Salam semua. Adapun pagi Jumaat 24 April 2026 iaitu 2 hari lalu saya menghadiri satu lagi majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Selepas itu disibukkan dengan urusan di Bukit Jalil diikuti Balakong dan Seremban sebelum bermalam di sana. Esoknya pagi Sabtu berkejar ke selatan Cheras untuk mengambil anak-anak keluar outing dari asrama tahfiz sebelum ke Bandar Teknologi Kajang untuk hal keluarga. Kemudian ke air terjun Gabai sebelum singgah di rumah saya yang satu lagi di Hulu Langat kemudian menghantar anak kembali ke asrama sebelum Asar. Makan satay di Sungai Ramal kemudian ke Balakong lagi sebelum ke rumah kawan dekat Sungai Long. Sekarang, selepas bermalam di Hulu Langat baru ada kelapangan untuk menulis artikel tentang majlis ilmu di ISTAC.
Majlis ini adalah yang ke-5 dalam siri bengkel tentang pemikiran kritikal oleh Professor Dr Jamal Bashier Abadi.
Ia adalah tentang kemahiran membuat penerangan.
Penerangan penting supaya boleh mengajar, mempengaruhi juga berkongsi idea dan pemikiran.
Untuk itu kita sendiri mesti cukup jelas tentang suatu isu.
Kemahiran cabang yang perlu adalah bagaimana menyatakan suatu keputusan.
Kita boleh berlatih dengan menulis atau menyatakan suatu kesimpulan dalam satu ayat yang jelas.
Kemahiran cabang kedua adalah mewajarkan prosedur atau langkah-langkah yang ambil untuk membuat keputusan.
Latihannya : Apabila selesai suatu tugasan ambil sedikit masa untuk menulis atau menyatakan dengan lantang kenapa kita memilih setiap langkah.
Misalnya memakai tinjauan kerana perlu mengumpul jumlah data yang besar daripada ramai orang.
Kemahiran cabang seterusnya adalah mempersembahkan hujah.
Berlatihlah dengan suatu topik yang mengesankan kita. Misalnya menulis hujah pendek kenapa hari yang lebih panjang di sekolah memberikan manfaat menggunakan data tentang pencapaian murid dan maklum balas guru untuk menyokong dakwaan.
Dan pastikan ia mudah untuk diikuti dan difahami orang.