Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Tuesday, June 12, 2007

Ulasan Berita Harian mengenai BKA II

Gambar sebahagian ruangan sastera Berita Harian yang diambil sendiri siang tadi, ketika angin kuat di luar Internet Cafe mengganggu tumpuan...

Pagi tadi selepas mandi, baru saya tersedar terdapat beberapa miss-call dalam telefon bimbit saya... Rupa-rupanya daripada beberapa orang kenalan dan saudara-mara. Bila dihubungi balik, masing-masing sebenarnya hendak memberitahu perkara yang sama iaitu ulasan mengenai buku kedua saya, "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" telah keluar dalam ruangan sastera akhbar Berita Harian hari ini.
Saya pun turun ke ruang tamu untuk meneliti akhbar itu. Sudah menjadi kebiasaan warga rumah ibu saudara tempat saya menumpang di Ampang sekarang untuk membeli beberapa jenis akhbar harian sebagai santapan minda pagi hari.
Alhamdulillah, saya dapat melihat ulasan yang diberikan. Nampaknya ia lebih terserlah berbanding ulasan yang diberi untuk buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang dibuat tahun lepas.
Kebetulan hari ini timbul keinginan yang kuat untuk menziarahi kawan-kawan di Kampung Janda Baik, Pahang. Setelah menyiapkan barangan yang perlu, saya pun berjalan kaki ke Ampang Point untuk membeli akhbar Berita Harian buat simpanan (tak mahu kacau akhbar di rumah ibu saudara), kemudian menaiki bas untuk makan tengahari di sekitar KLCC.
Selepas itu, saya berjalan kaki ke stesyen Bukit Nanas sebelum menaiki monorail ke Pekeliling di mana terdapat perkhidmatan bas ke Pahang. Niat awalnya adalah untuk terus mengambil bas dan turun di Bukit Tinggi, perhentian terdekat untuk ke Janda Baik bagi perkhidmatan bas Kuala Lumpur-Bentong-Raub.
Di Pekeliling, timbul pula rasa untuk masuk ke Internet Cafe berdekatan dan melihat perkembangan terbaru di dunia Siber. Lalu saya tergerak untuk membuka edisi On-Line Berita Harian, masuk ke bahagian Sastera dan melihat ulasan mengenai BKA II yang terdapat di dalamnya... Timbul pula rasa untuk mengabadikan ulasan itu di dalam blogspot ini, lebih-lebih lagi apabila mengingatkan bagaimana ulasan-ulasan untuk BKA I telah tenggelam di dalam timbunan fail-fail lama sementara keratan akhbar yang pernah disimpan telah lama hilang.
Sayangnya, ulasan On-line itu tidak menyertakan gambar, tidak sepertimana yang terdapat di dalam naskah harian. Nasib baik teringat saya ada membawa kamera digital di dalam beg poket. Lalu dengan kamera itulah saya mengambil gambar di atas untuk dikongsi bersama di sini.
Apapun, inilah ulasannya... Bacalah! :]

-------------------

Jejak Kreatif:

Dulu mencari kini membela

Oleh Wan Noor Zurita Wan Hassan


MANTAN wartawan sukan akhbar New Straits Times, Mohd FahrulRadzi Sapiee, 37, atau lebih dikenali sebagai Radzi Sapiee muncul dengan novel keduanya, Berpetualang Ke Aceh: Membela Syiar Yang Asal untuk dikongsi bersama pembaca.
Novel ini mengisahkan pengembaraan mengenal asal usul diri dengan menyusuri 1200 tahun kaitan bumi Serambi Makkah (Aceh) dengan Nusantara dunia Islam, makna Melayu dan perjuangan akhir zaman.
Teks setebal 304 halaman terbitan Wasilah Merah Silu Enterprise berharga RM24.90 senaskhah ini adalah kesinambungan cerita daripada novel pertama beliau, Berpetualang Ke Aceh: Mencari Diri Dan Erti.
Radzi berkata, beliau banyak membuat kajian lisan dan tulisan mengenai sejarah seperti yang tercatat dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) dan cerita Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani bagi menghasilkan karyanya ini.
"Ini saya lakukan dengan hasrat membawa pembaca meneliti dan memahami sejarah Melayu lama yang barangkali sebahagian besar daripada generasi hari ini tidak mengetahuinya," katanya dalam wawancara dengan Sastera di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Novel ini membawa pembaca mengetahui mengenai Sultan Malikul Mansur, Kesultanan Melaka, Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda, puncak kegemilangan Aceh dan kemunculan Aceh sebagai kuasa besar.
Di antara bab dalam novel ini ialah Mukadimah: Jihad dan Raja-raja, Malikul Mansur: Pewaris Yang Disisihkan, Kesultanan Melaka: Kesinambungan Pasai ke Aceh, Munawar ke Mughayat: Kemunculan Aceh Sebagai Kuasa Besar, Demokrasi vs Raja-raja: Satu Sisipan Tambahan, Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda: Puncak Kegemilangan Aceh serta Penutup: Perang Aceh-Portugis di Melaka 1629.
Novel ini merakam pengalaman penulisnya yang tiba-tiba hilang minat terhadap bidang kerjaya awalnya, lalu beralih ke arah pemikiran yang cenderung bersifat kerohanian mahupun keagamaan.Peralihan minat ini juga mendorong pengarangnya berkelana ke sana ke mari termasuk Aceh selama dua tahun bagi mencari jawapan kepada segala persoalan yang membelenggu fikirannya.
"Saya bukan sekadar menulis cerita, tetapi ia juga suatu pengorbanan dan perjuangan dalam mencari kebenaran untuk dikongsi bersama pembaca novel ini. Itu sebahagian daripada harapan saya," katanya.
Mohd FahrulRadzi yang turut bertindak sebagai penerbit dan pereka letak novelnya itu mengakui pelbagai masalah dan rintangan dihadapi dalam tempoh setahun untuk menyiapkan novel terbabit.
"Novel ini menimbulkan sedikit kontroversi kerana tafsiran tersendiri mengenai sejarah Melayu dan Islam selain Berpetualang yang menjadi judul berkemungkinan dirasakan tidak sesuai dengan sentimen masyarakat negara ini," katanya.
Pengarang ini menggabungkan fakta dan fantasi melalui perjalanan hidup dan pemikiran watak, Muhammad Al-Aminul Rasyid yang membawa pembaca pergi menyelami dunia pengembaraan yang membabitkan perkara pelik dan ghaib selain pengajian ilmu tasawuf.
Graduan Matematik, Kolej Universiti London ini berharap novelnya ini dapat dijadikan sempadan dan teladan berdasarkan kisah pengalaman hidup dan unsur kerohanian untuk menjadi insan mulia.
Selain itu, novel bernada keagamaan ini mengajak pembaca menghargai jati diri orang Melayu yang berpegang teguh pada nilai bangsanya dan mendorong pembaca berfikir mengenai masa lampau yang tidak pernah dimengertikan sepenuhnya.

Monday, June 11, 2007

Banjir Kuala Lumpur 2007... Apakah ada yang tersirat?

Gambar kawasan mengambil wuduk di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Perhatikan lumpur yang mengganggu perjalanan...

