Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Februari 21, 2020

Membebaskan penceritaan Pulau Pinang daripada kerangka penjajah - British menipu apabila mewar-warkan pulau diserahkan oleh Sultan Kedah

Dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat yang dipersembahkan semalam ada diberitahu bahawa pada siang itu Khamis saya ada menghadiri satu lagi majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Ini ceritanya...



Majlis merupakan syarahan oleh Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican, ketua unit Tamadun Islam di ISTAC. Saya tidak tahu apakah perkataan Melayu yang sesuai untuk membawa makna "decolonizing" pada tajuk. Namun saya tahu apakah maknanya dan konteks. Oleh itu biar terjemahkan tajuk sebagai "Membebaskan Penceritaan Pulau Pinang Daripada Kerangka Penjajah".


Saya sampai beberapa minit sebelum syarahan dijadualkan bermula jam 10 pagi. Kelihatan ramai orang berumur sudah datang. Kebanyakannya kawan-kawan lama Murad dari Pulau Pinang.


Universiti DRB-HICOM yang berpusat di Pekan, Pahang adalah satu penganjur majlis. Ia dibuka dengan naib canselor universiti, Profesor Dato Dr. Omar Osman memberikan kata-kata aluan.


Satu lagi penganjur selain ISTAC itu sendiri adalah CENPRIS (Centre for Policy Research & International Studies - Pusat Kajian Polisi & Pengajian Antarabangsa) USM (Universiti Sains Malaysia). Profesor Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk daripada CENPRIS bertindak sebagai moderator lalu memberi pengenalan subjek.


Secara mudah ia adalah tentang menggali kembali sejarah Pulau Pinang berdasarkan sumber tempatan lalu keluar daripada kerangka penceritaan penjajah yang selama ini menjadi pegangan ramai. Ahmad Murad yang merupakan anak jati Pulau Pinang pun menceritakan kenapa beliau begitu berminat tentang subjek.


Beliau melihat umum malah pengkaji termasuk para sejarawan tempatan berbangsa Melayu itu sendiri sudah lama terbuai dengan naratif atau penceritaan penjajah Barat yang berat sebelah. Kita selalu disuakan dengan cerita Francis Light dari Britain membuka Pulau Pinang tahun 1786. Seolah-olah tidak pernah ada penduduk tempatan sebelum itu. Lalu dibukalah cerita tentang penempatan-penempatan Melayu yang sudah wujud lebih awal. Didapati ada bukti bahawa Batu Uban (di bahagian tengah pantai barat pulau) sudah ada bandar dan pelabuhan pada tahun 1734.

Lebih dekat ke bandar raya Pulau Pinang (yang sering disebut sebagai Georgetown oleh mereka yang masih mengagung-agungkan nama pemberian penjajah itu) diketahui sudah wujud pemimpin masyarakat yang dikenali sebagai Dato' Keramat tahun 1710. Pada tahun itu juga terdapat 2,000 orang Melayu di Sungai Pinang. Tetapi setelah beberapa lama mereka dihalau keluar.


Apapun, sumber-sumber Barat itu sendiri mengakui Pulau Pinang adalah penting kepada Kesultanan Kedah. Ia adalah milik Sultan Kedah.


Tetapi berlawanan dengan sejarah yang sudah diterima ramai Pulau Pinang sebenarnya tidak pernah dipajak mahupun dilepaskan kepada penjajah melalui apa-apa bentuk perjanjian penulis.





Yang ada cuma usaha-usaha diplomatik dan surat menyurat untuk mendapatkan Pulau Pinang daripada Sultan Kedah. Tetapi ia sebenarnya tidak pernah dipersetujui dan perjanjian belum ditandatangani kerana belum memenuhi syarat yang diminta sultan. Yang ada cuma pengumuman bahawa Syarikat British Hindia (East Indies Company) mengambil alih pulau secara rasmi oleh Light. Ini bukan sahaja melanggar piawaian Eropah dan melanggar undang-undang antarabangsa malah merupakan penipuan terhadap Sultan Abdullah yang sedang memerintah Kedah.


Namun penipuan ini nampaknya tidak disedari mahupun diketahui ramai. Sehingga sarjana terkenal Barat, Winstedt yang tulisannya menjadi rujukan ramai pengkaji sejarah luar dan tempatan secara salah menyatakan pulau diserahkan kepada sultan melalui syarat-syarat tertentu...


Sarjana Wright dan Reid pula menyatakan lambat laun Sultan menandatangani perjanjian setelah diberi faham ia akan diserahkan untuk persetujuan akhir baginda. Kata Murad tidak ada bukti bagi itu.


Naratif atau cerita Barat bahawa Pulau Pinang telah diserahkan kepada mereka secara 'sah' terus  dipegang hingga ke hari ini sehingga kitab At-Tarikh Salasilah Kedah yang ditulis Kerani Arshad atas perintah Sultan tahun 1928 pun memakai kerangka sama. Ini menunjukkan Sultan-sultan Kedah kemudian pun tidak sedar bahawa 'penyerahan' itu adalah satu penipuan. Pun begitu pulau tetap didambakan Sultan...


Berbalik pada Francis Light. Ada buku boleh dirujuk untuk mengetahui siapakah sebenarnya beliau. Kata Murad, Light sebenarnya adalah seorang peniaga dan nakhoda, bukan pegawai British seperti dianggap ramai. Cuma beliau yang katanya telah duduk lalu bercampur gaul dengan orang Melayu lama sejak tahun 1771 sehingga biasa memakai baju Melayu, meluas percampurannya sehingga baik dengan golongan istana beberapa kerajaan pandai mencapai tujuan sehingga akhirnya menjadi orang kepercayaan British.


Ditunjukkan beberapa buku yang boleh dibaca tentang sejarah Pulau Pinang dan penempatan-penempatana awal...





Namun menurut Murad ia masih membawa kerangka penceritaan Barat.


Penceritaan sebegitu terus dipanjangkan oleh mereka yang kurang tahu juga oleh pihak-pihak berkepentingan yang tidak mahu orang Melayu faham hal sebenar...


Hingga artikel-artikel yang ditulis oleh mereka yang mahu memperjuangkan keberadaan orang Melayu di Pulau Pinang pun dikeluarkan di media massa dengan bentuk yang kelihatan masih mengagungkan Francis Light.





Kata Murad bermula dengan buku ini baru ditemukan kajian yang mempersoalkan naratif Barat.


Sekarang sudah terdapat beberapa usaha untuk menaikkan nama tokoh-tokoh lama Melayu Pulau Pinang seperti Datuk Janaton dengan memakaikan nama mereka pada tempat-tempat...





Ada pula buku-buku hasil tulisan Murad sendiri untuk mengangkat kembali penceritaan versi penduduk Melayu tempatan supaya kita semua keluar daripada kerangka Barat...





Usaha diteruskan dengan mendesak agar nama-nama tempat yang jelas berbau Barat ditukar kepada nama berbau tempatan.



Ditunjukkan senarai nama beberapa tempat yang sudah wujud di Pulau Pinang sebelum 1786 iaitu tahun kedatangan Light.








Nama-nama lama Pulau Pinang seperti dikenali beberapa pihak. "Pulau Pinaom" yang jelas adalah sebutan pelat ditemui dalam satu sumber Portugis. Ia menunjukkan nama Pulau Pinang sudah dikenali jauh lebih awal daripada kedatangan Light.


Malah didapati tahun 1600 lagi sudah datang tokoh besar bernama Nakhoda Ragam yang dipercayai seorang Sultan Brunei yang suka belayar membawa pancaragam.


Senarai nama tokoh-tokoh lama Melayu dengan tahun-tahun diketahui pasti mereka sudah wujud di Pulau Pinang...


Dipanjangkan cerita tentang Dato Janaton yang rupa-rupanya ada kaitan dengan Murad.





Secara rata Murad telah memberikan satu naratif segar yang menyokong keberadaan orang Melayu di Pulau Pinang. Selama ini mereka telah dianak-tirikan akibat naratif Barat meletakkan mereka seperti orang luar duduk menumpang dalam rumah setinggan








Hal inilah yang menyebabkan mereka dengan senang boleh dihalau keluar oleh pemerintah dan tanah tempat duduk dirampas. Walhal bukan sahaja ini salah. Malah penceritaan selama ini yang kita  dengar bahawa Pulau Pinang (kononnya) diserahkan oleh Sultan Kedah itu satu penipuan besar yang sepatutnya didedahkan lalu diberikan tuntutan sewajarnya menurut undang-undang sehingga boleh dikembalikan kepada kerajaan Kedah.



Khamis, Februari 20, 2020

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat

Salam. Merujuk pada artikel Keadilan sosial dan spiritual melalui reka bentuk ruang - Soal identiti dan harga diri yang dipersembahkan hampir tengah hari semalam. Ada disebut bahawa pada petang itu (Rabu 19 Februari) saya mahu mengikuti satu lagi majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Disebut juga esoknya pagi (Khamis hari ini) ada lagi majlis mahu diikuti di sana. Maka itu biar dilepaskan dahulu cerita majlis petang Rabu.


OK. Kelihatannya kondisi gambar kamera kompak saya yang selalu dibawa ke hulu ke hilir dalam beg bimbit semakin buruk. Nampak seperti disebabkan lensa masuk wap air. Dah berapa lama juga ia melanda menyebabkan gambar tidak tajam (sharp). Sedangkan ia model yang agak elok, Canon SX620 yang mula digunakan untuk perjalanan saya bersama keluarga pusing Cambodia kemudian kembali ke Malaysia melalui Thailand hujung tahun 2018. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation.

Mungkin ini berlaku kerana ia selalu dibawa lasak ke sana ke mari dan pernah beberapa kali terjatuh. Nak beli baru dan lebih baik keadaan kewangan sedang agak 'semput'. Jadi terus gunakanlah apa yang ada. Walaupun boleh mengambil gambar lebih jelas dan baik dengan telefon bimbit saya tetap lebih selesa menggunakan kamera kompak. Apapun ini adalah gambar ketika majlis petang Rabu bermula selepas jam 5. Kali ini malas hendak mengambil gambar keseluruhan bilik, sekadar ambil daripada tempat duduk.


Untuk makluman ia adalah edisi ke-2 tahun 2020 bagi siri syarahan buku "Classification of Knowledge in Islam" (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam") tulisan Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar.  Ia bersambung daripada syarahan sebelumnya Rabu minggu lalu. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam. Selepas membuat ulasan ringkas (recap) bagi syarahan terdahulu Osman menyebut tentang hieraki daripada alam fizikal yang kasar menjadi semakin halus menuju kepada Tuhan. Struktur Quran tergambar pada alam juga tubuh badan manusia. Terdapat hierarki atau taraf/tingkat-tingkat benda yang berkaitan.


Masuk pada isi buku seterusnya pergilah kita pada muka surat 45. Seperti biasa biar ditunjukkan perenggan-perenggan yang dibacakan beliau terus daripada buku diikuti penerangan ringkas tentang isi perenggan dalam bahasa Melayu daripada saya (bukan terjemahan ya... malas dah nak buat terjemahan). Kemudian baru dimasukkan kupasan Osman, mana yang ada dan setakat yang perlu.




Syarahan terdahulu berakhir dengan ayat satu baris paling atas yang merupakan sambungan daripada perenggan terakhir muka surat 44. Perenggan pertama muka surat 45 bermula dengan menyebut bukti daripada kitab menunjukkan struktur hierarki dalam al-Quran menggambarkan struktur objektif realiti (alam dan segala bentuk wujud). Ini merujuk kepada contoh tentang keistimewaan ayat-ayat tertentu dan surah seperti telah disebut dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam. Seterusnya dinyatakan terdapat banyak ayat Al-Quran merujuk pada hierarki dalam ciptaan (creation) iaitu makhluk yang dicipta Tuhan. Ia (ayat-ayat itu) bercakap tentang pembahagian tiga (tripartite division) alam kepada langit-langit, bumi dan dunia tengah (antara langit dan bumi).

Nota 8 pada muka surat 65 pun dirujuk. Disebutlah ayat ke-5 surah ke-37 yang berbunyi begini :-



Terjemahan : Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari - (As-Saaffaat 37:5)


Osman mengulas dengan menyebut tentang bumi (ard dalam bahasa Arab). Ia juga sering disebut sebagai dunia, bahasa Arab berbunyi dunya. Kata beliau makna dunya yang lebih luas adalah apa yang dekat pada kita. Tetapi daripada 'sudut pandang' Tuhan ia adalah paling jauh dari Arasy (Osman menggunakan perkataan bahasa Inggeris throne, dalam bahasa Melayu singgahsana). 

Apapun Tuhan adalah kedua-duanya jauh dan dekat. Hal berlawanan ini tidak boleh difahami secara fizikal atau dengan akal semata-mata. Ini adalah persoalan halus pengajian Tauhid dan ilmu Sufi yang disebut dalam bahasa Arab sebagai Tashbih dan Tanzih. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai immanence dan transcendence.

Alam malaikat adalah lebih dekat dengan Tuhan. Ini adalah relatif dibandingkan dengan manusia yang bertubuh 'kasar'...



--------------


OK. Saya fikir dapat menyiapkan artikel ini sebelum majlis ilmu pagi Khamis di ISTAC bermula jam 10. Namun ketika meletakkan terjemahan atas jam 7.37 tadi timbul rasa penat yang amat sangat lalu perlu berehat. Adapun saya telah bermalam di masjid ISTAC, kali pertama untuk tahun 2020 supaya mudah mengikuti majlis pagi tersebut setelah mengikuti majlis petang Rabu semalam. Artikel ini sebenarnya dimulakan tengah malam sebelum masuk tidur jam 1 pagi. 

Sebelum jam 4 saya terbangun untuk melepaskan hajat lalu menunaikan solat Tahajjud. Dekat jam 5 tidur kembali. Jam 5.30 bangun sahur kerana mahu berpuasa sunat hari Khamis. Tidur kembali jam 5.45. Bangun dekat jam 6.20 untuk solat Subuh berjemaah selepas itu menyambung kembali penulisan dengan harapan dapat menyiapkannya awal. 

Tapi apa boleh buat? Dah terasa tak larat nak siapkan sekarang. Kena tidur sebentar. Saya juga perlu berjumpa seorang kawan dalam jam 9 bagi membincangkan penganjuran satu acara di ISTAC hari Sabtu. Selepas itu baru ke majlis ilmu jam 10.

Penulisan disambung kembali sedikit pada jam 2.27 petang selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama. Saya telah meninggalkan ISTAC pada jam 12.30 ketika sesi soal jawab majlis masih berlangsung kerana perlu bergegas 40 km ke kawasan perumahan di Sungai Buaya, Rawang untuk mengambil anak-anak kembali dari sekolah kebangsaan. Masuk jam 3.04 timbul lagi rasa penat amat  selain kepala berat memaksa untuk berehat. Apapun artikel akan cuba disiapkan sebelum tengah malam.


---------------


Lanjutan daripada kupasan tentang nota 8. Kata Osman, Quran menggunakan isyarat atau symbolism berdasarkan ruang dan masa (temporal). Manusia boleh memiliki tingkat-tingkat kesedaran (consciousness) yang berlainan untuk menanggapi perkara. Disebut pula tentang konsep pelbagai cahaya untuk menggambarkan keadaan Tuhan dan makhluk menurut tingkat-tingkatnya.

Kita semua tahu malaikat dicipta daripada cahaya. Namun cahaya juga ada pelbagai jenis dan tingkat-tingkatnya. Syaitan dan jin dicipta daripada api (atau lebih tepat, lidah api) yang juga merujuk pada satu tahap cahaya tetapi lebih 'kasar' berbanding malaikat. Dalam ilmu sains (melalui Fizik Kuantum) ada konsep cahaya boleh menjadi jisim (merujuk pada particles) dan sebaliknya. Jisim menjadi binaan bagi tubuh lebih kasar seperti dimiliki manusia. Maka kewujudan manusia dalam alam fizikal kasar ini boleh dipandang sebagai manifestasi cahaya atau jenis/tingkat cahaya yang paling rendah.

Berbanding dengan kita, makhluk jin adalah bertubuh halus. Itu yang selalu disebut makhluk halus  oleh orang Melayu, kata Osman. Malaikat pula lebih halus berbanding malaikat. Paling halus daripada cahaya tingkat tertinggi adalah Tuhan. Hal ini boleh dirujuk melalui ayat Quran berkenaan :-




Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu - (An-Nuur 24:35)


Nota saya :  Portal Al-Quran yang saya rujuk ini menterjemahkan ayat pertama Allahu nurus-samawati wal ardh itu sebagai  "Allah yang menerangi langit dan bumi". Walhal terjemahan lain yang diambil terus makna daripada perkataan Arab menyebut "Allah ADALAH cahaya langit dan bumi". Cuma ini boleh mengelirukan orang awam kerana mengatakan Allah adalah cahaya adalah satu perkara sulit malah boleh menyesatkan jika belum sampai tahap fikir dan fahamnya lagi. Maka itu lebih mudah diterjemahkan sebagai "Allah menerangi" yang juga suatu perkara yang benar.

Seorang hadirin menyebut kegelapan sebagai lawan cahaya. Jawab Osman cahaya bukanlah lawan pada kegelapan. Sebaliknya kegelapan berlaku disebabkan tiadanya cahaya (absence of light). Namun kegelapan mutlak adalah Tuhan (absolute darkness is God). Semua hadirin jadi tertanya-tanya dengan kenyataan ini. Osman pun menerangkan...

