Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, December 29, 2011

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Tanjung Pura Langkat, Amir Hamzah, Sheikh Abdul Wahab dan Kampung Besilam

Penceritaaan siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'" mula meninggalkan Medan. Bersambung dari Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Kerajaan Haru Deli Tua dan legenda Puteri Hijau.


Tengahari Selasa 8 November 2011. Setelah keluar sebentar melihat lagi Masjid Raya Al-Mashun kami pun meninggalkan hotel dan bilik 313 yang menjadi tempat penginapan kami 3 malam di Medan.


Terus mendapat angkut atau kenderaan awam tempatan berupa van ke Pinang Baris di pinggir barat bandaraya. Singgah sebentar di masjidnya. Lihat Masjid (Mosque of) Pinang Baris. Sekarang biar diletakkan sedutan berkaitan dari buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006)... dari Bab 5 mukasurat 213-214.

Pada saat dan ketika yang baik, Rasyid pun bersiap-sedia meninggalkan Medan untuk meneruskan perjalanan ke Aceh. Oleh kerana perjalanan darat mesti melalui bandar Tanjung Pura di kabupaten (wilayah) Langkat yang bersempadan dengan bumi Serambi Mekah, pemuda ini bercadang untuk singgah di Kampung Babussalam, sebuah pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah yang terbesar di Sumatera.

Selesai sarapan pagi, Apin menghantar anak Malaysia ini ke batu enam jalan besar ke Binjai, tempat perhentian kereta sewa ke utara Sumatera. Memandangkan Rasyid orang luar yang tidak tahu selok-belok tempatan, dia pun berbincang dengan seorang pemandu untuk menetapkan harga tambang. Mereka bersetuju dengan tambang 7,000 Rupiah. Rasyid menyediakan ongkos itu lalu menyerahkannya terus kepada pemandu.

Pesan Apin ringkas: “Turunkan kawan saya ini di Masjid Azizi, Tanjung Pura.” Dia menunggu sehingga mobil itu (sebenarnya van sebesar Toyota Liteace yang dijadikan pengangkutan awam) cukup penumpang, adalah dekat 20 orang berhimpit bertemu lutut dan siku. Selepas mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Apin, Rasyid pun berlepas meninggalkan hiruk-pikuk kesesakan kota Medan.



Dari situ kami boleh mendapat angkut untuk ke Kota Binjai 15 km ke barat Medan. Di situ pun singgah masjid. Lihat Masjid Agung (great mosque of) Kota Binjai. Cerita seterusnya dalam buku menyebut...

Dalam perjalanan, pemuda kelahiran Muar, Johor itu tidak banyak bercakap. Dia hampir tidak bersuara langsung, menikus dalam dunianya sendiri seperti tidak mahu bercampur orang langsung. Orang tua yang duduk berhimpit di sebelah sehingga lutut mereka bertemu ada bertanyakan arah tujuannya tetapi Rasyid cuma menjawab: “Mahu ke Tanjung Pura”. Kemudian tersenyum sebelum menoleh ke hadapan melihat pemandangan.

Mungkin sikapnya kelihatan sombong kerana tidak sudi berbual dengan penumpang lain. Sebenarnya pemuda ini tidak mahu bercakap banyak kerana tidak mahu sesiapa menyedari dia adalah orang luar. Takut ada manusia berniat jahat akan mengambil peluang mengenakannya, take advantage kerana dia tidak tahu selok-belok tempatan. Sekurang-kurangnya jika ada yang sedar pun, mereka mungkin menganggap Rasyid sudah biasa ke Indonesia. Mungkin berfikir dua tiga kali sebelum cuba menipunya. Pengalaman dua hari dua malam di Medan telah mengajar, ramai manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan duit tambahan...

Bukan hendak kata orang Indonesia jahat, apa lagi orang tua di sebelah yang kelihatan kuat beragama. Tetapi kalau orang ini jujur, belum tahu penumpang lain juga begitu. Maka lebih elok berhati-hati sebelum apa-apa terjadi. Bila Rasyid membuka mulut , orang boleh tahu pemuda itu orang Malaysia dan selalunya mereka menyangkakan orang Malaysia kaya-raya belaka, ada membawa banyak duit untuk melancong di Indonesia. Lalu ramai yang meletakkan harga lebih, tidak kira untuk membeli rokok, makan di warung atau membayar tambang pengangkutan awam. Tambang atau harga barangan 1,000 Rupiah boleh dinaikkan menjadi 5,000 Rupiah. Silap-silap di’ketuk’ menjadi lebih 10,000 Rupiah!

Orang tempatan atau orang luar yang sudah biasa dengan Medan selalunya jarang bertanyakan harga. Kalau naik pengangkutan awam, agak-agak sahajalah berapa orang selalu beri, 1,000 Rupiah atau 2,000 kemudian bayar. Jangan bercerita panjang... Begitu juga harga makanan dan rokok kerana kedai-kedai biasa jarang meletakkan tanda harga.

Itu belum dikira muka-muka penyangak yang akan cuba menggertak meminta duit jika diberi peluang. Dari jauh lagi, dari body languagenya, Rasyid boleh mengenali orang-orang seperti ini... Dan sejak sampai di Indonesia dia telah terserempak tidak kurang empat orang berperangai gangster yang tidak akan teragak-agak meminta wang jika diberi peluang.



Dalam perjalanan kali ini saya lebih selesa berinteraksi dengan penduduk tempatan berbanding perjalanan lebih 7 tahun lalu yang diceritakan serupa dalam buku tetapi ditukar nama beberapa wataknya. Antara watak tersebut adalah diri saya sendiri yang dijadikan protaganis bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid, sekarang nama anak kecil saya. Ingat, siri novel "Berpetualang ke Aceh" dibuat berdasarkan pengalaman sebenar bukan cerita yang direka-reka. Cerita perjalanan yang dimulakan dari Kuala Lumpur malam sebelum masuk tahun baru 2004 hinggalah membawa ke Aceh dan kembali ke Malaysia disampaikan serupa seperti apa yang berlaku tanpa sedikit pun tokok tambah, cuma bahagian-bahagian lain sahaja ada diubah atau diolah cerita di mana watak dan sifat satu orang tua boleh dipecah menjadi 3 watak berbeza, ada kalanya pula 3 orang berbeza digabungkan sifat dan percakapannya menjadi satu orang sahaja.

Di Kota Binjai kami mendapatkan kenderaan lain yang bentuknya seperti teksi pick-up pacuan empat roda besar untuk pergi lebih jauh ke utara. Jika dahulu angkut yang diambil dari Medan dengan pertolongan Apin memang hendak bergerak jauh sehingga melepasi Tanjung Pura kali ini kami ambil dahulu kenderaan yang tamat perjalanan di Binjai semata-mata kerana ingin mengambil gambar masjid. Namun lebih 7 tahun lalu saya juga ada turun di sini dari Medan. Tapi itu dalam perjalanan kemudian yang ada diceritakan dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007).


Perhentian seterusnya adalah di pinggir bandar Tanjung Pura, 40 km ke utara Kota Binjai. Terus mengambil sebuah beca yang kebetulan menunggu di situ.


Bukan apa. Kami mahu ke Kampung Babussalam atau Besilam yang terletak lebih 6 km lagi dari Tanjung Pura. Tapi sebelum itu mahu singgah di masjid cantik megah ini. Untuk pengetahuan Tanjung Pura ialah ibukota kabupaten atau daerah Langkat, dahulunya sebuah kesultanan yang pernah dinaungi Aceh. Masjid ini bernama Masjid Azizi. Biar diletakkan sedutan seterusnya dari Bab 4 buku "Mencari diri dan erti".


Masjid Raya Azizi memang cantik. Rasanya lebih indah daripada Masjid Raya Al Mansun kebanggaan Medan. Dari luar lagi Rasyid sudah terpegun melihat bangunan berwarna kuning cair ini dengan kubah hitam tinggi besar dikelilingi beberapa kubah hitam lain yang lebih kecil tetapi sama reka-bentuknya. Sudah nampak tiang-tiangnya berhias cantik dengan ayat-ayat Al-Quran tertulis dalam seni khat indah di sekeliling.

Lalu dia terus bergegas ke masjid. Lagipun pemuda yang pernah bersolat di beratus buah masjid seluruh tanahair, mungkin juga beribu termasuk di luar negara perlu ke tandas untuk melepaskan hajat. Selesai itu, barulah dia berjalan mengelilingi bangunan itu untuk melihat senibinanya daripada beberapa sudut. Ah... memang indah dan tinggi nilai keseniannya.

Kalau hendak tahu bagaimanakah rupa Masjid Azizi lihatlah Masjid Zahir, masjid diraja Kedah di Alor Setar. Memang rekabentuknya berkaitan. Di perkarangan masjid lama Kedah itu terdapat papan-tanda yang tertulis bahawa Masjid Zahir didirikan menurut senibina masjid-masjid di Langkat. Agaknya Kedah dan Langkat memang ada kaitan kot?

Kebetulan pula istana lama Langkat di Tanjung Pura yang telah musnah dijilat api diberi nama Istana Kota Darul Aman, sepertimana negeri Kedah juga dikenali sebagai Kedah Darul Aman. Apakah ini cuma kebetulan atau memang ada kaitan yang lebih mendalam? Apa yang Rasyid tahu, memang ada sedikit hubungan kekeluargaan di antara kerabat diraja Kedah dan Langkat yang telah diikat melalui beberapa perkahwinan.


Nak lihat lebih dekat dan menyeluruh rupa masjid ini masuk artikel Masjid (Mosque of) Azizi, Tanjung Pura.



Disebut seterusnya dalam buku...

Di perkarangan hadapan arah kiblat pula terdapat makam diraja Langkat yang mengandungi makam Sultan Musa Muazzam Shah (memerintah 1840-1893), raja yang tercatit dalam sejarah sebagai Sultan pertama kerajaan yang pernah menjadi wilayah taklukan Aceh itu. Baginda dikenali sebagai seorang yang alim lagi warak malah merupakan salah seorang Khalifah Tariqat Naqsyabandiah yang terkenal di Sumatera. Turut dimakamkan di situ ialah cicit baginda, penyair dan penulis Melayu tersohor di zamannya Tengku Amir Hamzah yang terbunuh ketika revolusi rakyat tahun 1946 yang telah meruntuhkan hampir kesemua keSultanan Melayu di Sumatera.


Lihat Kawasan pemakaman diraja Langkat (Royal burial ground of Langkat).




Inilah makam Tengku Amir Hamzah. Lihat Makam pujangga Tengku Amir Hamzah (Tomb of the poet Tengku Amir Hamzah). Tertulis pada batu nesan kaki serangkap puisi, sebahagian dari satu puisi yang lebih panjang...


Biarkan daku tinggal di sini
Sentosa diriku di sunyi sepi
Tiada berharap tiada meminta
Jauh Dunia di sisi Dewa.



Namun perhatian saya dahulu lebih ke arah lain. Lalu disebut dalam buku...

Tetapi lebih menarik perhatian Rasyid adalah batu-batu nesan di kawasan pemakaman itu tinggi-tinggi belaka, masing-masing setinggi orang dewasa! Batu nesan kerabat diraja perempuan yang berbentuk seperti api menjulang pula mengingatkannya kepada batu nesan berbentuk serupa di sebuah makam lama di Kuala Terengganu, berdekatan simpang tiga jalan ke muzium negeri. Bezanya batu nesan di Langkat itu diperbuat daripada batu mar-mar putih sedangkan makam lama Terengganu yang dilihatnya ditanda kayu bercat kuning. Apakah kaitannya? Wallahualam...


Seterusnya sampailah masanya untuk ke Kampung Babussalam atau Besilam di mana terdapat makam seorang ulamak abad ke 19 Masihi yang dianggap sebagai wali besar. Biar dinyatakan keraguan yang pernah menimpa saya lebih 7 tahun lalu sehingga tercatat di dalam buku "Mencari dan erti"... dari mukasurat 216.


Setelah puas menziarahi makam, pemuda itu masuk ke Masjid Azizi lalu menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Kemudian berehat setengah jam sebelum berjalan kaki menuju ke pusat kota. Selepas 3 kilometer berjalan, barulah dia berhenti di sebuah kedai, makan tengahari lauk ikan dengan sayur masakan tempatan. Sambil itu, Rasyid mahu bertanyakan arah ke Kampung Babussalam kerana walaupun dia ada terserempak orang di sepanjang jalan, anak muda itu masih was-was hendak bertanya, takut tersilap orang lalu ditipu atau dipermainkan. Selepas meneliti airmuka setiap orang yang keluar masuk kedai, dia pun bertanya seorang pelayan kedai. Pelayan itu memberi petunjuk arah tetapi katanya kampung itu masih jauh, dekat 10 kilometer lagi. Jenuhlah juga kalau berjalan kaki...

Katanya lagi, Rasyid boleh menaiki motosikal sewa yang menjadi salah sebuah pengangkutan awam utama di sini, dipanggil orang tempatan sebagai ‘kereta’. Ambil di pusat kota, lagi 1 kilometer perjalanan tetapi dia tidak tahu tambangnya berapa. Pemuda itu sudah malas hendak bertanya lagi, nampak sangat tidak tahu selok-belok tempatan. Akhirnya dia menaiki beca yang kebetulan lalu di hadapan kedai makan. Rupa-rupanya, ‘terkena’ juga. terbang 20,000 Rupiah sedangkan anak muda ini boleh pergi ke Babussalam dengan tambang 2,000 Rupiah jika menaiki ‘kereta’...


Tapi tu dulu. Kali ini seperti disebut awal tadi kami sudah awal-awal lagi mendapatkan beca untuk ke Besilam. Kalau dahulu saya merungut kerana bayaran 20,000 Rupiah kali ini langsung tidak. Malah saya sanggup memberikan tambahan sekali ganda menjadi 40,000 Rupiah kerana satu, saya membawa lebih banyak wang berbanding dahulu, kedua kami datang bertiga dengan isteri yang sedang sarat mengandung 6 bulan dan anak berumur 2 tahun berserta banyak barangan (lampin, baju anak kecil, susu dan botol sahaja sudah memakan banyak ruang) dan ketiga, bayaran itu adalah untuk tambang pergi balik di mana pemandu beca sedia menunggu kami melihat sampai puas apa yang ada di Masjid Azizi juga di Besilam . Oh... lagi satu. Dahulu tu saya naik beca kayuh. La ni kami naik becak atau beca bermotor...



Sedikit cerita tentang Babussalam dan Sheikh Abdul Wahab seperti diabadikan dalam buku...

Kampung Babussalam atau panggilan tempatannya Besilam memang sangat terkenal di Tanjung Pura. Nama itu juga harum di luar Langkat sehingga ke serata Sumatera. Ia adalah sebuah pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah, lebih tepat Naqsyabandiah-Khalidiyah yang terbesar di pulau itu, berkat pengasasnya yang dikatakan bertaraf wali, almarhum Sheikh Abdul Wahab yang mendapat ijazah kerohanian dari Jabal Qubis, Mekah, bukit yang terletak berhadapan pintu Babus-Salam di Masjidil Haram.

Menurut seorang tua di Kajang, Selangor, Sheikh Abdul Wahab telah dilahirkan pada 10 Rabiul Akhir 1230 Hijrah (28 September 1811) di Kampung Danau Runda, Rantau Binuang Sakti, Rokan Tengah, dalam wilayah Kampar di Riau. Pakcik yang cuma ingin dikenali sebagai Pak Su ini memberitahu, Sheikh itu telah diamanahkan oleh gurunya untuk memimpin rumah suluk dan mengajar tariqat tersebut dari Aceh sehingga ke Palembang juga mengembangkannya ke serata Indonesia dan Malaysia.

