Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Mac 06, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali

OK. Masuk fasa kelima cerita perjalanan lama lebih 31 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab.


Selepas menginap satu malam di Kota Bharu sampailah masa untuk menyambung perjalanan ke arah Kuala Terengganu di tenggara. Gambar atas menunjukkan jalan yang mungkin telah digunakan ketika meninggalkan KB. Ia didapati melalui kemudahan Street View (pandangan pada aras jalan atau permukaan muka bumi) dalam program Google Map. 


Lokasinya adalah di Kubang Kerian, sekitar 4 km ke selatan pusat bandar KB. Tidak jauh daripada kedudukan yang ditunjukkan dalam gambar boleh ditemui makam wali besar Kelantan awal abad ke-20 iaitu Tok Kenali. Gambar ini pula diambil daripada artikel Sedikit cerita berkaitan Tok Kenali tahun 2006. Ketika itu saya baru sekitar 3 tahun lebih mengenali watak. 

Kini entah sudah berapa puluh kali menziarahi makam. Kalau semasa mengembara berbasikal tahun 1989 itu memang tak tahu langsung dan tak ambil tahu walau sudah lalu dekat dengan kedudukan. Kalau sudah tahu pun belum tentu dapat memujuk peserta lain pengembaraan untuk meluangkan masa bagi menziarahi makam.


Sayangnya tiada satu perkara pun dapat diingati tentang perjalanan berbasikal ke KT . Saya cuma boleh mengagak kami ada lalu di Kubang Kerian kerana itulah jalan utama membawa ke persisiran pantai di Bachok. Logiknya kami harus mengambil jalan terdekat yang kebetulan pula merupakan laluan yang penuh dengan pemandangan menarik. Dari KB kami harus sampai ke Bachok dahulu sebelum mengikut laluan persisiran pantai ke KT.

Gambar atas diambil daripada artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Laluan pantai Tok Bali ke Bachok dan terus... tahun 2011. Ketika itu kami bergerak dari arah yang berlawanan iaitu selatan ke utara. Apapun laluan yang digunakan haruslah sama kerana ia sudah lama wujud. Oh, mungkin ada satu perkara yang saya ingat telah berlaku dalam fasa perjalanan ini. Ketika menginap di sebuah hotel murah saya duduk sebilik dengan satu-satunya kawan sama batch yang turut serta dalam perjalanan. Semalaman saya seronok mengajuk orang 'kecek Kelate' atau bercakap dalam loghat Kelantan.

Cuma tak pasti apakah ia sebenarnya berlaku ketika menginap di Kota Bharu lalu termasuk di dalam fasa keempat perjalanan? Kalau begitu patut diceritakan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab. Namun ia tidak disebut di situ kerana apabila memikirkan hal kami berkayuj ke Sekolah Kebangsaan Zainab selepas berehat di sebuah tempat penginapan terbit bayangan kami berada di semacam satu asrama dengan banyak katil. Ini bukan satu katil yang dikongsi bersama dalam satu bilik seperti yang saya pasti ingat tentang seronok mengajuk 'kecek Kelate'...




Google Map menunjukkan jarak dari KB ke KT menggunakan laluan persisiran adalah 160 km. Pada kadar purata kayuhan 20 km/j ini boleh diselesaikan dalam tempoh 8 jam tanpa henti. Mengambil kira keperluan untuk makan tengah hari, solat dan rehat rasanya lebih 9 jam diperlukan untuk meliputi jarak. Kalau bertolak dari KB pada jam 8 pagi insyaallah sebelum jam 6 petang boleh sampai KT.

Berdasarkan itu tidak ada keperluan untuk menginap di mana-mana tempat dalam fasa perjalanan ini. Kalau begitu di manakah saya ada duduk sebilik dengan kawan sama batch lalu seronok mengajuk "kecek Kelate"? Entah. Yang pasti memang ada. Mungkin selepas sampai ke KT? 


Khamis, Mac 04, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab

Salam pagi Khamis 20 Rejab. Kembali pada cerita kenangan pengembaraan berbasikal lebih 31 tahun dahulu. Masuk ke fasa empat perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan berlaku.


Dalam artikel terdahulu telah disebut bahawa selepas menyeberangi Banjaran Titiwangsa menggunakan Lebuh Raya Timur Barat kami menginap di sebuah kampung di Tanah Merah tapi tak ingat lokasi tepat. Destinasi seterusnya mahu dituju iaitu pada hari berikutnya adalah ibu negeri Kelantan iaitu Kota Bahru. Walaupun tak ingat langsung butiran perjalanan berdasarkan kedudukan dalam peta kami harus mengambil jalan ke Pasir Mas. Ia kerana ia adalah laluan terdekat menghubungkan kedua-dua tempat.

Beberapa kilometer selepas meninggalkan pekan (sekarang sudah menjadi bandar) Tanah Merah menggunakan laluan ini harus kelihatan sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Panau. Walaupun tak ingat langsung apa berlaku dalam perjalanan ke Kota Bahru itu saya harus merasa tertarik melihatnya kerana memang suka melihat bukit dan gunung ganang. Ketika itu tak tahu pun ia adalah sebuah bukit legenda yang memiliki banyak cerita menarik bersifat mistik. Tapi saya pasti ada tertarik kerana ia memang menonjol. Ketinggiannya melebihi 700 kaki dari paras laut. Semakan melalui Google Earth menunjukkan ia adalah satu-satunya tanah tinggi menonjol dari Tanah Merah ke Kota Bahru.

Gambar atas diambil daripada artikel Mendaki Bukit Panau tahun 2007. Dalam satu perjalanan yang dibuat dengan menaiki kenderaan awam saya mengambil peluang untuk mendaki bukit dengan berjalan kaki. Gambar bawah pula diambil daripada artikel Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Berposing di merata Kelantan sebelum buat kerja gila mendaki Bukit Panau tahun 2012. Pada tahun itu saya telah menaiki motosikal besar bersama seorang kawan lalu menunggang naik sehingga ke puncak bukit.


Kelihatan dalam gambar Sungai Kelantan membelah bumi ke arah utara. Sebetulnya laluan atau jalan raya dari Tanah Merah ke Kota Bahru menghilir sungai. Walaupun cukup dekat dengan jalan raya sungai tidaklah kelihatan disebabkan banyak pokok dan sebagainya kecuali apabila hampir ke pekan Pasir Mas (sekarang juga sudah menjadi bandar).


Sebelum Pasir Mas terdapat jambatan menyeberangi Sungai Kelantan untuk menuju ke Kota Bahru. Gambar daripada artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Meredah hujan lebat dan banjir ke Masjid Brunei dan Danau Tok Uban tahun 2011 ini menunjukkan pekan Pasir Mas dapat dilihat dari atas jambatan. Jambatan ini harus digunakan dalam pengembaraan berbasikal lebih 31 tahun lalu kerana ia membentuk laluan yang terdekat. Satu lagi laluan tetapi sedikit lebih jauh adalah dengan masuk ke pekan Pasir Mas lalu bergerak lebih ke utara sebelum mengambil jambatan lain untuk masuk ke Kota Bahru.


Gambar daripada artikel Kelantan-Langkawi-Perak hujung tahun - Kedai Mulong, Tok Kenali dan ceramah di masjid sultan hujung tahun 2012 ini pula menunjukkan pintu gerbang tradisi berdekatan Istana Balai Besar di tengah bandar Kota Bahru. Tak tahu dan tak ingat jika ada singgah pada tahun 1989 tetapi kalau masuk bandar harus ada lalu. Dan lagi kami ada banyak sama untuk berjalan-jalan kali ini kerana jarak dari Tanah Merah ke Kota Bahru kurang 50 km. Ini membolehkan kami sampai setelah mengayuh kurang 3 jam. Ia adalah jarak dan masa paling pendek bagi satu hari perjalanan dalam pengembaraan berbasikal kami ke separuh Semenanjung.

Cuma satu sahaja perkara saya ingat dengan jelas daripada fasa perjalanan ini. Selepas sampai ke tempat penginapan kami berehat sebentar lalu harus bersiap untuk suatu pertemuan rasmi. Kami semua disuruh pergi berkayuh ke Sekolah Kebangsaan Zainab yang merupakan sebuah sekolah untuk pelajar perempuan. Di situ kami semua ditunjukkan sebagai pelajar kolej yang sedang membuat persediaan untuk pengajian ke luar negara. 


Lebih kurang beginilah keadaan para pelajar sekolah menengah berkumpul untuk bersama kami. Gambar diambil daripada blogspot sekolah di sini. Kami ditunjukkan sebagai contoh pelajar yang berjaya masuk ke dalam program persediaan ke luar negara kerana mendapat keputusan peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) yang cukup cemerlang. Nampaknya kami dijadikan modal motivasi untuk pelajar. 

Saya ingat ketua rombongan kami yang merupakan seorang pelajar Batch 8 (junior saya di kolej) memberikan penerangan sambil yang lain berdiri di hadapan kelas. Beliau adalah seorang yang aktif berpersatuan. Dan beliau memang seorang anak Kelantan. Mudahlah untuk berkomunikasi selain menjadi contoh kebanggaan anak tempatan.



Semakan melalui Internet menunjukkan rupa-rupanya terdapat dua buah sekolah atas nama sama iaitu Sekolah Kebangsaan Zainab 1 dan Sekolah Kebangsaan Zainab 2. Saya tak ingat kami pergi yang mana tetapi kedudukan antara kedua-keduanya tidaklah jauh, cuma 150 meter sahaja. Di sini biar ditunjukkan kedudukan kedua-dua sekolah dengan Istana Balai Besar di mana terdapatnya pintu gerbang yang ditunjukkan lebih awal tadi. Saya ingat untuk kami sampai ke sekolah pun ada berkayuh sekitar 10 minit. Pada kadar purata kelajuan 20 km/j (rujuk kiraan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh) ini harus dapat meliputi jarak 3.3 km  bermakna jarak tempat penginapan kami lebih kurang begitu dari sekolah. 



Apapun kami memiliki lebih banyak masa terluang dalam fasa perjalanan ini disebabkan jarak Tanah Merah ke Kota Bahru itu kurang 50 km. Dan kami tidaklah begitu penat seperti hari-hari sebelum itu kerana tidak perlu berkayuh terlalu jauh. Oleh itu haruslah kami mengambil peluang untuk berjalan ke sana ke mari melihat tarikan di ibu negeri Kelantan itu. Di sini ingin dibuat jumlah perjalanan sampai ke tahap ini :-

Fasa pertama - Shah Alam ke Ipoh - 232 km (rujuk artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh)

Fasa kedua     - Ipoh ke Gerik              -  137 km    (rujuk Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik)


Fasa keempat - Tanah Merah ke Kota Bahru - 48 km (fasa dalam artikel ini)

Jumlah kesemuanya adalah 588 km. Itu belum dicampur perjalanan dari tempat penginapan di Kota Bahru ke Sekolah Zainab dan kembali. Harus juga kami ada berjalan ke sana ke mari lagi. Dengan itu tak salah untuk membulatkan jumlah menjadi 600 km. 

Walaupun dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan berlaku ada disebut kami menaiki van di beberapa bahagian jalan yang susah mendaki juga berbahaya ketika turun ini menjadikan masih ada lebih 500 km kami berkayuh basikal setakat itu. Inipun sudah suatu pencapaian yang besar buat kami. Selepas itu ada jarak lebih 600 km perlu ditempoh sebelum dapat kembali.


Rabu, Mac 03, 2021

Wacana Pak Ungku - Profesor Diraja teladan sepanjang zaman

OK. Satu lagi artikel tentang majlis ilmu. Kali ini berlaku semalam.


Pagi Selasa 2 Mac 2021 berlangsung satu majlis atas nama "Siri Wacana Pak Ungku : Jejak-jejak di Pantai Zaman". Ia adalah yang pertama antara empat edisi yang mahu dianjurkan oleh Universiti Islam Antaranbangsa Malaysia (UIAM) dan persatuan kakitangan akademiknya (ASA) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka, Edisi pertama itu diberi judul atau topik  "Profesor Diraja Sepanjang Zaman". 




Nama Pak Ungku merujuk kepada cendekiawan besar tanah air almarhum Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid (lahir 28 Januari 1922, meninggal dunia 15 Disember 2020). Moderator, Puan Mizan Muhammad (atas paling kiri dalam gambar) memperkenalkan beliau sebagai satu-satunya Profesor Diraja yang pernah ada di Malaysia juga satu-satunya orang yang pernah menjadi naib canselor universiti selama 20 tahun (di Universiti Malaya atau UM). Seterusnya diperkenalkan dua orang panelis yang akan mengupas topik. Beliau adalah Profesor Emeritus Dato' Dr Asmah Omar, pakar bahasa (linguistik), penulis buku biografi Pak Ungku (sebelah Mizan dalam gambar) dan Profesor Datuk Dr Osman Bakar,  pakar matematik dan falsafah Islam (kanan atas). Kedua-dua mereka pernah bekerja lama di bawah Pak Ungku di UM. Dipanggil untuk memberikan kata-kata aluan dan pembukaan adalah Rektor UIAM Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (bawah dalam gambar). 



Seperti biasa pada mana-mana majlis melibatkan beliau Dzulkifli memberikan banyak maklumat yang boleh mendasari suatu topik. Selepas memberikan sedikit pengenalan ringkas tentang apa yang diketahuinya tentang tokoh beliau menyatakan empat perkara sebagai ketegasan Pak Ungku. Ini adalah keberaniannya, kejujuran beliau, kebebasannya berfikir dan bertindak. Menurut beliau empat perkara ini perlu ada untuk mentadbir pusat pengajian tinggi. Kalau tiada kita (dunia akademik) tak akan ke mana-mana. Kata Dzulkifli beliau pernah menjadi naib canselor empat buah universiti lalu mendapati dunia akademik masih berlegar-legar dalam persekitaran yang sama (tidak ada kemajuan yang sepatutnya).

Dengan itu contoh harus diambil daripada Pak Ungku. Beliau memiliki jiwa di tanah air sendiri. Walaupun dilahirkan di London dan membesar di sana, pendidikan pertengahan baru di Malaysia beliau kemudian terus berkhidmat di sini terutama untuk masyarakat marhaen. Sedangkan ada orang Malaysia membesar di sini kemudian menyambung pelajaran di luar negara tetapi jadi lupa diri kemudian tak mahu balik tetapi sibuk pula mengkritik negara sendiri.

Kedua, walaupun beliau seorang ekonomis tetapi merentas bidang. Boleh bercakap tentang apa sahaja, budaya, world affairs (hal ehwal dunia), sains dan berbagai lagi perkara. Kita perlu jadi seperti itu sambil dapat membawa nilai sendiri, nilai orang Melayu. Dzulkifli mengkritik sifat orang kita yang sering bangga menumpang budaya orang. Sanggup pakai kot bagai walaupun panas kerana merasakan ia lambang orang berjaya.

Pak Ungku hatinya kepada rakyat kata Dzulkifli. Lima contoh sumbangan pentingnya kepada orang banyak dibuat iaitu Tabung Haji (semua orang harus tahu ini), Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia), RIDA (Rural & Industrial Development Authority atau bahasa Melayunya Lembaga Kemajuan Kampung & Perusahaan - sebelum ditukar menjadi MARA iaitu Majlis Amanah Rakyat), Dewan Bahasa dan Pustaka juga Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dzulkifli pun bertanya kalau lima perkara ini diletakkan pada mana-mana naib canselor di manakah kita?

Akhir sekali Pak Ungku katanya tidak percaya pada ranking atau penarafan. Ini menurut Dzulkifli kini menjadi ketaksuban bagi para naib canselor. Beliau kemudian meletakkan Pak Ungku sebagai beyond renaissance man. Ini  faham saya merujuk pada takfir renaissance man yang membawa makna orang yang memiliki pelbagai jenis bakat dan bidang pengetahuan. Maknanya Pak Ungku melangkaui itu.

Pun begitu Dzulkiflu menyebut renaissance man sebagai ditakrifkan Barat melebihkan pengetahuan duniawi, tidak ada dimensi kerohanian dalam diri. Menurut beliau walaupun Pak Ungku bukan jenis orang yang pandai melaung-laungkan ayat-ayat Al-Quran perbuatan seperti menubuhkan Tabung Haji (untuk memudahkan orang ramai menunaikan ibadah haji di Mekah) cukup untuk menunjukkan beliau orang yang bagaimana.



Sampai masa untuk para panelis berbicara moderator pun memberitahu ia mahu diadakan secara santai borak-borak. Diajukan soalan kepada panelis pertama iaitu Asmah tentang karakter Pak Ungku yang menurut beliau tidak mahu memegang apa-apa gelaran (maksudnya gelaran Dato', Tan Sri dan sebagainya) sehingga dikatakan pernah disisihkan dalam suatu majlis. 

Sebetulnya saya merasa pelik dan geli hati mendengar ini. Pada saya apa 'barang' sekadar bergelar Dato', Tan Sri malah Tun sekali pun? Pak Ungku bergelar atau memilik nama awal Ungku itu bukan main-main. Gelaran keturunan tersebut diwarisi daripada ayahnya Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid sedangkan datuknya Ungku Abdul Majid itu adalah adinda kepada Sultan Abu Bakar Johor. Bermakna beliau adalah kerajat diraja rapat Johor, memang daripada keluarga orang berada dan kaya raya. Tetapi begitulah orangnya, amat merendah diri. 

Bandingkan dengan ramai orang lain sekarang ini. Belum lagi kaya, kerabat diraja malah bijak pandai seperti beliau... kalau ada muka iras Mat Saleh pun ramai dah berlagak bagus, tidak lagi Melayu konon, lebih tinggi taraf daripada orang lain. Sedangkan Pak Ungku dah memang muka 'Omputih', ada darah keturunan Barat terutama bangsa Turki, lahir dan membesar di London tidak berlagak membesarkan diri malah amat sayang Melayu. Hmm. Saya pula dah terlebih merapu...

Asmah memulakan jawaban dengan menyatakan bagaimana beliau boleh mengenali Pak Ungku sehingga terlibat dalam penulisan biografi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa. Kata beliau banyak yang diperkatakan oleh Pak Ungku kepadanya perlu dirahsiakan kerana itu janji antara mereka. Namun boleh diceritakan pemerhatian sendiri berdasarkan pengalaman sejak mula mengenali Pak Ungku apabila masuk tahun 1963 sebagai penolong pensyarah di Fakulti Sastera UM yang mana Pak Ungku adalah dekan. Antara yang dinyatakan adalah bagaimana Pak Ungku mengangkat penghayatan Melayu dan Islam di universiti pada kala ia masih begitu kuat dipengaruhi legasi peninggalan kolonialisma Barat sebelum membawa kepada sumbangan lebih besar seperti penubuhan Tabung Haji. 

Apabila sampai giliran Osman sebagai panelis kedua untuk berbicara beliau terus ditanya apakah yang dikira sebagai sumbangan terbesar Pak Ungku kepada negara? Osman yang juga mula mengenali Pak Ungku di UM tahun 1960an tetapi sebagai pensyarah matematik menyatakan susah hendak menjawab itu kerana sumbangan Pak Ungku sangat banyak dan semuanya penting. Dapat memimpin UM sebagai naib canselor selama 20 tahun itu sendiri sudah penting dalam keadaan rata-rata orang lain dapat memegang jawatan sebegitu selama sepenggal sahaja (bersamaan lima tahun). Ini kerana ia penting untuk mengekalkan kestabilan dalam menentukan arah tuju institusi dan menjalankan segala macam polisi. Untuk penerangan lanjut sila ikuti sendiri rakaman majlis di sini.


Isnin, Mac 01, 2021

Syariah dan usaha menerbitkan masyarakat mampan

Salam semua. Merujuk pada hal berkenaan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan hari Jumaat diikuti Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan hari Ahad. Sampai masanya untuk bercerita tentang majlis ilmu yang ada disebut berlangsung pada hari Rabu minggu lalu. 



Tajuk majlis yang dijalankan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan sebagai "Syariah dan Usaha Menerbitkan Masyarakat Mampan". Walaupun perkataan bahasa Inggeris "sustainable" juga boleh diterjemahkan sebagai lestari iaitu kekal, tidak berubah saya fikir mampan lebih tepat kerana membawa makna mengekal suatu prestasi atau tahap yang bagus. Dianjurkan oleh ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam) ia melibatkan beberapa orang cendekiawan ternama termasuk dari luar negara.



Majlis berlangsung melalui perisian Zoom bagi menghubungkan mereka yang terlibat. Orang ramai boleh mengikuti melalui Youtube Live. Kelihatan Imam Masjid Zabedah ISTAC, Ustaz Ramadhan Subky (ditanda dengan kotak kuning)  sedangkan membacakan doa selamat.



Seterusnya dekan ISTAC, Profesor Dr Thameem Ushama memperkenalkan majlis. Diberitahulah bahawa ia adalah yang kedua dalam siri Webinar ISTAC yang bertemakan "sustainable" atau mampan. Majlis pertama berlangsung lebih sebulan lalu. Tajuknya adalah "Islamic Thought and Sustainable Development" (Pemikiran Islam dan Pembangunan Mampan).  



Saya tidak mengikuti majlis terdahulu kerana ada hal lain. Namun anda boleh mengikutinya melalui rakaman di sini. Menurut Thameem topik kali ini meliputi jangkauan yang luas, sama seperti halnya topik bulan lepas. Ini supaya semua pembicara atau panelis mendapat banyak ruang untuk berbicara juga kebebasan menyatakan perkara. 

Kata beliau lagi sudah banyak diperkatakan tentang pembangunan mampan serta isu berkaitan seperti masyarakat mampan tetapi dalam ruang tertutup (tidak sampai kepada umum). Dan ia tidak dikaitkan dengan Syariah. Sementara itu banyak telah dibincangkan tentang Syariah tetapi tidak dikaitkan dengan isu kemampanan (yang melibatkan realiti dunia sekarang). Maka menjadi kerja para panelis untuk memberikan pencerahan tentang perkara.



Panelis pertama Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memulakan dengan menyatakan bagaimana ramai orang sudah tersilap konsep tentang Syariah. Ini kerana ia sering dikaitkan dengan hukuman keras apabila membuat kesalahan lalu orang tak nampak bagaimana Islam boleh menyumbang pada hal-hal seperti isu kemampanan. Terjadinya wabak Covid-19 harus memberikan ruang untuk Islam mengenengahkan peranan. Inilah masanya untuk menunjukkan ia amat relevan dengan perkembangan zaman. 

Menurut beliau pembangunan mampan (sustainable development) adalah salah satu isu teras yang mahu ditangani oleh UIAM. Tahun lepas ia telah menerima pengiktirafan sebagai pusat serantau bagi kepakaran dalam pendidikan pembangunan mampan. Untuk pengetahuan ISTAC adalah satu institusi pasca-siswazah berotonomi di bawah UIAM. Apa-apa isu yang diperjuangkan oleh UIAM harus turut diangkat oleh ISTAC. Cuma istimewanya ISTAC dianggap ramai sebagai institusi tersendiri yang lebih tinggi nilai keintelektualan lalu diharap sebagai pemangkin dan penyuluh bagi usaha-usaha UIAM.



Menggunakan slaid untuk menyokong pembentangan Dzulkifli seterusnya membuat takrifan apakah makna masyarakat mampan (sustainable society). Namun ada takrifan yang bersifat sekular ada yang mengambil kira agama. Pada pandangan beliau harus ada tiga perkara :-

1) Balanced (Seimbang)

2) Orderly (Teratur)

3) Peaceful (Aman)

Diberilah contoh Amerika Syarikat sebagai negara yang katanya telah memakai hasil (resources) lima buah planet. Eropah pula hidup dengan hasil tiga buah planet. Sedangkan hakikatnya kita cuma ada satu planet (bumi). Ini bermakna negara-negara lain, negara-negara membangun juga negara-negara Islam pula kekurangan hasil (deprived disebabkan kerakusan Amerika dan Eropah). 

Dalam keadaan dan realiti begini yang sangat tidak seimbang itu tentunya Amerika memberikan makna kemampanan yang lain sesuai dengan keperluan mereka (yang rakus itu). Tentunya Islam ada sukatan sendiri tentang apakah yang seimbang, teratur dan aman. Pada Dzulkifli apabila bercakap tentang kemampanan ia harus menjangkau lebih daripada planet untuk meliputi sejagat alam (universal). Di sini konsep Rahmatan Lil Alamin (memakmurkan seluruh alam) dalam Islam harus digunapakai. Ia harus equitable (adil, tanpa pilih kasih), harmonious (berharmoni) dan prosperous (memakmurkan). Tidak ada jurang antara yang kaya dengan yang miskin, yang memiliki dengan yang tidak memiliki (the haves and the have nots) dan sebagainya. Kepentingan semua pihak harus diambil kira.

Diberi contoh pula tentang apa yang berlaku apabila Covid-19 menyebabkan pergerakan ramai menjadi terhad (akibat Perintah Kawalan Pergerakan). Hasilnya sungai dan udara menjadi bersih, binatang-binatang yang sebelum ini tidak kelihatan keluar ke sana sini (akibat tiada gangguan manusia). Selama ini manusia mendominasi persekitaran (sehingga hilang keseimbangan). Apabila berlaku Covid-19  binatang dapat keluar semula untuk kembali mengambil bahagian (reclaim).

Pada Dzulkifli intipati perkara adalah tentang berkongsi (it is about sharing). Apa yang kita boleh kongsikan bersama, apakah boleh dipelajari bersama. Segalanya harus bersifat inklusif (melibatkan kepentingan semua pihak). Barulah wujud masyarakat mampan yang juga meliputi kepentingan makhluk-makhluk lain. Ini harus sesuai dengan apa yang diajar oleh Syariah Islam.



Panelis kedua Profesor Dr Jasser Auda disebut dalam poster sebagai presiden Maqasid Institute, Al-Shatib Chair of Maqasid Studies, International Peace College di Africa Selatan. Namun pengenalan dalam majlis nampaknya cuma membariskan kedudukan beliau sebagai cendekiawan Islam terhormat di Kanada. Seperti Dzulkifli beliau menyentuh tentang kesilapfahaman terhadap makna dan fungsi Syariah. Seringkali ia dihadkan pada hal-hal ritual, kekeluargaan dan sedikit bab jenayah. Sedangkan ini cuma sebahagian kecil sahaja daripada bab Syariah. Maka itu harus dilihat takrif sebenar berdasarkan apa yang disebut di dalam Al Quran.

Beliau memberitahu, menurut Al Quran Syariah adalah berkenaan Ad-Deen iaitu cara kehidupan (way of life, bukan sekadar faith atau kepercayaan). Perkataan Syariah itu sendiri sebenarnya membawa maksud cara kehidupan. Ia melibatkan segalanya malah asas segala perkara. Syariah terkait dengan asas ekonomi, asas perubatan, asas politik, asas segala macam perkara. Maka tujuan Syariah (objectives, Maqasid) harus memberikan takrifan pada tujuan kemampanan (objectives of sustainability), bukan sebaliknya. 



Jangan terikut segala macam permintaan misalnya atas nama hak asasi manusia untuk memberi makna pada kemampanan. Sesungguhnya Islam memiliki takrifan tersendiri tentang hak juga kemampanan kerana tujuan tertingginya adalah beribadat kepada Allah SWT. Dengan itu kita akan berusaha untuk meninggalkan perkara-perkara tidak baik seperti sifat tamak, rakus, mementingkan diri sendiri, ganas (yang dihalalkan malah sebenarnya dijulang tinggi dalam takrif kemampanan Barat apabila melibatkan  pihak-pihak tertentu). Tidak seperti halnya hari ini yang mana ramai bercakap tentang kemampanan tetapi sebenarnya menjaga kepentingan pihak tertentu, misalnya menggunakan industri kesihatan bagi memajukan industri farmaseutikal (yang mencipta segala macam ubatan lalu memegang hakcipta).

Dalam Islam kesihatan adalah hak (rights bagi semua orang), bukannya perniagaan. Perubatan untuk kesihatan sepatutnya adalah suatu bentuk kebajikan bagi merawat orang yang jatuh sakit, bukan untuk membuat duit. Begitu juga halnya pendidikan. Perkara ini telah dirosakkan oleh penjajah (merujuk pada kolonialisma) terhadap tamadun Islam yang mana segala macam keperluan asas asalnya adalah sumbangan daripada orang ramai dan kerajaan. Hasilnya wujudlah pandangan yang sangat berbeza tentang makna kemampanan berbanding apa yang sepatutnya dalam Islam lalu ini mesti diperbetulkan.



Panelis ketiga Profesor Dr Mohammad Hashim Kamali, ketua pegawai eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies di Kuala Lumpur memanjangkan lagi konsep Syariah sebagai cara hidup untuk dikaitkan dengan kemampanan. Disebutlah tentang lima nilai tambah pada Maqasid Syariah iaitu tujuan bersyariah seperti berikut :-

1) Melindungi agama (protection of religion)

2) Melindungi nyawa (protection of lives)

3) Melindungi kewarasan (protection of rationality)

4) Melindungi keluarga  (protection of family and property)

5) Melindungi  harta benda (protection of property)

Ini semua terkait dengan usaha untuk menjadikan suatu masyarakat itu mampan. Keadilan harus dijalankan kerana dalam Islam ia penting untuk mendapatkan kemampanan. Prinsip-prinsip halal dan haram, kemaslahatan dan sebagainya harus dijaga. Kemudaratan harus dielakkan dan kalau berlaku pada kita (disebabkan tindakan suatu pihak) janganlah dibalas juga dengan kemudaratan.



Panelis keempat Profesor Datin Dr Raihanah Abdullah, pengarah Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya memilih untuk mengangkat isu-isu kewanitaan. Hal poligami dan kuasa talak (oleh orang laki-laki, satu perkara yang tidak digemari puak-puak feminis dan anti-Islam) disebut tetapi dinyatakan dalam konteks Islam mengangkat kedudukan wanita terutama apabila dibandingkan keadaan mereka pada zaman jahiliah malah pada abad-abad menghampiri zaman sekarang.