"Berapa lama kita boleh tahan jika melihat terus pada matahari dengan mata kasar tanpa alatan melindunginya? Bukankah selepas itu pandangan jadi gelap?"

Beliau sebetulnya mahu memberikan kiasan. Disebabkan Allah SWT adalah cahaya yang paling cemerlang mata yang cuba melihat secara terus akan dilanda kegelapan mutlak. Satu peristiwa zaman silam, zaman Nabi Musa kalau tak salah ingatan pun dirujuk di mana masyarakat Yahudi meminta untuk melihat Tuhan. Diperlihatkan sedikit cahaya kecemerlangan. Terus mereka jadi seperti orang hilang ingatan.

Pergi pada ayat seterusnya dalam perenggan pertama muka surat 45 buku. Maka disebutlah adanya langit bawah dan alam lebih tinggi malaikat yang lebih dekat dengan Tuhan.  Quran dan Hadith menyatakan mereka dicipta dengan pangkat berbeza-beza. Wahyu juga mengajar bahawa kedua-dua  syurga dan neraka memiliki tingkat-tingkat.

Ayat-ayat berkenaan ditandakan dengan nota 9 hingga 12. Semuanya merujuk pada ayat-ayat Quran yang menyokong keterangan. Cukuplah ditunjukkan satu sahaja iaitu daripada nota 9.  Ia merujuk pada ayat berikut :-


Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang - (As-Saaffaat 37:6)



Perenggan seterusnya menyebut ada banyak tingkat keintelektualan dan kesedaran spiritual atau pengalaman subjektif tentang realiti (boleh merujuk pada alam, boleh merujuk pada Tuhan). Sebagai contoh ada hierarki dalam kalangan mereka yang beriman (believers) dan yang mengetahui disebut dalam Quran seperti berikut (saya terjemahkan daripada buku) : "Tuhan menaikkan darjat mereka yang beriman dan diberi ilmu pengetahuan". 

Nota 13 menyatakan ia sebagai Surah ke-58, ayat ke ke-11. Begini bunyinya :-



Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan - (Al-Mujaadalah 58:11)


Menurut Ibnu Abbas, seorang sahabat Nabi, orang yang terpelajar diletakkan 700 tingkat melebihi orang beriman biasa. Seterusnya ada hierarki pula dalam kalangan mereka yang menyaksikan keEsaan KeTuhanan. 

Ah. Saya tidak larat lagi meneruskan penulisan. Ketika perenggan ini ditulis sudah jam 11.31 malam. Adapun penulisan ini dimulakan kembali jam 10 malam tadi. Selepas berehat waktu petang jam 3.04 saya keluar untuk mengambil anak-anak daripada sekolah agama jam 6. 

Tengok-tengok ada masalah steering kereta asyik hendak lari ke kanan. Setelah lebih 2 km berjalan baru berhenti untuk menyemak lalu mendapati ia timbul akibat tayar hadapan kanan sudah kempis habis koyak. Selepas itu timbul pula masalah enjin mati tidak dapat dihidupkan. 

Nasib baik ketika itu sudah sampai di hadapan sekolah. Saya teruskan ke sana dengan tayar kempis koyak kerana anak-anak. Tetapi bagaimana hendak membawa mereka kembali ke rumah? Bertungkus lumus saya cuba mengatasi masalah. Selepas Maghrib baru kereta dapat digerakkan sedangkan saya sedang berpuasa, memang terasa penat.

Malam selepas bersolat menunaikan wirid dan beberapa amalan khas malam Jumaat saya harus menyiapkan satu risalah pula atas permintaan seorang profesor di ISTAC. Ia adalah berkenaan acara yang mahu dilaksanakan di sana hari Sabtu. Rujuk artikel-artikel berikut di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) :- 






Selesai itu baru penulisan dapat disambung kembali. Sekarang biar kupasan seterusnya diberikan amat ringkas.




Nota-nota berkenaan daripada muka surat 65.



Perenggan terakhir 45 secara rata menyebut sudah cukup contoh daripada Quran dan Hadith diberikan untuk menunjukkan memang ada hierarki dalam Islam.



Syarahan masuk sehingga selesai ayat pertama muka surat 46 yang bersambung daripada muka surat 45.




Walaupun tinggal beberapa ayat sahaja lagi sebelum sub-topik 2.1 tamat syarahan ditutup kerana hampir masuk waktu Maghrib. Selamat malam, malam Jumaat barakah. Sekian wassalam.