yang sudah kenal bertahun, tapi setelah detik demi detik berselisih pendapat,
Pada satu malam yang sunyi, baru mereka tahu sudah lama rupanya mereka saling menyintai...
Maka apakah itu cinta? Bagaimana mahu tahu ke mana cinta itu pergi jika makna sebenar cinta pun kita tak pasti lagi...

Apa yang aku tahu... Cinta bukan muncul apabila melihat tubuh gebu maka aku mahu bersamanya...
Selalu sangat nafsu itu mahu menusuk ke dalam, tapi dihalalkan dengan kalimat aku cinta padamu...
Maka itu cinta boleh dibeli dengan wang ringgit dan tipu-daya sedangkan hakikatnya,
Kalau kamu faham makna cinta, sudah tentu kamu tahu tidak ada tukar-gantinya...

Tidak!...
Cinta boleh muncul sekali pandang, atau setelah bertahun berkenalan berkahwin cerai ia datang...
Tapi bukan cinta namanya kalau boleh disogok dengan harta benda... Kecuali alasan menghalalkan cara...
Yang pasti cinta itu perlukan pengorbanan...
Di mana yang mencintai sanggup binasa dirinya sendiri demi kebahagian yang dicintai...

Satu lagi yang aku belajar setelah mengenali pelbagai ragam wanita,
Tidak ada cinta yang tulus tanpa penyerahan kepada Nya...
Kita bertemu kerana Allah, kita berpisah juga kerana Nya...
Cari lah cinta yang sebegitu,
Bagaimanakah caranya? Oh... Terlebih dahulu bagaimana mahu mengenalnya...
Bila bersama, semakin kuat semangat beragama...
Perhatikan ini, semakin kuat semangat beragama, bukan makin kuat bersenggama...
Walaupun tak salah banyak bersenggama lama-lama kerana kuatnya rasa ingin bersama... Heh!

Tuesday, December 04, 2007

Sampai masanya untuk bertindak?

Hmm... Bila saya lihat postings yang dibuat tadi terutama Harapan yang belum termakbul... rasa tergantung semacam pula. Kebetulan pula posting bertajuk Bersedialah untuk memikul peranan! adalah posting saya yang ke 210 di blogspot ini... Eloklah dicukupkan jadi 211 kerana saya pun memang suka nombor 11... Lagipun saya sendiri sudah bercerita tentang pentingnya memikul peranan sedangkan dalam posting sebelumnya saya mengadu pula tentang satu harapan yang belum dizahirkan Allah lagi lalu mungkin kelihatan seperti mahu lari daripada memikul peranan sendiri. Maka biarlah posting ini, posting ke 211 yang menutup sesi bercerita malam ini dibuat dengan perenggan-perenggan terakhir daripada bab bertajuk "Impian seorang petualang", daripada mukasurat 306-307...

-----------------

Rasyid termenung memikirkan apa yang telah berlaku. Apakah dia sebenarnya bermimpi atau nyaris-nyaris mati tadi? Seperti tersebut dalam kajian Sains dan psychology, ilmu kaji-jiwa, mungkin pemuda ini telah mengalami apa yang dipanggil sebagai NDE, Near Death Experience ataupun OBE, Out of Body Experience... Masing-masing melibatkan roh manusia keluar sebentar tetapi terasa lama, mungkin bertahun malah berkurun pun ada! Keluar meninggalkan badan untuk melangkaui adat dan masa... Apakah itu yang berlaku sehingga dapat melalui berbagai pengalaman pelik tadi?
Anak kelahiran Muar, Johor ini pergi ke tempat tidur lalu menyelongkar jam tangan di dalam bumbag yang ditinggalkan di sebalik sebuah tiang seri. Ait? Baru pukul 4.34 pagi. Sedangkan tadi dia terbangun jam 4, terpinga-pinga sebentar sebelum keluar rumah... Nampak pula kabus tebas begitu indah, duduk sejenak di atas batu hampar, kemudian baru ke sungai mengambil wuduk, lalu bersolat kemudian berwirid di atas sejadah. Ini semua memakan masa sekurang-kurangnya 20 minit. Jadi berapa lamakah dia sudah ‘mengembara’ tadi? Takkanlah setakat 14 minit?
“Ah… Jangan peduli semua ini…” hatinya menegur. “Aku juga yang selalu menyebut jangan terlalu berkira tentang masa. Pasrahlah menerima segala-galanya… Bukankah Tuhan boleh berbuat apa sahaja?”
Dalam keadaan anak muda ini masih lagi cuba mencerna segala yang berlaku pagi buta itu, tiba-tiba terasa bergema sepotong Ayat Al-Quran di dalam dada. Walaupun tidak pernah menghafal ayat tersebut, seketika itu juga dia dapat memahaminya, Ayat ke 55 Surah An-Nur yang bermaksud:

Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antaramu, dan mengerjakan yang baik-baik, bahawa Allah akan mengangkat mereka jadi khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah; dan Allah akan menetapkan agama mereka (Islam) yang diredhaiNya untuk mereka, dan akan mengganti ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku, dan tiada mempersekutukan Daku denga suatu juapun. Barang siapa yang kafir sesudah itu, mereka itulah orang fasik.

Seterusnya bergema pepatah Melayu lama: “Bila helang tiada, belalang pula mengaku helang” disusuli teguran: “Kamu tidak boleh membiarkan orang-orang buruk akhlak terus menipu masyarakat dan mempermainkan agama, bangsa dan negara. Kamu mesti mengembalikan yang haq!”
Secara spontan anak muda berdarah Aceh itu menganggukkan kepala. “Saya sudah faham Nek! Saya sudah faham segala-galanya dengan terang. Saya akan pikul amanah ini,” terpacul perkataan dari mulutnya.
Kali ini Rasyid telah mendapat satu pemahaman yang sangat mendalam akan makna sebenar kehidupan disertai semangat baru dan azam yang kukuh untuk menunaikan beberapa perkara yang sudah lama tertunda. Pemuda ini sudah begitu lama hidup dalam keadaan seperti menyorokkan diri di dalam selimut... Cuba tidak mengendahkan apa yang berlaku di sekeliling akibat terlalu asyik dengan dunia sendiri di samping mencari jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu jiwa selama ini....
Ya... Dia sudah tahu apa yang patut dilakukan sekarang. Rasyid akan kembali ke pangkuan masyarakat untuk memikul beberapa cabaran, terutama amanah yang pernah disebut Nenek! Untuk meneruskan perjuangan luhur keluarga dan nenek-moyangnya demi menegakkan agama, bangsa dan negara dengan jiwa yang tenang, Insyaallah tanpa perlu berlaku keras atau melukakan sesiapa. Dan kali ini dia pasti Nur akan menempohnya bersama, sebagai permaisuri yang akan menyokong dan berada di sisinya sampai akhir nanti… Insyaallah! Allahuakbar!

Bersedialah untuk memikul peranan!

Dan ini pula lagi sedutan, daripada mukasurat-mukasurat terakhir BKA III iaitu mukasurat 315-317 yang diletakkan di Forum CVT tadi, dalam topik "Berpetualang ke Aceh" iaitu di http://www.harmonisers.net/forum/forum_posts.asp?TID=6037&PN=1&TPN=303 (kalau boleh masuk le sebab Forum ni kadang-kadang OK, kadang-kadang sangkut)...
Semoga kita dapat mengenali diri masing-masing... Satu kenal diri dan hubungan dengan Allah, satu lagi kenal diri dalam konteks hubungan dengan makhluk iaitu peranan yang perlu dipikul setiap individu di mukabumi lalu kita atur saf sebagaimana yang sepatutnya untuk menyahut cabaran besar yang bakal mendatang. Allahuakhbar! :]

