Subhanallah. Lewat malam ini saya mendapat gerak untuk menamatkan siri penceritaan tanpa perlu menunggu pagi karang. Bersambung penceritaan daripada artikel Kenangan 4x4 tahun 1997 - Bermesra dengan Orang Asli.
11. Pada hari keempat (Selasa 23 September) ada special stage petang yang menimbulkan sedikit kontroversi. Katanya ada peserta menyusahkan peserta selepasnya dengan cara sengaja menyebabkan kawasan berlumpur yang perlu dilalui semua orang menjadi semakin dalam.
12. Baki special stages diselesaikan pada hari kelima (Rabu 24 September). Sekitar waktu tengah hari kami meninggal Sungei Dala lalu menyeberang Sungai Perak dengan menaiki feri besi.
13. Selepas itu kami ke majlis sambutan rasmi di Kuala Kangsar diikuti satu lagi majlis sambutan rasmi di Ipoh.
14. Pertandingan dan perjalanan meliputi jarak 500 km di negeri Perak termasuk 200 km off-road (dalam hutan, jalan tanah merah dan sebagai). Nampaknya ini tidak termasuk jarak perjalanan dari KL sehingga masuk ke sempadan negeri Perak dan keluar.
Di sini tidak perlu dipanjangkan lagi tentang acara. Sebaliknya saya lebih ingin tahu tentang jarak. Dalam artikel Kenangan 4x4 tahun 1997 - Mempromosikan Perak ke mata dunia telah dibuat kira-kira bahawa jarak sejak dilepaskan di Kuala Lumpur pada hari Sabtu 20 September sehingga sampai ke Pos Poi lewat hari Ahad 21 Sept adalah 330 km. Sekarang boleh dicampurkan jarak Pos Poi ke Kampung Dala iaitu 34 km lalu jadi jumlah 364 km.
Butiran nombor 12 pun dirujuk. Ia menyebut dari Sungai (dahulu saya eja Sungei) Dala kami menyeberang Sungai Perak dengan menaiki feri besi. Sekarang nampaknya sudah ada jalan elok siap dengan jambatan. Jalan harus dibina di atas laluan balak kerana itulah yang mudah. Kerana sudah diteroka, sudah dibuka, sudah dipotong bukit, sudah dibuang halangan mana yang ada.
Didapati bahawa jarak ke pekan/bandar Gerik dari tempat menyeberang jambatan cuma 14.9 km. Maka bersesuailah dengan ingatan bahawa saya dan beberapa orang yang naik satu kereta telah ke sana dahulu kerana mahu mencari tempat makan. Selepas itu baru ke Kuala Kangsar diikuti Ipoh seperti dinyatakan dalam butiran nombor 13.
Perjalanan ke Gerik itu tidaklah termasuk dalam rancangan rasmi acara. Ia cuma rancangan persendirian oleh beberapa orang, tak ingat berapa kereta ikut sama. Namun bolehlah dilakarkan laluan dari Sungai Dala dan seterusnya seperti di atas. Saya tamatkan di pejabat The New Straits Times kerana seingat saya kembali ke Lembah Klang dengan menaiki kereta pacuan empat roda milik seorang peserta berbangsa Melayu (majoriti peserta berbangsa Cina) lalu diajak menginap di rumahnya. Esoknya yang harus jatuh pada hari Khamis 25 September terus dihantar kembali ke pejabat.
Jarak yang ditunjukkan oleh Google Map adalah 373 km. Campur jarak 364 km iaitu sejak dilepaskan dari KL 20 September sehingga sampai ke Sungai Dala jadi jumlah 737 km. Sekarang cuba lihat jika ini boleh dipadankan dengan butiran terakhir dalam senarai iaitu :-
Lakaran ini menunjukkan jarak umum Kuala Lumpur ke Tanjung Malim yang merupakan pintu masuk ke negeri Perak. Jarak pergi balik 79.7 km x 2 = 159.4 km boleh dibulatkan menjadi 159 km. Tolak ia daripada jarak keseluruhan 737 km tadi jadilah 578 km. Ini pula boleh ditolak dengan 10 km (jarak pergi balik dari simpang selepas keluar Kampung Dala mendekati Gerik) ke Gerik kerana tidak termasuk dalam rancangan perjalanan. Jadilah 568 km. Tak lari sangat dengan kenyataan bahawa pertandingan dan perjalanan meliputi jarak 500 km di negeri Perak malah memang harus lebih.
Bagaimana pula tentang kenyataan mengatakan ia termasuk 200 km off-road? Untuk ini harus dikira laluan dari Hospital Bahagia ke Kampung Tonggang kemudian ke Hulu Kinta yang dahulu tidak ada jalan tar. Seterusnya Sungai Siput ke Pos Poi membawa ke Kampung Dala sehinggalah ke simpang Gerik-Kuala Kangsar atau suatu jarak sebelum itu (kerana mungkin sudah ada jalan tar kampung, saya pun tak ingat). Tanpa menunjukkan peta saya dapati jaraknya adalah 13 km + 85 km + 29 km = 127 km. Ini adalah 63.5 % sahaja dari 200 km. Tetapi mungkin terasa jauh sebab pergerakan lebih lambat dalam hutan disertai pelbagai jenis cabaran dan rintangan.
Tentang jarak keseluruhan yang dinyatakan sebagai 737 km itu pula didapati harus lebih daripada itu. Ini kerana lakaran Google Map adalah berdasarkan keadaan jalan sekarang. Sedangkan jalan pada tahun 1997, misalnya dari Gerik ke Kuala Kangsar lebih jauh berliku dan panjang. Selain itu ada saya ada berjalan-jalan dalam setiap kawasan yang disinggahi. Dengan itu tidak salah untuk meletakkan keseluruhan perjalanan memakan jarak lebih 750 km. Cukuplah perkongsian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan