Subhanallah. Salam petang Khamis 17 Ramadhan, hari Nuzul Al-Quran. Hari ini saya mahu memulakan satu sesi baru proses mempersembahkan kompilasi artikel-artikel perjalanan jauh yang ceritanya sudah ada dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU tetapi tidak ada kompilasinya sebelum ini. Kali ini menggunakan apa yang sudah disenaraikan dalam artikel Lain-lain perjalanan jauh yang harus diambil kira - Tahun 2012 hingga 2015 iaitu artikel kedua mengumpulkan cerita-cerita bagi perjalanan-perjalanan berkenaan. Tengok-tengok kumpulan pertama artikel perlu dibuat kompilasi melibatkan perjalanan yang berlaku kerana cuti hari Nuzul Quran 9 tahun lalu.
Kebetulan juga malam tadi kami berbuka puasa kemudian bersolat teraweh kemudian mengikuti majlis Maulidur Rasul di rumah seorang aktivis berusia yang berasal dari Negeri Sembilan. Harus ada sebab kenapa 'kebetulan-kebetulan' ini berlaku. Mungkin ada antara makam berbatu nesan Aceh yang dijejaki ini adalah milik nenek moyang beliau?
Sejak pertama kali mula menziarahi makam-makam lama tahun 2001 (lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001) saya telah melihat banyak makam raja, bangsawan, serta panglima dan ulamak besar ditanda dengan batu nesan Aceh. Ia adalah satu kategori batu nesan dengan ragam-ragam hias tertentu, dibuat dengan jenis batu tertentu. Ia biasanya dipahat cantik dengan ayat-ayat Al-Quran dan/atau syair-syair Sufi kalau tidak pun sekadar motif tumbuh-tumbuhan dan bunga. Faham saya ia cuma digunakan pada makam-makam tokoh-tokoh yang cukup signifikan bagi suatu wilayah, bukan orang sembarangan.
Saya sudah melihatnya di makam-makam lama milik tokoh-tokoh besar di Perak, Kedah, Melaka, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang. Setelah beberapa lama baru dapat tahu ada beberapa makam di Negeri Sembilan selain makam Raja Melewar (Yam Tuan pertama Negeri Sembilan) berbatu nesan Aceh lalu berusaha untuk menjejakinya hampir penghujung tahun 2012. Pada hari Sabtu 4 Ogos kami pun keluar mengambil kesempatan atas cuti Nuzul Quran pada hari Isnin di Selangor. Dalam perjalanan ke Muar untuk kembali bercuti di rumah ibu bapa saya di Muar kami pun membuat persinggahan di Negeri Sembilan.
Seperti biasa turut dibuat persinggahan lain-lain tempat menarik selain makam-makam berbatu nesan Aceh. Namun didapati kami tidak sempat untuk menjejak semua makam kerana sudah berjanji mahu berbuka puasa bersama ibu bapa di Muar. Hampir sebulan kemudian baru ada kesempatan untuk menyambung usaha. Kali ini ia berlaku selepas bermalam di kampung isteri di Tanjung Sepat menjadikan lalu meliputi jarak keseluruhan hampir 860 km.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan