Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, October 18, 2018

Wacana Ilmu : Perkembangan dalam Pemeribumian Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu di ISTAC

OK. Ini ada perkongsian ilmu daripada satu acara semalam...


Sekitar seminggu lalu muncul poster atas di media sosial untuk mempromosikan satu majlis ilmu terbaru di ISTAC, (Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu). Di sini saya ingin membuat satu pembetulan. Sudah beberapa kali saya berkongsikan cerita-cerita tentang majlis-majlis ilmu juga aktiviti berkenaan di ISTAC tetapi menyebutnya sebagai Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu. Sebenarnya saya terkeliru dengan nama lama ISTAC iaitu singkatan bagi perkataaan bahasa Inggeris International Institute of Islamic Thought and Civilisation. Dalam bahasa Melayu ia berbunyi Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.

Sebagai satu institusi antarabangsa pasca-siswazah terkemuka di bawah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bahasa pengantar pengajian juga acara-acara adalah di dalam bahasa Inggeris. Tetapi sejak komponen pengajian dunia Melayu dijunjung tinggi sehingga dimasukkan menjadi sebahagian nama baru institusi (walau singkatan ISTAC dikekalkan) iaitu bermula penghujung tahun lepas majlis-majlis dalam bahasa Melayu dibenarkan diadakan di sana. Sebagai contoh lihat Majlis Baca Puisi di ISTAC yang diadakan 3 minggu lalu. 


Majlis terbaru yang dilangsungkan pagi Rabu semalam 17 Oktober 2018 bertujuan untuk mengangkat kajian keilmuan berasaskan matematik dan sains dalam bahasa Melayu. Maka syarahan dibuat dalam bahasa Melayu. Poster iklan berbahasa Inggeris diedarkan di media sosial tetapi pada masa yang sama poster berbahasa Melayu diedarkan juga. Tajuk majlis adalah "Wacana Ilmu : Perkembangan dalam Pemeribumian Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu"


Pembentang Professor Emeritus Dr. Shaharir Mohd Zain ialah seorang pakar matematik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Harus diberitahu tidak ramai anak Melayu dapat mencapai kefahaman tinggi dalam bidang matematik seperti beliau.Secara rata subjek yang memerlukan kuasa penaakulan tinggi ini diketahui kurang digemari oleh orang Melayu. Tetapi ini bukan bermakna fikiran kita keterbelakang berbanding orang Cina misalnya yang katanya lebih selesa dengan ilmu-ilmu melibatkan kira-kira. 

Sehingga dikatakan sebab itu mereka maju dalam bidang perniagaan lalu memegang lebih 70% kek ekonomi Malaysia walhal jumlah mereka cuma sekitar 20% penduduk negara berbanding orang Melayu yang jumlahnya 60% tetapi pemegangan ekonominya tidak sampai 20%. Yang sebenarnya orang Melayu pun asalnya pandai ilmu-ilmu sebegini. Tetapi sejarah penjajahan oleh kuasa-kuasa Barat ke atas Alam Melayu telah menyaksikan kita menjadi keterbelakang hingga hilang punca.


Cendekiawan seperti Shaharir dan kumpulan pemikir yang berjuang atas landasan sama sedang berusaha keras untuk memperbetulkan kepincangan ini. Untuk itu mereka harus gigih menggali kembali khazanah dunia fikir orang Melayu yang sudah lama dilupakan. Dunia fikir ini memerlukan kita menjunjung tinggi kembali bahasa Melayu sebagai wadah ilmu tinggi. Sebab itu syarahan diadakan dalam bahasa Melayu walaupun Shaharir boleh sahaja bersyarah dalam bahasa Inggeris yang lancar. 

Di sini saya rasa elok disebut bahawa tokoh pejuang bahasa Melayu terkenal, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang merupakan salah seorang pensyarah saya di ISTAC bertanggungjawab mengangkat bahasa Melayu sebagai satu bahasa pengantar di ISTAC. Hinggakan pelajar kini dibenarkan menghasilkan tesis dalam bahasa itu selain bahasa Inggeris juga bahasa Arab. Beliaulah yang membawa Shaharir untuk syarahan. Awang pun memulakan majlis dengan memperkenalkan pakar matematik tersebut.


Selepas beberapa lama Shaharir memulakan kata-kata. Satu nota yang merangkumi isi syarahan disampaikan kepada hadirin. Satu buku tulisan beliau tentang perkara berkenaan turut diedarkan untuk siapa yang mahu membeli. Tetapi jumlahnya terhad. Ketika saya masuk ke ruang syarahan kesemuanya sudah bertuan. Cukuplah nota untuk membantu saya berkongsikan cerita ya.


