Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Mac 31, 2012

Sneak peek pengembaraan sedang berlangsung melibatkan Johan

Dalam hutan di satu tempat sangat bermakna dalam sejarah lama negeri Cik Siti Wan Kembang cuba mencerna sejumlah maklumat sambil mengharapkan berkat yang boleh melancarkan fikiran dan menimbulkan ilham...



Subhanallah. Melihatkan tarikh hari ini 31 Mac atau 31/3 saya terasa harus membuat artikel baru. Kebetulan siang tadi sebelum sampai ke tempat yang tertera dalam gambar saya ada singgah di sebuah masjid berdekatan lalu mendapati meter kereta menunjukkan nombor 131. Malam apabila kembali ke hotel pula kelihatan nombor 310 pada meter, nombor yang sebenarnya ada faktor 131 juga (nanti diceritakan). Jadi sangatlah kena susun atur nombor yang tidak dirancang dengan tarikh hari ini, sangat sesuai untuk membuat artikel baru walau tak sepanjang mana.

Adapun pada artikel Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang yang dibuat 9 hari lalu ada dibayangkan kami anak beranak akan berjalan jauh dalam masa terdekat bersama anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan yang lahir 17 Februari iaitu bulan lepas. Nah. Perjalanan sudah pun dimulakan Isnin 5 hari lalu. Dari rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang masuk Kuala Lumpur membawa ke Janda Baik melalui jalan lama ke Pahang sebelum keluar balik untuk bermalam di Raub. Kemudian ke Kuala Lipis hingga ke Kampung Relong, patah balik ke KL (Kuala Lipis le) untuk ke Jerantut hingga ke Lubuk Pelang. Patah balik ke Jerantut untuk ke Jengka lalu ke Gunung Senyum. Kemudian berkejar ke Terengganu untuk bermalam di Dungun.

Bayangkan, sampai di Dungun pun saya sudah memandu lebih 750 km. Jadi agak-agak le berapa jauh lagi kereta bergerak bila kami ke Kuala Terengganu kemudian pusing-pusing sebelum berkejar ke Jertih untuk bermalam di sana. Masuk Kelantan, sempat lagi ke Pasir Puteh sebelum ke Machang lalu ke Pulai Chondong sebelum mendapatkan hotel di Kota Bharu. Siang tadi pusing lagi beberapa tempat termasuk ke Masjid Brunei di pinggir selatan Danau Tok Uban sebelum ke Bukit Panau kemudian ke pinggir utara danau yang merupakan sebuah tasik besar.

Meter bawah kereta sebenarnya sudah kosong balik menandakan ia melepasi tahap 1,000 km sebelum sampai ke KB. Bila nombor 310 timbul iaitu ketika kembali ke hotel malam tadi, ia sebenarnya menunjukkan 1,310 km sudah diharungi sejak perjalanan dimulakan hari Isnin. Adapun jarak perjalanan KB ke Kuala Lumpur adalah sekitar 474 km, kalau campur sekali jarak hingga kembali ke rumah jadi tidak kurang 515 km. Itu kalau kembali melalui laluan biasa KB-Gua Musang-Kuala Lipis-Raub-Kuala Lumpur tanpa keluar dari laluan. Sedangkan kami bercadang untuk mengikut laluan lain yang akan melibatkan banyak lagi tempat.

Sesungguhnya perjalanan terbaru ini jadi lebih istimewa kerana kami membawa anak kecil kami Johan. Sukacita dimaklumkan ini adalah artikel ke 969 di blogspot ini. Doakan kami anak beranak selamat sihat walafiat dan mendapat faedah tidak terhingga dari perjalanan ini ya. Selamat malam! :]


Ahad, Mac 25, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" - Legasi Sheikh Abdullah dan ikatan ukhuwah Turki Uthmaniyah Teungku di Bitai

Assalamualaikum. Setelah lebih 2 minggu menangguhnya biarlah cerita perjalanan Medan-Banda Aceh 2-13 November 2011 disambung kembali. Adapun siri ini dibuka dengan artikel mukadimahnya Akan datang - Jejak "Berpetualang ke Aceh" lebih 4 bulan lalu. Hari ini, setelah begitu lama kita melihat pelbagai perkara sampailah masa untuk menutup siri. Bersambung dari Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Saidi Mukammil ke Hamzah Fansuri...


Ahad 13 November kami keluar lagi ke sekitar Bandar Aceh.



Di satu kawasan desa barat daya pinggir Banda Aceh kalau tak salah ada satu kawasan madrasah yang ada tarikan istimewa.



Terdapat makam seorang ulama dahulukala yang dipanggil Abu Kuta Karang. Lihat artikel Makam (Tomb of) Abu Kuta Karang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Terdapat juga banyak makam-makam lama berbatu nesan Aceh. Lihat Makam-makam lama sekitar makam Abu Kuta Karang (Old tombs around the tomb of Abu Kuta Karang).


Namun tarikan utama ada kena mengena dengan perigi lama ini.



Air dari perigi sering dimasukkam ke dalam tempayan lama yang dipanggil geuchi dalam bahasa Aceh... ke geci, guci tak pun kechi? Yang saya ingat adalah geuchi lalu biarlah perkataan ini digunakan.



Ini kerana ulamak besar utama yang disemadikan di kawasan ini dikenali sebagai Teungku di Geuchi, katanya kerana selalu menggunakan tempayan itu. Namun nama sebenarnya adalah Sheikh Abdullah Kanaan dan beliau hidup lebih 800 tahun lalu! Ini adalah gambar di dalam bangunan makamnya. Terdapat sejumlah makam yang mungkin milik ahli keluarganya tetapi makam beliau sendiri terletak di dalam satu bilik istimewa.



Adapun Sheikh Abdullah Kanaan adalah guru kepada Sultan Johan Syah yang membuka kerajaan awal Aceh di Kandang Aceh tahun 1205 Masihi begitu. Saya percaya ada kemungkinan beliau adalah orang yang sama dengan Sheikh Abdullah Qumairi yang dikatakan mengIslamkan Sultan Muzaffar Syah I Kedah (memerintah 1136-1179), sama juga dengan Sheikh Abdullah Arif yang membawa kitab Tasawuf bernama Bahr Lahut ke Aceh 1166. Kiranya beliau terlibat secara langsung dalam pembukaan kerajaan Aceh yang wilayahnya mula menjadi besar seperti sekarang apabila Sultan Ali Mughayat Syah memerintah 1511-1530. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Abdullah Kanaan.



Seterusnya kami ke Bitai yang terletak lebih dekat ke Banda Aceh. Di sini ada kompleks tanah perkuburan yang menempatkan jasad askar-askar Turki yang dihantar untuk membantu Aceh menangani masalah penjajahan Barat yang bermula dengan penaklukan Portugis ke atas Kota Melaka 1511. Kelihatan berbumbung hijau, masjid yang dibina orang-orang Turki yang beranak-pinak berketurunan di sini. Lihat Masjid Turki di Bitai (The Turkish mosque in Bitai). Tanah perkuburan pula memenuhi sebahagian besar halaman. Lihat Makam para pejuang Turki di Aceh (Tombs of Turkish fighters in Aceh).




Menurut maklumat yang terdapat di sini perhubungan dengan Turki bermula selepas anakanda Sultan Ali Mughayat, Sultan Salehuddin memerintah 1530. Ketika itu Empayar Uthmaniyah Turki sedang dipimpin rajanya yang sangat terkenal dan digeruni Barat, Sultan Sulaiman Al-Qanuni atau Suleyman the Magnificent Qanuni, raja yang berjaya meluaskan pengaruh empayar lebih jauh, setelah ia diakui sebagai pusat kekhalifahan umat Islam sedunia. Satu kumpulan ulamak dan tentera dipimpin tokoh yang dikenali sebagai Teungku di Bitai dikatakan datang dari Turki membuka perkampungan di Bitai lalu membina akademi pengajian agama berserta akademi ilmu ketenteraan. Lihat Makam (Tomb of) Teungku di Bitai.

Namun sejarah Aceh secara umumnya lebih mengenali perhubungan Turki yang berlaku selepas adinda Sultan Salehuddin, Sultan Alauddin Riayat Syah Al-Qahar menaiki takhta 1539. Dalam rangka kerja untuk menepis percubaan ke sekian kali Portugis mahu menakluki Aceh, baginda mahu menyerang kedudukan penjajah di Kota Melaka lalu meminta Turki mengirim angkatan perang untuk membantu. Permintaan pun ditunaikan oleh Sultan Selim II Turki 1567. Baca maklumat pada artikel Museum kecil (Small muzium of) Bitai.



Seterusnya kami menziarahi makam Sheikh Abdul Rauf Fansuri atau lebih dikenali sebagai Syiah Kuala.



Cerita tentang ulamak yang menjadi Khadi Malikul Adil atau ulamak kerajaan tertinggi pada zaman empat raja perempuan memerintah Aceh 1641-1699 ini sudah disebut beberapa kali dalam artikel-artikel lama saya tentang Aceh.



Untuk menutup sesi ziarah kami hari itu kami pergi ke makam pejuang wanita Aceh tersohor 400 tahun lalu iaitu Laksamana Malahayati atau Raja Keumala Hayati.



Menariknya laksamana perempuan yang berkhidmat di bawah pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah Sayyid al-Mukammil (1589-1604) ini mendapat latihan ketenteraan di akademi Bitai, akademi yang dibina selepas kedatangan orang-orang Turki yang dipimpin Teungku di Bitai. Kedudukan makam di Teluk Lamreh, 40 km ke timur Banda Aceh pula mengaitkannya dengan Sheikh Abdullah Kanaan. Ini kerana menurut ceritanya sheikh ini pernah bersama anak muridnya Johan Syah pergi mengIslamkan kerajaan lama Lamuri yang berpusat di teluk itu.



Johan Syah kemudian menjadi raja Lamuri. Baginda seterusnya membuka kerajaan awal Aceh di Kandang Aceh, dalam kawasan Banda Aceh sekarang. Apakah pemilihan kedudukan makam Laksamana Malahayati di lereng bukit ini ada kena mengena dengan keberadaan kerajaan Lamuri? Pengembaraan yang tujuan utamanya adalah untuk menyusuri kembali tempat-tempat yang pernah dijejaki juga diceritakan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" kami tutup secara rasmi di sini.


Petangnya sampailah masa untuk kembali ke Malaysia.



Di lapangan terbang Sultan Iskandar Muda di luar Banda Aceh kami menyatakan kesyukuran kerana dapat menjayakan pengembaraan selama 12 hari ini dengan selamat dan sihat walafiat. Biar dingatkan pengembaraan dibuat ketika isteri sedang sarat mengandung lebih 6 bulan. Alhamdulillah anak baru iaitu kandungan tersebut kini sudah lahir dan masuk umur 37 hari. Walaupun adakalanya kami dilanda kesukaran misalnya apabila Rasyid yang ketika perjalanan baru berumur 2 tahun 1 bulan demam agak teruk selepas kembali dari perjalanan menaiki motosikal di kawasan atas gunung malam-malam di Pulau Samosir, tengah Danau Toba, secara rata perjalanan kami mendapat bantuan nyata mahupun ghaib. Sekian cerita ini. Nanti saya akan kumpulkan segala linksnya untuk menyenangkan pembacaan lebih bermakna dan ini juga akan dibuat untuk siri "Kembara Johor-Riau" yang ditamatkan 11 hari lalu. Wassalam... :]



Komputer Acer Aspire pun bersara

OK. Dalam 2-3 artikel kebelakangan ini saya ada memberitahu bagaimana akhir-akhir ini komputer laptop saya terlalu kerap memberikan masalah sehingga menganggu kelancaran saya menulis dan membuat kerja. Masalah nyata bermula awal tahun. Sebelum itu komputer ada diserang virus yang menimbulkan kekacauan, akibat kesilapan masuk satu link jahat yang disuakan dalam Facebook. Saya menyangkakan ia saranan dari seorang kawan lama walhal ia cuma daripada hacker yang mencuri identiti kawan untuk chatting. Mungkin susulan daripada itu kemudian timbul masalah komputer tiba-tiba boleh sangkut dan gambar pada skrin menjadi terpecah-pecah.

Apabila ini berlaku terlalu kerap isteri saya mencadangkan agar saya menghantar komputer untuk dibaik pulih seorang kenalannya. Sekitar 2 minggu lepas saya pun menghantar. Namun setelah segala isi komputer diformat kembali, setelah ditukar Windows Vista kepada Windows 7 Ultimate, setelah 2GB on-board RAM ditukar baru masalah masih melanda malah semakin menjadi-jadi. Keadaan begitu teruk hinggakan artikel Dari Tok Bentayan ke Sultan Alauddin ke Tuanku Tambusai - Latihan awal Johan untuk pengembaraan akan datang yang dimulakan selepas Isyaq Khamis malam Jumaat baru ini cuma dapat disiapkan hampir waktu Subuh dengan komputer hang lalu terpaksa direboot kembali tidak kurang 20 kali, mungkin lebih 30!

Saya pun tak tahu apakah masalah sebenarnya. Kalau serangan virus sahaja, bagaimana teruk sekali pun keadaan seharusnya ia kembali pulih selepas segala isi komputer diformat kembali atau 'dicuci' bersih. Kawan-kawan menyebut kemungkinam besar ia masalah hardware. Mungkin graphic card rosak menyebabkan paparan jadi pecah. Selain itu mungkin ada masalah bahagian lain hardware sehingga kadangkala komputer boleh sangkut atau hang begitu sahaja (gambar pada skrin tidak terpecah-pecah). Ada masanya pula ia reboot sendiri secara tiba-tiba.

Kesimpulan mudah, komputer tersebut dari jenis Acer Aspire 2920 sudah tamat jangka hayatnya. Ia dibeli pertengahan 2008 untuk menggantikan komputer terdahulu yang juga rosak dan menurut kawan-kawan memang biasa laptop atau komputer riba dapat bertahan setakat 3 tahun sahaja. Komputer saya pula sudah nak masuk umur 4 tahun. Ia digunakan agak lasak, sudah mengikut saya mengembara masuk hutan, naik gunung, masuk pulau dan bermacam lagi ceruk rantau. Jadi adat le kalau masalah menimpa berganda-ganda. Nampaknya buang masa dan duit sahaja kalau terus cuba memperbaikinya.


Maka itu saya tiada pilihan. Komputer baru harus didapatkan. Petang Jumaat, setelah menghabiskan sejumlah masa melihat pelbagai model di Imbi Plaza dan Low Yatt, saya telah membeli komputer baru jenama ASUS yang harganya cukup murah tetapi kuasanya cukup tinggi untuk membenarkan saya bermain-main dengan graphics, boleh membuat kerja-kerja menyunting video Full HD (high definition). Kalau setakat untuk penulisan dan membuat buku sahaja saya boleh membeli komputer kecil jenis notebook yang lebih murah. Tetapi saya juga sesekali perlu untuk bermain dengan graphics berkualiti atau berdefinisi tinggi.

Dengan ini diumumkan persaraan komputer Acer yang sudah dipakai sejak 2008. Jika komputer sebelumnya dari jenama Twinhead yang dipakai mulai 2005 dapat digunakan untuk menghasilkan tiga buku terawal saya, "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006, lihat Sinopsis BKA I), "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (Mei 2007, lihat Sinopsis BKA II) dan "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?" (Nov 2007, lihat Sinopsis BKA III), komputer Acer itu pula menghasilkan sebuah DVD dan 4 lagi buku. DVD tersebut bertajuk "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" (Okt 2008, lihat Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap! ). Buku-buku ialah "Rumah Azan" (April 2009, lihat Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC ), "Ahlul Bait (Family) of Rasulullah SAW and the Malay rulers" (awal 2010, lihat Buku Inggeris Ahlul Bait Raja-raja Melayu dan faktor 131 juga 313), "Kereta Api Menuju Destinasi" (awal 2011, lihat Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi), dan "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" (Oktober 2011, lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia dan Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah".

Semoga komputer baru yang lebih berkuasa ini dapat bertahan jauh lebih lama. Semoga lebih banyak karya lebih bermutu dapat dihasilkan dengan izin Qudrat dan Iradat pinjaman dari Allah Ta'ala, dengan huruf-huruf disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW dan para wali baginda, amin. Di sini biar diletakkan links beberapa artikel berkaitan iaitu tentang komputer-komputer saya yang telah 'bersara' lebih awal. Biar juga diletakkan links artikel tentang kamera-kamera lama kerana ia juga cukup berjasa, apalagi untuk menerbitkan beribu, mungkin berpuluh ribu gambar yang telah digunakan untuk membuat artikel-artikel di 3 blogspots saya (kini menghampiri 3,000 artikel!). Ini dia...


Komputer Sinclair ZX81... Satu kenangan lama 25 tahun lalu!