Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, April 18, 2019

Menjejak Alexander Zulqarnain di bumi Khurasan - Satu diskusi yang membuka banyak persoalan

Salam semua. Ini ada perkongsian daripada majlis ilmu di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam pagi tadi. Saya mahu lepaskan secepat mungkin kerana petang ini harus bergerak ke Pantai Timur untuk menghadiri majlis hol almarhum Tok Pulau Manis @ Sheikh Abdul Malik iaitu wali besar Terengganu abad ke-18 di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu esok Jumaat hingga Sabtu 18-19 April.


Majlis kali ini adalah diskusi ke-4 buku. Sudah diberitahu dalam artikel-artikel berkenaan sebelum ini bahawa bermula tahun ini diskusi diadakan di ISTAC sebulan sekali berselang-seli antara buku bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Rujuk artikel-artikel berikut :-







Kali ini saya datang bukan sekadar sebagai hadirin atau pelajar ISTAC semata.


Saya diminta menjadi salah seorang pengulas berdasarkan pengalaman suka mengkaji sejarah dan telah menghasilkan beberapa judul buku...


Buku yang hendak diulas bertajuk "Menjejak Alexander Zulqarnain di Bumi Khurasan".


Kebetulan ketika diminta mengulas iaitu hampir sebulan lalu saya telah habis membaca buku.


Buku dihadiahkan oleh penulisnya, saudara Khairuddin Muhammad, seorang guru agama, dalam satu majlis ilmu di ISTAC awal bulan Februari. Beliau menghadiahkan setelah mendapat tahu saya seorang penulis.


Orang yang mencadangkan agar saya menjadi pengulas adalah tokoh bahasa terkenal Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Beliau yang mengetuai Unit Tamadun Melayu Islam ISTAC menjadi pengerusi majlis. Kelihatan dalam gambar beliau sedang membuka kata-kata lalu memperkenalkan buku, penulis dan pengulas. Duduk memerhati pada kanan gambar adalah Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar...








Selepas beberapa lama, penulis buku iaitu Khairuddin membuka kata-kata.


Beliau memberitahu terpanggil untuk mengkaji tentang tokoh besar silam yang dikenali sebagai Iskandar Zulkarnain. Antara sebabnya adalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran... kerana ada orang memperlekehkan kitab suci Islam dengan mempersoalkan kebenaran cerita tentang Zulkarnain di dalamnya.


Berdasarkan petunjuk-petunjuk dalam Surah al-Kahfi beliau dan beberapa orang telah turun ke lapangan di Asia Tengah untuk mencari jejak tokoh yang boleh dikaitkan dengan cerita di dalam al-Quran.


Beliau percaya Zulkarnain dalam al-Quran tidak lain tidak bukan merujuk kepada Alexander the Great atau Alexander Agung, raja Yunani (Greek) yang pernah memerintah sebahagian besar dunia bertamadun abad ke-4 Sebelum Masihi. Cerita dan tempat-tempat daripada sumber teks Yunani dipadankan dengan kisah dalam al-Quran untuk mencari jejak Alexander di bahagian Asia Tengah yang juga dikenali sebagai bumi Khurasan. Misalnya tempat matahari terbenam ke dalam tasik panas berlumpur  (disebut ayat 86 Surah al-Kahfi) dipercayai adalah Tasik Aral di Uzbekistan dan Kazakhstan.


Dicari, dikenal pasti lalu dijejaki beberapa lagi tempat sehingga ke tinggalan kota lama yang dikenali sebagai Alexander Escharte, kota Alexander yang paling jauh ke timur...


Letaknya dalam kota Sughd di Tajikistan. Nama itu boleh dipadankan dengan nama lama Sogdiana dalam teks-teks lama Yunani juga Parsi. Namun beliau membangkitkan juga calon lain Iskandar Zulkarnain menurut sejumlah pihak. Ini adalah Cyrus the Great atau Raja Kurush Agung, seorang lagi penakluk besar zaman dahulukala.


Pengulas pertama Haji Mohd Shah Abdullah yang merupakan pensyarah bidang media di Manipal International University, Nilai, Negeri Sembilan membuka bicara dengan menyatakan tajuk buku iaitu "Menjejak Alexander Zulqarnain di bumi Khurasan" agak kontroversi. Ini kerana watak yang ingin diperkatakan dikenali dalam dunia Melayu juga dunia Islam sebagai Iskandar Zulkarnain. Kenapa terus memasukkan nama Alexander yang jelas keBaratan?


Pun begitu beliau memuji persembahan buku. Mohd Sah menghargai usaha penulis untuk mencari segala bukti berkenaaan lalu cuba mengesahkan dengan turun ke lapangan. Dengan itu dapat difahamilah kenapa tajuk dipilih sebegitu rupa. Kerana Iskandar Zulkarnain mahu disamakan dengan Alexander the Great. 


Gambar ini diambil selepas saya selesai mengulas. Ketika memulakan tak dapat ambil gambar kerana perlu bersedia dengan bahan selepas bertukar tempat duduk dengan Khairuddin untuk menggunakan komputer.


Saya telah menyiapkan satu set slaid dengan tajuk yang kelihatan, Cuma saya menghadapi sedikit masalah menerangkan sambil merujuk pada komputer di hadapan mata. Ini kerana sejak setahun lalu saya mengalami rabun dekat, harus pakai kaca mata apabila membaca. Bila melihat atau memandang kepada hadirin pula saya harus melihat jauh. Saya tidak masalah melihat jauh tetapi harus membuka kaca mata kerana lens kaca mata adalah untuk rabut dekat sahaja, kalau lihat jauh boleh jadi kabur pula.


Saya membuka ulasan dengan menceritakan betapa hal Iskandar Zulkarnain ini penting bagi kajian ketamadunan Alam Melayu. Ini disebabkan raja-raja Melaka (bukan semua raja ya) dikatakan berasal daripada keturunan tokoh tersebut. Daripada situ saya mengajak hadirin meneliti sedikit Surah al-Qahfi, surah ke-18 al-Quran. Diceritakan sebab turun ayat iaitu untuk menjawab tiga soalan kaum kafir Quraish kepada Nabi Muhammad SAW, atas saranan para pendita Yahudi. Kemudian disebut sedikit bahagian-bahagian penting seperti cerita pemuda gua (yang memberikan nama al-Kahfi) diikuti kisah Nabi Musa dengan Nabi Khidir. Lalu masuklah bahagian tentang Zulkarnain yang mana tiga ayat pertama tentangnya adalah cukup untuk menerangkan kedudukan sebagai seorang raja pemerintah besar.


Selepas itu baru dibangkitkan siapakah tokoh dalam sejarah yang boleh dikaitkan dengan Zulkarnain dalam al-Quran. Disebutlah tentang Raja Kurush yang memerintah abad ke-6 Masihi dan keluasan jajahan takluk baginda.





Dibandingkan pula dengan jangkauan jajahan takluk Alexander yang hampir serupa, Melalui kedua-dua peta dapat ditunjukkan kawasan yang dijejaki oleh penulis buku.


Seterusnya dirujuk Iskandar Zulkarnain dalam teks-teks lama Melayu seperti kitab Sulalatus Salatin karangan Bendahara Johor, Tun Sri Lanang dan Hikayat Iskandar Zulkarnain yang tidak diketahui pengarangnya siapa. Kedua-dua teks dengan jelas menyebut tokoh sebagai berbangsa Rum dari Makaduniah iaitu merujuk kepada Alexander the Great, tidak lain daripada itu.


Berdasarkan teks lama saya menambah satu lagi kemungkinan. Bahawa Alexander yang dikatakan berbangsa Rum (merujuk kepada Yunani/Greek sebenarnya) adalah keturunan Raja Kurush yang berbangsa Parsi. Raja Kurush pula berasal daripada keturunan Nabi Sulaiman AS yang berbangsa Bani Israel. Ini berdasarkan sedutan berkenaan yang menceritakan asal-usul raja-raja Melayu yang turun di Bukit Siguntang di Palembang, moyang kepada raja-raja Melaka.


Masuk sesi soal jawab seorang hadirin menyatakan pendapat bahawa cerita raja-raja Melayu berketurunan Iskandar Zulkarnain adalah sesuatu yang dibuat-buat. Pengkaji terkenal Puan Zaharah Sulaiman (kanan dalam gambar) pula seperti tidak sabar untuk menegaskan Cyrus the Great adalah Iskandar Zulkarnain. Alexander bukan  malah tidak layak menjadi tokoh dalam al-Quran kerana dikatakan suka berperang menghapuskan orang malah meminati jantina sendiri (gay)!


Khairuddin menjawab dengan memberikan hadis juga alasan kenapa beliau percaya Alexander adalah Zulkarnain. Tentang Alexander dituduh gay adalah dakwaan sejumlah pengkaji kemudian. Ditambah pula Cyrus yang tidak memenuhi ciri-ciri Zulkarnain kerana ada artifak lama menggambarkan baginda bukan beragama tauhid atau penyembah Tuhan yang satu.


Osman sendiri cenderung ke arah pendapat Alexander adalah Zulkarnain namun terbuka untuk segala kemungkinan. Tentang tuduhan gay, pada beliau besar kemungkinan itu adalah ciptaan golongan berkenaan kerana memang ada kempen pihak sebegitu di Barat untuk mengangkat amalan songsang dengan menuduh tokoh-tokoh besar silam turut sama mengamalkan perbuatan jijik tersebut. Seorang hadirin lain menyatakan pengkaji Islam silam al-Biruni ada menyebut Iskandar Zulkarnain adalah seorang raja kerajaan Assyria yang wujud lebih awal daripada Alexander mahupun Cyrus. Dengan ini dirumuskan bahawa lebih banyak kajian perlu dilakukan. Untuk itu insyaallah satu seminar khas akan diadakan untuk merungkai lebih mendalam.


Selasa, April 16, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan

Merujuk kepada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi yang dipersembahkan Selasa lalu. Biar dikongsikan sambungannya, syarahan ke-5 dalam siri berkenaan iaitu tentang buku "Classification of Knowledge in Islam" oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.


Syarahan ke-5 ini diadakan pagi Isnin semalam 15 April 2009 di bilik lain ISTAC.


Bilik lebih kecil digunakan kerana kerusi meja dalam bilik biasa yang lebih besar belum sempat dikembalikan setelah digunakan untuk satu majlis anjuran pihak luar yang menyewa dewan besar institut.


Seperti biasa Osman yang memegang jawatan Sheikhul Qulliyah ISTAC juga pemegang Kerusi Al-Ghazzali membuka dengan bertanya jika ada apa-apa mahu ditanyakan tentang syarahan terdahulu iaitu syarahan ke-4 tentang buku pagi Isnin lepas. Kali ini tiada pertanyaan. Osman pun meneruskan dengan menyebut sanad atau salasilah ilmu tokoh ilmuwan silam yang sedang dibincangkan iaitu al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi). Kelihatan ini merujuk kepada ayat terakhir dikupas dalam syarahan lalu. Terletak dalam muka surat 10 buku ia adalah sambungan daripada perenggan terakhir muka surat 9. Lihat  Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi.


Sambil itu kehadiran bertambah lalu mula memenuhi bilik kecil syarahan. Ayat tersebut menyebut bagaimana ilmu falsafah yang diterima al-Farabi boleh sampai ke Baghdad. Sudah disebut beberapa kali bahawa sanad ilmu ini bermula daripada tokoh ilmuwan silam terkenal Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi iaitu Aristotle. Kali ini ditambah bahawa tokoh ini juga ramai ilmuwan Yunani sebenarnya mendapat ilmu daripada Mesir purba. 


Ilmuwan Islam pula mendapat ilmu tersebut melalui beberapa jalur, antaranya para sarjana Yahudi. Ilmuwan Barat di Eropah zaman pertengahan (abad ke-14 dan kemudian) pula mendapat faedah daripada ilmuwan silam Islam. Hingga dikatakan hendak mengkaji falsafah agama Yahudi pun perlu merujuk kepada falsafah Islam terlebih dahulu. Kalau tidak tak boleh faham.


Setelah beberapa lama  baru syarahan disambung dengan kupasan perenggan kedua muka surat 10 buku. Maka diceritakanlah tentang catatan yang dibuat tentang kehidupan al-Farabi merujuk kepada tesis Osman tahun 1980an yang kemudian dijadikan buku. Beliau harus menggunakan biografi-biografi tradisional yang ditulis sarjana Islam dan sejarawan berabad selepas al-Farabi meninggal dunia. Ini disebabkan seperti disebut dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi susah hendak menemui biografi yang ditulis semasa al-Farabi masih hidup. 




Nota 4 dalam bab berkenaan pun dirujuk. Tersebutlah nama Ibn Ahmad al-Andalusi (hidup 1029-1070M dalam wilayah Sepanyol sekarang) sebagai antara ilmuwan silam yang telah menulis tentang al-Farabi. Menurut Osman, al-Andalusi adalah ulamak tentang sejarah dunia pemikiran (history of ideas). Beliau menulis kitab bertajuk Tabaqat al-umam yang membawa maksud kelas-kelas pelbagai ummah. 

Ini merujuk kepada ummah atau masyarakat daripada pelbagai zaman, bukan sahaja setelah Nabi Muhammad SAW dilahirkan 1,400 tahun lalu. Cetakan moden kitab ada dibuat di Najaf (Iraq) tahun 1967. al-Andalusi menulis tentang al-Farabi selain banyak perkara dalam kitab. Kata Osman pemikiran umat Islam dahulukala sangat universal. Mereka selalu mengkaji suatu perkara jauh melangkaui masa. Bila bercakap tentang sejarah misalnya mereka tidak akan terus bermula pada zaman mereka atau zaman Islam bermula. Sebaliknya mereka akan cuba menyorot sejauh mungkin ke belakang lalu bercakap tentang kejadian alam membawa kepada penciptaan manusia kemudian munculnya kerajaan-kerajaan.

Turut ada menulis tentang al-Farabi adalah Ibn Khallikan (1211-1282), Ibn Abi Usaibi'ah (1203-1270), al-Bayhaqi (994-1066) dan al-Qifti (1172-1248). Dua kitab al-Bayhaqi dirujuk iaitu Tarikh hukama al-Islam (cetakan moden dibuat di Damascus atau Damsyik di Syria 1946), Tatimmat suwan-hikmah (Lahore di Pakistan 1935). al-Qifti yang merupakan ulamak dari Mesir menulis dalam kitab bertajuk Tarikh al-hukama yang membawa maksud sejarah ahli hikmah (orang bijak pandai). Menariknya cetakan moden diterbitkan di Leipzig iaitu di Jerman pada tahun 1903. Osman pun memberitahu bahawa kota itu adalah tempat utama percetakan kitab-kitab bermutu ke dalam beberapa bahasa Eropah.

Terkeluar pula cerita tentang tokoh perubatan terkenal Ibn Sina (980-1037) yang hidup di Bukhara tetapi juga terkenal di Sepanyol (merujuk kepada Andalusia) pada zamannya. Kata beliau itu sesuatu yang hebat. Harus dibuat kajian bagaimana namanya boleh jadi begitu terkenal dan ilmunya tersebar meliputi jangkauan geografi yang begitu luas pada zaman yang tidak ada kemudahan telekomunikasi moden seperti sekarang .

Disebut pula tentang penyampaian ilmu dan dengan itu pentingnya bahasa. Disebut tentang makna, tentang perkataan boleh mengalami corruption itu rosak makna. Kata Osman antara banyak-banyak bahasa di dunia bahasa Arab adalah yang paling kurang mengalami kerosakan lalu dapat menyimpan makna-makna yang murni lagi asal. Kerosakan selalu berlaku di kota-kota. Bahasa adalah lebih murni di desa-desa dan dalam kes bahasa Arab orang Badwi membawa versi yang terbaik.

Disebabkan kemurnian bahasa Arab yang terpelihara maka kitab Al-Quran diturunkan dalam bahasa itu. Ah. Saya dah mula keliru melihat nota syarahan yang dibuat bertulisan tangan. Bukan keliru kerana tak faham tetapi kerana terlupa hendak menandakan pada peringkat atau ayat mana buku dikupas lalu dipanjangkan sehingga timbul pelbagai hal yang berkaitan. Kalau harus berkongsi semua jenuhlah saya menulis panjang lalu banyak perkara lain boleh jadi tersangkut atau tergantung. Maka eloklah masuk kepada ayat kedua perenggan kedua muka surat 10...



Ayat menyebut, untuk melengkapkan lagi kajian tentang hidup dan hasil kerja al-Farabi  terdapat tulisan beberapa sarjana moden boleh dirujuk. Nota berkenaan, nota 5 memberikan nama-nama berikut :- 


1. M. Steinscheneider dengan buku bertajuk al-Farabi, Des Arabischen Philosophen Leben und Schriffen (bahasa Jerman), diterbitkan di Saint Petersburg tahun 1869

2. I. (Ibrahim)  Madkour - "al-Farabi" dalam himpunan makalah A History of Muslim Philosophy diterbitkan di Wiesbaden 1963

3. R. Walzer - "al-Farabi" dalam Encyclopaedia of Islam edisi kedua, Leiden-London 1960 dan kemudian.

4. M. Mahdi - disebut op. cit. di sini. Maaf. Saya masih belum cukup faham kata-kata singkatan untuk rujukan akademik. Kalau tak salah yang ini merujuk kepada ensaiklopaedia sama seperti pada penama nombor 3.

5. A. Abd al-Wahid Wafi - "al-Farabi", Turath al-insaniyah, Mesir (tidak disebut tahun)


Semua sarjana yang disebut ini cuba memahami pelbagai aspek kehidupan al-Farabi sambil memperbaiki lagi biografi-biografi tradisional yang sudah disebut awal (tulisan al-Andalusi dan sebagainya). Ini dilakukan sejak pertengahan kedua abad ke-19 Masihi dan dalam proses itu mereka cuba menyelesaikan beberapa percanggahan pendapat yang wujud antara mereka. Mereka juga telah menambah maklumat-maklumat baru. Penulisan atau tesis Osman merancakkan lagi penggalian maklumat dan perkongsian ilmu.




Masuk subtopik dua dalam bab berkenaan iaitu bab 1 - Latar belakang pelajaran Al-Farabi dan kehidupan sebagai sarjana. Disebutlah nama penuh tokoh sebagai Abu Nasr Muhammad ibn Muhammad ibn Tarkhan ibn Awzalagh al-Farabi. Nota 6 menyebut sumber-sumber tradisi tidak sependapat tentang garis nasab al-Farabi. Namun Osman memilih penerangan oleh Ibn Khallikan yang diterima secara meluas oleh sarjana moden sebagai sahih. Apapun baik nama Tarkhan mahupun Awzalagh muncul dalam kebanyakan sumber. 

Sumber tradisi Islam lebih mengenali al-Farabi sebagai Abu Nasr. Beliau disebut sebagai wakil kedua menonjol daripada aliran atau mazhab pemikiran Mashshai (Peripatetic Islam) selepas al-Kindi (801-873M). Tentang apakah aliran ini rujuk artikel pertama dan pengenalan siri iaitu  Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan. Pemikir terkemuka moden Islam, Seyyed Hossein Nasr menyatakan ia sebagai satu sekolah saintis-falsafah (nota 7). 

al-Farabi dilahirkan di Wasij, sebuah kampung kecil dalam lingkungan daerah kota Farab di wilayah Transoxiana, Turkestan pada tahun 890M. Nota 8 menyatakan kebanyakan pengkaji baik tradisional mahupun moden meletakkan lokasi tersebut di kota moden Otrar, dalam kawasan Transoxiana. Namun ada seorang menyatakan tempat lahir al-Farabi itu merujuk kepada Fariyab di Khurasan. Tahun lahir disebut sebagai 257 Hijrah bersamaan 890 namun nota 9 menyatakan ia tidak dapat dipastikan dengan tepat sepenuhnya. Yang diketahui dan diterima ramai adalah tahun meninggal dunia di Damsyik 339H/950M pada umur melebihi 80 tahun. Tolak tahun tersebut dengan umur 80 tahun dapatlah anggaran tahun lahir.

Di sini saya terlihat satu kesilapan. 950M - 80 = 870M bukan 890M seperti disebut dalam teks.  339H - 80 = 259 H dijadikan 257 H masih boleh diterima kerana jangka hidup al-Farabi adalah melebih 80 tahun, bukan 80 tepat. Itupun 80 tahun itu harus dalam kiraan Hijriah. Maka ia akan jadi 77.5 (80 x 354/365.25) tahun Gregorian (kalendar Barat) kerana 1 tahun Hijriah mengandungi 354 hari, 1 tahun Gregorian 365.25.

Mungkin tahun lahir 890 Masihi itu kesilapan taip? Biar disemak begini. Jika jelas diterima ramai bahawa tahun meninggal dunia adalah 339H dan umur beliau lebih 80 (kalau daripada sumber tradisi ia harus dalam kiraan Hijriah), maka tahun lahir adalah paling lewat 339H - 80 = 259 H. Formula mudah menukar kepada Gregorian adalah (259 x 354 / 365.25) + 623 (peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah dikatakan berlaku pada satu tarikh dalam tahun 622. Tapi saya tambah 1 tahun menjadi 623 kerana mendapati hasil kiraan lebih mendekati kebenaran). Hasil kira-kira tadi memberikan jawaban 874. Mengambil kira bahawa al-Farabi hidup selama lebih 80 tahun, bukan 80 tepat nombor ini boleh dibulatkan menjadi 870.

Sebetulnya tarikh lahir 870M ada disebut pada awal buku. Inilah yang diletakkan pada permulaan artikel ini seperti berikut - al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi). Apapun tempat lahir al-Farabi belum termasuk di dalam lingkungan kerajaan Islam tiga dekad sebelum kelahirannya itu. Oleh itu kemungkinan besar datuk beliau adalah seorang mualaf. Ini kerana wilayah Isbijab yang mengandungi Farab ditakluki dan diIslamkan oleh Nuh ibn Asad, seorang ahli keluarga Samanid, pada tahun 225H/839-840M. Ini merujuk kepada kerajaan Islam Samanid yang memerintah sebahagian besar Parsi dan Khurasan 819-99M sambil tetap menyatakan kesetiaan kepada kekhalifahan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.



Perenggan kedua subtopik menyatakan sumber-sumber tertentu menyebut bapa al-Farabi sebagai berketurunan bangsawan Parsi namun keluarganya secara umum dianggap berbangsa Turki. Mereka tidak sahaja tahu berbahasa Sogdian atau suatu dialek Turki, adab dan budaya kebiasaan mereka juga adalah menurut cara Turki. Nota 10 menyebut hal ini dinyatakan oleh M. Mahdi. Seorang pengkaji lain, D.M. Dunlop menekankan bahawa ia harus satu keluarga yang terhormat jika tidak pun kaya. Nota 10 menyebut ini dinyatakan Dunlop dalam bukunya, Arab Civilization up to 1500 AD (Beirut, London, 1971).

Pandangan beliau dibuat berdasarkan nama datuk al-Farabi adalah Tarkhan. Dalam bahasa Turki ia bukan sahaja menandakan kedudukan sebagai pegawai tentera malah terkait juga dengan kelebihan-kelebihan tertentu bangsawan. Kalau ini benar keluarga ini harus ada tradisi cemerlang turun temurun menjadi tentera (sambung ke muka surat sebelah iaitu muka surat 11). Maka al-Farabi yang diberi kepintaran tinggi semulajadi telah meninggalkan tradisi tersebut untuk memilih kehidupan sarjana. Ayah beliau juga seorang pegawai tentera seperti disebut oleh Ibn Abi Usaibi'ah.




Kemungkinan besar ayah al-Farabi berkhidmat dengan para pemerintah Samanid yang pada ketika itu mentadbir sebahagian besar Transoxiana. Bermula tahun 260H/874M mereka mentadbir seluruh wilayah secara otonomi sebagai sebahagian daripada kekhalifahan Abbasiyah. R. Walzer berpendapat ayahnya itu mungkin termasuk pengawal peribadi Turki bagi khalifah. Tetapi Osman merasakan tiada sebab untuk menerima pendapat tersebut. Ini kerana kalau ia benar tentu al-Farabi menghabiskan usia awalnya di Baghdad kerana mengikut bapanya berkhidmat. 

Cadangan Walzer menimbulkan lebih banyak tanda tanya berbanding jawaban dan penyelesaian. Kata Osman apa-apa laporan tentang kehidupan awal al-Farabi yang didapati bercanggah boleh diselesaikan dengan meneliti manakah yang paling konsisten atau selari dengan kehidupan beliau secara keseluruhan...


Syarahan ditamatkan dengan meneliti nota-nota berkenaan pada muka surat 31 membawa ke muka surat 32. Sudah disebut awal tadi bagaimana nota 4 menyenaraikan nama beberapa ulamak silam Islam yang ada menulis tentang al-Farabi. Sekarang biar ditambah bahawa semua rujukan berkenaan yang digunakan Osman boleh didapati dalam satu buku ataupun kitab. Rujukan yang asalnya berselerak itu telah dikumpulkan oleh H.A. Mahfuz, seorang profesor kajian Oriental di Universiti Baghdad dalam buku bertajuk al-Farabi fi'l-maraje al-arabiyah (Baghdad, 1975). Osman telah mengkajinya dalam bahasa Arab.

Disebut juga lagi tentang pengkaji-pengkaji moden yang ada menulis tentang al-Farabi. Saya sudah sebut awal tadi lalu tidak perlu diulang. Beberapa hal lagi dipanjangkan daripada nota. Tetapi cukuplah perkongsian. Saya telah menulis sejak Zuhur tadi sambil diselang-selikan beberapa hal seperti mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah dan mengaji Al-Quran.




Ahad, April 14, 2019

Mencari harmoni antara agama dan sains dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj

Melihat pada trend penulisan saya di blogspot ini sejak beberapa bulan kebelakangan cerita-cerita tentang majlis ilmu mengambil lebih banyak ruang. Ini kerana kekerapan saya keluar mengembara agak kurang setelah kembali menyambung pelajaran peringkat pasca-siswazah di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam bermula September tahun lepas. Sebaliknya semakin banyak majlis ilmu dihadiri terutama di ISTAC. Malam ni tambah lagi satu cerita berkenaan sedangkan Khamis akan datang ada satu majlis ilmu di mana saya akan terlibat secara langsung di institut.


Sejak 2-3 minggu lalu ada diwar-warkan poster promosi yang kelihatan melalui WhatsApps dan Internet. Sheikhul Kulliyah ISTAC, Professor Datuk Dr. Osman Bakar mahu memberikan syarahan tentang peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu peristiwa junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dibawa berjalan malam dari Mekah hingga ke Baitul Muqaddis kemudian naik melepasi 7 langit sehingga sampai ke hadrat paling dekat dengan Allah SWT. Tajuk tambahan pada poster menunjukkan syarahan bertujuan untuk mencari atau meninjau kembali harmoni antara sains dan agama dalam melihat peristiwa ajaib ini. Sesuailah beliau memberikan syarahan berdasarkan latar belakang matematik dan sains kukuh yang dimilikinya berserta pemikiran Islam dan pengetahuan agama. 


Syarahan dijadualkan bermula jam 8 Sabtu malam Ahad 12 April 2019. Saya memilih untuk berbuka puasa dahulu di rumah kemudian menunaikan solat. Selepas selesai lagi dua tiga hal baru bergerak ke ISTAC. Pengalaman menghadiri banyak majlis menunjukkan selalunya waktu yang diisyitharkan sebagai permulaan majlis adalah waktu hadirin mendaftar lalu mengambil tempat. Selepas diberikan pengenalan dan sebagainya harus setengah jam kemudian baru perkongsian ilmu atau suatu syarahan itu bermula.


Ketika saya masuk ke dewan sekitar jam 8.45 Osman sedang mengupas ayat tentang Isra' dan Mi'raj melalui sudut linguistik. Surah berkenaan diberi nama Surah Isra', surah ke-17 dalam kitab Al-Quran. Ayat pertamanya berbunyi begini :-



Syarahan adalah dalam bahasa Inggeris tetapi untuk faedah pembaca biar diberikan terjemahan dalam bahasa Melayu seperti ditemui di Internet :-

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Terjemahan tadi jelas kerana kita sudah sedia faham dalam bahasa Melayu. Begitu juga terjemahan ke dalam bahasa Inggeris kerana telah dimudahkan perkara. Tetapi apabila berbalik kepada ayat asalnya dalam bahasa Arab pemilihan kata-kata tertentu membawa makna yang lebih mendalam. Misalnya perkataan Isra' dalam ayat itu sendiri membawa maksud perjalanan waktu malam. Kenapa dalam ayat sama perlu ditambah perkataan "Laila" yang membawa maksud malam? Itupun ada beberapa variasi perkataan Laila, masing-masing ada signifikan sendiri. Kenapa yang ini?

Osman pun menekankan kenapa. Perjalanan waktu malam boleh bermaksud berjalan pada waktu malam, rehat di suatu tempat pada siang harinya kemudian sambung lagi berjalan pada waktu malam seterusnya. Itu boleh terangkum dalam perkataan Arab Isra'. Kenapa ditambah Laila? Sebab ia membawa maksud seluruh perjalanan tersebut dilakukan dalam satu malam. Bukan sekadar itu malah sebahagian sahaja daripada satu malam. Maka ditekanlah betapa hebatnya perjalanan tersebut penuh dengan mukjizat...


Diterangkan pula kelebihan Nabi Muhammad SAW berbanding para nabi dan rasul yang lain. Kerasulan beliau merangkumi kerasulan semua rasul sebelumnya dan ini menjadikan baginda rasul paling hebat. Baginda juga diutus kepada semua manusia. Nabi Muhammad SAW adalah manusia dan makhluk paling sempurna lalu menjadi rahmat buat sekelian alam.


Daripada segi pandangan keduniaan pun baginda diakui sebagai rasul yang paling memberikan kesan kepada dunia. Uniknya Nabi Muhammad SAW diberi kehormatan tinggi dapat bertemu Allah SWT di hadrat tertinggi semasa  baginda masih hidup...


Diketahui perjalanan Isra' dan Mi'raj itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun 621 Masihi. Ini adalah setahun sebelum berlakunya peristiwa Hijrah iaitu perpindahan dari Mekah ke Madinah. Oleh itu tidak dinyatakan tahun bilakah ia berlaku menurut kalendar Hijriah yang belum diperkenalkan lagi ketika itu walaupun bulan Rejab dan sebagainya sudah sedia ada digunakan oleh masyarakat Arab (penerangan saya ini). Dengan itu ia juga berlaku sebelum agama baru Islam membentuk komuniti atau kelompok masyarakat yang jelas di Madinah.


Dalam konteks masa ia berlaku itu, Isra' dan Mi'raj berlaku untuk menyediakan baginda Rasulullah SAW bagi menggalas tugas membentuk ummah dan menerima ajaran lengkap Islam daripada Allah SWT. Ini juga jaminan daripada Tuhan bahawa walau bagaimana muncul cabaran sekali pun baginda akan mendapat kejayaan tertinggi yang boleh dicapai manusia...


Sekarang tentang perjalanan itu sendiri. Isra' merujuk kepada perjalanan malam dari Mekah (Masjidil Haram) ke Jerusalem atau Baitul Muqaddis (Masjidil Aqsa). Ini adalah perjalanan horizontal atau mendatar yang boleh dikaitkan dengan konsep hablum minannas iaitu perhubungan antara manusia. Dalam perjalanan berlaku beberapa peristiwa yang boleh dikatakan mengimbau beberapa hal sejarah. Paling penting melibatkan sejarah agama Yahudi dan sejarah agama Kristian. 

Walaupun kita tahu agama-agama itu sekarang wujud dalam versi yang telah diselewengkan masih ada kebenaran boleh dikaji apabila kembali kepada sumber asal iaitu agama Yahudi berpunca daripada ajaran Nabi Musa AS, Kristian berpunca daripada ajaran Nabi Isa AS. Agama Yahudi sejak dahulukala  kelihatan melebihkan hal-hal syariat luaran. Agama Kristian melebihkan hal-hal spiritual atau kebatinan. Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW boleh dikatakan mengambil kedua-dua unsur pada kadar yang seimbang dan berpatutan...


Ditunjukkan jarak perjalanan dari Mekah ke Baitul Muqaddis sebagai 769 batu bersamaan 1,237.69 km. Kalau Nabi Muhammad SAW melakukan perjalanan pada kelajuan cahaya iaitu 186,000 batu per saat atau 300,000 km/s maka ini boleh dicapai dalam tempoh 0.00413 saat sahaja. Kalau iya begitu. Osman cuma menyebut kemungkinan perjalanan boleh berlaku pada kelajuan itu sedangkan faham saya tentang peristiwa Isra' ini Nabi Muhammad SAW dibawa bergerak laju tetapi tidak selaju itu. Baginda ada singgah di 2-3 tempat sebelum ke  Baitul Muqaddis dan faham saya kelajuan itu diibaratkan seperti sekali kaki kuda melangkah terus meliputi jarak sejauh mata memandang...


Tentang kelebihan Nabi Muhammad SAW ke atas nabi-nabi daripada Bani Israel dapat dilihat daripada fakta bahawa sebelum bermula proses Mi'raj yang membawa baginda naik melepasi 7 lapis langit baginda menjadi imam solat kepada nabi-nabi Bani Israel. Ini berlaku di Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis. Ketika itu Masjidil Haram di Mekah masih dipenuhi patung-patung berhala ciptaan Arab Jahiliyyah.


Masjidil Aqsa merujuk kepada tempat beribadat atau bersolat dalam kawasan tapak kuil Nabi Sulaiman berdekatan Qubah Batu (batu yang cuba ikut Nabi Muhammad SAW naik Mi'raj tetapi dilarang lalu tergantung di tempat ia cuba naik ikut itu). Pada waktu ini ia adalah kiblat bagi umat Islam, Baitul Muqaddis pula berada di bawah pemerintahan Empayar Kristian Byzantium (Rom Timur). Masjidil Aqsa seperti mana kita kenali sekarang didirikan setelah Islam memerintah (pada zaman kekhalifahan Saidina Umar RA). Ia siap dibina tahun 68 Hijriah.


Jerusalem atau Baitul Muqaddis adalah warisan perkongsian ramai pihak termasuk penganut Islam. Surah al-Isra' menceritakan sejarah spiritual sebenar bangsa Yahudi. Selepas ayat tentang peristiwa Isra' surah menceritakan sejarah tersebut. Oleh itu ia juga dikenali sebagai Sura Bani Israil.


Perjalanan malam adalah perjalanan pergi dan balik satu pusingan. Dari bumi baginda Rasulullah SAW diangkat ke langit dan syurga tertinggi sehingga ke Arash dan hadrat paling tinggi dan dekat dengan Allah SWT kemudian dibawa kembali ke Mekah. Pengembalian ke bumi menandakan bumi adalah arena atau lapangan manusia bertindak dan membuat pelbagai perilaku. Ia adalah tempat tinggal sementara manusia.

Ketika hampir kembali ke Mekah baginda dapat melihat satu kafilah sedang menuju ke kota. Pengetahuan baginda tentang apa yang berlaku (Osman tak cerita tapi saya ingat dalam cerita Isra' dan Mi'raj ada berlaku kafilah kehilangan unta dan sebagainya) mempengaruhi pendapat penduduk apabila peristiwa itu diceritakan kepada umum sekembalinya baginda ke Mekah.


Perjalanan berlaku dalam masa yang sangat pendek. Ini adalah berdasarkan persaksian Aishah, isteri baginda kerana melihat Rasulullah SAW berada di kamar sepanjang malam (beliau tidak menyedari bilakah baginda keluar). Baginda dikatakan bergerak sebelum fajar dan kembali juga sebelum fajar. Kata Osman ini menjadi bukti perjalanan berlaku dengan tubuh batin secara zahir dan batin, bukan batin atau spiritual sahaja seperti dipercayai sesetengah ulamak. Beliau percaya ini berlaku dalam keadaan tubuh badan Rasulullah SAW mengalami transformasi menurut hukum fizik yang lebih tinggi berbanding apa yang diketahui.


Disebut tentang jarak yang diliputi dalam perjalanan Mi'raj pula yang menaik masuk ke lapisan alam yang tidak dapat dibayangkan. Ia bersifat cosmic (cakerawala?), daripada bumi melepasi langit, daripada alam makhluk ke hadrat Ilahi yang diwakili simbolik Arash. Tentunya baginda Rasulullah SAW mengalami transformasi diri setiap kali memasuki satu hal (state) baru. Ini harus satu misteri tentang ruang.


Kembali kepada hal perjalanan secara keseluruhan. Ramai tahu baginda Rasulullah SAW dikatakan menaiki kenderaan bernama Buraq. Bentuknya seperti kuda bersayap, warnanya putih berkilauan. Saiznya lebih besar daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal (kacukan kuda dengan keldai). Lajunya dikatakan sekali melangkah terus pergi sejauh mata memandang...


Kata Osman ini semua simbolik atau bayangan bagi suatu kenderaan yang tidak dapat dibayangkan langsung oleh manusia pada zaman itu. Bahasa simbolik harus digunakan sebagai penerangan...


Osman pun meneliti akar perkataan buraq. Secara etimologi dan linguistik ia terkait dengan perkataan barq yang bermaksud kilat. Ini membayangkan kelajuan yang sangat tinggi. Pada zaman Nabi Muhammad SAW kuda bersayap adalah kenderaan paling pantas boleh dibayangkan. Pada zaman kita sudah diketahui kelajuan cahaya mencapai 186,000 batu per saat (300,000 km/s)...


Semua ini menurut Osman menunjukkan Rasulullah SAW menaiki satu kenderaan yang diperbuat daripada cahaya lalu boleh bergerak sekurang-kurangnya pada kelajuan cahaya. Namun ada pelbagai tahap cahaya, ada yang tidak fizikal. Sesungguhnya kita sebagai umat Islam sudah diajar bahawa para malaikat dicipta daripada cahaya. Jin pun daripada api yang boleh dikatakan satu bentuk cahaya tetapi lebih kasar. Disebutlah sedikit tentang misteri masa. Tentang cahaya lagi ada ayat Al-Quran malah memberikan tamsil bahawa Allah SWT itu ibarat cahaya atas cahaya (nurin al nurin).


Perjalanan ada 9 tempat persinggahan termasuk persinggahan terakhir. Yang pertama adalah Jerusalem atau Baitul Muqaddis. Kalau begini harus merujuk kepada Mi'raj. Kerana pada faham saya perjalanan mendatar atas bumi Isra' termasuk persinggahan ke Madinah di mana malaikat Jibril ada memberitahu ia akan menjadi tempat baginda berhijrah lalu mengembangkan agama dan Baitul Laham (Bethlehem) di mana Nabi Isa AS dilahirkan. Setakat yang saya perasan ini tidak disebut oleh Osman. Ke saya yang tersilap ingat? Rasulullah SAW setakat ditunjukkan Madinah dan Baitul Laham tanpa singgah? Seterusnya kata Osman antara Jerusalem ke hadrat Ilahi baginda membuat 7 persinggahan. Setiap persinggahan menandakan masuk ke alam yang lebih tinggi berbanding alam sebelumnya.

Sebelum naik dari Baitul Muqaddis ke hadrat Ilahi baginda diminta memilih antara dua bentuk minuman, susu atau arak (wine). Baginda memilih susu lalu Jibril mengatakan baginda telah memilih fitrah. Pada setiap persinggahan baginda menerima sambutan. Di langit pertama baginda bertemu dengan Nabi Adam AS, bapa segala manusia.


Di langit kedua baginda disambut Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS. Di langit ketiga disambut Nabi Yusuf AS. Langit keempat Nabi Idris AS...


Di langit kelima yang menyambut adalah Nabi Harun AS, langit keenam Nabi Musa AS, langit ketujuh Nabi Ibrahim AS. Ibrahim bersandar pada "House of Life" (Ingat, Osman bercakap dalam bahasa Inggeris) di mana pada setiap hari 70,000 malaikat masuk dan tidak keluar-keluar lagi. Menurut faham dan bacaan saya tentang peristiwa Isra' dan Mi'raj ini harus merujuk kepada bangunan yang dipanggil sebagai Baitul Makmur. Ia adalah kiblat di langit seperti mana Ka'abah atau Baitullah di Mekah adalah kiblat di muka bumi.

Selepas langit ketujuh Rasulullah SAW dibawa ke pohon besar yang dikenali sebagai Sidratul Muntaha. Daunnya dikatakan seperti telinga gajah, buahnya seperti jug (bekas air, bejana)


Dari pokok ini baginda naik ke hadrat Ilahi bersendirian kerana Jibril pun tidak mampu ikut kerana akan hancur lebur jika cuba melepasi had. Di hadrat itulah Nabi Muhammad SAW dapat bersemuka dengan Allah SWT lalu berbual-bual.


Di situlah baginda menerima perintah agar umat Islam melakukan solat 5 waktu. Pada awalnya perintah adalah untuk 50 waktu. Tetapi apabila turun sampai ke langit keenam lalu bertemu lagi Nabi Musa AS baginda diingatkan umatnya tidak akan mampu melakukan ibadat wajib sebegitu kerap. Baginda disarankan naik balik bertemu Allah SWT bagi mendapatkan keringanan. Setiap kali naik dikurangkan 5 waktu sehingga akhirnya tinggal 5.

Maka disebutlah solat sebagai anugerah besar buat Nabi Muhammad SAW dan umat baginda. Sesungguhnya solat adalah Mi'raj buat orang beriman lalu Mi'raj  berbentuk spiritual boleh dialami oleh setiap orang yang beriman. Cuma Mi'raj berserta tubuh badan boleh dilakukan oleh baginda sahaja.


Jadi kenapa peristiwa Isra' dan Mi'raj ini menjadi isu dalam sains? Disebutlah bagaimana apa yang diceritakan tentang peristiwa kedengaran tidak masuk akal menurut neraca biasa sains. Namun kita harus ingat alam yang dirangkumi oleh sains moden adalah alam yang dapat dilihat. Sedangkan alam menurut Islam turut meliputi malaikat juga makhluk halus seperti jin...


Antara isu paling besar menjadi persoalaan adalah bolehkah badan manusia terselamat atau tidak binasa jika mengalami perjalanan fizikal sebegitu rupa seperti diceritakan tentang Isra' dan Mi'raj?Apatah lagi apabila masuk ke tahap-tahap bukan fizikal? Bolehkah sains menyokong pemikiran sebegini? 

Disebutlah sedikit tentang konsep-konsep sains termasuk teori fizik kuantum. Pada Osman penerangan mudah adalah setiap bentuk dan tahap alam ada undang-undang atau hukum yang tersendiri. Tidak patut satu hukum sahaja digunakan untuk menerangkan segalanya seperti berlaku dalam dunia sains sekarang. Kalau menurut hukum biasa yang sains moden faham seperti dinyatakan dalam Teori Relativiti ciptaan Albert Einstein tubuh badan Rasulullah SAW harus menjadi leper pada kelajuan cahaya. Tentu ini boleh memberikan kesan kepada nafsu dalam badan. Pun begitu harus ada hukum lebih tinggi membenarkan baginda bergerak begitu laju dengan selamat.


Isu sebegini tiada masalah untuk diterima orang Islam kerana pemahaman alam atau kosmologi Islam mengandungi prinsip-prinsip dan konsep yang berkenaan. Sedangkan alam kasar yang kita boleh nampak ini sendiri terbit daripada alam spiritual. Dan ada banyak peringkat alam-alam yang lebih halus tidak diliputi sains.


Sekurang-kurangnya ada juga bukti empirikal peristiwa ini berlaku. Ketika kembali ke Mekah Nabi Muhammad SAW dapat melihat satu kafilah menuju ke kota. Ahli kafilah pula ternampak satu objek di angkasa lalu terdengar bunyi daripadanya.


Berita tentang perjalanan Nabi itu menggegarkan masyarakat Mekah sehingga mereka berbantah-bantah. Apabila ditanya apakah cerita ini boleh dipercayai Saidina Abu Bakar RA menjawab kalau keluar daripada mulut Rasul maka ia mesti benar. Ahli kafilah pula boleh menerima kerana cerita Rasulullah SAW tentang pergerakan kafilah menepati apa yang mereka ketahui telah berlaku.


Kesimpulan yang boleh dibuat tentang peristiwa Isra' dan Mi'ra adalah pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan Allah SWT di hadrat Ilahi memberikan kepastian tentang kebenaran misi baginda serta keyakinan bahawa Tuhan menyokongnya. Ia memberikan baginda persediaan terbaik untuk menerbitkan lalu membina ummah sambil mengajar dan mengembangkan agama.