Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, January 10, 2020

Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - 'Melompat' dari pulau ke pulau hari Jumaat

Salam petang Jumaat. Masuk pada cerita hari ke-5 perjalanan Krabi dan selatan Thailand yang kebetulan jatuh pada hari Jumaat. Bersambung daripada Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Ke destinasi utama walau terlewat satu hari.


Pagi Jumaat 20 Disember 2019 tepat 3 minggu lalu. Pemandangan hotel atau lebih tepat resort tempat kami menginap di Krabi menghampiri pantai Aonang. Kami mengambil satu bilik keluarga dengan kedudukan peribadi dan selesa menghadap kolam renang. Seronok anak-anak dapat bermain air dan berenang.


Ketika itu mereka tidak tahu ada lagi perkara lebih seronok telah dirancang. Jam 9.05 datang kenderaan untuk mengambil kami 6 beranak.





Kami dibawa menuju ke pantai Aonang 4 km ke barat resort.


Suasana pantai kelihatan begitu cantik terang benderang. Lihat artikel On to Aonang beach di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Jam 9.46 sampailah bot besar untuk membawa kami berjalan-jalan.


Cuma kena berjalan kaki masuk air untuk menaiki bot.


Bermulalah apa yang dipanggil sebagai pakej '4 pulau'.


Ia membawa kami ke 4 persinggahan termasuk tempat untuk snorkelling melihat ikan berenang. Kami sudah menempah pakej untuk 6 beranak sejak sebelum sampai. Lihat artikel-artikel berikut :-








Cuma ia asalnya ditempah untuk hari Khamis 19 Disember.




Menurut rancangan asal sepatutnya kami telah mendaftar keluar dari resort tengah hari Jumaat selepas menginap 2 malam lalu saya dan anak-anak laki-laki menunaikan solat Jumaat di masjid utama Krabi sebelum menuju ke Nakhon Si Thammarat 160 km ke arah timur.


Nak buat bagaimana? Rancangan dah lari 1 hari disebabkan masalah kereta. Tapi jangan pula kata kami engkar tak bersolat Jumaat. Itulah sahaja masa yang sempat untuk kami berjalan lompat pulau di Krabi. Dan tidak menjadi kewajiban pun untuk kami bersolat Jumaat di masjid disebabkan sedang bermusafir jauh.


Jam 4 lebih kami kembali ke resort. Alhamdulillah beg-beg sandang yang baru dibeli di Ipoh beberapa hari sebelum itu sudah kering setelah terpaksa dibasuh bersih sebaik sahaja sampai ke bilik pada malam sebelumnya iaitu malam Jumaat. Lihat Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Patah sayap bertongkat paruh tetap kami melangkah ke sasaran. Beg-beg terpaksa dibasuh kerana melekat bau ikan. Mana kami tahu ada orang memasukkan guni ikan mentah atau sebagainya ke dalam ruangan letak barang bas dari Hatyai ke Krabi. Rujuk artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Ke destinasi utama walau terlewat satu hari.


Oh. Sebaik sahaja dihantar kembali ke resort selepas 'lompat' pulau kami menyewa 2 buah skuter bagi tempoh 24 jam bermula jam 4.30 petang. Selepas puas berehat, mandi manda dan bersiap kami 6 beranak bersedia untuk keluar jam 5.40.


Misi pertama kami dengan menaiki skuter adalah untuk mengejar pemandangan matahari terbenam di pantai Aonang sebelum masuk waktu Maghrib jam 6.10 petang. Lihat Proper sunset at Aonang.
.

Dengan menaiki skuter juga kami dapat menunaikan solat di masjid Aonang juga makan malam di sekitar...




Zhenghe dan situasi Islam di China masa kini

Salam awal pagi Jumaat 10 Januari, Jumaat ke-2 bagi tahun 2020. Ada sedikit perkongsian daripada satu majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang semalam.


Petang Khamis 2 Januari iaitu pada 8 hari lalu saya mendapat WhatsApp memberitahu tentang acara yang tertera pada poster. Ini adalah majlis pelancaran apa yang dipanggil sebagai Zhenghe Forum Secretariat. Ia merujuk kepada suatu medan perbincangan hubungan China-Malaysia atas nama Laksamana Zhenghe, kadangkala dieja Zheng He. Untuk makluman tokoh hebat ini lebih dikenali oleh para peminat dan pengkaji sejarah Melayu sebagai Laksamana Cheng Ho. 

Beliau adalah pemimpin besar armada kapal kerajaan Cina zaman Dinasti Ming yang terkenal pernah membuat persinggahan beberapa kali di pelabuhan-pelabuhan kerajaan Melayu termasuk Kota Melaka abad ke-15. Atas sebab itu beliau boleh dijadikan ikon hubungan China-Malaysia. Ini boleh digunakan untuk memperbaiki hubungan China tanah besar mereka dengan orang Melayu malah rakyat Malaysia berketurunan Cina dengan orang Melayu.

Tentang Zhenghe atau Cheng Ho yang dikatakan beragama Islam malah sesetengah pihak percaya  berketurunan Nabi Muhammad SAW sudah banyak diperkatakan orang. Tentang majlis pula saya tak tahu apakah yang akan diperbincangkan kecuali ia adalah pelancaran bagi sekretariat berkenaan. Namun sejak minggu lepas saya telah memberikan komitmen untuk datang agar dapat bertemu dengan dua orang rakan aktivis dalam dunia persilatan dan kedaulatan Melayu selepas majlis. Ini adalah untuk membincangkan penganjuran acara ke-22 HIKMAH di ISTAC yang dirancang mahu diadakan pada hari Sabtu 22 Februari 2020. Rujuk blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) tentang apa itu HIKMAH.


Tanpa mengetahui apa-apa pun tentang atur cara kecuali ia dijadualkan bermula jam 2.30 petang Khamis semalam 9 Januari 2020 saya bergegas ke ISTAC dengan menunggang motosikal besar kesayangan selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2 petang. Cuma disebabkan jarak 40 km dari rumah diikuti harus membuat persinggahan ke Batu Caves kemudian suatu tempat di Jalan Ipoh untuk urusan berkenaan buku jam 3.23 petang baru sampai ke perkarangan ISTAC.


Bila dah masuk ke dalam baru nampak apakah yang ada pada majlis.


Baru tahu ada pembentangan ilmu daripada nama-nama yang tertera dalam poster. Sebelum itu yang diedarkan secara elektronik melalui Facebook dan WhatsApp adalah poster tanpa menyebut nama seperti dikongsikan pada awal artikel ini. Apapun ini adalah majlis ilmu pertama saya hadiri di ISTAC buat tahun 2020. Petang Jumaat lepas 3 Januari saya pertama kali datang ke ISTAC pada tahun baru untuk membincangkan tesis dan hal berkaitan bersama penyelia tesis saya, Sheikhul Quliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar.


Ketika masuk ke dalam bilik pembentangan jam 3.26 kedengaran Osman sedang memberikan kata-kata. Rupa-rupanya ia adalah kata-kata penutup daripada beliau sebagai pembentang ketiga dan terakhir majlis. Selepas itu terus masuk sesi soal jawab dan perkongsian pandangan daripada para hadirin. Namun berdasarkan apa yang disebut semasa sesi rasanya saya tidaklah terlepas terlalu banyak tentang Zhenghe.


Saya berkata begini kerana sudah membaca agak banyak tentang tokoh ini. Beliau dikatakan memimpin armada 300 buah kapal dengan 30,000 anak kapal lalu pernah belayar melepasi Lautan Hindi ke Mekah (melalui Jeddah) bagi menunaikan haji. Saya juga sudah menghadiri beberapa majlis ilmu melibatkan Zhenghe. Selain tentang tokoh selalu diperkatakan tentang Islam di China sekurang-kurangnya pada tempoh waktu berkenaan. Lihat artikel-artikel berikut :-







Terus terang cakap pada ketika ini saya kurang berminat untuk tahu tentang Zhenghe dan situasi Islam di China masa lalu. Sebaliknya saya lebih mahu tahu situasi pada masa kini. Daripada segi itu cuma satusoalan yang dibangkitkan pada pusingan pertama sesi soal jawab dan perkongsian pandangan menarik perhatian iaitu mengapa kelihatan hubungan China-Malaysia adalah lebih baik berbanding hubungan China-Singapura? Pembentang pertama iaitu mantan duta Malaysia ke China, Dato' Abdul Majid Ahmad Khan menjawab dengan mengatakan ada kelebihan yang ada pada Malaysia tidak ada pada Singapura. Begitu juga sebaliknya. Namun diakui hubungan China-Malaysia lebih baik berbanding hubungan China-Singapura tanpa memperincikan sebabnya.

Masuk pusingan kedua sesi soal jawab dan perkongsian pandangan saya mengambil peluang untuk bertanya apakah sebenarnya situasi umat Islam etnik Uyghur di wilayah Xinjiang yang dulu dikenali sebagai Turkistan Timur. Betulkah mereka ditindas teruk seperti sering dilaporkan media Barat? Atau ia adalah usaha untuk memburuk-burukkan China? China mendakwa tidak ada membuat apa-apa penindasan. Yang ada cuma usaha membetulkan kepincangan tertentu menurut cara yang boleh diterima...

Dalam hal ini terpanggil saya untuk berkongsi sedikit cerita tentang satu majlis kecil makan malam bersama sejumlah kawan-kawan yang pernah duduk sebilik semasa zaman kolej 30 tahun lalu.  Ia diadakan kurang 2 minggu lalu apabila seorang kawan lama yang sekarang sedang memegang jawatan duta besar Malaysia ke China bercuti ke tanah air. Dah tentulah ada antara kami bertanya tentang situasi di Xinjiang itu. Kawan tersebut cuma menjawab ia harus berada di 'tengah-tengah' (somewhere in-between) antara situasi yang dilaporkan media Barat dengan apa yang dilaporkan oleh China.

Kami tidak bertanya lebih setelah itu kerana faham kedudukan kawan itu harus menjaga kata-kata sebagai seorang diplomat utama. Apa lagi antara kami ada 2 orang bekas wartawan termasuk saya. Takut nanti ada yang terlepas cakap kepada umum sehingga boleh menyusahkan kawan. Tentang ini Abdul Majid tidak mahu berkata apa-apa. Beliau cuma menjawab hal kedua ditanyakan saya iaitu bagaimana tentang satu perselisihan yang berlaku baru-baru ini di perairan Pulau Natuna, dalam Laut Cina Selatan antara kapal peronda Indonesia dengan kapal peronda China? Ini dilaporkan berlaku kerana China 'menceroboh'. Sedangkan menurut konvesyen antarabangsa ia memang perairan Indonesia.

Kata Abdul Majid ia memang hal yang susah untuk diselesaikan kerana masing-masing pihak berpegang pada pendirian masing-masing. Memang konvesyen antarabangsa meletakkan ia dalam perairan Indonesia. Tetapi China tidak menerima konvensyen tersebut. Sebaliknya mereka memberikan alasan sejarah bahawa para nelayan China sudah lama mencari ikan di situ sejak zaman berzaman...


Sebetulnya kalau tidak ada sesiapa pun mahu menjawab tentang hal Uyghur dan Xinjiang ini tak mengapa. Saya boleh faham kerana banyak perkara perlu dijaga apa lagi pada majlis terbuka seperti ini. Ada hadirin daripada negara-negara luar termasuk diplomat dan pensyarah daripada Iran dan sebagainya selain rakyat China. Maka itu Osman yang turut mempengerusikan majlis tidak menekan bagi mendapatkan jawaban atau apa-apa kepastian. Sebaliknya pembentang kedua, Profesor Madya Dr Haiyun Ma yang merupakan seorang China Muslim tapi bertugas di Amerika sudi memberikan sedikit pencerahan. Kata beliau harus dilihat Xinjiang dalam konteks apa yang berlaku selepas kejatuhan Soviet Union (sekarang Russia) iaitu pada tahun 1990an diikuti situasi di negara-negara berdekatan seperti Afghanistan. Ada kumpulan-kumpulan ekstremis Islam muncul membuat keganasan dan di Xinjiang sendiri timbul kumpulan-kumpulan pemisah yang bermasalah. Diakui memang ada 'something going on' (sesuatu yang berlaku, kita faham-faham aje le). Tetapi ia harus dilihat dalam konteks China harus berhadapan dengan pihak-pihak yang membuat kekacauan. 

Turut saya tanya dalam hal Xinjiang juga perselisihan perairan di Laut Cina Selatan adalah bagaimana caranya sekretariat boleh melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah. Jawaban diplomatik yang dibuat Osman adalah secara adilnya (to be fair) ini bukanlah tempatnya untuk melakukan itu. Cukuplah perkongsian daripada majlis ilmu pertama di ISTAC dihadiri buat tahun ini, merangkap majlis ilmu pertama 2020 dihadiri di mana-mana.






Tuesday, January 07, 2020

Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Ke destinasi utama walau terlewat satu hari

Salam 7 Januari 2020 bersamaan 11 Jamadilawal 1441 Hijriah. Masuk pada cerita hari ke-4 perjalanan saya dan keluarga ke selatan Thailand baru ini. Bersambung daripada artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Patah sayap bertongkat paruh tetap kami melangkah ke sasaran.


Pagi Khamis 19 Disember 2019. Keluar sebentar daripada hotel tempat kami menginap di Hatyai sementara isteri dan anak-anak terus berehat.


Selepas menghirup udara luar bawah saya naik ke lantai tertinggi dapat dicapai di hotel. Ia memberikan pemandangan menarik bagi kota yang merupakan terbesar di Thailand selatan dari Bangkok. Lihat artikel Views from top floor of Hatyai's Central Hotel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Menuju kembali ke bilik di tingkat 6 kelihatan papan tanda kecemasan. Lihat betapa lentiknya orang-orang yang lari daripada api itu. Ni 'aw-awa' ke pompuan? :]


Jam 12 tengah hari baru bersedia untuk meninggalkan hotel.


Sesungguhnya setelah melalui cabaran kereta rosak yang boleh sahaja membatalkan langsung  perjalanan lega sungguh kami sudah sampai dan menginap satu malam di selatan Thailand. Rujuk kembali cabaran dan perasaan yang dinyatakan dalam 3 artikel terdahulu :-





Sekarang sampai masanya untuk bergerak ke destinasi utama bagi perjalanan ini iaitu Krabi lebih 270 km ke arah utara Hatyai. Tanpa perlu menunggu lama dapat kenderaan tuk-tuk di luar hotel dengan harga berpatutan ke stesyen utama bas. Kalau tak kami ambil Grab...


Yang bawa pun orang Melayu tempatan, seorang pakcik tua yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Harga tak banyak beza dengan Grab bagi jarak yang sama malah ruangan lebih selesa dan luas lagi.


Seronok anak bongsu kami si Johan. Dia memang suka naik tuk-tuk. Tapi katanya paling best adalah di Cambodia penghujung tahun 2018 terutama di Siem Reap dan Kampong Cham. Di kedua-dua tempat ini kami naik tuk-tuk yang buatannya kelihatan seperti kereta kuda ditarik dengan motosikal. Lihat artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Siem Reap sebagai tapak permulaan penjelajahan diikuti Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Antara tarikan purba kuil Preah Vihear dengan panggilan keMelayuan Kampong Cham.


Pakcik tersebut menunjukkan kami sebuah kedai Muslim halal yang terdekat dengan kaunter tiket bas ke Krabi. Diturunkan kami dengan pesan jangan dilayan nanti orang-orang yang menawarkan tiket di luar kaunter. Mereka memang nak ambil untung lebih.


Selepas makan tengah hari puas-puas kami pun ke kaunter. Sebetulnya hari sebelumnya pun saya sudah meneliti harga dan senarai tambang serta kenderaan ke Krabi melalui Internet. Dengan terus pergi ke kaunter bas tempatan tanpa melalui ejen kami mendapat harga tiket yang lebih separuh murah berbanding apa yang biasa disuakan kepada pelancong dalam Internet.


Dan alhamdulillah juga dapat bas yang sudah mahu bergerak jam 1.30 petang. 


Ia sebenarnya adalah bas ke Phuket yang membuat perhentian di stesyen Krabi.


Basnya cukup selesa. Kami 6 beranak  'conquer' 2 baris tempat duduk di belakang...


Jam 4 berhenti di kota Trang untuk penumpang makan dan sebagainya.


Letaknya lebih sedikit separuh perjalanan ke Krabi.


Menurut rancangan asal sepatutnya hari sebelumnya iaitu petang Rabu  18 Disember kami sudah selamat sampai lalu mendaftar masuk ke sebuah hotel di Krabi.


Menurut rancangan itu lagi sepatutnya siang hari Khamis itu 19 Disember pula dipenuhi dengan perjalanan menaiki bot melawat beberapa pulau di luar pantai Ao Nang 16 km ke timur bandar Krabi.


Tapi apa nak buat? Rancangan memandu kereta sendiri pusing selatan Thailand sudah bertukar menjadi perjalanan backpackers atau merantau dengan beg sandang akibat kerosakan kereta. Jam 6.45 baru sampai ke stesyen bas Krabi. Ketika itu sudah gelap, masuk malam Jumaat. Di situ sudah masuk Maghrib sekitar jam 6.10 waktu tempatan yang bersamaan 7.10 waktu Malaysia.


Kami makan malam dahulu di sebuah kedai berdekatan.


Jam 7.43 baru naik tuk tuk ke hotel mendekati pantai Ao Nang.



Sunday, January 05, 2020

Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Patah sayap bertongkat paruh tetap kami melangkah ke sasaran

Hari ini 5 Januari 2020 genaplah umur isteri saya 45 tahun menurut kalendar Gregorian Barat. Sempena itu biar dipersembahkan artikel bagi hari ke-3 perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 baru ini. Bersambung daripada Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Antara minyak enjin bocor meleleh dengan bandar raya Ipoh.


Pagi Rabu 18 Disember 2019. Pemandangan dari bilik hotel tempat kami menginap malam sebelumnya.





Inilah hotelnya. Agak-agak kat mana?


Sekitar jam 11 baru kami check out atau mendaftar keluar untuk meneruskan perjalanan...


Ah. Nampak macam masih di Malaysia lagi ini. Tetapi di belah mana?






Kami membuat perhentian di tempat yang kelihatan.


Layan makan tengah hari sebelum meneruskan urusan.



Ah. Apa pula ini? Kenapa kelihatan beg-beg sandang diatur di luar kereta begini.


Meter kereta pula menunjukkan jarak pemanduan sejak meninggalkan rumah kami di Sungai Buaya, Rawang pada hari Isnin malam Selasa 16 Disember baru mencapai 217.9 km. Ini termasuk jarak bergerak ke arah selatan dan barat untuk mengambil dua orang anak besar sebelum menyambung perjalanan ke utara. Rujuk artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Manusia merancang Allah SWT jua menentukan.


Ah. Ni kenapa semua pakai beg sandang? Buat susah-susah je sedangkan kami kan ada kereta?


OK. Sekarang baru boleh diceritakan apakah yang sebenarnya telah berlaku.


Merujuk pada hal kerosakan kereta seperti diceritakan dalam artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Manusia merancang Allah SWT jua menentukan diikuti Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Antara minyak enjin bocor meleleh dengan bandar raya Ipoh. Adapun ketika kereta masih cuba diperbaiki di kawasan perindustrian Gopeng pada hari Selasa malam Rabu 17 Disember isteri telah menghubungi seorang kawan yang menetap di Ipoh. Kawan tersebut datang ke bengkel untuk bertemu lalu menemani kami. Dibawanya sekali makan malam yang dibeli di kedai berdekatan.


Ketika itu kami masih berharap dapat bertolak ke sempadan Thailand malam itu juga. Ternyata jam 10 malam baru kereta dapat dibawa keluar bengkel. Sudah terlalu lewat untuk masuk ke Thailand yang sempadannya pun masih terletak lebih 320 km ke utara lagi. Ini adalah bersamaan 3 jam setengah perjalanan kereta tanpa henti, itupun kalau melalui lebuh raya. 

Kami sudah terlalu penat hampir 24 jam berhadapan dengan urusan kereta rosak. Kawan tersebut mencadangkan agar berehat dahulu di Ipoh. Malah dia berbaik hati membelanja kami 6 beranak 2 bilik hotel di Simpang Pulai, dekat selatan Ipoh. Kata beliau esok siang baru difikirkan kembali perjalanan.


Sebenarnya kereta kami tidak lagi cukup 'sihat' untuk berjalan jauh. Nak berjalan dekat pun kena berjaga-jaga dan berhati-hati. Bila berhenti di lampu isyarat dan sebagainya enjin mudah mati.


Apa yang berlaku adalah walaupun masalah asal yang menyebabkan enjin kereta mati di Lebuh Raya PLUS bersebelahan Gua Tempurung (lihat Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Manusia merancang Allah SWT jua menentukan ) iaitu oil seal rosak atau koyak dapat diselesaikan timbul masalah lain pula. Ini disebabkan kereta terus dipandu buat beberapa lama dalam keadaan minyak enjin sudah kosong atau keluar kesemuanya.


Walaupun kereta dapat dibawa keluar bengkel ia mengeluarkan bunyi seperti bertih digoreng. Seolah-olah ada suatu sudah patah, seperti ada skru atau cebisan besi berlaga dalam enjin. Difahamkan ini boleh berlaku akibat tiada minyak ataupun pelincir tetapi enjin dipaksa terus bergerak. 

Kerosakan berlaku pada bahagian dalaman yang memerlukan banyak kerja untuk dibuka dan diteliti apa lagi mahu diperbaiki. Mungkin pada injap ataupun valve, mungkin pada crankshaft atau bahasa Melayunya oleng-oleng kalau tak salah.


Yang pasti memang tidak boleh diperbaiki dalam tempoh sehari dua. Kalau diteruskan juga perjalanan takut terbengkalai di tempat lain pula. Atas cadangan kawan dari Ipoh baik kereta ditinggalkan dan diperbaiki di bengkel. Pada mulanya saya ada bertanya pada mekanik muda di Gopeng apakah ini boleh dilakukan di tempatnya sambil kami meneruskan perjalanan menggunakan pengangkutan awam. Beliau tidak dapat memberikan komitmen kerana sudah terikat dengan beberapa kerja lain. 


Kawan dari Ipoh yang merupakan seorang pegawai JPJ, Jabatan Pengangkutan Awam pun menyarankan agar kami berehat dahulu sambil memikirkan jalan. Itu yang diberinya bilik hotel di Simpang Pulai. Ketika itulah beliau menghubungi seorang kawan pomen atau mekanik Melayu yang katanya mampu mengendalikan masalah. Bengkelnya terletak di Chemor, utara Ipoh, dekat terminal bas ekspress di Amanjaya.


Maka diaturlah begini. Siang Rabu bawalah kereta yang enjinnya berbunyi seperti bertih digoreng itu perlahan-lahan ke Amanjaya. Memang jelas bunyi kerosakannya, boleh jadi takut orang yang mendengar.  Dari hotel di Simpang Pulai ada jarak 25 km. Entah boleh sampai ke tidak kami cuma mampu berdoa, berzikir dan mengharap. Kawan tadi sudah kembali ke rumah sendiri malam itu kerana harus masuk bekerja siang hari. Kalau berlaku sesuatu yang tidak diingini kami harus menguruskan sendiri.

Di Amanjaya boleh bertemu dengan pomen lalu beliau boleh mengambil kereta untuk dibawa ke bengkelnya cuma 2-3 km sahaja daripada terminal bas. Kami pula boleh membeli tiket dan mendapatkan bas di terminal untuk meneruskan perjalanan ke utara. Selain itu boleh dibeli beg-beg sandang ataupun haversack di pusat membeli belah bersebelahan. Alhamdulillah dapat juga sampai lalu melakukan apa yang patut. Itu yang nampak dalam satu gambar atas beg-beg sandang diatur di luar kereta...


Bayangkan. Kami membawa begitu banyak barangan untuk 6 orang beranak dalam kereta. Siap bawa toto dan beberapa helai selimut jika perlu tidur di masjid atau surau mana-mana. Disebabkan hendak memandu kereta sendiri bagi jarak keseluruhan perjalanan yang dijangka dan dirangka akan melebihi 2,000 km kami membawa sebanyak mungkin keperluan termasuk seterika dan cerek eletrik.  Dibawa juga satu beg besar makanan bungkus/segara. Tiba-tiba harus beralih pada beg sandang. 

Bayangkan bagaimana kami perlu mengatur kembali barangan supaya dapat dibawa sebanyak yang mungkin di atas badan pula, bukan lagi dalam kereta. Kalau tahu boleh jadi begini tentu lebih awal disediakan barangan dalam beg sandang. Di rumah ada beberapa buah tapi kami tak bawa. Dah nak kena cari dan beli baru...


Nasib baik ada diskaun atau tawaran baik di pusat membeli belah. Beg sandang jenis bagus yang setiap satu berharga lebih RM120 dapat dibeli pada harga RM70 sebuah. Kami beli 4 untuk dipakai setiap satu oleh saya, isteri dan 2 orang anak besar. Dua orang anak kecil sudah sedia membawa beg sandang saiz kanak-kanak. 

Dengan itu kami mengambil bas ekspress dari Ipoh ke Butterworth. Dari Butterworth naik kereta api komuter ke Padang Besar. Tak dapatlah mengikut rancangan asal masuk ke selatan Thailand melalui Wang Kelian kerana tidak ada kemudahan. Tidak dapat juga dilaksanakan rancangan untuk melihat kesan dan tempat-tempat bersejarah milik orang Melayu di Satun yang dahulunya merupakan wilayah milih Kedah bernama Setul.


Dari Padang Besar ada kereta api sekitar 55 km perjalanan ke Hatyai. Cuma tak sempat hendak dikejar kerana ada satu sahaja setiap petang dan ia dijadualkan bertolak pada jam 5. Dari Ipoh pun kami bertolak dekat jam 3.30 sedangkan tiket dibeli untuk bas jam 2.30 - ia sampai lewat sejam kerana katanya ada kesesakan luar biasa di Lebuh Raya PLUS akibat kemalangan jalan raya. Sampai ke stesyen kereta api Butterworth pun dah dekat 6 petang. Sekitar jam 6.25 baru dapat komuter yang pada jam 7.13 baru sampai ke stesyen Gurun, Kedah. Itu yang ditunjukkan satu gambar di atas kerana kelihatan Gunung Jerai di latar belakang sebagai satu penanda aras.

Kami sampai lalu turun di stesyen Padang Besar pada jam 8.18 malam. Kalau ada kereta api ke Hatyai di situ juga boleh diselesaikan segala urusan imigresyen dan keluar masuk sempadan. Sebaliknya kami harus berjalan kaki jauh untuk sampai ke  pintu keluar sempadan Malaysia bagi kenderaan bermotor dan orang awam (bukan jalan kereta api) sebelum meneruskan ke pintu masuk Thailand yang berkenaan. Selesai segala urusan sudah jam 9.19 malam (waktu Malaysia, waktu Thailand lewat sejam).


Ketika itu tidak ada lagi kenderaan minivan ataupun bas yang boleh dinaiki dengan tambang 50 Baht (hampir bersamaan RM7 pada kadar tukaran semasa) sekepala untuk ke Hatyai. Kami tiada pilihan selain menaiki hi-lux yang ibarat teksi pada harga 1,000 Baht (hampir RM140) sekali pergi satu kereta. Kalau ada minivan kosnya harus paling tinggi pun 300 Baht untuk 6 enam beranak, insyaallah boleh kurang menjadi 250 Baht kerana ada 2 orang kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah. Itupun nasib baik juga ada 2 orang Malaysia yang mahu ke Hatyai naik bersama lalu kos dapat dikongsikan. 

Oh. Kalau menurut jadual asal sepatutnya petang itu kami sudah mendaftar masuk atau check-in di hotel dekat pantai Aonang di Krabi. Duit sewanya pun sudah dibayar melalui atas-talian ataupun on-line. Tapi memang tak sempat nak kejar. Lokasinya adalah lebih 300 km dari Padang Besar. Kalau dari Hatyai pun perjalanan bas memerlukan masa lebih 5 jam.

Itu yang menyebabkan saya memutuskan untuk bermalam di Hatyai, bukan di Krabi seperti yang dirancang dengan memandu kereta sendiri. Sebetulnya semasa di Ipoh malam sebelumnya pun sudah dijangka hal ini lalu dirangka perubahan apabila masuk waktu Isyak... setelah didapati kereta masih belum siap kerja di bengkel Gopeng. Kalau dapat diperbaiki sepenuhnya malam itu pun tak sempat mengejar laluan masuk Wang Kelian ke Satun kerana difahamkan ia tutup jam 10 malam. Kalau nak teruskan masuk ke Thailand kena ikut laluan Bukit Kayu Hitam yang buka 24 jam. 

Sebenarnya masih ada masa untuk berkejar ke Krabi melalui Satun siang hari Rabu. Ini kerana pintu sempadan di Wang Kelian dibuka pada jam 8 pagi kalau tak salah. Masih ada masa untuk berkejar ke sempadan malam itu juga sebelum dipanjangkan perjalanan. Tapi itu kalau kereta dapat diperbaiki sepenuhnya di Gopeng selewatnya tengah malam. Dalam keadaan ini tidak dapat dipastikan menjelang waktu Isyak adalah lebih bijak ditukar rancangan. 

Nasib baik boleh diatur perubahan dengan hotel di Krabi melalui seorang perempuan Melayu warga tempatan. Beliau telah dihubungi isteri bagi perkhidmatan bot ke pulau-pulau di luar pantai Aonang. Dengan pertolongan beliau tarikh tempahan hotel masuk petang Rabu 18 Disember dan keluar tengah hari Jumaat 20 Disember (kami ambil 2 malam) dapat dianjakkan ke Khamis hingga Sabtu 19-21 Disember.


Tentang hal perkongsian tambang 1,000  Baht 'teksi' hi-lux dengan 2 orang Malaysia saya rasa harus menyatakan ini. Salah seorang daripada 2 orang ini ada mendakwa merasa kasihan melihat kami sekeluarga berjalan penat-penat dengan beg-bes besar lalu sanggup menunggu kami selesai urusan imigresyen Thailand supaya dapat berkongsi kenderaan bersama. Katanya untuk menjimatkan kos kami. Saya yang bersifat lurus bendul pun terus membuat kira-kira begini atas nama keadilan pengagihan kos. Kami ada 6 beranak tapi 2 orang daripada adalah kanak-kanak. Jadi biar kanak-kanak dikira separuh kos dewasa. 

Maka jadilah kos untuk kami seperti 5 orang dewasa (4 dewasa + 2 orang kanak-kanak x 1/2 kos dewasa). Campur dengan 2 orang Malaysia tadi jadi 7 bahagian. Maka kos yang boleh dikira adil adalah 1,000 Baht dibahagi 7 kemudian dikali kembali dengan jumlah masing-masing. Jadilah begini = 1,000 / 7 = 142.857 atau bulatkan jadi 143 Baht seorang. Maka untuk kami anak beranak jadi 143 x 5 = 715 Baht. Bulatkan jadi 700 Baht. Baki 300 Baht mereka berdua tambah ataupun top-up.

Hal ini kelihatan cukup adil kerana bila masuk hi-lux pun mereka berdua dapat ruang duduk biasa di  hadapan yang cukup selesa bersama saya dan seorang anak laki-laki. Isteri dan anak-anak lain duduk bersila di bahagian belakang yang tiada kerusi.  Apabila sampai ke Hatyai yang mana perkara pertama dibuat adalah ke stesyen bas kerana 2 orang tadi mahu ke Bangkok begitulah pembahagian bayaran. Apabila didapati tiada lagi bas malam kami diusung dahulu ke sana ke mari untuk mereka mencari tempat makan sebelum kami dihantar ke hotel tengah kota yang ditempah dalam bas Ipoh ke Butterworth.

Bila difikirkan kembali dengan teliti hal ini terasa seperti telah diguna. Kalau betullah orang Malaysia tadi benar-benar mahu menolong kami dia boleh membuat tawaran pembahagian kos 50/50. Saya bayar 500 Baht untuk kami sekeluarga, dia 500 Baht untuk diri dan kawannya. Daripada segi per kepala memang kelihatan tidak adil. Tetapi daripada segi hakikat perkara? 

Saya boleh sahaja mengambil satu kereta hi-lux dengan bayaran 1,000 Baht itu lalu bergerak  lebih selesa anak beranak kerana cuma kami sahaja mengambil ruang tanpa perlu memikirkan kehendak dan laluan orang lain. Ini boleh disamakan dengan bayaran 200 Baht untuk 4 orang dewasa campur 100 Baht bagi 2 orang kanak-kanak. Memang pun kami ditawarkan begitu apabila terjumpa warga tempatan berkenaan di luar kompleks imigresyen Thailand. Tetapi untuk 2 orang Malaysia itu? Kalau ambil satu kereta tanpa berkongsi dengan kami tetap kena 1,000 Baht. Bagi 2 orang bersamaan 500 Baht satu kepala. Nampak tak siapakah sebenarnya yang untung? Siapa sebenarnya menolong siapa?

Saya rasa harus menyebut cerita ini panjang lebar kerana melihat hal serupa selalu berlaku dalam dunia nyata. Orang yang manis mulut seperti orang politik selalu mendakwa melakukan sesuatu atas dasar kasihan atau 'ikhlas' mahu menolong kita. Walhal kira-kira sebenarnya apabila dapat diperincikan segala butiran adalah mereka menolong diri sendiri sahaja. Itupun nasib baik kalau tidak ditipu lalu diambilnya lain-lain bahagian daripada kita...

Apapun alhamdulillah kami selamat sampai ke Thailand lalu dapat berjalan-jalan di bandar raya Hatyai sebelum kembali menginap di hotel. Walaupun keadaan kami boleh dikatakan hampir ibarat seperti "patah sayap bertongkat paruh" tetap kami terus melangkah dengan melakukan beberapa perubahan rancangan. Paling baik sebenarnya dalam keadaan ini adalah dapat melihat bagaimana isteri dan anak-anak tidak langsung merungut malah terus ceria menghadapi dugaan yang boleh tahan berat. Dalam keadaan ini rasa sayang kepada isteri terasa semakin bertambah-tambah. Sesungguhnya dia memang perempuan yang hebat, dapat menampung dan membantu perjuanganku bagi menghadapi cabaran besar ummah akhir zaman. Selamat hari jadi yang ke-45 wahai isteri tersayang... :]