Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, October 27, 2010

Menyelesaikan bab Perak : Akhirnya sampai ke makam Sultan Iskandar Zulkarnain!

Sungguh! Persinggahan ke Sungkai hari Sabtu seperti disebut dalam artikel Menyelesaikan bab Perak : Cerita sebenar Puteri Buih dan Tiang Bertarah di Sungkai berserta Kota Laksamana telah membuka banyak perkara yang dapat menolong saya merungkai lagi rahsia di sebalik salasilah keluarga. Namun ia masih setakat persinggahan... tujuan utama saya membawa isteri dan anak kecil kami ke Perak hujung minggu baru ini adalah untuk menyelesaikan satu hajat yang sudah tertunda lebih 6 bulan. Mereka yang sudah membaca artikel Panggilan dari Pulau Indera Sakti? tentu tahu apakah itu. Kita teruskan cerita... :]



Ahad tengahari 24 Oktober 2010, selepas puas berehat di sebuah hotel di Teluk Intan kami pun mengorak langkah lebih ke utara...


Sampai di satu bahagian luar bandar Teluk Intan kami berhenti sebentar kerana saya mahu melihat satu tinggalan lama dari zaman pemerintahan British. Lihat artikel The old railway bridge at Teluk Intan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kemudian baru kami makan tengahari di Kampung Bahagia...


Sudah cukup dekat untuk menziarahi makam Keramat Kuala Bidor yang akhir sekali dijejaki bulan April. Lihat My latest visit to the tomb of Keramat Kuala Bidor.


Perjalanan lebih ke utara diteruskan... taklah jauh sangat, sekadar 7 km...


Adapun sebelum bergerak ke Perak saya telah meneliti gambar satelit melalui program Google Earth lalu mendapati memang ada jalan darat untuk ke tempat yang dituju...


Berpandukan pada print-out, saya dapat mencari manakah simpang mahupun liku yang perlu dilalui dengan tepat.


Namun tinggal sekitar 1.5 km sahaja ke destinasi perjalanan terhalang kerana terdapat pagar yang berkunci.


Saya teringat pesan isteri yang pernah menghubungi seorang pegawai Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Perak Tengah yang terlibat sama dalam usaha membersihkan 18 buah makam diraja di daerah itu. Lihat laporan akhbar dalam Panggilan dari Pulau Indera Sakti?. Pegawai itu menyebut mereka terpaksa pergi ke Pulau Indera Sakti melalui jalan air setelah mendapati jalan darat dihalang pagar berkunci. Mereka tidak boleh masuk sembarangan kerana jalan itu terletak di atas tanah persendirian.

Saya pula menyangkakan mungkin masalah ini dapat diatasi kerana berjalan sendiri, bukan sebagai mana-mana agensi. Namun kalau dah pagar berkunci dan tiada penjaga kelihatan nak masuk bagaimana lagi? Ya, saya mampu berjalan kaki. Saya boleh melepasi pagar baik dari atas mahupun tepi. Tapi patutkah isteri dipaksa berjalan kaki jauh juga dengan anak kecil di bawah kehangatan matahari?

Saya mula berkira-kira hendak mencari lagi bot di seberang Sungai Perak seperti pernah dibuat lebih 6 bulan lalu. Lihat artikel lama Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak : Lima makam Sultan yang susah diziarahi di sekitar Pulau Besar . Tapi teringat komen seorang pembaca yang memakai nama Saktisatima di Panggilan dari Pulau Indera Sakti? menyuruh mencari seorang yang dipanggil Pak Abu di sekian sekian tempat.


Alhamdulillah kami dapat menemui kedai Pak Abu menurut panduan yang diberikan dalam komen. Kepadanya kami beritahu tentang hajat untuk ke makam tetapi pagar pula berkunci lalu dia dan seorang anaknya menunjukkan jalan alternatif ke sana...


Jalan alternatif itu dapat dilihat pada print-out gambar satelit. Memang saya telah menjangkakan ada laluan yang boleh digunakan jika jalan pertama (yang ada pagar berkunci tadi) tidak dapat dilepasi. Tetapi menurut print-out, sebahagian dari jalan seperti sudah hilang ditelan hutan. Sebenarnya ia cuma diliputi ladang kelapa sawit tetapi tanpa petunjuk dari Pak Abu dan anaknya, mungkin kami tidak dapat menemui laluan sepatutnya yang harus merentasi beberapa kebun milik orang selain semak-samun dan pelbagai halangan.

Bayangkan... kami sekadar menaiki kereta Kenari, bukannya kenderaan pacuan roda empat. Namun kami teruskan berkereta selagi dapat sebelum harus menaiki motosikal memanjat dan mengekor batas bersemak. Sampai satu peringkat perjalanan cuma dapat diteruskan berjalan kaki, perlu melepasi parit dan sebagainya. Lihat artikel The difficult land route to the tomb of Sultan Iskandar Zulkarnain. Itupun nasib baik kawasan telah dibersihkan JPS. Kalau tak, makam tidak boleh kelihatan. Nak sampai ke sini pun cukup memenatkan, apalagi jika perlu meredah semak-samun tanpa dapat melihat tempat yang dituju dengan tepat seperti yang berlaku lebih 6 bulan lalu.


Walaupun makam mengalamai banyak kerosakan sekurang-kurangnya jalan ke sini sudah diterangkan.


Syukur kepada mu Ya Allah yang telah memakbulkan doa hambaMu agar jalan ke sini dapat dipermudahkan. Setelah perjalanan lebih 6 bulan lalu dengan niat untuk menziarahi setiap makam Sultan Perak yang ada di negeri ini kurang sempurna akibat terhalang di makam ini, makam Sultan Iskandar Zulkarnain, akhirnya aku sampai jua dan dapat memegang batu nesannya. Dengan ini rasmilah, saya telah sampai ke semua 28 makam Sultan yang ada. Untuk makluman 4 orang lagi Sultan dimakamkan di luar Perak, seorang pula dikatakan ghaib, tinggal makam tanda di dalam sebuah masjid di Kuala Kangsar.


Siapakah Sultan Iskandar Zulkarnain? Cukuplah maklumat yang ada di papantanda. Kalau saya sebut salah satu tujuan saya ke sini adalah untuk memastikan kaitan Bugis baginda nanti ada yang tak puas hati. Cukuplah disebut, jika benar petunjuk yang terbetik di hati sejak beberapa bulan ini maka akan lebih terserlahlah peranan sebenar Laksamana dalam perjalanan dan sirah kerajaan negeri Perak dahulukala...


Pujian harus dilemparkan pada pihak JPS kerana selain membersihkan persekitaran sehingga makam yang sudah lama 'tenggelam' dalam belukar dapat kembali dilihat dari jauh, mereka telah menambak beberapa bahagian.


Kalau tak, bukan senang hendak meredah semak belukar berserta parit besar...


Kalaulah jalan yang membawa ke pinggir Sungai Kinta (mengalir masuk ke Sungai Perak tidak jauh dari sini) telah dibuat sebegini rupa ketika saya pertama kali sampai lebih 6 bulan lalu, tentu misi untuk menjejaki semua makam sudah lama selesai...


Lihat sudut yang masih dipenuhi belukar, itupun tidak seteruk dahulu. Bayangkan... selepas menziarahi 15 makam Sultan dan sejumlah makam lama lain di merata ceruk Perak Sabtu 10 April, Ahadnya kami cuba menziarahi makam 13 lagi Sultan dan sejumlah milik orang lain. Lihat artikel Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete! yang sebenarnya tak berapa complete. Lebih teruk keadaan apabila hari itu saya dan isteri cuma makan pagi jam 8, tak makan tengahari kerana sibuk mengejar misi.

Ketika tinggal cuma 2 lagi makam Sultan, ketika sudah masuk jam 5 petang tanpa apa-apa makanan, saya (isteri dan anak tidak ikut ketika itu) perlu meredah belukar dan semak pada jarak yang kelihatan di atas tetapi lebih tebal... sedangkan makam itu sendiri pun tidak kelihatan. Jadi bila dah sampai 3 kali bertukar tempat pendaratan bot untuk meredah belukar dari 3 arah berlainan tapi tetap terhalang, berapa lama lagikah dapat bertahan? Itu yang dahulu saya terpaksa mengalah... cukuplah dapat melihat kedudukan makam yang diselaputi belukar...


Alangkah leganya kami kerana sudah berjaya sampai. Kembali ke kereta Pak Abu pun menceritakan apa yang dia tahu tentang makam dan Pulau Indera Sakti (dahulunya memang pulau sebelum bersambung daratan), maklumlah dia pernah duduk di kampung sekitar ini sebelum semuanya berpindah keluar ke jalan besar... apabila jalanraya Teluk Intan ke Kampung Gajah siap untuk menggantikan peranan Sungai Perak dan Sungai Kinta sebagai laluan tradisional yang telah digunakan sekian lama. Sungguh saya berterimakasih kepada Pak Abu dan anaknya kerana menunjukkan jalan, terimakasih juga kepada saudara Saktisatima kerana mencadangkan agar kami mencari Pak Abu seraya memberikan panduan. Terimakasih sekali lagi kepada JPS kerana usaha mereka membersihkan kawasan telah memungkinkan kami sampai. Sekarang saya harap pihak muzium dan badan warisan dapat memainkan peranan untuk mengelokkan lagi makam.


Dengan itu kami pun kembali ke Teluk Intan lalu pergi ke kawasan pemakaman keluarga belah bapa di Batak Rabit.


Di masjid lama yang diwakafkan keluarga saya menyatakan rasa syukur yang amat sangat. Mungkin ada lagi perkara yang perlu diselesaikan kemudian tetapi itu episod akan datang. Buat masa ini saya telah berjaya menyelesaikan misi untuk menziarahi makam setiap Sultan, setelah lebih 6 bulan ia boleh dikatakan tertangguh semata-mata kerana tidak dapat betul-betul sampai ke satu antara 28 makam. Misi ini sendiri tercetus apabila saya bercadang untuk menziarahi makam Sultan ke 17, Sultan Alauddin Mansur Iskandar Muda akibat mendapat petunjuk bahawa baginda mungkin ada memiliki identiti lain yang sangat dekat dengan keluarga. Namun ziarah yang mahu dibuat untuk Maulidur Rasul itu bertukar menjadi sambutan Maulud Nabi ke Perlak di Aceh. Dan kini semuanya terkait untuk membuka satu lembaran baru sejarah. Hmm... mungkin terkait juga dengan apa yang disebut dalam artikel Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?. Sekian.

Monday, October 25, 2010

Menyelesaikan bab Perak : Cerita sebenar Puteri Buih dan Tiang Bertarah di Sungkai berserta Kota Laksamana

Assalamualaikum semua. Ada perkembangan terbaru yang menyebabkan cerita perjalanan ke Brunei harus diketepikan dahulu buat beberapa hari. Merujuk pada artikel Panggilan dari Pulau Indera Sakti? yang dibuat setengah bulan lalu, sukacita dimaklumkan hujung minggu baru ini saya telah menyahut panggilan itu. Alhamdulillah, isteri dan anak kecil kami juga dapat sampai ke tujuan melalui jalan darat seperti yang dirancang. Malah hari sebelumnya kami sempat singgah di Sungkai untuk merungkai satu kisah lama yang ternyata agak penting tetapi tidak disedari ramai tentang negeri Perak.

Oleh kerana perjalanan ini sebenarnya merupakan kesinambungan pada misi menjejak setiap makam Sultan Perak yang dibuat bulan 6 bulan lalu, mahu sahaja saya menyenaraikannya sebagai sambungan kepada siri berkenaan (Lihat artikel lama Siri "Ziarah Al-Rasyid ke makam-makam lama Perak" complete!). Tetapi oleh kerana selepas itu dibuat satu perjalanan bahagian lain Perak yang berkaitan (lihat Apa yang boleh dikupas selepas jalan-jalan di Perak sebelah barat), elok juga cerita perjalanan hujung minggu dijadikan satu siri kecil. Dan oleh kerana ia memang kesinambungan kepada dua siri tersebut maka biar siri ini diberi nama "Menyelesaikan bab tertunda Perak". Mari kita mulakan... :]










Pagi Sabtu 23 Ogos 2010, saya telah bersedia untuk ke Perak dengan niat mahu terus ke Teluk Intan. Namun isteri mengingatkan agar kami singgah dahulu ke Sungkai untuk cuba merungkai cerita berkaitan satu kampung yang dipanggil Tiang Bertarah, kewujudan Puteri Buih yang dikatakan seorang puteri bunian dan sebuah kota lama dipanggil Kota Laksamana yang dikatakan wujud sekitar itu. Kalau tak salah ingatan cerita-cerita tentang ini mula muncul di Internet sekitar 3 tahun lalu. Semasa itu saya ada mengendalikan satu thread forum dengan tajuk "Berpetualang ke Aceh" di mana selain mempromosi isi buku saya sering bercakap tentang keSultanan Perak. Lalu ada pengunjung membuka cerita tentang legenda Tiang Bertarah dan Puteri Buih dan kemudian saya dapati ia diperbincangkan di dua tiga forum lain.

Semasa itu saya kurang berminat tentang cerita-cerita itu. Namun sekitar 2 tahun lalu kalau tak salah, semasa mengambil jalan lama ke Sungkai, saya ternampak papantanda menunjukkan ada tempat bernama Changkat Sulaiman lalu tergerak untuk melihat apa yang ada. Saya tidak dapat menemui apa-apa yang patut diberi perhatian kecuali gerak hati yang terus menyebut ada sesuatu di sini. Kemudian saya ada lagi pergi ke Changkat Sulaiman malah turut meronda-ronda di sekitar namun belum terjumpa lagi apakah bendanya yang menyebabkan hati tertarik.

Di atas adalah satu klip video yang diambil pagi Sabtu. Ketika sibuk mencari dan membaca cerita tentang Tiang Bertarah dan Puteri Buih terdengar bunyi burung yang sangat jarang didengari di mana-mana lalu isteri menyuruh saya melihat di luar. Tengok-tengok ada burung helang sedang terbang rendah dalam bulatan berulang-ulang di hadapan rumah. Seingat saya yang telah menetap di sini 2 tahun tidak pernah kelihatan burung helang di sini. Begitu juga isteri tidak pernah melihat burung jenis itu di sekitar Bandar Tasik Puteri sejak duduk di sini 6 tahun lebih awal.

Saya teringat 4 tahun lalu, ketika berjalan kaki seorang diri waktu senja di satu kawasan terpencil tepian Sungai Perak untuk mencari makam seorang kerabat diraja Perak, tiba-tiba turun terbang dari pokok seekor burung helang sebesar budak lalu berdiri menghadap saya. Lihat side-bar kanan di bawah tajuk "Siapakah sebenar Raja Ahmad?" atau terus lihat artikel lama ini Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 3. Itu yang membuat saya terasa nak tangkap gambar.

Namun disebabkan burung helang terbang laju, saya tidak dapat menangkap dengan kamera digital murah. Namun pergerakannya boleh diikuti melalui mood video. Tapi bila mula merekod helang telah pergi lebih tinggi dan jauh. Apapun banyak juga masa diambil untuk mengkaji cerita-cerita tentang Sungkai di Internet lalu selepas tengahari baru kami meninggalkan rumah.



Kami pergi ke Sungkai tanpa mengetahui di manakah kedudukan tepat apa yang mahu dicari. Saya cuma tahu lokasi Changkat Sulaiman kerana pernah ke sana sekurang-kurangnya 2 kali, itupun masih tak tahu apakah yang perlu dicari. Konon-konon nanti saya akan main redah aje le ikut gerak hati. Nasib baik teringat pagi itu isteri ada menghubungi kenalan kami yang dipanggil Merbawi. Lalu dia memberikan nombor seorang anak tempatan yang boleh menunjukkan jalan berserta nama kampung tempatnya menetap.


Apapun perut perlu diisi dahulu. Kami singgah di sebuah kedai makan di pekan kecil Sungkai.


Kemudian baru ke kampung tersebut lalu menghubungi anak tempatan tersebut. Oh, yang 2 kali atau lebih saya pergi ke Changkat Sulaiman tu adalah di Kampung Rahmat le. Dah sampai baru ingat.


Dipendekkan cerita kami bertemu di masjid (lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)) sebelum bertandang ke rumah. Kemudian kami pun dibawa keluar. Ternyata anak tempatan yang bernama Azwal ini cukup tahu tentang selok-belok dan sejarah tempat-tempat di Sungkai. Bukan sahaja itu... dia sebenarnya telah menyiapkan sebuah manuskrip buku yang turut mengandungi segala fakta yang perlu.

Bapanya Mazlan juga tahu kerana menurut ceritanya mereka adalah keturunan Tok Raja Tua, salah seorang penduduk awal di Kampung Tiang Bertarah yang asal. Daripada mereka baru saya tahu Kampung Tiang Bertarah yang ditunjukkan papantanda adalah kampung baru yang muncul selepas zaman pendudukan Jepun. Kampung Tiang Bertarah yang asal terletak sekitar 3 km lebih jauh.

Lebih penting lagi, mereka tahu tentang Kota Laksamana dan pengasasnya seorang Laksamana yang menjadi punca segala cerita. Kewujudan kota ini pernah diberitahu kepada saya oleh saudara Merbawi namun cerita di sebaliknya masih menjadi tandatanya hinggalah saya berjumpa Azwal dan bapanya.


Kelihatan di atas adalah tapak Kota Laksamana, kini dipenuhi semak samun dan pokok kelapa sawit muda. Sebelum membuka cerita dari pihak mereka biar diulang balik apa yang saya dapati dari Internet. Untuk rujukan akan datang, biar dinamakan gambar ini Exhibit A (ala... macam cerita lawyer kat mahkamah tu le...) :]

Cerita paling terkenal disebut orang lalu sering diulangi di Internet ialah kemunculan Puteri Buih dalam buih-buih di sungai berdekatan Tiang Bertarah. Lalu orang menyebut semasa itu juga muncul satu tiang misteri lagi ajaib yang bertarah dan Puteri Buih yang dikatakan adalah orang Bunian membesar menjadi seorang puteri yang sangat cantik lalu dipinang Sultan Perak. Menurut cerita-cerita yang sewaktu dengannya, itulah kononnya punca daulat Sultan Perak. 'Bukti'nya (konon), sebab itu Sultan-sultan Perak dan kerabat mereka apabila datang ke Sungkai tidak boleh jejak terus ke tanah... mesti berlapik 7 helai kain kuning. Begitu juga mereka tidak boleh minum air yang berpunca dari Sungai Sungkai. Kalau tidak akan berlaku malapetaka...


Exhibit B. Sebuah sungai yang berpunca dari Sungai Sungkai. Sebenarnya ia boleh dikira Sungai Sungkai juga sebab berpecah sebelum bersambung kembali (boleh dilihat pada gambar satelit di Google Earth) membentuk semacam pulau sepanjang 1.4 km, lebar 700 meter.

Pelik saya mendengar cerita tentang Sultan dan kerabat perlu berlapik kain kuning dan tidak boleh minum air Sungai Sungkai. Sehingga saya dengar pernah seorang Sultan datang sedekad dua lalu gitu lalu membawa air minum bekalan dari Tapah. Saya percaya sumpah dan pantang sebegini memang wujud dan berlaku. Yang saya pelik, bagaimana ini boleh dikatakan tanda seorang itu berdaulat? Bukankah orang berdaulat itu lebih kuat dari orang bawahannya? Bukankah raja berdaulat boleh pergi ke mana-mana bahagian jajahan takluknya tanpa perlu risau diganggu apapun jenis makhluk atau perlu bersusah-payah berpantang menurut syarat yang ditetapkan pihak lain?


Exhibit C. Isteri dan anak berdiri di kawasan berdekatan sungai tadi.

Cerita 'daulat' ini mengingatkan saya tentang satu dongeng yang dipegang oleh sebahagian kerabat diraja Perak sekarang. Menurut mereka Sultan-sultan Aceh semuanya berasal dari keturunan Sultan Perak. Sebab itu kononnya Sultan Perak lebih berdaulat dari Sultan Aceh.

Memang menurut sejarah rasmi pernah ada Sultan Aceh yang berasal dari keturunan Sultan Perak. Baginda, Sultan Alauddin Mansur Shah (memerintah Aceh 1580-1585) adalah anakanda Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah (memerintah 1549-1577). Seorang cucu baginda sempat menjadi Sultan Aceh juga. Tetapi selain itu tidak ada Sultan sana yang berketurunan Sultan Perak, kalau ada pun mungkin disebabkan darah dari belah perempuan.

Apapun, tiada masalah kalau Sultan-sultan Aceh ada berdarah Sultan Perak. Yang menjadi masalah apabila ada membuat dakwaan bahawa inilah yang menyebabkan Sultan Aceh kononnya kurang berdaulat dari Sultan Perak. Oh... lagi satu perkara saya tahu tentang kerabat sekarang adalah mereka rata-rata takut hendak pergi ke Aceh. Sehingga seorang Raja Bergelar yang agak rapat pada takhta telah dijemput beberapa kali ke sana untuk menghadiri majlis agama tetapi masih tidak menjejakkan kaki. Cerita yang saya dengar, beliau cuma akan pergi jika ada seorang ulamak atasan sanggup pergi bersama. Saya tak tahulah apa yang dirisaukan tetapi kerabat lain ada menyebut jika mereka pergi ke Aceh mereka ditakuti boleh mati muntah darah.


Azwal menunjukkan sesuatu di kawasan lain berdekatan. Yang ni tak payahlah dijadikan Exhibit untuk mahkamah kita ya... :]

Peliknya kerabat yang takut hendak pergi ke Aceh kerana risau boleh muntah darah (katanya akibat semacam sumpahan oleh nenek-moyang dahulu, ada kerabat lain pula kata kerana moyang yang berasal dari Aceh bersumpah tidak akan menjejakkan kaki lagi ke sana) menambah itulah 'bukti' kedaulatan Perak berbanding Aceh. Kes ini nampaknya sama macam pantang perlu pakai kain berlapik di Sungkai dan tidak boleh minum air dari sana. Fikirkan... air dari Sungkai mengalir masuk ke Sungai Bidor sebelum masuk ke Sungai Perak di Teluk Intan berdekatan Kampung Durian Sebatang. Kalau dah pantangnya tak boleh minum air yang berpunca dari Sungkai, maka kerabat-kerabat sekarang tidak boleh minum air di sebahagian besar jajahan Hilir Perak! Apakah ini tanda kerabat-kerabat ini dan Sultan dari belah mereka berdaulat? Atau mereka sebenarnya telah disumpah oleh kaum-kerabat lain yang sebenarnya lebih tinggi taraf?


Tempat yang ditunjuk Azwal adalah benteng-benteng tanah yang dijadikan kubu semasa berlaku satu peperangan antara orang Rawa dengan orang Mandailing. Katanya ini berlaku setelah Kampung Tiang Bertarah menerima lebih ramai penduduk baru...


Bapanya Mazlan menunjukkan satu kawasan yang semasa zaman budaknya dahulu adalah sungai...


Kemudian dia menunjukkan tapak-tapak makam yang berkaitan dengan moyang mereka iaitu Tok Raja Tua.


Menurutnya satu makam telah dijadikan tempat untuk satu kumpulan silat batin membuat upacara menurun. Kumpulan inilah yang meletakkan kain kuning selain membuat tanda kepuk makam dengan batu-batu sungai. Untuk pengetahuan makam itu pernah rosak akibat pengusaha ladang kelapa sawit tidak menyedari kewujudannya. Batu-batu nesannya pernah tercabut sebelum satu dipasak kembali, sudah lupa oleh siapa.

Kata Pakcik Mazlan, ahli kumpulan silat yang kemudian cuba mencantikkan makam tidak sedar mereka telah salah mengatur sempadan kerana tidak mengetahui arah sebenar kiblat. Sambil bercerita beliau sempat mencari-cari di belakang pokok pisang lalu terjumpa batu nesan kaki yang telah tercabut. Pakcik Mazlan pun mencacakkanya pada kedudukan asal. Ternyata kepuk yang dibuat kumpulan silat melintang dari arah sebenar... dah nampak kurang ajar pulak... kaki menghadap kiblat...


Seterusnya kami dibawa lebih jauh untuk melihat satu bukit.


Kata Pakcik Mazlan, namanya Bukit Nagamulo.

Ia dinamakan begitu kerana sekitar tahun 1926 begitu, telah berlaku satu banjir besar yang menenggelamkan banyak kawasan sehingga ke Bidor dan Teluk Intan. Tiba-tiba keluar seekor ular naga dari satu lubang di belakang bukit lalu menghala ke hilir, rasanya masuk ke Sungai Perak sebelum hilang.

OK. Berbalik pada cerita-cerita tentang Puteri Buih dan Tiang Bertarah yang dilihat di Internet. Adapun ada cerita menyebut tiang bertarah yang menjadi punca nama kampung asal adalah sebuah tiang yang telah siap bertarah dijumpa bersama Puteri Buih yang masih bayi di dalam sebuah sungai. Ada juga yang menyebut kedua objek ini ditemui pada tasik besar yang pernah wujud sekitar ini. Menurut Azwal, tasik yang sangat besar memang pernah ada. Pakcik Mazlan pula menambah semasa dia masih kanak-kanak, dia dapat melihat tinggalan tasik yang telah mula mengering menjadi kawasan paya luas, kawasan paya yang kemudian ditambak apabila dijadikan ladang kelapa sawit hingga hilang segala kesan...

Saya ada terbaca perbincangan di Internet tentang hal ini. Ada yang memperlekehkan kenyataan bahawa di situ pernah wujud sebuah 'laut'... sedangkan yang sebenarnya dimaksudkan adalah sebuah tasik yang cukup besar sehingga kelihatan seperti laut lalu dipanggil Laut Tawar. Melihat kawasan di sekitar saya rasa ia memang pernah wujud. Malah saya ada melihat gambar satelit melalui Google Earth lalu cuba membuat perbandingan.

Pernahkah anda melihat keluasan Sungai Perak di sekitar Bagan Datoh? Kalau belum masuk ke sini... The Perak river mouth at Bagan Datoh di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Lalu saya 'ambil' sedikit bahagian luas itu dan alihkan ke kawasan berkenaan di Sungkai. Hasilnya muncul sebuah tasik yang cukup luas untuk kelihatan seperti laut.

Maaf, saya tidak dapat menunjukkan peta simulasi yang dibuat. Atas sebab tertentu saya tidak mahu menunjukkan lokasi dengan tepat. Namun pembaca boleh membuat telahan sendiri. Lihat artikel The vast freshwater lake at Sungkai...

Masjid lama pekan Sungkai yang disinggahi selepas meninggalkan Azwal dan keluarga di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman. Berbalik pada cerita Puteri Buih.

Ada yang menyebut Puteri Buih ditemui oleh isteri Tok Raja Tua. Ada pula menyebut isteri Laksamana Tok Raja Tua. Cerita sebenar yang saya dapat dari Azwal dan bapanya, Tok Raja Tua dan Laksamana adalah orang yang berlainan. Tok Raja Tua adalah orang kanan Laksamana atau Datuk Laksamana yang turut lari ke Sungkai selepas peristiwa pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch tahun 1875.


Gambar ketika memasuki pekan Bidor, dalam perjalanan ke Teluk Intan. Sekarang biar diceritakan duduk letak perkara yang sebenar seperti disampaikan oleh saudara Azwal dan pakcik Mazlan, cerita yang disampaikan turun-temurun daripada moyang mereka yang dikenali sebagai Tok Raja Tua.

Menurut mereka Laksamana yang membuka Kota Laksamana di Sungkai itu merupakan salah seorang bangsawan Melayu yang terlibat bersama Datuk Maharajalela dalam pembunuhan Birch. Katanya apabila para pejuang Melayu menjadi buruan British, Laksamana dan orang-orangnya telah berlepas dari Pasir Salak kemudian masuk Sungai Bidor lalu Sungai Sungkai sehingga sampai ke tapak kawasan yang bakal menjadi Tiang Bertarah. Asalnya Laksamana cuma mahu naik berehat ke darat melepaskan penat-lelah. Oleh kerana takut diekori British atau juak-juak mereka, beliau telah mengarahkan 5 orang panglimanya berpecah dan meninjau kawasan persekitaran.

Selain itu Laksamana hendak tahu jika ada kampung ataupun penempatan. Panglima-panglima inipun membuat peninjauan. Setelah beberapa lama mereka mendapati tidak ada kampung ataupun apa-apa bentuk penempatan. Tetapi mereka ada terjumpa terjumpa sebatang pokok larah (katanya seperti pokok tampoi... hmm... pokok tampoi pun saya tak tau camana rupa, Hospital Tampoi tau le... :]) yang telah tumbang dengan bahagian pangkalnya seperti ditarah... seperti dipotong orang dengan cara menarah.


Keadaan jalan banjir selepas memasuki jalan ke Teluk Intan dari pekan Bidor. Harus diberitahu bahawa zaman semasa Laksamana dan orang-orangnya sampai ke tempat yang disebut, kawasan sekitar rata-rata diliputi air sehingga disebut sebagai Laut Tawar. Tetapi terdapat bahagian lebih tinggi. Inilah yang bakal menjadi kawasan penempatan awal.

Adapun tempat panglima naik ke darat itu dikenali sebagai Kuala Panglima (ke Kuala Datuk Panglima? Lebih kurang le tu. Saya tak berapa ingat, main cerita je apa yang dapat keluar dari kepala). Letaknya sedikit ke atas bahagian sungai yang kelihatan dalam gambar bertanda Exhibit B. Difahamkan pada zaman itu ia adalah pecahan Sungai Sungkai (ingat, mereka datang dari arah Teluk Intan melalui Sungai Bidor sebelum masuk ke Sungai Sungkai) yang bersambung dengan Laut Tawar. Pohon larah yang bertarah pula terletak di bahagian lain tepian Laut Tawar sedikit ke hadapan. Maka itu dibina satu tempat turun naik bot atau sampan yang dipanggil Pengkalan Larah.


Gambar ketika sampai ke Teluk Intan masuk Maghrib. Kiranya sudah masuk malam Ahad 16 Zulkaedah.

Seperti disebut awal tadi, asalnya Laksamana cuma mahu naik ke darat untuk berehat. Tetapi apabila mendapati kawasan itu tiada orang tinggal dan kedudukannya juga sesuai beliau terus membuka penempatan baru sedikit lagi ke darat. Laut Tawar yang luas lebih ke hadapan memungkinkan mereka memantau orang keluar-masuk sambil menjadi 'benteng' semulajadi, begitu juga Sungai Sungkai di belakang. Tanahnya pula sesuai untuk bercucuk-tanam. Maka muncullah penempatan yang dipanggil Kampung Tiang Bertarah sempena pohon larah tumbang bertarah yang ditemui di Pengkalan Larah, jalan masuk dari arah Sungai Sungkai. Lihat Exhibit C yang menunjukkan sebahagian kawasan kampung asal...

Demi menjaga keselamatan seluruh penduduk kampung, dibina pula sebuah kota di satu bahagian lebih kurang 800 meter ke barat menghadap Laut Tawar. Kawasan itu dipanggil Tanjung Laksamana dan kotanya Kota Laksamana berkedudukan seperti dalam Exhibit A. Adapun Kampung Tiang Bertarah yang ada sekarang adalah kampung baru yang dibuka selepas pendudukan Jepun tahun 1940an. Allah! Saya sudah lupa kenapa mereka berpindah... mungkin sebab hendak dijadikan tanah rancangan. Namun menurut ceritanya ada satu kelebihan pada Kampung Tiang Bertarah yang asal. Semasa zaman pendudukan Jepun ramai orang dari sekitar Teluk Intan dan Bidor datang mencari perlindungan.

Di ketika rakyat seluruh Tanah Melayu rata-rata harus hidup dalam ketakutan, makan pun setakat ubi kayu, penduduk Tiang Bertarah tidak dikacau malah dapat makan cukup dan enak. Katanya askar Jepun tidak dapat menembusi, melihatnya pun tidak. Menurut Azwal pernah satu kontinjen dari Sungkai bergerak ke arah situ. Namun sampai ke satu tempat bernama Sungai Gemuruh, mereka cuma dapat melihat hutan tebal. Tambahnya pada zaman itu telah muncul kampung berdekatan yang dipanggil Changkat Sulaiman tempat dia menetap. Namun penduduknya turut berlindung di Tiang Bertarah sebelum kembali ke kampung halaman...


Ini pula adalah gambar yang diambil siang tadi. Ia adalah tasik besar cuma 1 km sahaja dari rumah saya, tasik yang kewujudannya baru saya sedari seminggu ini, baru tadi dilihat lebih dekat. Lihat artikel The lake I've just discovered near my house..... Adapun tasik ini mengingatkan pada kisah Laut Tawar di Sungkai yang kini telah kering dan hilang sehingga kewujudannya tidak diketahui ramai malah disangsikan sesetengah pihak. Menurut ceritanya pada tahun 1926 telah berlaku satu banjir besar... ah ceritanya sudah disebut pada gambar Bukit Nagamulo tadi...

Cuma saya mahu menambah ada kemungkinan Laut Tawar di Sungkai mula surut sejak itu. Mungkin naga berbentuk ular besar itu keluar kerana sudah mendapat alamat tidak akan dapat lagi menyorok di dalamnya? Ah... saya teringat bahawa menurut cerita tempatan, di tasik besar yang dipanggil Danau Laut Tawar di tengah pergunungan Aceh masih terdapat seekor naga. Apakah ada kena-mengena? Yang pasti nama Laut Tawar itu sama. Baca balik The vast freshwater lake at Sungkai dan masuk ke links berkaitan...

OK. Sekarang pembaca sudah mendapat gambaran akan kedudukan tempat-tempat yang menjadi latar-belakang cerita. Bolehlah disampaikan bahagian utama cerita.

Adapun Laksamana suami isteri tidak mempunyai anak. Setelah berpindah ke Kota Laksamana pun masih begitu lalu mereka mengadu kepada Allah. Pintanya berikanlah seorang anak... walaupun ada kecacatan, walaupun ada rupa binatang sekalipun mereka tetap rela menerima asalkan dapat anak. Dengan takdir Allah mengandunglah si isteri. Dapatlah seorang bayi perempuan yang cukup sifatnya... cuma bahagian dari pinggang ke bawah sahaja yang seperti kera.

Walaupun mereka sangat sayangkannya, keadaan anak yang kelihatan seperti separuh binatang memaksa mereka untuk membesarkannya di rumah yang lain. Anak itu membesar menjadi perempuan yang cantik... namun perbezaan yang dimiliki menyebabkan ia menjadi buah mulut orang. Menurut Azwal satu hari sang anak terdengar perbualan Laksamana dan isteri tentang kata-kata nista orang kampung terhadap mereka sekeluarga akibat sifatnya itu. Anak itu (saya sudah lupa nama, mungkin Azwal boleh menambah di ruang komen) pun terasa hati lalu ingin membawa diri. Dia cuma meminta agar diberi bekalan secukupnya sebelum pergi masuk ke hutan. Dipendekkan cerita, di hutan anak ini bertemu dengan seorang pemuda orang bunian lalu berkahwin sehingga mendapat seorang perempuan.

Anak yang dilahirkan itu tiada cacat-cela, cukup segala sifat seperti manusia biasa. Ibunya yang gembira mahu kembali ke Kota Laksamana untuk menunjukkan anak itu kepada keluarga namun apabila sampai ke kampung dia dikeji dan dinista kerana membawa seorang anak kecil tanpa bapa (maklumlah, bapanya ghaib). Oleh kerana kecewa dengan keadaan itu, dia tidak jadi kembali. Malah mereka suami-isteri bertawakal kepada Allah dengan meletakkan anak itu dalam sebuah bekas lalu menghanyutkannya di Laut Tawar...

Entah kenapa, saya terasa mahu meletakkan gambar ini, gambar Sultan terakhir Aceh, diturunkan dari takhta oleh Belanda sehingga pemerintahan beraja Aceh tamat 1903. Anak cucu Haji Daud tentu faham dan boleh rasa getaran...

Nak dijadikan cerita, satu hari Laksamana keluar belayar ke Aceh. Sampai di kuala Sungai Perak iaitu berdekatan Beting Beras Basah, kapalnya tersangkut tak boleh bergerak. Dia pun menyuruh orang-orangnya menyelam melihat apa yang mengganggu. Akhirnya Laksamana turun sendiri lalu mendapati sebilah pedang tercacak di dasar laut.

Setelah mencuba beberapa kali Laksamana dapat mengambil pedang lalu pelayaran diteruskan. Beberapa lama di Aceh entah atas urusan apa, dia kembali ke Perak. Sampai di kuala Sungai Perak sekali lagi kapal tersangkut, kali ini akibat rantai besi yang direntang menghadang sungai, dikatakan kerja lanun. Laksamana pun memotong rantai dengan pedang yang ditemuinya dahulu. Menurut ceritanya pedang itu masih ada, siap dengan kesan sumbing di 3 tempat akibat menetak rantai yang menghadang kuala.

Adapun semasa dalam pelayaran dan membuat urusan di Aceh itulah isteri Laksamana telah terjumpa seorang bayi perempuan dalam buih-buih di tepian Laut Tawar. Sebenarnya bayi itu tidak lain, adalah anak kepada anak mereka yang badannya separuh kera. Bayi itu pun dibela oleh isteri Laksamana. Itupun katanya pada mulanya beliau risau takut jadi fitnah kerana lamanya suami keluar belayar, tapi akhirnya dibela juga.

Dari cerita ini muncul pelbagai versi. Ada yang kata ketika terjumpa bayilah timbul sekali tiang bertarah. Ada pula menyebut ketika itu juga Laksamana terjumpa sebilah keris pada batang pokok di bahagian lain Laut Tawar. Kata Azwal itu semua karut. Apapun bayi yang dikenali sebagai Puteri Buih ini membesar sehingga menjadi wanita idaman ramai. Tambah Azwal, satu cerita menyebut beliau akhirnya berkahwin dengan Sultan Aceh, satu cerita lagi kahwin dengan anak Sultan Pahang.

Melihat keadaan semasa dan jangkawaktu semua ini berlaku saya percaya cerita lebih tepat adalah Puteri Buih telah berkahwin dengan Sultan Aceh. Ini kerana Pahang ketika itu memiliki seorang Bendahara yang baru sahaja mengangkat dirinya sebagai Sultan dengan sokongan Inggeris. Lagipun Laksamana (tidak diketahui yang mana kecuali nama samarannya disebut sebagai Laksamana Noratiqah, entah kenapa macam nama perempuan...) pernah berurusan lama di Aceh dan memang keluarga Laksamana di Perak diketahui memiliki darah diraja Aceh bercampur Bugis. Yang pasti, Puteri Buih tidak berkahwin dengan Sultan Perak. Kecuali yang dimaksudkan adalah Sultan Perak dari belah kerabat diraja Aceh kerana ini memang wujud tetapi ceritanya sengaja digelapkan?

Apapun biar saya menambah. Kalau menurut zaman, Sultan Perak ketika itu adalah Sultan Idris I yang boleh dikira melanggar adat dan perjanjian lama dengan membuka pusat pemerintahan di Bukit Chandan iaitu mudik kiri Sungai Perak (sila cari sendiri bacaan berkaitan). Selepas itu rata-rata Sultan Perak adalah dari keturunannya sedangkan menurut pihak yang anti-Inggeris, kenaikan Sultan Idris adalah semata-mata kerana sokongan penjajah. Adapun diketahui umum bahawa Sultan Idris pernah terlibat menghukum para pejuang Melayu selepas pembunuhan Birch. Mungkin sumpahan yang menyebabkan Sultan dan kerabat tidak boleh menjejakkan kaki di Sungkai tanpa berlapik kain kuning 7 lapis malah tidak boleh minum air yang bersumber dari situ ada kaitan? Apalagi jika sumpah itu dilafazkan oleh Laksamana... pembesar istana yang berasal dari keturunan yang jauh lebih berdaulat jika sahaja mereka tahu apakah identiti sebenar dan asal-usul beberapa orang Laksamana terawal.

Mungkin juga sebab itu kerabat diraja sekarang (rata-rata anak cucu Sultan Idris) dikatakan tidak boleh menjejakkan kaki ke Aceh. Kalau anda mahu tanya kenapa ini boleh berlaku biar dijawab begini. Inilah yang berlaku apabila keturunan pengikut mengangkat diri menjadi raja sehingga melupakan sumpah setia asal yang dibuat nenek-moyang mereka kepada ketua. Itu sahaja. Saya telah mengambil masa hampir sehari penuh untuk membuat artikel ini berserta artikel-artikel sokongan di blogspots yang lain.