Kalau ikutkan dah penat dah hendak mengatur artikel-artikel kompilasi. Ini kerana bukan setakat perlu mengatur artikel-artikel berkenaan... saya juga perlu melakarkan kembali laluan setiap perjalanan menggunakan Google Map supaya dapat melihat berapakah jarak keseluruhannya. Ini perlu dilakukan bagi memenuhi kehendak aturan perjalan-perjalanan jauh yang perlu diambil kira sebelum dapat membuat analisis tepat tentang tren/corak perjalanan saya sejak lebih 30 tahun kebelakangan. Untuk itu perlu meneliti kembali sebanyak mungkin artikel bagi setiap perjalanan supaya dapat dikesan kembali tempat-tempat persinggahan. Kemudian cari kedudukannya dalam Google Map lalu sambungkan menurut turutan persinggahan.
Tapi apa boleh dibuat? Walaupun penat rasa tak lengkap kalau tidak cuba diselesaikan. Maka diteruskan lagi usaha dan perkongsian selagi larat. Bersambung daripada artikel Misi kenangan masjid di Muar Ogos 2014.
Perjalananan ini berlaku pada penghujung bulan September tahun 2014... setelah mendapat panggilan menawarkan perjalanan ke Jogjakarta ditaja sepenuhnya oleh seorang kenalan. Saya diminta ikut sama satu kumpulan pengkaji Indonesia yang mendakwa Candi Borobudur adalah tinggalan Nabi Sulaiman. Mereka telah mengatur agar dibuat rombongan umum ke candi juga tempat-tempat berkenaan seperti puncak Bukit Setumbu dan Keraton Ratu Boko.
Jarak perjalanan di sekitar Jogjakarta itu mencapai jumlah cuma 170 km. Dicampur perjalanan dari rumah sendiri ke rumah kenalan kemudian ke lapangan terbang KLIA2 untuk Jogjakarta kemudian kembali pun baru 390 km. Sedikit sangat untuk digolongkan sebagai perjalanan jauh kecuali kalau jarak penerbangan 1500 km x 2 (pergi balik) diambil kira. Pun begitu ia boleh dan harus dimasukkan ke dalam senarai perjalanan istimewa. Ini disebabkan skop perjalanan iaitu mengkaji apakah ada kebenaran di sebalik dakwaan Candi Borobudur adalah tinggalan Nabi Sulaiman serta tempat-tempat tinggalan sejarah yang dilawati serta bagaimana perjalanan boleh berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan