Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, September 22, 2012

Penyertaan sulung di Car Book Sale Kota Buku - main pondok askar anak-beranak

OK. Masuk satu aktiviti siang tadi...

Hampir 3 bulan lalu saya ada membuat artikel bertajuk Istana Negara, Kota Buku dan naik gajah - Perjalanan terjauh selepas pusing Pulau Jawa di mana ada disebut tentang satu acara baru dipanggil Car Book Sale anjuran sebuah badan berkaitan kerajaan yang dipanggil Kota Buku.


Acara ini melibatkan sejumlah penggemar buku menjual buku/majalah/komik terpakai juga yang baru menggunakan konsep Car Boot Sale iaitu jualan dari ruangan barangan kereta.


Ketika saya pertama kali melihatnya Sabtu 30 Jun, ia adalah edisi ke-5 acara.


Secara rata ia diadakan 2 minggu sekali di hadapan perkarangan Perpustakaan Kuala Lumpur iaitu di sebelah Dataran Merdeka dan pernah diadakan di pusat bandar raya Melaka pertengahan Julai.


Kemudian acara direhatkan panjang sempena umat Islam berpuasa bulan Ramadhan dan beraya bulan Syawal. Baru tadi ia disambung kembali bermula jam 2.30 petang.


Sejak mendaftarkan diri pertengahan Julai saya memang ternanti-nati bilakah dapat menyertainya.


Alhamdulillah dapat juga saya dan keluarga turut serta buat julung kalinya. Berbekalkan koleksi buku tulisan/terbitan sendiri berserta poster-poster yang pernah dibuat beberapa tahun lalu saya pun mendirikan gerai Car Book Sale secara ad hoc.


Lihat bagaimana saya mendirikan bunting. Pakai kon DBKL dengan kayu yang kebetulan ada di tempat letak kereta, kayunya diangkat tinggi, disendal dengan kain lampin anak. Bunting kemudian disangkut pada hujung atas kayu, diikat dengan plastik pengisi bunting. Apabila mendapati bunting boleh melayang ditiup angin, saya menghempap bahagian bawahnya dengan beg kain berisi buku...


Tidak lama kemudian kami anak-beranak terasa lapar lalu keluar makan berdekatan Central Market. Kami cuma membawa barangan penting bersama, insyaallah tiada masalah meninggalkan pintu kereta terbuka bersama gerai ad hoc dan buku. Gambar ini diambil ketika menuju kembali ke kawasan Car Book Sale. Saya memaparkannya  untuk menunjukkan betapa senangnya menuju ke tempat itu.



Nampak bangunan berkubah hitam? Itulah Perpustakaan KL. Kotak kuning menandakan kawasan Car Book Sale. Dari jauh pun boleh nampak gerai-gerai yang ada asal kita tahu nak tengok kat mana.


Sampai di kereta kami dapati ada dua gerai lagi sudah didirikan.




Cuma kali ini acara sedikit 'kureng' kerana beberapa muka biasa yang berpengaruh tidak muncul akibat terikat dengan hal-hal lain. Rujuk artikel Car Book Sale at the KL Library di blogspot BERPETUALANG KE ACEH di mana acara terasa meriah dengan penyertaan personaliti seperti aktivis budaya, Profesor Dr. Siti Zainon dan seniman puisi terkenal saudara Pyanhabib. Ketidakpastian tentang edisi terbaru ini juga mungkin mengganggu sambutan. Apabila orang tidak pasti apakah sesuatu acara itu jadi atau tidak mereka selalunya tidak akan menunggu lalu mula mengatur program atau menerima jemputan lain.

Dahulu semasa bulan Ramadhan saya diberitahu acara akan diadakan pada penghujung minggu kedua raya. Tetapi masuk minggu itu baru saya dapat tahu ia dibatalkan, mungkin kerana baru menyedari susah hendak mendapat penyertaan kerana hujung minggu bulan Syawal selalu digunakan untuk melawat saudara-mara dan sahabat-handai. Beberapa hari kemudian saya mendapat maklum balas dari pihak penganjur bahawa acara telah ditunda kepada hari Sabtu 22 September iaitu selepas tamat bulan beraya. Tetapi keadaan kemudian agak senyap sehingga saya tertanya-tanya apakah akan berlaku lagi perubahan. 

Beberapa hari lepas saya ada meninggalkan pertanyaan di Facebook penganjur untuk memastikan keadaan. Tetapi pagi Jumaat iaitu semalam baru saya mendapat kepastian. Selepas itu baru saya dapat memaklumkan kepada rakan-rakan dan kenalan. Ternyata ketika itu ramai sudah membuat perancangan lain hujung minggu, ada pula yang sudah sedia berada jauh di bahagian lain Semenanjung. Kalau tidak, penyertaan sulung saya di Car Book Sale ini boleh menjadi lebih meriah. Antara yang mungkin datang adalah sejumlah rakan dan kenalan peminat silat dan senjata tradisional Melayu yang sanggup memakai persalinan penuh busana lama seperti hulubalang, pendekar, panglima juga bangsawan dan kerabat diraja dahulukala.


Nasib baik ada juga peminat-peminat tulisan saya yang datang, ada yang memang ingin bertemu dan membeli buku. Muncul juga sahabat baik saya Zaidi membawa satu surprise ataupun kejutan... dia telah membelikan saya sehelai kain ponco askar lalu saya gunakan untuk mendirikan semacam khemah. Kebetulan saya memang sedang memakai baju serba hijau dengan seluar celoreng askar. Macam tau-tau je...


Adapun dia menghadiahkan ponco itu sebagai persediaan untuk kami keluar mengembara nanti. Semasa zaman saya kembali bujang sering berjalan ke merata tempat, Zaidi adalah sahabat yang paling selalu ikut mengembara sama. Namun kali terakhir kami keluar jauh adalah pada tahun 2008 melihat tempat-tempat bersejarah di Perak. Dalam perjalanan itu Zaidi membuat rakaman video, lalu saya sunting menjadi DVD yang kemudian telah dibeli ramai orang. Lihat artikel lama Perjalanan ke Perak: DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" dah siap!

Selepas saya kembali berumahtangga penghujung 2008 kami tidak pernah lagi keluar mengembara bersama.  Sejak itu Zaidi cuma pernah menemani saya untuk satu majlis agama di Masjid Negeri Shah Alam setengah tahun lalu. Lihat artikel Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh. Dialah yang membuat rakaman saya berkongsi pengalaman tentang penulisan siri novel "Berpetualang ke Aceh" dengan khalayak di ruang utama solat masjid besar itu. Selain ini kami cuma pernah bertandang ke rumah masing-masing bersama keluarga.


Kami kemudian pergi berjalan melihat pameran di satu bangunan berdekatan. Lihat Kuala Lumpur City Gallery. Kembali ke kereta saya dapati anak-anak telah menjadikan gerai ad hoc kami tempat bermain.


Tengok tu. Johan dipegang oleh ibunya, jadi dia mungkin tak tahu apa-apa. Tapi Rasyid? Sejak awal dia seronok keluar masuk kereta kemudian naik atas tikar main-main mengatur buku. Kini setelah ada ponco, tanpa disuruh dia masuk ke dalam kotak buku pula. Itu belum cerita dia berlari-lari keriangan di sekitar kawasan Car Book Sale yang lapang.

Saya sendiri seronok dengan gerai ad hoc yang dibuat secara spontan ini. Kalau dilihat gambar-gambar teratas, tentu boleh nampak saya ada menggunakan satu kain bunting lama untuk dijadikan tambahan bumbung. Tetapi dengan adanya ponco ini bunting tersebut dapat digantung di pintu kiri kereta. Agar ponco dapat ditebar lebih luas bunting pertama yang telah didirikan menggunakan kon DBKL dan kayu yang disendal kain lampin pun diletakkan di sudut kiri menjadi penahan. Itu belum lagi dilihat payung atas bumbung kereta yang digunakan untuk menyendal ponco ke kereta. Macam main pondok-pondok askar pula... :]



Friday, September 21, 2012

Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Makam-makam lama dari Kuala Kangsar hingga ke Bota dan Lambor

Assalamualaikum. Setelah bertungkus-lumus menyediakan 10 lagi artikel sokongan di blogspots saya yang lain siang Jumaat tadi sampai masanya untuk menyambung cerita daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Mendaki Gunung Brinchang sebelum melawat tempat-tempat di Perak.


Pagi Selasa 14 Ogos 2012, selepas puas bermalam di sebuah surau di Kampung Temong saya pun bersedia untuk berjalan. Perhatikan tayar motosikal ini. Nampak tak bahagian seperti corak di bawah plet nombor? Itu adalah lingkungan yang terbentuk akibat benang tayar sudah terkeluar. Tayar motosikal ini sebenarnya sudah botak licin semenjak 2-3 minggu sebelum perjalanan solo ini dimulakan tetapi saya gagahkan juga membawanya berjalan. Selepas meredah jalan kampung yang  kasar dengan batu-batan di Kuala Medang (lihat Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Ujian Sungai Koyan ke Cameron Highlands) benang pun kelihatan.


Pengalaman lalu menunjukkan tayar belakang yang sudah nampak benang masih boleh dipakai sehingga 3 bulan. Tapi tak tahulah kali ini kerana banyak melalui jalan kasar. Dengan tayar sebeginilah saya dapat naik Cameron Highlands kemudian mendaki Gunung Brinchang sehingga ke puncak. Dengan tayar itu juga saya turun pusing beberapa tempat sebelum ke Kuala Kangsar. Di atas adalah makam Tok Temong yang disinggahi selepas meninggalkan surau.


Selepas itu saya menuju ke bandar diraja Kuala Kangsar. Singgah di masjid ini di tepian jalan.


Ada dua buah makam bangsawan berketurunan Bugis saya cari dan singgahi sekitar ini. Kemudian saya melawat masjid baru yang terletak setentang masjid lama. Lihat artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-




Hampir ke pusat bandar pula saya singgah di tanah perkuburan ini. Lihat Makam (Tomb of) Temenggung Wan Hassan.

Jika malam sebelumnya saya naik ke Bukit Chandan untuk ke Masjid Ubudiyah dan menziarahi beberapa makam, siangnya pula saya naik lagi dengan niat mahu masuk ke istana lama yang telah dijadikan muzium. Tengok-tengok ia masih ditutup atas alasan baik-pulih. Baik pulih apa? Seingat saya sejak tahun 2004 atau 2005 dah macam ni. Takkan tak siap-siap? Atau semua barangan yang sudah diangkut masuk ke sebuah galeri berdekatan tidak mahu dipulangkan kembali ke sini?


Saya meninggalkan Kuala Kangsar melalui Jalan Kenas mengala ke Manong. Singgah ke makam seorang ulamak besar. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Tahir Jalaluddin.


Kemudian pergi ke hutan lipur Ulu Kenas untuk bermandi-manda.




Selepas itu pergi ke Kuala Kenas kerana mahu mencari makam seorang Megat. Terjumpa dahulu sebuah makam lain dalam kawasan sekolah. Lihat Sebuah makam terserlah di Kuala Kenas (An outstanding tomb at Kuala Kenas).


Sekolah tersebut terletak berdekatan Sungai Perak. Saya pun pergi melihat sungai. Lihat artikel Perak river from Kuala Kenas di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kemudian menyambung mencari makam Megat yang dikenali sebagai si Makan Lambat. Jumpa dahulu sebuah tanah perkuburan yang mengandungi kubur beberapa orang daripada keturunannya agaknya. Rupa-rupanya makam Megat Makan Lambat terletak lebih terpencil dalam kebun dan belukar. Lihat Makam (Tomb of) Megat Makan Lambat.


Keluar dari Kuala Kenas menyambung perjalanan menghala ke Manong saya dapati meter bawah motosikal menunjukkan ini.


Perjalanan diteruskan melepasi Manong masuk ke Kampung Semat.



Bukan hendak mencari Smartshop atau Smarttag tapi mahu menghadap bahagian Pulau Semat yang terletak di Sungai Perak... untuk memberi salam kepada almarhum Sultan Tajul Ariffin, Sultan keempat Perak yang makamnya terletak di tengah pulau...


Dari situ saya ada singgah di makam almarhum Tepus, anakanda kepada Sultan ke 25 Perak, Sultan Ismail sebelum masuk ke pekan Parit.


Di Parit saya menunaikan hajat tertunda untuk menunggang motosikal menyeberangi Sungai Perak melepasi pulau yang dipanggil Cempaka Sari.


Motosikal terus meluncur laju sehinggalah menghampiri Bota Kiri, baru saya masuk ke jalan kampung untuk menziarahi makam seorang ulamak terkemuka hampir 300 tahun lalu. Lihat Makam (Tomb of) Sayyid Jalaluddin Tok Tambak Pulau Pisang.


Dari Bota Kiri saya menyeberang Sungai Perak lagi untuk masuk ke Bota Kanan. Ada beberapa buah makam ingin disinggahi menghala ke Kampung Gajah, antaranya makam Sultan Muzaffar Shah I. Jenuh juga mencari jalan masuk sehingga berulang-kali berpatah balik antara Lambor Kanan dan Bota Kanan baru jumpa gara-gara papan tanda bertulis "Lorong Sultan Muzaffar Shah I" sudah hilang. Nasib baik jumpa juga jalan tetapi sudah lewat petang. Selain ziarah saya untuk mengambil gambar-gambar menunjukkan lebih dekat batu-batu nesan Aceh yang ada di situ. Lihat Batu nesan Aceh di makam Sultan Muzaffar I (Aceh gravestones at the tomb of Sultan Muzaffar I). Oh, baru teringat, Saya juga ada menziarahi makam Sultan Muzaffar Shah II dan Sultan Muzaffar Shah III...


Kemudian saya menghadapi masalah mencari sebuah makam yang belum pernah dijejaki sebelum ini, baru kali ini tergerak setelah melihatnya dalam buku. Kalau tak salah inilah makam yang pernah disarankan agar saya singgah oleh seorang pembaca blogspot ini yang memakai nama Vet 69 Generasi Tok Kadok gitu. Daripada buku saya mendapat tahu ia adalah makam seorang pembesar Aceh yang ditugaskan mentadbir ketika Perak  berada di dalam kekuasaan kerajaan dari seberang Selat Melaka itu. Lihat Makam (Tomb of) Tok Sego Aceh.


Makam tersebut terletak di dalam kawasan belukar bersebelahan ladang kelapa sawit tetapi tidaklah begitu jauh dari jalan besar, cuma kita perlu tahu hendak mencarinya di mana. Semasa keluar saya mendapati nombor ini tertera pada meter motosikal. Terasa ada makna ni... kerana 626.2 adalah 313.1 x 2. 3131 pula mengandungi nombor 313 dan 131 yang ada makna tertentu buat saya.


Ikut rancangan asal saya harus sudah lama selesai melihat makam-makam yang ingin dijejaki di laluan Bota Kanan ke Kampung Gajah.  Cadangnya selepas itu mahu mencari satu makam lama di Lambor Kiri kemudian berpusing-pusing di sekitar Segari sebelum berbuka puasa di Lumut. Sebaliknya saya sampai di makam Tok Sego tadi pun dah masuk Maghrib. Saya berbuka puasa di surau ini di Pulau Tiga.


Selepas solat saya cuba mencari makam Puteri Limau Purut di kawasan felda sekitar 4 km ke darat dari surau. Setelah bertanyakan orang saya ditunjukkan jalan masuk ke satu kawasan pendalaman. Tapi dalam gelap begini manalah nak jumpa? Kecuali makamnya memiliki bangunan yang terserlah...


Begitu juga halnya apabila saya cuba mencari makam tertentu di Kampung Pulau, Lambor Kiri. Saya diberitahu makam itu terletak cuma sekitar 200 meter sahaja di belakang sebuah rumah tinggal. Tapi sekali lagi mana nak nampak dalam kegelapan dan di kawasan hutan belukar?


Nak tak nak saya harus meneruskan perjalanan dengan masuk ke Bota Kiri.


Di sebuah kedai makan berdekatan saya berehat sebentar. Ketika itu sudah hampir jam 10.30 malam. Kali ini rancangan saya betul-betul lari. Nampaknya saya mungkin harus mengulangi beberapa jalan nanti untuk memuaskan hati. Kalau tidak kerana merasakan harus bermalam di Lumut tentu sahaja saya akan mencari tempat berehat di sekitar Kampung Gajah.


OK. Ini adalah peta perjalanan hari itu. Mengikut Google Map jarak yang dilalui adalah 178 km. Kalau dicampur jarak berulang-alik mencari beberapa makam dan sebagainya, saya kira jarak sebenar dilalui adalah 250 km. Maaf ya jika kali ini penceritaan terasa begitu ringkas, tidak disertakan beberapa pengalaman mengembara lalu seperti halnya artikel-artikel siri ini sebelumnya. Beberapa hari ini saya kurang sihat dan terasa amat penat.


p/s: Tadi saya letak link artikel ini di Facebook lalu memberitahu ia adalah cerita hari ke 4 perjalanan. Terus teringat bagaimana saya ada duduk bertafakur dalam kegelapan di bilik nombor 4 Penjara Pudu semalam. Lihat A visit to Pudu Jail atau baca artikel Akibat Kenanga... lawatan tak dijangka ke Penjara Pudu.
.


Akibat Kenanga... lawatan tak dijangka ke Penjara Pudu

OK. Kalau ikutkan malam ini malam Jumaat saya mahu menyambung penceritaan daripada artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Mendaki Gunung Brinchang sebelum melawat tempat-tempat di Perak. Tetapi siang tadi timbul satu hal lain yang terasa harus diceritakan terlebih dahulu. Mari! 


Pagi tadi, atas permintaan isteri yang telah dibuat sejak seminggu dua lalu, saya menghantar beliau dan dua  orang teman sepejabatnya pergi ke satu bangunan menjual pelbagai pakaian bernama Kenanga Wholesale City berdekatan Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Rancangnya selepas itu saya boleh berjalan-jalan di bandar raya. Kalau selepas mereka puas membeli-belah (dijangka memakan masa 2 jam) saya masih ada agak berdekatan maka saya akan mengambil mereka untuk berjalan-jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman seterusnya. Kalau saya berada di tempat jauh misalnya Perpustakaan Negara maka mereka akan menaiki LRT ke Jalan TAR dan saya akan 'mengutip' mereka apabila mahu kembali ke rumah nanti.


Tetapi apabila mendapati Kenanga (kelihatan di kiri atas) ada menawarkan tempat letak kereta percuma saya pun meninggalkan kereta lalu berjalan kaki sahaja. Saya menghala ke Bukit Bintang dengan mengambil satu laluan belakang. Dalam perjalanan kelihatan pokok besar tadi. Di hadapannya adalah bangunan ini.


Ia adalah surau untuk Penjara Pudu. Baru siang tadi saya tahu ia boleh dicapai dari Jalan Pudu dan terbuka kepada orang ramai terutama untuk bersolat Jumaat. Selama ini saya cuma pernah melihatnya dari jauh sahaja terutama ketika menaiki LRT. Saya ada menyimpan azam mahu singgah satu hari nanti. Siapa sangka peluang itu muncul tadi tanpa dirancang? Lihat artikel Surau (Small praying hall of) An-Nur, Penjara Pudu (Pudu Jail) di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sambil 'menapak' di tepian Jalan Pudu terlihat juga bangunan persatuan Eurasian ini...


Di sebelahnya terdapat satu kawasan seperti tapak pembinaan.


Melihat lebih dekat saya mendapati ia membawa masuk ke satu kawasan dan bangunan yang sangat bersejarah di negara ini, kawasan yang mahu dimajukan dan bangunan lamanya mahu diruntuhkan untuk memberi jalan...


Saya pun masuk ke dalam. Nampaknya lepas ini baru melihat Bukit Bintang.


Kawasan tersebut adalah Penjara Pudu yang sangat terkenal pernah 'menyimpan' penjenayah-penjenayah paling ganas di negara ini. Saya dapati bangunan utamanya masih teguh, belum dirobohkan. Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk melihat apa yang ada di dalam sejak ia ditutup sekitar 1996. Tetapi saya tidak juga masuk walaupun penjara ini pernah dijadikan muzium untuk awam buat beberapa lama tahun 1997. Apalagi, ibarat orang mengantuk disorongkan bantallah saya siang itu... :]



Pun begitu saya hampir-hampir membatalkan hasrat melangkah masuk ke dalam bangunan utama yang terasa begitu seram. Umum tahu bagaimana Penjara Pudu mempunyai reputasi sebagai tempat berhantu lagi 'keras' dan saya dapat merasakan ia sebaik sahaja merapati tangga masuk ke satu bahagian. Namun saya mengingatkan diri sudah banyak tempat keras termasuk makam-makam dan rumah tinggal pernah saya jejaki. Lebih penting lagi saya tidak boleh meninggalkan keyakinan, takut bukan pada makhluk tetapi pada Allah.

Alhamdulillah saya dapat meneroka beberapa bahagian penjara dengan selamat termasuk duduk bertafakur atas katil di dalam sebuah bilik gelap bernombor 4, satu nombor yang sangat ditakuti masyarakat Cina kerana dikaitkan dengan mati. Saya juga dapat duduk dengan yakin dalam sebuah bilik lebih besar yang dinding luarnya ada tertulis semacam wafak ayat-ayat Al-Quran, katanya tempat untuk menawarkan ilmu hitam tawanan seperti halnya pernah berlaku pada Mona Fandey dan kuncu-kuncunya. Dari keadaan mula-mula ada rasa takut saya melangkah semakin riang menghala ke pintu masuk utama yang kelihatan di kanan gambar atas. Semasa keluar ada rasa seolah-olah baru sahaja bebas dari penjara. Lihat artikel-artikel di bawah yang sudah dipersembahkan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-


A visit to Pudu Jail

'Escape' from Pudu Jail

Pudu Jail in perspective from somewhere high




Selepas puas berjalan-jalan di Bukit Bintang saya kembali ke Kenangan Wholesale City untuk mengambil isteri dan rakan-rakan. Apabila mendapati mereka sedang berada di surau, tingkat 16 saya pun naik ke atas untuk menikmati pemandangan. Lihat Kuala Lumpur from Kenanga Wholesale City.


Sebelum kembali ke kereta mereka juga ingin bergambar dalam bangunan sebagai kenangan. Maklumlah mereka termasuk saya belum pernah sampai ke sini, teringat isteri akan tempat-tempat membeli-belah di Bandung dan Surabaya kerana keadaannya hampir serupa, cuma di sini terasa lebih mewah. Lagipun mereka mahu gambar diletakkan di Facebook. Nak bagi kawan-kawan yang tak ikut shopping jealous, hehe... :] Bagi saya pula siapa sangka daripada Kenanga dapat masuk ke Penjara Pudu pula? Ahh... tiba-tiba teringat bagaimana dahulu saya selalu berjalan kaki ke/dari stesyen bas Pudu Raya...



Nota : Semasa menyediakan artikel-artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) saya dapat merasakan sejumlah gangguan pada tubuh badan yang seolah-olah mahu saya berhenti menulis. Saya sudah biasa mengalami gangguan serupa apabila menulis hal-hal yang mungkin sensitif berkenaan makam-makam lama dan apa yang saya fikir adalah sejarah tersembunyi kerajaan dan raja-raja. Alhamdulillah semakin saya berjaya melepaskan kata-kata semakin berkurangan gangguan sehingga ia menjadi sebesar hama kemudian hilang terus.

Begitulah keadaan saya dalam dunia penulisan. Adakalanya saya menggunakan bidang ini untuk meringankan beban, adakalanya untuk mendapatkan petunjuk bagi gerak yang harus diambil dalam perjalanan hidup seterusnya. Ketika orang lain mendakwa dapat melihat secara batin keris-keris tercacak ke jantung diri ini, saya cuma tersenyum sahaja. Seolah-olah tidak peduli, tidak cuba pun mencari ubat atau cara mencabut keris-keris tersebut. Bukan kerana tidak percaya tetapi kerana yakin tiada kuasa yang mengatasi kudrat Allah Ta'ala. 

Pada saya ini adalah pengamalan atau praktikal rukun Iman seterusnya masuk bab Ihsan. Kita harus yakin atas Qada' dan Qadar, yakin akan pengaturan Allah dalam membentuk diri kita ke arahNya yang termasuk 'tegur-tegur sayang' seperti halnya seorang ayah merotan anak untuk memberinya faham. Saya percaya kesakitan yang saya alami amatlah sedikit berbanding hal sebenar yang dikehendaki musuh yang berniat jahat atau mereka yang sekadar mahu menduga. Dan lagi saya percaya sedikit kesakitan itu adalah kifarah yang boleh membersihkan dosa-dosa baik yang lama mahupun baru kerana saya cuma makhluk yang lemah. Tiada daya dan upaya kecuali dari Allah.