“Almarhum telah mendapat ijazah dan mandat sebagai Khalifah Tariqat Naqsyabandiah daripada Sheikh Sulaiman Zuhdi yang pernah memimpin ibadah di Jabal Qubis bertahun-tahun lamanya,” dia menerangkan. “Ramai orang pernah bersuluk di bukit sebelah Masjidil Haram itu termasuk para jemaah daripada Turki, India, Malaysia dan Indonesia.”

Untuk pengetahuan, bukit itu sekarang telah ditutup, dibina sebuah istana keluarga Saud yang memerintah Arab Saudi. Maka tamatlah sebuah lagi warisan kerohanian umat Islam zaman-berzaman...

Kata Pak Su, Sheikh Sulaiman Zuhdi yakin Sheikh Abdul Wahab (nama sebenarnya Haji Abdul Wahab bin Abdul Manaf) akan menunaikan amanah sebagai Khalifah Naqsyabandiah dengan sebaik mungkin lalu meramalkan beberapa orang Sultan akan menjadi anak murid almarhum.

Rasyid yang tertarik mendengar cerita inipun bertanya:”Apakah yang diperlu dilalui almarhum sebelum diberi gelaran Khalifah, pakcik?”

Orang tua itu tersenyum. Kelihatan barisan giginya yang putih, bersih berkat amalan bersugi dan sentiasa berkumur setiap kali berwuduk...

“Macam-macam nak,” jawab Pak Su. “Kena buat latihan bersuluk, memencilkan diri dari masyarakat umum sambil memerhatikan adab dan pantang-larang. Solat lima waktu tak tinggal. Banyakkan solat sunat dan berzikir beribu-ribu kali ikut apa yang guru ajar. Sambil itu mesti kurangkan tidur, banyakkan berpuasa, jaga kesucian diri malah apa sahaja yang terlintas di hati. Ini sahaja Sheikh Abdul Wahab telah lakukan selama enam tahun!”

Tetapi kata pakcik itu, lebih penting lagi, seseorang itu mesti ta’at dan mematuhi setiap arahan guru tanpa banyak soal. Kerana dalam perjalanan ilmu tariqat, peranan guru mursyid sangat penting untuk peningkatan kerohanian anak murid. Untuk mencapai keadaan Fana’ (melebur, hilang identiti diri) dalam kewujudan dan keEsaan Allah Subhanahuwata’ala, seseorang murid mesti melalui peringkat Fana’ fil Sheikh, melebur dalam diri guru terlebih dahulu. Seolah-olah murid itu tidak pernah wujud, gurulah segala-galanya yang ada. Tetapi mestilah ikut seorang guru mursyid pewaris Nabi, bukan guru ‘Ya Ya’, guru ajaran sesat yang banyak terdapat sekarang...

Pernah terjadi, guru Sheikh Abdul Wahab menyuruh anak-anak muridnya membersihkan takungan najisnya. Ketika kebanyakan mereka merasa segan dan jijik lalu teragak-agak untuk mematuhi arahan, almarhum pula sanggup mengangkat kotoran itu dengan tangan sendiri.

“Selesai itu, Sheikh Sulaiman pun memberitahu tangan Abdul Wahab ini akan dicium raja-raja nanti. Ini terbukti apabila Sultan Langkat, Sultan Musa Al-Muazzam Syah mencium tangan almarhum di Kampung Babussalam,” kata Pak Su. “Malah Sultan yang pernah diberi gelaran Pengiran Indera Diraja Amir Pahlawan Sultan Aceh ini pernah dihukum oleh Sheikh Abdul Wahab, disuruh bertaubat dan beristighfar di tangga Masjid Babussalam. Sehingga ahli keluarga baginda merasa marah dan terhina lalu datang dengan pedang terhunus untuk melawan dan mengajar almarhum! Nasib baik suasana kembali tenang apabila Sultan sendiri menerangkan keadaan.”

Tanah Babussalam seluas 4 kilometer persegi pula telah diwakafkan Sultan untuk kegiatan agama Sheikh Abdul Wahab dan para pengikutnya. Baginda meneruskan tradisi nenek moyangnya memelihara guru agama, tradisi yang dimulakan Baginda Dewa Syahdan, bekas panglima keSultanan Deli yang membuka kerajaan di Guri lebih 300 tahun dahulu.

Kata Pak Su, Sultan Musa pernah memelihara Sheikh H.M. Nur, rakan seperguruan Sheikh Abdul Wahab ketika di Mekah. Sheikh inilah yang menasihati baginda dan isteri supaya bersuluk dengan almarhum, selepas seorang putera kesayangan baginda mangkat akibat sakit teruk.

Tidak lama kemudian, Sheikh Abdul Wahab yang sedang bermastautin di Kubu, Riau pun dijemput ke Langkat lalu mula memimpin suluk di tempat khas yang disediakan Sultan. Sampai masanya, baginda cukup maju lalu disuruh bersuluk di Mekah pula di bawah pimpinan Sheikh Sulaiman Zuhdi sehingga baginda sendiri mencapai taraf Khalifah...

“Sheikh Abdul Wahab telah berjaya mengangkat 126 orang Khalifah daripada pelbagai pelusuk Sumatera hinggalah ke Jawa dan Malaysia. Kalau di Semenanjung, ramai di Batu Pahat, salah satu tempat almarhum pernah bermastautin mengajar agama selain di Perak.” Pak Su memberitahu. “Setiap Khalifah pula layak untuk memimpin suluk dan mengajar Tariqat Naqsyabandiah di daerah sendiri. Bayangkan, berapa banyakkah agaknya jumlah pengikut semua Khalifah ini, diikuti para pengikut yang kemudian hinggalah sekarang. Lalu berkembanglah ajarannya ke merata tempat dan tersebar luaslah kemasyhuran Babussalam...”

Sheikh Abdul Wahab diberitakan telah kembali ke rahmatullah pada 21 Jamadil Awal 1435 Hijrah (27 Disember 1926), dalam usia yang amat lanjut iaitu 115 tahun. Tambah orang tua itu, almarhum meninggalkan 14 orang anak laki-laki, 12 perempuan dan empat orang isteri serta beberapa orang cucu. Malah, ada pihak menyebut, almarhum juga mempunyai 24 orang bekas isteri yang pernah diceraikan, masing-masing berasal dari pelbagai ceruk rantau!




OK. Dalam buku, mukasurat 220 saya ada menyebut perspektif kurang enak tentang tempat ini...


Sayangnya, pada pengamatan Rasyid, Babussalam sekarang bukan lagi seperti zaman Sheikh Abdul Wahab atau mungkin zaman Pak Su, ketika mereka yang menerajuinya masih ikhlas memartabatkan Islam serta meningkatkan kefahaman untuk mengenali kewujudan Tuhan. Sebaliknya ia sudah berbau materialistik dan kurang jujur, sudah menjadi tempat berjual-beli amalan agama dan ayat-ayat Al-Quran untuk mendapatkan kekuatan rohani yang boleh memberi kelebihan dalam mencari duniawi...

Pencari dan pencinta kebenaran ini dapat merasakan nama besar almarhum sudah dijadikan penarik rezeki... Kampung itu telah menjadi kilang cop duit lebih daripada tempat melahirkan penganut Islam yang tulin. Sepertimana Istana Maimon di Medan sudah menjadi semacam muzium tempat kerabat diraja menagih pendapatan, Babussalam juga sudah dijadikan sumber sara hidup mereka yang mewarisinya.

Ini menjadi nyata apabila Rasyid masuk ke dalam bangunan makam yang agak mewah dengan rupa seakan-akan bangunan makam diraja Perak di Bukit Chandan. Ketika itu ada lah sekitar enam orang pengunjung menunggu hendak menziarahi makam Sheikh Abdul Wahab. Tetapi setiap seorang perlu melepasi penjaga makam terlebih dahulu, tidak boleh terus ke sana walaupun setakat untuk menghadiahkan Surah Fatihah.

Penjaga itupun bertanyakan hajat mereka ke sana, apakah bantuan yang perlu atau masalah yang dapat diselesaikan dengan berkat karamah almarhum sebagai seorang wali Allah dan Khalifah Tariqat Naqsyabandiah. Lalu seorang demi seorang mendekatinya menyatakan apa yang terbuku di hati sebelum beliau membacakan doa, kemudian memberi jaminan apa yang dirunsingkan atau dihajati akan selesai atau ditunaikan Insya’allah tidak lama lagi. Setiap seorang pun menghulurkan segulung duit kepada penjaga makam sebelum berlepas pulang...

Rasyid tidak gemar melihat semua ini kerana merasakan ia tidak bertepatan dengan konsep ajaran Tasawuf sebenar yang di bawa Sheikh Abdul Wahab atau mana-mana guru mursyid yang menekankan pembentukan insan Islam sejati. Tetapi pemuda itu tetap menghulurkan sedikit wang kerana terpaksa menuruti adat, tidak mahu mahu kelihatan lokek ataupun biadab lebih-lebih lagi kerana dia adalah orang luar, kali pertama berkunjung ke sana dan ada niat untuk bermalam di Babussalam.



Walaupun kunjungan saya kali ini terasa lebih aman nampaknya saya tidak tersalah anggap. Di kala saya terasa mungkin telah membuat hukuman melulu mengenai keadaan setempat yang dilihat lebih 7 tahun lalu Allah menunjukkan saya masih berpijak di bumi nyata. Bayangkan selepas mengunjungi makam, saya, isteri dan anak keluar berehat sebentar di luar. Tiba-tiba datang 2-3 orang entah penduduk kampung entah tak terus bersila di hadapan pintu masuk makam, semuanya memakai jubah. Tanpa segan silu seorang terus memberi isyarat meminta wang sementara yang lain memandang muka penuh makna seperti hendak memujuk, memaksa pun ada kami mengikut saranan tersebut. Masyaallah! Masih ada yang begitu rupanya.

Lagi satu saya ada menyebut dalam sedutan di atas bahawa bangunan makam Sheikh Abdul Wahab agak mewah dan kelihatan serupa seperti bangunan makam diraja Perak. Ini dibuat berdasarkan ingatan saya dahulu tanpa merekodkan gambar. Kali ini saya dapati bangunan makam lebih mewah dari yang diceritakan, mungkin akibat ditambah baik lagi sehingga hampir sahaja saya menyangkakan ia sebuah masjid yang agak besar dan terserlah. Lihat artikel Makam (Tomb of) Sheikh Abdul Wahab Rokan dan bandingkan dengan apa yang terdapat pada artikel lama Makam diraja Perak (Perak royal mausoleum). Kelihatan ia lebih mewah dari makam raja. Cuma makam kaum keluarganya sahaja lebih sederhana (lihat Makam anak cucu Sheikh Abdul Wahab (Tombs of descendants of Sheikh Abdul Wahab)). Bandingkan pula dengan bangunan masjid kayu seperti ditunjukkan pada gambar atas (lihat Masjid (Mosque of) Besilam). Yang nyata ia memang jauh lebih terserlah dari masjid itu.


Keadaan yang terasa negatif lebih 7 tahun lalu menyebabkan saya 'membebel' agak panjang lebar juga dalam buku. Tapi tak payahlah dipanjangkan lagi. Saya tetap percaya Sheikh Abdul Wahab sendiri tidak mengajar dan tidak sukakan keadaan begitu. Selepas puas melawat makam dan melihat Kampung Babussalam dan Besilam becak pun membawa kembali ke bandar Tanjung Pura.


Selepas makan di kedai berdekatan kami pun mendapatkan kenderaan ke destinasi seterusnya. Destinasi ini agak penting dalam siri novel "Berpetualang ke Aceh" kerana menjadi tempat tidak disangka dan dirancang untuk saya berehat dan berlindung apabila perjalanan menghadapi masalah. Lalu saya mahu menunjukkan kepada anak dan isteri apa yang dirasakan istimewa tentangnya. Bersambung insyaallah selepas masuk tahun baru 2012...



Tuesday, December 27, 2011

Kembara Johor-Riau : Muar, Singapura, Parit Betak

Sampai masanya untuk memulakan satu siri baru, diselang-selikan dengan siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'" yang kini baru melepasi fasa pertengahan (lihat artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Kerajaan Haru Deli Tua dan legenda Puteri Hijau yang dibuat 5 hari lalu). Dalam artikel Diperkenalkan : Kembara Johor-Riau yang dibuat 8 hari lalu sedikit latar belakang telah diberi. Sekarang biar penceritaan bermula... :]



Awal pagi Sabtu 10 Disember 2011, hampir jam 2 pagi gitu. Selepas menyiapkan artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Raya Haji di Medan... dan penceritaan sebenar pun bermula dan menyediakan barangan yang perlu baru kami anak beranak meninggalkan rumah. Akibatnya kami sampai ke Melaka hampir jam 5. Kami 'bermalam' dengan makan di warung tepian Jalan Hang Tuah sebelum menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Al-Sumatrani di Kampung Ketek seterusnya solat Subuh di Masjid Kampung Hulu.


Asalnya kami mahu terus ke Muar. Tetapi Sabtu malam Jumaat bapa saya menalifon mengatakan dia dan ibu mahu bermalam di rumah adik saya di Melaka. Maka dari Masjid Kampung Hulu kami pun bergegas ke rumah adik. Di sanalah kami berehat sehingga malam sebelum kembali ke rumah ibu bapa di Muar. Di atas adalah gambar pagi esoknya hari Ahad. Kelihatan anak kecil kami Al-Rasyid (paling hadapan) bersama adik saya yang lain, adik bongsu dan anak-anaknya bersiap sedia untuk keluar berjalan.


Adapun adik perempuan yang bekerja sebagai seorang doktor di Johor Bahru ini baru sahaja tamat cuti bersalin anak keempat. Lalu sebelum masuk kerja dia datang bersama anak-anak dan suami untuk turut bersama kami di Melaka sebelum ke Muar. Kalau ikut rancangan asal saya Sabtu itu juga mahu pergi lebih ke selatan kerana kami mahu ke Pontian sebelum masuk ke Singapura. Tetapi disebabkan bapa berada di Melaka dan adik bongsu ingin datang kami tunda rancangan dan tengahari Ahad sama-sama keluar ke bandar Muar.



Kami pergi ke bahagian rekreasi yang lebih dikenali sebagai Tanjung. Ahad 11 Disember adalah hari lahir bapa lalu beliau mengajak keluarga sama-sama menyambut. Kebetulan juga hari itu adalah ulang tahun perkahwinan saya dan isteri. Dan tarikh itu juga merupakan hari lahir Sultan Selangor sehingga isteri yang bekerja di Rawang mendapat cuti hari Isnin.


Atas sebab Isnin cuti itulah isteri memanjangkan terus percutian untuk membuat perjalanan kali ini. Sebelum itu kami pernah merancang mahu turun ke Johor Bahru kemudian naik Pontian sebelum masuk ke Singapura 26 November, hari lahir saya yang ke 41. Rancang kami ketika itu mahu menghadiri majlis perkahwinan saudara di JB sebelum membawa sejumlah saudara lain ke Pontian untuk berkenalan dengan saudara mara sana belah Bugis yang baru dikenali kira-kira setengah tahun lalu. Kebetulan ada juga majlis kahwin di pihak mereka dan kami dijemput hadir, satu acara yang sudah kami tunggu sejak mengenali mereka. Rujuk artikel Ke selatan sempena cuti Hari Buruh - Salasilah sebelah ibu, makam Malim Deman, pertemuan Sungai Muar/Jempol dan tetamu misteri di makam Tuan Tulis yang dibuat 11 Mei.

Selain itu saudara mara kami di Singapura sudah lama ingin berjumpa untuk mendapatkan buku terbaru saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah", buku yang direncanakan terbit bulan September untuk sambutan Hari Raya Aidil Fitri tetapi cuma siap dicetak dan dijilid Oktober. Lihat Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah". Mereka amat teruja apabila mendapat tahu kandungan isi buku yang antara lain menceritakan hal keluarga termasuk dari belah mereka apalagi sebahagian telah melihat buku diulas dan saya ditemu ramah secara langsung di kaca televisyen. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia..


Namun sehari sebelum 26 November kereta kami mengalami masalah teruk tidak boleh menukar gear. Sebenarnya masalah ini mula terasa sebelum kami berlepas ke Medan untuk perjalanan sehingga ke Banda Aceh 2-13 November, perjalanan yang sedang diceritakan melalui siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Tetapi kami menyangkakan kereta masih boleh bertahan hingga ke awal 2012. Apabila dah sampai peringkat nak masuk gear satu dan reverse perlu matikan enjin terlebih dahulu, kalau tidak langsung tak boleh masuk, apabila bertukar gear satu ke dua, dua ke tiga dan seterusnya pula sentiasa aje tersangkut sehingga lebih 10 saat baru kami sedar mustahil dapat berjalan jauh dalam keadaan itu.

Nak tak nak kereta terpaksa dihantar masuk ke bengkel pagi Jumaat sedangkan acara akan berlaku hari Sabtu. Kami tidak cukup masa untuk mendapat kenderaan gantian lalu terpaksa melupakan perjalanan yang dirancang. Sejak itu saya bertekad, sebelum akhir tahun 2011 akan membuat perjalanan ke selatan untuk menziarahi saudara mara belah Bugis yang dimaksudkan di Pontian sebelum masuk ke Singapura bertemu saudara mara lain iaitu dari belah Jawa. Kali ini kami tidak mahu berjanji awal-awal. Kalau dapat masa dan peluang kami akan pergi sahaja dan bertawakal kepada Allah samada dapat berjumpa ataupun tidak.

Oh. Tentang keluarga berdarah Jawa iaitu dari ibu kepada ibu saya, satu perjalanan khusus sehingga terkumpul bahan awal untuk buku "Jejak keluarga Yakin" pernah dibuat 2 tahun lalu. Sila rujuk Koleksi artikel "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan"... . Di atas adalah kepala kereta api lama yang terdapat di satu bahagian Tanjung. Perhatikan betul-betul di tepi belakang. Masih ada kesan tulisan M.S.R. tetapi telah dicat hitam, tulisan yang membuktikan Muar bertaraf negeri sehingga awal abad ke 20 Masihi, bukan sekadar daerah di dalam negeri Johor. Kerana M.S.R. adalah singkatan untuk Muar State Railway, "Keretapi Negeri Muar".


Selepas makan tengahari di Tanjung seraya meraikan hari ulang tahun bapa, baru saya, isteri dan anak sedia untuk meninggalkan Muar.


Kami mengambil Jalan Junid, jalan raya yang terletak paling hampir ke persisiran pantai untuk ke selatan. Jalan yang kurang dilalui ramai ini ada ceritanya yang tersendiri. Lihat artikel lama Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama....


Selepas beberapa kilometer Jalan Junid mengecil menjadi jalan kampung sebelum masuk ke jalan lebih besar menuju ke pekan Parit Jawa. Di sana kami pergi ke kawasan pantai, kalau tak salah dipanggil Pantai Leka.




Perjalanan kemudian membawa kami melalui Batu Pahat. Setakat singgah di masjid sahaja sebelum terus lagi ke selatan. Lihat artikel Masjid (Tomb of ) Sultan Ismail, Batu Pahat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Tidak lama selepas itu kami pun menghampiri destinasi utama hari Ahad. Lihat nama Betak di papan tanda? Itu adalah moyang kepada ibu saya, seorang berketurunan Bugis yang katanya memiliki seramai 7 orang isteri... bukan sekali gus le. Itupun setakat yang diketahui saudara mara di Pontian. Entah-entah ada ramai lagi isteri...


Betak atau Daeng Betak ini dikatakan membuka Parit Betak sekitar tahun 1910. Letaknya ke hadapan sedikit sahaja daripada sempadan daerah Batu Pahat-Pontian.



Menggunakan alamat rumah yang diberi lebih setengah tahun lalu dan bertanya pada orang tempatan kami dapat mencari rumah saudara yang mula dikenali lebih setengah tahun lalu. Ternyata ada hikmah perjalanan kami tertunda dari Sabtu membawa ke lepas tengahari Ahad akibat menurut kehendak orang tua yang mahu kami berehat di Melaka dahulu sebelum bermalam ke Muar kemudian bersama lama sedikit untuk sambutan hari lahir bapa. Sampai sahaja ke rumah kami dapati penghuninya baru sahaja kembali dari Terengganu, tidak sampai sejam pun! Rupa-rupanya mereka pergi ke sana hari Jumaat untuk menghantar seorang pengantin dari keluarga mereka. Kalau saya, isteri dan anak datang lebih awal tentu kami tidak dapat bertemu.



Kiranya ada keberkatan juga perjalanan kami ini di mana kami juga bertujuan untuk menghalusi lagi salasilah Bugis belah ibu yang katanya sampai kepada Daeng Parani, saudara tertua Lima Daeng Bersaudara (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) yang amat terkenal dalam sejarah Tanah Melayu itu. Lihat artikel lama Kaitan Daeng Parani dengan keluarga sebelah ibu. Perjalanan diteruskan melepasi bandar Pontian atau lebih tepat Pontian Kechil. Peliknya di sini ada tempat bernama Pontian Besar... tetapi pekannya kecil. Sedangkan bandar utama daerah yang jauh lebih besar terletak di Pontian Kechil. Macam main-main le pulak. Ho ho ho! Meri keris mas! (tak tahan nak menyebutnya mengingatkan perayaan penganut Kristian 2 hari lepas) :]


Petang sekitar jam 6 masuklah kami ke lebuh raya lalu ke jambatan untuk ke Tuas, Singapura. Keberkatan berterusan apabila kami dapat masuk tanpa sebarang masalah atau kelewatan kecuali untuk mengisi borang. Sedangkan awalnya kami terasa risau juga tak dapat masuk...


Ini kerana semasa di Muar ibu ada mengingatkan supaya berhati-hati. Katanya dia pernah ditahan pihak imigresyen Singapura semasa mengandungkan adik tengah saya yang kini menjadi seorang pensyarah universiti di Melaka, adik yang rumahnya menjadi tempat kami berehat hari Sabtu sebelum ke Muar. Kata ibu semasa itu dia baru mengandungkan adik sekitar 4 bulan. Tetapi sebaik sahaja imigresyen dapat menghidu keadaannya dia hampir-hampir ditahan daripada masuk. Mungkin kerana mereka menganggap kita orang Malaysia terhegeh-hegeh sangat nak beranak di Singapura supaya dapat kerakyatan sana? Maklumlah semasa itu Malaysia ibarat kampung yang serba kekurangan berbanding Singapura yang jauh lebih moden. Akhirnya ibu yang mahu ke sana melawat seorang bapa saudaranya yang sedang sakit tenat dibenarkan masuk. Tetapi beliau diberi amaran agar keluar dari pulau sebelum jam 10 malam!



Tentunya saya risau mendengar kenyataan ini. Maklumlah jika ibu yang sedang mengandung 4 bulan pun boleh diperlakukan begitu apatah lagi isteri yang sudah masuk 7 bulan setengah sarat. Ya... isteri saya sedang sarat mengandung lagi. Cukup terang perutnya begitu besar, apalagi dalam tempoh yang tak mustahil seseorang boleh beranak dalam masa terdekat melahirkan anak cukup sifat yang mampu bertahan sehingga dewasa malah hingga ke tua.

Kata orang, anak yang lahir selepas 7 bulan lebih senang hidup berbanding kalau dikandung 8 bulan seperti saya Ya... Allah memanjangkan umur saya. Ibu bapa saya pernah naik kereta masuk gaung dalam perjalanan ke Raub melalui jalan lama sehingga kereta yang baru dibeli seminggu hancur total loss... ketika hendak memberitahu Almarhum Nenek ibu baru sahaja mengandungkan cucu sulungnya. Namun saya terus 'melekat'. Selepas dilahirkan pula saya pernah sakit kuning teruk sehingga perlu ditukar darah melalui pusat. Bila dah besar macam-macam peristiwa pernah dilalui... saya pernah diacukan senapang shotgun di Eropah, pernah diacukan mesingun M16 di Aceh. Pun alhamdulillah, setakat ini umur saya sudah melepasi 41 tahun dan masih bertahan hidup....


Berbalik pada hal di Singapura. Alhamdulillah sedikit pun kami tidak ditanya tentang kandungan isteri. Walhal bukan mereka tak nampak terutama apabila turun untuk mengisi borang kedatangan di pejabat kerana tidak menyediakannya lebih awal. Kami pun meneruskan perjalanan dengan berziarah ke makam wali Allah terkenal Habib Nuh di pinggir pusat bandar raya.



Kami juga dapat menghubungi saudara mara di Singapura lalu berkumpul dengan mereka. Alhamdulillah mereka memang sudah sedia menunggu untuk menyambut. Terus dibawa berjalan makan malam... buat pertama kali saya merasa masakan Cina yang dipanggil Bak Kut Teh (mereka yang tahu mungkin menggeleng-gelengkan kepala kerana ia biasanya tidak halal...). Selepas itu terus ke rumah seorang daripada mereka di mana sejumlah buku "Jejak keluarga Yakin" terus disambar laju. Kalaulah tidak kerana ketika itu Ahad malam Isnin dan esok hari bekerja tentu lebih ramai saudara dapat muncul dan buku dibeli. Duit jualan buku itulah yang dibuat belanja untuk perjalanan utama seterusnya iaitu ke Pulau Bentan di Riau, Indonesia. Nanti sambung cerita...