Salam petang Sabtu 19 Ramadhan. Petang ini mungkin sebelum jam 4 saya dan keluarga mahu bergerak ke kampung isteri di Tanjung Sepat untuk berbuka puasa. Silap-silap buat sambutan raya sekali memandangkan ada ura-ura perjalanan rentas daerah akan dilarang menjelang hari raya 10-11 hari lagi. Sebelum itu biar dilepaskan dahulu beberapa artikel kompilasi. Menyambung proses berkenaan daripada artikel Perjalanan jauh pertama tahun 2019.
Perjalanan ini dibuat untuk ke rumah kakak isteri di Felda Jelai, Negeri Sembilan. Ada majlis perkahwinan anak saudara mahu dihadiri. Sekadar memberitahu isteri adalah anak yang ke-11 daripada 13 orang adik beradik. Cuma ada tiga orang yang perempuan dan isteri adalah yang bongsu.
Kami singgah dahulu ke rumah bapa saudara di Bukit Damansara, Kuala Lumpur kemudian ke tempat belajar saya iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku untuk satu majlis ilmu waktu malam. Selesai itu masuk sebentar ke pusat bandar raya sebelum bergerak ke Masjid Taboh Naning dekat sempadan Melaka-Negeri Sembilan lalu bermalam di sana. Esoknya baru ke majlis perkahwinan di Felda Jelai.
Kami boleh sahaja menginap dengan selesa di rumah kakak isteri tetapi disebabkan memang berniat untuk beriktikaf di masjid terus menghala pula ke Kuala Klawang petang itu lalu bermalam di Masjid Kampung Dulang. Seperti biasa dibuat persinggahan ke tempat-tempat menarik sebelum kembali melalui jalan rentas Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat. Dengan itu perjalanan mencapai jarak keseluruhan 470 km. Lebih penting adalah jangkauan kerohanian akibat persinggahan ke tempat-tempat yang berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan