Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, April 03, 2021

Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Kali pertama ke sana setelah lebih 5 tahun...

Artikel sebelum ini Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Antara dressage, showjumping dan endurance harus telah memberikan cukup latar belakang tentang bagaimana saya boleh terlibat dengan sukan berkuda. Dengan latar belakang itu baru mudah untuk menerangkan bagaimana boleh berlaku perjalanan ke Perancis tahun 2000.



Sudah disebut bahawa antara tempat saya selalu pergi untuk meliputi acara-acara sukan berkuda adalah Bukit Kiara Equestrian Resort. Ini membawa pada perkenalan dengan pengarah eksekutifnya Datuk Awang Kamaruddin Abdul Ghani. Beliau ialah seorang penunggang kuda tegar yang sudah mengenali dunia berkenaan sejak remaja lagi. Seingat saya ini disebabkan dibesarkan di bandar diraja Pekan, Pahang lalu pernah bekerja menjaga kuda-kuda polo milik keluarga diraja Pahang di kawasan istana.

Satu hari beliau menghantar surat ke meja sukan akhbar The New Straits Times untuk meminta kebenaran membawa saya ke Perancis bagi meliputi satu acara berkuda endurance atau tunggangan lasak. Sudah lupa apakah beliau telah bertanya kepada saya terlebih dahulu. Mungkin ada tapi tak ingat. Saya juga tak ingat apakah sudah tahu tentang sukan endurance sebelum itu. 

Apapun boleh dikatakan disebabkan ke Perancis itulah saya mula mengenali sukan tersebut. Awang memberitahu dalam surat sedia menanggung segala perbelanjaan berkenaan. Ini termasuk tiket pergi balik kapal terbang dari Kuala Lumpur, belanja pengangkutan di Perancis, makan minum, penginapan dan sebagainya. Segalanya sedia ditanggung sepanjang berada di sana yang seingat saya meliputi tempoh tidak kurang seminggu. 

Walaupun acara itu sendiri memakan masa 2 hari ada sehari sebelum itu harus dibuat persediaan terlebih dahulu. Selain itu harus dimasukkan tempoh masa perjalanan untuk sampai dengan kereta ke tempat sukan berkuda yang terletak jauh dari ibu negara Perancis, Paris (di mana terletaknya lapangan terbang antarabangsa yang menerima penerbangan dari Kuala Lumpur). Kena campur juga tempoh masa untuk bergerak dari tempat ke lapangan terbang ketika kembali. Itu sahaja sudah memakan tempoh 5 hari. Sedangkan beliau juga mahu membawa melihat beberapa ladang kuda. 

Pada mulanya pengarang meja sukan cuba bermain politik dengan mengatakan tidak boleh ada surat meminta wartawan tertentu bagi meliputi acara. Kena buat surat umum meminta tanpa menyatakan sesiapa. Hal ini akan dipanjangkan dalam satu artikel lain tentang "hari-hari terakhir ku sebagai wartawan" nanti. Cukuplah disebut saya dapat pergi tetapi pengarang pula mengaku konon-kononnya ia berlaku atas cadangannya lalu saya terhutang budi dengannya.



Pada satu tarikh yang tak ingat bila tetapi harus pada awal bulan November tahun 2000 atau sekitarnya isteri lama pun menghantar ke pintu belakang Bukit Kiara Equestrian Resort. Ini adalah pintu yang dekat dengan Pusat Sains Negara. Di situ Awang mengambil dengan kereta lalu kami pun bergerak ke Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang lebih 60 km perjalanan ke selatan ibu kota. Seingat saya beliau memandu sendiri, tidak memakai driver. 

Kami bergerak pada waktu malam. Rasanya bertolak dari Bukit Kiara itu sekitar jam 9 lalu sampai hampir jam 10. Hal ini menunjukkan kami harus naik pesawat paling cepat pun jam 11. Ini kerana harus ada tempoh sekurangnya sejam untuk check-in bagasi, buat pemeriksaan paspot dan sebagainya. 

Itu adalah kali pertama saya menaiki pesawat dari KLIA, sebelum itu dari lapangan terbang Subang yang terletak lebih dekat ke ibu kota. Kalau tak salah ia baru beberapa bulan beroperasi. Sebelum itu rasanya ada 2-3 kali juga saya ke KLIA tetapi untuk meliputi perkembangan terbaru tentang pembinaan lapangan terbang bersama Menteri Pengangkutan ketika itu, apa ke nama tu pernah jadi presiden parti politik MCA (Malaysian Chinese Organisation) sezaman dengan Tun Mahathir jadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Mukanya ada ternampak dalam kepala. Dah semak senarai Menteri Pengangkutan di Internet baru ingat. Namanya Ling Liong Sik, sangat terkenal waktu itu.

Saya ingat kali pertama menggunakan autogate untuk pemeriksaan paspot waktu itu. Saya ingat apabila sampai ke lapangan terbang Charles de Gaulle ke utara Paris pegawai imigresyen bertanya kenapa tiada cop keluar (meninggalkan Malaysia) dalam paspot kami? Saya tak ingat bagaimana Awang menangani ini tapi alhamdulillah kami lepas. Yang pelik kenapa pasport berkenaan tidak ada cop keluar masuk Perancis (saya sudah memakai 6 keping paspot antarabangsa setakat ini dan masih menyimpan 5 yang sudah luput tarikh). Ini kerana seingat saya mereka belum lagi memakai sistem pengesahan elektronik melalui autogate tanpa perlu mengecop paspot seperti di Malaysia (mungkin negara pertama di dunia menggunakannya).



Apapun bergeraklah kami malam itu lebih 10,000 km ke Perancis. Saya tidak ingat jika ia penerbangan terus atau ada henti. Kalau terus ke London dari Kuala Lumpur 13 jam. Setelah disemak dalam Internet didapati tidak ada penerbangan terus ke Paris. Yang ada harus membuat satu perhentian di mana entah lalu memakan masa 16 jam lebih.

Kenapa diambil berat hal ini? Kerana nak tally dengan ingatan bahawa kami sampai pada waktu siang. Kalau bertolak pada jam 12 malam dengan penerbangan 16 jam maka harus sampai keesokannya jam 4 petang waktu Malaysia. Tolak perbezaan waktu 7 jam lebih lambat Perancis jadilah ia 9 pagi. Ini agak bersesuaian dengan ingatan bahawa memang kami sampai waktu pagi. Tapi boleh juga jadi pada 8 pagi kalau pesawat bertolak jam 11 malam dari Malaysia.  Boleh jadi pula jam 10 kerana ada masanya jam dipercepatkan waktu atas faktor daylight savings akibat perubahan musim antara panas dan sejuk (sila Google sendiri untuk penerangan lanjut).



Sebenarnya ini adalah kali ke-3 saya ke Perancis. Kali pertama adalah dalam perjalanan dari London ke Amsterdam 17 hingga 18 Ogos tahun 1995. Saya ingat ini kerana ada direkodkan dalam buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Solo Hitchhike Eropah Tahun 1995" yang terbit Jun 2019. Kelihatan di atas laluan yang ditunjukkan dalam buku. 

Selepas keluar dari United Kindom dengan feri saya mendarat di pelabuhan Calais di Perancis lalu menyambung kembali perjalanan dengan bas yang dinaiki dari London. Sekitar 60 km selepas itu baru masuk ke negara lain iaitu Belgium di selatan Belanda. Oleh itu dicampur tempoh masa pemeriksaan imigresyen di Calais harus ada lebih sejam juga berada di Perancis.


Kali kedua adalah apabila sampai dari Itali 11 September pada tahun sama. Ini juga ada ditunjukkan dalam buku kerana ia adalah sebahagian daripada perjalanan sama pusing Eropah seorang diri. Ketika itu sudah mula mengorak langkah untuk kembali ke London. Kali itu saya berada lama di Perancis iaitu hampir 6 malam. Ini kerana singgah di beberapa kota dalam perjalanan merentas negara dari selatan ke utara yang memakan jarak lebih 1,000 km. 

Di atas adalah peta daripada buku menunjukkan laluan berkenaan bersama laluan lain yang diambil keliling Eropah. Dalam perjalanan tersebut saya pernah dimasukkan satu malam dalam lokap polis di Lyon dan berjalan kaki lebih 50 km di Paris. Sila baca cerita berkenaan dalam buku (ada tawaran murah jimat RM23, lihat artikel Berita terbaru tentang buku-buku Merah Silu). Boleh juga dapatkan ringkasan melalui artikel Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995.


Perjalanan lama ditunjukkan supaya boleh dibandingkan dengan perjalanan tahun 2000. Dahulu  saya berjalan dalam keadaan daif, sangat kurang duit belanja lalu harus menumpang kenderaan orang ke sana ke mari juga tidur dalam sleeping bag di tepian jalan dan sebagainya. Untuk perjalanan ke-3 baru dapat bergerak selesa sebagai wartawan yang dihormati, dalam kereta sewa yang dipandu seorang pengarah eksekutif sebuah kelab eksklusif untuk orang kaya lalu segalanya ditanggung beres. Apabila sampai dapat duduk di rumah bungalow agak mewah dengan satu bilik cantik dan luas dikhaskan untuk saya.


Dari lapangan terbang kami bergerak terus ke destinasi iaitu sebuah pekan lama bernama Montcuq tanpa  masuk pun ke pusat bandar raya Paris. Tak ingat ikut laluan mana, yang ingat ada satu kawasan pendalaman  memerlukan kami turun jalan berliku ke satu lembah kemudian naik balik jalan berliku ke dataran tinggi. Menurut Google Map laluan paling dekat adalah sepanjang 629 km lalu destinasi boleh dicapai dalam tempoh 6 jam lebih. Satu lagi laluan berjarak jauh 708 km lalu destinasi boleh dicapai dalam tempoh 7 jam setengah. 

Kedua-duanya ada melalui pesisir pusat bandar raya Paris seperti halnya orang mengambil Jalan Pekeliling untuk mengelak masuk ke pusat bandar raya Kuala Lumpur. Apapun ini menunjukkan destinasi boleh dicapai dalam tempoh kurang 8 jam. Adapun proses melepasi imigresyen di lapangan terbang berserta mendapatkan kereta sewa harus memakan masa sekurangnya sejam. Kalau sampai dari Malaysia jam 10, maka itu boleh sampai ke Montcuq sebelum jam 7 petang. 

Ketika itu harus masih siang lagi kerana semakan di Internet menunjukkan hampir jam 7.30 baru gelap dalam bulan November yang termasuk dalam musim luruh. Seingat saya memang sampai waktu siang. Seingat saya juga terus mencari rumah bungalow berkenaan lalu berehat setelah jauh berjalan.


Semakan seterusnya di Internet menunjukkan Montcuq adalah sebuah pekan dengan cuma 1,200 orang penduduk (bancian tahun 2017). Namun ia menjadi sangat sibuk dan meriah apabila masuk tempoh pertandingan kuda endurance yang dikatakan antara paling terkenal di dunia. Cukup cerita buat masa ini. Insyaallah selepas ini akan mula ditunjukkan sejumlah gambar yang diambil sendiri. :]


Jumaat, April 02, 2021

Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Antara dressage, showjumping dan endurance

Pada penghujung artikel sebelum ini iaitu Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Berapa perjalanan sebagai wartawan akhbar The New Straits Times ada disebut bahawa sebelum dapat berkongsi cerita sebenar perjalanan ke Perancis ada baiknya dipersembahkan terlebih dahulu satu artikel khas tentang bagaimana boleh terlibat dengan sukan berkuda dan apa yang diketahu tentangnya. Sekarang biar dilakukan itu.


Saya tidak ingat bilakah tempoh masa tepat mula bertugas sebagai wartawan sukan di akhbar The New Straits Times tetapi ia harus sekitar bulan Mac tahun 1999. Begitu juga tidak ingat bilakah mula terlibat dengan sukan berkuda tetapi ia harus tidak begitu lama selepas itu. Yang ingat saya disuruh memberikan tumpuan pada sukan bermotor terlebih dahulu. Seterusnya apabila terlibat dengan sukan berkuda saya disuruh meliputi acara-acara dressage dan showjumping.

Ini adalah dua acara berkuda yang mana Malaysia ada wakil-wakil berwibawa untuk SEA Games (Sukan Asia Tenggara) dan beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa. Dressage melibatkan kepakaran mengawal kuda agar mengikut perintah bergerak menurut rentak dan corak tertentu sehingga membuat penunggang dan kuda kelihatan begitu berwibawa. Showjumping pula adalah melibatkan kawalan terhadap kuda untuk melompat melepasi tiang demi tiang yang semakin tinggi, juga dalam keadaan terkawal dan kelihatan berwibawa. Dua-dua boleh dikatakan sukan untuk orang berada. Maka lingkungan yang mengikuti pun rata-rata orang kaya, berpangkat tinggi, berpengaruh atau kaum keluarga mereka sahaja.


Saya sendiri asalnya tidak berminat langsung dengan sukan ini. Walaupun sejak menjadi wartawan biasa bergaul dengan orang berada, walaupun sendiri dibesarkan dalam kalangan saudara mara orang berada, walaupun sejak zaman kolej ramai kawan daripada golongan berada, walaupun kemudian kawan-kawan yang dahulunya biasa-biasa pun sudah ramai jadi orang berada secara peribadi saya kurang selesa dengan air atau suatu macam hawa lagak orang kaya yang selalu ada dalam kalangan mereka. Tetapi disebabkan tugasan saya menjadi satu-satunya wartawan NST yang meliputi sukan berkuda sekurang-kurang dalam tempoh tahun 1999 sehingga awal 2001. Selepas itu baru muncul seorang wartawan junior untuk meliputi perkara sama. 

Di Berita Harian sudah lebih awal ada seorang berumur jadi stringer (bukan wartawan sepenuh masa, mendapat bayaran mengikut jumlah laporan yang dikirimkan) yang biasa meliputi sukan berkuda. Seingat saya akhbar-akhbar perdana lain seperti The Star, The Sun, The Malay Mail, Harian Metro dan Utusan Malaysia (ketika itu belum ada Kosmo) tidak ada wartawan yang dikhaskan bagi sukan berkuda. Selain saya dan stringer di Berita Harian cuma majalah sukan sahaja ada wartawan khas. Selain itu ada seorang yang betul-betul pakar kerana dia sendiri bertanding dalam sukan berkuda. Tetapi dia sebenarnya bukan wartawan pun. Cuma seorang penunggang yang biasa masuk pertandingan tetapi turut berjinak dengan dunia penulisan melalui laman sesawang sendiri khas bagi sukan berkuda. 

Oh. Sebut pasal stringer yang berpangkat pakcik selalu pakai kopiah ke mana-mana itu baru teringat bahawa kami juga selalu meliputi acara-acara ragbi. Apapun, walaupun secara peribadi  tidak selesa dengan air orang kaya saya tahu membawa diri dalam kalangan mereka. Lama-lama menjadi selesa dengan komuniti anak-anak orang kaya bermain kuda. Apa lagi bila mendapati ada seperti anak-anak keluarga Ambak (sekarang baru terasa mahu menyebut nama) iaitu tiga adik beradik Quzeir, Qabil dan Quzandria adalah sangat merendah diri walaupun datang daripada keluarga yang boleh dikatakan kaya antara kaya (rich of the rich). 



Mereka ini selalu mewakili Malaysia dalam acara dressage dan showjumping di SEA Games atau Sukan SEA. Kelihatan dalam gambar ketiga-tiga adik-beradik Ambak bersama seorang lain selepas memenangi pingat dalam satu acara. Saya biasa pergi ke tempat latihan mereka yang juga menjadi lokasi satu kejohanan antarangsa, dalam kawasan rumah keluarga yang meliputi beberapa ekar tanah dan sebahagian lereng bukit besar di Kuang, Selangor. Saya juga biasa pergi ke kelab-kelab sukan berkuda seperti Bukit Kiara Equestrian Resort di Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan Selangor Turf Club lalu bergaul dengan orang-orang di sana.

Saya dapat melihat secara peribadi pelbagai gelagat manusia yang jarang dapat dilihat kebanyakan orang lalu dapat mengesan perangai orang yang sudah sekurang-kurangnya 2-3 keturunan kaya dan berada berbanding mereka yang bapanya berasal daripada keluarga biasa ataupun miskin sebelum menjadi kaya. Orang sebegini biasanya seperti hendak menutup asal usul datuk nenek mereka di kampung-kampung Melayu lalu boleh jadi 'terlebih Mat Saleh' dan sebagainya. Saya dapat melihat mereka yang genuine ataupun jujur betul-betulkan sayangkan kuda seperti adik beradik Ambak lembut hati dan mudah tersentuh sifatnya. Saya dapat melihat ada yang masuk sukan berkuda bukanlah disebabkan sayangkan kuda mahupun betul-betul ingin bersukan tetapi mahu bergaul dalam lingkungan orang kaya. 


Selepas beberapa lama saya disuruh pula meliputi acara sukan polo. Selalunya ini di Royal Selangor Polo Club di Ampang sana. Di situ lebih banyak tumpuan orang kaya dan berada. Di situlah saya pernah diperkenalkan dalam kapasiti peribadi 'kawan-kawan minum-minum' dengan seorang kerabat diraja yang kini memegang takhta sebuah negeri. Saya tidak canggung kerana mudah bergaul dengan semua peringkat. Lagipun memang kaum keluarga belah bapa berasal daripada kerabat diraja walaupun sudah beberapa keturunan meninggalkan istana. Kalau mahu mencari kedudukan seperti kehendak kebanyakan orang tentu mudah bagi saya kerana sudah dilorongkan jalan.

Tetapi bukan itulah kehendak dalam hidup ini mahupun dalam kerjaya. Tujuan sebenar saya menjadi wartawan adalah demi mengangkat satu idealisma yang sudah muncul dalam fikiran sejak zaman kanak-kanak lagi tetapi mula menjadi satu gagasan ketika berumur 18 tahun. Hal ini akan dikongsikan panjang lebar dalam satu cerita selepas siri ini selesai diikuti satu siri lagi tentang perjalanan ketika masih bertugas sebagai wartawan (sehingga penghujung 2001). Di sini apa yang hendak dinyatakan sebenarnya adalah selepas mengenali sukan berkuda dressage dan showjumping diikuti polo (tidak disebut pada tajuk atas) baru saya mengenali sukan endurance yang lebih merakyat sifatnya. Di situ baru terasa lebih sesuai demi misi dan idealisma diri. Ia juga lebih sesuai dengan hadis Nabi Muhammad SAW supaya menggalakkan orang berkuda.



Endurance atau lebih tepat endurance riding (penunggangan lasak) melibatkan kuda-kuda ditunggang pada jarak jauh. Paling kurang adalah 20 km dan itu dianggap peringkat 'budak-budak'. Kebiasaan pada peringkat antarabangsa adalah harus melebih jarak 100 km. Ia biasanya dilakukan di litar dalam kawasan pilihan di luar bandar, keluar masuk hutan, ladang dan sebagainya. 

Ia dikatakan lasak kerana memang menguji stamina dan kekuatan selain kesabaran penunggang malah kuda itu sendiri. Seorang penunggang harus pandai menjaga dan membaca keadaan kuda supaya tidak jatuh sakit, cedera dan sebagainya. Malah kalau degupan jantung seekor kuda didapati melebihi 64 per minit setelah diberi sedikit rehat lalu diperiksa (ini dilakukan di setiap check point selepas selesai satu bahagian litar) boleh menyebabkan kuda dan penunggang terbatal penyertaan (disqualified). Setiap penunggang dan kuda pula disokong oleh pasukan yang menyediakan makan minum bagi keduanya malah mengurut pun ada pada tempat-tempat tertentu sepanjang litar pertandingan.

Perjalanan ke Perancis tahun 2000 boleh dikatakan adalah kali pertama saya terlibat dengan sukan tersebut. Setelah mendapati bagaimana ia boleh melibatkan setiap golongan masyarakat, bukan orang kaya sahaja seperti halnya dressage, showjumping dan polo saya pun berusaha untuk mempromosi melalui penulisan di akhbar agar mendapat minat dan penyertaan ramai di Malaysia. Sehingga tidak keterlaluan untuk mengatakan saya pernah menjadi wartawan paling ke hadapan malah mungkin satu-satunya wartawan akhbar yang berhempas pulas untuk mengangkatnya selain lain-lain sukan berkuda. Hal ini diakui oleh ramai yang terlibat dalam dunia ini. Cuma biasa le ada yang bersangka buruk memikirkan saya ada kepentingan lain lalu berusaha untuk menjatuhkan tetapi itu cerita lain.

Selepas ini akan dikongsikan kisah perjalanan sebenar ke Perancis itu dah beberapa hal kuda. Sementara ini sila baca beberapa artikel yang pernah ditulis di NST tentang sukan endurance ini. Ia ada dikongsikan di blogspot berbahasa Inggeris saya BERPETUALANG KE ACEH lebih 14 tahun lalu. Sila klik pada pautan-pautan berikut :-

Endurance 1

Endurance 2

Endurance 3

Equestrian endurance in France

Equestrian sports gaining ground?

Equestrian again? Why not?


Nota : Daripada salah satu artikel baru tahu pertandingan yang dihadiri di Perancis berlaku pada bulan November tahun 2000. Dan dalam satu yang lain ada pengakuan daripada satu nama besar dalam sukan bagaimana tulisan-tulisan saya di akhbar telah mengangkat sukan berkuda ke satu persada yang lebih tinggi.


Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Berapa perjalanan sebagai wartawan akhbar The New Straits Times

Salam pagi Jumaat. Selesai cerita perjalanan menyusur Sungai Perak tahun 2000 seperti dikumpulkan dalam artikel Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 pada 31 Mac cerita perjalanan seterusnya mahu dikongsikan berlaku di Perancis hampir penghujung tahun sama. Ia adalah untuk meliputi satu acara berkuda. Tetapi sebelum itu biar dikongsikan dahulu beberapa perjalanan yang telah dibuat atas kapasiti rasmi sebagai seorang wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Untuk itu biar sedikit latar belakang pekerjaan sebagai wartawan disebut...



Dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands penghujung tahun lalu juga Kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - Sedikit latar belakang seminggu lalu ada disebut bahawa saya mula masuk berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times pada 16 September 1996. Belum pernah dikongsikan dalam blogspot ini juga mana-mana penulisan di media sosial bahawa saya bermula di akhbar The Sunday Mail terlebih dahulu. Ia adalah edisi mingguan bagi akhbar berbahasa Inggeris The Malay Mail yang lebih bersifat tabloid namun masih ada kelasnya.

Untuk pengetahuan di bawah nama besar syarikat NSTP (New Straits Times Press) terdapat empat akhbar besar duduk di bawah satu bumbung sekurang-kurangnya pada zaman saya. Ia adalah dua akhbar berbahasa Inggeris iaitu The New Straits Times (NST) dan The Malay Mail dengan dua akhbar berbahasa Melayu iaitu Berita Harian dan Harian Metro. Setiap akhbar ini memiliki edisi mingguan dengan kaki tangan yang terpisah daripada yang lain. Seingat saya ada menimba pengalaman di Sunday Mail selama 2-3 bulan sebelum ditukarkan ke meja berita akhbar utama NST.

Ketika berada di Sunday Mail saya terus dihantar membuat tugasan di luar secara berdikari. Ini adalah selepas diberikan sedikit penerangan tentang apakah yang perlu didapatkan daripada suatu acara atau sidang media. Ketika hari-hari awal di NST pula kena ikut wartawan senior meliputi acara lalu belajar daripada mereka. Selepas seminggu dua baru dihantar keluar sendiri ke mana-mana, secara rata di sekitar Lembah Klang dan Selangor. 

Saya diberikan tempoh percubaan selama setahun tetapi mendapat pengesahan (confirmation) 6 bulan lebih awal. Selepas cukup setahun baru dibenarkan bercuti lalu berlakulah perjalanan jauh pertama saya dengan motosikal besar seperti disebut dalam artikel Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung penghujung tahun 1997 hingga awal 1998. Tidak disedari sehinggalah beberapa hari lalu bahawa sebelum itu ada dihantar untuk membuat tugasan jauh menyeberangi Laut China Selatan untuk ke Sabah. Ketika membuat semakan sebagai persediaan bagi menulis artikel ini baru dapat tahu. Itupun daripada satu sumber yang tak disangka...

Tugasan yang dimaksudkan adalah membuat liputan satu rombongan juruukur mendaki Gunung Kinabalu untuk mengukur kembali ketinggian gunung menggunakan teknologi terbaru. Turut bersama adalah Ketua Menteri  Sabah waktu itu, Datuk Seri Yong Teck Lee lalu kami semua mendaki hingga ke puncak dari pintu masuk utama Taman Kinabalu. Saya ingat ini kerana itulah kali pertama ke Sabah lalu dapat mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara (buat beberapa lama). Saya sebut buat beberapa lama kerana itulah yang sering diisytiharkan oleh pihak kita di Malaysia lalu dipercayai semua. Tetapi apabila diselidik dengan lebih teliti rupa-rupa terdapat lebih 20 puncak lain lebih tinggi tetapi kurang dikenali di Asia Tenggara!

Cerita mendaki Gunung Kinabalu ini ada disebut sedikit dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Ia dibuat sebagai perbandingan dengan pengalaman mendaki Gunung Nuang dari Kampung Janda Baik seorang diri sekitar tahun 2003. Biar diletakkan di sini perenggan-perenggan berkenaan...


Rasyid mula berangan-angan hendak mendaki Gunung Daik. Anak muda ini pernah menjejaki puncak Gunung Ledang di Johor dan Gunung Jerai di Kedah, masing-masing melebihi 4,000 kaki tinggi dari paras laut. Tetapi kira ‘mengelat’, dengan menunggang motosikal mendaki jalan kecil sampai ke stesyen telekomunikasi berhampiran puncak sebelum memanjat sedikit ke atas. Dengan cara yang sama juga, dia pernah sampai ke puncak Gunung Berinchang di Cameron Highlands (lebih 6,600 kaki) dan Gunung Ulu Kali di Genting Highland (sekitar 6,000 kaki). Yang penting sampai...

Kalau dengan tenaga kudrat sendiri pula, Rasyid pernah mendaki beberapa puncak dengan ketinggian kurang 2,000 kaki termasuk Gunung Lambak (1,600 kaki) di Keluang semasa belajar  di Tingkatan Satu dahulu. Tetapi dia juga pernah menjejaki puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu (13,455 kaki) semasa bertugas sebagai wartawan untuk membuat liputan dan mengiringi rombongan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Yong Teck Lee bersama para pegawai kerajaan dan sekumpulan juruukur Sabah.


Selepas itu diceritakan panjang lebar pengalaman di Gunung Nuang (4,898 kaki) yang mana saya ada tersesat jalan selepas turun dari puncak  jam 6.30 petang lalu berada 19 jam dalam hutan pergunungan sebelum dapat keluar. Ini perenggan berikutnya tentang Gunung Kinabalu. Ia dibuat untuk membandingkan dengan keadaan kabus tebal yang dihadapi di puncak Gunung Nuang. Untuk cerita penuh lihat artikel lama Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan....


Dahulu semasa mendaki puncak Gunung Kinabalu pun dia menghadapi masalah yang serupa. Malah keadaan di sana lebih teruk lagi kerana suhunya boleh turun ke tahap beku! Pemuda ini teringat bagaimana dia dan beberapa orang wartawan yang berkongsi bilik di Panar Laban, tempat berehat semalaman setelah penat mendaki sehingga  ke paras 11,000 kaki telah bangun tidur dan keluar awal untuk menyambung pendakian jam 3 pagi semata-mata untuk melihat matahari terbit dari atas gunung. Mereka sampai ke Low’s Peak, puncak tertinggi pada paras 13,455 kaki sebelum jam 6 tetapi kabus tebal pula menyelimuti disertai hujan renyai-renyai. Sesekali kabus hilang ditiup angin deras untuk mendedahkan langit mendung dengan awan tebal tetapi digantikan pula kelompok kabus yang lain. Atau mungkin ia sebenarnya awan juga kerana tidak nampak bezanya antara awan dan kabus di puncak gunung?

Masuk jam 7, kabus dan hujan masih melitupi pemandangan. Mereka yang berada di atas pun mula turun sedikit ke bawah, ke sebuah kawasan mendatar meninggalkan Rasyid dan dua orang krew sebuah stesyen televisyen yang terpaksa menjaga peralatan untuk siaran langsung menggigil di celah batu di puncak gunung. Cuaca cuma cerah hampir jam 9, ketika matahari sudah meninggi. Kempunanlah pemuda itu untuk menikmati pemandangan mataharit terbit dari Gunung Kinabalu...




Pun begitu saya tidak ingat bilakah perjalanan ke Sabah dan pendakian Gunung Kinabalu itu berlaku. Fikir saya harus dalam tahun 1998 atau awal 1999. Dahulu berjaya juga ditemui satu artikel berkenaan menggunakan Google lalu dapat melihat sedikit butiran. Sekarang tak dapat jumpa  langsung rujukan. Kalau mahu nampaknya harus mencari artikel lama dalam akhbar NST yang cuma boleh dicapai melalui perpustakaan pejabat. Ia bukan untuk orang luar kecuali mereka yang melanggan perkhidmatan.

Nasib baik dapat ditemukan cerita berkenaan dalam Wikipedia berbahasa Inggeris tentang Gunung Kinabalu (lihat sini). Pada perenggan kedua laman ada disebut ini :-

In 1997, a re-survey using satellite technology established its summit (known as Low's Peak) height at 4,095 metres (13,435 ft) above sea level, which is some 6 metres (20 ft) less than the previously thought and hitherto published figure of 4,101 metres (13,455 ft).

Terjemahan saya  :-

Pada tahun 1997, satu tinjauan semula menggunakan teknologi satelit telah menetapkan puncak (dikenali sebagai Low's Peak) pada ketinggian 4,095 meter (13,435 kaki) atas paras laut, sekitar 6 meter (20 kaki) rendah berbanding apa yang sudah diterima sebelum itu lalu diisytiharkan iaitu 4,101 meter (13,455 kaki).

Saya tahu yang membuat tinjauan itu adalah rombongan juruukur yang diikuti naik hingga ke puncak gunung. Dengan itu tahulah bahawa perjalanan ini sebenarnya berlaku pada tahun 1997. Walaupun masih tidak dapat menetapkan tarikh tepat saya tahu ia harus berlaku 6 bulan selepas masuk NST 16 September 1996 iaitu selepas 16 Mac 1997. Ini kerana tugasan sebegini cuma akan diberikan kepada mereka yang sudah mendapat pengesahan kerja sebagai wartawan lalu layak diberikan kepercayaan, bukan dalam tempoh percubaan.

Seterusnya ia harus berlaku sebelum 22 November kerana ketika itulah bermula cuti sebulan setengah lalu dibuat perjalanan jauh peribadi seperti diceritakan dalam Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung. Rupa-rupanya ada lagi tugasan mencabar di luar kawasan dilakukan dalam tempoh masa sama.



Turut disangkakan berlaku pada sama ada tahun 1998 atau awal 1999 tetapi sebenarnya pada 1997 adalah perjalanan mengikut satu kumpulan peminat kenderaan pacuan empat roda beradu kebolehan di Perak. Saya ingat bagaimana kami masuk kawasan hutan bermesra dengan orang asli sambil membuat ujian kecekapan pemanduan di beberapa laluan lasak. Ketika menulis artikel ini baru terfikir rasanya ada meletakkan salinan teks laporan berita di blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH. Saya pun menyemak lalu mendapati memang ada, dalam artikel yang diberi nama ringkas 4x4  pada penghujung tahun 2006. 

Daripada artikel tersebut baru ingat nama acara adalah National 4x4 Challenge lalu dapat dicari gambar atas dan rujukan di Facebook. Baru jelas bahawa ia berlaku pada 20-24 September 1997. Baru juga teringat ia membuka jalan pada siri tahunan Rainforest Challenge yang kini bertaraf dunia. Lihat sini.


Pada awal tahun 1999 saya ditukar ke meja sukan. Sebelum itu beberapa bulan duduk di meja supplements (tak pasti apa dalam bahasa Melayu) yang mana penulisan lebih banyak dibuat berdasarkan maklumat bertulis yang dikongsikan orang lalu sangat jarang membuat tugasan di luar. Ia lebih pada mengiklankan suatu produk atau perkhidmatan tetapi dengan gaya laporan berita berwarna-warni yang tidak kelihatan seperti iklan. Untuk pengetahuan laporan berita biasa lebih straightforward, tidak dibenarkan menambah rencah atau terlalu bermain dengan kata-kata. 

Kita cuma boleh menyatakan apa, di mana, bilakah berlaku suatu perkara dan mungkin sesekali kenapa dengan sedikit butiran berkenaan. Apabila menyebut tentang seseorang berkata, cuma boleh menyebut dia berkata dan apa yang dikatakan itu. Tidak boleh menyebut dia berkata dengan muka serius, riang atau sebagainya atau dia memakai baju apa, datang dengan kereta apa. Tetapi ini boleh dilakukan dalam artikel bersifat rencana. Laporan sukan memberikan ruang untuk menulis sebegitu selalu.

Bila dah masuk meja sukan juga baru kembali merasa selalu dihantar ke luar pejabat malah lebih jauh ke luar kawasan. Saya ingat ditukar ke meja sukan itu antaranya adalah sebagai persediaan untuk meliputi acara Formula One pertama di Malaysia  pada 17 Oktober 1999. Sejak awal selalu berulang alik ke Litar Lumba Antarabangsa Sepang dengan motosikal besar kesayangan 60 km dari pejabat untuk mengikuti acara-acara dan majlis di sana. Saya diberikan pengkhususan untuk meliputi acara-acara sukan bermotor seperti lumba kereta rally dan perlumbaan motosikal selain sukan hoki, kapal layar dan berkuda. 

Sebagai wartawan sukan bermotor saya pernah ikut naik dalam satu kapal terbang yang dihadkan pada pelumba dan ahli kumpulan Sauber-Petronas pergi ke Pulau Pinang untuk membuat demonstrasi lumba kereta Formula One, dan kalau tak salah ingatan pada tahun lain di Langkawi. Ketika itu perhubungan saya agak baik dengan pengurusan tertinggi Petronas. Tiap-tiap tahun mereka  menghadiahkan tiket paling mahal bagi acara Formula One Malaysian Grand Prix (berharga RM1,600 sekeping untuk kawasan kerusi yang dikira terbaik di litar lumba). 

Padahal sebagai wartawan yang meliputi acara saya boleh pergi ke hampir ke mana sahaja bahagian litar lumba tanpa perlu memiliki tiket. Pelumba-pelumba terkenal dunia yang orang selalu lihat dalam televisyen pun biasa disapa begitu sahaja, sesekali diajak berbual ketika mundar mandir di ruangan VIP dan sebagainya. Dengan Perdana Menteri pun saya biasa duduk bersila bersoal jawab sambil memakai t-shirt dan seluar jeans pada kala ramai orang lengkap berkot bertali leher berdiri tegak dan 'tegang' mengikut protokol bagai. Sedangkan PM sendiri lebih terbuka orangnya, lebih melihat pada buah fikiran yang diutarakan, bukan pakaian rasmi mahal yang selalu diperbesarkan oleh orang yang suka bermuka-muka. 

Sebagai wartawan sukan berkuda pula saya dapat mengenali beberapa pemimpin negara dan personaliti terkenal tanah air di sebalik tabir. Saya pernah diperkenalkan dalam kapasiti peribadi 'kawan-kawan' minum-minum dengan seorang yang kini memegang takhta sebuah negeri, ketika meliputi satu perlawanan di sebuah kelab polo. Begitu juga halnya apabila diminta membuat liputan tentang sukan kapal layar. Hmm. Bab ni terlupa apakah berlaku setelah bergelar wartawan sukan atau ketika menjadi wartawan berita meja utama. Saya pernah diperkenalkan dengan seorang lagi hamba Allah yang kini memegang takhta sebuah lagi negeri di kelab kapal layar. Pendek kata tidak kurang kenalan yang boleh mengangkat ke tempat tinggi kalau itulah yang dimahukan dalam kehidupan ini.

Oh. Saya juga pernah dihantar untuk membuat liputan satu siri baru lumba basikal keliling Malaysia anjuran Polis Diraja Malaysia yang seingat saya dipanggil sebagai Jelajah Mesra PDRM, tak ingat tahun bila. Turut bersama ramai polis berpangkat tinggi juga yang biasa-biasa. Ketika itu dapat dilihat perangai sebenar sesetengah polis di balik tabir. Tapi nak kata apa? Saya pun ketika itu lebih kurang sama. Nak sebut lebih-lebih karang takut orang kata fitnah juga membuka pekung di dada. Anggap sahaja perangai biasa orang suka berhibur lalu ada pihak sedia untuk memenuhi keperluan mereka.


Sebagai wartawan sukan saya juga disuruh mengikuti acara sukan lasak generasi baru seperti berlawan main skateboard dan rock climbing pada peringkat profesyional. Untuk itu saya pernah dihantar lebih seminggu untuk meliputi Asian X Games di Phuket, Thailand. Gambar daripada paspot lama yang dikongsikan dalam artikel berbahasa Inggeris Reminiscing some old travels via international passports ini menunjukkan saya berada di sana 3 hingga 13 Disember tahun 2000. 

Sekitar sebulan dua sebelum itu berlakulah perjalanan ke Perancis yang ceritanya mahu dijadikan siri ini. Tetapi sebelum dapat berkongsi cerita perjalanan tersebut ada baiknya dipersembahkan terlebih dahulu satu artikel khas tentang bagaimana boleh terlibat dengan sukan berkuda dan apa yang saya tahu tentangnya. 


Khamis, April 01, 2021

Berita terbaru tentang buku-buku Merah Silu

Salam malam Jumaat 19 Sya'aban 1442 Hijriah. Ada perkongsian penting tentang buku-buku saya. Ada tawaran menjimatkan sehingga RM65 untuk semua...

Semalam naskah terakhir buku ke-12 saya "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" (terbit awal  2018) dalam simpanan telah diposkan kepada pemiliknya setelah 2 minggu membuat tempahan tetapi 2 hari lalu baru membayar. Lebih seminggu lalu tiga naskah akhir telah lebih awal sampai kepada pemilik masing-masing. 'Kembarnya' buku ke-11 saya iaitu "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000" (kerana diterbitkan serentak) telah lebih awal habis dibeli orang. Lalu ada yang bertanya jika akan dibuat cetakan baru kerana masih ada lagi yang berminat. Saya jawab tidak kerana sudah malas hendak membuat urusan-urusan berkenaan apa lagi tesis untuk pengajian pasca-siswazah saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) masih belum siap.

Saya pun memberitahu bercadang akan membuat jualan PDF buku selepas naskah terakhir diambil orang. Ini terasa lebih mudah kerana boleh die-mailkan sahaja ke mana-mana di dunia, tidak perlu mengeluarkan belanja mencetak buku lalu harus membuat urusan-urusan berkenaan seperti simpanan stok buku juga berurusan dengan pengedar kalau tidak pun menjual terus melalui pos. Namun baru ini saya telah terjumpa seorang sahabat baik yang berpangkat adik dalam jualan buku. Beliau memberitahu tidak elok menjual PDF kerana ia nanti akan disebarkan merata secara percuma lalu saya tidak akan mendapat apa-apa.

Bila difikirkan baik-baik memang betul cakap beliau. Saya sendiri sebenarnya tidak memikirkan untung lagi. Saya lebih fikirkan sebaran ilmu dan untuk itu tidak kisah jika isi tersebar merata secara percuma. Tetapi bukan itu sahaja masalahnya. Kalau dibiarkan PDF keluar nanti ada yang akan menciplak isi dengan mudah lalu mengaku itu hasil kajian mereka. Hal tersebut sudah pun berlaku pada sejumlah isi penulisan saya termasuk daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Orang sekarang bukan sahaja tidak tahu malu menciplak hasil kajian orang lain. Silap-silap boleh diterbalikkan cerita kita pula yang dikatakan meniru kerana manusia-manusia poyo seperti ini tidak ada rasa bersalah menyebarkan fitnah.

Sebaliknya sahabat tersebut mencadangkan agar dibuat cetakan berdasarkan tempahan (print on demand). Untuk itu beliau sanggup menguruskan perkara, saya tidak perlu risau apa-apa lalu boleh melepaskan tangan. Dengan itu diberitahu bahawa sesiapa yang ingin mendapatkan buku "Nabi Adam" juga "Benua Tua" boleh menghubungi saudara Zahamri Nizar iaitu pemilik Taman Pustaka. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp di nombor 016-616 3907 juga Facebook di sini (sila klik).


Alang-alang sudah membuat pengumuman tentang buku ke-11 dan ke-12 biar juga diumumkan sesuatu tentang buku ke-13 saya "Kenangan Kembara Hitchhike Eropah Tahun 1995". Buku berdasarkan pengalaman sebenar mengembara seorang ini diri ke 11 buah negara Eropah dengan belanja kurang RM1,000 ini mula ditulis pertengahan tahun 2018. Ketika itu saya sedang menunggu keputusan untuk mendapatkan tempat di ISTAC. Ketika ia terbit Jun 2019 saya sudah 10 bulan menjadi pelajar sepenuh masa.

Saya telah membuat keputusan tidak akan menulis apa-apa buku baru selagi belum siap tesis di ISTAC. Dengan itu boleh dikatakan ia adalah buku terakhir saya sekurang-kurangnya buat fasa hidup kini. Hari ini biar diumumkan buku berharga RM55 itu akan mula dijual pada harga diskaun 60% menjadi RM33. Ini bagi melangsaikan stok selain menampung kos pengajian dan lain-lain kos hidup. Campur kos pos  RM8 jadilah jumlah RM41. Tapi ini sedia dikurangkan lagi  menjadi RM40 bersamaan penjimatan keseluruhan RM23.


Saya juga ingin melupuskan baki stok buku ke-2 saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (terbit Mei 2007) dan buku ke-3 "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2007). Ia merupakan sebahagian daripada trilogi (siri 3 buku) atas tajuk besar "Berpetualang ke Aceh". Tetapi buku pertama siri yang memakai tajuk kecil "Mencari Diri dan Erti" sudah lama habis. Adapun harga buku ke-2 itu adalah RM25, buku ke-3 adalah RM28. Oleh itu jumlah harga kedua-dua buku adalah RM53. Kalau dicampur RM33 harga buku "Kembara Eropah" setelah diskaun jadi RM86. Dicampur kos pos RM10 jadi RM96. Tetapi untuk ketiga-tiga buku itu saya sedia membuat lagi diskaun menjadi RM80 campur pos. Ini bersamaan penjimatan RM38 (RM16 + RM22 diskaun buku "Kembara Eropah)!



Akhir sekali diskaun terbesar mahu ditawarkan adalah bagi melangsaikan baki stok buku ke-7 saya "Jejak Keluarga Yakin : Satu Sketsa Sejarah" (terbit September 2011). Harga buku mewah (coffee-table book) ini adalah RM125 senaskah. Campur kos pos RM10,  jadi RM135. Tetapi saya sedia untuk menjual berserta pos pada harga RM70 bersamaan penjimatan RM65!

Oh. Semua kos pos yang disebut ini adalah kadar harga Poslaju dalam Semenanjung berdasarkan pakej menurut berat buku. Kos pos yang disebut RM8 untuk pakej kecil menjadi RM12 bagi Sabah dan Sarawak bersamaan penambahan RM4, kos pos RM10 menjadi RM16 bersamaan penambahan RM6.

Sekadar memberitahu, daripada 13 buku tulisan saya setakat ini 7 diterbitkan atas nama syarikat sendiri Wasilah Merah Silu Enterprise, 6 diterbitkan syarikat-syarikat lain. Tiga daripada 7 itu sudah habis licin stok yang mana dua daripadanya, buku ke-11 dan ke-12 mahu diterbitkan kembali menurut tempahan oleh Taman Pustaka seperti disebut atas. Yang tinggal 4 tajuk buku masih ada stok dalam tangan saya dan itulah yang dibuat tawaran. 

Sekali lagi tetapi ringkas biar disebut tawaran seperti ini :-

1) Buku "Kembara Eropah" daripada harga asal RM55 jadi RM33. Termasuk pos dikurangkan lagi jadi RM40. Penjimatan keseluruhan RM23. Untuk Sabah dan Sarawak tambah RM4 menjadi RM44.

2) Buku "Kembara  Eropah" bersama buku  "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" (harga asal RM25) juga buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?"  (harga asal RM28) ditawarkan pada harga RM80 (campur RM10 pos). Penjimatan keseluruhan RM38. Untuk Sabah dan Sarawak tambah RM6 menjadi RM86.

3) Buku "Jejak Keluarga Yakin" daripada harga asal RM125 diikuti harga pos RM10 menjadi RM70. Penjimatan keseluruhan RM65. Untuk Sabah dan Sarawak tambah RM6 menjadi RM76.


Sila masukkan jumlah berkenaan ke dalam akaun :- 

Affin Islamic Bank : 20-530-011171-1

Atas nama: Mohd Fahrulradzi b Mohamad Sapiee


Maklumkan bukti transaksi melalui WhatsApp ke nombor 013-3082131 berserta alamat pos dan buku yang hendak dibeli (atau nombor tawaran sama ada 1, 2 atau 3). Insyaallah akan dipos secepat mungkin.


Pengharmonian sains dan Islam di Malaysia - Di manakah kita?

Lagi selingan antara cerita-cerita tentang perjalanan-perjalanan lama. Masuk bab majlis ilmu.



Semalam Rabu 31 Mac telah berlangsung satu webinar bertajuk "Penginstitusian Usaha Mengharmonikan Sains dan Islam". Ia adalah yang ke-4 di bawah siri "Analisis Terhadap Pengharmonian Sains dan Islam di Malaysia".



Majlis dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Memberikan kata-kata pengenalan adalah pengarah IKIM, Datuk Dr Azizan Baharuddin.




Tiga orang panelis telah diminta untuk memberikan buah fikiran. Panelis pertama adalah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Kamal Hassan, penasihat kehormat Centre for Islamisation (CENTRIS) di Universiti Islam Antarabansa Malaysia (UIAM). Beliau memulakan dengan menyatakan sudah lama tidak terlibat dengan pentadbiran universiti lalu tidak ada maklumat terbaru tentang penginstitusian sains dan Islam. Seterusnya beliau bertanya kepada pihak penganjur apakah sains sosial termasuk dalam perbincangan atau ia untuk sains natural (tabi'i) sahaja. Dijawab oleh Azizan harus masuk juga. Lalu Kamal pun menyatakan betapa pentingnya sains sosial dimasukkan, antaranya adalah bidang ekonomi.

Krisis ekonomi yang melanda dunia tahun 2008 pun dirujuk. Disebut bagaimana pakar-pakar ekonomi dunia menjadi kelam kabut kerana tidak dapat menangani masalah sedangkan Islam harus dapat menawarkan penyelesaian. Disebut pula tentang UIAM sejak zaman Profesor Ahmad Ibrahim (seorang pakar undang-undang) yang berusaha untuk mengharmonikan undang-undang syariah dengan undang-undang awam (civil law ciptaan Barat). Namun ada perkara-perkara yang tidak dapat diharmonikan disebabkan banyak school of thought (sekolah atau aliran pemikiran). Antaranya adalah pemikiran bersifat atheis (menolak kewujudan Tuhan). Yang ini perlukan pengislahan. 

Kamal seterusnya menyebut perkataan "melembagakan" sebagai ganti perkataan "penginstitusian". Disebut pula kalau institusi-institusi asas pun tidak beres susah hendak diselarikan dengan pandangan Islam. Kata beliau kebanyakan saintis Islam di Malaysia masih berpegang pada fahaman dikotomi (pemisahan pandangan dasar sains dengan pandangan dasar Islam kerana tidak dapat membuat pengharmonian atau titik temu). Diberi contoh satu tinjauan akademik telah dilakukan lalu didapati daripada 47 orang saintis Melayu Islam 43 masih berpegang pada fahaman dikotomi walaupun orang kuat agama. Dengan itu konsep tauhid harus diketengahkan. Perspektif atau worldview (pandangan sarwa jagat) Islam harus boleh dipertahankan.
 


Panelis kedua Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar yang merupakan penyandang Kursi Pemikiran Al-Ghazali di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pula membuka dengan menyatakan usaha pengharmonian adalah sesuatu yang legitimate (sah dan bermakna) tapi harus memahami ruang lingkup perkara. Menurut beliau istilah sains itu sendiri menuntut definisi/penjelasan. Beliau setuju dengan Kamal bahawa ia harus meliputi sains sosial/kemanusiaan. Ini kerana epistemologi (kaedah ilmu) dalam  Islam menuntut ini dalam suatu kesatuan. Tambahnya ilmu itu berkait rapat antara satu sama lain. Terdapat hubungan antara sains sosial dengan sains tabi'e dan ia saling mempengaruhi...



Osman pun membuka slaid bagi memanjangkan penerangan.  Disebutlah tentang sains sebagai ilmu terus berkembang. Namun pencipta utamanya bukan umat Islam. Mereka sama ada daripada agama lain atau tidak beragama lalu mengeluarkan agama daripada pemikiran. Oleh itu sains di Barat dicipta berdasarkan falsafah/sistem nilai yang bercanggah dengan pandangan alam Islam. 





Osman seterusnya membahagikan usaha pengharmonian kepada tiga tahap. Kata beliau 30 tahun dahulu penghargaan terhadap Quran lebih tersebar luas (merujuk pada tahap pertama). Ada usaha untuk mencari ayat-ayat Quran yang boleh dikaitkan dengan sains. Namun pada peringkat awal bolehlah berbuat demikian. Seharusnya kita pergi pada tahap lebih tinggi, bukan sekadar "ayatisisation". Bukan sekadar mencari ayat-ayat (untuk disesuaikan dengan apa-apa penemuan sains). Kita harus lebih sofistikated.  Harus faham dan bentuk konsep (tahap kedua). Bukan sekadar melihat teori sedia ada lalu mahu diselaraskan dengan ajaran Islam. Kita harus ada interpretasi sendiri. Ada integrasi berpandukan epistemologi berdasarkan Tauhid. Kalau tak faham ini dalam tradisi Islam kita tidak boleh memainkan peranan.

Pembentukan minda saintifik Islam pun disebut. Diberikan contoh, antaranya Al Biruni (pemikir besar silam Islam yang hidup tahun 973 hingga 1048 Masihi). Kenapa boleh mencipta macam-macam? Disebut pula ada kesamaan minda saintifik Einstein (ahli fizik terkenal Barat abad ke-20) dengan Ibnu Sina (pakar perubatan Islam abad ke-11). Namun ada juga perbezaan. Oleh itu harus diketahui apa itu minda saintifik Islam.

Untuk tahap ketiga Osman ada merujuk pada buku beliau "Classification of Knowledge in Islam". Harus pergi pada mauduk berupa struktur ilmu Islam. Misalnya dalam ilmu biologi (kajian hayat) Islam konsep jiwa  termasuk di dalamnya. Ada jiwa haiwan, ada jiwa tumbuh-tumbuhan. Sekarang ini semua sudah dikeluarkan. 

Seterusnya (harus tahu) setiap ilmu ada andaian yang tidak boleh dibuktikan benar. Dalam epistemogi Islam ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam (walaupun tidak dapat membuktikan kebenaran kerana belum dibuka hijab, misalnya kehidupan selepas mati). Kemudian metodologi. Ah. Apa contohnya ya? Ketika inilah saya mendapat satu panggilan telefon yang sangat mengganggu fikiran. Nanti diterangkan pada penghujung artikel.

Kemudian ada disebut bahawa kemuncak Islamisasi ilmu adalah dapat melihat ilmu itu memenuhi tuntutan Tauhid. Osman pun bertanya - Sudahkah kita membudayakan sains yang berbentuk Islam?

Oh. Oleh kerana buku Classifications of Knowledge yang terbit hasil kajian PhD Osman tahun 1980an disebut biar dikongsikan pautan artikel bagi sejumlah syarahan beliau tentang isi buku. Sejak masuk sebagai pelajar pasca-siswazah di ISTAC hampir penghujung tahun 2018 saya selalu menghadiri syarahan-syarahan di sana terutama oleh guru saya itu sehinggalah tidak lagi dapat ke institusi akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi membendung penularan virus Covid-19 bermula Mac tahun lalu. Sila ikuti perkongsian saya melalui pautan-pautan berikut :-


9. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3


10. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual


11. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan


12. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?


13. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham


14. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam


15. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat


16. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini


17. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar


18. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia




Berbalik pada majlis semalam. Osman melihat kita di Malaysia masih berada pada tahap pertama dan kedua. Sedangkan sepatutnya kita sudah ada semua tahap itu. Tambah beliau tidak perlu diwujudkan institusi baru bagi usaha pengharmonian. Ini kerana institusi-institusi sedia ada seperti IKIM, UIAM dan USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) semuanya relevan. 

Kita tidak kurang daripada segi institusi tambah beliau. Yang perlu diwujudkan adalah jaringan program antara institusi. Perlu ada research (kajian) juga program ilmiah antara institusi. Dan setakat ini belum ada mekanisma untuk menilai perkembangan (bagi usaha pengharmonian sains dan Islam di Malaysia).

Beliau berharap ada strategi untuk mencapai ketiga-tiga tahap yang disebut tadi. Oleh itu dicadangkan keperluan untuk menumpukan perhatian pada jaringan. Nilai apa setiap institusi buat sekarang, apa yang telah dicapai (untuk disalingmanfaatkan). Seterusnya harus difikirkan bagaimana cara untuk melahirkan tokoh-tokoh yang memiliki falsafah sains Islam.



Panelis ketiga adalah Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail. Beliau adalah naib canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pengasas Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTECH) di UTM. Beliau membuka dengan menyatakan pengharmonian sains dan Islam ini harus diterapkan sejak daripada zaman sekolah lagi iaitu seawal mungkin. Disebutlah tentang kitab Al-Quran bukan semata-mata mengandungi aspek keagamaan malah pelengkap segala ilmu. Disebut apabila Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama ayat yang turun adalah Iqra' iaitu bacalah. Kita disuruh membaca. Maknanya kita juga disuruh menyelidik.

Disebut pula tentang ulamak-ulamak silam Islam membuat banyak penemuan tetapi kenapa tidak diajar di sekolah? Penginstitusian perlu digarapkan, perlu dikahwinkan tetapi tidak ada. Kenapa? Inilah tujuan analisa dibuat. Supaya sedikit sebanyak dapat dikembalikan (kenyataan tentang ilmu dan ilmuwan Islam itu) supaya embedded (masuk kemas) dalam kurikulum. 

Semua kejadian sudah ada dalam Islam tambah beliau. Disebut dalam Quran (misalnya) Nabi Daud AS adalah orang pertama meleburkan besi. Daripada mana dapat idea? Tentu daripada Allah. Kemudian disebut pengalaman beliau sendiri membuat Masters dan PhD dalam kejuruteraan kimia di luar negara. dengan specialisation (penumpuan kepakaran) pada kajian membrane (lapisan halus yang boleh memisahkan dua bahagian suatu jasad). Rupa-rupanya organ-organ dalam tubuh badan kita diselaputi membrane lalu beliau memberikan beberapa contoh termasuk buah pinggang. Maka kajian berkenaan boleh membantu pesakit buah pinggang.

Disebutlah kajian beliau tentang membrane terbit kerana terinspirasi oleh ayat 19-20 Surah Ar-Rahman. Ia adalah ayat yang menyebut tentang pertemuan antara dua arus laut tetapi tidak bercantum. Hal ini menurut beliau ada berlaku di Selat Gibraltar (yang memisahkan negara Maghribi dengan Sepanyol, pertemuan antara Lautan Atlantik dengan Laut Mediterranean). Ada batas memisahkan dua arus laut. 

Itulah membrane yang tidak dilampaui masing-masing. Ia berlaku akibat perbezaan ketumpatan garam. Antara contoh hasil kajian beliau berdasarkan fenomena ini adalah alat untuk menyuling air laut menjadi air boleh minum. Menurut beliau ia sudah mula digunakan di Kelantan.



Seterusnya masuk sesi ulasan (terhadap perkongsian tiga pakar) bermula dengan Mohamed Zaki Abd Ghani mewakili Kementerian Pendidikan. Kata beliau mereka lebih pada masyarakat pengguna. Apa yang dirintis oleh para pengkaji, ahli sains, ahli agama itulah yang digunakan dalam kurikulum. Tambahnya orang awam secara tabi'i percaya bahawa alam tidak wujud dengan sendirinya kecuali ada satu kuasa menciptanya. Tetapi oleh kerana rujukan-rujukan yang digunakan oleh guru dan para pendidik adalah berdasarkan kajian ahli-ahi sains Barat maka jadi tidak synchronise (segerakkan) antara sains dan Islam

Contohnya kita masih menggunakan perkataan ahli sains mencipta walhal hakikatnya tidak. Tuhan sahaja yang mencipta. Manusia cuma discover (menemukan) sahaja seperti halnya menemukan hukum-hukum yang berlaku dalam alam ini. 

Beliau kemudian meletakkan cabaran-cabaran dihadapi dalam usaha pengharmonian seperti berikut :-

1) Orang Islam bukan peneraju dalam bidang sains - Kita masih merujuk pada buku-buku ahli sains bukan Islam

2) Kurikulum - Orang Islam dididik berdasarkan ilmu-ilmu ahli sains bukan Islam.

Beliau memberikan statistik berikut. Menurut beliau pada 28 Februari 2021 terdapat 71,373 orang guru mengajar matapelajaran sains di sekolah rendah dan menengah. Walaupun sebahagian besar iaitu 66.4% beragama Islam mereka terpaksa ikut keadaan seperti sedia ada. 

Maaf, ada tiga atau empat lagi statistik berkenaan diberikan tetapi tak sempat taip. Ya. Saya menaip terus ke dalam template blogger sambil mengikuti majlis. Boleh jadi apa yang sempat ditulis di atas pun tersilap tetapi kesimpulannya tetap sama - Walaupun majoriti guru/pendidik di semua peringkat pengajian adalah beragama Islam mereka cuma mengikut sahaja apa sedia ada (sains yang tak selari dengan Islam) itu disebabkan cabaran 1 dan 2.




Pengulas kedua Prof Dr Rosnani Hashim dari fakulti pendidikan UIAM pula menyebut tentang kejadian alam dan sebagainya dalam Al-Quran sebagai falsafah hidup. Disebut pula bahawa jika Al-Quran adalah kitab pertama maka kitab kedua adalah alam sejagat dan insan. Kalau kaji ini lalu merujuk pada Al-Quran akan rasa takjub. Banyak kejituan menyebabkan mereka yang mengkaji akhirnya beriman. 

Kedua-dua ini penting bagi manusia. Kalau penting bukankah patut disampaikan? Soalnya bolehkah seorang mualim menyampaikan kalau tiada kedua-dua ilmu (satu bersumberkan Al-Quran, satu bersumber alam sejagat dan insan itu dan inilah yang selalu disebut sebagai sains)? Tambah beliau ilmu sains bersifat empirikal. Al-Quran  pula bersumberkan wahyu tapi boleh dibuktikan secara rasional dan empirikal.

Ulamak sepatutnya tahu sains. Sains dan Al-Quran harus ada kurikulum bersepadu. Kata Rosnani kelemahan kita adalah pensyarah tak punya falsafah. Mereka main tempel ayat Al-Quran sahaja untuk menerangkan sesuatu. 

Disebutlah bahawa Hamka (pemikir besar Alam Melayu abad ke-20) pernah berkata kena belajar falsafah untuk tadabbur Al-Quran. Namun pengajian Al-Quran masih banyak tentang hafazan kemudian tafsir dan syarah. Tidak ada ijtihad untuk memanfaatkan ilmu terkini. Disebut pula pengajian perlu kaedah inquiry (bersoal jawab).

Hal ini memang ada dalam sain, dalam agama harus ada. Beri peluang murid untuk bersoal jawab walaupun pada awalnya tidak betul (landasannya). Ini adalah untuk menyuburkan pemikiran kritis, komunikasi dan sebagainya. Kata Rosnani ini perlu untuk mencapai apa yang disebut Osman sebagai minda saintifik Islam.

Terdapat 2-3 orang lagi pengulas selepas itu tetapi cukuplah perkongsian. Panggilan yang diterima ketika mendengar syarahan Osman adalah tentang suatu perkara yang tidak selesai tentang pendaftaran saya di ISTAC bagi semester sekarang lalu sangat menganggu fikiran. Hal ini cuba diketepikan dahulu untuk mengikuti majlis. Tapi masuk jam 11 saya tidak dapat lagi memberikan tumpuan kerana perlu menyemak perkara-perkara berkenaan.

Sesungguhnya proses penulisan tesis saya di ISTAC terasa sangat mencabar. Sepatutnya ia sudah siap lalu diserahkan pertengahan tahun lalu. Namun saya menghadapi semacam mental block dalam membuat penulisan walaupun segala macam perkara dan ilmu berkenaan sudah sedia ada dalam kepala. Seringkali didapati cuma mampu termenung di hadapan komputer sahaja apabila membuka fail-fail berkenaan. Susah sangat hendak mengeluarkan ayat yang cukup memuaskan walaupun pengetahuan sudah lama ada tentang subjek.

Sesungguhnya ini adalah berkaitan pengharmonian sains dan Islam juga di Malaysia. Antara perkara yang perlu ditangani dalam penulisan tesis adalah soal evolusi manusia menurut kepercayaan Darwinisme. Hal ini mengingatkan bagaimana saya hampir menjadi atheis ketika belajar di London tahun 1991-1995. Ini adalah akibat terlalu berpegang kuat pada sains. Segalanya mahu dilogikkan menurut ukuran ilmu Barat termasuk soal kewujudan Tuhan.

Walaupun tidak lagi percaya (ya, dahulu saya hampir percaya) manusia boleh berasal daripada beruk seperti dinyatakan dalam teori evolusi manusia) menolaknya dalam penulisan akademik bukan semudah menempelkan beberapa ayat Al-Quran. Saya harus mengambil kira perspektif dan fahaman orang bukan Islam terutama masyarakat saintis supaya tidak dilihat 'berat sebelah'. Ini memerlukan hujah lebih mantap, bukan setakat kalau kerusi pun ada yang membuatnya maka alam ini harus ada penciptanya atau sebegitu. Seperti disebut Osman harus mencapai tahap ketiga dalam usaha pengharmonian antara sains dan Islam. Baru hujah cukup jitu lalu tidak boleh dikatakan kebudak-budakan.