Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, July 06, 2012

Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - The compilation...


Alhamdulillah, cerita pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung sudah tamat penceritaannya beberapa hari lalu. Sekadar mengingatkan kembali, perjalanan yang melalui 5 buah negeri - Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor - ini menyaksikan saya memandu kereta sejauh 2,374.9 km, satu rekod peribadi. Dibuat 26 Mac-4 April satu macam corak pun terbentuk apabila kami menginap 1 malam di Pahang, 2 di Terengganu, 3 di Kelantan diikuti 2 di Perak dan 1 di Selangor sebelum kembali ke rumah. Tujuan utama perjalanan adalah untuk melawat 2 orang anak lebih besar yang bersekolah di Kelantan.

Sambil itu saya mahu melawat beberapa tempat yang tidak sempat diziarahi dalam perjalanan-perjalanan terdahulu ke Pantai Timur. Kami juga mahu membiasakan anak kecil kami Johan yang ketika itu baru berumur sekitar 40 hari dengan perjalanan jauh, sebagai persediaan untuk perjalanan pusing Pulau Jawa 1-14 Mei yang dijangkan akan lebih mencabar. Di bawah dikumpulkan links untuk artikel siri ini berserta artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

1. Sneak peek pengembaraan sedang berlangsung melibatkan Johan
































Thursday, July 05, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Batik Pekalongan dan makam Sunan Gunung Jati

Assalamualaikum semua. Malam ini malam Nisfu Sya'aban saya rasa amat sesuai untuk menyambung cerita Pulau Jawa. Bersambung dari Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Sunan Muria, Sunan Kudus, Sunan Kalijaga dan Demak. Fasa perjalanan lasak pun bermula....


Pagi Sabtu 5 Mei. Saya mengambil udara segar di hadapan hotel.


Alhamdulillah, hotel murah tempat kami menginap ini terletak di tengah bandar Pekalongan.


Saya pun keluar berjalan-jalan membawa seorang sahaja anak.


Tengah hari sedikit baru saya membawa isteri dan bayi sekali.


Kami pergi mencari pakaian batik sebagai kenangan dan di sini terdapat banyak kedai. 


Memang Pekalongan terkenal dengan batiknya malah dikatakan pusat batik bagi seluruh negara Indonesia. Lihat artikel Pekalongan, the batik centre of Indonesia di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Kemudian kami berehat di masjid utamanya yang boleh tahan besar. Lihat artikel Masjid Agung (Great mosque of) Pekalongan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Makan tengah hari di warung berdekatan hotel.


Selepas itu baru kami check-out. Dengan menaiki beca kami pergi ke hentian bas ekspress terdekat.


Alhamdulillah dapat bas tidak lama kemudian. Destinasi seterusnya adalah bandar Cirebon, sekitar 140 km ke barat Pekalongan.


Ini pula adalah jadual kereta api di stesyen situ.


Sampai sahaja di terminal bas Cirebon kami mendapat beca untuk ke bandar seterusnya ke satu tempat 5 km ke utara Cirebon. Dalam perjalanan saya meminta singgah di stesyen kereta api untuk melihat jadual. Saya perlu merancang dan membuat keputusan perjalanan ke hadapan...


Tempat yang hendak dituju adalah makam Wali Songo ke 9 dan terakhir bagi kami.


Ia adalah milik wali besar yang dikenali sebagai Sunan Gunung Jati, orang yang dipercayai ada kena-mengena dengan moyang sebelah ibu saya yang berasal dari Pekalongan. Rujuk balik cerita Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Sunan Muria, Sunan Kudus, Sunan Kalijaga dan Demak. Fasa perjalanan lasak pun bermula....


Beginilah keadaan di hadapan pintu masuk dalaman ke makam. Untuk pengetahuan kawasan makam didirikan seperti kota berlapis-lapis dan pengunjung dibenarkan masuk sampai ke takat ini sahaja.


Selepas pintu ini masih ada 8 lagi lapis pintu untuk dilepasi. Katanya ia cuma dibuka untuk kerabat istana Cirebon dan mereka yang ada kena-mengena, itupun pada waktu tertentu sahaja, mungkin cuma beberapa kali setahun. Ada pula menyebut kalau kita sanggup membayar sekurang-kurangnya 600,000 Rupiah pada pekerja makam mereka sudi membawa ke atas. Banyak tu duit... lebih kurang RM200 sekali pergi dan mungkin untuk satu kepala sahaja. Itupun saya diberitahu laluan naik itu sudah lebih 3 bulan ditutup akibat perbalahan antara kerabat mengenai kutipan derma. 

Untuk makluman, boleh kata pada setiap makam Wali Songo ada sahaja orang meminta-minta sedekah dan derma. Di makam Sunan Gunung Jati perkara ini menjadi lebih teruk berkali ganda kerana memang 'slogan' di sini, berbunyi lebih kurang begini... 'mendermalah' banyak-banyak untuk menambah 'amal' diri. Namun ada jalan belakang yang boleh digunakan untuk sampai ke atas. Lihat Makam (Tomb of) Sunan Gunung Jati. Itupun kalau dibenarkan oleh penjaga. Kalau tidak duduk sahaja di hadapan pintu dalam gambar kemudian kembali...

Oh. Inilah gambar yang digunakan pada artikel terawal siri ini, Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Sneak preview. Sekadar mengingatkan, artikel 'sekelumit rasa' itu ditulis ketika perjalanan 14 hari masih lagi berlangsung di Pulau Jawa. Ketika itu kami pun belum tahu apakah perjalanan dapat dijayakan sepenuhnya seperti yang dirancang dan diharapkan. Tapi kami sekurang-kurangnya sudah berjaya menziarahi makam setiap 9 orang Wali Songo...


Kami makan malam lambat. Sebelum itu ada singgah di masjid sebelah makam. Lihat Masjid (Mosque of) Sunan Gunung Jati.

Dengan menggunakan beca yang sama kami kembali ke bandar Cirebon. Saya tertarik dengan masjid besar di tengah bandar. Lihat Masjid Raya (Main mosque of) At Taqwa, Cirebon.

Beca menghantar kami kembali ke stesyen. Sudah boleh agak apa rancangan kami seterusnya?






Apakah destinasi kami selepas ini?


Kalau dah pegi stesyen kereta api takkan pula nak naik kapal layar atau basikal kan? Dengan selesainya ziarah ke makam Sunan Gunung Jati maka tamatlah fasa ziarah makam Wali Songo yang mana 3 hari terawalnya dilakukan dengan menaiki kereta sewa, kemudian baru dengan kenderaan awam seperti beca, bas dan membonceng motosikal berbayar (dipanggil ojek). Masuklah ke satu lagi fasa yang ternyata akan lebih mencabar apabila hari ke 5 pengembaraan membawa ke hari ke 6. Dan itu masih belum separuh perjalanan keseluruhan yang memakan masa 14 hari... :]


p/s: Baru tersedar. Ada semacam syncronisation di sini... Artikel ini menceritakan aktiviti yang dibuat pada 5 Mei sedangkan tanpa dirancang kecuali gerak malam Nisfu Sya'aban ia ditulis pada 5 Julai. Hmm...



Wednesday, July 04, 2012

Istana Negara, Kota Buku dan naik gajah - Perjalanan terjauh selepas pusing Pulau Jawa

OK. Ini ada cerita kecil dari perjalanan hujung minggu baru ini.


Sabtu 30 Jun selepas Zuhur kami keluar menghala ke Kuala Lumpur. Singgah makan di restoran jejantas Lebuhraya PLUS.


Selepas itu kami terus ke Istana Negara yang lama.


Istana yang pernah menjadi tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong Malaysia pertama hingga ke 13 ini sudah dibuka kepada awam tidak lama selepas Istana Negara baru di Jalan Duta mula dipakai awal tahun ini.


Isteri sudah lama mengajak ke sini. Dapatlah tengok singgahsana asli yang pernah digunakan selama setengah abad gitu...


Kawasan yang dibuka kepada awam termasuk balairong di mana pernah diadakan banyak upacara penuh adat istiadat melibatkan kepimpinan tertinggi negara. Lihat artikel Istana Negara lama (The old National Palace) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Kemudian kami ke Perpustakaan Kuala Lumpur di sebelah Dataran Merdeka.


Saya mahu melihat acara Car Book Sale yang diadakan oleh satu badan dipanggil Perbadanan Kota Buku. Sampai sahaja di hadapan gerai ini saya disambut oleh penggiat budaya terkenal, Profesor Dr. Siti Zainon (tiada dalam gambar). Walaupun saya mula mengenalinya beberapa tahun lalu dan ada menghadiahkan buku tak sangka beliau ada mengikuti cerita-cerita dan kisah perjalanan saya, isteri dan anak-anak di blogspots dan Facebook. Prof. Siti pun memperkenalkan saya kepada pengurus perbadanan, En. Razin (duduk kiri).

Duduk di kanan adalah Puan Zakiah, isteri kepada pelukis dan penulis buku kanak-kanak berjaya, Yusof Gajah. Hmm. Tak sangka pula boleh bertemu di sini kerana perjalanan kami kali ini memang ada kena-mengena dengan gajah. Yusof Gajah yang dipanggil ramai sebagai Pak Yusof agak terkenal dengan lukisan-lukisannya yang selalu berunsurkan gajah. Saya mula mengenali pasangan suami isteri ini semasa menghadiri bengkel penulisan buku kanak-kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Tanjung Tuan 2 bulan lalu. Lihat Bengkel penulisan buku kanak-kanak dan makam Parameswara di Tanjung Tuan.


Di sini saya juga bertemu seniman puisi santai tapi bermakna, saudara Pyanhabib bersama Pak Aris, pelukis dan orang lama Central Market. Teringat hujung tahun 1980an hingga awal 1990an ketika CM begitu hidup dengan acara-acara seniman jalanan yang terasa begitu jujur meluahkan perasaan dan hati nurani rakyat. Teringat juga semasa zaman itu, sebelum berlepas ke London 1991 untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Matematik saya pernah bermain gitar memainkan lagu apa entah, saya tak ingat diringi nyanyian sejumlah warga CM mewakili semua seniman jalanan dalam satu siaran langsung di televisyen RTM yang disertai pak menteri...

Di sini, di hadapan Perpustakaan KL saya dapat merasakan sekelumit aura CM zaman tersebut, rasa yang telah agak lama hilang setelah tempat ramai seniman pembuka pencak itu diresapi unsur-unsur jahat kapitalis yang kelihatan mahu memencilkan para peniaga kecil Melayu. Rasanya proses 'pengkotoran' seni ini bermula semenjak Central Market dibeli oleh syarikat dari pulau "pura-pura" di selatan sana, kalau tak salah tidak lama selepas saya kembali dari London 1995. Nampaknya acara Car Book Sale ini mampu memangkin sesuatu yang besar. En. Razin memberitahu ini adalah edisi ke-5 lalu mengajak saya ikut serta sama.

Hmm. Insyaallah saya akan ikut bermula edisi ke 7 sebulan lagi di tempat ini. Edisi ke 6 akan diadakan 14 Julai di Melaka tetapi kami sekeluarga sibuk dengan hal lain. Lihat artikel Car Book Sale at the KL Library di blogspot  BERPETUALANG KE ACEH.



Ini pula gambar isteri dan anak-anak bersama penulis buku politik terkenal. S.H. Alattas atau Pak Habib di kediamannya di Kampung Janda Baik, Pahang keesokan hari, Ahad 1 Julai. Walaupun saya pernah menetap di sini (ada beberapa buah rumah dalam satu kawasan taman 8 ekar) selama kira-kira 3 tahun dan pernah menolong Pak Habib menulis, menyunting dan menyelidik isi beberapa buah bukunya saya dan isteri lebih selesa bermalam di surau berdekatan apabila berada di kawasan tanah tinggi rezab orang Melayu ini.


Namun saya tidak lupa menjengok dan berjumpa Pak Habib setiap kali berada di Janda Baik. Rupa-rupanya tengah hari itu ada acara bacaan Ratib Al-Attas diikuti deklamasi puisi oleh Sasterawan Negara A. Samad Said @ Pak Samad dan pelakon serta seniwati Fauziah Nawi. Tapi kami tidak dapat menunggu kerana ada hal lain. Setakat sempat bertembung dengan Pak Samad sebelum berlepas pergi je...



Sebelum keluar dari kawasan besar Janda Baik kami tergerak untuk singgah di rumah lama yang dicabut dan dibawa dari Perak ini, rumah milik almarhum Raja Ashman Shah ibni Sultan Azlan Shah. Sudah agak lama tidak menjejakkan kaki di sini. Inilah kali pertama kami sampai setelah Raja Ashman mangkat lebih 3 bulan lalu. Rujuk artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Tentang gigi Rasyid dan ziarah ke makam Raja Ashman.


Rumah lama ini memberikan satu rasa nyaman yang seperti sentiasa menyapa saya zahir dan batin. Terjumpa pula rakan saya Zaidi yang datang dari arah Nilai, Seremban, baru sahaja sampai bersama keluarga. Semasa bujang beliau pernah menumpang di rumah ini selama beberapa bulan. mungkin lebih setahun kalau tak salah ingatan. Ketika itu ada beberapa orang anak muda dibenarkan almarhum Raja Ashman menumpang  bersama seorang tua berbangsa Inggeris yang sudah lama memeluk Islam.

Kali terakhir saya berjumpa Zaidi adalah apabila beliau menemani saya untuk satu acara di Masjid Negeri, Shah Alam pertengahan April. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh. Tak sangka boleh pula terjumpa di sini. Itupun selepas timbuk gerak untuk masuk ke rumah.  Sedangkan sebelum itu saya cuma mahu lalu di jalan hadapan dengan niat memberi salam daripada jauh...


Dari Janda Baik kami terus mengambil lebuh raya untuk berkejar ke Kuala Gandah, Lanchang.


Kami mahu melihat gajah-gajah hutan tetapi jinak yang dijaga oleh pihak Perhilitan. Oh, biar diberitahu, selepas membuat perjalanan pusing Pulau Jawa 1-14 Mei (rujuk artikel siri sedang berjalan yang kini sudah masuk ke-7, Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Sunan Muria, Sunan Kudus, Sunan Kalijaga dan Demak. Fasa perjalanan lasak pun bermula...), kami sudah lama tidak berjalan jauh. Kami cuma ada pergi ke sekitar Rawang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Selangor, kiranya dalam lingkungan 50-55 km daripada rumah kami di Bandar Tasik Puteri. Apabila ke Janda Baik baru kami memecah 'kemalasan' kerana letaknya lebih 80 km. Maka Kuala Gandah yang terletak kira-kira lagi 80 km perjalanan adalah tempat paling jauh kami pergi setakat ini setelah kembali dari Jawa.


Perjalanan ini dicadangkan oleh isteri. Beliau baru mendapat tahu, di Kuala Gandah pengunjung boleh menaiki gajah tanpa apa-apa bayaran. Mengenangkan perjumpaan dengan isteri Yusof Gajah di Car Book Sale hadapan Perpustakaan KL (lihat gambar ke-7 artikel, Pak Yusof sendiri sedang berada di Port Dickson) isteri saya berseloroh : "Macam tau-tau je kita nak pegi naik gajah..."


Saya sendiri sudah lama mendengar tentang pusat perlindungan gajah ini dan ada terfikir hendak pergi tapi tak sampai-sampai. Mungkin saya tidak begitu teruja seperti isteri kerana pernah merasa menunggang gajah di Phuket, Thailand... sedangkan ini pengalaman pertama beliau. Saya juga pernah memanjat ke atas kepala  gajah lalu menunggang sendiri binatang besar itu yang masih dikurung di atas kapal yang baru tiba dari luar negara lalu berlabuh di Port Klang. Tak payahlah diceritakan bagaimana ini boleh berlaku. Cukup diberitahu, tiba-tiba timbul gerak 'gila' seperti halnya ketika saya memanjat air pancut yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia di Trafalgar Square, London. Lihat artikel lama Keratan akhbar lama dari United Kingdom - Kenangan lama mandi air pancut di Trafalgar Square, London!. :]


Namun diakui saya sebenarnya amat teruja juga di sini. Kelihatan isteri menunggang nun di hadapan bersama anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang kini berumur hampir 2 tahun 8 bulan. Gambar ini diambil dari atas gajah lain yang ditunggang bersama bayi kami, Muhammad Alauddin Johan yang kini berumur 4 bulan setengah. Kami sebenarnya mahu menunggang sama sekeluarga tetapi disuruh berpecah kerana tidak cukup ruang selamat di atas gajah.


Selepas itu kami berpeluang memandikan gajah, juga mandi bersamanya.


Untuk acara ini cuma saya dan Rasyid sahaja pergi. Isteri harus menjaga Johan yang terlalu kecil untuk terlibat sama...


Dalam perjalanan kembali iaitu sebelum mengambil pintu masuk terdekat lebuh raya saya terlihat papan tanda menunjukkan arah ke sebuah tinggalan menarik. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Bolok Hilir.


Selepas melepasi Bentong pula saya dapati lebuh raya selalu sahaja sesak sedangkan hari semakin lewat. Kami pun singgah bersolat di masjid ini. 










Artikel tentangnya Masjid (Mosque of) Lentang, Pahang menjadi yang ke 1,010 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Menariknya apabila direfresh untuk melihat artikel itu masuk saya dapati kaunter pengunjung menunjukkan nombor di atas. Ada 1,010 seolah-olah mahu mengisyaratkan sesuatu. Apakah ada kena-mengena dengan fakta bahawa Sungai Lentang yang terletak tidak jauh dari masjid, boleh dilihat dari lebuh raya atas nama Hutan Lipur Lentang airnya berasal dari Kampung Janda Baik yang terletak lebih tinggi di atas bukit dan lebih jauh ke dalam hutan?

Oleh kerana perjalanan kali ini dibuat dengan tujuan utama mahu menunggang gajah, apakah ada faktor gajah pada nombor ini? 'Mukadimah' perjalanan memang ada faktor gajah (gerai buku Yusof Gajah di Car Book Sale) sebelum kami menunggang di Kuala Gandah (kata isteri saya, gajah dari Uganda agaknya, kata saya pula kalau begitu gandakan wang anda di Bank of Uganda!). Mungkin gajah dahulukala di Janda Baik ada menyusuri aliran air hingga ke Lentang sebelum turun gunung dan bukit lebih ke bawah. Mungkin gajah itulah yang mewujudkan populasi di Kuala Gandah kerana laluan air boleh membawa ke Sungai Semantan masuk ke Sungai Pahang?

Ah. Teringat perjuangan Orang Kaya Semantan Datuk Bahaman yang turut disokong pahlawan terkenal Mat Kilau dan ayahnya Imam Perang Rasu yang bergelar Tok Gajah. Sebenarnya kira-kira 1 km sebelum meninggalkan lebuh raya untuk masuk jalan kampung ke Kuala Gandah berlaku sesuatu yang pelik pada kereta kami. Kemudian baru kami dapat tahu laluan berdekatan pernah digunakan oleh pahlawan-pahlawan Pahang tersebut. Sudah... 



Sunday, July 01, 2012

Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Lumut, Teluk Intan, Kuala Kubu. Cukuplah perjalanan 2,374.9 km

Alhamdulillah sukacita dimaklumkan kami anak beranak baru sahaja kembali dari Kuala Gandah, Pahang  di mana kami berpeluang menunggang gajah di padang dan memandikan anak gajah di sungai. Sebelum itu kami bermalam di Janda Baik, kali pertama kami keluar berjalan di luar lingkungan jarak 50-55 km dari rumah sejak tamat perjalanan ke Pulau Jawa 1-14 Mei. Selepas mandi, bersolat dan makan timbul gerak untuk menamatkan siri cerita perjalanan ke Pantai Timur 26 Mac- 4 April. Sebolehnya saya mahu ia dilakukan selagi hari ini masih 1 Julai. Maka bersambung cerita dari artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Ipoh, Papan dan legasi orang Mandailing.


Selasa 3 April 2012, selepas bermalam di Lumut kami berehat sebentar di tepi sungai. Lihat artikel The Dinding river in front of Lumut town di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.

Kalau dah sampai di bandar peranginan ini tak sah kalau tak pusing-pusing walau sebentar. Satu bangunan lama yang saya tidak pernah jemu lihat dan singgah adalah masjid lama Lumut ini, masjid yang entah sudah beberapa kali saya tonjolkan dalam artikel-artikel lama.


Kami singgah di Manjung untuk makan tengah hari bersama seorang kenalan lama, saudara Hasnor. Bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia ini lebih dikenali sebagai Malay Old Man @ MOM dalam satu dua forum di Internet, forum-forum yang selalu membincangkan petua dan ilmu orang Melayu lama termasuk hal perubatan dan persilatan zahir dan batin.


Dari Manjung kami menuju ke Teluk Intan. Lalu di Lekir singgah di masjid ini. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Batu 8, Lekir, Perak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Menariknya, selain reka bentuk masjid yang memakai ukiran tradisional yang saya suka panggil sebagai "lidah terjulur" terdapat maklumat menyebut Kampung Lekir dibuka tahun 1798 Masihi oleh seorang bernama Tok Gondah @ Cek Ahmad bin Tok Laaji. Sepanjang kembara saya nama Tok Laaji atau serupa pernah saya dengar milik satu orang sahaja. Apakah ia orang yang sama? Lihat artikel lama Balik Muar Raya Cina : Makam Tok Laji dan Makam Raja Melewar.

Selepas itu kami ada berjalan di sekitar Sungai Rubana kemudian menuju ke Kampung Batak Rabit, Teluk Intan untuk menziarahi kawasan pemakaman keluarga saya sebelah bapa.




Selepas itu kami anak beranak berehat di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan.


Hampir 10 malam baru kami keluar untuk meneruskan perjalanan. Pusing-pusing di bandar Teluk Intan sebentar.


Ini pula adalah keadaan di Kuala Kubu Baru, Selangor keesokan harinya, Rabu 4 April.


Kami bermalam di sini kerana lebih senang membuat paspot antarabangsa di pejabat imigresyen Kuala Kubu bila siang nanti. Di bandar kecil ini kami tidak perlu berebut-rebut seperti halnya di Kuala Lumpur. Paspot itu adalah untuk anak kecil kami Muhammad Alauddin Johan yang ketika itu baru berumur sekitar 47 hari, untuk perjalanan pusing Pulau Jawa 1-14 Mei. 

Saya tak pasti jika ada menyebut ini dalam artikel terdahulu. Biar ditambah, selain beberapa sebab lain perjalanan 26 Mac-4 April ke Pantai Timur yang turut meliputi sebahagian negeri Perak diikuti Selangor ini dibuat untuk menyediakan Johan agar dapat menghadapi perjalanan pusing Pulau Jawa yang jauh lebih mencabar.


Gambar ini diambil di empangan Hulu Selangor. Saya sudah lupa sama ada ke sini selepas siap paspot atau sementara menunggu siap.


Yang pasti selesai urusan rasmi kami singgah di masjid lama Ampangan Pecah iaitu lokasi asal pekan Kuala Kubu.


Ternyata masjid ini telah diperbaiki menjadi lebih elok dan cantik...


Selepas itu kami pun kembali ke rumah. Saja-saja ambil laluan berliku jalan lama ke Batu Arang sebelum masuk ke Bandar Tasik Puteri.


Sampai sahaja di rumah, meter bawah kereta menunjukkan nombor 374.9. Adapun sebelum memulakan perjalanan kami telah mengosongkannya dari rumah. Setelah berjalan beratus kilometer ia kembali kosong dengan sendirinya (ah... saya sudah lupa di mana tapi harus di Terengganu atau Kelantan) buat pertama kali menandakan kereta sudah dipandu 1,000 km. Kemudian ia kosong sekali lagi di Perak (tak ingat belah mana) menandakan kereta sudah dipandu 2,000 km. Tambah 374.9 ini maka untuk perjalanan 26 Mac-4 April saya sudah memandu sejauh 2,374.9, satu rekod peribadi. Tamat cerita... :]


p/s: Pagi Isnin 2 Julai isteri saya mengingatkan ada satu lagi yang istimewa malah lebih tentang  apa yang tertera pada gambar ini tetapi saya terlupa. Lihat meter atas. Nombor 170212 itu bermaksud sejak kereta dibeli beberapa tahun lalu ia telah dipandu sejauh 170,212 km. Menariknya, kebetulan nombor ini melambangkan tarikh lahir bayi kami Johan. Beliau lahir 17 haribulan Februari 2012 yang boleh ditulis sebagai 17/02/12. Nah. Sesuai sangatlah dengan tajuk siri ini iaitu "Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung"! Ingat. Meter atas tidak boleh diubah, tidak boleh dimulakan dengan kosong kembali seperti halnya meter bawah. Sesuai sangatlah nombor ini keluar selepas perjalanan selesai...