Panelis kelima dan terakhir, guru saya di ISTAC iaitu Profesor Datuk Dr Osman Bakar, pemegang kursi Al-Ghazali Epistemology and Civilisational Studies pula mengupas perkara dengan cara membangkitkan tiga isu atau persoalan :-

1) Apakah kaitan antara Syariah dengan masyarakat mampan?

2) Apakah yang kita tahu dan fikir tentang perbicaraan semasa berkenaan masyarakat mampan?

3) Bagaimana kita boleh meningkatkan pemahaman konsep tentang masyarakat mampan?

Rasanya cukuplah ulasan daripada saya ya. Untuk penerangan dan pemahaman lanjut sila ikut sendiri majlis melalui rakaman di sini.


Ahad, Februari 28, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan berlaku

Merujuk pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan pada hari Jumaat. Ada diberitahu bahawa pada hari tersebut saya sebenarnya mahu bercerita tentang satu majlis ilmu yang berlangsung pagi hingga tengah hari Rabu tetapi kepala terasa berat. Maka dipersembahkan artikel kenangan berbasikal sebagai ganti. Hari ini fikirnya dapat diceritakan tentang majlis tetapi cuma dapat siap separuh jalan sebelum kepala kembali terasa terlalu berat. Oleh itu biar dibuat lagi cerita perjalanan kerana penulisannya terasa lebih ringan. Masuk pada fasa ketiga perjalanan. Bersambung penceritaan daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik yang dipersembahkan pagi Rabu.


Ini adalah gambar street view iaitu daripada paras permukaan bumi yang diambil daripada program Google Map. Ia menunjukkan keadaan jalan selepas beberapa kilometer meninggalkan pekan Gerik untuk menghala ke arah timur. Jalan ini dikenali sebagai Lebuh Raya Timur Barat. Dahulu ia adalah satu-satunya jalan raya menghubungkan negeri Perak dengan Kelantan juga satu-satunya jalan raya menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur di separuh utara Semenanjung. Selepas beberapa lama baru ada jalan lain iaitu lebuh raya yang menghubungkan Simpang Pulai di Ipoh, Perak dengan Cameron Highlands di negeri Pahang membawa ke Gua Musang di Kelantan.

Selepas bermalam di Gerik kami mengambil jalan ini ke Kelantan. Ia adalah kali pertama saya mengambil jalan tersebut juga pertama kali ke negeri itu. Menurut Google Map jarak dari pekan ke sempadan negeri adalah hampir 90 km. Jalan ini menyeberangi kawasan pergunungan utama Semenanjung iaitu Banjaran Titiwangsa. 



Semakin tinggi mendaki pergunungan jalan semakin tajam berliku dan mencabar. Hal ini dapat dilihat melalui perisian Google Earth yang menggunakan paparan bentuk muka bumi dari satelit. Dari pekan Gerik yang terletak pada ketinggian sekitar 410 kaki dari paras laut jalan mendaki tinggi sehingga melepasi 2,000 kaki dari paras laut. Kayuhan menjadi sangat perlahan dan memenatkan sehingga ada yang mengalah lalu memilih untuk menyimpan basikal dan menaiki van. 



Seingatnya saya adalah antara orang yang terakhir terus bertahan sebelum mengalah. Kami mengalah bukan semata-mata disebabkan penat malah diminta oleh pihak sokongan atau krew perjalanan agar naik sahaja van. Ini disebabkan kami bergerak mendaki pada kadar terlalu perlahan. Apabila sampai bahagian menurun pula menjadi berbahaya kerana basikal bergerak terlalu laju akibat kecuraman. Susah nak kawal apa lagi jalan berliku sedangkan kami bukan pelumba profesyional dan perlu dipertanggungjawabkan oleh pihak kolej...

Untuk pengetahuan terdapat dua bahagian yang kedua-dua menaik sehingga 2,000 kaki tinggi sebelum menurun ke suatu paras landai. Bahagian pertama adalah dari Gerik sampai ke satu bahagian gunung sebelum turun ke paras sekitar 870 kaki di tasik besar buatan bernama Tasik Banding. Ia adalah tasik yang terbit akibat Sungai Perak diempang di suatu tempat tidak jauh dari pekan Gerik. Selepas menyeberangi tasik dengan dua buah jambatan (ada pulau besar di tengah tasik) jalan kembali mendaki sehingga 2,000 kaki sambil memasuki sempadan Kelantan lalu turun ke arah pekan Jeli. 

Gambar daripada artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - The compilation... tahun 2012 ini menunjukkan satu bahagian di tepian Tasik Banding. Untuk pengetahuan selain menjadi tarikan bagi mereka yang berminat bermain air, memancing dan sebagai ia adalah pintu masuk utama ke Hutan Simpan Belum. Hutam ini meluas ke sempadan negara Thailand. Oh. Walaupun kami mengalah dengan menaiki van tidaklah ia dilakukan sepanjang perjalanan. Apabila jalan cukup landai misalnya di sekitar Tasik Banding kami turun kembali menaiki basikal. Begitu juga sebenarnya di beberapa bahagian atas pergunungan iaitu apabila turun naiknya tidak terlalu mencabar.


Seingat saya penginapan seterusnya adalah di Tanah Merah, Kelantan. Berdasarkan anggaran separuh daripada perjalanan dibuat dengan van, separuh dengan basikal jarak sekitar 170 km dari Gerik dapat ke Tanah Merah dicapai dalam tempoh 5 hingga 6 jam (sejam dengan van 85 km, 4 jam lebih 85 km dengan basikal). Oleh itu kalau bertolak jam 8 pagi kami boleh sampai sebelum jam 3 petang. Ini kalau berehat atau berhenti tanpa melebihi jumlah masa sejam.

Saya masih ingat kami semua menginap tidur lambak di rumah seorang peserta pengembaraan di sebuah kampung, tak ingat lokasi tepat. Teringat bahawa pada malam itu kami sempat pergi ke pasar malam berdekatan di mana nyaris-nyaris terjadi pergaduhan antara pihak saya dengan satu pihak penjual pakaian disebabkan duit hilang. 

Merujuk kembali pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan. Adapun ia ditulis untuk menyatakan kekeliruan/kemusykilan tentang bilakah perjalanan sebenarnya berlaku. Sekarang rasanya sudah mendapat jawaban...

Saya tahu dan pasti perjalanan secara rasminya bermula dari kampus PPP/ITM di Seksyen 17, Shah Alam, tempat belajar kami setelah beberapa lama menetap di kampus terdahulu iaitu di Damansara Utama (DU). Menurut seorang kawan sama batch yang turut bersama dalam perjalanan ia berlangsung sekitar sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos tanpa menyatakan tahun bila. Namun berdasarkan maklumat daripada seorang junior  pada Disember tahun 1989 kami masih berada di DU kerana bertolak dari situ untuk satu aktiviti lain di Pulau Pangkor. Yang pasti pada Januari 1990 kami semua sudah berpindah ke Seksyen 17. Tetapi tidak lama kemudian saya ditendang keluar daripada program akibat telah melakukan terlalu banyak kesalahan disiplin.

Oleh itu mustahil saya dapat bersama dalam perjalanan kalau ia berlaku sekitar 31 Ogos tahun 1990. Mesti pada tahun sebelumnya iaitu 1989 juga sedangkan pada waktu itu kami belum berpindah ke Shah Alam. Setelah beberapa lama baru terfikir muncul satu kemungkinan bagaimana ini boleh berlaku. Walau kami yang mengambil program A Level di PPP/ITM menetap di kampus lama di DU sehingga penghujung 1989, program besar PPP/ITM itu sendiri sudah berjalan lama di Seksyen 17. 

Program kami adalah satu cabang sedangkan di Shah Alam sudah berjalan dua lagi cabang yang memiliki lebih ramai pelajar iaitu iaitu program AAD (American Associate Degree - boleh diterjemahkan sebagai Ijazah Bersekutu Amerika) dan TESL (Teaching of English as Second Language - Pengajaran Inggeris sebagai Bahasa Kedua). AAD adalah untuk mereka yang akan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, TESL untuk mereka yang bakal menjadi guru bahasa Inggeris di sekolah - Ada yang bakal melanjutkan pelajaran ke United Kingdom tapi kebanyakannya meneruskan ijazah di Malaysia. 

Boleh jadi kami yang di bawah program A Level belum berpindah ke Shah Alam tetapi perjalanan berbasikal dimulakan dari sana kerana menempatkan kampus induk PPP/ITM. Ya, ini ada logiknya atas sebab-sebab perasmian memandangkan kami membawa nama besar PPP/ITM, bukan sekadar nama A Level. Nampaknya ini lebih tally atau bersesuaian dengan satu lagi ingatan bahawa setelah seminggu dua perjalanan selesai saya harus bergerak jauh ke Shah Alam untuk mengambil basikal. Ini adalah untuk memulangkannya kepada bapa saudara di Taman Aman, Petaling Jaya. Perjalanan secara rasminya berakhir di Shah Alam. 

Ya, saya ada meninggalkan basikal di rumah seorang pensyarah yang juga merupa warden asrama di sana kemudian balik ke DU dengan bas kerana sudah terlalu penat berkayuh jauh. Kalau ketika itu sudah berpindah ke Shah Alam harus isu ini tidak terbit kerana tidak perlu bergerak daripada suatu tempat yang agak jauh seperti Petaling Jaya dan Kuala Lumpur semata-mata untuk mengambil basikal.  DU dengan Taman Aman cukup dekat untuk memulangkan basikal yang dipinjam daripada bapa saudara lebih awal sedangkan ia tidak berlaku begitu. Ya. Seingatnya lagi buat satu tempoh saya tidak berbasikal. Kalau benar ketika itu sudah berpindah ke Shah Alam tentu selepas perjalanan selesai saya dapat menggunakan basikal buat suatu tempoh sebelum memulangkan.

Saya rasa inilah penerangan terbaik kenapa perjalanan bermula dari Shah Alam sekitar 31 Ogos tahun 1989 sedangkan kami cuma berpindah ke sana menjelang Januari 1990. Cukuplah penceritaan kali ini. Selamat malam dan wassalam.