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Siang tadi saya telah pergi ke beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur terutama di pusat bandaraya untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal". Dalam perjalanan, saya dapat melihat bagaimana banjir yang melanda beberapa bahagian kotaraya akibat hujan lebat tak henti lebih 3 jam malam semalam telah mengakibatkan banyak kerosakan barangan terutama di kedai-kedai. Kesan lumpur yang masih tinggal juga sangat nyata di merata tempat malah ada yang meninggalkan bau busuk seperti bau longkang atau tandas yang sudah lama tidak dibersihkan.
Pada mulanya, saya tidak mahu mengendahkan kesan peninggalan banjir ini kerana sibuk memikirkan hal-hal berkaitan buku di samping membuat catatan apa yang patut di dalam komputer laptop yang sering dibawa bersama untuk ke mana-mana. Tetapi apabila melihat kesan lumpur dan kotoran di Masjid Jamek Kuala Lumpur ketika hendak menunaikan solat Asar, saya rasa terpanggil untuk mengambil beberapa gambar lalu mencoretkan kisah berserta tafsiran yang tiba-tiba muncul dalam kalbu akan kejadian ini.


Jemaah terpaksa bersolat di serambi masjid, bukan di dalam ruang utama akibat kekotoran yang ditinggalkan banjir semalam...

Perhatikan gambar di atas di mana jemaah terpaksa menunaikan solat di serambi masjid. Ketika melihat lumpur dan kotoran yang dibawa air sekeliling kawasan masjid, tiba-tiba hati ini terbetik... Apakah ada makna yang tersirat di sebalik peristiwa ini? Kebetulan banjir malam semalam berlaku sehari selepas berlangsungnya perkahwinan Perdana Menteri ke 5 Malaysia, Pak Lah dengan seorang janda berdarah kacukan Jeanne Abdullah yang pernah menjadi adik ipar kepada mendiang isteri Pak Lah iaitu Datin Endon. Apakah semua ini ada kena-mengena?
Sebagai seorang Islam, walaupun saya bukan tergolong dalam golongan mereka yang warak ataupun alim, saya rasa sudah patut Pak Lah memilih seorang isteri yang memakai tudung. Ini kerana Pak Lah sedang membawa imej seorang pemimpin warak yang sepatutnya mengenengahkan kelebihan serta kesyumulan Islam dan dia berasal daripada keturunan para ulamak - Datuknya Haji Abdullah Fahim adalah bekas mufti Pulau Pinang dan dikira sebagai seorang ulamak besar. Jika allahyarham Datin Endon tidak mahu memakai tudung, harap-harap isteri baru ini nanti lebih rela untuk menurut syariat Islam, Insyaallah!
Dalam hal pemakaian tudung ini, mungkin ada yang berkata itu hak masing-masing... Lebih baik tak pakai tudung daripada memakainya semata-mata untuk memenuhi kehendak orang lain. Dalam hal ini, saya rasa lebih elok memakai tudung untuk memenuhi kehendak orang walaupun akan dituduh tidak ikhlas. Mungkin kita sendiri tidak bersedia untuk menutup aurat tetapi Tuhan tetap akan mengambil kira niat baik seorang isteri yang sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri lalu sanggup memakai tudung demi menjaga nama baik suaminya dan keluarga lebih-lebih lagi apabila sang suami itu dikaitkan dengan para alim ulamak dan pejuang Islam.


Masjid Jamek Kuala Lumpur dilihat daripada hadapan. Dalam gambar ini, lumpur dan kotoran yang dibawa banjir semalam tidak terserlah... Cuba pergi lebih dekat. Nescaya terlihatlah kekotoran yang mengaburi kesucian...

OK... Berbalik pada apa yang tersirat. Apakah banjir yang membawa kotoran dan lumpur ke serata Kuala Lumpur itu ada kaitan dengan perkahwinan Pak Lah? Saya tak tahu. Yang saya tahu, hati ini berkata tentu ada makna kenapa semua ini berlaku... Ada makna yang menyebabkan jemaah masjid terpaksa bersolat di serambi, bukannya di dalam ruang utama masjid yang bukan tempat sebarangan - Kedudukannya di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Klang adalah tempat bermulanya asal-usul bandaraya Kuala Lumpur itu sendiri!
Seperti yang ramai tahu, pada zaman pentadbiran Pak Lah inilah berlaku banyak kes yang sebelum ini tidak pernah terserlah di Malaysia... Sekumpulan pemimpin bukan Melayu berani mencabar Artikel 11 Perlembagaan lalu menyentuh hak warga Malaysia untuk beragama. Si Lina Joy mencabar mahkamah agar orang Islam dibenarkan murtad melalui proses undang-undang. Selain itu, rasanya ramai tahu bagaimana syarikat-syarikat penting Malaysia sekarang telah mendapat "suntikan dana" daripada negara jiran. Melihat kesan banjir yang berlaku di sekeliling bandaraya terutama di masjid, hati saya berkata... Ini membawa makna yang tidak baik.
Adapun dalam ilmu firasat dan tafsir mimpi, air selalunya dikaitkan dengan duit dan rezeki. Maka mimpi di mana kita melihat air yang banyak seperti melihat sungai, laut malah banjir dikatakan adalah tanda kita bakal mendapat duit dan rezeki melimpah. Bagaimana pula kalau air itu membawa kotoran sehingga orang terpaksa keluar daripada masjid lalu bersolat di serambi? Apakah maknanya ini?
Dalam pada itu, saya terfikir... Dari satu segi, "suntikan dana" yang datang dalam bentuk pembelian syarikat-syarikat utama di Malaysia oleh pihak tertentu di negara jiran boleh dikira sebagai kedatangan rezeki yang melimpah ruah sehingga berjaya menaikkan paras Bursa Saham Kuala Lumpur ke tahap tertinggi melebihi 1,300 mata. Betul, ia bagus untuk perniagaan tetapi apakah ia bagus untuk masyarakat marhain terutama bangsa Melayu Islam yang merupakan tunjang kewujudan negara ini?
Lihat pada Pasar Seni atau Central Market di mana menurut ceritanya, sewa ruang perniagaan telah dinaikkan daripada RM600 sebulan menjadi RM2,000 sebulan setelah ia diambil alih sebuah syarikat milik negara jiran. Perhatikan, di manakah letaknya para peniaga Melayu yang dahulunya menjadi sebahagian daripada identiti Pasar Seni... Di manakah kedudukan mereka sekarang? Rasanya seperti melukut di tepi gantang!
Hmm... Cukuplah luahan rasa yang timbul tadi. Sila lihat gambar-gambar di bawah untuk mendapat gambaran akan kesan banjir malam tadi yang berlaku sehari selepas berlangsungnya perkahwinan Pak Lah.


Gambar di hadapan restoran McDonald berhampiran masjid jamek. Perhatikan longgokan sampah dan barangan yang rosak akibat banjir. Ketika ini, sekitar jam 5 petang, kawasan itu juga sedang mengalami black-out.


Jalan Melaka yang masih ada kesan lumpur, sebelah stesyen LRT Masjid Jamek.




Kesan peninggalan banjir di kawasan Masjid India. Banyak barang perniagaan terutama kain baju yang rosak akibat banjir yang naik tidak kurang 2 kaki tinggi. Kelihatan dalam gambar ini satu jualan lelong yang diadakan di mana tudung wanita yang biasanya berharga RM10 sebuah dilelong dengan harga RM3 sebuah.
Di sebelah kedai ini (tiada dalam gambar) adalah jualan lelong kain buatan India. Kain yang biasanya berharga RM80 sepasang dijual pada harga RM20 sepasang, semuanya akibat barangan ini telah dicemari banjir maka perlu dibasuh balik oleh para pembeli.


Kesesakan lalu-lintas di Lebuh Ampang akibat kerja-kerja membersihkan sampah-sarap tinggalan banjir




Perhatikan bagaimana jalan ini terpaksa dihalang buat sementara supaya sampah-sarap dapat dipunggah lalu dibawa pergi.



Ini pula kotoran dan lumpur yang tinggal di sebuah lorong bersebelahan Lebuh Ampang. Bangunan tinggi di latar-belakang itu adalah bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur!