Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, September 15, 2007

Kuala Ketil, Mastura dan Char Koew Teow...

Assalamualaikum sekalian... Petang ini, setelah masuk hari ke 3 bulan Ramadhan baru saya tergerak untuk membuat updates dalam blogspot-blogspot saya demi mengambil barakah daripada bulan yang mulia ini. Adapun gerak hati saya menyuruh supaya melepaskan beberapa cerita daripada pengembaraan hampir sebulan yang meliputi negeri-negeri Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor yang dibuat lebih 2 bulan lalu. Biasalah saya... Bila datang gerak kemudian melepaskan mana yang patut, baru terasa lega ya tak... Hmm... Bunyi macam orang tak tahan kentut pulak dah... Mesti nak melepas, hehe! Kira lebih kuranglah... Penulis harus menulis seperti mana umum harus kentut... Boleh kan? Eh... Melalut lah pulak...

Oleh kerana cerita terakhir tentang pengembaraan tersebut ada dibuat di blogspot ini di bawah tajuk Sekitar Alor Setar terutama di Langgar... sebulan lepas, maka cerita harus disambung balik daripada Alor Setar... Ini telah dibuat dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH dengan tajuk A typical day in Alor Setar? kemudian diikuti sedikit cerita di Sungai Petani yang dimuatkan dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) di bawah tajuk Jalan-jalan (walkabout in) Sungai Petani... . Sekarang, cerita disambung dengan perjalanan daripada Sungai Petani untuk ke Kulim, Kedah...

Oh... Kalau begitu kenapa pula tajuk artikel ini pelik semacam? Bacalah dahulu, baru anda faham. Sila! :]



Tadi dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) saya ada menceritakan, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Sungai Petani, saya pun menuju ke perhentian bas untuk mendapatkan perkhidmatan 3 petang (kalau tak salah ingatan) ke Kulim... Sekali lagi saya tertinggal bas... Sebabnya, saya melepak agak lama sedikit di masjid tadi. Bas seterusnya ke Kulim akan berlepas sekitar jam 5 ke begitu... Kata pekerja di stesyen bas, kalau nak cepat, ambil bas ke Kuala Ketil dan daripada sana, boleh naik bas ke Kulim... Maka saya pun naiklah bas ini...


Dalam setengah jam kemudian, sampailah ke Kuala Ketil...

Rupa-rupanya pekan Kuala Ketil terletak di antara Baling dan Sg Petani sedangkan Kulim terletak di selatannya... Maka saya boleh mengambil bas Baling ke Kulim dari sana...


Sementara menunggu bas ke Kulim di hentian, saya terlihat sesuatu yang menarik perhatian...


Berhadapan hentian bas itu, terdapat sebuah kedai bernama Masturah Char Koew Teow... Aitt??

Terus teringat perjalanan semasa dalam bas daripada Sungai Petani tadi... Saya telah mengambil satu-satunya tempat duduk yang kosong di hadapan lalu duduk di sebelah seorang gadis yang saya anggarkan baru berumur sekitar 20 tahun begitu. Dalam perjalanan, saya telah membuka komputer laptop untuk meneliti sesuatu perkara... Gadis dengan rupa anak Mami yang agak menarik ini telah menegur saya lalu kami pun berkenalan...

Katanya namanya ialah Mastura, sedang belajar di sebuah politeknik tempatan... Cerita punya cerita, terkeluar cerita pasal Char Kue Teow (atau Char Koew Teow? Saya pun tak tahu ejaan mana yang betul)...

Sebenarnya, ketika itu saya sedang menceritakan tentang sedikit pengalaman perjalanan sebelum itu... Maka terkeluarlah cerita tentang Char Kue Toew yang saya makan pada malam hari di hadapan bangunan Universiti Tun Abdul Razak di Jalan Langgar, Alor Setar... Sedap sampai saya makan 2 pinggan... Rasanya lebih kurang macam Kue Teow di sebuah kedai di Seberang Perai... Lalu terkeluar cerita pula pasal Kue Teow Doli di Taiping yang Mastura kata sudah tidak begitu sedap... Dia mencadangkan agar saya mencuba Kue Teow di satu tempat lain, tak ingat di mana...

Dalam pada itu, saya teringat buah hati lama bernama Mas... Memang Mastura mengenalkan dirinya sebagai Mas... Bila saya tanya nama penuh baru dia bagitahu namanya Mastura... Maka tak sama dengan Mas yang saya kenali daripada umur 18 tahun sampai sama-sama belajar di England.

Gadis ini turun bas beberapa kilometer sebelum sampai Kuala Ketil. Apabila sampai di pekan ini lalu ternampak kedai Masturah Char Koew Teow, saya pula terus terasa semacam kejutan eletrik... Rasanya ada makna kenapa pertemuan ini berlaku tetapi sampai sekarang saya tak tahu apa maknanya... Lalu kali ini baru saya luahkan dalam penulisan di blogspot ini...

Memang sejak itu saya ada menyimpan niat untuk mengeluarkan cerita ini, semoga ada sesiapa dapat menolong menafsirkan apa yang tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa ini... Cuma baru sekarang, di bulan Ramadhan yang mulia ini baru ia terkeluar... Itupun setelah mengeluarkan apa yang patut untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...

Apapun, saya terus pergi ke kedai Masturah Char Koew Teow dengan harapan ada jawaban di situ... Sayangnya, kedai itu sedang tutup... Kalau tidak, mungkin saya akan makan di situ sambil menunggu ilham yang mungkin akan muncul kemudian...


Perhentian bas Sungai Ketil dilihat daripada hadapan kedai Masturah Char Koew Teow... Apakah botol susu besar di sebelah boleh memberikan jawaban? Tidak lama kemudian, bas ke Kulim pun sampai...


Dalam setengah jam kemudian saya pun sampai ke Kulim... Rasanya ini kali pertama saya sampai di sini kerana setiap kali lalu ke utara, saya sering mengikut jalan Seberang Perai sedangkan Kulim terletak jauh sedikit ke timur menghala ke Banjaran Titiwangsa...


Adapun saya ke Kulim untuk bertemu seorang kenalan melalui sebuah forum di Internet, kenalan yang rupa-rupanya ada pertalian keluarga. Sementara menunggu kenalan ini sampai ke hentian bas, saya pun menggantungkan poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Boleh nampak tak di mana ia?

OK... Kalau ada sesiapa ada getaran tertentu atau jawaban tentang makna perjalanan melalui Kuala Ketil sehingga terjumpa si Mastura yang bercerita tentang Char Kue Teow kemudian terjumpa pula kedai Masturah Char Koew Teow, silalah bagi pandangan ya.... Sekian, wassalam! :]

Tuesday, September 11, 2007

911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?)


Semalam, seorang teman wanita telah bertanya apakah saya akan membuat apa-apa posting sempena masuk tarikh 11 September hari ini... Untuk pengetahuan, 11 September atau September 11 adalah tarikh keramat yang menyaksikan bangunan berkembar World Trade Centre di New York runtuh menyembah bumi setelah dirempuh dua buah pesawat komersial, kononnya akibat perbuatan pengganas Islam.
Entah kenapa, hari ini saya terasa begitu lemah lalu banyak berbaring dan tidur di rumah... Sebelah petang baru saya keluar ke komplek membeli-belah berdekatan kemudian pergi ke sebuah Cyber-Cafe untuk membuat posting-posting baru untuk blogspot-blogspot saya...
Adapun kira-kira 13 hari lepas, setelah tidak membuat apa-apa pembaharuan dalam mana-mana blogspot, barulah saya tergerak untuk 'memecah kesunyian'. Ketika itu, saya sengaja membiarkan blogspot-blogspot saya menjadi 'lapuk' kerana suka dengan jumlah 171 postings untuk blogspot ini, 111 untuk BERPETUALANG KE ACEH dan 55 untuk SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Saya mahu jumlah-jumlah ini bertahan untuk suatu ketika... Maklumlah saya kan ada gila-gila nombor...
Apabila "kesenyapan" ini dipecahkan dengan satu artikel bagi setiap blogspot, terus hati saya berkata, jika saya membuat update lagi selepas itu, ia harus dijadikan 3 artikel untuk setiap blogspot... Maka update seterusnya dibuat 2 hari lepas dan kebetulan ia termasuk artikel ke 9 untuk siri cerita Trip to Europe 1995 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang dibuat berdasarkan satu pengembaraan hitchiking mengelilingi benua Eropah tahun 1995.
Keadaan ini pula membawa gerak hati yang mencadangkan agar untuk update seterusnya, mesti dibuat satu artikel untuk setiap blogspot... Ini akan menjadikan satu turutan nombor 1-3-1 dan saya memang suka nombor in kerana entah kenapa, sejak 7 tahun lalu saya selalu mengaitkan nombor 131 dengan home sweet home atau rumahku syurgaku yang saya idam-idamkan seumur hidup tapi masih belum dapat lagi... Turutan ini cukup cantik kerana ini bermakna saya juga akan membuat bahagian 10 yang merupakan cerita terakhir perjalanan ke Eropah tahun 1995 lalu menutup siri cerita ini terus dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...
Tadi, bila saya masuk ke blogspot-blogspot saya, baru saya sedar bahawa update 3 cerita untuk setiap blogspot yang dibuat 2 hari lalu jatuh pada September 9... Iaitu 9 cerita (3 cerita kali 3 blogspot) dibuat pada 9 haribulan 9! Dan hari ini pula saya dapat menutup cerita tentang Eropah sehari sebelum masuk bulan Ramadhan... Cantik bukan? Sila lihat Trip to Europe 1995... Walking 50km in Paris before closing the trip in Brussels... di BERPETUALANG KE ACEH ,
tak lupa juga artikel bertajuk Masjid (mosque of) Sungai Petani, Kedah dan (and) September 11?... di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) yang baru dibuat tadi.
OK... Adapun tarikh September 11 yang "dikeramatkan" kerana peristiwa kejatuhan bangunan di New York juga dikenali sebagai 911 sempena September bulan ke 9 diikuti hari ke 11... Kebetulan 911 juga membawa makna nombor talifon kecemasan untuk memanggil ambulan, polis dan sebagainya...
Di sini tergerak saya untuk meletakkan beberapa cerita berkaitan daripada siri buku "Berpetualang ke Aceh" untuk tatapan semua... Oleh kerana tidak ada mukasurat 911 pada mana-mana buku dalam siri ini, maka biar diambil cerita daripada mukasurat 119 (11 haribulan 9?) dan 191 (satu lagi bentuk aturan yang diambil daripada nombor 911) kerana gerak hati saya menyuruh berbuat begitu, entahlah untuk apa... Mungkin sekadar memuaskan hati sendiri sahaja? Wallahualam...
Oh... Sebelum itu biar dipaparkan dulu cerita berkenaan peristiwa September 11 yang ada dalam buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA, tentang apa yang berlaku setelah mendapat sebuah mimpi misteri penuh makna...


--------------------------


Daripada bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak: Kisah Keramat Kuala Bidor"

Pada mulanya Rasyid tidak mengendahkan mimpi ini. Ketika itu, dia telah tiga tahun berkhidmat sebagai wartawan sukan, sedang sibuk membuat liputan terutama acara hoki, sukan berkuda dan permotoran. Tetapi Peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan dua buah kapalterbang penumpang melanggar menara berkembar World Trade Centre di New York menyentaknya kepada mimpi yang berlaku sebulan sebelum itu. Seolah-olah ia berkait rapat dengan peristiwa yang diyakininya adalah tanda bermula serangan besar-besaran Yahudi Zionis ke atas umat Islam yang bakal menyaksikan Perang Dunia keTiga meletus tidak lama lagi, ada kena-mengena pula dengan peristiwa-peristiwa akhir zaman yang pernah disebut Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun dahulu.
Sebelum itu, dia pernah terbaca risalah Protocols of the Elders of Zion yang ditemui secara tidak sengaja semasa melayari Internet di pejabat, satu set protokol yang mengandungi rancangan terperinci untuk menakluki dunia demi menerbitkan sebuah kerajaan besar sedunia yang dikenali sebagai The New World Order. Rancangan yang diilhamkan intelektual Zionis dahulu ini turut menyenaraikan penguasaan segala bentuk media massa - suratkhabar, berita, rencana, siaran radio, program TV, hiburan dan filem-filem Hollywood untuk membentuk masyarakat leka yang mindanya senang dijajah, disertai galakan meluas terhadap sistem kewangan berasaskan riba’ yang dipelopori the international bankers juga sokongan terhadap bakal tokoh-tokoh politik yang bijak dan berkarisma seluruh dunia tetapi kurang bermoral lalu boleh dicucuk dan ditarik hidungnya oleh Yahudi.
Pemuda yang sudah mula berjinak balik dengan tikar sembahyang itu juga telah mengenali Freemason, rangkaian yang mengaku berdiri di atas prinsip persaudaraan manusia sejagat untuk menerbitkan ketamadunan insan mulia tetapi sebenarnya bergerak secara underground untuk menjayakan rancangan Protocols. Rangkaian ini disokong pula oleh Illuminati, kumpulan elit yang terdiri daripada para bijak pandai, kaya raya dan berkuasa seluruh dunia tetapi tersembunyi seperti watak bayang-bayang yang mendokong segala komplot dalam siri televisyen popular The X-Files.
Pandangan pengasas syarikat gergasi kereta Henry Ford dalam bukunya The International Jews yang memperincikan taktik Yahudi menguasai sistem kewangan Amerika awal abad ke 20 menguatkan lagi kewujudan rancangan teliti Zionis untuk menakluki dunia. Hati kecilnya pula berkata perkara ini telah dibayangkan secara tersirat dalam mimpinya dahulu...
Lebih seminggu Rasyid gelisah tertanya-tanya apakah makna semua ini. Mengapa dia merasakan Perang Dunia Ketiga yang menurut satu dokumen mengenai Illuminati adalah perang besar terakhir yang dirancang sebelum mereka dapat menakluki dunia amat dekat sekali. Malah mungkin perang itu telah pun bermula dengan peristiwa 11 September. Sepertimana Perang Dunia Pertama dan Kedua yang meragut berpuluh-puluh juta nyawa bermula dengan konflik bersenjata kecil di Eropah Timur sebelum merebak beberapa tahun kemudian ke seluruh dunia.
Akhirnya pemuda ini tidak tahan lagi. Hati kecilnya berkata cuma nenek, bonda kepada ayah sahaja yang mampu menghuraikan makna mimpi itu dan apa yang sedang berlaku terhadap dirinya. Selama ini, dia lebih rapat dengan keluarga sebelah ibu tetapi tetap akan kembali ke kampung sebelah ayah sekurang-kurangnya setahun sekali. Kecuali semasa menuntut di England dan tiga tahun kebelakangan.
Entah bagaimana, Rasyid boleh mendapat cuti seminggu tanpa banyak soal. Selalunya bukan senang hendak mendapatkan cuti lama di meja sukan lebih-lebih lagi SEA Games 2001 akan dilangsungkan di ibukota tidak sampai sebulan lagi. Maka selepas tiga tahun tidak menziarahinya, pemuda itupun bergegas balik ke rumah nenek.
Sampai sahaja di sana, nenek telah bersedia menyambut mesra. Wanita yang telah melepasi umur 70an itu tetap seperti dahulu, dengan senyuman manis tidak pernah lekang di bibir dan mata redup bercahaya, masih suka berkain batik dengan baju kurung Kedah. Walaupun cucu sulungnya sudah lama tidak menjenguknya, nenek tidak pernah berkecil hati. Malah airmukanya kelihatan lebih senang daripada dahulu, seolah-olah memang menunggu dan menjangkakan kedatangan anak muda itu.
Muhammad Al Aminul Rasyid menunggu sehingga selesai makan tengahari sebelum mengemukakan apa yang sudah lama terbuku di hati. Dengan menceritakan mimpi ganjilnya yang melibatkan keSultanan Perak serta kaitannya dengan akhir zaman. Bayangkan selepas begitu lama tidak berbual dengan nenek malah seumur hidup tidak pernah mengambil tahu tentang negeri kelahiran ayah, tiba-tiba dia boleh muncul kembali dan bertanyakan cerita-cerita lama tentang Perak. Yang peliknya nenek tidak hairan pun malah tersenyum berseri-seri pula. Seolah-olah sudah sampai masa cucundanya mengenali asal-usul diri, sudah sampai waktu bersedia untuk memikul amanah keluarga. Apalagi, nenek pun membuka cerita...

----------------------------

OK... Sekarang baru dimulakan sesi cerita berdasarkan nombor... Diambil daripada mukasurat 119 BKA I... Dalam Bab 3

Dalam pada itu, Rasyid teringatkan Nur, gadis kesayangannya. Timbul pula rasa rindu, sudah lebih dua minggu tidak menatap wajah manis wanita langsing itu yang menetap di selatan Kuala Lumpur. Terbayang pula senyuman lebarnya yang jarang lekang di bibir...
Anak muda itu juga sudah lama tidak bermalam di Kajang, di salah sebuah rumah milik keluarga, rumah penginapannya semasa tahun pertama bekerja sebagai wartawan 1996 hingga 1997. Rumah itu juga adalah tempat ayah menetap sebelum pencen dan kembali ke Muar.
“Hmm... Kalau panjat Gunung Nuang dan keluar di Hulu Langat boleh juga berjumpa Nur kemudian balik ke Kajang,” getus hatinya.
Dia pun keluar mandi di sungai bersebelahan rumah lalu bersiap-sedia. Ringkas, sebuah beg knapsack besar diisi penuh pakaian yang akan dibawa balik ke Kajang. Pakaian di badan sekadar t-shirt, seluar tracksuit dan sebuah jaket kalis hujan tertera lambang Polis diraja Malaysia serta perkataan “JELAJAH MESRA PDRM” di dada kiri. Hingga ada orang yang menganggap Rasyid seorang anggota polis, walaupun ketika pemuda itu sedang berambut panjang. Ramai juga menduga dia mungkin seorang polis undercover kerana gayanya yang agak tenang tetapi tegas dan berani, lebih-lebih lagi ketika memakai jaket labuh berwarna biru gelap ini. Nasib baik dia bukan jenis yang suka menyamar...
Anak muda ini tergelak apabila ditanya tentang itu. Geli-hati pun ada.... Lalu dia akan menyuakan bahagian lain jaket supaya dapat dilihat dengan jelas, jaket yang merupakan salah satu daripada pelbagai hadiah yang diterima ketika bertugas sebagai wartawan dahulu.
“Ini, tengok ini,” katanya menerangkan keadaan. “Lambang KFC ada, Telekom ada, EON, Majlis Sukan Negara malah Persatuan Lumba Basikal Kuala Lumpur pun ada. Pilihlah yang mana, kamu hendak kata saya bekerja di mana. Semua pun boleh,” pemuda ini berseloroh.
Rasyid keluar dari rumah Pak Syed sekitar jam 10 pagi dengan memakai sepasang kasut ‘kung-fu’ lalu melangkah ke dalam hujan renyai yang masih belum putus sejak semalam menuju ke kedai makan berhampiran surau. Kebetulan pula kawannya yang biasa keluar masuk Gunung Nuang ada di kedai. Maka dia pun bersantai sebentar membaca suratkhabar dan minum kopi kemudian mendapatkan sedikit petunjuk tentang laluan yang perlu dijejaki di gunung itu nanti, jalan mana yang harus dipilih jika terjumpa denai yang bercabang dan sebagainya... Semuanya diterapkan dalam ingatan sahaja.

------------------------

Ini daripada mukasurat 119 buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II... Daripada bab bertajuk "KeSultanan Melaka: Kesinambungan Pasai ke Aceh"...

Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Si Perba itu keturunan raja-raja besar... Maka titah Sang Si Perba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”
Sembah Demang Lebar Daun: “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinusta dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”
Sang Si Perba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba...”
“Janji yang mana itu, tuanku?”
“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun.”
“Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”
Titah Sang Si Perba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”
Mereka pun bersumpah-sumpahan serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas. Itulah sebabnya anak Melayu tidak boleh derhaka kepada raja walau seburuk-mana sekali pun perangai raja itu... Kalau derhaka, maka tulah dimakan sumpah. Raja pula tidak boleh memberi aib atau malu terhadap anak Melayu walau besar mana sekali pun kesalahannya. Kalau dilakukan juga, raja itu akan jatuh “terpele’ot” juga nanti...
Sang Si Perba dan Wan Sendari pun dikahwinkan. Ternyata Wan Sendari tidak menghadapi apa-apa masalah setelah beradu dengan Sang Si Perba. Dari perkahwinan ini dapatlah empat orang anak termasuk dua orang perempuan, Puteri Seri Dewi dan Puteri Chendera Dewi. Yang laki-laki adalah Sang Maniaka dan Sang Nila Utama. Puteri-puteri ini masing-masing dijodohkan dengan Raja China dan Raja Majapahit. Sang Nila Utama pula turun ke Bentan, berkahwin dengan Wan Seri Beni, puteri kepada Raja Bentan, seorang raja perempuan bernama Permaisuri Iskandar Shah.
Sang Nila Utama inilah yang kemudiannya pergi ke Temasik dan menamakan pulau itu sebagai Singapura mengambil sempena nama seekor binatang tangkas yang dilihatnya di situ. Baginda pun memerintah Singapura dengan memakai nama Seri Teri Buana...

--------------------

Ini pula daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III yang belum keluar dan masih dalam proses penyuntingan...

Pada mulanya, saya tidak mahu memaparkan ini lagi kerana ia melibatkan perkara peribadi yang sepatutnya cuma akan dikeluarkan apabila ia memasuki pasaran, Insyaallah sebelum tamat 2007... Tapi apabila memikirkan gerak hati ini yang menyuruh mengeluarkannya pada tarikh ini kerana ia terletak pada mukasurat 119 maka saya ikut sahajalah... Ini dia, kebetulan daripada Bab 11...

Sebab utama yang diberikan isteri Rasyid mengapa mereka tidak lagi sehaluan sehingga akhirnya berpisah adalah pemuda itu tidak mahu berubah, sudah beberapa tahun tidak mahu bekerja atau mencari kerja. Sebenarnya bukan dia tidak mahu bekerja tetapi dia tidak mampu lagi... Walaupun zahirnya kelihatan Rasyid masih kuat, hakikatnya dia sedang begitu lemah akibat tamparan hidup yang hebat. Jiwanya terlalu runsing, tidur selalu tidak menentu dan badan pula selalu sakit, pening kepala, dan demam… Isteri yang suka merungut pula menambahkan beban...
Semasa isterinya sedang mengandung enam bulan, Rasyid pernah bekerja dengan seorang bapa saudara untuk menghidupkan kembali sebuah yayasan Islam yang sudah lama terkubur. Oleh kerana bapa saudara yang merupakan seorang daripada tiga pengarah asal yayasan sibuk dengan kerjaya sendiri, pemuda itu terpaksa bertugas seorang diri untuk menyatukan kembali ‘sisa-sisa’ yayasan berdasarkan dokumen-dokumen seperti penyata akaun serta minit-minit mesyuarat yang masih disimpan.
Yayasan peringkat nasional yang pernah dinaungi beberapa nama besar politik tanah-air ini ditubuhkan 5 tahun lalu dengan misi untuk memperkenalkan perubatan Islam. Kerajaan telah menganugerahkan sekeping tanah luas di sebuah kawasan yang sedang meningkat maju untuk digunakan sebagai tapak pusat perubatan yayasan. Modal permulaan berjuta Ringgit turut disumbang beberapa badan kebajikan.
Malangnya, pihak yang diamanahkan untuk mendirikan pusat ternyata tidak jujur. Selepas menubuhkan sebuah syarikat induk dengan beberapa buah anak syarikat, mereka terlebih dahulu menganugerahkan imbuhan tinggi untuk setiap pengarah syarikat termasuk kereta mewah berserta pemandu malah pakej pelancongan ke luar negeri setahun sekali untuk mereka dan keluarga! Orang-orang ini juga telah membazirkan banyak wang untuk menyewa pejabat operasi syarikat kemudian mebuat pengubah-suaian mewah. Yuran yang sangat mahal pula diberikan untuk khidmat profesional seperti guaman, audit, pakar hartanah dan sebagainya. Hasilnya, wang yayasan cepat susut sedangkan projek itu tak ke mana...
Apa yang Rasyid lihat, mereka telah memilih khidmat kenalan yang berkepentingan. Modal untuk mendirikan pusat disalurkan kepada kroni. Maka itu tidak hairanlah jika bayaran yang diberikan tidak setimpal dengan hasil kerja yang terzahir. Projek pembinaan berjalan lancar di atas kertas tetapi hasil kemajuan seperti tak wujud langsung di tapak pembinaan....

---------------------

Di bawah ini pula adalah isi mukasurat 191 bagi BKA I, BKA II dan BKA III... Kebetulan untuk setiap buku, mukasurat 191 menjadi permulaan bab-bab baru... Ini dia...
Untuk BKA I...

LEGENDA MERAH SILU:

KEMUNCULAN

SULTAN MALIKUS SALIH

QADDASALLAHU SIRRAHU


Ingatlah, sesungguhnya para Awliya Allah, tiada mereka perlu kuatirkan, dan tiada mereka berduka-cita, iaitu orang-orang yang telah beriman dan sentiasa bertaqwa, bagi mereka berita gembira dalam hidup di dunia dan akhirat,tiada perubahan dalam janji-janji Allah, inilah kemenangan yang besar.

- Surah Yunus, ayat 62-64



Daripada BKA II pula...

BAB 9

Setelah tiga hari berturut bermalam di teratak buruk Lelek menikmati ketenangan Pulau Kampai, sampailah masanya untuk Rasyid meneruskan perjalanan. Pemuda itupun menyatakan hasrat untuk mula melangkah ke Medan, orang tua itu pula terdiam muram. Malam tadi, anak Malaysia ini sudah menyatakan niat untuk berangkat segera tetapi orang tua ini masih berharap agar dia duduk lebih lama di situ. Malah Lelek mengajak Rasyid terus menetap di pulau itu sepertimana dia sendiri pernah mengembara ke seluruh tanah Jawa semasa zaman mudanya, kemudian sebahagian besar Sumatera sebelum menghabiskan sisa-sisa umur lanjutnya di pulau ini.
Orang tua itu diam membisu. Rasyid memecah keheningan suasana: “Saya mesti pergi Lek. Mesti ke Medan, cuba dapatkan surat kebenaran masuk ke Aceh. Perjalanan saya masih jauh, banyak yang belum selesai...”
Lelek menundukkan muka. Pemuda itu cuba memujuk lembut...“Sabarlah Lek... Mana tahu suatu hari nanti saya akan kembali ke sini? Mana tahu saya akan datang dan mendirikan rumah di sini? Bila timbul rasa rindu pada Pulau Kampai, bolehlah datang duduk... Bila rasa hendak berjalan ke tempat lain, jalan... Apa-apa hal pun Insyaallah, saya akan sampai ke sini lagi!”
Orang tua itu menoleh sayu. “Apalah hendak disusah-susahkan buat rumah nak?” dia bersuara tersekat-sekat. “Tidur sahaja di rumah Lelek. Rumah inipun bukannya ada orang sangat. Elok juga kalau kamu ada...”
Suasana senyap seketika. Malaikat lalu agaknya… Melihat pemuda itu tidak memberi apa-apa jawaban, Lelek pun menyambung: “Tak mengapalah kalau kamu mahu bergerak juga. Aku doakan kamu selamat bahagia.”
Mereka duduk diam saling memandang... Bagai adegan seorang anak ingin berjalan jauh meninggalkan bapa tidak berteman, mula terasa sunyi tetapi akur sudah sampai masa anaknya pergi. Selepas beberapa ketika, barulah orang tua itu tersenyum menerima keadaan. Rasyid tuut tersenyum sama. Mereka pun bersiap ke masjid untuk bersolat Subuh berjemaah, masjid yang berjaya menemukan dua jiwa pengembara tiga hari lalu…


Dan akhir sekali daripada BKA III...


TOK PULAU MANIS,

BATU BERSURAT TERENGGANU

DAN BEBERAPA WARISAN ACEH


Rasulullah dengan yang orang sentiasa sir,
Asa pada Dewata Yang Mulia Raya memberi menamakan negara Agama Islam,
Dengan benar bicara dari diajar mengesahkan bagi sekalian hamba Dewata muliaRaya,
Di benua aku ini penentu agama Rasulullah SAW Raja,
Mandalika yang benar secara Islam Dewata Mulia Raya,
Bahumi ini penentu itu fardhu pada sekalian Raja Mandalika,
Islam menurut sembah Dewata Mulia Raya,
Dengan benar secara hal ehwal kerana Hukum Mu Asma Ilahi Mu,
Maka titah Seri Paduka Tuhan menduduki Tamir ini di benua Terengganu ini
ada purnama ada,
Jumaat di bulan Rejab di tahun Saratan di Sasakala,
Baginda Rasulullah telah lalu Tujuh Ratus Dua.

-Terjemahan Batu Bersurat Terengganu

-------------------

OK... Cukuplah ya... Saya pun tak tahu lagi apakah yang tersurat dan tersirat dengan gerak untuk mengeluarkan cerita-cerita ini dengan aturan sebegitu rupa. Saya cuma menurut sahaja. Sekian! :] (Jam di Cyber-Cafe menunjukkan pukul 11.31 malam ketika menulis perenggan ini...)

Sunday, September 09, 2007

To see a World in a Grain of Sand... Melihat dunia di dalam sebutir pasir...

Allah! Syukur kepada Ilahi... Berjaya juga saya siapkan 3 posting untuk SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 3 untuk BERPETUALANG KE ACEH . Dua posting telah pun dimasukkan untuk blogspot ini menunggu sahaja posting yang ini untuk melengkapkan sesi penulisan kali ini... Isinya, iaitu sedutan daripada buku "Berpeteluang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" yang sedang diusahakan memang sudah sedia menunggu... Maka ini dia... Sekali lagi sebuah preview daripada buku ketiga yang akan melengkapkan siri novel unik yang meliputi sejarah 1,200 perjuangan Islam, Melayu serta bumi Serambi Mekah dengan perjuangan akhir zaman... Bacalah... Bacalah dengan nama Tuhan mu yang menciptakan Kalam...
Oh... Kenapa saya sengaja memilih tajuk dengan bahasa Mat Saleh ini? Lihatlah sendiri dengan teliti, nescaya anda akan faham apa yang tersurat dan tersirat... :]

--------------------------

Rasyid memandang Masjid Raya Langsa dengan kubah besarnya seperti mahkota raja, juga bangunan menara azan yang kelihatan seperti Masjid Jamek Putraya “kurus” yang di kelilingi kolam-kolam berisi ikan-ikan tetapi sebenarnya tempat mengambil wuduk.
“Ah!” getus hatinya. “Memang nampak lain macam.”
Dia memandang sekeliling. Pepohon di tepian, warung-warung makanan dan minuman serta pasar menjual barang basah juga kelihatan lain daripada yang lain, terasa seperti berada di planet lain padahal ini semua adalah pemandangan biasa, tiada apa-apapun yang istimewa…
Hmm... Mungkin dia sudah terkeluar daripada keadaan fikiran dan minda biasa, kata Orang Putih, alternative state of mind… Dahulu Rasyid pernah mempersoalkan kenapa sesetengah lukisan yang menunjukkan sesuatu bangunan, objek ataupun tempat kelihatan lain macam, nampak begitu cerah dan hidup melangkaui realiti biasa. Misalnya lukisan Sunflower atau bunga matahari oleh pelukis Belanda terkenal, Van Gogh... Warnanya dilukis terlebih terang daripada biasa seolah-olah berasal daripada dunia yang lain, out of this world. Mungkin seperti di alam bunian agaknya sedangkan bangunan, objek atau tempat yang dilukiskan kelihatan tawar dan hambar apabila dilihat dengan mata kepala sendiri di dunia nyata...
Sampai satu ketika, beberapa tahun yang lalu, ketika sedang berehat menikmati teh tarik di sebuah kedai makan yang bangunannya dari jenis lama, jenis sebelum Perang Dunia Kedua atau pre-war shops, di tepian Jalan Tuanku Abdul Rahman di tengah kesibukan kotaraya Kuala Lumpur, barulah pemuda itu faham. Sedang Rasyid duduk termenung, tiba-tiba dia terasa lain macam... Rasa hening dan tenang yang amat sangat sementara deria dan pancainderanya terasa lebih peka daripada biasa.
Apa yang berlaku agak memeranjatkan... Tiba-tiba sahaja keadaan sekeliling nampak begitu menarik, warna-warnanya begitu mengesankan. Bayang-bayang cawan teh tarik nampak begitu hidup membelah cahaya matahari kuning keemasan. Para pelanggan sedang berbual, pelayan kedai berulang-alik memenuhi permintaan, tukang masak menunjukkan kepakaran di celah-celah asap yang berkepul-kepul naik ke atas... Orang ramai lalu lalang di luar malah kereta-kereta banyak dengan hiruk-pikuk yang sebelum ini membingungkan semuanya nampak indah dan bergerak begitu cantik dan teratur... Seperti sebuah orkestra, sebuah pergerakan yang telah dichoreographkan. Poetry in motion, puisi di dalam pergerakan.
Masyaallah! Baru dia teringat. Keadaan dan perasaan yang dialami di Langsa adalah satu keadaan yang terbit apabila jiwa terasa hening.... Bila seseorang dapat melihat dunia tanpa hiruk-pikuk dan kecelaruan pemikiran yang sentiasa hendak mengupas dan menghukum keadaan sekeliling, bila kita dapat menerima segala keadaan, Takdir, Qada dan Qadar, baik dan buruknya dengan redha tanpa apa-apa harapan dan prasangka atau terbetik di hati sedikit pun untuk mengubah keadaan.
Inilah rupa alam apabila kita betul-betul redha menerima segala sesuatu, dapat menerima apa sahaja yang wujud dan terjadi sebagai yang terbaik dicipta dan diatur Allah SWT yang mana setiap sesuatu yang dijadikan tidak ada yang sia-sia, semuanya ada sebab tertentu di bawah ilmu dan kebijaksanaanNya. Barulah pemuda itu sedar betapa indahnya dunia ini kalau sahaja semua orang dapat melihatnya daripada kacamata yang benar, sudut pandangan Haq. Seperti disebut Wali besar dan sasterawan lama Aceh, Sheikh Hamzah Fansuri dalam sebuah syairnya:

Dirimu itu seperti zilal (bayang)
Jangan kau pandang pada waham dan khayal
Jika pandangmu itu pada rupa Jamal
Kamulah da’im beroleh wisal


Baru dia faham kenapa ada pelukis mengabadikan pemandangan mereka terhadap sesuatu objek, tempat atau keadaan dengan cara yang begitu hidup... Walaupun pada orang lain, apa yang dilukis itu tidak pernah kelihatan begitu secara nyata. Dan baru Rasyid teringat bahawa dahulu, dia sering terasa begini, dapat melihat keindahan di sebalik segala sesuatu, hatta pada seekor ulat yang sedang memakan daun sampai ke batu-batu kerikil dan pasir di tepian jalan yang ada masanya kelihatan seperti lombong intan berlian dengan permata yang indah-indah lagi bergemerlapan.
Satu masa dahulu begitulah cara pemuda ini melihat dunia yang nyata. Derianya terasa begitu ceria dan peka sehingga dapat mendengar setiap deruan angin yang bertiup seperti menyapa lembut seraya berzikir membawa gelombang Maujud Ilahi . Kicauan burung terdengar seperti simponi orkestra dengan alunan sakti yang indah lagi mengasyikkan. Setiap dedaunan pokok seperti mengandungi hutan belantaranya yang tersendiri, setiap batu ibarat planet-planet yang penuh kehidupan dan aktiviti.
Agaknya inilah keadaan yang pernah diceritakan seorang penyajak Inggeris, sudah lupa siapakah namanya, kalau tidak silap Rudyard Kipling:

To see the world in a grain of sand,
To see heaven in a wild flower…


Melihat dunia di dalam sebutir pasir, melihat syurga di dalam sekuntum bunga liar… Begitu dalam maksud yang tersurat dan tersirat. Oh… Baru teringat. Bukan Rudyard Kipling tetapi William Blake… Empat rangkap pertama sajak “Auguries of Innocence” yang tulisannya berbunyi:

To see a World in a Grain of Sand
And a Heaven in a Wild Flower,
Hold Infinity in the palm of your hand
And Eternity in an hour.

Hah! Lebih kurang begitulah Rasyid dahulu… Sentiasa berada dalam keadaan itu. Sampailah satu ketika selepas tamat zaman remaja di mana dia mula terasa seperti seolah-olah telah terputus pertalian peribadinya dengan Tuhan... Sudah ada suatu tembok pemisah menghalang pancaran kerohanian, gelombang daripada ‘atas’ yang dapat memberikan keheningan dalam diri walaupun ketika keadaan sekeliling kalut sekalut-kalutnya.
Ketika itu, dunia sudah nampak semakin pudar dan hambar kecuali di tempat-tempat yang ‘diterangkan’ secara plastik, secara artificial oleh alatan ciptaan manusia seperti lampu neon di tengah kota... Atau ruang berdansa yang diwarnai sinaran laser berserta percikan cahaya berwarna-warni daripada bebola kaca di kelab-kelab malam. Mungkin ini berlaku kerana Rasyid sudah mengumpul banyak dosa? Telah menodai kesucian diri, lost his innocence dengan segala nikmat kehidupan dunia moden yang mencabar nafsu dan kelakiannya tetapi sebenarnya merosakkan dalaman? Entahlah.
Apapun, sejak itu, susah untuknya merasakan saat-saat indah yang betul-betul hening dan tenteram. Kedamaian yang pernah dikecapi mula diganti dengan kecelaruan. Jadilah Rasyid seorang manusia yang harus menuju hiruk-pikuk disko dan kelab malam untuk merasai kehidupan, to feel alive and kicking… Dia sudah menjadi kufur nikmat, tidak dapat merasakan keindahan di sebalik benda-benda biasa, the simple things in life.
Kalau dahulu, dia boleh duduk tenang berjam-jam di pinggir sungai mendengar deruan air mengalir, bertafakur lama tanpa menggerakkan tubuh- badan untuk memerhatikan air hujan jatuh daripada bumbung berkecai menghempas lantai, tetapi sejak masuk umur 20 tahun, sudah jadi cukup sukar untuknya mendapatkan ketenangan yang sama. Anak muda berdarah Aceh ini cepat terasa panas punggung, selalu sahaja hendak melangkah bertukar angin ke tempat lain, selepas itu tempat lain lagi dan lagi… Satu perubahan tidak henti semata-mata untuk mencari lokasi selesa yang dirasakan boleh memberikan rasa rehat yang dicari-cari.
Sesekali sahaja baru dapat dirasakan sedikit keindahan dan ketenangan yang selalu dialami dahulu, ada masanya ketika menunggang motosikal berkuasa tinggi kesayangannya mengembara dari satu kota ke satu kota, ada ketika di dalam hutan mendaki bukit atau duduk di tepian sungai. Tetapi sejenak sahaja... Tak lama kemudian, datang kembali kecelaruan jiwa yang tak pasti pucuk pangkalnya. Mungkin kerana dosa-dosa yang banyak terkumpul? Disebabkan kesombongan dan keangkuhan diri akibat lupa kelebihan yang dimiliki sebenarnya berasal daripada Yang Maha Esa?

Berjalan-jalan ke Jugra, sebuah tempat bersejarah....

Alhamdulillah, tadi saya baru menyiapkan 3 artikel tentang perjalan hitchiking di Eropah yang dibuat tahun 1995 untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Kalau nak baca, boleh juga klik di sini...

Trip to Europe 1995... Locked-up in Lyon!
Trip to Europe 1995... Gangsters of Genoa...
Trip to Europe 1995... Alpine frolicking in Switzerland...

Maka sampailah masa untuk menambah posting di sini... Satu cerita ringkas berdasarkan perjalanan yang dibuat ke Jugra di Selangor semalam... Sila...
Oh... Kali pertama saya sampai ke Jugra adalah sekitar 6 tahun lalu bersama bekas isteri... Kali kedua pula ketika mengembara seorang diri. Kali ini saya bersama seorang teman wanita yang sangat disayangi untuk menelusuri sikit sejarah raja-raja dahulukala... OK... Barulah kita pergi ke gambar-gambarnya...


Kami pergi ke Kelang dahulu kerana ada hal tertentu. Di sanalah saya mendapat gerak kita harus ke Jugra untuk menziarahi kawasan pemakaman keluarga Sultan Abdul Samad, Sultan keempat Selangor yang namanya diabadikan pada bangunan utama di hadapan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Dalam perjalanan itu kami lalu di Masjid Sungai Manggis. Teman wanita ini mengajak saya singgah kerana katanya ada makam raja-raja di sana...


Kami tidak pasti makam raja manakah berada di sini... Yang pasti memang terdapat makam beberapa orang kerabat diraja Selangor berdasarkan gelaran pada nama yang tertera di batu nesan juga kain kuning yang diikatkan. Dalam banyak-banyak makam, terserlah makam di atas dengan binaan batu yang tersendiri. Cuma busut besar telah menutup sebahagian permukaan sehingga hilang langsung kesan batu nesan...


Selepas Sungai Manggis kami sampai ke Banting... Kemudian baru ke pekan kecil Jugra seperti tertera dalam gambar di atas...


Ini pula binaan menandakan jalan masuk ke kawasan permakaman keluarga Sultan Abdul Samad...


Pintu gerbang masuk kawasan pemakaman... Untuk makluman, Sultan Abdul Samad memerintah Selangor 1857-1898...

Hmm... Biar saya copy n paste daripada Wikipaedia...

Sultan Abdul Samad ialah Sultan Selangor Darul Ehsan yang menetap di Jugra. Lahir di Bukit Melawati , tidak duduk di Bukit Melawati, sebaliknya pindah ke Jugra.
Sultan Abdul Samad bin al-Marhum Raja Abdullah 1857/1898, dilahirkan pada tahun 1811, telah berkahwin dengan, Raja Atfah binti al-Marhum Sultan Muhammed Shah . Baginda memerintah dari tahun 1857 sehingga 1898, Baginda mangkat pada 6 Februari 1898.
Semasa pemerintahan beliau, Semenyih dan Beranang serta Broga dimasukkan ke dalam sempadan negeri Selangor . Sementara Lukut dikeluarkan dari jajahan negeri Selangor, diserahkan kepada negeri Sembilan. Waris Sungai Ujong yang tidak setuju dengan hal tersebut, tidak dapat berbuat apa-apa .


Bangunan utama makam Sultan Abdul Samad...


Inilah makam Sultan Abdul Samad. Adapun baginda dianggap sesetengah orang sebagai seorang Sultan berdaulat yang bertaraf wali... Maka ramai juga orang pergi menziarahi untuk mendapatkan berkat... Saya pula pergi ke sana atas nama menziarahi makam seorang raja dengan harapan semakin banyak cerita lama orang Melayu terbuka untuk tatapan ramai, juga tatapan peribadi...

Ketika kami sampai, kelihatan empat orang pengunjung berserta seorang pakcik yang kelihatan seperti seorang bomoh membaca beberapa ayat-ayat suci Al-Quran di hadapan makam kemudian berzikir. Pakcik yang mengetuai upacara ini kemudian memotong beberapa biji buah limau nipis lalu dikutip oleh empat orang tadi...


Selesai itu, kami menghala ke Masjid Aleaddin untuk menunaikan solat. Sedikit cerita tentang masjid ini baru disiapkan tadi di blogspot dwi-bahasa SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dengan tajuk Masjid Alaeddin di Jugra (The Alaeddin mosque in Jugra) ...


Kemudian kami berhenti sebentar untuk melihat Istana Bandar di sebelah... Sekian! :]

Sumpah-sumpah di atas motosikal dan belalang kunyit di batu nesan Sultan...

Assalamualaikum kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Sudah 10 hari tidak menulis di mana-mana blogspot saya, terus tergerak untuk membuat 3 cerita bagi setiap blogspot untuk dijadikan jumlah 9 postings baru ke semuanya. Tadi, 3 buah cerita untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dengan tajuk Menara Condong (leaning tower of) Teluk Intan , Masjid Alaeddin di Jugra (The Alaeddin mosque in Jugra) dan Lagi, Menara Condong (More, leaning tower of) Teluk Intan sudah berjaya disiapkan. Sekarang sampailah masa untuk blogspot ini turut menerima suntikan cerita baru pula...

Adapun pada awalnya saya bercadang untuk membuat update di blogspot ini menggunakan baki gambar dan cerita perjalanan hampir sebulan yang dibuat meliputi Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor 2 minggu lepas. Tapi kesibukan untuk menyiapkan proses penyuntingan buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III di samping hal-hal lain membuat mood menulis di blogspot sedikit tergendala.

Sekarang, saya ada sedikit mood untuk bercerita tetapi tidak dapat menurut aturan awal yang dirancang. Sebaliknya saya akan bercerita mana yang terasa perlu dikeluarkan termasuk sedutan daripada BKA III, maka untuk kali ini terimalah sedikit cerita berdasarkan apa yang berlaku dalam seminggu ini... Maka itu tajuk yang pelik di atas ini. Sila... :]



----------------------------



Pada 31 Ogos 2007, ketika seluruh rakyat Malaysia sedang menyambut Hari Kemerdekaan Negara Malaysia yang ke 50, saya pula berada di Raub untuk melihat seorang ibu saudara berkahwin lagi, buat kali ketiga! Bayangkan, ibu saudara berumur 56 atau 57 begitu yang sudah berbelas tahun menjanda berkahwin dengan seorang lelaki berumur 60 tahun yang kematian isteri sekitar 2-3 tahun lalu... Bayangkan, mereka laki-bini berpakaian seperti orang muda, yang perempuan dengan baju berkilauan... Bangga ada, kelakar pun ada.

OK... Biarlah saya berterus-terang. Sekali lagi, saya sebenarnya begitu penat mahu menulis kerana berbagai perkara yang bermain di dalam kepala tetapi terasa wajib menulis demi tatapan semua. Maka maafkan saya jika cerita yang dibuat on the spot di sebuah Internet Cafe di Kajang ini melompat-lompat ya... Apa yang penting adalah beberapa perkara yang berlaku seminggu kebelakangan... Rasanya, ada sesuatu yang tersirat yang mungkin kawan-kawan dan para pembaca boleh tolong merungkaikan, Insyaallah!

Hmm... Saya dah sebut bab makcik yang berkahwin lagi. Adapun sebelum itu, seorang rakan rapat di Janda Baik telah menghubungi saya bertanyakan khabar. Kawan yang dikenali sebagai seorang manusia yang biasa keluar masuk alam ghaib ini tidak memiliki talifon lalu tidak pernah menghubungi saya. Tetapi lebih seminggu lepas tiba-tiba dia menalifon menggunakan handphone milik seorang saudaranya untuk bertanyakan khabar. Katanya ketika itu dia dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur untuk naik ke Janda Baik...

Untuk makluman, seperti saya, kawan ini juga selalu hilang merayap ke sana ke mari seluruh tanah-air. Bezanya, saya selalu berjalan bersendirian sedangkan kawan ini selalu dijemput orang samada oleh mereka yang ingin berubat ataupun anak murid kepada sekumpulan manusia pelik yang dikenali sebagai golongan orang "mati hidup balik mati hidup balik"... Oopps... Cukup ya bab ini... Saya tak akan panjangkan akan siapakah mereka ini.

Seperti disebut tadi, kawan ini tidak pernah menghubungi saya sebelum ini. Maka peristiwa dia menalifon itu saya anggap sebagai tanda, saya mesti pergi ke Janda Baik untuk bersemuka dengannya... Mungkin ada khabar berita "orang-orang lama" yang mahu disampaikan... Mungkin kami setakat harus duduk makan minum mengeratkan kembali silaturahim sahaja, Wallahualam!

Dipendekkan cerita, setelah selesai majlis perkahwinan makcik di Raub, saya yang menumpang kereta ayah dan ibu pun turun di Bukit Tinggi. Sebaik sahaja turun daripada perhentian bas, kebetulan seorang kenalan, seorang wanita Peranchis yang baru sahaja berkahwin dengan seorang jejaka Janda Baik lalu di bawah (perhentian bas terletak sedikit ke atas kawasan bukit)... Dapatlah menumpang sehingga ke surau tempat saya selalu bermalam di Janda Baik sejak keluar daripada rumah penulis buku politik Syed Hussein Al-Attas 2 tahun lepas...

Adapun, kawan yang dimaksudkan tiada di situ... Rupa-rupanya dia telah "diculik" orang-orangnya untuk menghadiri majlis tertentu di Jerantut. Keesokannya, saya terserempak dengan saudara dua pupu kawan ini yang juga sedang mencarinya juga. Cerita punya cerita terkeluarlah nama Habib Ali, seorang tua yang dikatakan bertaraf wali di Batu Pahat.

Saya pernah dua kali bertandang ke rumah Habib Ali. Lalu saudara ini meminta saya membawanya ke sana kerana ingin meminta berkat juga air penawar untuk ibunya yang sedang sakit. Masalahnya, dia cuma ingin pergi jika kawan saya yang jenis "mati hidup balik mati hidup balik" ini turut serta sedangkan kawan ini cuma akan kembali ke Janda Baik 2 hari kemudian ketika saudaranya pula sedang sibuk membuat kerja.

Selepas berada 3 malam di Janda Baik, berlaku sesuatu perkara yang saya rasa ada makna tersirat yang amat mendalam. Saya telah menumpang motor orang yang lalu lalang untuk ke sebuah kedai makan, tiba-tiba orang itu terperanjat kerana muncul seekor sumpah-sumpah di atas handle motosikal!

Aitt??? Macamana boleh ada sumpah-sumpah tiba-tiba muncul di atas sebuah motosikal yang sedang berjalan? Saya pun menghulurkan tangan lalu sumpah-sumpah itu naik ke atas tangan, dibawa sehingga ke kedai makan.

Di kedai makan pula saya terfikir, bagaimana mahu makan dengan sumpah-sumpah ini berada di tangan. Tak sampai hati pula mahu menghalaunya dan memang pun saya sukakan binatang ini... Seketika itu juga ia bergerak laju memanjat lengan lalu pergi ke belakang badan sebelum melompat ke meja lain. Peristiwa itu menyebabkan saya boleh terjumpa seorang kawan lama yang 20 tahun tidak berjumpa sejak belajar peringkat A-Level di College.

Kebetulan kawan lama yang menetap di Kuala Lumpur ini sedang mengikut seorang saudara untuk melawat Janda Baik lalu berehat makan di kedai yang sama... Saudaranya tergerak mahu menegur saya setelah melihat gelagat sumpah-sumpah itu... Kemudian baru saya sedar, kawan lama saya juga ada di situ!

Apa yang lebih menarik adalah kemunculan sumpah-sumpah itu seperti menandakan berakhirnya satu pencarian seumur hidup. Semasa zaman kanak-kanak hingga ke sekolah menengah saya selalu cuba menangkap sumpah-sumpah terutama di taman sebelah rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara yang ada banyak sumpah-sumpah tetapi tidak berjaya... Entah kenapa, saya sangat sukakan binantang ini... Kalau dapat tangkap pun, terus terlepas apabila ekor yang dipegang putus di bahagian hujung atau sumpah-sumpah menggigit tangan lalu terlepas. Tapi kali ini, tanpa dipinta dan diduga, setelah bertahun-tahun melupakannya, tiba-tiba boleh muncul di atas sebuah motosikal yang sedang bergerak lalu dengan jinaknya naik ke atas tangan saya dan duduk di situ lebih 10 minit pula!

OK... Sekarang baru saya boleh pergi ke bahagian kedua cerita ini. Petang itu, setelah menunggu saudara kepada kawan "mati hidup balik" itu muncul untuk turut sama ke rumah Habib Ali tapi tak muncul-muncul, saya pun keluar daripada Janda Baik dengan menumpang kereta orang untuk ke Bukit Tinggi lalu kembali ke Kuala Lumpur menaiki bas.

Keesokan paginya, seorang teman wanita menalifon mengajak saya keluar makan bersama... Saya pun setuju kemudian menyambung tidur. Tidak lama kemudian, kawan "mati hidup balik" itu pula menalifon mengajak ke Batu Pahat menaiki kereta seorang anak muridnya yang baru datang bertandang ke Janda Baik. Saya pun membatalkan temujanji dengan teman wanita itu kerana mahu berjumpa Habib Ali.... Lagipun kali terakhir saya berjumpa orang tua ini adalah lebih setahun lalu...

Semasa hendak keluar rumah, orang gaji pula memberitahu ada surat untuk saya, surat yang ditunggu-tunggu kedatangannya sebulan kebelakangan. Tak perlulah saya nyatakan surat apa... Cukuplah dinyatakan surat ini menyebabkan saya perlu menyelesaikan hal penting di sebuah pejabat kerana ia melibatkan pengeluaran siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Cukuplah jika diberitahu, ia adalah petanda baik yang segalanya akan berjalan lancar nanti Insyaallah...

Sekali lagi, dipendekkan cerita... Saya, kawan "mati hidup balik mati hidup balik" dan seorang anak muridnya pun pergi ke Batu Pahat... Kebetulan ada seorang kawan lain daripada Janda Baik telah setahun bekerja di Batu Pahat dan kebetulan pula isterinya baru lepas kemalangan... Dapatlah kami berjumpa seraya menziarahi isterinya di hospital kemudian pergi ke rumah Habib Ali yang sedang uzur.

Kata cucunya, Habib yang sudah berumur 93 tahun tidak akan keluar daripada biliknya pada bulan Rejab, Syaa'aban dan Ramadhan kerana dia lebih suka beribadat seorang diri ... Lagipun telah uzur. Tapi Alhamdulillah, manusia yang dianggap sebagai seorang wali hidup oleh mereka yang mengenalinya termasuk sesetengah keluarga Sayyid dan Sharifah seluruh dunia ini sanggup keluar sebentar untuk menyambut kami sebagai tetamu.

Dalam perjalanan kembali ke Janda Baik, saya, kawan jenis "mati hidup balik" dan anak muridnya sempat bersolat di Masjid Jamek Muar. Kami ikut jalan lama melalui Melaka lalu singgah di Masjid Baginda Ali di Umbai di mana terdapat makam Sultan Ali, dikatakan Sultan terakhir Empayar Johor-Riau-Lingga penghujung Abad ke 19 Masihi.

Saya pernah ke sana beberapa kali. Apa yang menarik malam itu, kelihatan seekor belalang kunyit menunggu di batu nesan bahagian kepala Sultan Baginda Ali...

Allah! Mesti ada makna ni... Semasa kanak-kanak dahulu memang saya selalu cuba menangkap belalang kunyit... Susah nak dapat tapi pernah lah tangkap beberapa ekor... Sejak itu, rasanya 20 tahun saya tak pernah nampak belalang kunyit di mana-mana... Tiba-tiba, seperti kes sumpah-sumpah yang muncul pada handle motosikal di Janda Baik, Bentong, Pahang, boleh pula terjumpa belalang kunyit pada batu nesan seorang Sultan di Umbai, Melaka!

OK lah... Saya meluahkan ini dengan harapan ada sesiapa boleh menafsirkan apa yang berlaku samada tersurat ataupun tersirat... Sila buat di chatbox atau sebaiknya pada comments di bawah ya... Sekarang biar saya buat beberapa posting baru untuk blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH sebelum menambah lagi artikel untuk blogspot ini ya... Tunggu....