------------------------------


Sekarang, renungkan kembali cerita yang mengandungi rahsia besar tentang kejadian Israq dan Mikraj ini. Di manakah semuanya berlaku, pada masa bila? Fikirkan... Dalam sedetik memasukkan kepala ke dalam besen, seorang raja boleh bertukar menjadi perempuan malah hidup tujuh tahun di suatu tempat sehingga melahirkan dua (atau tiga?) orang anak... Keluar kepala dari besen pula kembali menjadi raja tetapi boleh berjumpa anak-anak itu kembali. Maka apakah yang sebenarnya telah berlaku? Apakah itu ruang dan masa? Adakah ia seperti yang kita fikirkan selama ini?
Berfikirlah. Dan berzikirlah sekali… Minta petunjuk Allah SWT agar diterangkan hakikat sebenar alam dan kehidupan. Apakah tujuan kita dijadikan dan diletakkan di atas muka bumi ini... Apakah makna sebenar Firman Allah: “Tidak aku jadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadah kepada Ku.” Adakah ia setakat mengikut Syariat dan hukum-hukum Fiqah seperti sering disebut orang atau ada makna lain yang lebih meluas?
Apakah makna sebenar ibadah yang berasal daripada perkataan akar abdi, mengabdikan diri? Cuba tanya orang-orang yang Arif, apakah hakikat sebenar ibadah, apa makna ubudiyah? Marilah kita belajar mengenali diri masing-masing dengan sebenar-benar perkenalan, tahu hakikat atau makna diri yang sejati, faham hubungan hamba yang sejati dengan Sang Pencipta... Kemudian carilah peranan sebenar masing-masing di bumi ini.
Kajilah diri kita sendiri dalam-dalam. Kenapa ada orang bernama Abu, bukannya Ramli? Kenapa ada yang berkulit sawo matang, bukan putih merah? Kenapa suka warna hijau tetapi benci warna pink? Kenapa sukakan gajah, tetapi tidak suka melihat badak? Kenalilah kembali kecenderungan diri yang sejati, minat dan hobi yang wujud dalam hati sanubari secara semulajadi, bukannya minat yang dipaksakan keadaan atau terikut-ikutkan orang. Kenalilah diri kamu rata-rata sebelum mengenali Allah yang nyata.
Sambil-sambil itu rajin-rajinlah bertanya dengan orang-orang tua tentang asal-usul keluarga. Cari salasilah dan wasilah diri, fahamilah sabda Rasulullah SAW... Setiap orang dipertanggungjawabkan dengan nasabnya. Renungkan kenapa orang dahulukala amat memerhatikan asal-usul keturunan seseorang dan sangat prihatin dalam memelihara kemuliaan dan ketulinan nasab. Bukan kerana hendak menyombong diri tetapi untuk beramanah dengan nama baik keluarga! Insyaalah, jika ini dapat dirungkai, setiap orang akan menemukan jawaban kepada beberapa persoalan yang akan mengungkapkan segala rahsia perjalanan hidup masing-masing.
Saudara saudari yang dihormati sekelian, perhatikan sekeliling anda... Perhatikan segala macam kebathilan berleluasa sehingga menjadi budaya kelaziman hidup yang tidak mampu lagi dielakkan... Kita semua sudah lali dengan rasuah, tipu-daya, pecah amanah, riba’, pergaulan bebas laki-laki dan perempuan, hiburan tanpa batasan dan maksiat. Semua pihak sebenarnya terpalit dan terlibat kecuali mereka yang sanggup menongkah arus zaman untuk keluar seratus peratus daripada lingkungan budaya kehidupan sekarang. Fikirkan... Pihak manakah menyebabkan ini boleh berlaku?
Sekarang luaskan pemandangan itu dengan mata-hati yang bercahaya menembusi segala kekaburan sehingga meliputi hal-ehwal dunia sejauh yang mungkin. Renungkan, kenapa Presiden Bush terus diberikan mandat untuk memimpin Amerika selama lima tahun lagi walaupun sudah dua kali menghadapi proses pemilihan presiden yang memakan masa yang lama serta menelan belanja berbillion-billion Dolar. Kenapa Afghanistan masih lagi huru-hara walaupun sudah memiliki kerajaan baru yang ‘demokratik’. Kenapa Iraq yang sudah pun melutut terus ditekan dan dijahanamkan? Siapakah ‘kepala’ yang bertanggungjawab ke atas semua ini?
Lebih dekat ke tanah air, kenapa Aceh ‘dikeroyok’ tentera yang menurut arahan dari Jakarta? Mungkin keadaan sudah aman selepas Tsunami 26 Disember 2004 memaksa pihak yang bertelagah untuk berdamai. Tetapi betulkah nasib rakyat bumi Serambi Mekah yang sudah beratus tahun sengsara dilanda pelbagai musibah sudah terbela? Bagaimana pula keadaan di selatan Thailand yang lebih dekat dengan sempadan kita? Jika Aceh sudah tamat tempoh darurat, bagaimana pula darurat baru yang diisytiharkan di Patani 2005? Wilayah itu juga pernah menjadi pusat dakwah Islam ke seluruh bumi Melayu. Bukankah ia juga sedang teruk ‘dikeroyok’ tentera?
Ingat lagi tidak bagaimana Australia pernah beriya-iya mahu menghalalkan operasi tentera ke atas Malaysia dan Indonesia atas alasan mahu mencari pengganas ? Amerika pula sibuk mahu menghantar armada lautnya yang hebat untuk meronda Selat Melaka dengan disokong Singapura. Nasib baik kita dapat menolak secara diplomatik. Kalau tidak mungkin kedaulatan perairan kita sudah lama tergadai... Fikirkan juga kenapa Perdana Menteri Singapura dahulu, Lee Kuan Yew berani mencabar jiran-jirannya negara-negara Melayu supaya menyerang pulau itu. Apakah kerana mereka sudah memiliki sistem peluru berpandu canggih dengan kekuatan tentera yang disokong Amerika dan dilatih Yahudi?
Apa pula sebenarnya sedang berlaku di Baitul Muqaddis yang tidak disiarkan kepada umum oleh media massa dunia yang dikuasa Zionis? Kenapa rejim Israel pernah membuat pengumuman menghadkan kemasukan umat Islam bersolat Tarawih di Masjidil Al Aqsa kerana takut lantainya roboh? Apa pula sebab mereka fikir ia boleh roboh ? Bukankah masjid itu telah berdiri kukuh sejak Saidina Umar memerdekakan Baitul Muqaddis daripada Empayar Kristian Byzantium 1,400 tahun lalu?
Seteruskan kaitkan dengan ini.... Kenapa apabila menyebut tentang tanah suci ketiga Islam itu, kita terus disogok dengan gambar Qubah Al-Sakrah, Dome of the rock dengan kubah kuning keemasannya... Kenapa tidak gambar sebenar Masjidil Aqsa? Apakah yang ingin disembunyikan?
Saudara saudari sekalian. Tahukah apa itu Temple of Solomon atau Haikal Nabi Sulaiman AS? Kalau tidak, tanya mereka yang tahu. Tanyakan sekali apa itu Zionist, Temple of Zion, Protocols of the Elders of Zion, siapakah dia orang yang dikatakan Freemason dan Iluminati... Dan yang lebih penting, apa kena mengena mereka semua dengan Amerika, Britain dan Israel malah Arab Saudi, apalagi dengan badan-badan perisikan seperti CIA dan Mossad yang mempunyai rangkaian seluruh dunia dan apakah misi utama mereka…
Fikirkanlah. Apakah makhluk-makhluk perosak ini yang ingin memadamkan syiar Islam sejak zaman Rasulullah SAW lagi tidak pernah memainkan peranan di bumi Melayu? Apakah tidak ada ajen mereka bergerak di segenap lapisan masyarakat malah memegang kepimpinan tinggi sebagai proksi Yahudi tetapi mengaku memperjuangkan agama, bangsa dan negara? Berhati-hatilah akan makhluk perosak ala Machiavelli, musang bertopengkan kambing biri-biri yang sekarang ada di mana-mana...
Lihatlah segala peristiwa dunia yang berlaku kebelakangan ini dengan mata, kepala dan fikiran yang terbuka, fikiran yang berfikir dan berzikir… Percayalah, seperti yang sering disebut oleh Rasulullah SAW, kita ini umat akhir zaman. Sudahkah kita bersedia untuk menyambut kedatangannya?
Sekian sahaja tugas menyampaikan sedikit pengetahuan. Jika ada salah silap, terkasar bahasa dan sebagainya, saya sebagai insan yang lemah menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf. Wassalam.

Radzi Sapiee
30 September 2007 bersamaan 18 Ramadhan 1428,
Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang.

Harapan yang belum termakbul...

Subhanallah! Tadi saya tergerak masuk ke Forum CVT yang kadang-kadang OK kadang-kadang sangkut... Boleh pula masuk. Memandangkan topik "Berpetualang ke Aceh" di situ dah masuk mukasurat 303, tergerak pula untuk menyertakan sedutan daripada mukasurat 303 buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III.
Tetapi cerita akan jadi sangat tergantung jikalau cuma mukasurat 303 sahaja yang diketengahkan. Maka itu saya telah meletakkan isi daripada mukasurat 302 hingga 305 supaya lebih senang difahami. Lalu kini saya rasa elok juga dikongsi di sini. Sila! :]

----------------------------------

Rasyid tidak tahu berapa lama dia ‘hilang’ tadi. Rasanya ada ketika ruang dan masa terbuka seluas-luasnya sehingga kelihatan semua wujud makhluk yang ada. Ada ketikanya pula, terasa sempit sesempitnya sehingga tidak wujud apa-apa walau setitik noktah! Sedar-sedar sahaja, dia sudah kembali berada di sisi Nenek yang tersenyum memandang, berlatar-belakangkan sebuah alam baru yang terasa nyaman menenangkan. Suasananya senantiasa berubah-rubah dengan warna-warna lembut, pastel colours menari-nari seperti bayangan cahaya dikilas riak air kolam ke dinding.
“Kamu sudah faham segalanya?” Nenek membuka suara.
Pemuda itu masih terpinga-pinga untuk mencerna pengalaman tadi. Bagaimana hendak menjawabnya? Apakah yang telah difahami? Dia pun belum pasti apa yang berlaku. Cuma hati kecilnya sahaja berkata, apa yang ingin dicarinya selama ini, segala persoalan yang pernah menghantui diri sudah pun terjawab lalu tersimpan dalam kalbu. Langkah seterusnya adalah mengatur-kembali segalanya supaya boleh diterima minda dan akal logik mengikut turutan ruang dan masa serta pemahaman manusia biasa…
Rasyid mengangguk-anggukkan kepala walaupun masih tidak pasti apa yang difahaminya. Kalau disuruh menerangkan sudah tentu mulutnya akan terlopong sehingga boleh dibuat teropong... Apapun anak muda ini tetap bersyukur kerana masih berfikiran waras. Lebih penting lagi, dia masih ada tubuh-badan yang menunjukkan wujud diri sebagai seorang manusia.
“Baguslah kalau begitu!” kata Nenek mengusap-usap kepalanya. “Sekarang, sampailah masanya untuk kamu kembali ke alam nyata.”
Terus Rasyid terperanjat. Hah? Kembali ke alam nyata? Apa salahnya di sini? Hatinya membentak, belum bersedia menghadapi dunia biasa.
Anak muda itu mula terasa sebak. Dia sebenarnya tidak mahu meninggalkan sisi Nenek, juga alam warna-warni ini yang entah di mana letaknya, Yang pasti ia terasa begitu aman dan menenangkan... Bukan seperti dunia nyata yang dikenalinya, penuh dengan hiruk-pikuk ragam manusia materialistik yang selalu membuat kepalanya runsing, pening...
Dahulu pun Rasyid selalu berangan-angan untuk meninggalkan alam nyata biasa kerana sejak kecil lagi dia selalu terasa sunyi-sepi seorang diri walaupun zahirnya dikelilingi ramai ahli keluarga, saudara-mara dan juga kenalan... Amat susah untuknya menemui orang yang dapat memahami jiwanya yang sebenar sehingga kadang-kala pemuda ini terasa dirinya adalah sejenis alien, satu makhluk asing yang berasal daripada planet lain!
“Tidak Nek, saya tak mahu balik!” Rasyid membantah. “Saya tidak ingin kembali ke dunia nyata yang penuh pancaroba, penuh segala macam tipu-daya. Ramai manusia hipokrit bertopengkan agama dan akhlak mulia tetapi sebenarnya berhati busuk, suka menipu dan menganiaya... Sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan kuasa, harta dan nama.”
Muka Nenek sedikit berubah. Kesal mendengar jawaban ini…
“Habis itu, kamu tidak ingat tanggungjawab kamu? Tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara yang terkandung di dalam zat dan darah yang mengalir di dalam tubuh? Tidak ingatkah pesanan Nenek dahulu mengenai amanah keluarga yang harus dipikul?” dia memberi peringatan.
“Bukan begitu Nek,” pemuda itu menjawab. “Saya tidak pernah lupa tanggungjawab tersebut. Cuma dunia sahaja yang tidak memerlukan orang seperti saya... Orang yang dianggap gila, sanggup kehilangan segalanya demi menegakkan perkara yang benar. Bodoh, lurus, bendul tidak berguna, sampai keluarga sendiri pun boleh pandang rendah kerana tidak menurut keadaan semasa. Saya mahu terus duduk dengan Nenek,” katanya hiba. “Saya sudah lama merana Nek, hidup dalam dunia penuh pura-pura…”
Nenek terdiam lalu memicit-micit bahu Rasyid. Secara spontan, pemuda itu memeluknya erat lalu menangis lagi sehingga terhenjut-henjut bahu. Orang tua itu mengusap-usap kepala cucunya untuk menolong perasaannya reda. Setelah anak muda itu sedikit tenang, baru Nenek bertanya lembut: “Kamu pasti tidak mahu kembali ke dunia biasa lagi?”
Rasyid memandang nendanya lalu mengangguk-anggukkan kepala.
“Kalau begitu bagaimana dengan Nur?” Nenek mengingatkan tentang wanita kesayangannya pula. “Apakah kamu rela membiarkan dia sengsara seorang diri? Sampai hatikah kamu melihatnya merana?”
Pemuda itu termenung jauh. Begitu banyak perkara, manusia dan peristiwa cuba memisahkan mereka berdua. Hendak mencari wanita lain pula hatinya belum terbuka. Bukan tidak mampu tetapi tidak ada selera dan tidak terlintas pun lagi. Kalau begitu bukankah lebih senang mati?
Rasyid mengeluh panjang. Pemuda itu seperti sudah putus harapan, letih dengan segala dugaan. “Bagaimana Nenek?” dia menjawab. “Kami sering sangat dipisahkan keadaan. Saya rasa Nenek pun tahu bukan, walaupun tidak sempat bertemu dengannya. Apakah kami ada jodoh? Apakah ada peluang untuk bersama atau kami cuma dipermain-mainkan keadaan, terus menyimpan harapan walaupun keadaan terus menghalang?”
Nenek menggeleng-gelengkan kepala melihat gelagat cucunya...
“Mengapa pula tidak ada peluang?” dia membentak.“Sudah berapa kali kamu bersolat istikharah lalu mendapat jawaban yang serupa? Bukankah itu juga jawaban yang kamu dapati ketika di Mekah dan di Madinah?”
Anak muda itu terdiam... Tidak tahu bagaimana hendak menjawab. Betul kata Nenek. Sudah berpuluh kali dia memohon petunjuk Ilahi tentang jodohnya dengan Nur dan setiap kali juga dia diberikan jawaban yang terang ataupun isyarat dan tanda tersirat bahawa gadis ini memang diTakdirkan akan menjadi miliknya nanti. Malah hakikatnya hati mereka sudah lama bertaut, mungkin zaman berzaman sejak di alam roh lagi! Cuma belum sampai masanya sahaja ia hendak dizahirkan di dunia nyata…
Tahun 2005 sahaja ada dua orang gadis cantik mengaku mahu menjadi isteri Rasyid, seorang dikenali di Mekah seorang di Janda Baik. Hampir sahaja dia ‘tersangkut’ tetapi wajah Nur kembali mengisi ruang hati...
“Rasyid, dengar sini,” Nenek menegur lagi. “Bukankah kamu pernah mendapat bayangan akan kembali ke tapak kerajaan Samudera Pasai bersama dengan Nur? Bukankah kamu sudah lama sedar dialah isteri kamu yang sejati? Siapakah yang betul-betul dapat membahagiakannya? Siapakah yang boleh membawanya kembali ke Aceh kalau bukan kamu?”
Rasyid masih lagi terdiam tidak terkata. Kelu rasa lidahnya…
“Sanggupkah kamu melihat lelaki-lelaki buruk yang pandai menyamar sebagai orang berakhlak mulia menabur duit dan mempamirkan kebaikan cuba mengambil kesempatan di atas kesepiannya jika kamu tiada?” orang tua itu menyambung. “Sanggupkah kamu melihatnya disihir atau cuba diguna-gunakan para lelaki durjana? Bukankah kamu pernah berikrar di makam Nenek akan menjaga Nur selagi hayat dikandung badan?”
Anak muda itu tersentak mendengar ini. Teringat bagaimana dia dibawa keluar dari Aceh ketika hendak melangkah lebih jauh dengan tersemat sedikit niat untuk mendapatkan jodoh lain. Akhirnya Rasyid dipaksa keadaan untuk kembali ke Malaysia... Rupa-rupanya untuk menyelamatkan gadis pujaannya itu daripada cengkaman beberapa pihak berniat serong yang sanggup bermain sihir! Teringat juga zaman ketika menuntut di London dahulu dengan niat tidak mahu kembali lagi ke tanahair, ingin menetap di England ataupun Eropah. Tetapi dia ‘dipanggil’ untuk kembali ke Malaysia apabila timbul semula rasa keMelayuan yang menebal akibat terdengar lagu-lagu gubahan M.Nasir nyanyian Hattan.
Ah… Rasyid teringat Lagu Cenderawasih yang pertama-kali didengarnya di sebuah restoran Melayu di tengah kesibukan kotaraya terbesar kebanggaan rakyat Inggeris itu. Apabila diamati kembali liriknya (setelah bertahun mengenali Nur), baru dia sedar ia seolah-olah bercerita tentang cinta ‘sakti’ mereka yang terasa telah bertaut zaman-berzaman!

Sesungguh ku dambakan,
Pasangan dua dunia,
Benar hingga melangkaui adat dan masa…

Sesungguh ku dambakan,
Pasangan dua dunia,
Benar hingga menyinarkan bukti yang nyata…

Rasyid juga teringat sudah berapa kali mereka berpisah atas berbagai sebab dan alasan. Tetapi akhirnya pasangan dua sejoli ini tetap akan keluar mencari kembali diri masing-masing, sekurang-kurangnya untuk berkongsi citarasa, pemikiran dan pengalaman hidup yang kebanyakannya tidak dapat diterima atau tidak mampu difahami orang lain.
“Ah… Aku tidak boleh membiarkan Nur bersendirian,” hatinya berbisik. “Rasanya seperti sudah berkurun-kurun lamanya kami pernah terpisah, sudah cukup lama, amat lama! Sampai masing-masing hampir jadi gila! Ah... Aku tidak mahu, tidak sanggup berpisah dengannya lagi. Nur adalah belahan jiwaku, tiada dia, tiada juga aku... Kami mesti kembali bersama!”
Agaknya inilah yang pernah disebut pantun Melayu lama:

Batang selasih permainan budak,
Daun sehelai dimakan kuda,
Bercerai kasih bertalak tidak,
Seribu tahun kembali juga.


Rasyid menoleh untuk memberitahu Nenek. Ternyata almarhum nenda sudah tiada. Anak muda itu pula sudah kembali ke alam nyata... Berada di atas sejadah di rumah usang Perak yang dialihkan ke Janda Baik...