Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Mac 20, 2021

Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Sedikit kenangan kehidupan di London sebelum pusing ring road lalu ke Bradford

OK. Terus pada cerita kedua siri. Bersambung daripada artikel Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Membina perspektif berdasarkan beberapa perjalanan lain.


Kisah perjalanan yang diperkirakan berlaku hampir 27 tahun lalu ini harus bermula pada satu hari selepas selesai mengulang peperiksaan tahun kedua pengajian di University College of London (UCL). Peperiksaan berlangsung sekitar penghujung bulan Mei tahun 1994 membawa ke awal bulan Jun. Perjalanan harus bermula dalam tempoh sebulan dua selepas itu. Rasanya ketika itu sudah mendapat keputusan peperiksaan lalu didapati alhamdulillah lulus untuk masuk ke ke tahun tiga atau tahun akhir pengajian.

Oh, seingat saya harus belajar sendiri sepanjang setahun sebelum mengambil peperiksaan ulangan tersebut.  Seingat saya tidak dibenarkan masuk ke kelas untuk mengulang tahun dua, tak ingat mengapa. Ke ada silap faham berlaku pada waktu itu? Apapun seingat saya kalau melapor pada pihak penaja bahawa saya tidak lulus peperiksaan tahun dua pada pertengahan tahun 1993 lalu harus mengulang akan disuruh balik ke Malaysia. Dah dekat hendak periksa baru boleh ke London untuk mendudukinya. 

Mungkin ini disebabkan terma penajaan saya telah berubah daripada penajaan penuh menjadi pinjaman boleh ubah kerana memilih untuk pergi tahun pertama ke London dengan biaya sendiri sebelum menyambung kembali dengan mereka untuk tahun-tahun seterusnya. Kalau tidak harus buat tahun pertama di Malaysia bawah program NCUK (Northern Consortium United Kingdom). Tetapi kalau masuk program hilang pula peluang masuk ke UCL kerana ia tidak termasuk dalam program NCUK.

Yang pasti memang tak masuk kelas sepanjang setahun sebelum peperiksaan ulangan itu. Cuma ada seminggu sekali begitu berjumpa dengan seorang pensyarah yang sangat ambil peduli tentang perkembangan saya lalu membuat ulang kaji pelajaran dengan beliau. Apapun teman wanita lama yang ikut sama dalam perjalanan pula telah selesai peperiksaan tahun akhir di London School of Economics. Seingat saya beliau sudah bersedia untuk kembali ke Malaysia meninggalkan saya setahun lagi di luar negara.


Perjalanan ini sudah difikirkan buat beberapa lama. Kami mahu melakukan dengan menyewa kereta. Setelah meneliti iklan-iklan di surat khabar dan sebagainya baru terjumpa kereta dengan kadar sewaan yang kami mampu. Sewanya sama ada £120 atau £150 (Pound Sterling) bagi seminggu... ingat-ingat lupa tetapi harus antara dua nombor itu. 

Ini adalah paling murah dapat kami temui setelah beberapa lama mencari. Murah tak murah pun bersamaan lebih RM600 atau lebih RM750 menurut tukaran matawang semasa itu (£1 = lebih RM5). Seingat saya dapat kereta sedan 1.3 litre berwarna merah seperti dalam gambar atas. Tak ingat model apa tetapi kelihatan lebih tua dan pudar warna berbanding dalam gambar.



Kereta diambil dari sebuah bengkel di Bermondesy. Ini adalah satu kawasan ke tenggara pusat bandar raya London. Saya ingat nama kawasan kerana pernah beberapa bulan menyewa bilik di rumah flat milik seorang perempuan Inggeris berumur lebih 80 tahun. Ke darah Irish (keturunan asal orang Ireland)? Namanya Mrs Parker kalau tak salah ingatan. Kami duduk berdua sahaja. Beliau sudah lama kehilangan suami. Katanya tidak kembali daripada medan perang, tiada khabar berita hidup atau mati.

Saya pun sudah lupa perang apa, mungkin Perang Dunia kedua yang berlaku tahun 1942-1945. Saya mula menyewa pada penghujung tahun 1991. Kalau ketika itu pun tuan rumah sudah berusia lebih 80 tahun beliau harus dilahirkan sebelum tahun 1911 bermakna ketika perang tersebut berlaku beliau sudah berumur lebih 30 tahun. Begitu juga harus umur suaminya atau sekitar itu. Jadi amat logik kalau perang yang disertai sehingga tidak kembali itu adalah Perang Dunia Kedua.



Harga sewa bilik adalah £50 seminggu (ya, di sana biasa kira ikut minggu, tiap minggu kena bayar sewa). Ini adalah bersamaan lebih kurang £217 sebulan. Elaun untuk wang sara kehidupan pula adalah £305 mengikut kadar penajaan kerajaan Malaysia bagi pelajar di London (luar itu £265 kalau tak salah kerana kos kehidupan lebih murah). Tinggal baki £88 untuk pengangkutan, makan minum dan belanja lain.

Pelajar seperti saya harus mengira dahulu kos sewa rumah diikuti pengangkutan. Baki selepas itu baru boleh dikira untuk makan minum dan lain-lain. Ini adalah realiti kehidupan pelajar di luar negara. Kalau anak orang kaya mungkin lain cerita. Untuk menjimatkan belanja pengangkutan di London kami beli Travelcard, sejenis pas yang membenarkan kita untuk menaiki bas dan kereta api tanpa membayar apa-apa lagi dalam suatu zon buat suatu jangka waktu. 

Zon dibahagikan kepada 6 bahagian menurut jarak dari pusat kota. Semakin jauh ke luar semakin naik nombor. Semakin banyak zon diliputi semakin mahal harga Travelcard tetapi semakin panjang tempoh liputan semakin murah harga purata bagi setiap hari. Ia boleh dibeli untuk kegunaan sehari, seminggu, sebulan juga enam bulan dan setahun kalau tak salah.

Rumah sewa di Bermondsey terletak dalam Zon 2 sedangkan universiti dalam Zon 1. Kalau beli Travelcard Zon 1 dan 2 supaya meliputi pengangkutan dari kedua-dua tempat harganya seingat saya adalah £46 sebulan. Tetapi saya biasa beli Zon 1 sahaja kerana harganya adalah £35. Ada penjimatan £11 di situ. Ini memberikan baki (selepas ditolak sewa rumah) £53 untuk makan minum dan lain-lain. Itulah belanja yang tinggal untuk sebulan hidup.



Saya sanggup berjalan kaki lebih 1 km untuk masuk ke Zon 1 kemudian baru ambil pengangkutan awam ke universiti demi penjimatan tersebut. Biasanya naik bas hingga ke stesyen kereta api bawah tanah terdekat kemudian baru naik kereta api ke stesyen terdekat universiti. Ada masanya saya berjalan kaki lebih jauh lalu menyeberangi jambatan gantung Tower Bridge yang sangat terkenal di mata dunia (gambar atas). Ya. Rumah sewa saya di Bermondsey terletak agak dekat dengan Tower Bridge,  dalam 3 km sahaja jarak. Ia adalah satu jarak biasa bagi saya kerana selalu berjalan kaki 8-10 km sehari kalau tidak perlu mengejar masa.

Sedikit kenangan kehidupan di London ini dikongsikan disebabkan ingatan yang timbul apabila menyebut tentang Bermondsey. Selepas beberapa bulan saya berpindah ke tempat lain yang lebih murah sewa tetapi lebih jauh dari universiti. Sepanjang 4 tahun di London saya pernah bermastautin di tujuh atau lapan tempat berlainan. Pernah ada satu lokasi yang mana saya perlu berjalan kaki pergi balik universiti sekitar 16km sehari untuk menjimatkan belanja kerana tidak lagi menerima elaun ketika itu.



Berbalik pada hal perjalanan sekitar musim panas tahun 1994. Dapat sahaja kereta terus dimulakan perjalanan dengan memasuki ring road atau jalan pusing keliling jangkauan besar London raya (Greater London - kota London dan kawasan perbandaran di sekeliling). Saya mahu menunaikan hajat yang sudah lama tertunda. Google Map memberikan paparan atas sebagai laluan terdekat dari Bermondsey ke ring road. Hajatnya mahu membuat satu pusingan penuh ring road...



Sudah lama saya melihat laluan tersebut dalam peta-peta terutama buku "A to Z London" yang menjadi panduan ramai pelajar juga pelancong ke London. Ketika itu Kuala Lumpur belum memiliki kemudahan serupa seperti halnya Middle Ring Road (MRR) atau Lingkaran Tengah. Berbagai kemudahan lain infrastruktur yang kini sudah ada di KL belum wujud pada waktu itu tetapi sudah ada di London. Memang terasa pembangunan di Malaysia jauh ketinggalan berbanding di UK.

Adapun kawasan Greater London adalah hampir sebesar negeri Melaka. Semakan di Internet menunjukkan luasnya 1,569 km², Melaka 1,664 km². Oleh itu satu pusingan ring road di London adalah hampir seperti pusing keliling seluruh negeri Melaka, Google Map menunjukkan jarak satu pusingan adalah 193 km. Untuk sampai ke jalan masuk terdekat dari Bermondsey harus bergerak 25 km ke tenggara. 

Ya. Ia adalah perjalanan jauh yang mungkin sia-sia dan tidak ada makna bagi orang lain. Teman wanita lama pun pelik tetapi beliau akur mengikut sahaja. Saya ingat belum cukup satu pusingan pun sudah masuk malam waktu itu. Saya ingat ada lalu satu kawasan yang banyak kelkatu sehingga habis hampir seluruh bahagian hadapan kereta diliputi bangkai kelkatu. Teruk juga kena pakai wiper dan helap kain untuk membersihkan cermin kereta.



Cuma timbul satu kemusykilan. Dalam ingatan saya selepas itu kami terus ke rumah seorang kawan lama di Bradford lebih 300 km ke utara London. Saya musykil kerana ingatan yang tinggal sedikit tentang perjalanan menyatakan ketika langit mula gelap kami masih di ring road. Perjalanan dilakukan pada musim panas di mana malam bermula sekitar jam 9. Kalau terus ke Bradford tanpa menginap di tempat lain harus sampai sekitar jam 12.30, mungkin selepas jam 1 pagi.

Tetapi hal ini tidaklah mustahil kerana kami memang sampai lewat. Cuma sebelum melakarkan kembali laluan berdasarkan ingatan fikir saya lewat itu baru dalam jam 10 malam gitu. Bila disusur kembali butiran baru dapat disukat waktu dengan lebih baik. 

Ya. Dalam ingatan saya memang kami masih di ring road ketika  hari mula gelap. Cuma apabila dipadankan dengan fakta bahawa ketika itu musim panas baru tersedar betapa lewat kami sampai itu kerana sekitar jam 9 baru masuk malam. Seterusnya tak ingat laluan manakah yang diambil sehingga sampai ke Bradford. Hati mengatakan ada masuk sebentar ke Sheffield sekadar untuk melihat-lihat keadaan sepintas lalu. Tak perlu bermalam kerana sudah berjanji lebih awal dengan kawan di Bradford untuk ke tempat beliau. Lagipun saya pernah bermastautin hampir 3 bulan di Sheffield pada musim panas tahun 1993.

Hmm. Timbul semacam bayangan ada melihat Sheffield dalam keadaan gelap dan lengang kerana sampai lewat malam. Apapun untuk kira-kira jarak keseluruhan perjalanan bagi hari itu (atau fasa tersebut)  biar diambil jarak laluan seperti ditunjukkan dalam gambar Google Map dari  tempat lengkap satu pusingan ring road London iaitu 376 km. Campur dengan jarak selepas mengambil kereta dari Bermondsey ke ring road (boleh dibulatkan menjadi 25 km) diikuti jarak pusing ring road (193 km) jadilah jumlah 594 km. Campur pusing-pusing dalam kawasan bandar harus lebih 600 km.

Melihat pada jarak ini harus ada mengisi minyak dalam perjalanan ke Bradford. Tetapi sepanjang perjalanan yang akan meliputi separuh negeri England ini saya cuma ingat satu sahaja insiden melibatkan isi minyak. Tetapi itu untuk satu cerita yang akan datang insyaallah kerana ketika itu sedang dalam perjalanan kembali London.


Sewa kereta ke separuh England tahun 1994 - Membina perspektif berdasarkan beberapa perjalanan lain

Salam semua. Cerita seterusnya mahu dikongsikan bagi melengkapkan isi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa adalah perjalanan yang dibuat pusing separuh England tahun 1994 dengan menyewa kereta. Sebelum itu biar dibuat senarai ringkas perjalanan-perjalanan yang dapat diingati pernah dibuat di United Kingdom dalam tempoh masa belajar di sana 1991-1995. Ini adalah untuk mendapatkan atau membina perspektif bagaimana perjalanan tahun 1994 itu jadi bermakna.


Peta ini menunjukkan bagaimana negara UK terdiri daripada beberapa negeri iaitu England, Wales, Scotland dan Northern Ireland. Dalam konteks satu pulau besar ia dikenali sebagai Great Britain (tidak termasuk Northern Ireland di pulau besar Ireland di sebelah barat). Dalam artikel Perjalanan ke Scotland tahun1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji iaitu artikel pembukaan siri berkenaan ada disebut bahawa pada awal tempoh belajar di UK iaitu di ibu kotanya London saya tidak ada pergi keluar jauh. Masuk musim panas tahun 1993 iaitu selepas hampir 2 tahun baru ada pergi 270 km ke Sheffield di utara.


Pada tempoh masa yang diperkirakan berlaku pada penghujung 1993 pula baru pergi lebih sekali ganda jauh untuk ke Glasgow di Scotland. Itu yang diceritakan dalam siri berkenaan lalu dikumpulkan dalam artikel Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun1993. Di celah-celah itu membawa ke pertengahan tahun 1994 saya juga ada membuat perjalanan ke beberapa tempat lain di UK, cuma tak ingat bila. Sekadar untuk menyegarkan ingatan sambil membina perspektif biar dibuat senarai seperti berikut :-

1. London ke Brighton sekitar 90 km ke selatan

2. London ke Cambridge 100 km ke utara 

3. London ke Nottingham lebih 200 km ke utara di laluan ke Sheffield. Tetapi sudah lupa apakah dalam perjalanan khas ke sana atau disinggahi ketika kembali dari Sheffield pertengahan tahun 1993. Boleh jadi dalam perjalanan lain ke arah utara.

4. London ke Manchester 335 km ke arah barat kemudian ke utara dari London. Boleh juga dicapai dari arah Sheffield. Yang ingat memang ada membuat perjalanan khas untuk bertemu kawan-kawan lama di sana.

Cuma bila difikirkan kembali mungkin perjalanan ke Brighton dibuat sebelum pertengahan tahun 1993. Perjalanan ke Cambridge pula ada dibuat sekurang-kurangnya 2 kali kerana seorang bapa saudara ada membeli rumah untuk dijadikan penginapan anak yang sedang belajar di situ.


Harus mendapat sebutan khas (special mention) adalah perjalanan ke Bristol diikuti Cardiff dan Exeter memandu kereta sewa dengan seorang kawan dan adiknya. Kami pergi menziarahi kawan-kawan yang belajar di sana selain mengikut majlis sukan pelajar Malaysia di UK (lupa apakah di Bristol atau di Cardiff). Itulah satu-satu kalinya saya masuk negeri Wales di timur UK kerana Cardiff terletak di sana. Teringat ada menyeberang jambatan di satu bahagian Sungai Severn yang lebarnya 3-4 km.

Perjalanan ini harus mendekati 800 km kerana jarak antara kota sahaja ditunjukkan oleh Google Map sebagai mencapai jumlah 716 km. Tetapi ia tidak cukup jauh untuk dimasukkan ke dalam senarai 50 perjalanan terjauh, kalau tidak tentu dibuat siri kecil tentangnya. Apapun dalam artikel Perjalanan ke Scotland tahun1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji ada disebut begini :-


Sepanjang pengajian tahun akhir separuh kedua tahun 1994 membawa ke separuh pertama tahun 1995 malah sejurus selepas teman wanita kembali ke Malaysia saya disibukkan dengan membuat pelbagai pekerjaan bagi menampung perbelanjaan hidup. Ini kerana tidak lagi menerima elaun bulanan dari pihak penaja kerana tidak pernah memberitahu mereka bahawa saya ada mengulang tahun dua. Oleh itu tiada kelapangan untuk berjalan jauh ke luar London dalam tempoh masa tersebut. Maka perjalanan ke Scotland itu harus berlaku sebelum cuti musim panas tahun 1994.

Fikir saya ketika menulis ini tidak ada keluar jauh langsung dari London dalam tempoh masa disebutkan iaitu ketika pengajian tahun tiga universiti 1994 hingga 1995. Tetapi bila difikirkan kembali mungkin saya ada 'mencuri-curi masa" untuk berjalan ke sana ke mari. Maka itu boleh jadi ada perjalanan yang disebut dalam senarai kecil atas sebenarnya dilakukan dalam tempoh masa ini, bukan antara musim panas 1993 hingga 1994. Dan lagi boleh jadi saya pergi ke Sheffield lebih daripada 3 kali. Yang pasti memang sekurang-kurangnya 2 kali. Yang pasti juga dalam sekurang-kurangnya satu perjalanan itu ada naik lagi 60 km ke utara untuk ke kota Leeds, juga kota sebelah Bradford. 


Merujuk pada perjalanan ke Manchester dalam senarai pula boleh jadi perjalanan ada dipanjangkan lagi 85 km barat laut untuk ke Blackpool. Lalu persinggahan ke bandar peranginan tersebut bukanlah berlaku dalam perjalanan kembali dari Glasgow ke London seperti disebut dalam artikel Perjalanan ke Scotland tahun1993 - Wilayah tasik Lake District dan bandar peranginan Blackpool. Artikel itu turut menyebut kemungkinan singgah di Lake District lagi 85 km gitu ke utara iaitu sebelum ke Blackpool dari arah Glasgow. Tetapi boleh jadi juga ia berlaku pada sesi perjalanan lain. Sungguh saya tak ingat dan tidak dapat memastikan bila kecuali memang tahu pernah sampai dan ingat sedikit butiran di sana.

Perkongsian ringkas tentang beberapa perjalanan lama harus boleh memberikan perspektif pada siri baru kecil yang mahu diberi nama atau tajuk utama "Sewa kereta ke separuh England tahun 1994". Antara sebabnya adalah kerana tempat-tempat seperti Sheffield, Bradford, Leeds, Manchester dan Blackpool ada diliputi dalam perjalanan ini. Perkiraan awal menunjukkan ia meliputi jarak sekitar 1,100 km. Ia boleh menjadi beberapa ratus kilometer lagi lebih jauh kalau tidak disebabkan had masa seminggu untuk melakukan perkara. 


Jumaat, Mac 19, 2021

Islam sebagai jalan kebenaran dan keadilan - Isu penggunaan kalimah Allah oleh Kristian

OK. Keluar sebentar daripada cerita-cerita perjalanan lama. Masuk bab majlis ilmu. 



Tadi petang Jumaat 19 Mac 2021 bermulalah majlis kelima dalam siri syarahan penglibatan masyarakat oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Tajuk kali ini boleh diterjemahkan menjadi "Islam Sebagai Jalan Kebenaran dan Keadilan". Kali ini juga penyertaan melalui perisian Zoom dihad kepada kaki tangan dan pelajar ISTAC sahaja. Orang lain boleh mengikuti majlis melalui Facebook dan Youtube rasmi ISTAC.



Saya menyertai majlis 10 minit lambat lalu mendengar Osman bercakap tentang makna perkataan Arab Haq yang membawa maksud kebenaran. Ini dikaitkan dengan Allah SWT sebagai Al-Haq, salah satu namaNya dalam Asmaul Husna iaitu nama-nama Tuhan yang indah. Dalam bahasa Inggeris Al-Haq disebut sebagai absolute truth  iaitu kebenaran Mutlak. Dikaitkan juga Haq dengan perkataan Inggeris rights yang terjemahan bahasa Melayunya bermakna hak. Maka terkait pula dengan human rights atau hak asasi manusia yang selalu dilaung-laungkan Barat.

Namun menurut Osman hak asasi manusiau harus disertakan dengan divine rights iaitu hak keTuhanan. Ini merujuk pada hak Tuhan untuk disembah lalu dituruti segala titah perintah. Seterusnya dibandingkan konsep absolute truth atau kebenaran mutlak dengan apa yang dipanggil sebagai relative truth iaitu kebenaran bersifat relatif, tidak mutlak. Ini merujuk pada gerakan atau kepercayaan relativisma. Ia adalah kepercayaan berbentuk falsafah yang mana dikatakan tidak ada kebenaran mutlak. Semuanya relatif lalu boleh berubah menurut keadaan.

Konsep kebenaran pun dikupas dengan perkataan Haq katanya muncul 247 kali dalam Al-Quran dan 40 dalam bentuk lain tetapi sama makna.  Ia ditemui paling awal dalam Surah Baqarah ayat 26  yang menyebut tentang kebenaran disampaikan melalui perumpamaan. Sesungguhnya banyak perumpaan telah disampaikan oleh Tuhan dalam Al-Quran. Misalnya ada disebut tentang awan yang dipenuhi air hujan yang boleh dipanjangkan makna fahamnya melalui kawasan-kawasan yang ada guruh dan petir bagi menunjukkan keadaan roh seseorang. Bila kita terperangkap di luar lalu cuba mencari tempat teduhan ada perasan takut boleh terkena petir. Pada masa sama ada perasaan mengharap segalanya akan surut lalu tenang. 

Disebut juga tentang Ayat 73 Surah ke-22 (Al-Haj) yang mana lalat dijadikan perumpaman bagi menunjukkan ketidakupayaan makhluk mahu mencipta sesuatu namun mereka lupa lalu menyembah selain daripada Allah. Seterusnya ada perumpaan tentang labah-labah dan sarangnya dalam Ayat 41 Surah 29 (Al-Ankabut) untuk menunjukkan betapa lemahnya sistem manusia seperti sarang labah-labah. Dikupas lagi beberapa makna Al-Haq antaranya untuk merujuk pada Al-Quran itu sendiri dan kebenaran wahyu. Sesungguhnya Haq sebagai kebenaran menandakan hak dan keadilan. Disebut pula kebenaran pengorbanan sebagai kebenaran dalam undang-undang Ilahi/keTuhanan iaitu Syariah.

Begitu banyak kupasan diberikan tentang makna kebenaran dalam pelbagai hal dan situasi. Paling tinggi adalah kebenaran tentang Allah. Tentang Allah itu siapa sebenarnya dan bagaimana. Maka disebutlah ayat Al-Quran yang menyatakan Allah tidak memberanakkan mahupun diberanakkan. Lalu disentuh  tentang keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang menggemparkan umat Islam di Malaysia kerana membenarkan orang Kristian menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka. 

Kata Osman menggunakan perkataan Allah itu tiada masalah. Yang bermasalah adalah pemahaman tentang siapa itu Allah lalu ini boleh membawa pada pertembungan teologi antara orang Kristian dengan orang Islam. Di sini biar ditambah sedikit sahaja lagi perkara lagi iaitu kaitan antara kebenaran dengan keadilan. Sesungguhnya keadilan membawa makna sebenar meletakkan sesuatu pada tempatnya sedangkan untuk melakukan itu memerlukan ilmu yang benar.  


Kebiasaan saya adalah menamatkan artikel siri syarahan dengan memautkan video rakaman majlis supaya umum dapat mengikutinya sendiri. Tetapi kali ini tidak dapat menemuinya dalam Facebook rasmi ISTAC mahupun Youtube. Apakah telah berlaku suatu masalah teknikal? Entahlah. 

Peliknya poster majlis seperti diletakkan pada permulaan artikel ini pun tak dapat jumpa dalam FB walhal kebiasaanya mesti ada untuk mewar-warkan majlis sebelum berlaku dan sebagai rekod selepas itu. Nasib baik saya telah mendapatkannya lebih awal melalui WhatsApp lalu memuat turun ke komputer sendiri. Terasa ada semacam gangguan kerana majlis ada menyentuh mengenai penggunaan perkataan Allah oleh orang Kristian. Harap-harap tidak begitu.

Untuk mendapatkan kepastian saya menelefon seorang pelajar ISTAC yang biasa terlibat dengan kerja-kerja menjayakan majlis ilmu kami sekitar jam 8.20 malam tadi. Menurut beliau telah berlaku black out menyebabkan siaran FB dan Youtube rasmi ISTAC terputus. Memang pun tadi petang sekitar jam 4 hujan dikatakan mencurah-curah turun, ada petir guruh di beberapa tempat termasuk di kawasan rumah saya. Untuk mendapatkan lebih kepastian pelajar tersebut meminta agar menggunakan pautan FB juga Youtube untuk majlis yang diwar-warkan khas bagi pelajar ISTAC. Tengok-tengok keluar rupa paparan seperti dalam gambar atas apabila diklik pautan FB...


Kalau begitu tiada video rakaman majlis dapat ditemui, Mungkin kena cari daripada sumber lain sebagai ganti. Saya cuba pula masuk pautan Youtube yang diberikan kepada pelajar. Rupa-rupanya ia milik institusi lain yang rajin mengikuti majlis-majlis ilmu di ISTAC. 

Tengok-tengok alhamdulillah ada isi. Tapi kelihatannya tidak penuh. Setahu saya majlis termasuk sesi soal jawab berjalan selama lebih satu setengah jam. Sedangkan video ini panjangnya 55 minit lebih.

Apapun, untuk meringkaskan keadaan dan cerita boleh tonton bermula pada minit ke 51:24. Di situ masuklah bab penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian dalam konteks kebenaran tentang Allah. Namun timbul rasa risau video boleh 'dihilangkan' disebabkan hal sensitif ini. Oleh itu saya pun membuat rakaman sendiri bahagian berkenaan supaya ada simpanan juga supaya boleh diwar-warkan kepada umum. Lihat sini.


Nota tambahan (dibuat jam 9.51 malam 21 Mac) : Tadi ketika hendak bersedia bagi menulis satu artikel perjalanan baru tersedar rupa-rupanya artikel "Islam sebagai jalan kebenaran dan keadilan" adalah yang ke 2,020 di blogspot ini.  Bagi saya ada sesuatu yang signifikan tentang itu. Di celah-celah pelbagai artikel perjalanan yang ditulis sejak 4 bulan kebelakangan cuma ada sedikit sahaja artikel tentang majlis ilmu. Tiba-tiba yang ini muncul sebagai yang ke-2,020. Tentu ada makna.


Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun 1993

Salam sebelum solat Jumaat. Atas nama mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. biar dipersembahkan artikel kompilasi perjalanan ke Scotland tahun 1993. Selepas ini akan dimulakan satu siri kecil baru berdasarkan perjalanan pusing United Kingdom yang berlaku tahun 1994.


Perjalanan ke Scotland ini diperkirakan berlaku pada penghujung tahun 1993. Sebelum sampai ke kota Glasgow di negeri tersebut saya ada bermalam di taman permainan awam di Carlisle di selatan sempadan Scotland-England lalu mendapati ada lapisan salji terbentuk di atas beg tidur yang digunakan untuk menginap. Hal ini menunjukkan perjalanan berlaku sekitar musim sejuk. Persinggahan turut dibuat di Edinburgh dan beberapa tempat menjadikan ia perjalanan paling jauh pernah dilakukan ketika belajar di United Kingdom tahun 1991 hingga 1995.


1. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji

2. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?

3. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Antara Loch Ness dan Loch Lomond, dua tasik terbesar di UK

4. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat

5. Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Wilayah tasik Lake District dan bandar peranginan Blackpool



Khamis, Mac 18, 2021

Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Wilayah tasik Lake District dan bandar peranginan Blackpool

Salam malam Jumaat. Menyambung proses mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. Pergi kita pada artikel ke-5 dan terakhir perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat yang dipersembahkan kurang 15 jam tadi.


Setelah menginap 2 atau 3 malam di Edinburgh saya pun kembali ke Glasgow. Selepas beberapa hari lagi di Glasgow sampai masanya untuk kembali ke tempat saya belajar di London. Namun apakah mahu terus ke sana atau membuat beberapa persinggahan dalam perjalanan kembali itu? Dalam ingat-ingat lupa rasanya pada waktu itulah ada pergi ke suatu wilayah yang dikenali sebagai Lake District...


Ia merujuk pada satu kawasan di England di mana terdapat beberapa tasik besar cantik dikelilingi kehijauan kawasan bukit dan kampung. Letaknya sekitar 200 km ke selatan Glasgow, keluar sedikit dari laluan utama ke London. Sebetulnya saya tidak ingat bilakah ada pergi ke Lake District itu. Yang pasti memang ada tetapi bila? 

Berdasarkan ekonomi kebiasaan diri menjimatkan belanja mustahil saya ada bergerak lebih 400 km dari London semata-mata untuk ke sana sahaja. Harus disertakan sekali dengan persinggahan ke beberapa tempat yang boleh dikatakan sejalan baru buat kerana berbaloi belanja. Saya pun cuba mengimbas kembali ingatan terhadap beberapa perjalanan lain yang pernah dilakukan di UK. Paling mendekati Lake District adalah perjalanan ke sekitar kota Leeds dan Bradford lebih 100 km ke tenggaranya. Sedangkan persekitaran tasik jauh lebih dekat dengan laluan dari Glasgow ke London.

Semakan dengan Google Map menunjukkan kita boleh berhenti di stesyen Oxenholme yang terletak dalam laluan kereta api dari Glasgow-London. Dan memang pun ia adalah pintu rasmi ke Lake District jika menaiki kereta api. Dari Oxenholme pula boleh menaiki kereta api tempatan kurang 20 km untuk sampai ke tepian timur Tasik Windemere. Dengan panjang 18 km dan kelebaran sekitar 1 km ia adalah tasik semula jadi terbesar di Lake District malah di seluruh England.


Yang saya ingat memang cuma menuju ke Tasik Windemere sahaja walaupun terdapat banyak lagi tasik besar dan cantik di Lake District. Namun saya ingat sampai ketika langit sudah mula gelap. Ketika itu kan sekitar musim sejuk? Jam 3 petang dan malam.

Saya ingat ada berjalan kaki dalam 2-3 km, mungkin lebih untuk mendapatkan penginapan murah di sebuah Youth Hostel, penginapan untuk belia. Murah tak murah pun 20 Pound Sterling.  Cukup terasa bagi orang tidak berduit seperti saya.

Semakan dengan Google Map menunjukkan ingatan yang sedikit itu benar. Dapat dilihat dalam peta atas jarak dari stesyen kereta api Windemere ke Youth Hostel adalah 3.4 km. Memang saya berjalan kaki perjalanan ke hostel.



Esoknya pagi hari baru meneroka kawasan tasik tapi datang pula hujan lebat mencurah-curah gitu. Saya ingat hal tersebut. Walaupun cuaca buruk saya ingat sanggup naik bot sewa cruise semata-mata untuk merasakan keadaannya walau tak nampak apa sangat pemandangan sekitar 

Gambar atas menunjukkan pemandangan tasik dari atas belon pada waktu cuaca baik. Gambar-gambar serupa boleh ditemui dalam pelbagai makalah promosi tentang Lake District. Cerita-cerita tentang wilayah tasik juga gambar-gambar sebeginilah menyebabkan saya pergi ke sana.



Bot yang dinaiki lebih kurang begini rupanya. Rasanya cuma ada 2-3 orang penumpang sahaja ketika saya naik. Ini kerana ia bukan waktu yang baik untuk menaiki bot apa lagi harus menelan sedikit belanja tiket. Namun saya tidak boleh menunggu lebih lama untuk menunggu cuaca baik kerana perlu meneruskan perjalanan ke arah London.



Seingat saya selepas itu ada singgah di bandar peranginan Blackpool lebih 80 km perjalanan ke selatan kemudian timur dari Lake District. Dilihat dalam Google Map perhentian kereta api terdekat dalam laluan Glasgow ke London adalah di bandar Preston. Dari situ boleh naik kereta api tempatan sekitar 18 km ke Blackpool. Saya ke sana kerana sudah lama mendengar cerita-cerita tentang tarikan pelancongannya yang termasuk sebuah taman tema besar. 

Namun saya tidak cukup belanja mahupun masa untuk bermain di taman tema. Apapun ketika itu orang kurang melancong dan berseronok di luar (outdoor). Cukuplah dapat melihat  suasana bandar peranginan walau ketika kurang meriah.



Adapun jarak perjalanan saya di Lake District selepas keluar dari laluan utama Glasgow-London dan kembali harus mencapai 50 km. Jarak pergi balik ke Blackpool campur sekeliling pula harus lebih 60 km. Dijumlahkan keduanya boleh kata saya ada berjalan 110 km sebelum kembali ke London. Namun bila difikirkan kembali masih ada rasa was-was apakah pergi ke Lake District dan Blackpool itu dalam perjalanan kembali dari Glasgow ke London atau pada sesi perjalanan yang lain? 

Walaupun besar kemungkinan ia dibuat dalam perjalanan ini janganlah dimasukkan ke dalam jumlah jarak keseluruhan perjalanan selagi belum mendapat kepastian 100 peratus. Maka biar dijumlahkan  jarak keseluruhan perjalanan seperti ini :-


2. Jalan-jalan sekitar Glasgow - 30 km (rujuk  Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?)


4. Persinggahan ke Edinburgh - 170 km (rujuk Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat)

5. Kembali dari Glasgow ke London - 670 km (sama seperti perjalanan London ke Glasgow tanpa dicampur perjalanan ke Tasik Windermere dan Blackpool)

Ini membawa pada jumlah jarak perjalanan 1,640 km. Kalau dicampur persinggahan  ke Tasik Windermere dan Blackpool jadi 1,750 km. Tetapi disebabkan ada rasa was-was tentang bilakah persinggahan sebenarnya dibuat biar keseluruhan perjalanan ini diisytiharkan sebagai memakan jarak 1,640 km sahaja. Sekian perkongsian tentang perjalanan lama ini.


Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat

Hari ini timbul rasa untuk mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. Pergi kita pada artikel ke-4 perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Antara Loch Ness dan Loch Lomond, dua tasik terbesar di UK.


Setelah 2-3 hari (kalau tak salah ingatan) membuat lawatan ke tasik Loch Lomond saya mengorak langkah ke suatu tempat yang lebih jauh di Scotland. Ia adalah ke Edinburgh, kota kedua terbesar di negeri itu. Letaknya sekitar 75 km ke timur Glasgow. Untuk pengetahuan ia telah menjadi ibu negeri Scotland sejak selewatnya abad ke-15 Masihi.


Edinburgh adalah pusat pemerintahan kerajaan Scotland (ya, Scotland pernah memiliki raja-raja sendiri sebelum terserap ke dalam United Kingdom) sejak beberapa ratus tahun lebih awal. Disebabkan itu memiliki banyak bangunan lama bersejarah yang menonjolkan kehebatan. Kecantikan bangunan-bangunan lamanya terus kelihatan terserlah sebaik sahaja memasuki kawasan pusat kota dengan menaiki kereta api. Begitu terserlah sehingga ingatan terhadap pemandangan  masih berbekas hingga kini. 


Berbanding itu Glasgow kelihatan seperti suatu kota yang hambar. Ia terasa seperti sebuah kota industri tempat banyak kilang sahaja, tidak terasa ada nilai seni. Pun begitu saya menginap di satu kawasan luar kota Edinburgh yang juga terasa agak hambar. Saya menumpang di rumah teres dua tingkat lama yang disewa beberapa orang pelajar dari Malaysia. 

Rupanya lebih kurang seperti dalam gambar atas. Sudah lupa bagaimana boleh mendapat tempat dan kenal orang situ. Seingat saya tidak mengenali sesiapa di Edinburgh ketika itu. Mungkin kenalan sepupu (yang belajar untuk menjadi doktor perubatan di Glasgow itu) atau kenalan kawannya. Sekadar berkongsi, adik bongsu saya kemudian belajar ilmu perubatan selama 7 tahun di University of Edinburgh. Tetapi itu selepas tahun 2000.


Walaupun tidak ingat lokasi sebenar rumah tempat menumpang menginap itu saya tahu ia terletak berdekatan sebuah bukit yang terserlah tinggi malah paling tinggi dapat dilihat boleh kata saujana mata memandang di sekitar Edinburgh. Nama bukit tersebut atau lebih tepat, nama puncak tertingginya adalah Arthur's Seat. Gambar rumah tadi diambil menggunakan kemudahan Street View dalam Google Map dari Kilmaurs Terrace salah satu jalan yang terdapat berdekatan bukit . Cuma seingat saya rumah terletak di suatu jalan besar, bukan jalan kecil atau cabang jalan seperti Kilmaurs Terrace.

Tempat saya menginap itu boleh jadi mana-mana jalan besar di tepian kawasan bukit (kelihatan berwarna hijau dalam peta atas). Gambar rumah ditemui setelah main 'taram' sahaja masuk Street View atau pandangan dari paras permukaan pada suatu lokasi jalan tepian bukit lalu dicari rumah yang kelihatan serupa seperti dalam ingatan. Yang ingat dari halaman rumah boleh kelihatan bukit dan puncaknya Arthur's Seat itu. Hal ini membuat saya suatu hari tidak dapat menahan diri untuk mencari jalan bagi mendaki berseorangan hingga ke puncak...


Begini rupa bukit daripada satu sudut pandang yang lebih meluas tetapi jauh dari bukit. Seingat saya tempat penginapan sangat dekat dengan bukit. Tetapi biar digunakan gambar daripada Internet ini untuk menunjukkan bagaimana ia begitu terserlah di Edinburgh. Susah hendak mencari gambar dekat dari tepian jalan sepertimana yang saya ingat keadaannya dari tempat menginap.


Begini pula rupa puncak yang dikenali sebagai Arthur's Seat itu. Ada batu penanda dan itulah yang saya lihat dari rumah penginapan sehingga satu hari terasa terasa tak tahan 'dipanggil' agar memanjat naik ke puncak. Rupanya boleh tahan tinggi juga tempatnya. Dari atas itu boleh dilihat pemandangan cantik saujana mata memandang ke segenap sudut persekitaran kota Ediburgh membawa ke laut.

Oh. Puncak ini dinamakan sempena cerita legenda King Arthur yang terkenal di UK. Dikatakan bahawa baginda pernah duduk di atas sana. Namun terdapat juga puncak-puncak bukit lain memakai nama serupa. Ini mungkin disebabkan bentuk yang terserlah menonjol lalu mudah dikaitkan dengan kisah legenda.


Saya ingat mendaki seorang diri menggunakan jalan mana entah tetapi sekadar mengikut apa yang nampak di hadapan mata dalam kesejukan ditiup angin pagi dingin. Rasanya ada kelihatan tompok-tompok salji di beberapa tempat. Seperti disebut pada artikel pertama siri iaitu Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji perjalanan harus berlaku pada musim sejuk. Tetapi boleh juga pada penghujung musim luruh yang mendekati musim sejuk atau awal musim bunga yang masih ada pengaruh musim sejuk.

Setelah menyemak dengan Internet untuk mengisi artikel baru tahu ketinggiannya adalah 823 kaki dari paras laut. Jalan di sekitar pula terletak pada ketinggian sekitar 200 kaki dari paras laut. Mendaki dari rumah ibarat menaiki tangga sehingga ke puncak bangunan 60 tingkat.

Saya ingat menginap di rumah tersebut sekurang-kurangnya 2 malam. Tak sampai 4 malam, mungkin 3 malam. Itu yang sempat mengambil masa untuk mendaki sehingga ke puncak Arthur's Seat. Selain itu ada juga berjalan-jalan ke pusat kota dan kawasan sekitarnya. Perjalanan pergi balik dari Glasgow ke Edinburgh adalah 150 km. Campur berjalan-jalan di dalam kota Edinburgh termasuk mendaki Arthur's Seat boleh dianggarkan jumlah jarak perjalanan dalam tempoh beberapa hari itu mencapai 170 km.


Rabu, Mac 17, 2021

Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Antara Loch Ness dan Loch Lomond, dua tasik terbesar di UK

OK. Pergi pada artikel dan cerita ketiga tentang perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?.



Scotland sebagai negeri paling utara di negara United Kingdom agak terkenal dengan tasik-tasik besar panjang lagi dalam yang diapit bukit bukau dan tanah tinggi. Paling terkenal adalah Loch Ness lebih 250 km perjalanan ke utara kota Glasgow.



Panjangnya 39 km tetapi bahagian paling lebar tak sampai pun 3 km. Sebetulnya terdapat banyak tasik di Scotland dengan rupa sebegitu seperti boleh dilihat memanjang berwarna biru dalam peta Google Map ini. Jadi apa yang istimewa tentang Loch Ness?



Satu adalah kedalamannya. Kalau menurut saiz permukaan airnya iaitu 56 km persegi ia adalah tasik semulajadi kedua terbesar di Scotland dan keempat di seluruh UK. Tetapi kedalaman yang mencapai sehingga 800 kaki dengan purata lebih 400 kaki menjadikannya tasik paling banyak air di UK. Sehingga dikatakan isi padu airnya itu melebihi jumlah isi padu air semua tasik yang terdapat di England dan Wales (satu lagi negeri di UK).



Tetapi lebih istimewa lagi adalah cerita-cerita mengatakan di situ wujud suatu jenis makhluk purba serupa dinosaur air. Google sahaja nama tasik "Loch Ness" atau panggilan bagi makhluk tersebut iaitu "Nessie" lalu boleh ditemui pelbagai cerita tentangnya. Saya sendiri telah membaca pelbagai kisah tentang tasik dan makhluk tersebut sejak kecil lagi. Tentunya ada keinginan untuk melihat sendiri tempat dan suasana.

Namun apakan daya? Duit belanja saya terhad, tidak mampu untuk pergi begitu jauh ke utara Glasgow. Apa yang dimiliki pada waktu itu sekadar cukup untuk membuat perjalanan pergi balik London ke Glasgow dan sedikit jauh ke kawasan sekitar laluan perjalanan itu. Dengan hati yang berat perjalanan ke Loch Ness harus dilupakan sekurang-kurangnya buat masa itu. Sebagai gantinya boleh pergi ke satu tasik besar yang terletak cukup dekat dengan Glasgow.

Tasik yang dimaksudkan bernama Loch Lomond. Penghujung selatannya terletak sekitar 33 km sahaja ke barat laut Glasgow sementara perhentian kereta api yang membawa nama tasik terletak 13 km lagi ke utara. Oleh itu belanja ke sana sangatlah kurang berbanding ke Loch Ness yang kota terdekatnya adalah Inverness, lebih 10 km ke timur laut penghujung tasik. Kalau ke Loch Ness saya harus memikirkan belanja penginapan juga selain belanja perjalanan jauh. Kalau ke Loch Lomond boleh balik hari ke Glasgow.




Pada hari ke-3 atau hari ke-4 di Glasgow kalau tak salah baru saya bergerak ke Loch Lomond dengan menaiki kereta api. Ternyata tempatnya cantik dan menenangkan. Ketika menulis artikel ini lalu menyemak fakta-fakta berkenaan di Internet baru tahu ia adalah tasik terbesar di Scotland.


Panjang tasik ini 36 km adalah 3 km lebih pendek berbanding Loch Ness. Tetapi kelebaran yang mencapai sehingga 8 km menyebabkan saiz permukaanya iaitu 71 km persegi adalah 15 km persegi lebih luas. Di atas adalah gambar yang diambil menggunakan kemudahan Street View di Google Map. Ia adalah daripada kedudukan yang ditanda dalam peta sebagai Loch Lomond.


Semakan melalui Google Map menunjukkan dekat hujung selatan tasik terdapat sebuah istana berkubu (castle) yang dikenali sebagai Ballock Castle. Ia adalah satu bangunan warisan awal abad ke-19 Masihi yang dibina di atas tapak castle lebih awal abad ke-13. Rasanya ada terlihat ia dalam perjalanan pergi ke perhentian utama Loch Lomond dan kembali ke Glasgow. Perjalanan pergi balik itu dicampur perjalanan pergi balik ke rumah sepupu harus mencapai 100 km.


Isnin, Mac 15, 2021

Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?

Salam pagi Isnin 1 Sya'aban 1442 Hijriah. Pada hari pertama bulan Nabi Muhammad SAW ini biar dipersembahkan artikel kedua tentang perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji.



Pada tarikh dan hari yang tak ingat bila tetapi seharusnya pada musim sejuk tahun 1993 (atau sekitarnya) sampailah saya buat pertama kali ke kota Glasgow sekitar 670 km ke utara London. Malah ia adalah pertama kali saya sampai ke Scotland yang merupakan salah satu negeri di bawah negara United Kingdom. Perjalanan yang mana saya ada bermalam di taman permainan di Carlisle, sedikit ke selatan sempadan Scotland-England sehingga didapati beg tidur (sleeping bag) diselimuti salji ini juga merupakan pertama kali saya pergi ke mana-mana tempat lebih 300 km ke utara kota London.

Tempat pertama sampai di Glasgow tentulah stesyen kereta api utama iaitu Central Station kerana sampai dengan kereta api dari Carlisle, sebelum itu dengan kereta api dari London ke Carlisle. Untuk menghiasi artikel ini biar digunakan gambar-gambar berkenaan yang dapat ditemui di Internet ya. Walaupun keadaan dalam gambar harus sudah banyak berubah berbanding ketika saya sampai (kecuali mungkin di bangunan-bangunan lama) cukuplah untuk menggambarkan suasana di tempat-tempat yang diceritakan...


Walaupun Glasgow yang merupakan bandar raya terbesar di Scotland dan salah satu terbesar di UK memiliki tarikan tersendiri sangat sedikit dapat diingati tentang pengalaman di sana. Langsung tak ingat bagaimanakah rupa dan keadaan jalan-jalan di tengah kota. Yang ingat banyak berada di persekitaran universiti tempat sepupu saya belajar di Glasgow.

Sepupu yang muda setahun sahaja di bawah saya itu sedang mengambil ijazah bagi menjadi doktor perubatan di University of Glasgow, sekitar 3-4 km ke barat laut Central Station. Sebut pasal universiti di Scotland teringat bahawa seorang adik ibu saya pernah mengambil ijazah kejuruteraan pada tahun 80an di sebuah lagi universiti terkemuka iaitu University of Strathclyde di bahagian timur Glasgow. Seorang adik bapa juga pernah mengambil ijazah kejuruteraan di Scotland sedikit lebih awal tapi tak ingat di universiti mana. Rasanya di Strathclyde juga. Adik bongsu saya pula mengambil ijazah kedoktoran di Edinburgh, kota kedua terbesar di Scotland. Tetapi itu pada tahun 2000an. Sebetulnya ramai saudara mara saya pernah belajar di UK termasuk seorang lagi adik, rasanya ada dalam 20 orang juga. Cuma beberapa orang ini yang saya ingat belajar di Scotland. 


Walaupun rasanya banyak menghabiskan masa di persekitaran University of Glasgow, seperti halnya keadaan di tengah kota yang tentu pernah diterokai kerana sudah perangai mesti berjalan ke sana sini saya tak ingat langsung bagaimanakah keadaannya. Yang ingat banyak melepak dengan sepupu dan kawan-kawannya di rumah sewa mereka yang berbentuk apartment moden 4 atau 5 tingkat gitu. Paling dekat dalam ingatan rupanya seperti dalam gambar di bawah...



Itupun gambar menunjukkan apartment di satu kawasan bernama Arcadia Street sekitar 6 km perjalanan ke timur University of Glasgow. Saya tidak dapat menemui gambar apartment serupa di sekitar universiti. Mungkin kerana rumah yang disewa memang jauh dari tempat belajar? Saya tak ingat tapi ini tak mustahil malah sangat logik.

Saya sendiri di London menyewa rumah yang terletak sehingga lebih 10 km jauh dari universiti saya iaitu University College of London. Ini disebabkan sewa penginapan di sekitar universiti mahal kerana kedudukan di tengah kota. Secara umumnya, semakin jauh tempat sewa dari tengah kota semakin murah ia. Tetapi harus berhadapan pula dengan kos pengangkutan yang lebih mahal kerana harus bergerak lebih jauh berulang alik dari rumah ke universiti selain faktor masa.


Apapun, walau tak ingat butiran tempat dan perjalanan di Glasgow saya tahu ada juga pergi ke beberapa tempat. Ada mengikut sepupu dan kawan-kawannya menziarahi rumah kawan-kawan di 2-3 tempat lain. Seingat saya bahkan kami ada pergi ke suatu konsert kumpulan muzik tapi tak ingat langsung kumpulan apa dan lokasi tepatnya.

Yang betul-betul masih berbekas dalam ingatan selain melepak dengan sepupu dan kawan-kawan adalah menaiki kereta api bawah tanah (underground) sana. Sampai sekarang masih teringat bagaimana terasa agak lucu kerana kereta apinya lebih kecil dan comel berbanding di London. Selain itu masih boleh tahan jelas dalam ingatan adalah lawatan ke tasik besar Loch Lomond yang hujung terdekatnya terletak sekitar 30 km ke barat laut Glasgow. Lebih jelas dalam ingatan adalah lawatan ke kota Edinburgh sekitar 80 km ke timur. 

Tetapi biarlah hal ini dihuraikan dalam artikel-artikel lain. Sebagai mengakhiri artikel ini cukuplah dikatakan bahawa walaupun tak ingat langsung butiran perjalanan di  Glasgow saya percaya telah berjalan dengan pelbagai jenis pengangkutan awam jumlah jarak yang tidak kurang 30 km dalam bandar.