Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, April 19, 2008

Masjid Mata... Ia melihat segalanya!

Sekali-sekala layan kepala gila apa salahnya ya tak? Meh kita layan! :]


Pernah tonton cerita Mars Attacks ni tak? Kalau tak salah ingatan ia mula memenuhi pawagam-pawagam utama tanahair sekitar tahun 1997 dahulu... Sampai sekarang, saya masih ingat akan cerita kelakar bodoh tetapi best ini yang memaparkan satu serangan makhluk asing daripada planet Marikh (bahasa Omputih dipanggil Mars) untuk menakluki dunia...

Yang menarik (dan kelakar bodoh) adalah rupa-paras dan gaya makhluk-makhluk asing itu sendiri... Rupanya brutal, hodoh dan boleh dikatakan menakutkan... Mana tak, dengan kepala besar serupa tengkorak manusia dengan bentuk kepala seperti otak yang berketul-ketul bersimpul-simpul... Siap dengan mata besar terjojol dan barisan gigi ala-ala tengkorak gitu... Tetapi rupa seram itu jadi kelakar bila ia tersengih jahat juga tersengih nakal... Jadi lebih kelakar apabila makhluk-makhluk ini bercakap dengan suara seperti itik... Wek! Wek! Weekkk!!! Begitu pula bunyinya... Dicampur cara ia berjalan yang tidak kurang kelakar, boleh jatuh bangku saya ketawa!

Satu lagi yang kelakar (sepatutnya menakutkan tetapi jadi kelakar pula) adalah apabila makhluk-makhluk planet Marikh ini menembak orang menggunakan senjata laser... Keluar satu cahaya dan serta-merta orang yang ditembak jadi tengkorak sebelum hangus lalu hilang menjadi wap begitu...

Dari satu segi, ia adalah pemandangan yang mengerikan... Bayangkan orang ditembak cahaya kuat tinggal jadi tengkorak kemudian tengkorak itu terbakar sehingga jadi wap... Tetapi gaya ia dibuat dalam cerita Mars Attacks ini, semuanya jadi kelakar sehingga sampai sekarang jika saya teringat atau tertatap gambar poster seperti di atas ini, saya akan tersenyum lebar sehingga tidak dapat menahan ketawa macam orang gila sorang-sorang!

Apapun, cerita Mars Attacks ini adalah satu contoh cerita-cerita wayang dengan unsur-unsur penceritaan cara lama melibatkan serangan-serangan daripada kuasa-kuasa yang boleh mengeluarkan laser. Poster di atas ini dibuat menurut citarasa cerita-cerita sebegini yang dahulu banyak memenuhi pawagam-pawagam di Amerika tahun 70an... Dan sekarang kita ke cerita yang seterusnya... Sila! :]


Semalam saya ke Shah Alam lagi, buat kali kedua untuk minggu ini... Tetapi baru semalam, saya betul-betul singgah ke masjid utama Shah Alam ini untuk bersolat... Rasanya kali terakhir saya bersolat di masjid ini mungkin 20 tahun dahulu, ketika saya pernah menuntut di sana pada zaman kolej sebagai persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom...

Melihat pada bentuk kubahnya yang tinggi besar, terus saya teringat pada satu angan-angan gila... Angan-angan apa itu? Dipersembahkan... Masjid Mata! Mari...


Apa itu Masjid Mata? Masjid Mata ialah masjid dengan kubah besar tinggi seperti masjid besar di Shah Alam ini tetapi mempunyai mata...

Saya pun tak tahu kenapa... Mungkin kerana imaginasi lama akibat terlalu banyak menonton kartun atau filem-filem mengarut semasa zaman kanak-kanak dan remaja dahulu... Entah kenapa, apabila terlihat masjid besar di Universiti Petronas di Tronoh dalam perjalanan ke Kedah dan Perak 2 bulan lalu, terus saya terfikir bagaimana agaknya keadaaannya ya jika masjid itu mempunyai mata pada kubahnya? Dan fikiran ini terus terbawa-bawa beberapa minggu kemudian, setiap kali saya terlihat masjid-masjid yang memiliki kubah besar lagi tinggi... Untuk pengetahuan, bukan semua masjid memiliki ciri-ciri yang boleh dijadikan Masjid Mata... Hehe! :]


Adapun sekembali daripada perjalanan Kedah dan Perak itu, timbul rasa... Syok juga kalau saya dapat "mencipta" Masjid Mata ini... Bukannya susah sangat, gunakan sahaja teknik superimpose di komputer.

Cuma masalahnya ketika itu, komputer laptop saya masih lagi tersadai di kedai baiki-pulih komputer menunggu bahan gantian yang sesuai sampai... Sebulan lalu, sejurus sebelum memulakan langkah untuk pengembaraan terbaru ke Pantai Timur, barulah ia siap diperbaiki. Minggu lepas pula, setelah selesai pengembaraan ini dan hal-hal lain, baru saya ada masa untuk membuka balik dan menggunakan komputer ini...

Siang semalam apabila ke Shah Alam melihat lagi masjid besar dengan kubahnya yang tinggi memenuhi ciri-ciri Masjid Mata, timbul rasa untuk berkongsi pula apakah itu Masjid Mata yang dimaksudkan untuk para pembaca di blogspot ini... Sebenarnya saya ada 2-3 kali menyebut tentang Masjid Mata ini tetapi mungkin ada yang kurang faham atau silap faham bahawa Masjid Mata ini sebenarnya cuma satu gurauan... Mana tak gurauan? Pernahkah anda melihat mana-mana masjid yang ada mata di kubahnya? Kalau ada, sila tunjukkan pada kami semua...

Kemudian ada pula menyoalkan... Apakah makna kata-kata saya ini? Pada satu bahagian (di posting lain) saya ada menyebut Masjid Mata ini sebagai gurauan, pada bahagian lain pula ia bukan sekadar gurauan?

Sebenarnya ada yang silap faham terutama dalam suasana panas yang meliputi beberapa komen dalam tempoh lebih seminggu kebelakangan... Pada saya, Masjid Mata ini memang gurauan hasil imaginasi aktif saya... Tetapi bayangkan perasaan saya apabila terjumpa sejadah-sejadah yang dipakai di surau dan masjid tertentu di mana sejadah-sejadah ini menunjukkan rupa masjid seperti ada mata! Itu yang dimaksudkan dengan perkataan-perkataan ini... Bahawa Masjid Mata itu adalah gurauan tetapi "sejadah Masjid Mata" memang betul-betul wujud!

Oh... Dalam gambar di atas, selain terdapat mata besar di kubah yang melihat segala-galanya, fantasi saya menambah... Apakata jika mata masjid itu boleh mengeluarkan cahaya laser... Laser maut seperti dalam cerita Mars Attacks, juga dalam cerita-cerita sains fiksyen dahulukala?

Bayangkan... Sebuah masjid mata yang melihat segala-galanya... Matanya ada satu sahaja tetapi seperti mata manusia, ia boleh melihat ke kiri, ke kanan, atas bawah... Pendek-kata dapat melihat segala-galanya, sekurang-kurangnya di hadapan mata...

Ia memerhatikan apabila orang lalu-lalang... Ia nampak apabila orang berbuat maksiat mahupun berbuat jahat... Apabila ada orang jahat yang boleh membahayakan keadaan lalu di kawasannya, serta-merta zuupppp... Keluar cahaya daripada mata kena pada orang jahat itu... Terus terbakar tinggal tulang... Amacam?


Dan malam tadi saya terus melayan imaginasi ini... Jadilah poster kelakar bodoh ini...

Sayang... Skill saya dalam pengetahuan menggunakan software membuat graphics sangatlah terhad... Setakat cukup untuk mencipta cover buku sendiri, itu aje...

Apa yang saya mahu (jika tahu caranya) adalah membuat animasi Masjid Mata yang melihat segalanya... Lalu kelihatan ada orang jahat cuba menyelinap masuk di hadapannya seolah-olah tiada siapa yang nampak...

Seketika itu terus keluar cahaya zuupppp!!! Daripada Masjid Mata kena pada orang jahat... Terus orang jahat itu tercegat lalu tinggal tulang...

Ada sesiapa pembaca pandai membuat animasi sebegini? Kalau ada, teringin saya untuk memaparkannya di sini... Sekian... Sesekali melayan imaginasi gila, lega rasanya malah syok pula! :]

Khamis, April 17, 2008

Kenangan PPP/ITM "A Levels" batch 7 tahun 1988... Calling all 51C guys...


Gambar hiasan... Sebuah kapalterbang perang Mustang P-51C yang pernah digunakan dalam Perang Dunia kedua. Gambar ini ditemui apabila saya membuat google image search "51C"...


Assalamualaikum untuk semua. Semalam, saya telah menerima satu panggilan talipon daripada seorang kawan lama yang lebih setahun tidak berhubung. Namanya Taufiq, kawan yang mula dikenali semasa zaman kolej, ketika masuk mengikuti kursus pelajaran peringkat "A" Levels di PPP/ ITM iaitu sebuah kolej kelolaan ITM (sekarang universiti) untuk persediaan melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Kami bersama sekitar 200 orang pelajar lain seluruh Malaysia yang lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun 1987 ialah ahli kumpulan batch 7... Iaitu kumpulan ke tujuh untuk program persediaan ini. Kami mula masuk tahun 1988... Saya, Taufiq serta 20 orang lagi rakan duduk satu dorm iaitu di bilik 51C... Sebab itu apabila mahu mencari gambar perhiasan untuk posting kali ini, saya tergerak untuk membuat google image search "51C".

Ah... Begitu banyak kenangan lama kami di sana... Maklumlah, lebih setahun duduk sebilik, tentu banyak kerenahnya, apalagi apabila ahli-ahli bilik kami termasuk orang-orang yang paling popular dan dikenali ramai di kolej PPP! Ingat lagi peristiwa kami membuat siaran radio sendiri yang dipancarkan untuk seluruh warga kolej tetapi akhir terpaksa diberhentikan apabila ditemui pengawal keselamatan pada satu malam, ketika mereka sedang mengejar saya akibat menyelinap masuk ke asrama perempuan?

Hubungan kami sangat rapat antara satu sama lain walaupun masing-masing ada kerenah dan telatah tersendiri. Dari segi pengajian pula ahli-ahli dorm kami boleh dibahagi kepada 2 kelompok besar iaitu para pelajar jurusan undang-undang dengan para pelajar jurusan kejuruteraan. Kemudian ada le dalam 2-3 orang yang buat kursus perakaunan, saya seorang sahaja yang memilih matematik! (Kalau tak salah ingatan, daripada keseluruhan 200 orang pelajar batch 7, mungkin ada 3 orang sahaja pun yang buat matematik...).

Apapun kami duduk bersama lebih setahun... Kemudian pertengahan tahun 1989 gitu, baru ada perubahan apabila ahli-ahli bilik kami berpecah untuk duduk di bilik-bilik lain, bergabung pula dengan para pelajar lain... Tinggal saya, saudara Nash dan Tonga (nickname kami masing-masing ya) masih menduduki bilik 51C. Masuk pula para pelajar junior batch 8 mengisi katil-katil kosong ini... Termasuk dalam ahli baru bilik 51 C adalah pelakon dan penyanyi terkenal saudara Aflin Shauki yang suka bercakap Tamil sorang-sorang apabila mandi!

Oh... Berbalik pada panggilan Taufiq semalam... Rupa-rupanya dia bercadang untuk mengadakan reunion ahli bilik 51C yang asal iaitu 51C batch 7... Allah, saya terasa begitu teruja kerana sudah lama putus hubungan dengan mereka...

Pertemuan terakhir saya dengan kebanyakan daripada mereka adalah sebelum tahun 1993 iaitu semasa kami masih membuat ijazah di United Kingdom. Saya pula yang tamat lambat tahun 1995, rugi 2 tahun kerana pernah dibuang daripada kolej tahun 1990 dan kemudian mengulang setahun di UK. Setelah itu saya cuma sempat bertemu beberapa orang kawan semasa Nash mengadakan sambutan hari raya terbuka di rumah bapanya di Bukit Damansara sekitar tahun 1998, seterusnya satu pertemuan kawan-kawan di rumah lama Taufiq di bahagian lain Bukit Damansara tahun 2000. Kemudian rasanya tidak bertemu sesiapa lagi kecuali Atuk @ Shamsul yang turut menceburi bidang kewartawan dan Taufiq yang pernah cuba menjadi penulis tetapi akhirnya kembali kepada bidang asalnya iaitu jadi peguam...

Di celah-celah itu, sesekali saya ada terserempak dengan saudara Apek @ Zahid di sekitar KLCC, semasa dia masih berkhidmat dengan Malaysian Law Journal. Memang pun saya sebenarnya sudah jarang bertemu sesiapa kecuali bila terserempak kerana berlaku sesuatu dalam hidup saya yang menyebabkan saya selalu mengasingkan diri lalu jadi "kera sumbang".

OK... Sebenarnya selain timbul rasa nostalgia, saya membuat posting ini sebagai wadah untuk kawan-kawan lama berhubung dan berbincang tentang reunion yang akan datang... Walaupun ada pertemuan-pertemuan kecil dahulu, rasanya sejak meninggalkan kolej tahun 1990 dahulu belum pernah kami mengadakan reunion untuk seisi bilik 51C yang asli... Bayangkan, kami berkenalan ketika berumur 18 tahun iaitu pada tahun 1988... Sekarang sudah masuk tahun 2008, 20 tahun kemudian... Tentu saya sangat teruja!

Adapun tempat dan masa untuk reunion ini belum lagi ditetapkan... Tadi saya mencadangkan buat sahaja di Janda Baik yang terletak cuma 40km daripada bandaraya Kuala Lumpur, kira setengah jam sahaja perjalanan kereta daripada pinggiran kota... Di sana ada suasana selesa dengan udara nyaman kawasan pergunungan, sungai-sungai berjeram yang mengalir cantik, sesuai untuk kawan-kawan bertemu kembali dan boleh juga bawa keluarga masing-masing, dapat juga anak-anak bermain-main.... Jika mahu, kita boleh menumpang kawasan rumah bapa angkat saya Syed Hussein Al-Attas @ Pak Habib... Tetapi si Taufiq mula bercadang biarlah diadakan di sekitar KL ataupun Petaling Jaya... Boleh juga, saya cuma memberikan cadangan dan cadangan itu tetap terbuka...

OK. Saya membuat posting ini dan membuka ruang di blogspot supaya kawan-kawan boleh berbincang dan memberikan cadangan masa dan tempat paling sesuai untuk berjumpa... Maklumlah masing-masing mungkin sibuk dengan kerjaya dan keluarga, maka perlu teliti tentang masa yang sesuai di mana ketika kita semua boleh berjumpa dan meluangkan masa, rasanya paling kurang pun setengah hari... Kalau nak harap berbincang dalam talifon sahaja seperti yang dilakukan saudara Taufiq setakat ini dalam mengatur pertemuan akan datang, takut nanti ada yang tengganggu sedang mesyuarat dan sebagainya... Tetapi di sini, dengan menggunakan ruangan comments di bawah, kawan-kawan boleh meninggalkan apa-apa pesanan yang boleh dikongsi dengan semua pada bila-bila masa...

Kawan-kawan juga boleh menggunakan ruangan chatbox untuk menyampaikan kata-kata secara realtime... Cuma chatbox di blogspot ini agak sibuk dengan interaksi mereka yang mengenali saya setelah membaca siri buku "Berpetualang ke Aceh" atau mereka-mereka yang meminati sejarah lama Melayu dan Islam lalu terjumpa blogspot ini secara tidak sengaja... Maka untuk kawan-kawan 51C, kalau mahu menggunakan chatbox, seeloknya gunakan yang terdapat dalam 2 blogspot saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ... Chatbox-chatbox di sana kurang aktif lalu boleh digunakan oleh kawan-kawan sepenuhnya untuk mengatur pertemuan akan datang juga untuk terus menyambung dan mengeratkan silaturahim sampai bila-bila!

Hmm... Di sini tergerak saya untuk memberikan sedikit update tentang kawan-kawan setakat yang saya tahu dan telah diutarakan oleh Taufiq kepada saya... Nash @ Nasri Salehuddin masih di lawyer firm Zaid Ibrahim, katanya sedang menuju jadi main senior partner... Taufiq dengan lawyer firm sendiri, rakan kongsi banyak orang Sarawak... Mangor katanya dengan Motorola, akhir sekali saya temui sebelum tahun 2000 adalah dengan Astro... Ah... Janggal pula saya cuba terus menggunakan bahasa baku bercerita mengenai kawan-kawan lama ini... Biar saya gunakan bahasa kutu dulu-dulu la ya...

Apek @ Zahid aku dah tak tahu kat mana, tapi hujung tahun lepas ada terserempak le.. Hmm.... Lupa plak... Zin kat bilik kita ke bilik lain huh? King @ Raja Nurshirwan tak dapat datang... Sangkut le kat United Nations, New York... Tapi Taufiq kata, semuanya dapat dihubungi kecuali Rashes @ Nik Rashidi (ya ke nama dia tu Rashidi? Lupa plak) yang dah tak tahu kat mana... Katanya last sekali dengan Affin Bank... Tonga kat area PJ kot, rasanya Salehuddin pun PJ. Sesiapa yang aku lupa nak sebut tu mintak maaf le... Itu sebab kita musti mau jumpa balik... Hmm... Tiba-tiba teringat si Chicken... Nama Jim Bates/ Jimbit pun naik sekali, hehe!

Apapun, kata Taufiq semua kawan-kawan beroperasi/ bermastautin di sekitar KL/Selangor, cuma John Toilet (hehe... Sori le aku sebut toilet kat sini yek, hehe!) je kat JB.

OK le... Aku rasa cukup le kata-kata ini. Lepas ni aku nak copy n paste sedikit cerita daripada buku pertama aku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I untuk tatapan semua kawan-kawan juga pemerhati luar... Ingat, apa-apa cadangan, sila kemukakan di ruangan comments (klik di bawak artikel) ini atau gunakan chatbox di BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) (klik pada link-link ini untuk masuk).

Sekian daripada aku... Fly @ Radzi Sapiee @ Merah Silu :]

------------------------------


Satu sedutan daripada BKA I yang melibatkan zaman kolej PPP/ITM 1988-1990...


Kereta Honda Accord merah model 1985 milik Nasri pernah menjadi saksi bagaimana Rasyid selalu bertukar pasangan (Nasri kurang aktif kerana lebih setia kepada pasangannya), apa yang sering berlaku di tempat duduk belakang, apa pula yang ditemui tuan-punya kereta setelah pemuda itu meminjamnya sebentar untuk ‘beriadah’ di tempat-tempat seperti parking lot di luar disko Faces, Jalan Ampang. Kereta itu jugalah yang sering digunakan untuk menyusup keluar kawasan asrama bersama rakan-rakan lain untuk berseronok hujung minggu, pernah naik lapan orang sekaligus, tiga pasangan di belakang dengan yang perempuan duduk bertenggek atas yang laki-laki sehingga ditahan polis ketika road-block. Banyak juga kena soal, nasib baik lepas...

Mereka juga telah beberapa kali bersama berdesup lari macam lipas kudung dikejar pengawal keselamatan kolej ketika cuba menyeludup masuk kembali ke asrama setelah semalaman berdansa dan ber... entah apa-apa lagi di luar. Pernah sekali muka Rasyid bengkak sebelah dengan bibirnya pecah kerana terhentak besi railing tangga dalam gelap ketika lari menuju ke bilik di tingkat empat. Terpaksalah bertahan seminggu dua dengan muka lebam...

Rasyid, Nasri serta beberapa orang kawan rapat lain juga pernah menyakat para pelajar junior yang duduk bersama di bilik 51C dengan kisah-kisah hantu yang menyeramkan. Kemudian melaksanakan sebuah rancangan teratur yang berjaya menakut-nakutkan mereka sehingga anak-anak muda yang mudah terpedaya ini nyaris-nyaris melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan kolej, meminta untuk ditukarkan ke bilik lain. Pemuda itu masih ingat bagaimana Nasri telah membakar kemenyan secara senyap, dia pula berlagak sebagai hero yang mencabar ‘hantu-hantu’ supaya menonjolkan diri sementara rakan-rakan di atas bumbung bilik menyorong batu-bata di atas atap genting lalu mengeluarkan bunyi yang menyeramkan sebelum menyemburkan minyak wangi masuk ke dalam bilik. Lakonan mereka dengan sound effects yang diterbitkan sungguh berkesan sehingga pelajar-pelajar junior ini, kalau tidak salah ingatan 15 orang, semuanya anak orang berada telah berpelukan beramai-ramai ketakutan sambil melaungkan azan kemudian membaca Yasin dengan nyaring. Sedangkan ramai di antara mereka tidak tahu pun membaca Al-Quran! Bukankah kelakar jadinya?

Apa yang Rasyid dan Nasri tidak tahan nak tergelak (tetapi terpaksa control, buat-buat serius), adik-adik ini masih tidak dapat mengesan gurauan para senior sehingga boleh terpedaya pula dengan lakonan seorang lagi kawan yang berlagak sebagai seorang ustaz. Kawan itu datang siap berjubah dan berkopiah tiga hari kemudian untuk “menghalau hantu”, satu lakonan yang terpaksa dilakukan supaya mereka tidak jadi melaporkan perkara ini kepada pihak pengurusan. Kalau tidak Rasyid dan rakan-rakannya juga yang kena... Turun-naik mahkamah pelajarlah jawabnya nanti... Kan susah?

