Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Februari 19, 2011

Isi perlembagaan Singapura yang bakal memangkin kebangkitan Melayu?

Isi ini diambil dari website atau sesawang kerajaan, Singapore Statutes Online yang beralamat di http://statutes.agc.gov.sg/. Oleh kerana takut dihilangkan jika mendapat perhatian biar dipaparkan melalui teknik print screen... iaitu paparan yang kelihatan dalam komputer diambil terus dijadikan fail gambar.


Subhanallah. Tadi selepas menamatkan satu bab tentang seorang datuk saudara dan anak cucu cicitnya yang bermastautin di Singapura untuk satu projek buku baru saya terlihat komen di Facebook oleh seorang kenalan dari sana yang menyentuh satu bahagian perlembagaan Singapura yang mungkin kurang diketahui ramai. Ini menyebabkan saya mendapat gerak untuk menambah isi berkaitan dalam buku tersebut. Biar disalin kembali di sini untuk tatapan semua.

------------------



Nota tentang kedudukan Melayu di Singapura



Selepas menamatkan penulisan bab mengenai Tok Talib 19 Februari 2011 penulis terlihat satu perbincangan menarik di Internet. Seorang kenalan dari Singapura, penyanyi dan penggubah lagu-lagu kerakyatan (folk songs), saudara Art Fazil yang biasa berulang-alik ke Kuala Lumpur malah sering juga berkarya di London telah membangkitkan satu bahagian perlembagaan Singapura yang selama ini mungkin ramai terlepas pandang. Sebelum itu biar diberitahu. Rasanya umum sedar orang Melayu di Singapura adalah minoriti dalam sebuah pulau yang hampir seratus-peratus dikuasai bangsa Cina hasil polisi Inggeris meminggirkan pribumi sejak sekian lama. Kepada pembaca yang tidak tahu biar diingatkan inilah realiti sebenar di mana walaupun ia sudah mencapai tahap negara maju hakikatnya Singapura takut dengan bayang-bayang kerana dikelilingi jiran-jiran seperti Malaysia dan Indonesia yang majoritinya Melayu Islam. Atas sebab ini orang Melayu Singapura tidak dapat memegang kedudukan tinggi terutama dalam bidang ketenteraan. Ditakuti jika berlaku peperangan orang Melayu situ akan menyokong saudara-mara di luar, bukan kerajaan Singapura yang pro-Cina.

Walaupun ada orang Melayu Singapura cuba menafikan keadaan ini dengan menyebut taraf kehidupan mereka lebih tinggi berbanding saudara sebangsa seagamanya di Malaysia tanpa memerlukan subsidi dan lain-lain keistimewaan Bumiputra, hakikatnya mereka cuma dianggap sebagai satu minoriti kecil yang pandangannya tidak perlu diambil berat oleh pemerintah. Ini boleh dilihat dengan kenyataan terbaru Menteri Mentor Lee Kuan Yew, dahulunya Perdana Menteri Singapura selama beberapa dekad. Tanpa mempedulikan sensitiviti kaum, beliau telah meminta orang Melayu agar ‘meringankan’ amalan mereka dalam beragama agar dapat bergaul lebih baik dengan bangsa-bangsa lain, satu kenyataan yang mengguris perasaan banyak pihak.

Kenyataan beliau ini seperti menggambarkan orang Melayu adalah kolot dan ketinggalan zaman kerana berpegang teguh pada Islam. Apakah dengan ‘meringankan’ amalan seperti sudi duduk semeja ketika orang lain makan babi atau sedia minum arak dikira formula terbaik untuk meningkatkan interaksi antara kaum? Lupakah Lee akan perlembagaan Singapura yang harus mempertahankan hak orang Melayu? Dengan ini biar dipaparkan isi perlembagaan yang berkaitan.

Perhatikan Artikel 152 bahagian (2) yang menyebut “The Government shall exercise its functions in such manner as to recognise the special position of the Malays, who are the indigenous people of Singapore, and accordingly it shall be the responsibility of the Government to protect, safeguard, foster and promote their political, education, religious, economic, social and cultural interest and the Malay language.” Terjemahan penulis: “Kerajaan akan menjalankan fungsi-fungsinya dengan cara yang sepatutnya untuk mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu, yang merupakan penduduk asal Singapura, maka dengan itu adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk melindungi, menjaga keselamatan, menggalakkan dan mempromosi kepentingan politik, pendidikan, keagamaan, ekonomi, sosial dan kebudayaan mereka dan bahasa Melayu.” Perhatikan juga Artikel 153 bahagian (2) yang menyebut “The national language shall be the Malay language and shall be in the Roman script.” Walaupun bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris turut diiktiraf sebagai antara empat bahasa rasmi di Singapura, bukankah ini cukup untuk menunjukkan keutamaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan walaupun cuma dipakai dalam tulisan Rumi, bukannya Jawi?

Isi Artikel 152 dan 153 perlembagaan Singapura ini hampir membayangkan aspirasi yang termuat dalam Artikel atau Perkara 152 dan 153 perlembagaan Malaysia, mungkin akibat Singapura pernah berada di dalam Malaysia 1963-1965. Perbezaan besar cuma terletak pada kedudukan orang Melayu sebagai minoriti di Singapura berbanding saudara-mara mereka yang merupakan majoriti di Malaysia. Selain itu Melayu Singapura juga tidak memiliki satu institusi pelindung tertinggi seperti jabatan Yang dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang kedudukan mereka turut diperuntukkan di dalam perlembagaan Malaysia sebagai memiliki hak penuh dalam menjaga hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu. Namun isi perlembagaan Singapura itu cukup jelas. Orang Melayu di pulau itu sepatutnya turut mendapat keistimewaan serupa seperti di Malaysia. Menarik juga difikirkan apabila ada puak chauvinis berbangsa Cina di Malaysia sibuk cuba menjatuhkan kedudukan orang Melayu dengan menuduh kita sebagai pendatang konon, bukan penduduk asal Tanah Melayu. Walhal pada perlembagaan Singapura sendiri, sebuah negara yang sudah lama dipimpin puak chauvinis Cina terdapat kenyataan yang menyebut bahawa orang Melayu adalah penduduk asal pulau Singapura.

