Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, May 02, 2018

Memenangkan kepentingan orang Melayu dan Islam melalui PRU14

Salam semua. Ada perkongsian luar kebiasaan saya sebagai seorang penulis dan pemikir yang sangat membencikan sistem demokrasi dan politik kepartian... kerana pada saya ia sangat memecah-belahkan masyarakat. Walaupun tidak menggemari dunia politik, sedikit sebanyak saya tetap mengikuti perkembangan melalui media massa, Internet dan perbualan kawan-kawan. Pun begitu, walaupun dunia politik tanah air menjadi sangat hangat dalam sebulan dua kebelakangan disebabkan PRU14 atau Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang saya tidak memberikan apa-apa komen mahupun status update berkenaan di Facebook atau blogspots. Tetapi awal pagi buta Isnin 30 April iaitu pada jam 12.12am tiba-tiba hati saya tersentuh untuk meluahkan kata-kata berserta gambar berikut di FB...



BILA BULAN PENUH DAPAT MENERANGI MALAM YANG GELAP...

Bulan penuh nak masuk Nisfu Sya'aban 15 haribulan Hijriah merangkap Selasa 1 Mei mungkin satu petunjuk. Aku tidak suka dengan politik dan tidak mahu mencampuri urusan politik. Cuma aku harus katakan bulan terang mungkin dapat memberikan lebih banyak harapan kepada umat Melayu Islam berbanding mana2 pihak...



Mungkin ini berlaku kerana tidak dapat lagi membendung rasa tentang apakah nasib Melayu dan Islam selepas PRU14. Pada saya begitu jelas, walaupun dua pihak terbesar dalam perlumbaan pengaruh pada masa kini kelihatan saling bertentangan namun kedua-duanya seperti sepakat dalam memenangkan kepentingan orang bukan Melayu dan bukan Islam. Ditambah keadaan bulan penuh terang benderang yang dilihat di tengah bandar raya Kuala Lumpur selepas Maghrib malam itu saya terpanggil untuk menyatakan sesuatu..Entah kebetulan atau tidak pagi itu jam 11.04 pula saya mendapat panggilan telefon daripada bapa angkat saya, penulis buku politik terkenal, Syed Hussein al-Attas @ S.H.Alattas @ Pak Habib meminta saya menyertai satu majlis melibatkan politik tanah air...


Kata beliau ada Press Conference. Saya diminta datang dengan memakai seperti kebiasaan saya suka berbusana penuh tradisional Melayu, bersampin, bertanjak dan berkeris. Kata Pak Habib beliau mahu saya bercakap tentang Melayu. Isteri yang mendengar tentang ini sedikit risau. Beliau tahu selama ini saya selalu meletakkan diri above politics. Tiba-tiba ayahanda yang memang cukup terkenal dalam dunia politik dengan pelbagai penulisannya lalu telah menerbitkan sendiri lebih 80 buah buku mahu saya berada di hadapan menyatakan sesuatu...


Saya juga ada sedikit rasa risau sebenarnya. Saya sudah biasa memaparkan diri sebagai orang yang berkecuali melainkan dalam kepentingan Melayu dan Islam lalu tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana parti. Tetapi saya tolak tepi semua itu kerana memikirkan yang memanggil itu adalah seorang hamba Allah yang saya panggil Abah sejak 16 tahun lalu. Saya pernah menumpang teduh di rumah beliau selama beberapa tahun. Saya belajar cara menulis dan menerbitkan buku daripada beliau...


Saya pernah menganjurkan satu acara HIKMAH di rumah rehat beliau di Janda Baik awal tahun 2016. Lihat artikel Acara keenam belas HIKMAH di University of Life @ rumah S.H.Alattas, Janda Baik 30-31 Jan 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Penghujung tahun itu saya menganjurkan satu majlis HIKMAH tidak berapa jauh dari tempatnya lalu mengundang Pak Habib menjadi perasmi dan beliau sudi. Lihat Acara kesembilan belas HIKMAH di Dusun Nora, Bukit Tinggi, Bentong, Pahang 17 Disember 2016.
.


Masuk tahun 2017 saya diminta oleh pengarah filem terkenal, saudara Mamat Khalid untuk menjayakan satu majlis di pusat seni selenggaraan beliau iaitu Sarang Art Hub di Tanjung Malim. Saya diminta merangka dan membuat pengisian utama berbentuk satu forum tentang filem lalu meminta Pak Habib menjadi seorang ahli panel. Beliau sanggup datang dan seperti biasa tanpa dijanjikan imbuhan apa-apa. Lihat Acara "Sireh Pulang ke Gagang", pelancaran dirham HIKMAH dan forum "Busana dalam Filem Klasik Melayu" di Sarang Art Hub.
.


