Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, July 10, 2010

Bugis bersamaan Balqis?

Tanya sama itu hud-hud...

Kitab Tuhfat Al-Nafis yang dikarang Raja Ali Haji kira-kira 150 tahun lalu ada menyebut (saya salin bulat-bulat daripada versi yang dicetak Malaysia Publications Ltd di Singapura tahun 1965):

"Bermula adalah asal raja Bugis yang mengembara ka-sabelah barat daripada pehak tanah sa-belah Bugis ada-lah asal-nya sa-orang raja perempuan: nama negeri-nya Luwok, nama raja-nya itu Sat Malangkaii; ada-lah Sat Malangkaii itu pada sa-tengah kaul orang Bugis keturunan Puteri Balkis, konon, di-dalam pada itu Allah s.w.t. yang terlebeh tahu akan hakikat al-lamur kalhatha, kerana Balkis itu di-negeri Siba, pehak Yaman, anak raja Jin jadi isteri Nabi Allah Sulaiman..."

Hmm. Rasanya cukuplah disalin bahagian itu sahaja ya. Nak salin semua yang berkaitan panjang pula. Cukuplah diberitahu, walaupun dalam ayat atas, Raja Ali Haji menggunakan perkataan "konon" apabila menyebut tentang cerita sesetengah orang Bugis bahawa Sat Malangkaii, juga dikenali sebagai Siti Malangkai atau Siti Malangkek itu berketurunan Ratu Balqis, beliau tetap menambah ini sebenarnya tidak mustahil kerana anak cucu Rasulullah SAW juga banyak bertebaran di bumi sebelah sini walhal baginda hidup dan wafat di Tanah Arab. Seterusnya kitab Tuhfat Al-Nafis menyebut Siti Malangkek berkahwin dengan raja Bugis yang paling besar di Luwuk. Dari keturunan merekalah muncul raja-raja yang memerintah kerajaan-kerajaan Bugis serta para pahlawan mereka... termasuk apa yang kita kenal sebagai Daeng 5 bersaudara iaitu Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi yang banyak mencorak pemerintahan dan sosio-politik Tanah Melayu abad ke 18 Masihi.

OK. Saya tak pasti bilakah Siti Malangkek ini muncul di Tanah Bugis iaitu Pulau Sulawesi yang nama lamanya adalah Silangi. Tetapi setelah melihat satu salasilah versi kerajaan Bugis Wajo rasanya beliau muncul sekitar atau sebelum abad ke 8 Masihi. Setahu saya lagi tidak ada sumber bertulis lain dari Tanah Bugis yang menyebut asal-usul keturunan Siti Malangkek yang dikatakan dari Ratu Balqis. Yang saya tahu penulisan dari Tanah Bugis sendiri menyebut, kebanyakan pemuka atau pendiri kerajaan Bugis adalah para To Manurung, orang-orang sakti yang tidak diketahui asal-usul mereka, mungkin dari kayangan dan sebagainya. Apapun biar kita tumpukan sahaja pada teori bahawa Siti Malengkek memang berketurunan Ratu Balqis. Ada sesuatu yang ingin diluahkan dan saya pun tak pasti apa sebenarnya dan bagaimana kecuali saya harus menulis apa sahaja yang terbetik di hati tanpa perlu lagi membuat rujukan ke sana ke mari.

Suatu masa dahulu saya pernah terbaca bahawa raja-raja lama Habsyah atau Ethiopia adalah berketurunan Ratu Balqis. Ini memang boleh diterima memandangkan Habsyah itu letaknya sangat dekat dengan Yaman di mana kerajaan Saba' yang diperintah Ratu Balqis pernah berpusat. Ratu ini diketahui cuma pernah berkahwin dengan Nabi Sulaiman AS yang memerintah dari Baitul Muqaddis. Maka keturunan Ratu Balqis juga bermakna keturunan Nabi Sulaiman dan ini turut disinggung dalam kitab Tuhfat Al-Nafis.

OK. Rasanya pembaca mesti tahu bahawa Nabi Sulaiman adalah anakanda Nabi Daud dan mereka memang pemerintah kerajaan Bani Israel. Nabi Daud menjadi raja menggantikan Raja Thalut untuk memimpin Bani Israel menangani musuh mereka sehingga terdirilah kerajaan Bani Israel yang berdaulat. Nabi Sulaiman mewarisi pemerintahan kerajaan Israel Raya yang menurut sejarawan Barat meliputi sebahagian besar Asia Barat. Namun menurut pemahaman melalui pembacaan Al-Quran yang menyebut Nabi Sulaiman diberikan mukjizat sehingga mampu menundukkan jin dan syaitan, boleh bercakap dengan haiwan dan boleh menggunakan angin untuk membawanya ke mana sahaja, tidak mustahil bahawa baginda sebenarnya memerintah seluruh dunia!

Peliknya orang Yahudi sendiri tidak menghormati Nabi Sulaiman. Walhal mereka sangat menyanjung tinggi ayahandanya Nabi Daud. Lalu muncul ungkapan "Star of David" (bintang Nabi Daud) merujuk kepada bintang segi enam yang tertera pada bendera Israel. Malah sedikit pembacaan yang saya buat mengenai kitab-kitab agama Yahudi iaitu Torah (berasal dari kitab Taurat Nabi Musa yang diselewengkan) dan Talmud (mengandungi ulasan para pendeta mereka dalam menafsirkan Taurat mengikut zaman) menunjukkan mereka menganggap Nabi Sulaiman sebagai ahli sihir! Kemungkin besar ini berlaku kerana perebutan takhta yang membawa kepada perpecahan serta kejatuhan kerajaan Israel Raya dahulukala. Lalu kitab-kitab suci terutama Talmud yang memang merupakan komentar semasa dirobah menjadi anti Nabi Sulaiman...

Kita tahu bahawa Nabi Sulaiman ditunjuk Nabi Daud untuk mewarisi pemerintahan baginda atas kecerdasan yang pernah ditunjukkannya semasa zaman budak ataupun remaja. Tapi sedarkah pembaca bahawa Nabi Daud memiliki ramai anak, antaranya lebih tua lalu menganggap mereka lebih berwibawa daripada Nabi Sulaiman? Ada disebut Nabi Daud memiliki 99 orang isteri. Kemungkinan besar ada anak yang lain teringinkan takhta tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana satu, Nabi Daud sendiri telah menunjukkan Nabi Sulaiman sebagai pengganti dan kedua mukjizat Nabi Sulaiman menjadikan baginda sangat perkasa sehingga tidak boleh ditentang selagi hidup.

Namun cerita berubah selepas Nabi Sulaiman wafat. Kerajaan Israel Raya berpecah dua, satu yang menyokong keturunan Nabi Sulaiman, kemungkinan besar dari titisan Ratu Balqis dan satu lagi menyokong keturunan anak Nabi Daud yang lain dan inilah kerajaan yang lebih besar kerana entah kenapa, lebih banyak penyokongnya. Perpecahan ini berlaku sekitar 800-900 tahun sebelum Masihi. Kerajaan Israel yang berpecah semakin lemah lalu mula ditundukkan musuh satu demi satu. Kalau tak salah ingatan kerajaan terakhir warisan Israel Raya diruntuhkan langsung oleh kerajaan Babylon dan kaum Bani Israel dijadikan hamba.

OK. Ada pihak yang percaya bahawa Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam Al-Quran itu adalah keturunan Nabi Sulaiman. Apakah dari titisan Ratu Balqis? Saya rasa ini tidak mustahil. Sekitar tahun 550 sebelum Masihi muncul Raja Khurush atau Cyrus the Great dari Parsi menakluki sebahagian besar dunia bertamadun. Ramai yang telah menyatakan inilah Iskandar Zulkarnain yang disebut dalam Al-Quran dan saya ingin menambah, ada kemungkinan Alexander the Great yang muncul di Macedonia sekitar 330 sebelum Masihi itu keturunan Cyrus yang terdampar di penghujung empayar kemudian naik untuk menguasai kembali jajahan takluk nenek-moyangnya.

Berbalik pada hal Bugis. Ada yang menyebut perkataan Bugis itu sendiri berasal dari Balqis. Oh, harus diingatkan bahawa Ratu Balqis memiliki darah raja jin bercampur darah raja manusia. Campurkan dengan darah Nabi Sulaiman maka boleh dikatakan keturunan mereka memiliki darah atau atau satu set genetik yang berkaliber lagi ada satu macam kuasa.

Saya pernah bertanya kepada orang tertentu apakah betul perkataan Bugis itu berasal dari Balqis. Katanya itu separuh betul. Bugis itu merujuk kepada satu bangsa dalam istana dari keturunan Balqis. Memandangkan kemungkinan besar jurai keturunan Balqis ada banyak pecahan, mungkin Bugis itu sendiri merujuk kepada satu jurai tertentu sahaja. Yang pasti bangsa Bugis di Nusantara terkenal sebagai satu bangsa perkasa yang amat berani dan pandai berperang. Ada yang menambah, disebabkan mereka berasal dari keturunan Ratu Balqis yang ada darah jin, maka orang Bugis ada gerak rasa semulajadi untuk menembus dan berinteraksi dengan alam ghaib, wallahualam.

Dahulu saya juga agak skeptikal apabila disebut tentang kelebihan bangsa Bugis. Walaupun saya juga memiliki darah Bugis, saya tidak dapat menerima dakwaan saudara-mara dari belah sana bahawa bangsa Bugis pernah berkuasa dan memerintah seluruh Nusantara. Saya terasa dakwaan ini sama sahaja seperti apabila satu pihak berdarah Siam memutar-belit sejarah sehingga mencipta empayar khayalan yang kononnya memerintah seluruh Nusantara malah hingga ke Australia. Mana mungkin satu kerajaan yang diketahui sejarah cuma berpusat di Pulau Sulawesi pernah memiliki jajahan takluk seluas itu?

Mungkin saya pernah berfikir begitu kerana terlalu mengutamakan darah keturunan belah bapa yang membawa ke Aceh. Namun hakikatnya nenek moyang saya di Aceh dari pertengahan abad ke 18 dikenali sebagai keluarga apa yang dipanggil sebagai Raja-raja Aceh Dinasti Bugis. Ini disebabkan mereka semua berpunca daripada seorang moyang bernama Daeng Mansur yang datang dari Tanah Bugis ke Aceh abad ke 16 Masihi. Namun apabila diteliti balik cerita berkaitan, Daeng Mansur sebenarnya adalah cucu kepada seorang raja besar Aceh yang berkahwin dengan seorang puteri Bugis.

Memikirkan ini, saya terlihat sesuatu dalam menentukan identiti Bugis. Pada mereka kita tetap dikira Bugis asal sahaja ada nenek-moyang berdarah Bugis tak kiralah belah lelaki atau perempuan. Misalnya Sultan Johor sering disebut sebagai Bugis walhal darah Bugis itu muncul daripada perkahwinan Temenggung Tun Jamal yang dipercayai berdarah Sayyid dari Aceh dengan Raja Maimunah ibni Daeng Parani. Pertalian darah dengan Ratu Balqis pula sering diwar-warkan padahal ia adalah dari pihak perempuan iaitu Siti Malengkek. Sebab itu saya diingatkan agar menyertakan sekali nama anak-anak kepada saudara perempuan bapa untuk disertakan dalam satu salasilah besar Bugis. Walhal dalam sesetengah daftar salasilah, misalnya para Sayyid dan Sharifah keturunan Nabi Muhammad SAW, zuriat dari belah perempuan sudah dikira keluar kalau suaminya bukan Sayyid kerana harus menurut nasab belah laki-laki sahaja.

Namun perlu diingatkan seperti sesetengah bangsa lain, tidak semua yang dipanggil Bugis itu boleh dikaitkan dengan bangsawan dan bangsa dirajanya apalagi Ratu Balqis. Saya bagi satu misalan... misal sahaja ya. Ada satu tempat, rakyatnya semua orang asli yang berambut kerinting berkulit sawo matang. Namun raja dan keluarga raja semuanya berkulit putih merah muka berciri Arab. Apa yang berlaku adalah satu masa dahulu, seorang pendakwah bangsa Arab telah masuk ke kawasan pendalaman lalu mengajar penduduk setempat. Disebabkan kewibawaannya, beliau diangkat menjadi raja dan begitu juga keturunannya. Lalu mereka dikenali sebagai raja orang Asli, walhal rakyatnya sahaja yang berketurunan orang Asli, rajanya keturunan Arab.

Berbalik pada rasa skeptikal saya atas dakwaan bahawa Bugis pernah memerintah seluruh Nusantara, saya tidak menerimanya kalau yang dimaksudkan Bugis itu cuma mereka-mereka yang berpusat di Sulawesi. Tapi kalau yang dimaksudkan Bugis itu merujuk kepada keturunan Ratu Balqis sebelum takrif Bugis itu disempitkan kepada penduduk Sulawesi (seperti mana makna Jawi itu luas tetapi disempitkan sesetengah pihak menjadi Jawa di Pulau Jawa), maka tidak was-was lagi bahawa Bugis pernah memerintah Nusantara malah jauh lebih luas dari itu. Apa hendak dihairankan? Sebagai anak cucu kepada Nabi Sulaiman AS yang pernah memerintah seluruh dunia dengan gabungan darah Ratu Balqis yang memerintah kerajaan Saba' yang juga berkelas dunia, apalah sangat Nusantara ini kecuali satu pecahan jajahan takluk mereka jua!

Hmm. Saya rasa itu sahajalah ya luahan berkaitan perkara ini. Kalau pembaca mendapati penulisan ini tidak keruan, anggaplah sahaja ia satu proses melepaskan beban agar nanti saya dapat menerima ilham akan datang. Sekian... :]

Friday, July 09, 2010

Mimpi pelik Kuala Selangor...

Mengambil sempena berkat malam Jumaat... dah kira pagi buta dah no... biar dilepaskan sekali gerak penceritaan ini.


Ini adalah gambar satelit sekitar Kuala Selangor diambil daripada Google Earth versi percuma. Nampaknya terlalu banyak awan sehingga susah untuk melihat keadaan sebenar mukabumi di tepian kuala Sungai Selangor.


Ini pula peta dari Google Map. Ia ringkas tetapi cukup maklumat dan terang untuk menyokong apa yang ingin diceritakan.

Merujuk pada penceritaan dalam artikel Mencari Bukit Raja di Kuala Selangor... singgah juga di Bukit Talang, Kampung Permatang dan beberapa tempat yang baru disiapkan sebelum memulakan artikel ini. Dua hari kemudian iaitu petang Selasa saya tertidur lalu mendapat satu mimpi pelik yang melibatkan Kuala Selangor.

Saya tidak ingat bagaimana ia bermula. Yang pasti, saya sedang berdiri di satu bahagian Kuala Selangor lalu terlihat jambatan baru sedang dibuat untuk merentangi Sungai Selangor lebih dekat ke kuala dan laut berbanding jambatan sedia ada. Jambatan sudah siap sampai ke seberang tetapi masih perlukan kemas-kini lalu belum dibuka. Saya pun teringin hendak melihat lebih dekat lalu dari tempat berdiri sedikit pendalaman saya berjalan kaki melalui satu jalanraya yang belum siap 200 meter menghampiri tebing sungai sebelum jalanraya itu membelok ke kiri kemudian bersambung dengan jambatan.

Tiba-tiba saya mendapati tubuh ini sedang berdiri di atas pulau kecil betul-betul di tengah kuala bersempadan dengan laut. Pada pulau yang cuma sebesar 2 tapak letak kereta ini terdapat sebuah pohon rendang yang seolah-olah membahagikan pemandangan kuala sungai kepada 2. Saya melihat dari sisi kanan membelakangkan laut sementara ada seorang yang tidak dikenali, sedikit berumur berdiri melihat keadaan di sisi kiri. Kelihatan juga sebuah perahu kecil, seolah-olah orang itulah yang bertanggungjawab membawa saya ke sini dengannya...

Dalam keadaan saya masih termangu-mangu memikirkan apa hal pula saya boleh berada di pulau kecil tiba-tiba terlihat ada objek lain muncul di sudut mata. Saya pun memandang ke arah laut. Kelihatan seperti pulau kecil lain tetapi rasanya lebih luas dari tapak rumah bungalow bergerak hanyut... kalau dilihat dari sisi tubuh yang memandang ke laut, ia sedang bergerak dari arah kiri ke kanan. Atas pulau kecil itu saya dapat melihat sejumlah batu nesan besar berbagai rupa yang menyebabkan saya teruja. Namun pulau kecil ini seperti hilang begitu sahaja... saya tidak ingat bagaimana, rasanya fade out gitu...

Kemudian muncul lagi sebuah pulau serupa dari arah sama hanyut ke kanan juga dengan banyak batu nesan seperti milik golongan bangsawan dan kerabat diraja. Tidak seperti pulau pertama, pulau kedua dapat diteliti dengan lebih terang, Lalu saya terlihat satu macam dinding batu di kepala pulau dengan plat-plat besi rasanya tertulis perkataan. Cuma 2 di antaranya yang dapat saya baca, terletak di atas sebelah-menyebelah. Yang di kiri tertulis perkataan Tengku ... (ada satu perkataan yang saya lupa apa) Idrus dan lagi satu cukup terang dan lengkap, Tengku To Bugis.

Sejurus kemudian saya terbangun apabila mendapat panggilan telefon daripada isteri. Kemudian termangu-mangu memikirkan apakah makna semua ini? Apakah ini satu tanda terhadap pencarian yang saya pun belum pasti apa melawat tempat-tempat yang ada aura sejarah lama di sekitar Kuala Selangor dalam tempoh 6 bulan kebelakangan?

Ini kiranya anggaran duduk-letak jambatan belum siap dengan jalanraya yang dilalui untuk sampai ke jambatan, pulau kecil tengah sungai dan pulau hanyut. Rasanya pembaca sedia maklum bahawa ketiga-tiga objek ini tidak wujud dalam dunia nyata yang kita kenali ini. Oh, mimpi dimulakan dengan saya berdiri di kawasan penghujung jalanraya selatan sungai. Harap ada yang dapat memberi tafsiran atau buah fikiran yang boleh merungkaikan sesuatu? Sekurang-kurang siapakah Tengku Idrus dan Tengku To Bugis yang dimaksudkan...

OK. Semasa menulis ayat ini jam sudah melepasi 4:30 pagi. Asalnya saya bercadang untuk menyambung dengan satu artikel mengenai pandangan terbaru saya tentang kaitan Ratu Balqis dengan bangsa Bugis yang melibatkan keadaan sekarang. Namun lebih elok saya berehat merenung waktu malam. Sementara itu silalah menjenguk artikel-artikel terjemahan yang dibuat dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH beberapa hari kebelakangan. Untuk makluman ini adalah artikel ke 696 di sini... :]


The Tariqat of Ahlul Bait 1

The Tariqat of Ahlul Bait 2

The Tariqat of Ahlul Bait 3

The Tariqat of Ahlul Bait 4

Mencari Bukit Raja di Kuala Selangor... singgah juga di Bukit Talang, Kampung Permatang dan beberapa tempat

Assalamualaikum. Dalam artikel Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab yang ditulis 3 minggu lalu, saya ada menyebut:

Hmm... entah kenapa saya masih tidak dapat meluahkan cerita tentang perjalanan menaiki keretapi ke utara yang dibuat hingga masuk ke Hatyai, Thailand lebih 3 minggu lalu. Kalau siap itu saya bercadang mahu melepaskan cerita perjalanan ke Perak yang turut meliputi tempat-tempat di Bernam, Selangor selain Lumut, Beruas dan sekitar Pantai Remis, Perak. Perjalanan itu boleh dikira kesinambungan dari perjalanan menziarahi kesemua makam Sultan dan tokoh-tokoh utama di sepanjang aliran Sungai Perak yang dibuat 6 minggu lebih awal.

Kalau cerita perjalanan Perak itu selesai, saya bercadang untuk akhirnya melepaskan cerita perjalanan pertama saya dan isteri ke Aceh membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid penghujung Januari 2010
.

Adapun cerita perjalanan keretapi hingga ke Hatyai itu telahpun tamat apabila artikel Projek buku keretapi : Kembali dari Hatyai daaa... siap disajikan seminggu lalu. Maka itu saya harus menyajikan cerita perjalanan ke Perak untuk seterusnya. Namun dalam tempoh terdekat ini berlaku sesuatu yang menyebabkan cerita-cerita Perak itu cuma dapat disajikan paling awal pun minggu hadapan. Sekarang, saya harus melepaskan beberapa cerita melibatkan Selangor...


Tengahari Ahad lepas Zuhur, 4 Julai 2010 bersamaan 21 Rejab 1431 Hijriah timbul rasa untuk mencari sebuah bukit tertentu di Kuala Selangor. Seperti biasa isteri mahu ikut membawa anak kecil kami bersama. Tiba di kereta tengok-tengok ada sejenis ulat bulu pelik yang belum pernah kami lihat seumur hidup melekat pada pintu.


Dari rumah di Bandar Tasik Puteri, kami masuk ke Batu Arang menghala ke Batang Berjuntai sebelum menyeberangi Sungai Selangor melalui sebuah jambatan kecil membawa ke sebuah jalan melepasi Universiti Selangor (Unisel) yang boleh membawa ke Tanjung Karang juga Kuala Selangor. Sampai di Kampung Raja Musa hati saya terbetik di sini ada bukit. Ternyata memang ada tetapi selama ini saya yang terlepas pandang...

Walaupun saya pernah melalui jalan ini sekurang-kurangnya 2 kali sebelum itu, saya tidak pernah terlihat walau satupun bukit berdekatan. Rata-rata mukabumi di sekitar sehingga ke beberapa batu setiap arah adalah landai sedangkan bukit yang ada tidaklah setinggi mana... dengan mudah ia boleh terkepong di sebalik pepohon kelapa sawit dan sebagainya...

Kenapa saya ingin mencari bukit? Kerana sejak kebelakangan ini saya semakin terasa bukit-bukit di sekitar Kuala Selangor banyak yang memiliki kesan sejarah silam Melayu lama terutama berkaitan Bugis. Kesan-kesan ini mungkin sudah hilang tetapi auranya adakala masih boleh terasa. Namun aura lama boleh ditenggelami pembinaan estet yang menghancurkan kesan lama fizikal, apalagi apabila ada kuil yang menjadi tempat pemusatan makhluk halus berbangsa kafir menghilangkan kesan spiritual keMelayuan (yang sekurang-kurangnya ada sedikit unsur keIslaman).

Untuk bukit yang baru saya tahu akan kewujudannya ini pula iaitu Bukit Tangga (baru saya tahu nama setelah melihat papantanda), ia rata-rata telah dijadikan tanah perkuburan Cina. Maka kalau ada kesan sejarah Melayu pun rasanya sudah terhakis begitu sahaja. Lagipun bukit yang ingin dicari sebenarnya bernama Bukit Raja. Katanya ia terletak di Kampung Permatang, lebih dekat ke pekan Kuala Selangor. Untuk pengetahuan, walaupun pekan ini terletak sekitar 20 km perjalanan kereta dari Kampung Raja Musa (kalau boleh terbang terus, jaraknya cuma 15 km sahaja...), daerah Kuala Selangor lebih luas sehingga meliputi Batang Berjuntai dan Ijok.



Dalam artikel Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung yang ditulis pada hari yang sama selepas artikel Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab ada diceritakan, selepas mendaki Bukit Jeram saya pergi ke Bukit Melawati lalu memasuki muzium yang ada. Kemudian disebut:

Di muzium itu saya menyemak kembali maklumat dengan kedudukan bukit-bukit bersejarah yang ada di dalam daerah Kuala Selangor termasuk Bukit Jeram. Rupa-rupanya Jeram pernah menjadi satu pelabuhan penting dahulukala. Di bukit itu beberapa kerabat diraja pernah mendirikan pusat. Ia juga pernah dijadikan markas tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Adapun dalam beberapa bukit bersejarah yang tersenarai cuma tinggal lagi satu bukit sahaja yang saya tidak tahu lokasinya. Ia adalah Bukit Hospital (yang kemudian saya temui lalu diceritakan dalam artikel tersebut)...

Rupa-rupanya saya tersilap. Saya juga tidak tahu di manakah letaknya Bukit Raja kecuali ia berada di Kampung Permatang yang saya pun tak tahu kat mana. Dengan kuasa Allah, selepas Kampung Raja Musa saya terlepas simpang menuju ke Kuala Selangor lalu terus menghala ke Tanjung Karang. Selepas menyedari kesilapan, saya cuba mencari simpang seterusnya yang boleh membawa ke Kuala Selangor. Lalu dengan tidak sengaja ternampak bukit ini...

Pondok yang ada kelihatan sama seperti dalam gambar Bukit Raja yang ada di muzium, pondok yang melindungi satu kawasan pemakaman diraja. Alhamdulillah setelah bertanyakan penduduk memang inilah bukitnya. Dan kawasan ini memang termasuk di dalam Kampung Permatang!




Untuk naik ke atas, kita boleh masuk melalui kawasan sekolah...




Maklumat yang ada menyebut bukit ini pernah menjadi tempat Raja Nala berkubu menentang Belanda. Untuk pengetahuan Raja Nala adalah anakanda kepada Sultan pertama Selangor, Sultan Salehuddin @ Raja Lumu ibni Daeng Chelak. Raja Nala menjadi Raja Muda ketika kekandanya Sultan Ibrahim memerintah sebagai Sultan kedua penghujung abad ke 18 Masihi.






Namun setahu saya Raja Nala sendiri mangkat di Aceh. Maka saya tak tahu siapakah yang disemadikan di bukit ini., apakah ahli keluarga terdekat Raja Nala? Yang pasti mereka memang kerabat diraja lama. Lihat artikel Kawasan pemakaman diraja (Royal mausoleum of) Bukit Raja, Kampung Permatang, Kuala Selangor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Di tepi pintu masuk makam terdapat barang lama, saya pun tak pasti apa... macam meriam kecil pula rupanya...



Oh. Pengawal sekolah memberitahu bahawa ada orang yang rajin masuk ke Bukit Raja lalu membersihkan kawasan makam. Katanya orang itu juga selalu menziarahi makam-makam lama di satu bukit lain dipanggil Bukit Talang. Saya pun meminta arah ke sana. Kebetulan jalan yang akan diambil melalui Bukit Belimbing. Saya pun singgah bersolat di masjid berdekatan. Lihat Masjid (Mosque of) Nurul Hasanah, Bukit Belimbing, Kuala Selangor. Seperti biasa anak kecil kami Al-Rasyid cukup seronok apabila dapat keluar berjalan...




Kelihatan di latar-belakang gambar Bukit Belimbing dilihat dari luar kawasan masjid. Bukit ini boleh dikatakan pencetus asal pada gerak serius mencari jejak sejarah di bukit-bukit kecil sekitar Kuala Selangor. Lihat artikel Apa ada di Bukit Belimbing? yang ditulis setengah tahun lalu.





Kemudian baru kami mencari bukit yang disebut pengawal sekolah sebagai tempat seorang pelawat ke Bukit Raja juga selalu bertandang untuk menziarahi makam-makam lama. Namanya ialah Bukit Talang, terus teringat kata seorang saudara belah Bugis bahawa keturunannya (sebenarnya keturunan saya juga tetapi induk keturunan saya lebih kuat ke Aceh) dilarang makan ikan talang.



Rupa-rupanya Bukit Talang ini terletak di Kampung Raja Musa juga, kena berpatah-balik lebih 10 km menghala ke Batang Berjuntai. Malah boleh kelihatan Bukit Tangga yang kami temui lebih awal sedikit ke belakang. Patutlah semasa meninggalkan Kampung Raja Musa awal tadi saya terasa ada lagi bukit, selain Bukit Tangga yang dipenuhi kuburan Cina. Cuma saya yang selalu terlepas pandang...

Apapun, Bukit Talang nampaknya adalah bukit utama di sekitar ini. Ladang kelapa sawit yang meliputi jarak lebih 5 km gitu ke semua arah dikenali sebagai estet Bukit Talang. Saya pun naik memanjat untuk menikmati pemandangan yang ada. Lihat artikel Views from Bukit Talang near Kuala Selangor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Selepas itu kami kembali menghala ke pekan Kuala Selangor. Saya mengambil peluang ini untuk meneliti balik kedudukan bukit-bukit kecil. Kelihatan di sini Bukit Kemuning tidak jauh dari Bukit Belimbing. Bukit Kemuning menjadi bukit kecil kedua yang pernah dilawati sekitar ini, lawatan yang dibuat akibat ingin mengambil gambar Bukit Belimbing seterusnya membawa kepada ziarah ke sebuah makam lama sehingga terbuka berbagai cerita. Lihat artikel Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak? yang dibuat Januari 11. Ketika itu saya dan isteri sedang bersiap untuk pertama-kali membawa Al-Rasyid ke Aceh.




Selepas Bukit Kemuning baru kami terlihat Bukit Raja. Baru menyedari kami telah beberapa kali lalu tetapi tidak pernah sedar akan kewujudan bukit ini!




Lalu buat pertama kali juga dalam ingatan kami membelok mengambil jalan Kampung Permatang ke Pasir Penambang...


Baru kami sedar akan kewujudan masjid dengan binaan indah ini. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Permatang, Kuala Selangor.



Kami juga baru tahu di Kampung Permatang terdapat banyak kubur lama termasuk di hadapan masjid...




Kampung ini juga terserlah dengan sejumlah rumah berciri tradisional Melayu klasik...










Namun seperti biasa saya lebih teruja melihat bentuk batu nesan tertentu sehingga sanggup berhenti meneliti apa yang ada. Lihat Tanah perkuburan Islam (Muslim burial area of) Kampung Permatang, Kuala Selangor .




Selesai itu kami berehat mengisi perut di Pasir Penambang. Kelihatan pokok besar yang perdunya terdapat batu nesan Aceh yang pernah mencetuskan satu gerak ilham. Lihat balik artikel Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak? .



Kami membawa Al-Rasyid melihat pemandangan Sungai Selangor di sebelah sini. Lihat The scene at Pasir Penambang...




Di kiri adalah Bukit Hospital dilihat ketika menyeberangi sungai menghala ke pekan Kuala Selangor. Rujuk balik artikel Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung.




Alang-alang dah keluar melihat bermacam bukit di sekitar, terasa mesti melihat juga Bukit Melawati...






Satu lagi bukit penting sekitar pekan adalah Bukit Tanjung Keramat juga dikenali sebagai Bukit Belanda kerana pernah dijadikan kubu mereka.


Tidak jauh dari situ terdapat sebuah bukit kecil dengan makam yang dikenali sebagai makam Keramat Anak Dara di atasnya. Malah bukit ini dengan Bukit Belanda sebenarnya bersambung, sebelum satu bahagian diletupkan oleh penjajah Inggeris dengan alasan mahu menggunakan batu untuk membuat jalanraya...



Kami naik ke Bukit Melawati hampir senja. Dengan ini terlepaslah beban penceritaan untuk perjalanan hari Ahad... :]