Apapun, itu cuma idealisma di atas kertas yang nampaknya baru kini cuba dibangkitkan penduduk Singapura akibat reaksi terhadap kenyataan Lee Kuan Yew yang menghiris perasaan orang Melayu dan Islam. Realitinya, pergerakan penduduk Melayu Islam yang membentuk kurang 15 peratus dari 4 juta lebih rakyat Singapura dipantau, disukat dan digugat. Difahamkan pada setiap kawasan rumah pangsa yang terdapat di Singapura ada diterapkan polisi sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk mesti bukan Melayu. Alasannya adalah untuk menggalakkan interaksi antara kaum tapi hakikatnya agar orang Melayu tidak terlalu kuat bersatu.

Artikel 152 perlembagaan Singapura mungkin bercakap tentang melindungi hak orang Melayu. Tetapi hakikatnya mereka cuma satu minoriti dari pelbagai bangsa yang didominasi bangsa Cina. Keadaan orang Melayu di Singapura hampir sama dengan kaum Red Indian di Amerika Syarikat , kawasan tempat tinggal utama mereka dahulukala misalnya di Kampung Gelam dan sekitar Masjid Sultan dipertontonkan sebagai satu warisan untuk tarikan pelancong. Perlindungan apa jika bekas istana Sultan dijadikan muzium? Kenapa tidak dipertahankan sebagai satu pusat kepimpinan orang Melayu?

Mungkin pemerintah Singapura mahu mengambil contoh dari keadaan di seberang Tambak Johor di mana Istana Besar Johor yang mula dibina 1864 sebelum siap 1866 dijadikan Muzium Diraja Abu Bakar 1982. Tapi itu dengan perkenan Sultan Johor yang memiliki beberapa istana lain. Istana Kampung Gelam di Singapura yang kini menjadi muzium adalah satu-satunya warisan kepimpinan orang Melayu yang tinggal di pulau itu. Jika pusat kepimpinan yang merupakan istana milik Sultan Hussain Shah pada zaman kedatangan Raffles 1820an telah dijadikan bahan tontonan umum tanpa diberikan ganti serupa taraf yang dapat menyatukan orang Melayu, apakah yang dipraktikkan dari Artikel 152?

Bagaimana pula nanti nasib stesyen keretapi Tanjung Pagar milik syarikat Malaysia, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) apabila perkhidmatan di stesyen ditamatkan lalu dibawa naik utara ke Woodlands berdekatan Tambak Johor menjelang Julai 2011. Bagaimana tentang tanah milik KTMB yang mengandungi landasan hingga jauh ke selatan memasuki pusat bandaraya Singapura? Sesungguhnya begitu banyak perkara tentang Melayu perlu dibela. Semoga kesedaran isi perlembagaan memangkin tindakan segera.



Khamis, Februari 17, 2011

Santai Maulidur Rasul

OK. Insyaallah dalam beberapa hari lagi saya akan menyambung penceritaan siri "Mencari jejak Merong". Sekarang biar dilepaskan dahulu satu cerita yang berkenaan Maulidur Rasul. Oh, walaupun hari Maulidur Rasul sendiri sudah lepas iatu pada hari Selasa rasanya saya masih boleh mengucapkan selamat menyambut tarikh lahir junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW. Bagi mereka yang sangat mencintai baginda bukankah seluruh bulan Rabiul Awal ini digunakan untuk mengadakan acara-acara Maulud selagi ada kelapangan dan peluang?


Isnin Februari 14 mungkin menjadi sambutan bagi mereka yang mengganggap Hari Valentine melambangkan ketinggian dan ketulusan cinta. Bagi saya, isteri dan anak pula malamnya pula yang istimewa kerana dari segi perkiraan Islam, ketika itu sudah masuk malam Selasa, sudah dikira hari Maulidur Rasul.


Malam itu kami pergi ke Masjid Wilayah. Cantik juga ia dilihat waktu malam. Lihat artikel Masjid Wilayah at night di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Baru saya tahu masjid ini ada bilik khas untuk melangsungkan pernikahan. Sekali lihat terasa macam pergi ke pusat membeli-belah Kamdar atau salah satu kedai kain di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tengoklah rupa dan warna-warni...




Oh. Sebenarnya ada seorang sepupu saya bernikah di situ. Lihat video di atas, lihat juga gambar-gambar di Cousin's wedding on the night of Maulidur Rasul.




Selepas itu kami pergi ke satu tempat di Bukit Damansara.


Rasanya sudah setahun kami tak ke sini.



Ia adalah tempat kumpulan satu tariqat dan kami datang untuk menyambut Maulidur Rasul. Lihat video di bawah.






Malam itu kami tidur di rumah seorang bapa saudara iaitu bapa kepada pengantin di bahagian lain Bukit Damansara. Ibu dan bapa saya tidur sekali. Kalau tidak kerana jemputan ibu saudara iaitu ibu kepada pengantin, mereka mahu tidur di rumah kami di Bandar Tasik Puteri. Esoknya hari Maulidur Rasul, cuaca amat terang. Salah satu sebab ibu saudara mahu kami tidur di situ adalah kerana mahu membawa kami berjalan-jalan.


Al-Rasyid cukup suka bermain-main di kolam ikan. Kalau tak diperhatikan rasanya dah lama dia terjun ke dalam.




Kami pergi bertandang ke rumah lain milik bapa saudara di Bukit Jelutong, Shah Alam.




Kemudian kami keluar makan beramai-ramai di sebuah restoran.




Beginilah Al-Rasyid yang 'diikat' di tempat duduk. Kalau tak habis satu restoran dia pusing, kejap kacau ketam di akuariam kejap kacau ikan... :]

Ahad, Februari 13, 2011

Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...

Assalamualaikumwarahmatullahhita'alawabarakatu. Dalam artikel Balik Muar Raya Cina : Perjalanan malam dan bukti kewujudan istana lama? yang dibuat sekitar 24 jam lalu ada disebut tentang video yang sedang dimuatnaik memakan masa 6 jam. Merujuk pula pada siri "Petualangan Al-Rasyid" yang linksnya telah dikumpulkan pada artikel Segala macam ragam petualangan Al-Rasyid ke Aceh 5 bulan lalu. Mereka yang pernah membaca siri itu dan masih ingat sedikit cerita tentu tahu ia merujuk pada perjalanan ke Aceh yang dibuat penghujung Januari 2010 bersama isteri, anak kecil kami Al-Rasyid yang ketika itu berumur 3 bulan setengah dan seorang teman. Apa yang tidak diberitahu adalah selain untuk menziarahi makam-makam lama dan tempat bersejarah kami mahu membuat sendiri satu pilot documentary atau rencana pengenalan untuk dicadangkan pada mana-mana stesyen televisyen yang berminat. Konsep kami adalah menjejak setiap lokasi secara kembara jalanan dan mengaitkan ia dengan keberadaan atau ketamadunan Melayu Islam.

Dengan menggunakan kamera video model lama Sony milik sahabat kami PerpatihTulus atau Zaidi, saya pun bertindak sebagai penyelidik, pengarah dan jurukamera juga penyunting video untuk apa yang dipanggil "Kembara Sejarah Islam Nusantara". Hujung bulan Februari saya, isteri dan anak pergi lagi ke Aceh, kali ini bersama penulis buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu", Suzana Othman dan suaminya Muzaffar. Sekembali dari sana Suzana atau Kak Nana terasa bersemangat untuk cuba membuat dokumentari televisyen sejarah dengan kerjasama kami. Dengan penyertaan adiknya, pengarah drama dan filem terkenal Zulkifli Othman kami pun mula membuat rangkakerja. Setelah melihat pilot documentary "Kembara Sejarah Islam Nusantara", mereka rasa tertarik untuk mengembangkannya. Satu kertaskerja pun mula dibuat dengan kami semua bekerjasama lalu dibawa kepada Finas. Secara umumnya mereka pun suka.

Tidak lama kemudian saya diberitahu Finas tidak lagi berminat. Mungkin saya tersilap dengar tetapi difahamkan ada pihak menegur dan tidak senang dengan konsep kami mengenengahkan makam-makam lama. Selain itu ada juga yang tidak berapa selesa dengan apa-apa usaha yang kelihatan terlalu memperjuangkan Melayu dan Islam. Difahamkan, disebabkan keadaan sosio-politik sekarang, mereka mahu sesuatu yang 'mengharmonikan' sumbangan setiap kaum konon, kiranya atas nama 1Malaysia.

Tak mengapa. Saya tetap percaya konsep "Kembara Sejarah Islam Nusantara" yang awalnya hanya meliputi Aceh tapi dicadangkan akan meliputi setiap tempat yang ada sejarah hebat Melayu dan Islam di Nusantara akan mendapat perhatian yang sewajarnya apabila sampai masanya. Sambil itu teman yang dimaksudkan cuba mencari pihak yang berminat. Hmm... rasanya elok diperkenalkan. Dia yang menjadi hos dalam pilot documentary kami adalah pelakon dan pengacara Sharifah Haslinda.

Baru-baru ini beliau memberitahu saya dan isteri yang beliau telah menunjukkan pilot documentary itu kepada wakil sebuah stesyen televisyen yang sedang meningkat naik atas nama program-program berorientasikan Islam. Menurutnya, setelah melihat rencana itu wakil tersebut kemudiannya menolak. Peliknya tidak lama kemudian Haslinda mendapat tahu stesyen televisyen itu telah menghantar krew membuat penggambaran ke Aceh. Adiknya, pelakon dan pelawak (kini DJ radio juga) Sharifah Shahirah telah melihat hasil yang diterbitkan lalu mendapati isi dan konsepnya serupa dengan "Kembara Sejarah Islam Nusantara".

Difahamkan perkara sebegini adalah biasa dalam dunia penerbitan malah apa-apa bidang. Kertas cadangan yang dihantar tidak diterima atas alasan tidak cukup menarik dan sebagainya tetapi kemudian didapati ditiru dengan sedikit pengubahsuaian. Walaupun sedikit terkilan kami dapat menerima itu sebagai lumrah alam. Lagipun yang penting bagi kami adalah isi dan maksud dapat disampaikan pada orang ramai walaupun bukan terbit dari pihak kami. Yang penting umat di luar sana dapat mengambil manfaat.

Namun kami tidak mahu usaha penat-lelah kami hilang begitu sahaja. Lebih penting lagi, kami tidak mahu jika pada masa hadapan kami berjaya membuat satu siri dengan konsep kami sendiri, orang yang tidak tahu pucuk-pangkal sebenar akan menuduh kami menciplaknya semata-mata kerana konsep kami yang diambil orang telah dipersembahkan oleh mereka lebih dahulu di televisyen. Selama ini saya telah menyimpan video yang dibuat hanya untuk tontonan beberapa kenalan rapat juga digunakan Haslinda untuk mencari peluang mengangkatnya ke persada yang lebih tinggi. Sekarang konsep kami telah pun digunakan orang. Entah bila akan muncul di kaca televisyen kerana hingga sekarang saya belum lagi menonton siaran yang dimaksudkan.

Maka di sini biar dipersembahkan kepada ramai pilot documentary yang kami buat sendiri dengan kamera Sony lama. Kamera model lama milik PerpatihTulus itu terjatuh di akhir penggambaran sehingga rosak lalu jadilah kesan yang pernah ditunjukkan melalui artikel Aura misteri di Aceh? lebih setahun lalu. Pilot documentary ini cuma kurang musik dan suara latarbelakang atau VO (voice over) kerana kami disibukkan dengan banyak kerja lain sehingga tiada masa untuk menyiapkan sepenuhnya. Apapun video sepanjang hampir 30 minit sudah cukup untuk menerangkan konsep. Ini jauh lebih baik daripada mereka yang datang membuat cadangan hanya dengan kertaskerja sahaja...

Biar diberitahu pilot documentary ini agak padat atau compact kerana cuba menonjolkan banyak isi dalam tempoh kurang 30 minit. Kiranya format ini seakan siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang kalau dibuat menurut format biasa yang lebih senang diterima mata mungkin akan menyebabkan setiap buku bertambah mukasurat dari 300 menjadi 500. Tapi ini pilot documentary sahaja yang cuba mengenengahkan konsep. Seandainya kami dapat menjadikan "Kembara Sejarah Islam Nusantara" satu siri di televisyen, percayalah saya ada cukup rakaman untuk mengembangkan isi pilot documentary ini menjadi 3 rencana awal yang setiap satunya sepanjang hampir 30 minit.



Sebagai ganti kepada muzik latarbelakang mungkin anda boleh memainkan sendiri muzik kegemaran. Sebagai ganti kepada VO yang perlu untuk menerangkan keadaan apabila tiada dialog dalam video biar diletakkan skrip yang telah disiapkan hampir setahun lalu tanpa apa-apa suntingan. Anda boleh mengikutinya dengan melihat masa (minit dan saat) waktu sesuatu dialog patut dipertuturkan dan memadankannya dengan isi video. Kalau mahu, anda boleh menggunakan ini untuk berlatih membuat VO. Untuk makluman ini adalah artikel ke 808 di sini.

------------------


Skrip VO Aceh


1. Dari airport ke Banda Aceh

a) Dalam perjalanan

2:31
“Perjalanan dari lapangan terbang Iskandar Muda ke Banda Aceh yang merupakan kota utama provinsi Aceh jauhnya seperti perjalanan dari Subang ke Kuala Lumpur.

2:38
“Tetapi perjalanan di sini terasa lebih damai dengan adanya banyak sawah padi yang menghijau walaupun ketika menghampiri kawasan bandar apalagi dengan pemandangan pergunungan di latar belakang.”

b) Stop sebentar di perkuburan massal

2:53
“Dalam perjalanan juga terdapat satu kawasan yang menggamit kenangan pahit ombak besar Tsunami yang melanda Aceh 26 Disember 2004. Peristiwa ini mengorbankan lebih 200,000 nyawa yang tidak berdosa. Setelah beberapa lama, baru semua mayat dapat dikumpulkan. Ini merupakan salah satu tempat mereka disemadikan...”

c) Hadapan sekolah dengan banner Tsunami

3:16
“Peristiwa ngeri Tsunami meninggalkan kesan yang besar lagi dasyat terhadap jiwa masyarakat Aceh. Ramai menganggap ia adalah peringatan dari Tuhan agar mereka kembali menghidupkan syiar Islam sejati yang pernah menyebabkan Aceh dikenali seantero dunia sebagai bumi Serambi Mekah...”

2. Bersedia di Bandar Aceh

a) Hotel lobi

3:33
“Apapun sebelum kita bercerita lebih panjang biarlah check-in di hotel terlebih dahulu...”

b) Jalan keluar ke tempat makan

3:38
“Kemudian kita cari tempat makan”

c) Kedai makan

3:45
“Dah selesai makan baru kita sambung cerita...”




3. Ulee Lheue

(Cari lagu Olelee P. Ramlee, letak kat 3:48)

a) Masjid Baitul Rahim,

4:19
“Selain pemandangan tepi laut yang cantik, di Ulee Lheue juga terdapat masjid lama Baitur Rahim. Masjid yang bangunan asal kayunya sudah wujud sekurang-kurangnya 400 tahun lalu ini merupakan salah satu rumah ibadah di Aceh yang paling teruk dilanda Tsunami 2004. Namun seperti semua masjid bumi Serambi Mekah yang dilanda ombak ganas itu, ia tetap mampu berdiri tegak menjadi satu tanda kebesaran Ilahi”

4. Kembali ke pusat Banda Aceh

a) Selepas shot Sungai Aceh,

4:43
“Sekarang kita kembali ke pusat Banda Aceh”

b)

4:55
“Di satu bahagian sedikit ke timur-laut terdapat satu peninggalan Tsunami yang menjadi semacam kenangan ‘manis’ buat sesetengah pihak”

5:21
“Bot ini menjadi penyelamat sejumlah penduduk yang berlindung di atas...”

5. Makam Syiah Kuala

a) Pantai,

5:25
“Ombak Tsunami turut merubah rupabumi tempatan. Daratan sekitar kuala Sungai Aceh ini dahulu mengunjur lagi setengah kilometer ke laut tetapi ombak ganas menghakis masuk ke dalam.”

b) Makam,

5:35
“Sekarang, mari kita lihat tempat di kuala yang sangat bermakna bagi masyarakat Aceh...”

c)

6:06
“Sheikh Abdul Rauf sangat dihormati kerana menjadi guru agama kepada ramai ulamak besar Nusantara termasuk dari Semenanjung Tanah Melayu. Beliau juga menjadi mufti kerajaan yang menerangkan jalan kepada 4 orang Raja Perempuan Aceh yang memerintah berturut-turut dari tahun 1641 hingga 1699 Masihi. Lalu beliau terus diingati, makam atau kubur beliau sering diziarahi hingga ke hari ini”


6. Ke Lhokseumawe

a)

6.56
“Perjalanan diteruskan keesokan harinya keluar untuk ke satu lokasi di Lhoksuemawe, 270 km ke tenggara Banda Aceh.”

b)

7.03
“Rehat sebentar untuk minum kopi di pekan Saree”

c)

7:15
“Terletak pada ketinggian 1,600 kaki dari paras laut, pekan kecil di lereng Gunung Seulawah Agam ini menjadi satu tempat pelancungan yang tersendiri...”

d)

7:20
“Perjalanan ke tenggara diteruskan...”

e)

7:37
“Setelah berjam dalam kereta sampailah ke lokasi yang dimaksudkan”

7. Makam Sultan Malikus Saleh

a)

8:53
“Setelah beberapa lama sampailah perkhabaran kepada Sharif atau Raja Mekah tentang kemunculan negeri yang bernama Samudera. Baginda pun menghantar satu rombongan kapal untuk memenuhi wasiat Rasulullah lalu mencari raja kerajaan itu...”

c)

10:01
“Sultan ini adalah orang pertama yang dicari rombongan dari Mekah sebaik sahaja sampai ke Samudera. Baginda yang asalnya bernama Merah Silu pun diIslamkan lalu ditabalkan kembali dengan alat-alat kebesaran yang dibawa dari sana. Sejak itu Samudera dan kerajaan kembarnya Pasai yang turut diasaskan baginda menjadi pusat penyebaran Islam ke seluruh Nusantara. Dua kerajaan ini kemudian digabungkan untuk dikenali sebagai Pasai sahaja. Ia terus menjadi pusat utama keilmuan Islam sehingga keSultanan Melayu Melaka yang muncul kemudian turut merujuk kepadanya apabila timbul apa-apa perkara yang tidak dapat diputuskan di Melaka... ”

d) Makam Teungku Peut Ploh Peut

11:01
“Kerajaan Pasai yang bertahan 300 tahun sebelum diserapkan ke dalam Aceh meninggalkan banyak sejarah. Antaranya ialah Makam Teungku Peut Ploh Peut, Makam 44 ulamak yang dibunuh raja kerana menyanggah hasrat baginda untuk mengahwini puterinya sendiri.”

8. Makam Ratu Nahrisyah

a)

11.10
“Kemunculan raja zalim itu menjadi satu titik hitam dalam sejarah Pasai. Namun nama baik kerajaan cepat dipulihkan dengan naiknya kembali raja yang adil. Antaranya ialah seorang raja perempuan yang terkenal...”

b)

11:27
“Ini adalah kompleks pemakaman Ratu Nahrisyah, raja perempuan yang memerintah Pasai pertengahan awal abad ke 15 Masihi. Anak cucu Sultan Malikus Salih ini dikenali sebagai seorang raja yang memerintah dengan penuh kasih sayang dan semangat keibuan. Baginda turut bertanggungjawab meluaskan syiar agama Islam, menunjukkan peranan perempuan sangat dihargai di Pasai. “

c)

11.46
“Kompleks ini turut mengandungi sejumlah makam kerabat diraja dan para pembesar. Turut disemadikan ialah jasad ayahanda baginda katanya bernama Sultan Al-Hidayah ibni Sultan Zainal Abidin”

9. Menghala kembali ke Banda Aceh

a)

12:10
“Perjalanan disambung lagi menghala ke Banda Aceh. Namun sampai ke Biruen, kami belok ke kiri untuk naik ke satu lagi lokasi”

b)

12:21
“Berhenti sebentar melihat sawah di tepian jalan. Bukan apa... seronok melihat orang bertani cara lama...”

c)

12.29
“Perjalanan yang diambil mula mendaki bukit berliku-liku, hampir menyerupai perjalanan dari Tapah mendaki ke Cameron Highlands tetapi lebih jauh. Lokasi apakah yang hendak dituju? Kita sambung cerita setelah sampai nanti!”

10. Danau Laut Tawar, Takengon

a)

12:47
“Sampai dah kita ke lokasi seterusnya Danau Laut Tawar, tasik luas semulajadi di atas pergunungan bahagian tengah Aceh. Tasik dan tanah tinggi sekitarnya juga dikenali sebagai Tanah Orang Gayo, satu sukukaum asli orang di Aceh. Tanah Gayo turut memiliki sejarah lama yang boleh dikaitkan dengan kemunculan kerajaan Pasai, juga Aceh dahulukala. Tetapi buat masa ini biar kita tolak tepi sejarah... kita nikmati sahaja keindahan alam yang ada...”

b) Hotel di Takengon

13:30
“Bermalam di sekitar Danau Laut Tawar merupakan satu pengalaman yang menyegarkan. Di satu tepian tasik terdapat sebuah bandar sederhana besar dan di situlah kami merehatkan badan sambil mengembalikan kekuatan. “

13:45
“Bandar bernama Takengon juga Danau Laut Tawar di hadapannya terletak pada ketinggian 4,100 kaki dari paras laut. Bayangkan sebuah bandar berserta tasik besar 100 kaki di atas puncak Gunung Jerai kebanggaan Kedah, begitulah kira-kira kedudukannya.

11. Turun dari Takengon

a)

13:59
“Puas berehat di Takengon perjalanan turun untuk kembali ke persimpangan di Bireun pun dimulakan. Oh, kali ini kami ingin menunjukkan sesuatu di tepian jalan. Perhatikan dengan teliti kiri dan kanan selain pemandangan pergunungan yang menakjubkan...”

b)

14:23
“Nampak tak apa yang kami maksudkan? Lihat betul-betul...”

c)

14:35
“OK. Kita lihat lebih dekat...”

d)

14:42
“Nampak dah?”

e)

14:46
“Ya, buah kopi. Untuk pengetahuan tanah tinggi naik ke Takengon menghasilkan antara biji kopi Arabika yang terbaik di dunia. Sebuah rangkaian kedai kopi mewah antarabangsa yang berpengkalan di Amerika merupakan salah satu pengguna setianya...”

12. Bireun ke Samalanga

a)

14:55
“Kami melepasi Bireun terus mengambil jalan kembali ke Banda Aceh yang jauhnya masih sekitar 200 km lagi. Sebelum kembali ke Banda Aceh ada 2-3 lokasi yang ingin disinggahi. Setiap satu memiliki sejarahnya yang tersendiri...”

b)

15:06
“Lokasi pertama terletak di kawasan perkampungan di Samalanga, satu jam perjalanan dari Bireun. Selepas melalui sebuah sawah padi sampailah kami tempat yang dituju”

13. Makam Tun Sri Lanang

a)

16:02
“Sejarah menyebut selepas Aceh mengalahkan Johor tahun 1613 seluruh kerabat diraja dan pembesar Johor termasuk Tun Sri Lanang ditawan ke Aceh. Kajian lanjut menunjukkan beliau kemudian diangkat menjadi raja Samalanga yang bergelar Ampon Sheikh. Istana yang masih ada juga masjid berdekatan menjadi bukti kewibawaan beliau”.

14. Ke Masjid Indrapuri

a)

16:22
“Seterusnya kami berkejar ke satu lokasi yang terletak kira-kira 20 km di tenggara Banda Aceh. Lokasi di Indrapuri ini mengandungi satu peninggalan menarik yang mungkin dapat mengaitkan hakikat sebenar agama Hindu dengan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.”

b)

16:44
“Perhatikan dengan teliti. Bahagian asas bawah lokasi yang dibina seluruhnya daripada batu adalah peninggalan candi lebih 800 tahun lalu, ketika masyarakat di sini dikatakan masih menganut agama Hindu.”

c)

16:55
“Bahagian atas daripada kayu pula merupakan masjid yang dibina semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda yang pernah menawan Johor tahun 1613.”

d)

17:05
“Sekarang biar dibuat satu perbandingan di dalam...”

e)

17:17
“Perhatikan. Mihrab dan bangunan asas batu nampak selari dengan bangunan kayu masjid menghadap kiblat. Apakah ini bermakna candi Hindu yang dibina lebih lama dahulu memang menghadap Ka’abah di Mekah? Tak mustahil jika kita tahu agama Hindu sebenarnya berasal daripada syariat Nabi Ibrahim...”

15. Ke Krueng Raya

a)

17:33
“Perjalanan diteruskan ke satu lokasi lain 40 km ke timur Banda Aceh. Lokasi ini menggamit kenangan zaman kegemilangan Aceh dengan angkatan perang besar yang pernah ditakuti kuasa kuffar Portugis dan Belanda juga kuasa-kuasa Barat yang lain.”

b)

18:06
“Ini adalah Teluk Lamreh atau Teluk Lamuri yang pernah menjadi pusat awal kerajaan Aceh 800 tahun lalu.

c)

18:18
“Di sini terdapat makam seorang laksamana perempuan yang disegani, seorang panglima yang pernah memimpin satu angkatan 2,000 orang janda lalu mengalahkan armada Belanda yang cuba menceroboh Aceh...”

16. Makam Laksamana Keumalahayati dan benteng

a) Makam

18:37
“Ada sesuatu yang agak istimewa tentang kedudukan makam di atas lereng bukit. Ia seolah-olah ingin menyatakan laksamana perempuan yang disemadikan bukan sekadar seorang panglima perang malah memiliki kedudukan lebih tinggi di dalam hieraki pemerintahan Aceh. Apapun pahlawan yang dimaksudkan iaitu Laksamana Malahayati atau lebih tepat Laksamana Raja Keumalahayati sudah cukup terkenal dalam sejarah Aceh mahupun sejarah dunia sebagai seorang pemimpin wanita yang berani lagi berjaya dalam menjalankan tugasnya. Selain memimpin armada perang Aceh, beliau juga diamanahkan menjadi pengawal peribadi Sultan juga ketua protokol istana yang mengatur adat-istiadat pada zamannya...

b) Benteng

19:16
“Benteng Malahayati yang terletak kira-kira 2 km daripada makam menggambarkan keberanian sang laksamana perempuan dengan angkatan para janda yang pernah diketuainya. Walaupun apa yang tinggal mungkin tidak seberapa ia sudah cukup untuk menggambarkan betapa wanita juga amat berperanan dalam membina juga mempertahankan sebuah negara berdaulat yang pernah dikenali sebagai bumi Serambi Mekah.”

17. Banda Aceh

a) Taman Putroe Phang dan Pintu Khop

19:35
“Keesokan harinya baru kami kembali melihat lokasi-lokasi bersejarah di Banda Aceh. Misalnya Taman Putroe Phang, mengenangkan kisah Puteri Kamaliah dari Pahang yang dijadikan permaisuri Sultan Aceh. Di sini terdapat satu struktur lama yang dipanggil Pintu Khop, dibina 400 tahun lalu. Ia menjadi pintu utama masuk dari laman istana ke taman permainan diraja... ”

b) Pintu Khop ke Gunongan...

20:04
“Dari Pintu Khop baru puteri Pahang atau Bahasa Acehnyai Putroe Phang pergi ke sebuah struktur khas yang dibina untuknya. Biar diceritakan dahulu... jika penaklukan Aceh ke atas Johor membawa kepada perlantikan Tun Sri Lanang sebagai Ampon Sheikh, penaklukan Aceh ke atas Pahang tahun berikutnya pula menyaksikan Puteri Kamaliah diambil sebagai isteri Sultan Iskandar Muda. Untuk menghiburkan hati isteri yang selalu teringatkan kampung halaman bergunung-ganang sesuatu pun dibina...”

20:40
“Selepas puas bermain air membasuh rambut di pancuran, baru sang puteri naik ke struktur ini untuk berseronok berjemur menghilangkan kebasahan. Inilah dia Gunongan, struktur khas yang dibina Sultan untuk Putroe Phang mengenangkan kampung halaman. Di sebelahnya terdapat Makam Sultan Iskandar Thani, anak Raja Pahang yang menaiki takhta Aceh apabila Sultan Iskandar Muda mangkat 1636.

“Begitulah keterbukaan Aceh dapat menerima anak raja luar. Pada tahun 1580, anak Raja Perak dijadikan Sultan, 1699 seorang Sayyid dari Mekah. Tahun 1727 pula menyaksikan kenaikan seorang bangsawan Bugis.”

18. Muzium Aceh dan Kompleks makam Iskandar Muda

a) Cakra Donya

21:06
“Tidak jauh dari Gunongan terdapat Muzium Aceh dengan loceng raksasa Cakra Donya dipamirkan di halaman. Loceng ini adalah hadiah persahabatan kerajaan Dinasti Ming China yang disampaikan oleh Laksamana Cheng Ho kepada Sultan Pasai 600 tahun lalu. Ia kemudian dialih ke Banda Aceh untuk menjadi salah satu lambang kebesaran kerajaan Aceh, sering dibawa bersama ketika berperang di perantauan...”

b) Rumoh Aceh

21:26
“Turut dipamirkan adalah contoh rumah tradisional Aceh yang dipanggil Rumoh Aceh. Senibina ini dikatakan berasal dari tanah tinggi tempat sukukaum Gayo menetap. Ingat lagi Danau Laut Tawar dan bandar Takengon yang kami kunjungi sebelum ini? Itulah salah satu pusat utama kebudayaan Gayo...”

c) Makam Dinasti Raja Bugis

21.44
“Muzium Aceh yang terletak di tengah bandar nampaknya sengaja dibina berdekatan sebuah kawasan pemakaman diraja. Terdapat di halaman ialah makam 3 orang Sultan Aceh dan kerabat, paling utama adalah makam Sultan Alauddin Ahmad Syah Johan Berdaulat yang memerintah tahun 1727...”

22:07
“Apa yang menarik adalah kenyataan di sisi pemakaman. Lihatlah sendiri... ia menyebutnya sebagai Kompleks Makam Raja-raja Dinasti Bugis!”

d) Kompleks makam Sultan Iskandar Muda

22:19
“Bersebelahan Muzium Aceh pula terdapat kompleks makam Sultan Iskandar Muda, pemerintah agung Aceh yang namanya sudah disebut beberapa kali tetapi baru sekarang kami lawati. Namun pemerhatian terhadap makam dengan bentuk batu nesan yang kelihatan mengundang satu persoalan. Apakah ini cuma makam pertunjukan untuk mengaburi mata musuh? Maklumlah, ada disebut dalam sejarah bahawa sebaik sahaja Belanda dapat menawan Banda Aceh tahun 1873, mereka telah menggali makam lalu membuang isinya ke dalam lautan akibat kebencian yang melampau terhadap orang Aceh yang amat susah dijajah.

“Seharusnya makam seorang pemerintah yang dianggap teragung dalam sejarah Aceh bukan sebegitu mudah dicerobohi apalagi baginda disebut sesetengah pihak sebagai bertaraf wali. Apakah mungkin Sultan Iskandar Muda disemadikan di tempat lain dengan makam di sini cuma sebagai lambang?”

23:00
“Nasib baik dalam kawasan kompleks masih terdapat sejumlah makam diraja yang dapat dipastikan keasliannya sekurang-kurang melalui ukiran lama kepuk dan batu nesan yang tidak dibuat lagi zaman sekarang. Misalnya makam Kandang Meuh...

“Lebih menarik adalah sejumlah makam di sisi lain kompleks. Bentuk kepuk dan batu nesannya lebih terserlah, maklumlah, ia adalah makam keluarga kerajaan yang menempatkan jasad beberapa orang pemerintah dan keluarga abad terdekat.

23:32
“Sayangnya Sultan terakhir yang disebut namanya di sini disemadi kan jauh di luar lingkungan. Itulah Sultan Alauddin Muhammad Daud Syah yang mangkat tahun 1939. Baginda dipaksa turun takhta oleh Belanda. Akibatnya Aceh tidak beraja dan hilang penaungnya hinggalah ke hari ini!”

19. Masjid raya Baitur Rahman

a)

23.53
“Selesai ziarah ke segala macam makam sambil menjejaki sejarah kami pun pergi ke sebuah masjid yang boleh dikatakan ikon utama Aceh. Sebenarnya kami sudah menjejakkan kaki ke sini sejak sampai ke Aceh tempoh hari. Tetapi kami sengaja memaparkannya kemudian...”

24:11
“Selain menjadi tempat beribadah, masjid yang terletak di pusat Banda Aceh ini menjadi tumpuan masyarakat bertemu dan berinteraksi. Di hadapannya terdapat sebuah menara rekreasi yang merupakan bangunan tertinggi di Banda Aceh...”

24:30
“Sekarang mari kita melihat ke masjid...”

24:57
“Bahagian masjid yang kita lihat ini iaitu bahagian tengah dibina kembali oleh Belanda yang membakarnya tahun 1873, setelah berjaya menawan Banda Aceh. Nampaknya mereka hendak melepaskan geram setelah beberapa percubaan awal menaklukinya gagal. Namun mereka berusaha membinanya kembali menggunakan senibina yang dibawa dari Timur Tengah untuk memenangi hati penduduk tempatan yang dijajah. Setelah beberapa lama baru dibesarkan kiri dan kanan dengan kubah tambahan diikuti beberapa perkembangan lain. Itulah bentuk yang boleh dilihat sekarang...”

25:25
“Masjid Baitur Rahman menjadi saksi sejarah panjang kerajaan Islam Aceh. Ia dipercayai telah wujud dalam bentuk kayu yang lebih ringkas seawal 800 tahun lalu, selepas seorang anak raja yang dikenali sebagai Johan Syah mengIslamkan kerajaan Lamuri di Teluk Lamreh, kemudian membuka kerajaan baru dekat di Kandang Aceh. Johan Syah disebut sebagai anakanda Meurah Adi Genali, raja berketurunan Arab yang memerintah kerajaan Linge kebanggaan masyarakat Gayo di Aceh tengah. Kerajaan ini meliputi Danau Laut Tawar tempat kami berehat tempoh hari. Termaktublah satu kaitan sambil rupa masjid berubah menurut zaman.

25:48
“Kerajaan Samudera-Pasai yang diasaskan Sultan Malikus Salih menjadi sebahagian dari Aceh setelah Sultan Ali Mughayat Shah memerdekakan Pasai dari cengkaman Portugis yang menaklukinya sejurus selepas menawan Kota Melaka 1511. Zaman Sultan Iskandar Muda seabad kemudian menyaksikan Masjid Baitur Rahman lebih terserlah, seiring dengan zaman kegemilangan kerajaan.



Mencari makam Keramat Tanjung Medang di Sungkai

Seperti dijanjikan pada artikel Balik Muar Raya Cina : Makam Tok Laji dan Makam Raja Melewar tadi, ini ada cerita fresh dari Sungkai...


Siang tadi kami anak-beranak keluar lagi...


Seperti biasa Al-Rasyid cukup seronok apabila dapat berjalan. Sekarang ni dia suka berdiri seorang diri melihat pemandangan dari kerusi penumpang hadapan. Oh. Al-Rasyid cukup umur 1 tahun 4 bulan hari ini. Kiranya berjalan ni birthday present untuk dialah jugak.


Destinasi kali ini adalah Sungkai, Perak.


Singgah sebentar di masjid jamek dan ambil gambar. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Sungkai di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Untuk makluman, apabila dicampur jumlah semua artikel yang sudah ditulis dalam kesemua blogspots saya ia adalah yang ke 2011, nombor tahun ini! :]


Kemudian kami pergi ke rumah seorang kenalan, saudara Azwal di Kampung Changkat Sulaiman. Beliau dan bapanya pernah membawa kami meninjau sejarah Kampung Tiang Bertarah, Puteri Buih dan Kota Laksamana tahun lepas. Lihat artikel lama Menyelesaikan bab Perak : Cerita sebenar Puteri Buih dan Tiang Bertarah di Sungkai berserta Kota Laksamana.


Kali ini Azwal mahu membawa kami meninjau satu makam yang dianggap keramat di satu bahagian terpencil Sungkai ke arah Banjaran Titiwangsa. Ibubapa dan isterinya ikut sekali bersama seorang saudara yang sanggup datang dari rumah keluarga isterinya di Tapah.


Kami singgah di rumah seorang tua yang tahu jalan. Isterinya ikut juga kerana orang tua itu sudah kurang pendengaran, kiranya isteri boleh jadi 'penterjemah' le. Kelihatan di sini cicak tokek yang menyorok di sebalik dinding rumah orang tua tersebut...


Perjalanan membawa kami masuk ke jalan kampung.


Kelihatan sebuah rumah yang menarik malah ada banyak rumah kampung yang tidak kurang cantik...


Kami perlu masuk lebih dalam ke bahagian kampung lama.

Sampai di hadapan sebuah rumah kami berhenti.


Dari rumah ini kami mahu berjalan kaki. Tetapi hujan mula turun lebat.


Terpaksalah kami bertandang sebentar.


Nasib baik hujan berhenti setengah jam kemudian (atau hampir sejam?). Perjalanan kaki pun dimulakan. Orang perempuan menunggu di rumah kecuali isteri saya yang ikut sama bersama anak.


Lihatlah bagaimana keadaan jalan...


Perlu turun ke sungai.



Dah... kena jadik badak berendamlah pulak...


Naik ke tebing.


Kami perlu meredah hutan semak-samun dan belukar...





Namun setelah beberapa lama berlegar-legar di beberapa bahagian hutan kami tidak dapat menemui makam yang dicari. Rupa-rupanya orang tua atau pakcik tersebut kali terakhir sampai ke sini 40 tahun lalu tidak dapat memastikan dengan tepat kedudukan. Difahamkan satu banjir besar sekitar tahun 2004 pula mungkin telah merubah keadaan.


Nak tak nak kami terpaksa mengalah. Hari pun semakin lewat dan pakcik yang penglihatannya juga semakin kurang sudah kepenatan. Namun kami keluar dengan senang hati kerana sekurang-kurangnya sudah mencuba sehabis boleh.


Beginilah keadaan saya siang tadi. Dah kena masuk sungai, terpaksalah pakai seluar pendek. Itupun Al-Rasyid turut basah sampai ke pinggang. Beg gantung saya pun tenggelam.

Apabila keluar baru tersedar, ada sebiji bateri kamera bersama dua kad memori terkena air, beg duit dan isi pula langsung basah kuyup. Nasib baik kamera baru saya pegang tinggi atas tangan. Tak mahulah rosak lagi seperti berlaku pada kamera terdahulu di Beting Beras Basah. Ketika itu saya juga sedang mengendong Al-Rasyid sebelum masuk ke dalam air. Dalam keadaan menjaga anak saya terlupa memikirkan keadaan barang yang dibawa...



Dalam perjalanan keluar dari kampung kami turun sebentar di satu pondok.


Kami mahu membuat anggaran kedudukan sebenar makam berdasarkan kata-kata penduduk. Seharusnya ia lebih dekat jika kami menyeberang sungai dari sini terus masuk ke hujung kawasan yang dipanggil Tanjung Medang. Tetapi kawasan sini dalam airnya, mungkin kena tunggu musim lain apabila air surut.



Jalan tadi diambil agar kami dapat menyeberang bahagian sungai yang kurang dalam. Tetapi ia lebih jauh dari makam dan dalam keadaan makam kurang bertanda, mungkin diliputi lumpur dan tanah, bukan senang hendak mencari bila dah penat jalan jauh meredah hutan belukar apalagi lewat petang selepas hujan dalam keadaan diserang pacat dan sebagainya. Tak mengapalah. Insyaallah kita akan cuba di lain waktu dan keadaan. Kelihatan di atas sebuah rumah yang ada bentuk lidah tergantung apabila memasuki jalan utama kembali ke selatan. Lihat Sebuah rumah besar tinggal di Sungkai (An abandoned big house in Sungkai).


Balik Muar Raya Cina : Makam Tok Laji dan Makam Raja Melewar

OK. Siang tadi saya harus keluar ke Sungkai, Perak kerana ada kerja tertentu. Insyaallah akan diceritakan selepas ini. Sekarang saya mahu menyelesaikan dahulu cerita-cerita dari cuti Hari Raya Cina minggu lepas. Bersambung dari Balik Muar Raya Cina : Mencari makam Panglima Lidah Hitam dan bermain banjir di Pagoh dan Kota Buruk.



Pagi sekitar jam 10, Ahad 6 Februari 2011, kami menuju lagi ke pusat bandar Muar.


Terus ke sebuah gerai kegemaran di kawasan stesyen bas yang terletak di tepian Sungai Muar untuk menikmati hidangan nasi beringin yang enak. Hari Sabtu saya sampai ke sini jam 11:30 pagi dan terlepas kerana ia memang laris sampai habis, nasib baik hari Ahad dapat.


Seterusnya kami singgah di Masjid Jamek Muar, berehat di bahagian belakang sambil menggunakan wi-fi percuma yang ada.


Banyak aktiviti boleh dibuat di sekitar masjid yang terletak di tepian sungai.


Puas melihat Internet kami singgah minum kopi 434 yang amat terkenal di Muar kemudian ke sebuah masjid kecil yang agak cantik. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Parit Setongkat, Muar di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kembali ke rumah ibubapa kami mengikut mereka ke satu majlis kahwin orang kampung. Lihat Al-Rasyid enjoying the kompang at a kampung wedding di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Petang sekitar jam 4 baru kami memulakan perjalanan untuk kembali ke rumah sendiri di Bandar Tasik Puteri.


Kali ini kami mengambil satu simpang berdekatan pekan Sungai Mati, simpang yang belum pernah dilalui sebelum ini kerana mahu mencari satu makam yang baru diketahui wujud kira-kira seminggu sebelum itu.


Terlajak pula ke satu jambatan menyeberangi Sungai Kesang masuk ke negeri Melaka. Lihat The river Kesang from Kesang Tasek. Terlihat juga sebuah masjid kecil atau surau yang menarik. Lihat Surau (Small praying hall of) Kampung Tasek, Sungai Rambai, Melaka.



Setelah beberapa kali tersilap jalan barulah terjumpa makam yang dicari.


Selamat datang ke makam Tok Laji, seorang pahlawan Melayu yang dikatakan anak saudara yang pernah berjuang bersama Raja Haji menentang Belanda. Di sini saya deja vu panjang. Lihat Makam (Tomb of) Tok Laji.

.


Perjalanan kembali ke rumah diteruskan dengan menghala ke Air Keroh sebelum mengambil lebuhraya percuma untuk mengelak banyak lampu isyarat di sepanjang Lebuh AMJ. Kami masuk ke lebuh utama Melaka itu sebelum Alor Gajah lalu meneruskan perjalanan melalui jalan lama kerana telah mengira kemungkinan besar Lebuhraya PLUS sesak dengan kenderaan kembali dari cuti Raya Cina...


Namun hampir ke Kota, Negeri Sembilan jalan lama juga dilanda kesesakan teruk. Apabila terlihat sebuah kedai makan kami pun berhenti untuk berehat mengisi perut. Buat apa meneruskan perjalanan kalau asyik terhenti-henti dan harus menunggu lama untuk bergerak? Biarlah kami makan sambil menunggu keadaan reda...



Kesesakan kelihatan kurang sedikit selepas itu tetapi masih belum terjamin lancar. Oh, baru kami sedar kedai makan yang merupakan warung tomyam ini adalah tempat bapa saya pernah berhenti tengah malam lalu diberi menginap apabila mengalami kerosakan kenderaan. Lihat artikel lama Al-Rasyid berhari raya : Cabaran majlis nikah seorang sepupu. Nampaknya mesti ada sebab lain kenapa kami singgah tanpa dirancang...


Nampaknya sebab itu terletak pada papantanda yang terletak betul-betul di hadapan kedai.



Kami pun masuk ke dalam 7 km untuk menziarahi makam Raja Melewar. Lagipun kami belum pernah membawa Al-Rasyid ke situ. Keluar kembali ke jalan besar ternyata kesesakan telah banyak kurang. Selepas singgah di rumah seorang tua di Rembau kami pun menyambung perjalanan dengan selesa sehingga sampai. Sekian cerita cuti-cuti Raya Cina... :]