Penghujung tahun tersebut pula saya diminta oleh satu pihak untuk menjayakan majlis Maulidur Rasul di sekitar kawasan Kuang, Selangor. Mereka meminta saya mendapatkan Pak Habib untuk berkongsi sedikit ilmu. Saya pun memberitahu bapa angkat saya itu lalu beliau datang tanpa banyak soal. Lihat Maulud Agung Alam Melayu 2017 - Aktiviti santai siang hari.


Oleh itu saya merasa patut menyahut dan menyambut panggilan beliau pula. Tak kiralah apa yang akan berlaku nanti, saya tetap akan menjaga pendirian sendiri tidak mahu berpihak kepada mana-mana parti. Saya mahu bercakap tentang Melayu. Pendirian saya adalah mesti menjaga kepentingan Melayu dan Islam. Saya pun membuat update status berikut di FB pagi Isnin itu juga...


MISI KESEDARAN MELAYU NISFU SYAABAN

Salam semua. Saya telah diminta oleh bapa angkat saya penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas supaya bercakap tentang Melayu pada satu press conference di Melawati, Kuala Lumpur petang esok Selasa 1 Mei bersamaan hari Nisfu Syaaban. Sebelum itu saya dijadualkan berkongsi kajian dalam buku "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" untuk satu khalayak di Country Homes, Rawang. Isteri saya menyatakan kerisauan takut saya diheret untuk kelihatan menyokong mana2 pihak atau parti politik. Saya jawab jangan risau. Saya tahu dan yakin dengan pendirian saya. Saya cuma akan bercerita tentang Melayu, tentang sejarah, kedudukan dan kepentingan orang Melayu. Selain itu saya datang kerana yang meminta itu abah saya. Allah SWT tahu nawaitu kita. Insyaallah selepas itu saya akan berlegar2 pula di PWTC untuk Pesta Buku Antarabangsa KL...


Petang Selasa 1 Mei 2018 bersamaan 15 Sya'aban 1439 Hijriah, hari Nisfu Sya'aban berlakulah majlis yang dimaksudkan. Rupa-rupanya ia bukanlah Press Conference tetapi Live Conference di mana Pak Habib diminta bercakap tentang ramalan beliau tentang PRU 14 akan datang, saya pula sebagai tetamu undangan untuk bercakap tentang Melayu. Alhamdulillah, saya mendapati ia amat bermanfaat dalam menekankan pendirian saya sendiri tentang Melayu. Secara rata saya menyatakannya begini :-


1. Apapun berlaku kita hendaklah memenangkan kepentingan orang Melayu dan Islam

2. Ini berdasarkan bahawa orang Melayu Islam adalah majoriti di Malaysia iaitu mencapai hampir 60 peratus penduduk. Orang Cina baru sekitar 20%, India sekitar 13%. Kata nak angkat demokrasi. Bukankah demokrasi itu adalah menjaga dan mementingkan kepentingan majoriti?

3. Ini Tanah Melayu. Maka sudah seharusnya kepentingan orang Melayu yang diketahui di Malaysia wajib beragama Islam jika mahu diiktiraf sebagai Melayu itu mengatasi kepentingan mana-mana pihak lain.

4. Namun ini tidaklah bermakna kita menafikan hak kaum lain. Malah orang Melayu Islam itu sifatnya memang harus adil, memberi peluang untuk orang kaum lain juga hidup aman makmur dan damai.

5. Orang Cina walaupun berlainan parti, walaupun kelihatan saling berlawanan parti-parti utama mereka iaitu MCA dan DAP tetapi bersatu pendirian apabila menyentuh kepentingan mereka seperti penggunaan bahasa Cina, memakmurkan sekolah aliran Cina dan sebagainya. Jadi mengapa pula kita perlu merasa malu dan/atau bersalah untuk menjaga kepentingan kita?

6. Oleh itu undilah calon Melayu dan Islam tanpa mengira daripada parti mana. Yang penting dapat menjaga kepentingan orang Melayu Islam. Keluarlah daripada sempadan sempit politik kepartian.

7. Jika berlaku ramai calon Melayu dan Islam untuk satu kawasan pilihlah yang terbaik berdasarkan apa yang mereka mampu lalukan untuk kawasan mereka sambil menjaga kepentingan Melayu dan Islam. Jangan parti dijadikan ukuran memilih pihak tetapi individu yang bertanding itu sendiri. Buat background check, selidik latar belakang mereka kalau perlu. Sekali lagi, apa-apa hal pun menangkan calon yang boleh memenangkan Melayu dan Islam, bukan calon yang cuma memenangkan kepentingan sempit peribadi mahupun parti.




Inilah rakaman video Live Conference berkenaan yang telah dimasukkan ke Youtube. Untuk mendengar kata-kata saya boleh pergi ke minit-minit berikut :-


1) Minit 21:31

2) Minit 47:23

3) Minit 59"09

4) Jam 1:04:41

5) Jam 1:11:48

6) Jam 1:18:23



Oh. Saya ada sebut melalui status update pagi Isnin bahawa pagi Selasa iaitu semalam sebelum Live Conference bersama Pak Habib saya dijadualkan berkongsi kajian dalam buku "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" untuk satu khalayak di Country Homes, Rawang. Tetapi disebabkan hal tertentu ia tak jadi. Insyaallah boleh ditunaikan pada hari dan waktu yang lain. Selepas Live Conference pula saya bercadang untuk pergi ke Pesta Buku KL di PWTC. Rujuk artikel Tinjauan awal Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018yang dipersembahkan jam7.36 pagi Isnin. Tapi tu pun tak jadi kerana selepas Live Conference tamat hampir jam 5 petang hujan lebat berterusan di luar. Dah rasa penat dan malas mula nak menuju ke pusat bandar raya untuk pesta buku.

Maka berehatlah kami sebentar di sebuah restoran mamak berdekatan sambil anak-anak dan isteri mengisi perut menghilangkan kelaparan. Selepas itu berkejar kami kembali ke rumah sekitar 50 km perjalanan, konon-konon sempatlah nak tengok siaran ulangan satu rancangan televisyen kegemaran yang baru tamat musim. Tengok-tengok beg tertinggal dengan kunci rumah pun takda kerana diletakkan dalam beg tersebut. Nasib baik ada nombor telefon restoran pada resit makan, dapat check lalu pastikan beg yang turut mengandungi sebilah rencong Aceh dan sebilah keris kecil kesayangan itu berada di sana. Terpaksalah berkejar pergi balik 100 km untuk mendapatkannya.




Berbalik pada hal Live Conference. Pihak Pak Habib bercadang untuk mengadakan satu lagi sesi pada petang Selasa 8 Mei iaitu sehari sebelum hari mengundi PRU14 (Rabu 9 Mei). Dicadangkan kali ini dibawa sekali sejumlah penonton untuk turut menyertai secara langsung. Ada kemungkinan ia akan diadakan di rumah kediamana saya di Sungai Buaya, Rawang. Apapun ia dibuka kepada sejumlah penonton yang berminat. Tunggu pengumuman berkenaan... :]




Monday, April 30, 2018

Tinjauan awal Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018

Salam malam Nisfu Sya'aban. Bersambung penceritaan daripada artikel Syarahan "Siapa Awliya Allah?" oleh Sheikh Rohimudin Banten di Sungai Penchala.


Dari Sungai Penchala kami bergerak ke bangunan PWTC di tengah bandar raya Kuala Lumpur untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018.





Acara sudah bermula Jumaat 27 April. Maka kami datang semalam tu dah hari ke-3...





Ia akan berlangsung sehingga Ahad hadapan 6 Mei. 





Kiranya ini kami sekadar meninjau-ninjau keadaan kerana bercadang untuk datang lagi esok 1 Mei juga dua hari terakhir iaitu Sabtu-Ahad 5-6 Mei.












Sejumlah buku-buku tulisan saya boleh didapati di reruai Kafilah Buku iaitu di lot nombor 3091. Ia terletak di dewan utama Aras 3 bangunan PWTC. 


Masuk sahaja dewan dari pintu utama pergilah ke bahagian paling kiri belakang lalu jumpalah ia. Insyaallah saya akan menghadiri sesi bertemu bersama penulis dan menandatangani buku Sabtu 5 Mei jam 11 pagi sehingga 1 tengah hari. Datanglah berjumpa di reruai ini...





Tinjauan diteruskan untuk meliputi segenap pameran pada Aras 3...





Naik Aras 4 ada satu dewan dikhaskan untuk produk dan buku digital...








Masuk pula ke dewan utama di Aras 4...




















Selepas itu baru turun ke aras paling bawah untuk pesta iaitu Aras 2...


Kami tertarik dengan satu ruangan yang dikhaskan untuk pameran dari Indonesia.


Tengok-tengok ada pula ruangan dikhaskan untuk pameran dari Kedah sahaja...








Buku-buku saya juga boleh didapati di reruai Hijjaz Records Publishing di Aras 2...





Tetapi itu untuk buku-buku yang diterbitkan mereka sahaja...


Secara rata PBAKL 2018 masih cukup meriah walau dibayangi suasana kempen pilihan raya nasional yang dijangka hangat sehingga hari pembuangan undi, Rabu 9 Mei. Ia tempat yang baik untuk melupakan politik yang sering memecah-belahkan dunia sambil kita menghirup suasana sayangkan ilmu.


Syarahan "Siapa Awliya Allah?" oleh Sheikh Rohimudin Banten di Sungai Penchala

Salam. Perkongsian daripada aktiviti hujung minggu baru ini....


Dalam tempoh 2-3 minggu kebelakangan saya diberitahu tentang syarahan yang kelihatan pada poster.



Pagi semalam saya pun membawa isteri dan anak-anak ke lokasi syarahan di Sungai Penchala...





Cuma kami sampai lewat iaitu satu setengah jam selepas acara dijadualkan bermula jam 9 pagi.



Pun begitu saya rasa dapat mengikuti syarahan dengan baik.


Menariknya, pensyarah iaitu seorang ulamak terkenal dari Indonesia, Sheikh Rohimuddin Banten telah menyusun perkara dengan begitu teratur dan jelas.


Menggunakan slaid beliau memberikan ringkasan perkara demi perkara lalu memanjangkan penerangan dengan lisan.


Ketika kami sampai itu beliau sedangkan memanjangkan tentang apa itu Wali Mursyid iaitu golongan wali yang diberikan tanggungjawab menyampaikan ilmu sambil mengajar dan mengajak orang ramai mendekati Allah SWT berbanding Wali Majzub yang biasanya diangkat tanpa usaha diri sendiri oleh Allah SWT agar mendekati dan mengenaliNya tetapi tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu.


Disebut juga apa itu Fana', apa itu Baqa', dua istilah popular tentang keadaan seorang Salik iaitu mereka dalam perjalanan mendekati Allah SWT. Diterangkan bahawa Fana' itu bukan semata-mata 'menghilangkan' diri atau mengosongkan fikiran belaka. Ia sebenarnya adalah kesedaran bahawa kita tidak punya apa-apa,, kita tidak punya wujud sebenarnya kecuali ibarat bayang-bayang yang timbul akibat cahaya dipancarkan kepada sesuatu...


Diterangkan dengan baik banyak perkara yang harus ada pada seorang Wali atau mereka yang berada di dalam Wilayah Allah SWT menurut kitab-kitab para ulamak yang memahami perkara.


Disebut juga tentang pembahagian para Wali menurut fungsi-fungsi tertentu...



Maka dipanjangkan bahawa untuk seorang Wali Mursyid WAJIB memiliki empat perkara :-


1. Alim - Berilmu

2. Arif - Mengenali Allah SWT

3. Khabir - Pakar dalam mendidik kerana sendiri sudah merasai pengalaman dan perjalanan dalam mendekati Allah SWT

4. Ma'dzun - Mendapat izin untuk mengajar/mendidik/menyampaikan daripada ulamak yang bersambung wasilah keilmuannya sampai ke Rasulullah SAW.



Paling penting adalah peranan para Wali dalam membentuk keperibadian ummat. Dalam konteks ini setiap guru mursyid yang memimpin suatu tariqah/kaedah jalan menuju Allah SWT haruslah seorang Wali Mursyid.

Maka disebutlah bagaimana seorang Mursyid itu boleh mendidik anak-anak muridnya zahir dan batin...


Dikongsikan beberapa ayat Al-Quran yang menjadi dalil peranan para wali...


Akhir sekali disebut pembahagian para wali menurut tingkatan fungsi dan pangkat seperti disebut sejumlah ulamak sufi terutama Sheikh Ibnul Arabi...


Masuk sesi soal jawab ada penerangan diberikan dengan melukis contoh pada papan putih...




Secara rata ia adalah syarahan penuh isi dan amat bermanfaat daripada seorang sheikh yang bukan sahaja faham falsafah ilmu sufi dan kewalian tetapi harus sendiri sudah mengalami beberapa perkara berkenaan yang boleh mencarik adat apabila kita betul-betul terjun sepenuh hati ke dalam dunia Tasawuf. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah...