Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Wednesday, January 14, 2009

Central Market, sahabatku Iedet dan siri buku "Berpetualang ke Aceh"...

OK, ini ada satu selingan...


Pagi tadi, selepas menghantar isteri ke pejabat (hantar isteri lagi! Kata dalam artikel Satu pagi yang 'syahid' di Chow Kit tak nak hantar dah dalam masa terdekat), saya pun mengambil motosikal yang ditinggalkan di pejabat (akibat hujan lebat le petang hingga malam Isnin, semalam pula saya banyak berehat di rumah) lalu pergi ke kawasan Masjid India. Selepas minum teh sarbat dan santai sebentar di hadapan masjid, tergerak pula untuk ke Central Market.

Oh... Malam semalam, setelah beberapa hari termangu menunggu gerak ilham, saya akhirnya dapat menyambung penulisan untuk projek buku masjid masuk ke bahagian utara pula setelah menyelesaikan bahagian timur sambil memperbaiki bahagian selatan pada pagi Jumaat. Alhamdulillah saya dapat membuka cerita berkaitan enam buah masjid, dari Perlis masuk ke Kedah dan Pulau Pinang. Tadi di laluan luar tepian Central Market, dapat pula bercerita sedikit tentang Masjid Bandar Melayu Taiping dan campurtangan terang-terangan Inggeris di Tanah Melayu yang bermula di Perak.


Sejurus kemudian, timbul rasa untuk menutup komputer dan berjalan-jalan. Selepas masuk melihat-lihat dalam Central Market, saya ke bahagian Annexe untuk menziarahi seorang sahabat baik, Iedet. Ternyata Iedet mahupun pembantunya tiada di tempatnya sering berniaga dan melukis.


Dalam pada itu terlihat beberapa perubahan pada tempat niaga sejak kami akhir sekali bertemu lebih kurang sebulan lalu. Ternampak almari berkaca ini dengan siri buku "Berpetualang ke Aceh" di dalamnya... teringat bahawa sejak lebih setahun lalu, Iedet ada memberitahu mahu membuat almari atau kabinet sendiri di mana dia boleh juga mempamirkan siri buku tulisan saya ini. Sila lihat artikel lama Central Market pula jadi port terbaru "Berpetualang ke Aceh"

Kemudian baru saya perasan sesuatu yang kurang. Mana dia buku ketiga "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" yang berwarna merah? Ah... baru saya teringat. Beberapa bulan lalu saya telah mengambil segala stok buku itu yang ada pada Iedet untuk dihantar kepada syarikat pengedaran Crescent. Ketika itu saya mendapat order baru sedangkan stok buku saya yang masih ada tersekat di sebuah salun kecantikan tempat saya menumpang menyimpan buku. Sila lihat artikel lama Kat beauty saloon pun ada BKA woo!!! diikuti Penat lelah mengangkut 2,200 buku dari pintu belakang tingkat 2 bangunan dan pembayaran secara on-line...


Timbul rasa untuk mengambil gambar tempat niaga Iedet untuk dijadikan cerita. Hehe, mesti dia tersenyum lebar kalau ternampak ini. Semasa ingin meninggalkan tempat itu, ternampak pula poster di sebelah kiri. Wahh... rupa-rupanya Iedet baru sahaja menerbitkan CD puisi dan nyanyian sasterawan terkenal berbangsa Cina, Lim Swee Tin.

Tahniah untuk Iedet. Saya tahu dia telah melaburkan banyak wang untuk membuat sebuah studio cukup dengan segala kelengkapan untuk membuat rakaman secara professional sejak beberapa tahun lalu. Selain pandai melukis, Iedet juga berbakat dalam bermain alatan muzik dan menggubah lagu-lagu sendiri. Saya juga tahu dia telah berhempas-pulas untuk menghidupkan studio itu. Seringkali datang mereka yang ingin membuat rakaman tetapi hasil yang dapat tidak setimpal wang yang dikeluarkan.



p/s:
Alhamdulillah, tadi juga di sekitar Masjid India, saya tergerak masuk ke Pustaka Rezeki Harapan, tingkat bawah Wisma Yakin untuk melihat apa-apa tulisan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dengan harapan mendapat petunjuk untuk gerak hari ini dan waktu terdekat. Tiba-tiba pemilik kedai menegur... kami dah lama tidak bersua sejak dia menyelesaikan segala bayaran untuk siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang pernah dijual di situ, rasanya lebih setengah tahun lalu. Tanpa dipinta atau menyebut tentangnya, terus pemilik kedai membuat order baru siri buku. Syukur alhamdulillah.


Dalam pada itu teringat betapa buku ini sudah elok-elok dijual di Pustaka Mukmin, Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tetapi akibat masalah dalam meminta bayaran dari pemilik kedai, walhal sekadar untuk buku-buku yang sudah pun lama dijual, pemilik mengugut mahu menamatkan permintaan buku itu langsung malah memulangkan segala baki yang belum terjual jika saya terus meminta. Katanya, saya harus menunggu permintaan baru buku, baru pihaknya akan menyelesaikan bayaran untuk satu invois terdahulu. Sedangkan ada tiga invois yang belum berbayar dan saya pasti sekurang-kurangnya untuk satu invois, segala buku yang tertera dalam jumlahnya sudah dijual kesemuanya sejak tiga bulan sebelum saya tergerak meminta bayaran.

Lalu saya sahut cabarannya sebelum bulan puasa lalu... silalah putuskan, saya tak peduli lagi. Yang saya mahu cuma bayaran diselesaikan dan memang saya perlu memakai wang. Bayaran sepenuhnya pun diterima, itupun cuba dilengah-lengahkan lagi hingga seminggu dua, tetapi tiadalah lagi buku saya boleh didapati di kedai itu.

Keadaan sebegini menyebabkan saya terasa amat penat untuk menulis dan menerbitkan buku sendiri. Nasib baik sekali lagi Allah SWT mengingatkan, baik rezeki mahupun kehendak orang dalam melakukan sesuatu perkara tak perlulah dirisaukan sangat, semuanya telah diatur sejak dari Loh Mahfuz lagi. Hanya menunggu masa sahaja untuk ia terjadi. Sekian! :]





Tuesday, January 13, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bersama isteri - Pusing-pusing Kuantan dan Kemaman

Assalamualaikum semua. Hari ini 13 Januari 2009, nombornya jadi 13.1.09, ada 131 iaitu satu nombor kesukaan saya, rasanya elok juga membuat posting baru untuk menceritakan sedikit pengalaman terbaru pergi ke Pantai Timur yang dibuat bersama isteri 2 minggu lalu. Adapun tujuan perjalanan ini dibuat adalah untuk berjumpa anak-anak isteri dengan bekas suami yang berada di Kelantan. Memandangkan isteri tidak pernah berjalan di Terengganu seumur hidup, sekadar lalu naik bas sahaja sekali, maka saya membuat keputusan mengambil laluan Kuala Lumpur ke Kuantan sebelum naik ke Terengganu untuk ke Kelantan. Ini ceritanya...

Pada petang 31 Disember 2008 selepas waktu kerja, kami terus berlepas menghala ke Kuantan. Hujan amat lebat yang bermula setelah menghampiri Temerloh tidak kami hiraukan... terus ke Kuantan di mana hujan sudah renyai, sampai ke sana selepas jam 10 malam begitu.

Kami berjalan-jalan di sekitar bandar Kuantan kerana isteri juga tidak pernah berjalan-jalan di ibunegeri Pahang ini. Setelah itu saya membawanya ke Pantai Teluk Chempedak. Walaupun orang sudah mula ramai dan lalu-lintas juga agak sesak kerana orang mahu bersedia menyambut tahun baru, kami terus ke sana juga kerana memikirkan itulah kali pertama isteri akan merasa sampai ke pantai terkenal di Pahang itu.

Dalam kesamaran malam tepian pantai yang diterangi sedikit lampu, kami kemudian berjalan kaki mengambil laluan binaan kayu yang menaiki lereng bukit di hujung pantai... itu yang dapat ambil gambar di atas ini. Sampai hampir habis laluan itu, kami berpatah-balik hingga ke pantai utama. Ternyata sudah masuk tahun baru apabila orang ramai mula bersorak dan ada sedikit pertunjukan bunga api.


Kemudian baru kami menyambung perjalanan ke Terengganu. Sampai ke pintu gerbang sempadan di Kemaman selepas jam 1 pagi gitu...

Malam itu kami tidur di rumah sepupu isteri. Di dalam gambar ini adalah suaminya Abang Zul berserta anak-anak di hadapan rumah pagi keesokannya.

Abang Zul kemudian rancak membuat promosi Kemaman... katanya di belakang rumahnya sahaja sudah ada sebuah pantai yang cantik lalu dia membawa kami ke situ.



Inilah sebahagian pantai...



Saya mula mencari apa-apa papan yang ada menyebut nama pantai ini iaitu Pantai Mak Nik atau Teluk Mak Nik. Terus Abang Zul menegur: "Ish! Apa ni ambik gambar papan tandas awam!"




Terus dia membawa keluar di mana terdapat papan-tanda elok. Fuh, glamournya nama... Pantai Teluk Mak Nik @ D' Monica Bay. Apakah di sini tempat pertama Monica Lewinsky bertentang mata dengan bekas presiden Amerika iaitu Bill Clinton? Abang Zul kemudian membawa kami ke jeti kompleks perikanan di Kuala Kemaman...





Jeti ini terletak di kuala Sungai Kemaman.



Selepas itu Abang Zul ingin membawa kami melihat sebuah makam lama, katanya milik seorang ulamak yang dikenali sebagi Lebai Saras. Ini kerana dia teruja apabila mendapat tahu saya dan isteri suka menziarahi makam-makam lama dan saya ada menulis siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang banyak bercerita tentang sejarah di sebalik tempat-tempat sebegini.

Kami pun mengekori keretanya menghala ke satu tempat bernama Cheneh, kalau tak salah ingatan. Kata Abang Zul tempat yang dicari memang menghala ke situ tetapi tak lah sampai ke Cheneh yang terletak sekita 30 km dari Kemaman. Sedangkan kami sudah mengekori keretanya sehingga hampir 20 km... rupa-rupanya Abang Zul dah terlupa di manakah tempatnya.

Kami pun berpatah balik sebelum sampai di kampung apa entah, lupa namanya lalu bertanyakan orang. Kata mereka makam itu terletak di hujung jalan masuk satu simpang. Kami pun cuba mencarinya lagi tapi tak berjumpa. Akhirnya kami terpaksa mengalah... Abang Zul perlu menghadiri satu meeting sedangkan saya dan isteri perlu bergerak lebih jauh lagi di Terengganu, dan ada beberapa tempat kami ingin singgah sebelum malam.

Antara tempat yang ingin disinggahi adalah masjid lama di Kampung Tuan. Saya baru dapat tahu tentang masjid ini melalui sebuah buku tentang masjid di Nusantara. Jenuh juga nak mencarinya.. rupanya dekat sahaja ke tengah bandar Chukai iaitu bandar utama daerah Kemaman, cuma perlu mencari simpangnya di kampung pinggiran bandar.

Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Kampung Tuan, Kemaman yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi. Kami sampai waktu tengahari ketika hujan lebat.



Adapun pagi itu Abang Zul ada mengajak agar kami pergi ke taman rekreasi Telaga Simpul di bahagian utara kuala sungai Kemaman, kiranya seberang jeti yang kami pergi tadi... katanya tempat itu cantik, ada cerita menarik dan letaknya sangat dekat dengan tempat kerja Abang Zul. Tetapi masa yang terbuang mencari makam Lebai Saras menyebabkan saya tidak pasti apakah sempat ke sana.

Selepas dapat mencari Masjid Kampung Tuan, baru saya terasa selesa meluangkan masa ke sana. Apapun terimakasih pada Abang Zul dan keluarga kerana sudi menerima kehadiran saya dan isteri yang membawa kami berjalan-jalan!




Ternyata tempatnya memang cantik. Malah isteri saya pula deja vu melihat sebuah air terjun kecil di tepi jalan masuk yang terbentuk akibat hujan lebat juga bentuk pantai yang ada. Untuk melihat cerita tentang Telaga Simpul, bacalah informasi yang tertera di atas. Sila juga lihat-lihat gambar yang terpapar pada artikel Pictures around Kemaman yang dibuat blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Sekian buat masa ini... :]

Monday, January 12, 2009

Satu pagi yang 'syahid' di Chow Kit

Dan ini pula satu luahan perasaan...


Pagi tadi sekali lagi, seperti dilakukan dalam tempoh lebih sebulan kebelakangan, apabila tidak bercuti keluar mengembara bersama ke mana-mana, saya jadi pemandu membawa isteri ke tempat kerja dan kembali. Tetapi kali ini mungkin yang terakhir dalam waktu terdekat kerana sudah sampai masanya kami menumpukan pada kerja masing-masing.

Dalam tempoh sebulan ini, seringkali motosikal besar saya ditinggalkan di tempat kerja isteri di Kuala Lumpur. Ini untuk memudahkan perjalanan kerana dengan cara itu, kami boleh keluar bersama pada pagi hari kemudian saya ambil motosikal bawalah ke mana-mana... setelah itu letak kembali di pejabat isteri kemudian kami kembali ke rumah bersama.

Kini sudah hampir tiga minggu motosikal saya tidak berada di rumah kami, maka hari ini saya ingin membawanya kembali supaya senang saya bergerak ke mana-mana sementara isteri berada di tempat kerja. Saya perlu memberikan perhatian penuh pada kerja terutama projek buku masjid yang penulisannya baru setakat meliputi perjalanan ke selatan dan timur tanah air, masih belum dapat gerak yang sesuai untuk menyambung cerita bahagian utara diikuti bahagian pertengahan atau sekitar Lembah Kelang sekali.


Tadi setelah mengambil motosikal, saya bercadang untuk ke perpustakaan negara. Sebaliknya kesesakan lalu-lintas di Jalan Kuching membawa saya masuk ke Jalan Ipoh hingga ke Chow Kit... dah tergerak nak makan lontong pechal di satu tempat yang sesekali saya suka pergi, diikuti minuman teh telur... teh tarik berisi telur mentah yang 'dimasak' dengan air teh panas!

Selesai itu, tergerak pula untuk berjalan kaki sekitar Chow Kit meninggalkan motosikal di tepi warung. Teringat pula bagaimana 2-3 hari ini saya terasa sedikit susah-hati memikirkan keadaan semasa.... dari keadaan diri yang sebenarnya kekurangan wang mahu menanggung hidup baru berumah-tangga dengan kerja-kerja yang tak siap kerana gerak kerja dan ilham yang asyik terputus-putus sampai ke keadaan dunia sekarang yang entah nak jadi apa... pasal serangan ganas Yahudi Zionis yang makin menjadi-jadi ke atas Semenanjung Gaza dan sebagainya.

Ya Allah! Apa nak jadi dengan dunia ini? Ke manakah aku sendiri? Kenapa aku rasa sebegini tak berguna dan tak bermaya?

Dalam pada itu timbul juga rasa yang saya harus melibatkan diri dalam dunia sajak dan puisi selain penulisan biasa. Rasanya banyak lagi perkara dalam dada yang perlu diluahkan dengan cara tertentu. Teringat zaman semasa saya suka bermain gitar, pernah juga busking bersama kawan-kawan di Central Market, Kuala Lumpur juga di Leicester Square, London. Kebolehan tu masih ada. insyaallah ada tapi sekarang ni macam tak terkeluar pula. Apa yang aku patut jadi ni? Allah!

Ya Allah! Aku terasa begitu hina... terasa bahawa keluargaku masih belum dapat menerima jalan yang aku ambil dalam mengharungi kehidupan ini. Apakah aku perlu bekerja 'besar', pakai baju kemeja elok dengan tali-leher berkot berkereta besar ada pangkat dan sebagainya baru aku dikira layak untuk tersenyum puas dengan 'kejayaan' yang dikecapi? Hina sangat ke aku menjadi penulis jalanan yang tidak mementingkan wang? Apakah aku tidak layak langsung tersenyum gembira dengan keadaan aku sekarang? Apakah aku tidak layak menjadi yakin dengan Allah, bukan yakin dengan wang?

Ah... apakah yang aku cakap ini? Sedangkan hakikatnya aku masih banyak berhutang dengan keluarga... tentunya mereka layak memandang aku hina ya tak? Apa makna aku berjalan ke sana ke mari, menziarahi makam para wali dan sebagainya sedangkan segala ini tidak diterjemahkan menjadi sesuatu yang boleh mengisi poket untuk menanggung kehidupan ini? Sebaliknya yang aku ada cuma sedikit ilmu yang aku tabur ke sana ke sini dengan percuma berserta beberapa buah buku tulisan yang melanggar arus zaman lalu tidaklah memberikan untung sebanyak mana. Allah, kadangkala aku jadi begitu bingung memikirkan keadaan...

Dalam jalan punya jalan itu, ternampak pula kerusi di kaki lima Chow Kit ini. Terus tergerak nak duduk dan melihat keadaan sekeliling.

Tiba-tiba saya terasa masuk kembali ke dalam keadaan syahid atau menyaksikan yang sudah agak lama tidak dirasai... keadaan seperti melihat segala yang berlaku disekeliling waima hidup kita sendiri adalah filem sahaja, hasil nukilan Yang Maha Karya untuk diselami intipati makna segala ini.

Allah! Timbul rasa nikmat pula, terasa segar-bugar kembali.



Ya, walaupun ada masanya saya keliru dalam menghadapi keadaan dunia, maklumlah, saya pun cuma manusia biasa sahaja, sesekali Allah sampaikan rasa nikmat dalam melihat dunia. Seperti dalam kata dua kalimah syahadah, "Aku naik saksi tiada ilah (ilah lebih besar maknanya dari perkataan Tuhan) melainkan Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah"... kita tidak diminta menjadi hakim untuk menghukum keadaan dan sebagainya, kita cuma diminta menyaksikan kebesaran Allah, dengan berlandaskan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Sekian.

Kisah Keramat Anak Dara...

Assalamualaikum semua. Sepatutnya setelah membuat artikel Perjalanan ke selatan dan naik balik (bersama isteri)... yang ditulis Rabu lepas, saya memulakan pula cerita tentang perjalanan terbaru ke Pantai Timur yang turut disertai isteri. Sebaliknya semalam kami tergerak pergi ke Kuala Selangor, terus pergi menziarahi satu tempat di Tanjung Keramat yang dikenali sebagai Makam Keramat Anak Dara lalu saya terasa mahu menceritakannya terlebih dahulu pula. Mari! :]



OK. Saya telah beberapa kali pergi melawat makam ini sejak tahun 2005 kalau tak salah ingatan. Tetapi lawatan semalam ternyata lebih istimewa...


Ini kerana ia bukan sahaja lawatan pertama saya bersama isteri kini malah ternyata kami sampai tepat pada ketika makam ini mahu dihidupkan kembali setelah beberapa tahun lama ia agak terbiar!



Kelihatan beberapa orang sedang sibuk mencantikkan kawasan makam ini...




Melihat pada gaya ia dihias, saya pasti orang-orang ini juga biasa menziarahi makam para wali di Pulau Besar, Melaka. Lalu saya mendapat tahu salah seorang daripada mereka memang dilahirkan di kampung sekitar makam ini tetapi sudah 53 tahun gitu (atau 43 tahun? Yang pasti katanya memang lebih 40 tahun) meninggalkannya apabila bekerja di Kuala Lumpur!

Menurut ceritanya, dahulu makam ini dijaga oleh ibunya tetapi kemudian diambil-alih pihak lain. Sekarang dia dan ahli keluarga serta kawan rapat mahu menjaganya kembali... setelah mendapat mimpi dan alamat tertentu, katanya ada kena-mengena dengan kebangkitan Islam juga...





Oh, makam ini terletak di atas sebuah bukit kecil, bukit yang asalnya bersambung dengan sebuah bukit bersebelahan yang lebih besar mengandungi peninggalan sebuah kota lama kesultanan Selangor. Tetapi ia jadi terpisah apabila bahagian yang menyambungkan kedua bukit itu diletupkan Inggeris, katanya untuk diambil batu-batuan untuk dibuat jalan... kini yang tinggal adalah sebuah tasik berair hijau antara kedua bukit ini.






Makam ini pula sebenarnya makam tanda. Bacalah kisah yang tertera.

Satu sahaja tambahan... menurut sesetengah cerita, anak dara yang dimaksudkan bernama Rubiah. Dan ada disebut pihak lain, Rubiah inilah yang ada meninggalkan bekas tapak kaki, juga sebuah perigi di tepian pantai di Lumut, Perak, di satu tempat bernama Teluk Rubiah!







Inilah bukit kecil di mana terletaknya makam tanda ini, dilihat dari hadapan. Kemudian saya dan isteri pergi berjalan-jalan di beberapa tempat di sekitar Kuala Selangor, ada cerita-ceritanya saya buat tadi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...

Untuk melihat ikan pari segar, sila lihat artikel Taking in the catch at Kuala Selangor

untuk ikut menaiki 'keretapi' dan bermain dengan lotong, masuk ke Bukit Melawati by 'train'...

untuk ke tempat kelip-kelip, sila ke The fireflies at Kampung Kuantan

Sekian...