Shaharir memulakan dengan menyatakan peri pentingnya kita menelaah ilmu bangsa kita dalam bahasa sendiri iaitu bahasa Melayu. Jangan semata-mata menterjemahkan ilmu daripada bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ini kerana setiap kata-kata memiliki nilai maknanya tersendiri. Menurut beliau ada kata-kata Melayu yang kelihatan secara zahir sebagai sama sahaja makna dengan da suatu perkataan bahasa Inggeris. Tetapi bila dikaji lebih teliti ia membawa makna lebih besar dan mendalam.

Misalnya perkataan "Pemperibumian" yang menjadi perkataan pertama dalam tajuk syarahan. Ia adalah terjemahan daripada perkataan "Indigenisation". Pada beliau indigenisation membawa makna menyesuaikan ilmu moden dengan ilmu atau pemahaman tempatan. Sedangkan pemperibumian turut membawa makna membongkar ilmu-ilmu lama dan mengkritik ilmu berkenaan.


Beliau memberikan beberapa contoh bagaimana penggunaan bahasa sendiri boleh meluaskan skop nilai, faham dan penerangan. Misalnya kata "I" untuk merujuk kepada diri. Kelihatannya dalam bahasa Inggeris ada satu sahaja perkataan itu untuk merujuk kepada suatu individu. Tetapi dalam bahasa Melayu ada perkataan "saya", "aku", "hamba". Setiap satu boleh membawa konotasi atau nilai berbeza walau tetap merujuk kepada individu yang sama.

Itu berkenaan bahasa. Shaharir memberitahu sebagai seorang pakar matematik beliau turut melihat implikasi nilai dan kira-kira di sebalik suatu kata-kata. Misalnya perkataan Melayu "bunga" dahulu sering digunakan untuk merujuk kepada "interest" (bahasa Inggeris), kedua-keduanya bermakna riba' iaitu bayaran tambahan yang dikenakan bagi pinjaman bank. Bila unsur riba' yang jelas haram dalam agama Islam dipersoalkan maka ditukar pula menjadi "faedah". Maka wujud konsep "pinjam ada faedah" dan "pinjaman tanpa faedah". Sedangkan ia tetap merujuk kepada riba'.

Bila dipersoalkan lagi maka diperkenalkan pula perbankan Islam dan segala macam termanya yang dikatakan menepati syarak. Tetapi sebagai seorang ahli matematik beliau melihat pada kira-kiranya. Hasilnya jumlah akhir yang perlu dibayar untuk membuat pinjaman bank Islam sama sahaja dengan pinjaman bank konvensyional malam boleh jadi lebih. Maka hakikatnya penindasan berupa riba' tetap berjalan walau atas nama lain untuk menghalalkan.


OK.Saya dah lupa pada peringkat mana syarahan disebut perkara-perkara atas tadi sebelum saya mengambil gambarb buku-buku tulisan saya ini seperti kelihatan di atas. Yang ingat, Shaharir sedang mengatakan ilmuwan kita tidak ada menerbitkan sesuatu yang baru bagi mencabar dominasi dunia pemikiran Barat. Yang ada kebanyakannya pemikiran kitar semula yang diberikan kritikan atau ulasan kalau tidak pun sekadar menterjemahkan lalu diaplikasikan dalam sudut keperluan tempatan. Pada saya Shaharir menyatakan ini dalam nada kecewa tetapi ada sedikit angkuh - itu apa yang saya rasa. Saya lihat kritikan Shaharir itu seperti berpunca daripada hakikat tidak ramai orang Melayu dapat menekuni ilmu matematik tinggi yang boleh dikatakan latar belakang kekuatan semua ilmu sains tulen. Terasa ia seperti kritikan terhadap cendekiawan Melayu yang kurang kefahaman sains, yang ramai adalah dalam bidang sastera dan kemanusiaan yang mana kita faham, pada zaman sekolah menengah dahulu ia biasa diisi oleh mereka yang dikira ketinggalan dalam sains.

Ketika itulah saya terasa harus keluar sebentar untuk mengambil buku-buku yang ada dalam kereta. Saya mengambilnya untuk menunjukkan ada orang seperti saya sedang berusaha mencabar alam pemikiran Barat dengan satu kajian yang memiliki asas matematik walaupun dalam bidang yang lebih mendekati sastera. Hal ini dipanjangkan ketika masuk sesi soal jawab. Mungkin ini kelihatan angkuh tetapi saya harus menegaskan kepada hadirin yang juga terdiri daripada pelajar-pelajar pasca-siswazah dan pensyarah/kakitangan daripada universiti-universiti lain. Saya sebut diri sebagai graduan matematik dari Universiti College of London lalu menyatakan ia tersenarai sebagai salah satu daripada 10 universiti terbaik di dunia.

Ini adalah fakta yang boleh disemak dengan mudah di Internet. Ia menunjukkan saya termasuk dalam golongan yang terpilih, bukan tercicir ilmu sains. Tetapi setelah beberapa lama saya memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Malay World atau Dunia Melayu semata-mata untuk mengangkat kajian yang boleh memartabatkan lagi orang Melayu. Saya tegaskan ini sambil menunjukkan pada keadaan diri sebagai satu-satunya hadirin berbusana Melayu tradisional Melayu penuh, bersampin, bertanjak dan berkeris. Saya nyatakan entah buat kesekian berapa kali entah seperti pernah dinyatakan di majlis-majlis ilmu lain bahawa pakaian sebegini bukan untuk orang yang tahu bersilat sahaja, bukan kekampungan dan ketinggalan. Ia sebenarnya melambangkan semangat tinggi peradaban lama orang Melayu lalu patut juga dipakai para cendekiawan.


Saya adalah peserta pertama bersuara semasa sesi soal jawab kemudian baru yang lain masuk. Menarik apabila ruang soal jawab atau berkongsi pendirian/pengetahuan/dapatan diberikan kepada seorang ustaz di belakang lalu Shaharir terus memberitahu itu adalah gurunya dalam mencari maklumat-maklumat berkenaan dalam pengajian Islam. Ustaz tersebut memberitahu kepada hadirin, kalau mahu melihat cari lama dan tradisi orang Melayu mengaji lalu menggapai dunia pemikiran tinggi kajilah cara belajar di sekolah pondok. Di situ sudah ada contoh mantap yang ditinggalkan daripada tradisi keilmuan tinggi Islam zaman berzaman. Jangan anggap orang masuk sekolah pondok kerana ketinggalan, tidak mampu mencapai dunia pemikiran sekolah biasa yang berasaskan pemikiran Barat. Sebaliknya ada yang pandai dan berjaya di sekolah kebangsaan biasa tetapi bertukar ke sekolah pondok kerana pilihan.


Penulisan artikel ini dimulakan sambil saya menunggu kelas Research Methodology  (sistem kaedah membuat kajian) bermula jam 5 petang. Saya datang awal hari ini ke ISTAC kerana ada kursus penggunanan program bantuan kajian dan pembuatan tesis berlangsung pagi hingga tengah hari tadi. Sementara menunggu kelas petang saya ada banyak masa apa lagi hari ini Khamis saya berpuasa sunat. Tetapi badan pula kurang sedap,terasa lenguh dan bisa- bisa sedangkan kepala begitu berat.

Kalau ikut pada itu mahu sahaja dicari sudut tersorok di mana-mana untuk tidur rehat Tetapi rasa macam tergantung pula - saya masih ada satu buku sedang dibaca, Historical Fact and Fiction untuk dihabiskan, ada buku kecil dihadiahkan oleh Awang Sariyan semalam mahu juga dikhatamkan juga beberapa bacaan melibatkan sejarah kerajaan Uthmaniyah bermula daripada zaman Seljuk yang terkait dengan Kekhalifan Abbasiyah. Badan dan kepala begitu penat sedangkan banyak perkara perlu dibuat. Akhirnya saya membuat keputusan, untuk membantu diri menjadi lebih lega biar dibuat artikel ini.


Tentang apa yang dialami setelah kembali menjadi pelajar sila rujuk artikel Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC yang dipersembahkan Isnin lalu. Alhamdulillah penulisan dapat dikeluarkan mengalir laju kerana itulah cara saya menulis, lebih pada berbentuk luahan agar lepas suatu perkara yang terasa membebankan di dada. Bebanan ilmu itu adalah selain harus menelaah dan memahami suatu perkara ia harus disampaikan. Cuma jangan pula jadi seperti mengalungkan rantai ke leher babi, Semua perkara ada tempat dan ahlinya. Berkongsi pun harus menurut had-hadnya.

Untuk blogspot ini saya menulis kepada umum. Walau ada ilmu yang boleh tahan tinggi, saya cuba merendahkan cara penyampaian atau disebut Awang Sariyan dalam kelas petang semalam sebagai "memasyaratkan" ilmu. Itu tanggungjawab saya sebagai seorang pemikir dan seorang yang diberi sedikit kelebihan untuk memahami perkara-perkara yang sulit buat orang awam. Saya cuba jadikan ia semudah mungkin supaya lebih ramai dapat memahami perkara.


Atas dasar itu saya menulis tanpa melupakan dalam kalangan pembaca ada yang ingin mengetahui lebih mendalam dan mampu menggapainya. Kalau larat dan ada gerak ilham saya panjangkan suatu perkara, kalau tidak saya cerita ringkas kerana sebagai manusia saya pun ada turun naik mood juga. Sesungguhnya saya bukanlah meja pertanyaan lalu semua persoalan saya wajib jawab sehingga memuaskan hati orang yang bertanya. Saya menulis secara percuma atas dasar tanggungjawab sambil membuat luahan. Kalau tidak saya juga yang tidak lena tidur nanti kerana ada perkara patut dilepaskan tetapi belum dilakukan lagi.


Atas sebab-sebab tersebut ketika baru menulis beberapa perenggan artikel ini saya terasa elok diambil gambar setiap muka surat daripada nota syarahan Shaharir. Anda boleh baca dengan jelas apabila dibuka pada saiz besar dalam Windows lain. Selamat menelaah... :]





Oh. Baru teringat . Syarahan ini ada dibuat siaran langsung atau live melalui Facebook. Anda boleh mengikuti rakamannya di sini. Semoga berfaedah buat semua... 




Tuesday, October 16, 2018

Memanjat bukit di Janda Baik anak beranak - Kali pertama setelah lama mengenali tempat

Salam awal pagi 16 Oktober. Merujuk kepada artikel Dari Puncak Alam ke Kuala Selangor - Mengimbas kembali beberapa hal berkaitan yang dipersembahkan jam 6.50 petang tadi. Sekarang sampailah masa untuk menutup gerak penceritaan kali ini.


Petang Sabtu 13 Oktober 2018. Kami sekeluarga menyambut ulang tahun ke-9 kelahiran anak kami Muhammad al-Aminul Rasyid di Gombak. Disebabkan itu kami memutuskan untuk pergi ke Janda Baik, Pahang. Ini disebabkan ini terletak lagi 30 km sahaja perjalanan dari Gombak.


Kami menginap di salah satu rumah yang terdapat dalam kawasan peranginan keluarga milik bapa angkat saya, penulis buku politik terkenal S.H. Alattas @ Pak Habib Syed Hussein al-Attas. Merujuk kepada artikel Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC yang dipersembahkan jam 9.55 malam tadi. Di serambi menghadap sungai inilah saya berjaya mengkhatamkan tesis PhD sepanjang 345 muka surat tentang pandangan alam Sheikh Daud al-Fatani sekitar jam 8.30 pagi Ahad 14 Oktober. Menarik untuk disebut bahawa ketika bacaan masuk pada hal kitab tasawuf tulisan Sheikh Daud  sekitar jam 1 pagi muncul satu pembukaan tentang nasab keluarga. Ini menyebabkan saya menulis update berikut di Facebook :-


KAITAN KEDAH LE PULAK - ISYARAT KAITAN DENGAN PATANI JUGAKAH INI?

Salam semua. Malam ni, di celah-celah tengah study thesis PhD orang pasal Sheikh Daud al-Fathani tiba-tiba seorang saudara memberitahu moyang kami Orang Kaya Mat Arshad bin Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (Perak) beribukan Wan Sadilah (mungkin salah eja) binti Wan Mat Saman dari Kedah. Terus teringat dahulu nenek (ibu ayah saya, isteri Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin OK Arshad) pernah memberitahuh kami ada kena mengena dengan Wan Mat Saman yang buat terusan Wan Mat Saman di Kedah itu. Kata saudara betullah itu. Cuma apabila ditanya kepada keluarga Wan Kedah mereka tak tahu cerita.

Apapun, kalau benar moyang kami beribukan anak Wan Mat Saman, maka Menteri Besar Kedah pertengahan abad ke-19 itu adalah moyang saya juga. Dikatakan ayah Wan Mat Saman iaitu Wan Ismail adalah anak kepada Dato' Sri Paduka Raja Laksamana Kedah. Dah terkait pula saya dengan Laksamana Kedah. Itu belum cerita kaitan keluarga belah Laksamana Perak dengan Laksamana Aceh dan raja- raja sana juga raja- raja Bugis. Patutlah baru ini ada orang nampak nenek moyang saya sejak zaman Kesultanan Melaka asyik berperang sahaja kerjanya. Sampai peringkat saya dah letih tak nak terlibat dengan perang. Namun naluri semulajadi untuk berperang itu tetap ada.

Menarik apabila memikirkan kaitan dengan Kedah ini terbuka ketika bacaan thesis malam ini masuk bab kitab Tasawuf Sheikh Daud al-Fathani. Apakah ini isyarat bahawa keluarga Wan Kedah terkait dengan keluarga Wan Patani? Apakah kaitan ini yang menyebabkan saya begitu selesa berjalan-jalan di Kedah juga di Patani?


Dengan selesainya bacaan tesis baru kami bersiap sedia untuk aktiviti seterusnya.


Mula-mula keluar berjalan kaki untuk bersarapan di sebuah warung berdekatan.


Selepas itu baru berjalan kaki mendaki hingga ke puncak sebuah bukit di sebelah kawasan rumah-rumah Pak Habib. Lihat artikel Hill climbing with wife and kids in Janda Baik di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Itulah kali pertama saya membawa isteri dan anak-anak berjalan kaki mendaki bukit di Janda Baik. Padahal kami telah banyak kali pergi ke kawasan tanah rizab Melayu yang terletak pada purata ketinggian 1,450 kaki dari paras laut ini. Perjalanan diteruskan dengan menuruni bukit tadi lalu naik ke satu bukit lain yang lebih tinggi. Laluan ini dan banyak lagi sudah berkali-kali saya lalui bersendirian ketika menumpang di rumah Pak Habib tahun 2002-2005. Rujuk artikel-artikel lama berikut :-













12. Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Antara Raub dan Janda Baik



Nah. Begitu banyak telah saya tulis tentang Janda Baik. Apa yang disenaraikan tidak meliputi semua yang telah dikongsikan dalam blogspot. Sesungguhnya saya tidak pernah jemu dengan tempat penuh berkat ini. Entah kenapa baru sekarang tergerak nak bawa isteri dan anak-anak meneroka dengan berjalan kaki.


Kami mendaki sehingga sampai ke rumah peranginan paling tinggi di Janda Baik. Google Earth menunjukkan letaknya lebih 1,850 kaki dari paras laut. Ketika itu kami sudah berjalan kaki sejauh  hampir 3 km. Saya pun memberi peluang anak berseronok mandi di kolam renang. Lihat .Hill climbing with wife and kids in Janda Baik - On to Saufiville, the highest resort around.


Turun bawah sampai ke sebuah surau saya beri peluang anak-anak mandi sungai pula. Pagi ketika saya sibuk mahu menghabiskan bacaan tesis pun mereka dah mandi sungai. Kali ini saya turut serta mandi...





Surau yang dimaksudkan pernah menjadi tempat kami anak beranak bermalam beberapa kali. Semasa menumpang di rumah Pak Habib 2002-2005 saya selalu menghabiskan masa bersama kenalan-kenalan pengikut ajaran tabligh dari pelbagai negara yang sering bermalam di surau ini. Lihat artikel Surau (Praying hall of) Kampung Chemperoh, Janda Baik di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Dekat jam 2 petang baru kami kembali ke kawasan rumah-rumah Pak Habib.


Saya sebut rumah-rumah kerana dalam kawasan taman seluas 8 ekar milik beliau ini terdapat hampir 10 buah rumah bungalow pelbagai saiz, beberapa buah pondok, dewan, surau dan bangunan yang boleh dijadikan tempat berehat juga menginap.


Beberapa buah rumah dan bangunan terletak betul-betul di sebelah sungai.


Rumah yang kelihatan ini (dahulu ada pokok besar di hadapannya) adalah tempat saya menumpang 2002-2005. Dari bahagian dapurnya boleh terjun terus masuk ke sungai. Sampai ke sini kami anak beranak sudah berjalan kaki sejauh hampir 5.5 km. Dalam jarak tersebut kami mendaki bukit hingga mencapai ketinggian bersamaan bangunan 15 tingkat  kemudian turun sebelum naik lebih tinggi seolah-olah mendaki bangunan 42 tingkat pula. Boleh tahan... :]


Monday, October 15, 2018

Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC

Merujuk kepada artikel Dari Puncak Alam ke Kuala Selangor - Mengimbas kembali beberapa hal berkaitan sebagai pengenalan untuk gerak penulisan kali ini. Selepas Maghrib tadi gerak disambung dengan menulis artikel bertajuk The place called Gua Kahfi in Batu Caves di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Adapun ketika memilih gambar-gambar yang mahu digunakan untuk artikel-artikel hari ini terlihatlah sejumlah gambar yang diambil ketika kelas dan kursus di ISTAC, Institut Antrabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu minggu lepas. Terasa elok dikongsikan satu cerita berkenaannya...


Adapun cerita tentang saya memulakan pengajian pasca-siswazah (postgraduate) di ISTAC ada dikongsikan dalam artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia pada hari Jumaat 31 Ogos 2018. Hari Selasa, 3 September iaitu 3 hari selepas itu, kelas pertama saya di ISTAC pun bermula. Pelajar ada pilihan untuk mengambil satu hingga tiga kelas pada semester ini. Saya memilih untuk mengambil maksimum tiga kelas supaya dapat memberikan tumpuan kepada kajian sahaja pada semester seterusnya.

Kelas diadakan pada jam 5 petang hingga 8 malam Selasa hingga Khamis. Kelas-kelas itu adalah :-


1. Islamication of Human Knowledge setiap hari Selasa. Pensyarah - Dr Wan Ali Wan Mamat

2. Islam in Malay History and Culture setiap hari Rabu. Pensyarah - Prof Datuk Dr Awang Sariyan

3. Research Methodology setiap hari Khamis. Pensyarah - Prof Madya Dr Pauzi Latif


Menarik untuk disebut Wan Ali yang dikenali sebagai seorang pakar manuskrip Melayu pernah menjadi ketua pengarah Perpustakaan Negara Malaysia. Awang Sariyan yang cukup dikenali ramai sebagai tokoh pejuang bahasa Melayu pula adalah ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sejurus sebelum menyertai ISTAC. Pauzi adalah orang yang bertanggungjawab mendirikan muzium warisan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau yang memiliki kepakaran boleh membuka dan mendirikan kembali rumah-rumah tradisional Melayu lama kini turut diberi tanggungjawab mendirikan muzium serupa di ISTAC.



Gambar ini dan gambar tadi diambil ketika kelas Awang Sariyan berlangsung petang Rabu lalu 10 Oktober. Saya ambil gambar kerana saya ni jenis yang jarang mahu mencatat pelajaran pada buku nota. Sebaliknya saya lebih suka mengambil gambar untuk rujukan akan datang. Cara sama digunakan untuk menulis artikel dalam blog. Daripada suatu gambar boleh tercetus pelbagai ingatan tentang apa yang sudah berlaku. Catatan boleh dibuat kemudian kalau perlu berdasarkan ingatan yang tercetus daripada gambar.

Ketika itu sudah masuk minggu ke-6 saya menyambung pengajian di ISTAC. Cuma ada satu minggu sahaja tiada kelas kerana seorang pensyarah ada hal, dua lagi terlibat dengan majlis ilmu di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Lihat artikel Persidangan ASAL - Daripada busana tradisional Melayu ke matawang Kesultanan Melaka dan Persidangan ASAL - Daripada hubungan Melayu-Cina membawa kepada kepentingan strategik Selat Melaka. Adapun sejak 3 tahun lalu menjadi kebiasaan saya menghantar anak-anak ke sekolah dan mengambil mereka setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali bila ada hal di luar. Sejak masuk kelas saya selalu bertolak ke ISTAC selepas menghantar seorang anak ke sekolah agama jam 2 petang kemudian menghantar anak bongsu (pra-sekolah pagi) ke pejabat isteri di Rawang. Isteri pula mengambil abangnya dari sekolah agama sekitar jam 5.30 iaitu selepas tamat kerja di pejabat.


Kalau ada hal saya setakat menghantar ke sekolah sebelum jam 7.30 pagi. Selepas itu van mengambil anak-anak ke rumah pengasuh dan ke sekolah agama petang, saya kena bayar ikut hari. Pagi Khamis 11 Oktober saya pergi ke ISTAC lebih awal kerana ada kursus berkenaan penggunaan perpustakaan di ISTAC. 

Kursus ini penting agar dapat menyediakan tesis pengajian sebaik mungkin. Ia dikendalikan oleh kakitangan Syed Muhammad Naquib Al-Attas (SMNA) Library di ISTAC. Dikatakan ia adalah salah satu perpustakaan terbaik di dunia Islam disebabkan koleksi yang dimulakan oleh pengasas ISTAC, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.


Reputasi beliau sebagai cendekiawan bertaraf antarabangsa terutama dalam dunia Islam tidak perlu dipertikaikan. Baik perpustakaan mahupun ISTAC dibina melalui penglibatan peribadi beliau yang sangat cermat. Oleh itu ia menggambarkan dan menzahirkan jiwa raga ketokohan dan keintelektualan Syed Naquib al-Attas. Walaupun Naquib yang kini berumur hampir 90 tahun tidak lagi bersama ISTAC disebabkan hal-hal yang menjurus kepada politik universiti kesan kehadiran dan sumbangan beliau terus berkumandang melalui perpustakaan dan ISTAC. Oleh kerana ISTAC berada di bawah pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kami juga boleh menggunakan kemudahan perpustakaan di mana-mana kampus UIAM. 


Kursus yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris iaitu bahasa penghantar utama di ISTAC juga di UIAM itu menunjukkan cara-cara menggunakan pelbagai kemudahan berkenaan.  Paling penting adalah bagaimana mencari bahan juga cara menyatakan sumber (citation, bibliography) untuk menerbitkan tesis bermutu tinggi. Sukacita dimaklumkan dalam tempoh sebulan setengah di ISTAC banyak yang dapat dipelajari. Seorang cendekiawan Melayu bertaraf dunia, Profesor Emeritus Dato' Dr Osman Bakar baru sahaja menyertai ISTAC sekitar sebulan lalu. Sekitar 19 hari lalu saya berpeluang untuk berkenalan lalu berkongsi pelbagai perkara dengan beliau. Ini berlaku selepas satu majlis puisi Melayu julungkali diadakan di ISTAC atas anjuran Awang Sariyan. Rujuk artikel Majlis Baca Puisi di ISTAC.

Sekadar memberitahu Awang sebagai seorang tokoh pejuang bahasa Melayu juga telah berjaya mendapatkan kebenaran pihak pentadbiran UIAM agar pelajar ISTAC yang mengambil jurusan Dunia Melayu boleh menerbitkan tesis dalam bahasa Melayu. Harus dinyatakan ISTAC yang diasaskan tahun 1987 dengan pengajian dibuat sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, sesekali dalam bahasa Arab pernah ditutup dua kali. Sekarang ini adalah kali ketiga ia dibuka iaitu bermula penghujung tahun 2017. Walaupun bahasa pengantar utama ISTAC dan UIAM tetap bahasa Inggeris, Awang memilih untuk bersyarah dalam bahasa Melayu. Sesekali sahaja dia berbahasa Inggeris kerana harus juga bersyarah kepada pelajar luar negara yang tidak pandai berbahasa Melayu. 


Kembali kepada hal Osman Bakar yang juga diakui sebagai seorang pemikir besar dunia Islam. Tengok-tengok kami memiliki latar belakang yang hampir serupa. Seperti saya beliau juga adalah graduan dalam bidang matematik di London. Cuma ia berlaku lebih 20 tahun awal dan beliau kemudian menyambung sarjana matematik sebelum berubah kepada dunia pemikiran dan ketamaduan Islam melalui pengajian di bawah cendekiawan terkenal Seyyed Hossein Nasr di Amerika Syarikat.

Saya pula terus keluar daripada dunia akademik dengan menjadi seorang wartawan di Malaysia kemudian penulis buku. Namun kami dipengaruhi faktor serupa yang mengubah arah hidup masing-masing iaitu bacaan-bacaan bersifat falsafah tinggi Tasawuf terutama tulisan Syeikhul Akbar Ibnul Arabi yang hidup di Andalusia 800 tahun lalu. Dalam perbualan pertama kami yang berlangsung 26 September beliau menghadiahkan buku bertajuk Qur'anic Pictures of the Universe : The Scriptural Foundation of Islamic Cosmology (terbit tahun 2016). Alhamdulillah buku itu dapat dikhatamkan dalam tempoh seminggu.


Dalam tempoh itu juga saya menerima salinan PDF tesis PhD seorang pelajar/kakitangan Universiti Malaya (UM) bertajuk "Konsep Alam Menurut Daud Al-Fatani : Analilis Dari Perspektif Astronomi Islam" daripada Pauzi (Prof Madya Dr Pauzi Latif, pensyarah Research Methodology atau Kaedah Kajian saya). Tesis dihasilkan oleh Mohammaddin bin Abdul Niri dan beliau kini bergelar Dr. Salinan diberikan untuk membantu saya menghasilkan tesis sendiri yang dikira sangat unik kerana melibatkan matematik dan kira-kira masa. Sedangkan bidang yang diambil adalah Dunia Melayu, bukan matematik, bukan fizik atau apa-apa bidang sains. Rujuk artikel Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan

Saya berjumpa dengan Osman Bakar kerana beliaulah satu-satunya cendekiawan di ISTAC, mungkin juga di seluruh UIAM yang mempunyai kepakaran untuk membantu penghasilan tesis saya. Sukacita dimaklumkan tesis berkenaan Daud Al-Fatani di mana penggunaan ilmu naqli (berdasarkan wahyu) diangkat melebih ilmu aqli (berdasarkan penta'akulan rasional akal semata seperti diagung-agungkan dunia Barat) telah berjaya ditamatkan pagi semalam. Harus dimaklumkan ini berlaku ketika saya dan keluarga berehat di sebuah rumah peranginan milik ayah angkat saya, penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas di Janda Baik. Menarik untuk disebut beliau memiliki hubungan persaudaraan dengan Syed Naquib yang mengasaskan ISTAC dan memang saling mengenali. 

Seorang anak Syed Hussein kini menjadi salah satu anak murid kesayangan Syed Naquib. Harus dimaklumkan juga gerak penulisan yang muncul untuk hari ini memerlukan saya berkongsi sedikit cerita tentang sesi rehat kami sekeluarga di Janda Baik. Sesungguhnya saya memang jenis orang yang sering mendapat ilham dan gerak menurut aturan di luar perancangan diri. Biasanya selepas selesai suatu proses luahan saya akan dibukakan pintu-pintu ilmu-ilmu baru. Selepas menyiapkan artikel Janda Baik baru boleh memberi tumpuan untuk membuat satu penulisan kecil tentang kejatuhan Empayar Uthmaniyah bagi kelas Islamication of Human Knowledge esok, minggu ke-7 pengajian saya di ISTAC. Selesai itu baru boleh menamatkan pembacaan buku Historical Fact and Fiction tulisan Syed Naquib tahun 2011 untuk diulas pada kelas Islam in Malay History and Culture hari Rabu.



Dari Puncak Alam ke Kuala Selangor - Mengimbas kembali beberapa hal berkaitan

Salam. Saya harus memulakan satu proses melepaskan cerita-cerita. Biar dimulakan dengan aktiviti-aktiviti lebih seminggu lalu.


Pagi Ahad 7 Oktober 2018 saya mengajak isteri dan anak-anak memanjat satu bukit kemudian berjalan kaki jauh di taman perumahan kami di Sungai Buaya, Selangor. Lihat artikel Climbing a nearby hill with wife and the kids di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
.

Saya sendiri sudah biasa dan banyak kali memanjat bukit-bukit di kawasan ini. Anak-anak juga ada 2-3 kali ikut bersama. Tetapi inilah kali pertama isteri ikut memanjat bukit yang agak tinggi di sini, sebelum itu setakat bukit rendah di sebelah rumah kami. 

Kalau tak salah kali terakhir kami ada memanjat bukit tinggi bersama adalah 7 tahun lalu. Lihat artikel lama Dari Central Market ke Bukit Broga. Selain daripada itu kami ada bersama naik tempat tinggi malah gunung ganang dengat menaiki kereta. Ini termasuk Gunung Jerai di Kedah dan Gunung Brinchang di Cameron Highlands, Pahang. 


Tengah hari pula kami bergegas ke Puncak Alam di Shah Alam untuk satu majlis.


Ada pengijazahan untuk satu persilatan berasaskan permainan pedang. Guru utamanya adalah seorang kawan yang kini sama-sama menyambung pengajian di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran Islan dan Dunia Melayu. Rujuk artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia yang ditulis sebulan setengah lalu.


Dari Puncak Alam didapati ada jalan dalam menuju ke pekan Jeram di pantai barat Selangor. Kami pun menuju ke sana,


Selepas pergi ke kawasan pantai kami melaluji tepian Bukit Jeram.


Selepas itu pergi ke Kuala Selangor.


Ketika duduk menyewa rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang 2008 hingga awal 2014 boleh kata setiap bulan kami akan bertandang ke sana sekurang-kurangnya sekali setiap bulan. Ini disebabkan kedudukannya cuma 30 km dari rumah...


Kedudukan dari rumah sekarang di Sungai Buaya dah jauh dua kali ganda. Jarak dan kedudukan di luar laluan kebiasaan kami ke mana-mana menyebabkan sudah bertahun juga kami tidak ke Kuala Selangor. Majlis persilatan di Puncak Alam menjadi alasan kami untuk bertandang sejak sekian lama. Lalu kami pun mengambil kesempatan singgah di Pasir Penambang, seberang Sungai Selangor dari pekan Kuala Selangor.


Di situ ada satu tanah perkuburan lama Islam yang ada batu nesan Aceh. 


Di sekitar itu juga kami melihat pemandangan Sungai Selangor datipada beberapa sudut. Rujuk artikel Selangor river from the firefly jetty at Pasir Penambang diikuti Selangor river from a downriver part of Pasir Penambang.


Selepas itu baru berjalan-jalan di pekan Kuala Selangor. Untuk melengkapkan gerak penulisan artikel ini elok diletakkan pautan-pautan untuk beberapa artikel lama yang berkenaan, artikel-artikel yang timbul akibat lawatan ke sini dan beberapa kawasan persekitaran. Untuk makluman ini adalah artikel ke 1,710 di blogspot ini.


1. Kisah Keramat Anak Dara...

2. Meriam kuning di Bukit Melawati dan kuala sebenar Kuala Selangor

3. Apa ada di Bukit Belimbing?

4. Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak?

5. Makam-makam di Jugra dan apa yang ada di sekitar Jeram

6. Bukit Jeram dan satu watak misteri bernama Upu Chendera Burung

7. Mencari Bukit Raja di Kuala Selangor... singgah juga di Bukit Talang, Kampung Permatang dan beberapa tempat

8. Mimpi pelik Kuala Selangor...

9. Pantai berdekatan Pulau Angsa

10. Baru betul-betul melihat Bukit Melawati...

11. Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan