Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, December 09, 2011

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Raya Haji di Medan... dan penceritaan sebenar pun bermula

Assalamualaikum semua. Setelah beberapa lama siri baru ini berjalan, hampir sebulan juga sejak artikel pengenalan dan pembukaan Akan datang - Jejak "Berpetualang ke Aceh" dibuat 15 November, baru kita masuk ke bahagian penceritaan yang lebih serius. Sudah diberitahu bahawa perjalanan yang dimulakan dengan menaiki kapal terbang ke Medan 2 November sebelum kembali melalui Banda Aceh 13 November ini dibuat untuk menjejaki kembali tempat-tempat yang pernah dilawati lalu diceritakan dalam siri novel "Berpetualang ke Aceh". Mulai artikel ini saya akan menyertakan sedutan-sedutan berkaitan.



Pagi Ahad 6 November 2011 bersamaan 10 Zulhijjah 1432 Hijrah kelihatan ramai orang berkumpul di satu sudut Medan.


Pada penghujung artikel lalu siri ini, Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Keluar pulau untuk ke Medan ada diberitahu kami sampai ke kota atau bandaraya terbesar di Sumatera ini pada malam Hari Raya Haji atau Aidil Adha lalu mendapat penginapan yang sangat dekat dengan masjid lamanya yang amat terkenal iaitu Masjid Raya Al-Mashun.


Beginilah suasana di masjid sebaik sahaja tamat solat Aidil Adha. Orang terlalu ramai hinggap melimpah keluar ke tepi jalan. Saya keluar bersendiriankerana isteri perlu menjaga anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang masih selesa tidur di bilik hotel. Lagipun Rasyid mula diserang demam panas, mungkin akibat penat berjalan, mungkin juga akibat perubahan cuaca apalagi selepas pengalaman menaiki motosikal bertiga pusing Pulau Samosir singgah terpaksa meredah kabus dan hujan renyai di atas gunung waktu malam. Rujuk kembali artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Cabaran pusing pulau.


Ketika makan pagi di warung hadapan masjid saya tertarik pada tanah perkuburan di sebelah. Terus timbul rasa untuk melihat lebih dekat sekumpulan kubur di satu bahagian. Rupa-rupanya ada semacam petunjuk buat saya memandangkan perjalanan ini bakal dilanjutkan ke Aceh. Lihat artikel Makam-makam bangsawan Aceh di Medan (Tombs of Aceh nobilities in Medan) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Selepas jam 11 baru saya membawa anak dan isteri keluar. Sekarang baru perjalanan ini dapat dikaitkan dengan apa yang telah diceritakan dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh". Mereka yang sudah membaca novel "Berpetualang ke Aceh" tentu tahu bagaimana ia memiliki beberapa lapisan cerita. Lapisan-lapisan ini disulami sejarah sesuatu tempat atau kerajaan juga pengalaman-pengalaman lama saya mengikut satu kadar yang diukur dengan rasa dan gerak hati, sesekali dengan solat hajat dan istikharah.

Oh. Sekadar mengingatkan. Watak utama Muhammad Al-Aminul Rasyid (ya... nama ini kemudian menjadi nama anak saya kerana buku ditulis 2006-2007 sedangkan anak itu lahir penghujung 2009) dibuat berdasarkan diri sebenar penulis. Secara rata penceritaan boleh dibahagi kepada bab-bab bertajuk diselang-selikan bab-bab bernombor di mana bab bernombor menceritakan perjalanan sebenar yang dibuat untuk sampai ke Aceh Januari 2004, ketika ia masih darurat dilanda perang antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia).

Cerita perjalanan dimulakan dengan apa yang berlaku di pejabat bapa angkat saya di Kuala Lumpur petang sebelum masuk tahun 2004. Lalu ketika orang ramai berduyun-duyun masuk ke kota untuk sambutan tahun baru, saya pula keluar seorang diri menaiki bas buruk untuk ke Perak. Selepas bermalam di sebuah surau di Tapah Road saya pergi melawat makam Keramat Kuala Bidor di Teluk Intan (lihat artikel Keramat Kuala Bidor) kemudian ke Lumut menyeberangi Sungai Dinding untuk ke Damar Laut seterusnya Pantai Remis diikuti Taiping sebelum masuk ke Pulau Pinang. Di pulau saya menginap 3 malam di Masjid Lebuh Aceh. Kemudian baru mengambil feri ke Belawan, pelabuhan terdekat ke Medan, dalam rangka perjalanan untuk masuk ke Aceh Darussalam.

Tempat-tempat yang dilalui dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang boleh dicapai dengan senang oleh kebanyakan rakyat Malaysia lalu tak perlulah ditunjukkan lagi. Lagipun kalau perlu anda boleh melihatnya melalui artikel-artikel lama saya. Carilah sendiri yang mana. Yang mungkin menjadi tanda tanya kepada pembaca (kerana tidak ramai pernah pergi ke Sumatera samada ke Medan mahupun ke Aceh) adalah bagaimanakah rupa sebenar tempat-tempat yang diceritakan dalam buku? Apakah sama atau saya menokok-tambah. Maka proses membuat sedutan dari buku pun dimulakan...



Pada Bab 4 buku pertama dalam siri iaitu "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006), mukasurat 172 ada disebut begini...

Pernah dengar tak perkataan deja vu? Maksudnya, satu perasaan yang kita pernah melihat atau mengalami sesuatu peristiwa, misalnya rasa seperti pernah sampai ke suatu tempat walaupun itulah kali pertama kita ke sana. Kata orang, itu maknanya roh kita pernah ke situ sebelum jasad ini menyusul kemudiannya. Kerana tidak seperti jasad, roh boleh melangkaui ruang dan waktu...

Sejak kecil lagi, Rasyid sering mendapat mimpi ataupun vision, bayangan yang kemudian bertukar menjadi nyata nanti. Ada masanya, mimpi dan bayangan itu sangat terang, ‘sebijik’ seperti apa yang berlaku di depan mata. Adakalanya dia cuma sedar bila menukar angle, tukar sudut pandangan atau menukar posisi badan.Misalnya, pada suatu malam pemuda ini berbual-bual dengan wanita kesayangannya Nur sambil duduk di atas pangkin di pinggir hutan diterangi cahaya pelita. Tidak ada apa-apa yang pelik kecuali tempat itu memang cantik dan suasananya begitu tenang. Tetapi apabila bangun daripada duduk, baru dia sedar muka Nur tersenyum, rupa pangkin dari tempatnya berdiri serta suasana hutan diterangi pelita saling tidak tumpah seperti sebuah gambaran yang pernah dilihat suatu masa dahulu. Cuma tidak ingat bila...

Ada masanya pula Rasyid mengalami deja vu bila terkeluar sesuatu perkataan tertentu daripada mulut orang. Selalunya ini berlaku dalam sesuatu perbualan. Mula-mula seperti biasalah, tidak ada apa-apa yang pelik, setakat orang bercerita atau bertukar-tukar pandangan. Tiba-tiba terkeluar satu perkataan yang menyentak fikiran. Terus dia teringat yang perkataan itu pernah didengar dalam keadaan yang sama begitu juga ayat sebelumnya, dan dengan siapa dia berbual... Kadang-kadang boleh tahu ayat apa pula yang akan keluar dari mulut orang itu! Kira dah macam cerita Back to the Future lah pula...


Selepas pengenalan tentang deja vu itu, barulah cerita kembali ke Medan. Pada mukasurat 173 tertulis begini...

Sampai di Masjid Al Mansun, Muhammad al Aminul Rasyid terus menuju ke bilik wuduk untuk menyucikan diri. Terpandang sahaja air pancur yang cantik di dalamnya, dia terus deja vu. Seperti pernah nampak sebelum ini! Tetapi di mana ya? Mungkin di tempat lain yang air pancurnya serupa? Air pancur yang ditempah daripada kedai yang sama?

Ini mungkin juga kerana ada masjid-masjid yang sengaja dibina menggunakan rekabentuk yang sama, building plan serupa selalunya untuk menjimatkan belanja. Rasyid ada ternampak beberapa masjid kecil yang sama rekabentuk di Medan, masing-masing menggunakan kubah daripada kepingan besi nipis yang dikimpal ke atas rangka serupa. Tetapi masjid tempat pemuda ini berada sekarang bukan sebarang masjid... Ini Masjid Al Mansun, masjid lama kebanggaan rakyat Medan yang dibina abad ke 19 Masihi, semasa keSultanan Deli masih lagi gemilang. Takkanlah hendak pakai standard design? Lagipun memang ia diakui mempunyai rekabentuk yang unik, sesuai dengan reputasinya sebagai masjid raja-raja dahulu. Yang pasti Rasyid memang pernah ternampak dalaman bilik wuduk itu secara terperinci, dari air pancurnya yang menarik sampai ke rekabentuk sekeliling yang berunsur Timur Tengah, jubin-jubin yang teratur bersih dan indah, malah lampu berhias dengan cahaya kuningnya memancar dari atas suatu masa dahulu. Tidak cukup itu, dalam masjid pun dia deja vu lagi!

Seperti biasa, pemuda yang baru tiga tahun berjinak kembali dengan tikar sembahyang ini akan mengikut gerak hati apabila memilih tempat untuk bersolat. Bermula dari pintu masuk, dia akan berjalan ke satu arah mengikut gerak hati sebelum berhenti di tempat yang dirasakannya selesa. Kali ini di kiri mimbar, lebih kurang tiga saf di belakang tempat imam. Ketika itu sesi solat berjemaah sudah selesai. Rasyid pun menunaikan solat Zohor, kemudian menjamakkan Asar. Selesai sahaja bersolat dia terus mendongak ke atas... Sekali lagi pemuda ini terpegun. Seperti pernah lihat semua ini... Corak-corak hiasan dinding masjid dengan bumbungnya di sudut kiri atas, siap dengan sebuah jam dinding tertulis perkataan “Bank Pertanian”. Berapa banyakkah masjid yang memiliki jam begini?



Untuk melihat rupa masjid tersebut luar dan dalam lihat artikel Masjid Raya (Main mosque of) Al-Mashun. Apa yang ditulis lebih 5 tahun lalu itu masih lagi terpakai. Cuma baru saya sedar nama rasmi yang tertulis di sana adalah Masjid Raya Al-Mashun bukan Al Mansun. Dan jam yang disebut tertulis perkataan "Bank Pertanian" itu samada sudah diganti atau saya yang tersilap ingatan. Kerana dalam lawatan terbaru ini apa yang dapat dilihat adalah jam dinding dengan perkataan "Bank Muamalah".

Di perkarangan utara masjid pula terdapat kawasan pemakaman diraja yang menempatkan jasad beberapa orang Sultan Deli. Lihat Makam diraja (The royal mausoleum of) Deli.



Seterusnya kami melawat makam Sheikh Hassan Maksum. Lihat Makam (Tomb of) Sheikh Hassan Maksum. Rasanya dahulu saya tidak ke sini. Apapun nama orang inilah yang diambil menjadi nama Kota Maksum, satu kawasan berdekatan masjid. Ketika saya pertama kali sampai di Medan 7 tahun lalu saya ada menginap di rumah seorang kenalan yang dipanggil Apin. Maka pada mukasurat 183 buku (masih Bab 3) ada disebut begini...

Sebagai pusat keSultanan Deli yang mendapat tempias semangat keIslaman Aceh, Medan dahulu terkenal dengan pegangan agamanya yang sangat kuat. Sampai sekarang masjid dan surau terdapat di merata tempat, kadang-kadang sebuah kampung memiliki empat lima buah sebagai bukti penduduknya pernah menjunjung tinggi Syariat. Tetapi kini bandaraya terbesar Sumatera ini lebih dikenali sebagai tempat ‘ayam’ baik punya! Tempat pelancong meratah tubuh-badan anak gadis tempatan yang memerlukan wang untuk menangani kesempitan hidup. Bayangkan di sekitar rumah Apin di Kota Maksum (maksum maksudnya suci daripada membuat kesalahan) senang-senang sahaja boleh mencari pelacur di tepian jalan. Padahal ia terletak tidak sampai 1 kilometer sahaja daripada Masjid Al-Mansun dan Istana Maimon. Dari manakah datangnya budaya liar anti-Islam ini kalau bukan dari pihak luar yang berpengaruh?



Saya dapati hal mengenai 'ayam' di atas masih terpakai. Tapi malaslah lagi nak cakap lebih-lebih. Dari Masjid Raya Al-Mashun kami berjalan kaki ke Istana Maimon.


Terus masuk melalui pintu kiri walhal ada lagi satu pintu di hujung kanan. Kiranya mengulangi kembali laluan yang diambil 7 tahun lalu.


Dengan mengambil laluan ini kita boleh melihat satu bangunan seperti bangsal. Maka biar diambil sedutan dari penghujung mukasurat 173 membawa ke 174...

Tetapi deja vu paling terang hari itu berlaku di perkarangan Istana Maimon, 200 meter dari masjid. Ada dua buah pintu masuk utama tetapi entah mengapa, Apin membawanya masuk ikut pintu kiri sedangkan pintu kanan lebih dekat dari masjid. Mungkin Tuhan mahu Rasyid meneliti sebuah bangunan kayu seperti bangsal yang menyimpan satu misteri?

Mula-mula anak muda itu tidak menyedari apa-apa yang pelik tentang bangsal itu. Ia cuma sebuah bangunan sebesar surau kecil di perkarangan kiri istana, mungkin sebuah stor kerana rupanya ada kelihatan seperti bengkel menyimpan alat berkebun atau perkakas masakan dan pinggan mangkuk di perkarangan masjid. Tetapi kalau betul ia adalah stor perkakas, mengapa dibina hampir ke pintu masuk utama istana? Kenapa tidak di belakang? Kenapa perlu menjadi ‘perhiasan’ istana pula?

Jika mahu, Rasyid boleh terus melangkah masuk ke Istana Maimon yang dibuka untuk pengunjung semenjak keSultanan Deli jatuh taraf menjadi peninggalan adat tempatan dalam Republik Indonesia yang diperintah seorang Presiden. Tetapi entah mengapa, dia tertarik untuk mengetahui untuk apakah bangsal itu dibina, mengapa di situ, apakah yang ada di dalamnya... Selepas meneliti dari beberapa sudut, baru pemuda itu deja vu, teringat bahawa dia pernah nampak bangsal itu di dalam sebuah mimpi lebih sepuluh tahun lalu! Kata Apin bangsal itu mengandungi sebuah bahan legenda rakyat Deli iaitu meriam puntung, meriam yang muncungnya patah sehingga tinggal puntung atau bahagian belakangnya sahaja di dalam...


OK. Tadi saya menyemak dengan Google Earth jarak antara Masjid Al-Mashun dengan Istana Maimon. Dari pintu masuk utama masjid tempat kami mula berjalan kaki hingga ke pintu kiri istana jaraknya adalah 390 meter, hampir dua kali jarak yang disebut dalam cerita. Maklumlah cerita mula ditulis pertengahan tahun 2004 berdasarkan perjalanan yang dibuat awal tahun tanpa rekod berupa catatan mahupun gambar-gambar (ketika itu saya tidak membawa dan tidak memiliki kamera). Sekarang biar diberi sedikit latar belakang tentang meriam seperti tetulis pada mukasurat 174 ke 175...

Menurut ceritanya, suatu masa dahulu di hulu Sungai Deli, terdapat sebuah kampung bernama Siberaya. Di situ lahirlah Puteri Hijau yang amat cantik bersama saudara-saudara kembarnya seekor naga dan sebuah meriam (? Jangan tanya...). Masalahnya, naga itu kuat makan. Sampai satu ketika, rakyat Siberaya tidak sanggup lagi menyediakan makanannya.

Puteri Hijau dan saudara-saudaranya pun membuat keputusan untuk berpindah ke hilir dan menetap di Deli Tua. Rakyat di situ menerima kedatangan mereka dengan baik lalu membangunkan sebuah kota yang teguh. Puteri itu meningkat dewasa dan menjadi semakin cantik. Berita kecantikannya tersebar ke merata ceruk rantau sampailah ke Aceh. Raja Aceh pun menghantar rombongan meminang tetapi pinangannya ditolak. Baginda murka lalu mengarahkan bala tenteranya menyerang Deli Tua.

Tetapi bukan senang hendak menembusi benteng pertahanan kota itu yang teguh. Orang Aceh terpaksa bermain akal dengan menembakkan ribuan wang emas ke dalam kota. Askar Deli Tua pula menjadi leka memungut wang emas lalu meninggalkan kawalan yang sepatutnya.

Kota itupun dengan mudah dikuasai tentera Aceh. Tinggallah pertahanan terakhir Deli Tua iaitu sang meriam, saudara kembar Puteri Hijau.

Demi menyelamatkan keadaan, meriam itu telah ditembakkan terus-menerus sehingga menjadi terlalu panas lalu terputus dua. Muncungnya tercampak ke kampung Sukanalu dan sisanya itulah yang tinggal lalu diabadikan di dalam bangunan seperti bangsal di halaman Istana Maimon.

Melihatkan ini, saudaranya sang naga pun menaikkan Puteri Hijau ke atas punggungnya dan menyelamatkan diri melalui sebuah terusan, memasuki Sungai Deli langsung ke Selat Melaka. Begitulah al kisahnya...




Seterusnya di mukasurat 175 ada tertulis begini...

Sampai sekarang, sehingga memulakan penulisan bukunya mengenai Aceh dan peristiwa berkaitan, Rasyid masih tidak faham mengapa dia boleh sampai ke bangsal meriam puntung itu. Mengapa bermimpi tentangnya lebih sepuluh tahun lalu? Apakah iktibar atau rahsia di sebaliknya...

Dalam mimpi itu, pemuda itu tiba-tiba mendapati dirinya sudah berada di hadapan bangsal. Lalu merasa pelik, bagaimana boleh sampai ke sana? Tempat apa ini? Untuk apa ke situ? Dan seperti yang berlaku secara nyata di Medan hari itu, dia juga sibuk membelek-belek mencari pintu masuk sambil tertanya-tanya apakah yang tersimpan di dalamnya.

Menurut kata Apin, selalunya pintu bangsal itu dibuka untuk membenarkan para pengunjung masuk kerana meriam itu dianggap keramat dan selalu diziarahi orang terutama warga tempatan. “Selalu juga orang datang ke sini berziarah. Ada yang datang membawa hajat dengan harapan akan tertunai nanti, ada yang ingin mendapatkan berkat.”

Lalu mengapa bangsal itu dikunci semasa Rasyid datang? Mengapa perkara yang sama juga berlaku dalam mimpinya lebih 10 tahun lalu?


Alhamdulillah dalam lawatan terbaru yang dibuat pada Hari Raya Aidil Adha saya dapat masuk bersama anak dan isteri. Lihat Meriam puntung (The split up cannon).


Seterusnya kami masuk ke Istana Maimon. Lihat Istana (Palace) of Maimon. Maka di sini saya ingin menyatakan satu perkembangan positif tentang tempat ini. Pada mukasurat 180 ada dicerita rasa terkilan watak Muhammad Al-Aminul Rasyid atau Rasyid tentang apa yang dilihatnya dahulu...

Pemuda itu senyap seketika. Dahinya mula terkerut-kerut... Sedetik, dua detik... “Saya teringat semasa di Medan dahulu,” baru dia bersuara. “Saya sedih melihat keSultanan Deli sekarang tinggal tidak lebih dari satu lambang yang sudah ketinggalan zaman. Sultannya masih ada tetapi kata orang-orang di istana, baginda sekarang tidak duduk di Deli ataupun Medan sebaliknya bertugas sebagai seorang pegawai tentera di Jakarta, kalau tidak salah saya berpangkat Kolonel. Maka seorang Sultan yang merupakan lambang tertinggi rakyat Deli kini bekerja di bawah perintah orang kebanyakan berketurunan Jawa yang dahulu sering bermusuhan dengan rakyat kerajaan-kerajaan di sebelah Sumatera.”

Rasyid berhenti lagi. Termenung jauh mengenang kembali pengalamannya. Memang mukanya nampak begitu serius, ada gaya seperti orang hendak mengamuk. Ada masanya merah padam seolah-olah tersimpan dendam yang membara menunggu masa sahaja untuk dilangsaikan. Nur pula yang risau melihat keadaan lelaki kesayangannya bagaikan gunung berapi sedia untuk meletus...

“Awak tahu tidak, Istana Maimon kebanggaan rakyat Deli dan penduduk Medan pula sudah jadi seperti muzium!” pemuda itu tiba-tiba menyambung. “Sesiapa pun boleh masuk ke sana malah duduk di atas takhta milik raja kalau sanggup membayar ongkosnya. Kerabat-kerabat diraja pula sudah jadi seperti tourist guide serta tukang kutip duit kerana di sana tidak pakai tiket tetapi sumbangan ikhlas. Ikhlas konon tetapi ada bayaran minimum... Ada pula yang menjadi peminta sedekah, tidak segan-silu menagih wang di tangga istana. Agaknya kalau istana itu boleh dijual sudah lama dijual mereka. Tetapi kalau dijual, di mana pula kerabat-kerabat diraja ini hendak merempat?” dia melahirkan rasa kesal.


Biar dimaklumkan kali ini tidak lagi kelihatan mana-mana orang menagih simpati atau duit sedekah di sekitar istana. Yang ada cuma mereka yang meminta bayaran cara betul, misalnya untuk mengambil gambar kita di hadapan singgahsana atau menyewa pakaian tradisional diraja untuk bergaya di hadapan kamera... itupun atas permintaan pengunjung, bukan mereka yang terhegeh-hegeh menagih bayaran. Alhamdulillah! Kiranya ini perkembangan positif yang menjaga maruah keluarga diraja. Saya ada mendengar cerita, beberapa tahun lalu istana ini hampir terjual akibat ada kaum kerabat terlalu terdesak memerlukan duit. Namun ada yang lebih bijak mengatur jalan menyelamatkan keadaan dan air muka keluarga.

Tidak salah menjadikan istana sebagai daya tarikan pelancong yang turut menjadi sumber pendapatan. Cuma lakukanlah ia dengan cara bermaruah sesuai dengan taraf bangsawan dan golongan diraja. Oh, Sultan Deli yang disebut berpangkat Kolonel di atas sudah mangkat 2005. Penggantinya adalah seorang anak yang belum akil baligh lagi, saya pun tak pasti apakah anak kepada sultan itu atau sanak saudara lain.


Seterusnya kami mengambil becak atau beca bermotor ke masjid ini. Lihat artikel Masjid Agung (Great mosque of) Sumatera Utara. Maka masuklah kita ke satu bahagian penceritaan dalam buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007).


Buku itu ada menceritakan bagaimana saya ditahan oleh tentera di sempadan Sumatera Utara-Aceh kerana tiada seorang pun warga luar dibenarkan masuk Aceh yang sedang darurat ketika itu. Tetapi saya tetap bertegas mahu mencari jalan lalu diberitahu mungkin ada jalan jika saya boleh mendapatkan surat sokongan dari kedutaan Malaysia di Medan. Selepas menginap beberapa hari di Pengkalan Brandan dan Pulau Kampai saya pun kembali ke Medan. Ini ceritanya, dari Bab 9...


Bot yang dinaiki dari Pulau Kampai pun sampai ke Pengkalan Susu. Rasyid terus bergegas ke Pengkalan Brandan kerana telah berjanji akan singgah di sana terlebih dahulu untuk berjumpa kawan-kawan di masjid raya sebelum bergerak ke Medan. Lagipun dia ada meninggalkan beberapa helai pakaian yang dibasuh di rumah Pakcik Hassan Oka tiga hari lepas, pasti semuanya telah kering, cuma perlu dikutip secepat mungkin…

Sampai sahaja di masjid, seorang kenalan pula beria-ia sangat hendak membawa Rasyid bersiar-siar di pekan serta tidur di rumahnya. Anak Malaysia itu menurut sahaja. Kebetulan isteri kenalan ini seorang ustazah yang berasal dari Aceh... Dapatlah merasa lagi masakan sana! Keesokannya baru menaiki van ke Medan... Dipendekkan cerita, setelah “menapak” lebih 10km - semua penumpang disuruh turun di batu enam setengah Jalan Binjai, tergerak pula hendak berjalan kaki hingga ke pusat bandar – pemuda itupun sampai ke Kedutaan Besar Malaysia di Jalan Diponogero.

Rasyid sampai ketika waktu makan tengahari, ketika kedutaan sedang ditutup... Singgah bersolat di Masjid Raya Sumatera Utara, 200 meter dari situ kemudian kembali ngam-ngam waktu pejabat dibuka semula. Dia mengenalkan diri sebagai rakyat Malaysia lalu menunjukkan paspot merah antarabangsa serta kad pengenalan sebagai bukti. Pengawal keselamatan yang menjaga pintu masuk pagar luar pun membenarkannya masuk tetapi apabila sampai ke bangunan kedutaan, dia disoal panjang-lebar pula.



Di sini biar saya mengambil peluang untuk memperbetulkan beberapa fakta. Setelah menyemak dengan Google Earth saya mendapati jarak yang diambil berjalan kaki dari batu enam setengah Jalan Binjai (ya, nama ini masih terpakai selain nama Pinang Baris atau Kampung Lalang yang berdekatan merujuk kepada kawasan perhentian pengangkutan awam yang sama) hingga ke kedutaan sebenarnya adalah 8.8 km bukan 10 km. Kedua, nama masjid yang disinggahi ialah Masjid AGUNG Sumatera Utara bukan Masjid Raya. Ketiga, jarak kedutaan ke masjid sekitar 450 meter bukan 200 meter.



Selepas berurusan dengan kedutaan 7 tahun lalu saya ada berjalan-jalan di pusat bandaraya sebelum mencari tempat tidur sesuai. Ketika itu saya tidak cukup duit untuk bermalam di hotel walaupun yang murah... sekadar menumpang masjid selain dipelawa orang menumpang di tempat mereka. Perjalanan lama dahulu itu membawa saya ke sebuah masjid di tepi sungai. Kelihatan dalam gambar masjid ketika dilawati petang Hari Raya Aidil Adha tahun 2011. Biar diletakkan sedutan buku dari Bab 9 mukasurat 200... cerita selepas keluar dari kedutaan...

Setelah mengucapkan terimakasih, Rasyid pun bergegas keluar. Hari itu hari Khamis, terfikir juga hendak bermalam Jumaat di Aceh. Tetapi perjalanan daripada Medan biasnya memakan masa lebih dua jam dan hari sudah petang sedangkan dia belum tentu dapat masuk ke Aceh. Kalau kena tahan dan tersangkut lagi di sempadan, ke mana pula hendak merempat nanti? Takkanlah hendak pergi ke Pengkalan Brandan lagi malam-malam? Hmm... Lebih baik bersiar-siar santai di Medan, melihat aktiviti di pusat bandar. Sampai di sebuah pusat membeli-belah, sempat pula menonton wayang cerita “The Last Samurai” lakonan Tom Cruise... Kemudian barulah terjumpa sebuah masjid lama yang boleh dibuat tempat bermalam.

Rasyid tidak ingat nama masjid itu tetapi letaknya di Jalan Masjid bersebelahan Jalan Guru Patimpus, di tepi sebuah jambatan menyeberangi Sungai Deli... Di kelilingnya terdapat kuburan usang dengan banyak batu nesannya bertarikh hujung abad ke 19 hingga awal abad ke 20. Niat awalnya ingin tidur di dalam tetapi masjid itu pula dikunci selepas selesai solat Isyak. Nasib baiklah ada sebuah pangkin di hadapan yang dilindungi atap jika hari hujan. Boleh juga dibuat tempat tidur sementara menunggu hari terang.

Setelah menikmati mee Aceh di warung berdekatan, pemuda itu baring di pangkin lalu cuba melelapkan mata. Tetapi seperti biasa, sejak beberapa tahun kebelakangan ini dia susah tidur, selalu sangat gelisah, tidak pastilah kenapa...Hampir setengah jam Rasyid termangu begitu, dia pun bangun lalu berjalan di kawasan perkuburan. Sampai di tembok sempadan kawasan masjid di tepi sungai bersebelahan jambatan, dia duduk mengambil satu sudut untuk melihat air sungai mengalir dalam kesamaran malam.



Masjid itu sebenarnya bukan dikelilingi tetapi diapit tanah perkuburan kiri dan kanan.


Ada dua buah pangkin di tepi masjid. Saya pun tak pasti di manakah saya tidur dahulu. Atau semasa itu cuma terdapat sebuah pangkin sahaja? Sungguh, saya tak ingat. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Jalan Sungai Deli.


Beginilah kiranya saya memerhatikan tanah perkuburan di sebelah setelah tidak berjaya melelapkan mata.


Saya pun menyusuri balik jalan yang diambil ke penghujung sudut perkuburan iaitu di sebelah sungai.

Perenggan seterusnya mukasurat 200 menyebut...

Mungkin perbuatannya kelihatan pelik tetapi bagi anak muda ini, duduk di sekitar kawasan perkuburan memberikan ketenangan yang tersendiri. Dia sudah bertahun tidak merasakan tidur yang betul-betul memuaskan hinggakan kadang-kala boleh terasa jealous, irihati melihat penghuni kubur kelihatan begitu nyenyak tidur, aman damai berehat di alam yang barzakh. Rasyid terus berehat, sesekali terbaring mendongak langit, sesekali tertiarap menghadap aliran Sungai Deli. Tidak lama kemudian pemuda itu tergerak untuk berpusing menghadap kembali kawasan perkuburan... Baru tersedar kubur di sebelah milik seorang wanita berketurunan bangsawan Aceh... Di batu nesannya tertulis nama Tjut (Chut) Sharifah... Teringat pula si Nur...


Ternyata batu nesan tersebut masih wujud. Cuma saya tersilap ingatan ketika menulis buku kerana apa yang sebenarnya tertulis adalah "Cut Nyak Syarifah". Namun maksudnya masih sama malah ada lagi tambahan gelaran "Mak Aceh" untuk membenarkan kaitan dengan Aceh. Apapun "Berpetualang ke Aceh" adalah satu siri novel bukannya buku teks sejarah atau ilmiah walaupun maklumatnya banyak bersifat begitu. Maka sedikit kesilapan sebegini, kesilapan yang disebabkan salah ingatan tidak menjadi masalah...


Ini pula adalah gambar Rasyid (bukan watak dalam buku ya) didukung sejumlah anak-anak pusat asuhan di sebuah masjid. Selepas meninggalkan masjid tadi kami sempat singgah di dua buah lagi rumah ibadah. Lihat Masjid (Mosque of) Perjuangan '45 dan Masjid (Mosque of) Yayasan Zending. Saya tidak pasti jika ada menjejakkan kaki di masjid-masjid ini 7 tahun lalu. Tetapi rumah ibadah yang kelihatan dalam gambar iaitu Masjid Yayasan Zending terasa begitu familiar (saya tak pasti apakah perkataan Melayunya). Ada kemungkinan saya memang pernah sampai dahulu kerana letaknya di tepian jalan besar utama yang membawa kepada Masjid Raya Al-Mashun, jaraknya cuma 1 km sahaja dari sana.



Wednesday, December 07, 2011

Dari Muar ke Negeri Sembilan : Menyusur laluan Sungai Muar?

Satu lagi cerita selingan santai sebelum kembali kepada penceritaan perjalanan/pengembaraan di sekitar Medan, Sumatera. Bersambung dari Majlis kahwin dalam stadium 2011.


Pagi Isnin 21 November 2011. Setelah bermalam di rumah ibu bapa saya di Kampung Temiang kami keluar makan pagi nasi beringin di stesyen bas bandar Muar kemudian berjalan-jalan. Kelihatan Rasyid berdiri menghadap perairan kuala Sungai Muar.



Seterusnya kami singgah di tanah perkuburan Bentayan, Jalan Bakri. Nak cuba cari makam Tok Bentayan (rujuk artikel Pertemuan waris Temenggung Muar di Kluang, nostalgia zaman sekolah dan Tok Bentayan) tapi tak tahu yang mana. Apakah yang ini? Batu-batu nesannya dicat penuh dengan binaan menunjukkan ia milik orang penting. Tetapi tiada catatan boleh dibaca.


Dalam pada itu terlihat kubur lain beberapa kaki sahaja dari situ.


Tertera nama Encik Awang bin Daeng Bachok. Teringat cerita "Lembing Awang pulang ke Dayang". Cuma cerita dikatakan berlaku sekitar tahun 1776. Watak hero Awang pula berlawan dengan watak jahat bernama Bachok, bukan anak dan bapak...


Ini pula di hadapan jambatan lama Muar.


Gambar diambil di bawah menara ini. Selepas itu kami anak beranak makan buah mata kucing dan menikmati air buah pir (pear) di sebuah kedai berdekatan.


Petang sedikit kami meninggalkan Muar menuju ke Tangkak.


Singgah bermandi-manda di Gunung Ledang sebelum bermalam di rumah kakak kepada isteri di Felda Jelai, Negeri Sembilan.



Esoknya Selasa 22 November kami keluar menghala ke Bahau. Tidak jauh dari FELDA Jelai terdapat jambatan gantung ini. Lihat artikel Muar river near the FELDA of Jelai di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Berehat di pondok yang terletak di pertemuan sungai...




Kemudian mengambil jalan ke Batu Kikir lalu singgah di tempat ini...


Ia adalah rumah yang dibina untuk mengenangkan seorang tokoh besar bahasa. Lihat artikel Teratak (House of) Za'aba di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Seterusnya kami singgah di makam Tuan Tulis di Tanjung Ipoh, 8 km melepasi Kuala Pilah. Saya ada mengambil gambar masjidnya. Lihat Masjid (Mosque of) Tuan Tulis.


Kemudian ke bandar diraja Seri Menanti. Sempat bergambar di singgahsana lama yang terletak di dalam istana lama yang telah dijadikan muzium...


Oh. Sebelum itu saya ada mengambil gambar masjid diraja. Lihat Masjid diraja (Royal mosque of) Tuanku Munawir. Di tingkat teratas istana lama ini baru kami berehat lama melepaskan penat lelah. Menurut ceritanya di sini dahulu pernah tersimpan satu barang warisan diraja yang agak misteri. Ia merupakan rambut, sehelai kalau tak salah ingatan yang sangat panjang, disimpan dalam bekas khas.




Kami sampai di Kuala Lumpur waktu senja. Berehat sebentar di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad sebelum kembali ke rumah. Tamatlah cerita-cerita selingan dari perjalanan santai yang dibuat 19-22 November. :]



Majlis kahwin dalam stadium 2011

Bersambung pula dari Membawa anak-anak ke Gua Yunus...


Turun Gua Yunus kami sempat bermandi-manda di pantai berdekatan sebelum keluar dari Pulau Besar kembali ke tanah besar. Singgah pula di Masjid Laksamana Hang Tuah di Kampung Duyung.


Selepas mandi laut kami setakat membilas dengan air perigi. Di masjid ini baru dapat betul-betul mandi membersihkan diri sebelum menyalin pakaian yang lebih bersih kemudian menunaikan solat.


Tiba-tiba terlihat paparan tarikh dan masa. Ait? Kenapa sampai berulang nombor 2011? Kemudian baru teringat, hari itu Ahad adalah 20 November 2011 bersamaan 20.11.2011.


Kami bersiap-siap kerana mahu menghadiri majlis di tempat ini. Dapat agak tak tempat apa? Yang nyata ia bukan kompleks membeli belah atau pusat kumbahan Indahwater...


Kami mahu menghadiri majlis perkahwinan sepupu saya Tapi kami sampai lambat... ramai tetamu sudah beredar.


Apapun sempatlah makan dan berjumpa sejumlah saudara mara.


Kemudian baru melihat sekitar. Maklumlah bukan selalu dapat menghadiri majlis di tempat sebegini...


Ya. Majlis diadakan di dalam stadium besar.






Inilah Stadium Hang Jebat, stadium utama di Melaka.


Kami anak beranak seronok melihatnya. Saya sampai berlari ke tengah padang diikuti anak-anak...




Untuk pengetahuan. Stadium moden ini didirikan untuk Sukan Malaysia 2010. Siapa sangka boleh buat majlis kahwin betul-betul dalam stadium? :]