Anak muda ini juga pernah mengetuai satu sesi ‘suai-kenal’ buatan sendiri bersama lebih 50 orang pelajar junior yang terpaksa datang “menyerahkan diri” setelah dia memberikan amaran akan datang menyerang bilik-bilik mereka jika tidak muncul di bilik 51C sebelum jam 6 petang.

Ini berlaku apabila ramai rakan-rakannya mengadu kepadanya bahawa para pelajar elit di bawah program BTU (British Top University) yang bakal terbang ke England tiga bulan lagi tidak tahu menghormati pelajar senior, langsung tidak mengendahkan mereka. Lalu sekitar 10 orang kawan-kawan rapat termasuk Nasri telah menyaksikan bagaimana pemuda berdarah Aceh ini berjaya menggertak kesemua anak-anak muda ini, siap mencabar sesiapa sahaja yang berani untuk bertumbuk dengannya! Ajar mereka supaya respect sedikit, belajar hormat kepada mereka yang lebih tua.

Walaupun sesi itu bermula dengan kasar, adalah beberapa buah almari pecah dalam proses, Rasyid berjaya menukarkannya menjadi satu sesi “riang-ria” setelah pasti adik-adik ini telah mendapat sedikit pengajaran. Sejak itu, pelajar-pelajar junior ini akan memberi salam dan bertegur-sapa setiap kali berselisih dengan para senior. Hubungan mereka juga menjadi lebih erat kerana saling bertukar-tukar fikiran dan pandangan.

Ah... Begitu banyak sekali kenangan zaman kolej, daripada sesi-sesi permainan snooker di sebuah kelab berdekatan, santai minum teh tarik di mapley ( warung-warung di hadapan asrama) sambil mengurat gadis-gadis cantik dan berbagai lagi aktiviti muda-mudi pra-universiti. Dan selalunya Nasri juga turut serta lebih-lebih lagi jika membuat hal-hal yang mengarut, sesetengahnya tidak boleh diceritakan dalam mana-mana media... Lalu seluruh warga kolej mengenali mereka dan kawan-kawan, kira famous lah kata orang. ‘Saham’ pula meningkat naik tinggi, maka lagi senanglah dapat teman-teman perempuan...

Selasa, April 15, 2008

Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang...

Assalamualaikum... Alhamdulillah, setelah agak lama mengagih-agihkan gambar-gambar yang sesuai untuk dijadikan bahan cerita di ketiga-tiga blogspot saya bermula Sabtu lalu demi untuk membawa kepada penceritaan perjalanan di lokasi terpilih seterusnya iaitu Kuala Terengganu, akhirnya petang ini setelah mengalami beberapa masalah termasuk gangguan uploading gambar, baru cerita seterusnya boleh dimulakan. Bersambung daripada lokasi atau bandar sebelumnya seperti yang diceritakan di posting bertajuk Semalam di Dungung, makang ikang atas pinggang, heh! Mari...


Dari Dungun, saya mendapatkan bas ke Kuala Terengganu... Seperti yang telah disebut dalam cerita Semalam di Dungung, makang ikang atas pinggang, heh! , pada awalnya saya bercadang mahu ke Kuala Berang daripada Dungun. Rasanya perlu melalui kawasan Felda, Jerangau. Memandangkan tidak ada pengangkutan awam melalui jalan ini daripada Dungun kecuali teksi yang tambangnya tentu mahal, saya pun membuat keputusan untuk ke Kuala Terengganu... Daripada situ, lebih senang untuk ke Kuala Berang nanti.

Di atas adalah gambar yang diambil daripada dalam bas ketika menghampiri sempadan bandaraya Terengganu. Gambar yang cuba diambil adalah gambar masjid terapung di Kuala Ibai, sebuah masjid indah yang diilhamkan arkitek terkenal Raja Bahrain... Sayangnya saya tidak berjaya mendapatkan gambar elok menggunakan kamera digital murah daripada dalam bas yang sedang laju bergerak...




Apapun, saya sampai ke stesyen bas utama bandaraya dengan selamat... Kalau tak silap, sekitar jam 10 pagi begitu...


Singgah sebentar di sebuah warung untuk minum sementara memikirkan langkah perjalanan seterusnya. Kalau ikutkan, mahu sahaja saya mencari satu tempat yang terlindung lalu baring terus tidur kerana terasa begitu penat... Di Dungun semalam saya tidur lambat, itupun tidak cukup di sebuah surau besar kerana dikejutkan orang yang mahu bersedia untuk solat Subuh...

Sebenarnya bersebelahan warung ini terletak sebuah hotel... Saya telah singgah di situ dan bertanyakan harga... Ikutkan boleh tahan murah tetapi saya rasa mahu cuba dahulu mencari yang lebih murah. Untuk malam ini, juga demi perjalanan yang dirancang seterusnya rasanya saya tidak larat lagi tidur di mana-mana masjid... Saya perlukan rehat yang cukup, tidak mahu diganggu orang mahupun nyamuk...

Selepas minum, saya pun mula berjalan-jalan menghala ke arah laut dengan niat mahu mencari hotel murah... Terlihat masjid putih ini yang dikenali sebagai Masjid Abidin...

Kalau mahu, pada waktu ini saya boleh sahaja berehat di dalam masjid kerana sudah menjadi kebiasaan di masjid ini juga di banyak masjid utama, sekitar waktu antara Subuh dan Zuhur tidak ada yang menganggu. Tetapi selain mahu berehat, saya juga mahu bertukar kepada pakaian lebih bersih dan membasuh pakaian yang kotor... Rasanya duduk di hotel lebih sesuai...


Daripada hadapan masjid, lalu di bangunan Persatuan Sejarah ini...


Terus menghala ke laut, rasanya belum kelihatan apa-apa hotel murah...

Memang kelihatan 2-3 hotel dalam perjalanan ini tetapi rasanya sederhana mahal... Pada masa itu, saya lebih menuju pada mana-mana bangunan rumah kedai lama yang dijadikan rumah tumpangan tetapi setakat berjalan kaki di Kuala Terengganu ini tidak kelihatan. Pengalaman mengembara di merata Semenanjung menunjukkan di rumah tumpangan sebegini (tolak rumah yang dijadikan tempat pelacur ya...), harga sewa bilik untuk satu malam boleh jadi semurah RM14, paling mahal pun RM25...


Alang-alang sampai ke kawasan laut, mulalah saya berjalan-jalan melihat persekitaran...


Adapun kawasan ini terletak di kuala Sungai Terengganu... Kelihatan dalam gambar adalah bahagian seberang yang dikenali sebagai Seberang Takir...




Sedikit menghulu sungai pula kelihatan Pulau Duyung... Kelihatan dalam gambar ini bangunan besar di sebalik barisan bendera yang merupakan kelab kapal layar, dibina khas untuk perlumbaan kapal layar setahun sekali Monsoon Cup yang mula diadakan di sini, kalau tak salah ingatan 2 tahun lalu...


Saya mula jalan di tepian sungai mengarah ke hulu... Kelihatan sebuah feri, kalau tak salah untuk ke kawasan pulau-pulau seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian di perairan Terengganu. Di sini juga terdapat bot-bot kecil yang dijadikan feri untuk menyeberangi Sungai Terengganu, samada untuk ke Pulau Duyung atau ke Seberang Takir...


Ke hadapan sedikit kelihatan peta bandaraya Kuala Terengganu ini...


Kemudian nampak pula Bukit Puteri... Di kaki bukit terdapat rangkaian bangunan bazaar baru yang katanya dibina untuk menggantikan Pasar Payang yang sudah lama dikenali masyarakat tempatan...

Untuk melihat beberapa gambar terbaru di atas Bukit Puteri termasuk makam seorang ulamak dahukala bernama Syed Yassin sila klik Up on Bukit Puteri in Kuala Terengganu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ... Mari! :]


Selepas turun daripada Bukit Puteri, saya terus berjalan menyusuri Sungai Terengganu menghala ke hulu... Sempat singgah di Pasar Payang sebelum masuk ke kawasan Kampung Cina... Ceritanya telah dibuat di BERPETUALANG KE ACEH dengan tajuk Walking along the Terengganu river to Kampung Cina...


Keluar sahaja daripada Kampung Cina, terus ternampak Bukit Keledang di mana terdapat makam Sultan Terengganu pertama daripada keturunan Bendahara Johor dan Melaka, Sultan Zainal Abidin yang menaiki takhta tahun 1700an Masihi. Untuk melihat gambar-gambar serta ceritanya, sila klik Makam (tomb of) Sultan Zainal Abidin I, Terengganu... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...


Kemudian saya pun kembali ke kawasan sekitar bas stesyen utama... Rasanya harus mengambil bilik di hotel tempat mula-mula sampai tadi.

Sebenarnya tadi di hadapan Bukit Keledang, saya ada ternampak sebuah hotel sederhana besar yang rasanya agak menarik kedudukannya... Saya mengharapkan agar harga biliknya mungkin murah... Ternyata sewa bilik paling rendah di situ adalah lebih daripada RM50 semalam... Bilik di hotel tempat mula-mula sampai pula sebenarnya berharga RM40 semalam (menurut kata orang yang menjaganya lah) tetapi melihatkan saya datang seorang, katanya ia boleh diturunkan kepada RM30...

Hmm... Rasanya RM30 pun bolehlah... Tadi saya masih cuba-cuba mencari jika boleh dapat hotel dengan bilik berharga RM25 ke bawah untuk satu malam. Sampai di hotel hadapan Bukit Keledang pula, saya sudah bersedia untuk membayar RM30 tetapi ternyata harganya pula lebih. Ah... Ikut sahajalah mana yang senang!


Sedikit ke sisi hadapan hotel berhampiran stesyen bas itu, terdapat kedai jahit ini... Namanya kedai jahit Wah Lee mengingatkan saya pada Hotel Wali yang ada diceritakan dalam artikel Menyertai persidangan para wali di Terengganu? Hehe! :] ... Mungkin nama Wali itu sebenarnya singkatan daripada nama Cina ini iaitu Wah Lee? Mungkin juga ada orang Cina yang bernama Wah Lee Ah Keem? Heh! :]


Di sisi kedai jahit menghala ke stesyen bas, terdapat pula sebuah padang dengan beberapa buah makam lama yang batu-batu nesannya masih tegak... Tetapi tidak pula dibuat apa-apa pagar untuk menandakan sempadan. Sesungguhnya di sekitar Kuala Terengganu terdapat begitu banyak makam-makam lama. Yang menarik, boleh kata semuanya dalam keadaan terjaga belaka, tidak seperti di sesetengah tempat yang saya lihat di Semenanjung Malaysia di mana makam-makam Sultan pun boleh jadi begitu buruk dan bersemak!


Ini adalah gambar hotel tempat saya menginap malam 27 membawa ke 28 Mac iaitu malam Jumaat. Ceritanya telah saya letak di blogspot ini tadi dengan tajuk Kucing "surrender" di Hotel Pok Tiong...

Adapun sebaik sahaja selesai makan tengahari lambat iaitu sekitar jam 3 petang di warung sebelah, saya pun menempah sebuah bilik, terus berbaring dan terus tertidur akibat kepenatan, sampai hampir Maghrib... Malam itu pula saya berjalan lagi tetapi nanti saya ceritakan ya... Kita pergi terus kepada apa yang berlaku pagi Jumaat...




Sebenarnya selepas Subuh saya tidur lagi kerana masih kepenatan... Hampir jam 11 baru saya terbangun... Baru teringat bahawa saya ingin pergi melawat 2 buah tanah perkuburan tertentu di Jalan Pusara, tanah-tanah perkuburan besar lagi terserlah yang dapat saya lihat daripada dalam bas semalam...
Kali pertama saya pergi ke tempat-tempat ini ialah pada tahun 2004, dibawa oleh seorang kerabat diraja tua yang amat sempoi orangnya iaitu Engku Syed Mokhsin. Kata orang, Engku Mokhsin ini seorang wali atau keramat hidup. Yang saya tahu, beliau amat dihormati masyarakat luar bandar yang mengenalinya... Saya pernah bersama dengannya dalam satu persidangan orang-orang kampung yang meminta Engku Mokhsin tolong menyelesaikan satu masalah masyarakat... Mereka semua begitu hormat dengannya, masing-masing membahasakan diri sebagai patik...
Hmm... Melalut pula saya... Berbalik pada tanah-tanah perkuburan tadi. Nak kata jauh sangat tu tak lah, paling jauh pun 2km daripada Hotel Pok Tiong itu tetapi sebaik sahaja saya selesai membuang hajat besar, mandi dan bersiap-sedia, sudah hampir jam 12 tengahari...
Bagaimana ini? Hari itu hari Jumaat, perlu bersolat Jumaat. Perlukah saya bersolat dahulu di Masjid Abidin yang lebih dekat, kemudian baru ke Jalan Pusara? Boleh juga tetapi saya mungkin kehilangan banyak masa kerana kalau boleh mahu ke Kuala Berang petang itu juga...
Jadi bagaimana? Badan saya sebenarnya masih amat penat tetapi gerak hati yang memberi isyarat perjalanan dan apa yang harus dibuat mesti diturut... Kadangkala sudah tahu ke manakah harus pergi dan apa yang harus dibuat seterusnya tetapi cuma belum mendapat isyarat bila, apakah waktunya yang tepat...
Bila memikirkan beg sandang besar yang harus dibawa sama berjalan kaki hampir 2km dalam panas terik tengahari, rasa nak mengalah pun ada... Akhirnya saya membuat keputusan... Check-out sahaja daripada hotel tetapi tinggal dahulu bes besar di sana... Bawa sahaja beg kecil yang ada disimpan di dalam beg besar, kemudian saya terus berjalan...
Dalam berjalan itu, ternampak pula papan iklan yang terpapar di atas... Terdetik juga, mungkin nanti saya harus melihat Masjid Kristal yang sering diwar-warkan sebagai simbol "cemerlang, gemilang dan terbilang" satu bentuk mazhab yang dipanggil sebagai Islam Hadhari... Macam-macam!

Tidak lama kemudian, sampailah saya ke Jalan Pusara... Terus masuk ke kawasan perkuburan besar yang rasanya sama luas dengan 5 buah padang bola ini!

Untuk pengetahuan, ia dikenali sebagai tanah perkuburan Sheikh Ibrahim... Kenapa ya dipanggil dengan nama itu sedangkan di tanah perkuburan ini terdapat makam-makam sekurang-kurangnya 2 orang Sultan Terengganu serta makam-makam beberapa orang ulamak-ulamak besar seperti Tok Sheikh Duyung. Lalu kenapa dikenali dengan nama Sheikh Ibrahim? Apakah yang begitu istimewa tentangnya?

Sila baca cerita Kawasan pemakaman (the tomb area of) Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ... Insyaallah ada sesuatu yang menarik untuk semua...


Di satu sudut tanah perkuburan Sheikh Ibrahim, kelihatan sebuah round-about atau bulatan jalanraya utama Kuala Terengganu dengan replika gergasi Batu Bersurat Terengganu ini... Teringat posting Salam dari Kuala Berang... Menyusuri sejarah lama kedatangan Islam... yang dibuat 3 minggu lalu dengan menggunakan gambar tempat ini juga... Cuma semasa itu saya belum dapat mengalihkan kebanyakan koleksi gambar yang telah diambil masuk ke dalam pen-drive supaya dapat di upload ke blogspot, maka itu saya gunakan gambar yang ditemui di Internet...

Bila melihat kembali posting Salam dari Kuala Berang... Menyusuri sejarah lama kedatangan Islam..., baru saya teringat bahawa ada pihak yang tidak senang dengan beberapa kata-kata serta cara saya menafsirkan apa yang berlaku di Terengganu melalui penulisan itu. Mungkin pihak ini terasa pedas, saya tidak pasti... Tetapi apabila melihat balik komen yang dibuat di bawah artikel itu kemudian beberapa komen panas yang timbul beberapa hari lalu di artikel-artikel yang lain, kelihatan bahawa ia dibuat oleh pihak yang sama.

Tak mengapalah, biar sahaja segala silap faham yang lepas dibiarkan berlalu... Percayalah, walaupun ada ketikanya saya menyatakan apa yang saya lihat dalam perjalanan dengan nada marah, ia bukan dibuat secara semborono tetapi ada makna untuk sesiapa sahaja yang sanggup mengetepikan kepentingan diri sendiri lalu melihat situasi sebenar hari ini...

Rasanya bab yang berlaku di Terengganu, daripada hal kemelut pemilihan Menteri Besar sampai ke soal perbelanjaan royalti hasil petroleum negeri yang dijadikan wang ehsan lalu dilihat dibelanjakan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat projek-projek mewah yang tidak menguntungkan rakyat, bukan saya sahaja sedar dan merasa marah... Ramai lagi orang yang marah dan dapat melihat apa yang berlaku... Dan bagi mereka yang lebih ke hadapan pandangannya kerana melihat segala sesuatu dalam konteks global yang melibatkan perkembangan mutakhir dunia akhir zaman, tidak dapat tidak mereka akan melihat bayangan cemar tangan-tangan pihak Yahudi Zionis dan para proksi mereka dalam apa yang berlaku di Terengganu juga.

Oleh itu, kepada sesiapa yang tidak dapat menerima tafsiran saya terhadap keadaan yang dilihat, anda boleh sahaja meninggalkan blogspot ini... Tidak perlu berkerut-kerut muka menahan marah lalu cuba mencari salah-silap saya agar kelihatan diri saya ini begitu buruk pada semua... Sememangnya saya ini insan yang lemah tetapi membuat sesuatu secara semberono atau untuk berbangga diri, seharusnya ada membaca dahulu ketiga-ketiga siri buku "Berpetualang ke Aceh" atau bersemuka secara fizikal dengan saya untuk mengetahui peribadi sebenar saya... Atau anda tolak tepi dahulu kemarahan yang tercetus dan cuba mencari hikmah di sebalik apa yang tersurat dan tersirat... Anggap saya Radzi Sapiee @ Merah Silu ini tidak wujud. Sebaliknya cuba lihat af'al Allah disalurkan melalui kata-kata di sini. Cubalah dahulu... Insyaallah ia lebih berfaedah daripada membuat telahan buruk sangka tentang tahap keimanan saya...

Apapun, bulatan di atas pernah dikenali sebagai bulatan penyu kerana semasa zaman Wan Mokhtar menjadi MB Terengganu, di tengah bulatan itu terdapat sebuah patung replika penyu gergasi melambangkan penyu sebagai satu keistimewaan dan daya tarikan pelancung ke Terengganu. Apabila PAS berjaya merampas pemerintahan Terengganu dalam pilihanraya umum 1999, patung penyu itupun dihancurkan. Apabila Barisan Nasional kembali memerintah tahun 2004, berdiri pula replika gergasi Batu Bersurat Terengganu ini sebagai tanda kepada bukti akan Terengganu sebagai salah sebuah negeri yang paling awal menerima Islam jika tidak pun paling awal di rantau ini!

Terus terang saya cakap, saya tidak setuju dengan konsep Islam Hadhari... Saya bukan orang PAS atau berpihak pada mana-mana kumpulan atau parti politik...Cuma saya tidak suka agama Islam yang syumul itu dilabel-label dengan perkataan tambahan yang kononnya lebih progresif, seolah-olah Islam yang dibawa Rasulullah SAW itu tidak bertamadhun dan ketinggalan zaman, tidak mampu menghadapi cabaran dunia moden sekarang... Lebih-lebih lagi kerana saya tahu, nama Islam Hadhari itu asalnya adalah satu slogan atau modal kempen untuk BN kembali menawan Terengganu, modal kempen untuk melawan model kerajaan Islam PAS. Maka ia dibuat bukan dengan niat jujur untuk membela Islam tetapi untuk menang perlawanan populariti demi meraih undi rakyat! Itulah sebenarnya asal-usul perkataan Islam Hadhari...

Tidak mengapa, apabila sampai masanya, Insyaallah akan saya huraikan lebih panjang-lebar tentang ini dan apa yang saya lihat sebagai bekas-bekas tangan cemar Yahudi Zionis di Terengganu... Harap janganlah ada pihak yang melenting nanti ya... Percayalah, kata-kata yang saya buat ini ada keizinan dan barakah daripada para wali...

Kalau tak boleh percaya pun, tolak ke tepi sahaja... Jangan terasa atau mula marah-marah. Kalau tetap tak boleh terima lalu keinginan dalam hati untuk melihat salah-silap saya, sebaiknya jangan jenguk lagi blogspot ini kerana akhir kalamnya senang sahaja... Ini adalah diari pengalaman hidup saya. Sukahatilah apa yang saya mahu cerita, terpulang kepada anda untuk menerimanya... Kalau tak suka, saya tak pernah memaksa...

Apabila dah tersebut pasal bab wali ini, baru saya teringat, sebenarnya saya meletakkan gambar ini sebagai kesinambungan cerita untuk tempat yang dilawati seterusnya iaitu selepas meninggalkan tanah perkuburan Sheikh Ibrahim... Saya malas hendak mengulang-tayang kembali mana-mana gambarnya di sini, maka jika mahu tahu apa ceritanya, sila lihat sendiri artikel Makam Tok Pelam di Kuala Terengganu... yang dibuat di sini semalam...


Gambar ini diambil selepas selesai solat Jumaat di Masjid Abidin. Alhamdulillah, walaupun saya berlegar-legar lama di sekitar tanah perkuburan Sheikh Ibrahim dan makam Tok Pelam, sehingga hampir jam 1.30 tengahari, sempat juga saya berjalan kaki hampir 2 km kembali ke pusat bandaraya untuk bersolat di masjid putih itu.

Kalau diikutkan, saya boleh sahaja bersolat di sebuah masjid besar (lupa namanya) yang terletak di sisi tanah perkuburan yang mengandungi makam Tok Pelam... Malah saya masih berlegar-legar di sekitar makam ketika imam membaca khutbah! Dan sebaik sahaja meninggalkan makam sekitar 200 meter menghala ke Masjid Abidin, kedengaran pula bilal membaca qamat menandakan imam akan memulakan solat di masjid sebelah makam ini...

Ketika itu saya jadi serba-salah... Perlukah saya berpatah balik untuk ke masjid itu sedangkan sejak hari Khamis lagi saya menyimpan niat untuk bersolat Jumaat di Masjid Abidin? Akhirnya saya terus berjalan ke pusat bandaraya dan menyerahkan apa yang akan berlaku kepada Takdir...

Sebenarnya kalau tidak sempat pun bersolat Jumaat, tidak jadi kesalahan buat saya kerana ia bukan kewajiban bagi mereka yang sedang bermusafir jauh... Tetapi memang saya menyimpan niat untuk bersolat Jumaat di Masjid Abidin... Lebih-lebih lagi kerana saya tidak pasti jika pernah bersolat Jumaat di sana dan kali terakhir saya sampai ke Terengganu adalah hujung tahun 2006...

Alhamdulillah, ditakdirkan Allah saya sampai ke Masjid Abidin ketika imam dan makmum masih dalam raka'at pertama walaupun saya berjalan kaki sepanjang jalan, tidak dapat menumpang mana-mana kenderaan orang. Maka sempatlah saya bersolat Jumaat di sana, tercapailah apa yang diniatkan sejak hari sebelumnya...



Selepas bersolat Jumaat, saya pergi ke sisi kiri masjid iaitu menghala ke Barat. Di satu kawasan, terdapat kawasan pemakaman diraja Terengganu, masih lagi di perkarangan Masjid Abidin.

Adapun saya pernah ke Kuala Terengganu sekurang-kurangnya 10 kali. Kali pertama adalah sekitar tahun 1988 dengan menaiki basikal lumba mengikuti satu rombongan menjelajah basikal mengelilingi separuh Semenanjung Malaysia selama hampir 2 minggu, kali kedua ketika mengembara seorang diri menaiki motosikal besar tahun 1997 mengelilingi Semenanjung dalam tempoh satu setengah bulan... Selepas setahun bertugas sebagai wartawan meja berita di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times, baru confirm lalu dibenarkan bercuti...

Rasanya kali ketiga pula adalah semasa menjadi wartawan sukan, dalam tahun 2000 untuk meliputi sebuah acara lumba basikal peringkat serantau... Tetapi pada tahun 2003, rasanya kali ke empat, baru saya pergi ke Terengganu untuk menziarahi makam-makam lama, bermula dengan makam Tok Pulau Manis yang merupakan satu talian awal saya untuk menyambung salasilah dan wasilah keturunan juga pengajian peribadi Tasawuf sehingga ke Aceh.

Sejak itu, saya telah beberapa kali pergi ke Kuala Terengganu dan setiap kali pergi, saya mesti pergi menziarahi tempat-tempat ini... Makam Tok ku Paloh di Kampung Paloh, sekitar 5km di luar bandaraya KT dan makam Tok Pulau Manis di Kampung Pulau Manis, 15 km lebih jauh. Di celah-celah itu, saya juga selalu naik ke Bukit Keledang untuk menziarahi makam Sultan Terengganu pertama dari keturunan sekarang iaitu Sultan Zainal Abidin I... Kali ini, dalam lawatan ke KT 27-28 Mac, barulah tergerak untuk menziarahi makam diraja yang terletak di perkarangan Masjid Abidin!

Sebenarnya pada malam Jumaat itu adalah kali pertama saya tergerak untuk masuk ke makam diraja itu... Tetapi selepas bersolat Jumaat, baru saya dapat datang lagi untuk mengambil gambar lalu dapat dijadikan cerita semalam, dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dengan tajuk Makam diraja Terengganu di Masjid Abidin (Terengganu royal mausoleum at the Abidin mosque) ...



Selesai ziarah makam, saya pun menuju kembali ke Hotel Pok Tiong... Terlihat pula bangunan tinggi yang berdekatan ini. Timbul rasa untuk naik ke atas, mahu melihat pemandangan sekeliling Kuala Terengganu...

Untuk melihat gambar-gambar menarik yang diambil daripada atas, sila klik artikel View of Kuala Terengganu from 14 floors up... Or is it 15 or 13? Never mind, just enjoy the view... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Setelah puas melihat pemandangan dari atas, baru saya turun mengambil beg galas besar di Hotel Pok Tiong kemudian menuju ke stesyen bas... Dan petang itu pergilah saya ke Kuala Berang untuk satu pengembaraan yang lebih menarik...

Bunga-bunga pengembaraan itu boleh dibaca dalam artikel Salam dari Kuala Berang... Menyusuri sejarah lama kedatangan Islam... yang dibuat 3 minggu lalu daripada sana... Sebagai satu hint untuk cerita yang akan datang, biar saya paparkan kembali komen seorang pembaca yang dibuat di bawah artikel Sedikit kata-kata aluan sempena Maulud Nabi... hampir sebulan lalu. Hmm... Biar dipaparkan sekali jawaban saya kepada komen itu ya... Ini dia...

Anonymous said...

salam...abang radzi klu pegi pantai timur nanti,tlg lah pantau kump tasawuf sesat spt yang abg radzi cterkan dlam buku BKA tu.sebab pengaruh ustaz makin mnjadi di kedah.di a.setar n jitra.dulu da kena tangkap.terlepas g2 jer.smpai sy pun hampir jd pengikut.lgu dendang yg mereka bawakan memang merdu.tp syg,ternyata mereka sesat.ader ke plak malaikat2 dtg jauh dr mesir nun,msuk dalam jasad manusia,pas 2 marah2.fyi,putri gunung ledang da dapat kt org len.yg lama da insaf kot.

Thursday, March 20, 2008 8:42:00 PM


Radzi Sapiee said...

Wassalam. Insyaallah tentang kumpulan tersebut nanti saya lihat.Susah jugak sebab ramai yang percaya kat diaorang ni termasuk pihak keselamatan Malaysia sendiri. Takpa... Tentunya ada hikmah di sebalik semua ini. Apabila sampai masanya, yang haq tetap akan muncul dan yang bathil akan gugur dengan sendirinya... Ada masanya, dengan hikmah Allah, dibenarkan dahulu kumpulan sebegini bertapak dan membina pengaruh. Sekurang-kurangnya dapat juga mengembleng dan menyatukan ramai anak Melayu bermasalah di bawah satu bendera walaupun ketuanya sebenarnya mahu menggunakan mereka. Apabila anak-anak muda ini sudah biasa dengan adab Melayu lama yang tahu menjunjung tinggi hakikat sebenar seorang Sultan sebagai wakil Allah yang mengatur kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini, barulah kepala sebenar muncul untuk mengembalikan arah. Insyaallah! :]

Saturday, March 22, 2008 5:49:00 PM

Pengembaraan saya ke Kuala Berang akan melibatkan diri ini masuk jauh ke dalam markas sebuah kumpulan yang katanya mendukung perjuangan Islam akhir zaman, kumpulan yang mana orang-orang kanannya tidak menyenangi saya atas sebab-sebab tertentu... Ingat tidak di akhbar harian Metro (ataupun Kosmos? Antara dua tu le), pernah beberapa kali keluar cerita tentang Ustaz Zul yang dikatakan membawa ajaran sesat lalu merogol beberapa orang perempuan? Ini adalah markas kumpulannya... Dan biar saya berterus-terang, seorang teman wanita yang dahulu amat saya sayangi pernah dibawa lari mereka... Kononnya untuk diisi dengan sesuatu lalu menjadi Puteri Balqis (isteri Nabi Sulaiman) yang boleh mendokong misi kumpulan ini!

Cerita tentang kumpulan ini ada saya nyatakan dalam buku kedua saya iaitu "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II. Nanti saya akan cerita sedikit pula di sini apabila tiba gerak dan sampai masanya ya... Sekian! :]

Kucing "surrender" di Hotel Pok Tiong...

Lihat ini... Seekor kucing yang sedang nyenyak tidur dengan gaya yang agak kepenatan... Kucing "surrender" agaknya. Mungkin akibat terlalu kepenatan bermain-main dengan remote control TV, mungkin akibat terlalu banyak menonton rancangan-rancangan hiburan yang semakin menjadi-jadi memenuhi ruangan media dalam zaman Islam Hadhari ini...


Ini pula adalah hotel murah tempat saya menginap ketika berada di Kuala Terengganu 27-28 Mac lalu.... Kedudukannya rasanya tidak sampai 200 meter pun daripada stesyen bas utama bandaraya... Ia asalnya adalah sebuah rumah kampung 2 tingkat yang dijadikan hotel, agak menarik rekabentuknya sehingga turut menarik para pelancong daripada luar seperti daripada Eropah...


Bahagian dalaman Hotel Pok Tiong... Pintu yang kelihatan adalah pintu bilik tempat saya menginap di situ. Boleh tahan tempatnya... Selesa, ada rasa rumah kampung di tengah-tengah bandaraya...


Bahagian serambi sisi. Kadangkala saya terdengar bunyi orang bermain band serta menyanyi dari bawah... Lagaknya seperti orang karaoke pun ada tetapi iringan muziknya pula kedengaran live... Rupa-rupanya ada jamming studio di bahagian bawah rumah yang dijadikan hotel ini... Di bahagian bawah juga turut terdapat beberapa buah kedai...


Ini pula bahagian serambi hadapan... Menghadap sebuah padang yang terletak di sisi stesyen bas utama Kuala Terengganu.

Adapun saya sudah banyak kali ke bandaraya ini, rasanya tidak kurang 10 kali dan lalu di sekitar kawasan ini. Tetapi dalam lawatan ke Kuala Terengganu 27-28 Mac itu, baru saya sedar bahawa 1. Terdapat hotel murah yang dibina daripada sebuah rumah kampung 2 tingkat... 2. Di padang ini terdapat beberapa buah batu nesan terpacak menandakan terdapat makam-makam lama tetapi kelihatan elok terjaga, sepertimana kebanyakan makam-makam lama saya lagi begitu elok keadaannya di sekitar bandaraya ini!

Oh... Mungkin ada yang tertanya-tanya... Apa pula cerita kali ini? Kenapa "kucing 'surrender' di Hotel Pok Tiong?"... Apakah saya sedang membuat promosi? Percayalah, saya tidak dapat apa-apa imbuhan membuat promosi selain keseronokan membuat cerita menurut aliran ilham yang keluar pada sesuatu ketika! Ceritanya begini.

Selepas membuat posting Semalam di Dungung, makang ikang atas pinggang, heh! Sabtu 3 hari lalu, saya bercadang mahu meluahkan semua cerita yang patut berkenaan lawatan ke Kuala Terengganu 27-28 Mac. Tetapi saya menghadapi sedikit masalah bagaimana mahu memilih dan mengagihkan sejumlah 150 gambar yang diambil di sana sebaik mungkin di kalangan ketiga-tiga blogspot miliksaya sebelum dapat membuat satu wrap-up atau cerita kesimpulan perjalanan di sini. Antara penat daripada pengembaraan 3 minggu ke Pantai Timur yang masih ada, tuntutan jiwa dan raga untuk berehat melupakan segala perkara lain, antara mahu memberikan perhatian kepada teman, kenalan dan kawan-kawan serta kesibukan untuk turut sama melihat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 hujung minggu, bukannya senang untuk menulis sehingga betul-betul terasa puas dan selesai sesuatu penceritaan...

Pada hari Sabtu, selepas pergi ke Pesta Buku lalu bermalam di rumah seorang rakan berdekatan Nilai, saya mula membuat posting Semalam di Dungung, makang ikang atas pinggang, heh! di sini. Kemudian baru dapat membuat cerita-cerita berkenaan Kuala Terengganu yang dimulakan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ... Pertama, cerita Up on Bukit Puteri in Kuala Terengganu yang siap sekitar jam 1 pagi, kedua cerita Walking along the Terengganu river to Kampung Cina... yang siap tengahari sejurus sebelum pergi ke Pesta Buku lagi...

Semalam hari Isnin, baru saya ada masa dan kesempatan untuk menyumbangkan 3 cerita untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ... Cerita-cerita itu bertajuk Makam (tomb of) Sultan Zainal Abidin I, Terengganu... , Kawasan pemakaman (the tomb area of) Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu... dan Makam diraja Terengganu di Masjid Abidin (Terengganu royal mausoleum at the Abidin mosque) . Di celah-celah itulah saya dapat membuat posting-posting bertajuk Perjumpaan di Pesta Buku Antarangsa Kuala lumpur di PWTC 2008 dan Makam Tok Pelam di Kuala Terengganu... di blogspot ini...

Cadangnya mahu menyiapkan terus cerita-cerita tentang Kuala Terengganu ini. Yang diperlukan seterusnya cuma membuat satu lagi cerita di BERPETUALANG KE ACEH berdasarkan gambar-gambar yang diambil daripada sebuah bangunan tinggi di bandaraya itu. Tetapi Cyber-Cafe kecil di sebuah kawasan perumahan Kajang tempat saya membuat cerita-cerita ini pula tutup awal jam 10 malam dan saya pun telah kepenatan.

Lewat malam @ pagi buta tadi, sekitar jam 2, akibat kegelisahan yang entah kenapa sehingga tidak dapat tidur, saya tergerak untuk membuka komputer laptop lalu melihat koleksi gambar-gambar Pantai Timur yang baru dimasukkan ke situ beberapa hari lepas. Untuk pengetahuan, komputer laptop ini baru sahaja aktif semula... Selepas rosak akibat terjatuh dalam bas buruk ketika perjalanan Mersing ke Kluang lebih 2 bulan lalu, ia telah tersadai di sebuah kedai komputer di Kompleks Imbi selama lebih sebulan menunggu bahan gantian yang sesuai... Sejurus sebelum memulakan perjalanan ke Pantai Timur, baru ia siap diperbaiki. Tetapi saya tinggalkan di rumah Kajang kerana tidak mahu ia rosak lagi dalam perjalanan.

Saya pun tergerak untuk melihat koleksi gambar-gambar di Kuala Terengganu 27-28 Mac... Tujuannya mahu memilih gambar yang hendak digunakan untuk menyelesaikan kerja ini... Terlihat pula gambar kucing "surrender " yang saya ambil di Hotel Pok Tiong. Timbul rasa untuk membuatnya menjadi posting tersendiri bersama beberapa keping gambar di hotel itu!

Tadi sejurus sebelum jam 11, saya singgah ke sebuah restoran KFC di Kajang. Sambil menunggu hidangan makan pagi siap, saya tergerak untuk membuka komputer laptop kerana teringat bahawa gambar kucing "surrender" yang asalnya kelam akibat kurang cahaya tetapi telah dijadikan terang menggunakan program Photoshop belum lagi diletakkan ke pen-drive... Kalau tidak, bagaimana saya mahu upload ke komputer di Cyber-Cafe nanti?

Seketika itu baru saya tersedar bahawa restoran KFC ini ada menawarkan khidmat wi-fi percuma sejak beberapa bulan lalu. Dipendekkan cerita, tak perlulah saya pergi ke Cyber-Cafe... Selepas mengikuti beberapa perkembangan terbaru di Internet, dapatlah saya membuat posting bertajuk View of Kuala Terengganu from 14 floors up... Or is it 15 or 13? Never mind, just enjoy the view... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH di ikuti posting kucing "surrender" di sini!

Alhamdulillah... Dengan ini selesailah proses pengagihan gambar untuk koleksi Kuala Terengganu 27-28 Mac. Campur di posting ini, sekitar 85 gambar telah dipilih dan digunakan, daripada koleksi lebih 150 gambar agar penceritaan dapat dibuat sehingga saya puas. Maka dengan ini bolehlah saya membuat cerita kesimpulan perjalanan ke Kuala Terengganu 27-28 Mac seterunya... Oh! Kenapa saya sebut tarikh itu? Kerana sebenarnya ada lagi koleksi gambar untuk KT yang dibuat 30-31 Mac pula.

Apapun saya perlu mengisi "minyak" dahulu... Perut sudah lapar akibat asyik membuat kerja dan saya pun belum bersolat. Kita jumpa lagi nanti. Sekian! :]

Isnin, April 14, 2008

Makam Tok Pelam di Kuala Terengganu...

Alhamdulillah! Sukacita dimaklumkan saya telah berjaya menyiapkan 2 buah cerita bergambar terbaru di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi berdasarkan koleksi gambar yang diambil di Kuala Terengganu 27-28 Mac. Memang biasanya gambar-gambar makam-makam lama akan saya gunakan sebagai asas untuk bercerita di blogspot itu, selain gambar-gambar masjid dan bangunan-bangunan lama. Tetapi sesekali, saya ada juga gunakan gambar-gambar makam untuk penceritaan di blogspot-blogspot saya yang lain. Dan tadi, setelah siap membuat artikel-artikel tersebut bertajuk Makam (tomb of) Sultan Zainal Abidin I, Terengganu... dan Kawasan pemakaman (the tomb area of) Sheikh Ibrahim, Kuala Terengganu... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lalu sampai pada koleksi gambar di makam Tok Pelam, timbul pula rasa untuk menyambung cerita di sini... Sila!


Lihat gambar ini.. Nampak tidak bumbung bertingkat di celah-celah?


Tempat ini terletak berhampiran masjid ini... Maaf, tidak ingat nama masjidnya...


Adapun di sebelah masjid itu adalah sebuah kawasan perkuburan... Di dalamnya terdapat sebuah bangunan yang amat terserlah...


Untuk pengetahuan, ini kawasan makam seorang ulamak Terengganu dahulukala yang dikenali sebagai Tok Pelam...


Sedikit maklumat tentang beliau...


Pintu masuk utama ke bangunan makam...


Berhadapan dengan pintu itu pula terdapat sebuah tangga untuk naik masuk ke sebuah bilik kecil... Katanya bilik ini digunakan untuk bersuluk iaitu bersunyi-sunyi ketika membuat amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah!


Di belakang tangga pula terdapat beberapa buah makam lain, rasanya milik ahli keluarga serta pengikut terdekat Tok Pelam... Yang menarik, ada di antara makam-makam ini ditanda dengan batu-batu karang daripada laut. Sekian! :]


Perjumpaan di Pesta Buku Antarangsa Kuala lumpur di PWTC 2008

Assalamualaikum semua. Dalam artikel bertajuk Semalam di Dungung, makang ikang atas pinggang, heh! yang dibuat Sabtu malam Ahad, saya ada menyebut malam itu juga, Insyaallah saya akan cuba sebaik mungkin mengagihkan koleksi gambar sekitar Kuala Terengganu yang diambil pada 27-28 Mac untuk dijadikan cerita-cerita di blogspot-blogspot saya.
Malangnya malam itu ada masalah untuk upload gambar ke blogspot. Dipendekkan cerita sampai sekitar jam 1 pagi, saya setakat berjaya membuat satu sahaja artikel bergambar iaitu cerita Up on Bukit Puteri in Kuala Terengganu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Kerja tidak dapat disambung lagi kerana saya sudah begitu kepenatan bercampur rasa mengantuk yang amat sangat... Lagipun saya bercadang mahu pergi ke Pesta Buku Antarabangsa 2008 di PWTC siang nanti... Dan ada pula pembaca blogspot ini yang teringin sangat mahu bertemu dengan saya di sana.
Tengahari itu, saya sempat membuat sebuah lagi cerita berdasarkan koleksi gambar Kuala Terengganu di BERPETUALANG KE ACEH . Tajuknya ialah Walking along the Terengganu river to Kampung Cina... . Kemudian harus bergegas ke PWTC kerana saya ada menyebut di chatbox ini bahawa saya akan berada di sana selepas Zuhur.
Alhamdulillah dapat juga bertemu dengan beberapa orang pembaca walaupun saya muncul agak lambat iaitu sekitar jam 2.30 petang. Maklumlah, malam itu saya tidur di rumah seorang kawan lama iaitu Zaidi @ PerpatihTulus di sebuah kawasan perumahan baru (lupa namanya, Bukit Mahkota ke hapa...) yang terletak hampir ke Nilai, Negeri Sembilan.
Selepas siap membuat posting Walking along the Terengganu river to Kampung Cina... iaitu sekitar jam 12.30, Zaidi menghantar saya ke stesyen komuter Serdang... Sampai di sana rasanya sekitar jam 1 petang. Kalau diikutkan, daripada Serdang itu saya boleh sampai ke dewan utama pesta buku sejurus selepas waktu Zuhur... Sekurang-kurangnya sebelum jam 2... Tetapi keretapi komuter pula sering henti-henti lama sehingga saya mula rasa gelisah... Kerana saya adalah orang yang memegang janji. Saya mahu muncul di PWTC sejurus selepas waktu Zuhur.
Apa boleh buat, saya sampai ke stesyen PWTC sekitar jam 2.15. Kemudian saya perlu menunaikan solat Zuhur terlebih dahulu dan ini saya lakukan di surau hentian bas Putra. Maka itu saya memohon maaf jika ada yang mencari saya di PWTC sejurus selepas masuk Zuhur tetapi tidak menemui lalu harus berlalu pergi. Percayalah, sebaik sahaja sampai di sana terutama di gerai buku yang berkaitan, saya menunggu dan terus menunggu sehingga ada pembaca yang datang... Walaupun kedatangan saya di sana adalah sebagai mana-mana pengunjung biasa, bukan sebagai seorang penulis kerana saya tidak ada membuat apa-apa janji untuk mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" hasil tulisan dan penerbitan saya.
OK... Hari ini hari Isnin, setelah selesai makan tengahari lambat sekitar jam 2 petang tadi, saya merancang mahu menyiapkan terus proses penceritaan berdasarkan koleksi gambar-gambar di Kuala Terengganu. Tetapi proses ini harus memakan masa kerana ia melibatkan pemilihan kemudian pengagihan gambar-gambar diikuti penceritaan yang sesuai di blogspot-blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sebelum sebuah cerita yang merangkumi kesemuanya dapat dibuat di sini. Maka itu saya rasa elok dibuat sebuah cerita mengenai apa yang berlaku di pesta buku... Sekurang-kurangnya ada juga cerita baru sebelum siap cerita Kuala Terengganu, itupun kalau dapat disiapkan hari ini... Sila! :]

Ini adalah gambar pertama yang saya diambil di pesta buku... Setelah dapat berkenalan dengan beberapa orang pembaca (antaranya adalah warga-warga chatbox yang memakai nama Hazratji, Dong, Mded dan RadenCilik) dan berbual-bual seketika, saya rasa elok juga kami bergambar sebelum membuat hal masing-masing.

Lebih sebulan lalu telah ada kenalan dan pembaca yang bertanya apakah saya akan membuat apa-apa promosi untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 yang akan diadakan di PWTC pada 4-13 April ini. Saya jawab tidak... Siapalah saya untuk membuat promosi di sebuah majlis sebesar ini? Saya cuma seorang penulis jalanan yang membuat penerbitan sendiri dengan sumber yang amat terhad sedangkan rata-rata penulis yang ada membuat promosi di sana adalah nama-nama besar yang disokong jentera syarikat penerbitan yang established, lagi mempunyai sokongan dana dan mekanisma jualan dan Public Relations yang teratur.

Lagipun saya perlu menyelesaikan perjalanan ke Pantai Timur yang sudah lebih sebulan tertunda, perjalanan yang mesti dibuat untuk menutup siri-siri pengembaraan yang pada saya wajib dilalui setelah berjaya menyajikan kesemua trilogi buku di dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Jika penghujung tahun 2007 membawa ke awal 2008, saya telah berpusing mengelilingi semua daerah utama Johor, 3 minggu kemudian saya dapat menyelesaikan apa yang patut dengan menziarahi serta mengembara ke tempat-tempat terpilih di Kedah dan Perak.

Setiap sessi pengembaraan ini memakan masa 2 minggu sekali keluar. Lalu sampailah masa untuk ke Pantai Timur pula, satu pengembaraan yang patut dibuat pertengahan Februari lalu. Sebaliknya beberapa keadaan yang muncul telah menyebabkan perjalanan itu tertunda kemudian dapat pula jemputan daripada KekkWa (Kementerian Kesenian, Warisan dan apa lagi ya.. Lupa pulak) untuk menghadiri majlis pelancaran Akademi Buku Malaysia dan Tabung Buku di Dewan Bahasa Pustaka 29 Februari 2008. Alhamdulillah, ada hikmahnya... Di sanalah saya dapat berkenalan dengan beberapa pemilik nama-nama besar sastera tanahair termasuk Sasterawan Negara Pak Samad @ A. Samad Said dan S. Othman Kelantan. Dan pada Pak Samad, sempat saya perkenalkan siri buku "Berpetualang ke Aceh"...

Apabila perjalanan sudah tertunda sampai ke tarikh itu, seorang teman pula mencadangkan, alang-alang belum memulakan perjalanan, elok juga saya hadir ke majlis pernikahan seorang kenalan dan pembaca iaitu Azmi @ Sunan Al-Azmi di Kuala Selangor... Pada 8 Mac, tarikh membuang undi. Di sanalah saya dapat mengambil gambar-gambar baru lalu dijadikan cerita-cerita berikut... Berjalan di Kuala Selangor... Ketika seluruh Malaysia sedang sibuk mengundi! di blogspot ini, The hills at Tanjung Keramat, Kuala Selangor... dan The Selangor royal tomb at Bukit Melawati... And my fetish for numbers! di BERPETUALANG KE ACEH serta Senjata Melayu lama di Bukit Melawati (Old Malay weapons at Bukit Melawati) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...

Akhirnya perjalanan saya makin jadi tertunda akibat hal-hal lain yang muncul. Pada 20 Mac barulah saya dapat memulakan langkah ke Pantai Timur, melalui Jalan Penarikan di Negeri Sembilan sedangkan pesta buku akan bermula 4 April... Kalau ada ruang pun (dan memang boleh diaturkan jika perlu) bagaimana saya mahu memikirkan mahu membuat promosi di pesta buku? Setiap pengembaraan jauh yang saya buat harus memakan masa 2 minggu atau lebih... Kalau saya beriya-iya mahu ke pesta buku, tentu perjalanan saya akan terkejar-kejar lalu tidak dapatlah saya mencapai matlamat sebenar membuat pengembaraan itu!


Berbalik sebentar ke perjumpaan di pesta buku semalam, petang Ahad. Setelah saya dapat menentukan sudut yang sesuai daripada kamera digital murah (kamera yang takda optical zoom mahupun wide angle sehingga terpaksa masuk ke kawasan booth orang untuk mendapatkan sudut luas), baru saya sendiri masuk untuk turut diambil gambar...

Sebenarnya saya pun tak pasti jika dapat menghadiri pesta buku antarabangsa kali ini... Dalam pengembaraan, saya tidak boleh berjanji akan sampai ke sesuatu tempat pada sekian-sekian waktu... Inilah adab pengembaraan cara lama yang dibuat menurut gerak rasa... Segala-galanya ditentukan Takdir serta Qada' dan Qadar Allah jua...

Dalam keadaan ini, kurang beradab kita menyebut bahawa kita akan sampai ke sesuatu tempat pada waktu tertentu... Ya, kita boleh menyebut Insyaallah sahaja dan cuba merancang... Lebih daripada itu, hakikatnya kita akan jadi kurang ajar kerana membuat sesuatu dakwaan yang melangkaui Takdir... Lebih-lebih apabila dalam perjalanan itu, ada masanya kita akan "diarahkan" untuk pergi ke tempat-tempat tertentu dan berbuat sesuatu perkara yang langsung tidak ada dan tidak terfikir dalam rancangan sebelumnya... Kerana apabila kita melangkah dengan Tawakal 100 peratus, kita akan masuk dalam satu keadaan yang boleh digambarkan seperti berikut...

Kadangkala kamu rasa sesuatu perkara itu baik buat kamu tetapi hakikatnya bukan... Kadangkala kamu rasa sesuatu itu buruk sedangkan hakikatnya adalah sebaliknya...

Jadi bagaimana kita mahu tahu apa yang harus dibuat? Inilah salah satu keadaan yang akan kita alami dan lihat sendiri lalu tahu apakah tindakan yang harus dibuat seterusnya... Tetapi kita harus mengambil risiko penat lelah sakit jerih-payah malah risiko kehilangan nyawa ketika keluar berkelana terlebih dahulu, baru kita dapat melihat sendiri akan proses Qada dan Qadar serta Takdir itu, bukan setakat membuat andaian semata-mata...

Ahad tengahari 6 April, selepas mandi air terjun di Gunung Stong berdekatan Dabong di kawasan Hulu Kelantan, baru saya mendapat isyarat boleh menamatkan perjalanan kali ini. Lalu saya pun pergi menaiki keretapi ke Kuala Lipis, bermalam di sana satu malam... Sempat menziarahi makam Tok Linggi @ Raja Ahmad seperti yang diharapkan oleh seorang pembaca di sini iaitu saudari Puteri...

Sememangnya saya harus singgah di Kuala Lipis pun. Kerana daripada situ baru saya boleh mendapatkan bas untuk ke Raub dan berehat sebentar di rumah peninggalan almarhum Nenek. Memang dahulu lagi saya telah berjanji, akan menutup segala siri perjalanan selepas siap menyajikan trilogi BKA ini dengan membuat beberapa perkara di Raub, antaranya adalah memotong rambut jadi pendek sebagai tanda permulaan episod baru kehidupan... Maka apapun yang berlaku, sudah tentu saya perlu singgah di Raub sekurang-kurangnya satu malam...

Biasanya apabila keluar mengembara jauh dan sampai ke Raub, saya akan singgah ke Kampung Janda Baik dalam perjalanan kembali ke Kuala Lumpur dan berehat di sana beberapa hari. Tetapi isyarat yang saya dapat di Raub setelah 2 hari bermalam di sana, pergilah kamu terus ke KL dan hadirilah pesta buku...

Pada petang Rabu sampailah saya ke KL, lewat malam saya kembali pula ke Kajang. Esoknya saya telah dihubungi seorang teman yang mengajak pergi ke pesta buku... Katanya saudara Sayed Munawar, host rancangan ulasan buku Resensi dan Selamat Pagi Malaysia di RTM ada di PWTC dan sedang membuat liputan...

Kalau mahukan publisiti yang dapat dipancarkan ke kaca-kaca TV seluruh Malaysia, tentu sahaja saya boleh ke sana. Sayed Munawar pernah menemu-ramah saya untuk siri buku "Berpetualang ke Aceh" dan kami pun telah saling-mengenali walaupun bukanlah rapat sangat.

Tetapi saya rasa masih begitu penat akibat pengembaraan yang memakan masa 3 minggu serta jarak perjalanan lebih 1,000km... Termasuk tidak kurang 50 km berjalan kaki membawa beg berat, apabila dicampur jarak perjalanan dengan kaki dalam tempoh waktu itu! Dan saya rasa niat saya akan lari jika saya pergi ke sana dengan memikirkan mahu mendapatkan publisiti...


Setelah mengambil gambar-gambar di atas, ternyata sudut yang diambil agak "silau" akibat lampu-lampu kuning di latar-belakang. Lalu gambar diambil lagi di bahagian lain gerai buku...

Oleh kerana pesta buku ini akan tamat hari Ahad 13 April, saya merancang untuk ke sana samada Sabtu atau Ahad. Petang Jumaat, rakan lama saya Zaidi @ Perpatih Tulus menalifon ajak berjumpa... Kali terakhir kami bertemu adalah sekitar bulan 10 tahun lepas lalu tergerak untuk mengajaknya ke pesta buku hari Sabtu.

Tengahari Sabtu, ada pula seorang pembaca BKA bernama Asrul menalifon memberitahu siri buku BKA ada terdapat di pesta buku. Dia telah lama habis membaca ketiga-tiga buku ini dan baru sahaja membeli sebuah set baru untuk rakan lain. Seminggu sebelum itu, seorang kenalan daripada forum Harmonisers bernama Iskandar @ Ketualanun telah membuat posting untuk memberitahu di thread perbincangan Berpetualang ke Aceh (boleh klik Forum Rawatan Alternatif... Soal-jawab Berpetualang ke Aceh... untuk masuk ke sana...), memang ketiga-tiga siri buku BKA terdapat di sana... Saya sahaja yang belum mahu mengambil tahu tentang perkembangan buku sendiri!

Apapun dipendekkan cerita, saudara Asrul daripada Serdang sudah lama ingin bertemu dengan saya lalu dapatlah kami bertemu hari itu... Jumpa di surau hentian Putra kerana ketika Asrul menghubungi saya sekali lagi setelah mendapat tahu kami akan ke PWTC, saya dan Zaidi baru sahaja hendak menunaikan solat Zuhur. Kemudian kami semua (termasuk isteri Asrul) pergi minum di medan makan The Mall... Setelah itu baru Zaidi dan saya pergi ke PWTC.

Sampai sana pula kami mendapati arah "traffic" pengunjung mengharuskan kami pergi ke sebuah dewan lain yang terletak di seberang sungai luar bangunan PWTC terlebih dahulu... Di situlah saya bertemu lagi dengan Pak Samad yang sedang duduk bersama keluarga mengendalikan gerai buku Wira Bukit.

Allah! Segala-galanya telah ditetapkan dan dirancang Dia jua... Sebelum ke PWTC, saya telah tergerak untuk membawa 3 set buku BKA... Semasa pertama kali berkenalan dengan Pak Samad di Dewan Bahasa dan Pustaka lebih sebulan lalu, saya ada memberitahu akan memberikan satu set buku BKA... Kerana semasa itu saya tidak membawa naskah lebih, yang ada cuma naskah peribadi saya yang sudah sedikit comot serta terlipat sana-sini...

Zaidi pula sangat teruja dapat berjumpa seorang penulis bertaraf Sasterawan Negara seperti Pak Samad lalu meminta saya mengambil gambar mereka berdua. Saya setakat senang hati bahawa seorang Sasterawan Negara yang sangat terkenal dan diakui ketinggian pencapaian penulisannya sanggup menyatakan minat terhadap siri buku seorang penulis jalanan seperti saya...

Seterusnya baru kami pergi ke dewan utama di mana menurut kata orang, buku-buku saya turut ada. Tetapi kami pula boleh berpusing-pusing ke merata tempat sehingga tak berjumpa... Lama kemudian baru terjumpa, itupun setelah menalifon Asrul dan bertanyakan kedudukannya... Rupa-rupanya di sebelah gerai Alaf 21... Dan sudah tentunya di gerai buku Fajar Pakeer, syarikat yang ada mengedarkan buku-buku saya...

Tentang gambar ini... Sekali lagi, setelah mendapat sudut yang sesuai, baru saya sendiri masuk gambar dan meminta orang mengambilnya... Pesan saya, kamera digital saya ini sangat sensitif pada gegaran, maklumlah kamera murah... Bila memetik gambar, pastikan kedudukan tangan tidak bergoyang untuk sekurang-kurangnya 1-2 saat, kalau tidak gambar boleh jadi senget ataupun blur... Seorang pembaca (Dong ke Hazratji, lupa pula) yang melihat betapa "kokak"nya kamera ini menjadi sedikit hairan... Inikah kamera yang selama ini saya gunakan untuk mengambil gambar-gambar yang diletakkan di dalam blogspot-blogspot saya?

Malam itu saya tidur di rumah Zaidi hampir ke bandar Nilai, dapat juga menggunakan Internet di sana. Ketika melihat isi terbaru chatbox, saya mendapati ada yang bertanya jika saya mahu ke pesta buku keesokannya... Itu yang membuat saya ingin pergi lagi ke PWTC hari Ahad, selepas Zuhur.

Adapun saya pergi ke pesta buku hari Ahad dengan pakaian yang sama ketika ke sana hari Sabtu... Maklumlah, saya pergi ke rumah Zaidi sehelai sepinggang, nasib baik sempat membasuh baju dan seluar malam itu dan sempat kering keesokannya. Sampai di sana jam 2.30 petang, saya terus meluru ke gerai Fajar Pakeer... Terus berlegar-legar di situ dengan gaya seperti seorang pengunjung biasa.

Setelah hampir setengah jam berlegar-legar di sekitar tanpa ada pembaca pun yang datang, saya pun membuat keputusan untuk melakukan sesuatu. Adapun sejak hari Sabtu, di dalam beg yang mengandungi 3 set siri buku "Berpetualang ke Aceh" (hari Ahad tinggal 2 set kerana sudah bagi 1 set kepada Pak Samad), juga terdapat sekitar 30-40 keping poster promosi siri buku BKA. Dengan selambanya saya mula membawa keluar poster-poster ini dan mula memberinya kepada mana-mana pengunjung pesta buku yang lalu di situ, yang saya rasakan mungkin berminat... Bukan main bagi pada semua orang sebab jumlah poster terhad...

Ketika itulah, baru pekerja-pekerja buku di gerai Fajar Pakeer sedar saya adalah seorang penulis buku dan buku saya ada di gerai mereka! Maklumlah, selalunya mana ada penulis buku buat kerja seperti ini, dengan tiba-tiba keluar mempromosi buku sendiri secara jalanan memberikan sendiri poster-poster promosi kepada orang yang lalu-lalang? Niat saya, dengan cara ini, selain dapat membuat promosi, mana-mana pembaca yang berhasrat untuk bertemu-muka dengan saya dapatlah berbuat begitu. Kalau tidak, bagaimana mereka mahu tahu saya ada di situ sedangkan kehadiran saya tidak dirancang dan tanpa pengumuman, setakat menurut keadaan lalu mengambil peluang menumpang di gerai orang?

Selalunya penulis buku yang sudah ada beberapa buku yang diterbitkan setakat akan duduk di kerusi meja yang disediakan oleh pihak penerbit untuk menandatangani autograph... Pihak pengedar buku seperti syarikat Fajar Pakeer tidak terlibat dalam kerja-kerja promosi sebegini... Lagipun mereka ada lagi banyak buku yang mahu ditonjolkan... Lalu ternyata sungguh betapa kehadiran buku-buku saya kelihatan janggal dikelilingi oleh novel-novel lain yang rata-rata adalah novel-novel cinta yang sering digemari golongan remaja! Untuk itu, saya ucapkan berbanyak-banyak terimakasih kepada pemilik syarikat pengedar ini iaitu Haji Pakeer kerana sudi mengedarkan buku-buku saya yang tidak menurut kelaziman citarasa novel biasa sehingga menongkah arus zaman...

Dalam dunia penulisan, selalunya seseorang penulis itu boleh goyang-kaki menunggu peminatnya datang... Tahulah dia menonjolkan diri sebagai seorang public figure dengan gaya serta penampilan yang sesuai, maka seharusnya tidak patut ia membuat kerja-kerja kuli yang tidak setimpal dengan taraf sebagai seorang penulis. Biar pihak lain bertungkus-lumur membuat promosi dan menarik perhatian... Dalam keadaan itulah muncul saudara Mded. Kami pun berkenalan dan Mded pun turut tolong memberikan poster-poster...

Selesai semua poster diberi, kami pun beredar mahu meninggalkan PWTC. Seketika itu juga ada kenalan menghubungi Mded juga saya untuk memberitahu mahu datang ke ke sana sekitar jam 5 petang... Ketika itu jam 3.45. Memandangkan ada yang ingin berjumpa dan hari itu hari terakhir pesta buku, terus timbul rasa untuk kembali ke rumah ibu saudara di Ampang untuk mengambil poster besar @ bunting promosi siri buku BKA.

Mded sempat mengikut saya berkejar ke Ampang menaiki LRT kemudian kembali ke PWTC. Sampai sahaja balik ke gerai Fajar Pakeer, kami pun terus mencari sudut yang sesuai untuk menggantung 2 buah bunting yang saya miliki tanpa mengganggu barangan orang lain... Kelihatan stand atau tiang bunting gerai syarikat Karnadya betul-betul di sebelah gerai Fajar. Lalu saya meminta kebenaran untuk menggantungkan bunting saya di tiang itu, memandangkan bahagian belakang yang menghadap ke gerai Fajar itu kosong... Dan satu lagi bunting saya letak berhampiran tempat juruwang gerai Fajar. Dapatlah jadi gambar-gambar di atas...

Sekitar jam 7.20 petang begitu, saya membuat keputusan untuk mencabut bunting-bunting ini... Rasanya cukuplah saya menumpang gerai Fajar... Kalau lama sangat, takut mereka pula tidak senang... Walaupun kehadiran bunting-bunting ini serta saya dan para pembaca sebenarnya berjaya menghidupkan sedikit suasana di gerai itu yang agak hambar akibat tidak ada apa-apa gimmick seperti persembahan, kehadiran menulis malah tidak ada penggunaan PA system atau apa-apa cara untuk memanggil pengunjung kecuali mengharapkan aturan buku di gerai semata-mata untuk menarik perhatian mereka yang lalu-lalang.

Selesai itu terus saya ke gerai KarnaDya untuk bertemu pemilik syarikat dan penulis Aina Emir yang sedang duduk selesa di satu sudut, di atas sebuah bangku berchusion seperti selayaknya seorang penulis yang sudah ada nama... Kerana mahu menyatakan terimakasih membenarkan saya menggunakan tiang atau stand nya untuk menggantungkan bunting saya sendiri...

Puan Aina bertanyakan tentang buku saya, apakah yang ditulis di dalamnya... Lalu saya pun menyebut ringkasannya terutama tentang peranan Ahlul Bait dahulukala menyebarkan Islam ke bumi Nusantara ini... Terus Puan Aina menyatakan yang dia juga ada darah Ahlul Bait... Saya pula tergerak untuk menghadiahkan 1 set buku kepadanya tetapi beliau menolak... Sebaliknya Puan Aina ingin membelinya!

Alhamdulillah, petang itu dapat juga saya sedikit duit poket selain kemungkinan membuat kerjasama penulisan baru nanti. Saya juga dapat kenal-kenalan baru serta orang-orang lain yang mula mengenali siri buku saya dan diri ini sebagai seorang penulis... Walaupun pada awalnya, saya pun tidak pasti jika dapat menghadiri pesta buku ini...

Hmm... Rasanya cukuplah saya meluahkan rasa sekitar perjumpaan di pesta buku ini. Terimakasih saya ucapkan kepada para pembaca yang sudi bertandang. Semoga anda dapat melihat akan keadaan serta peribadi diri saya yang sebenar... Semoga hilang apa-apa bentuk pun buruk sangka dan silap penilaian diri jika ada. Sekian! :]