Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Julai 30, 2024

Persidangan dan deklarasi tentang kesucian and nilai nyawa manusia

Salam. Ini ada cerita daripada 6 hari lalu.



Pagi Rabu 24 Julai 2024 (24/7/24). Selepas menunaikan solat Subuh di rumah saya bergegas ke arah Lembah Klang untuk mengikuti satu majlis ilmu.




Singgah beriktikaf sebentar di masjid Sungai Chinchin.




Dari situ sudah dekat untuk ke lokasi majlis di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak.



Aturan perjalanan ini lebih kurang sama seperti dilakukan lebih seminggu sebelum itu. 




Cuma semasa itu saya ke UIA untuk urusan lain sebelum ke majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Lihat artikel Berkat 10 Muharram dan menimba ilmu di ISTAC.



Kali ini yang dihadiri adalah majlis anjuran ISTAC tetapi diadakan di kampus utama UIA di Gombak.










Saya tidak ingin mengulas panjang tentang majlis. Poster di bawah harus dapat memberikan bayangan tentang pengisian yang cukup padat dan bermacam.




Cuma biar dinyatakan, tajuk majlis boleh diterjemahkan sebagai "Persidangan dan Deklarasi tentang Kesucian and Nilai Nyawa Manusia". Saya pergi atas tiga sebab. Pertama kerana tajuk dan pengisian, kedua kerana dianjurkan oleh ISTAC, ketiga kerana diundang secara peribadi dan berhadapan oleh salah seorang penganjur, saudara Romil yang merupakan junior saya bawah setahun semasa zaman kolej di PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar untuk ke luar negara) hampir 40 tahun lalu.




Saya sebut ini kerana tahu ada yang datang semata-mata disebabkan Tengku Ampuan Pahang  Tunku Azizah Aminah Maimunah yang juga adalah Cancelor UIA merasmikan. Saya sudah biasa melihat orang datang suatu majlis untuk mencari peluang bagi menghimpit orang kenamaan. Apabila orang berkenaan meninggalkan majlis mereka pun hilang.




Secara rata majlis menengahkan pandangan malah kepercayaan pelbagai pihak berwibawa daripada pelbagai latar belakang agama seperti Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu dan Islam tentang nilai nyawa manusia dan bagaimana peperangan bertentangan dengan ini. Namun ia sebenarnya dibentuk sebegitu rupa untuk tujuan utama menyeru dunia supaya memberikan tekanan bagi menghentikan keganasan dan pembunuhan etnik yang sedang dilakukan oleh negara haram Zionis Israel terhadap bangsa Arab Palestin di Gaza.



Saya mengikuti majlis sejak bermula jam 9 pagi sehingga selesai selepas jam 5.30 petang. Paling menarik perhatian apabila bukan sahaja keganasan Israel, malah kewujudan negara itu sendiri dinyatakan haram dan melanggar perintah Tuhan oleh seorang pendita Yahudi. Beliau mengetuai satu aliran tradisional yang berpusat di New York, Amerika Syarikat lalu secara terang menyatakan mahu memisahkan mereka daripada apa-apa kegiatan yang memburukkan nama asal Israel (sebenarnya Israel adalah nama panggilan bagi Nabi Ya'akob) sambil menyatakan sokongan jelas terhadap Palestin.




Oh. Ini ada gambar saya diambil bersama pendeta berkenaan dan sejumlah orang




Sungguh, ia satu pemandangan langka melihat seorang Yahudi tradisional yang anti Zionis dengan rupa dan dandanan khusus mereka di hadapan mata di Malaysia... :]


Nota : Sebetulnya saya sedang dalam keadaan mood kurang baik, rasa berat hendak menulis dan sebagainya. Tetapi apabila melihat gambar-gambar bersama pendita Yahudi ini terasa cerialah pulak. Haha... :]



Selasa, Julai 23, 2024

Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan

Salam semua. Setelah beberapa lama berkongsi cerita dan pengalaman di CATATAN SI MERAH SILU iaitu sejak penghujung tahun 2006 hampir 18 tahun lalu jumlah artikel mahu mencapai 2,525. Untuk nombor yang agak cantik dan bermakna itu biar dipersembahkan artikel kompilasi istimewa ini.




Sudah disebut banyak kali bagaimana sejak pertengahan tahun 2022 saya aktif terlibat dengan kes perbicaraan kes faraid harta Laksamana Muhammad Amin yang diadakan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh lalu hampir setiap bulan pergi ke sana. Dan setiap kali  bergerak ke Ipoh diambil peluang untuk menjelajah sekali banyak tempat di Perak lalu banyaklah perkongsian cerita. Di celah-celah itu dibuat kajian bagi mendapatkan bukti untuk menyokong kes kami di mahkamah sehingga ke tempat-tempat seperti Perpustakaan Hamzah Sendut di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Muzium Negeri Perak di Taiping selain tempat lebih dekat seperti Perpustakaan Negara dan Arkib Negara di Kuala Lumpur. Di celah-celah itu juga diadakan perjumpaan dan mesyuarat antara saudara mara untuk membincangkan perjalanan perbicaraan dan hala tuju.

Bahan-bahan yang dapat dikumpulkan bagi membela keberadaan nenek moyang membawa kepada penulisan buku ke-13+1 (saya lebih suka menyebut begitu berbanding 14) "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai" lalu diterbitkan Mei 2023. Pada 9 Julai 2024 iaitu 2 minggu lalu baru mahkamah mengeluarkan keputusan, setelah 4 kali ditukar tarikh, dari Februari ke Mac ke April. Kemudian tukar jadi Jun seterusnya Julai. Di sini biar dikumpulkan pautan bagi artikel-artikel berkenaan sejak mula dipanggil agar terlibat dengan perbicaraan, menurut kronologi tarikh ia dikeluarkan. Banyak daripada artikel yang dipautkan ini mengandungi kompilasi bagi banyak artikel lagi lalu meluaskan cakupan perkongsian pengalaman dan penceritaan.














13.Rentetan peristiwa yang membawa pada perkumpulan keluarga besar Laksamana Muhammad Amin

14.Misi keluarga Laksamana part VI

15. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part VI

16. Misi keluarga Laksamana part VII

17. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part VII





23. Dari Ipoh ke Teluk Intan ke pendalaman Sungkai - Satu misi berkenaan keluarga Laksamana Perak

24. ISTAC, buku dan majlis raya keluarga Laksamana tahun 2023

25. Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023

26. Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak

27. Ringkasan aktiviti dan perjalanan Jun-Julai 2023

28. Kompilasi cerita "Antara perpustakaan dan mahkamah"

29. Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dalam Berita Harian

30. Antara Perak 6-9 ke Muar 26 Ogos

31. Sedikit kajian di Perpustakaan Negara 15-16 Ogos

32. Tepat 17 tahun kembalinya jasad Laksamana Muhammad Amin ke Perak

33. Dari Webinar impromptu Laksamana Muhammad Amin ke perkongsian tentang ketokohan dan perjuangan di Book Haven 

34. Perak selepas 9 September

35. Misi hartanah dan wacana Laksamana

36. Daripada bicara bab harta Laksamana ke bicara Pi Mai Tang Tu

38. Dugaan perjalanan raya 1445 Hijriah

39. Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - The compilation

40. Post mortem keputusan perbicaraan faraid Laksamana Muhammad Amin dan menentukan hala tuju


Isnin, Julai 22, 2024

Post mortem keputusan perbicaraan faraid Laksamana Muhammad Amin dan menentukan hala tuju

OK. Cerita ini berlaku di Negeri Sembilan tetapi sangat bersinambungan dengan cerita-cerita di Perak seperti dipaparkan dalam Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - The compilation. Teringat pula bagaimana istana hinggap Sultan Perak di Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur terletak sebelah menyelah dengan istana hinggap Yamtuan Negeri Sembilan...



Ini adalah komplek pejabat dan jualan syarikat Wanija di Senawang, selatan Seremban.




Ia adalah milik Dr Wan Ikmal, saudara tiga pupu saya yang baru dikenali 2 tahun lalu. Lihat Beraya tahun 2022 - Dari Sendayan ke Senawang ke Janda Baik.




OK. Saya tak tahu kenapa gambar-gambar tadi keluar dalam bentuk retro. Sedangkan seingat saya ia diambil dalam keadaan biasa auto dan itulah yang terpapar pada skrin kamera.




Apapun, ibu Wan Ikmal ini adalah anak kepada Laksamana Razali yang merupakan sepupu kepada datuk saya iaitu bapa kepada bapa, Mohamed Arshad bin Muhammad Wahi bin Orang Kaya Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Bapa beliau pula berketurunan Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim melalui isterinya Toh Puan Halimah binti Laksamana Muhammad Amin. Jadi memang ada darah keluarga Laksamana baik belah ibu mahupun bapa.



Sementara itu almarhum abangnya pernah memegang jawatan Menteri Paduka Tuan Perak sebelum meninggal dunia sekitar 20 tahun lepas lalu digantikan oleh Menteri Paduka Tuan sekarang yang berpangkat bapa saudara.




Adapun saya ke pejabat beliau pagi Sabtu 20 Julai 2024 kerana ada mesyuarat untuk membuat post mortem tentang keputusan perbicaraan faraid Laksamana Muhammad Amin yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 9 Julai. Lihat Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Akhirnya, keputusan kes faraid harta Laksamana.




Selain itu kami mahu menentukan hala tuju seterusnya, apakah tindakan susulan yang terbaik harus dilakukan dan bagaimana. Menariknya sambil mesyuarat berjalan sambil itu berlaku majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang ke-17 di Istana Negara.



Alhamdulillah kali ini saya tidak perlu memandu jauh untuk menyertai mesyuarat. Saudara dua pupu, Huzaireen yang datang dari Alor Setar mengambil di rumah di Bandar Sungai Buaya, selepas terlebih dahulu mengambil seorang saudara di Permatang Pauh kemudian  di Bukit Mertajam pada petang Sabtu.



Sebelum ke Senawang selepas Subuh pagi Ahad kami berehat di pangsapuri milik salah seorang saudara tersebut di Shah Alam. Hampir sampai ke Seremban seorang saudara dari Pontian menelefon untuk memberitahu hampir sampai ke bandar dengan menaiki bas lalu meminta agar mengambilnya di terminal.



Maka kami sampai ke tempat mesyuarat berlima dalam satu kereta sebelum bertemu ramai lagi saudara mara, beberapa orang dari Pantai Timur.




Di sini cukuplah dinyatakan mesyuarat kami terasa sangat bernas dan memuaskan.



Ini kerana selain mendapat banyak maklum balas positif daripada keluarga kami dibantu oleh seorang pegawai kerajaan daripada satu jabatan tertentu.



Beliau memberikan penerangan tentang apakah itu Wasiat Wajibah seperti diputuskan oleh mahkamah (rujuk balik Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Akhirnya, keputusan kes faraid harta Laksamana) dan bagaimana jabatan boleh membantu memudahkan proses seterusnya. Ini sangat memberikan pencerahan dalam menetapkan hala tuju. Sambil itu saudara mara yang datang semuanya mesra, tidak ada yang angin-angin jadi baran tak pedulikan orang seperti pernah berlaku beberapa kali dalam pertemuan lalu. Terasa sungguh ada kerapatan darah daging sama membuatkan saya merasa begitu cergas walaupun mesyuarat memakan waktu sehingga lewat petang sedangkan saya kurang rehat.


Ahad, Julai 21, 2024

Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - The compilation

Salam pagi Ahad 15 Muharram 1445 Hijriah. Melengkapkan perkongsian dengan membuat kompilasi bagi artikel-artikel dalam siri "Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid".


Perjalanan berlaku atas asbab utama mahu mendengar keputusan kes faraid Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang sudah beberapa kali ditangguhkan, setelah perbicaraan dimulakan tahun 2020. Dahulu Mahkamah Tinggi Syariah mengatakan keputusan mahu dikeluarkan pada 20 Februari 2024 namun ditunda ke bulan Mac. Kemudian ditunda lagi ke 15 April dan ini kelihatan muktamad. Oleh itu ramailah hadir ke mahkamah. Namun setelah beberapa lama menunggu hakim menyatakan perlu ditunda ke 25 Jun. Alasannya banyak lagi perlu dikaji. Sedangkan kalau sudah memberitahu untuk kami datang itu sepatutnya sudah cukuplah kajian lalu dapat membuat keputusan. Lihat Dugaan perjalanan raya 1445 Hijriah. 

Hampir tarikh tersebut dinyatakan pula mahu ditunda ke 9 Julai, kurang 2 minggu lalu. Sekurang-kurangnya diberitahu lebih awal, taklah menyusahkan orang perlu ambil cuti atur jadual kerja dan keluarga bagai kemudian datang, ramai daripada tempat-tempat yang berjauhan. Kebetulan seorang ibu saudara menghantar undangan agar hadir ke majlis perkahwinan anaknya di Batak Rabit, Teluk Intan pada hari Ahad 7 Julai yang bersamaan 1 Muharram tahun baru 1446 Hijriah. Dan kebetulan anak saya yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid sedang bercuti lama antara tukar tahfiz menghafaz Al-Quran. Lalu dibawalah beliau ke Perak menyusuri kembali laluan ketika kali pertama menziarahi makam-makam lama tahun 2001. Dalam perjalanan lama itulah saya menerima nama Muhammad Al-Aminul Rasyid dalam bentuk lintasan hati ketika menyeberang Sungai Perak melalui satu jambatan.


1. Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Mengejar 1 Muharram di Perak

2. Perak river from Batak Rabit on 1st Muharram 1446 

3. Views from Batak Rabit mosque tower on 1st Muharram 1446

4. Perak river from the original Teluk Intan on 1st Muharram 1446

5. Perak river from around Sayong river mouth on 1st Muharram 1446

6. Kolam bersiram puteri (Princess bathing pool), Teluk Bakong

7. Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak laluan pertama ziarah makam bersama anak

8. Pedestrian bridge at the real Kuala Kangsar 

9. Perak river from different spots at the Kangsar jetty 

10. Views from Kampung Semat old mosque

11. Across the Parit bridge

12. Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak tempat punca nama anak

13. Limestone lake of Malim Nawar

14. Masjid jamek (Main mosque of) Malim Nawar 

15. Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Akhirnya, keputusan kes faraid harta Laksamana


Jumaat, Julai 19, 2024

Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Akhirnya, keputusan kes faraid harta Laksamana

Salam petang Jumaat 13 Muharram 1446 Hijriah. Kalau ikutkan artikel ini yang bersambung daripada Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak tempat punca nama anak mahu ditulis dan dipersembahkan paling cepat pun esok petang Sabtu. Tetapi apabila menyedari tarikh cantik 13 Muharram terasa elok dilepaskan hari ini. 



Pagi Selasa 9 Julai 2024 bersamaan 3 Muharram, selepas bermalam di rumah kawan di pinggir selatan bandar raya Ipoh saya pun membawa anak pergi ke tempat seterusnya.



Ia adalah Mahkamah Tinggi Syariah negeri Perak. Saya mahu mendengar keputusan kes faraid Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang sudah beberapa kali ditangguhkan dan inilah tujuan utama perjalanan terbaru ke Perak dibuat.



Gambar ini pula diambil jam 12.17 tengah hari di sebuah restoran mamak berdekatan, selepas selesai mendengar keputusan kemudian berbincang dengan saudara mara juga peguam kami tentang keputusan.




Sebetulnya keputusan kurang memuaskan. Moyang kami Orang Kaya Arsyad bin Laksamana Muhammad Amin (bagi saya yang lebih tepat adalah datuk kepada datuk) diisytiharkan telah meninggal dunia awal sebelum ayahnya meninggal tahun 1904. Walaupun kami ada membawa buku malah dokumen istana yang menyatakan Arsyad ada naik menjadi Laksamana ke-13 Perak pada tahun 1917.



Bukti-bukti kami ditolak atas alasan after thought. Saya tak mahu ulas sangat apa yang dimaksudkan. Cuma bahasa mudahnya suatu penemuan atau dapatan boleh ditolak kalau dibuat beberapa lama selepas perbicaraan bermula. Ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang dibuat-buat kemudian untuk menyokong hujah.



Adinda seibu sebapa OK Arsyad, Aminah yang anak cucunya diwakili peguam lain juga diisytiharkan sebagai mati lebih awal. Yang ini sekurang-kurangnya nampak jelas kenapa boleh diputuskan begitu. Ini kerana pihak mereka mengemukakan salinan paspot haji dan tiket yang ada tertera nama Aminah bagi menunjukkan beliau meninggal dunia di Mekah pada tahun 1924. Masalahnya tidak ada dinyatakan Aminah itu berbintikan siapa dalam dokumen-dokumen tersebut.



Selain itu mereka juga telah mengemukakan rekod belanjawan zaman British bagi beberapa tahun untuk berhujah bahawa Aminah bahawa masih hidup ketika bapanya meninggal dunia. Yang ini saya tahu sejak awal salah. Kerana tahu dan jelas Aminah manakah yang disebut dalam dokumen, balu kepada Raja Muda Musa ibni Sultan Ja'afar Perak.




Satu lagi nama yang dinyatakan mahkamah sebagai anak Laksamana Muhammad Amin yang meninggal awal adalah Ahmad Sharif. Ini adalah berdasarkan wujudnya satu dokumen tanah tahun 1925 yang dikemukakan pihak lawan (responden) menyatakan dengan jelas beliau meninggal dunia pada 29 Disember 1897.



Peguam pihak ini cuba menolak dokumen dengan mengemukakan satu laporan kajian batu nesan di Teluk Intan sebagai menunjukkan Ahmad Sharif itu meninggal dunia 1936. Ini tertera sebagai tahun Hijriah 1355 pada batu nesan berkenaan. Namun nama yang terpahat dalam tulisan Jawi adalah Ayub Sharif bin Haji Amin Muhammad. Tidak ada perkataan Laksamana.



Peguam sama turut mewakili satu cabang keturunan OK Arsyad yang wakil atau ketua jalurnya tidak mahu bersama kami. Beliau mengemukakan laporan batu nesan yang dibuat pihak sama untuk menyatakan OK Arshad meninggal dunia tahun 1918 seperti dinyatakan pada satu makam di Batak Rabit, Teluk Intan sebelah masjid warisan keluarga (lihat Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak laluan pertama ziarah makam bersama anak). Namun kami telah menyemak ia sebenarnya adalah milik seseorang yang dikenali sebagai Tok Tambah, anak kepada Laksamana Hussin yang bersemenda dengan keluarga Panglima Kinta. Laksamana ke-12 Perak ini adalah saudara dua pupu kepada Laksamana Muhammad Amin.



Hakim dan mahkamah telah menolak  laporan batu nesan. Alasan yang saya ingat adalah kerana pihak yang didatangkan ke lapangan untuk mengkaji boleh dipengaruhi pihak berkepentingan (agar laporan menyokong dakwaan mereka). Yang pasti, semasa perjalanan perbicaraan pakar yang namanya digunakan untuk mengeluarkan laporan sudah mengaku tidak hadir di lapangan. Yang dihantar cuma para pelajarnya sahaja. Beliau cuma mengesahkan laporan.




Pada kami elok pun ditolak kerana sejak awal tidak bersetuju dengan laporan. Yang jadi masalah adalah ketua jalur berkenaan, yang tidak mahu bersama kami majoriti anak cucu Arsyad, menolak bahawa moyang kami itu pernah menjadi Laksamana Perak. Menurut beliau tidak ada cerita sebegitu dalam kalangan keluarga beliau (padahal ada cabang lain keluarga yang pernah mendengar cerita sebaliknya). Bantahan beliau (kerana mahu sangat berpegang pada laporan batu nesan) ada disebut oleh hakim dan nampaknya menjadi sokongan untuk menolak dokumen yang kami kemukakan daripada istana.



Sekali lagi biar dinyatakan, dengan itu Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif diisytiharkan sebagai meninggal dunia awal. Kalau ikut hukum faraid biasa tak boleh dapat bahagian daripada harta Laksamana Muhammad Amin lalu anak cucu pun tak dapat. Namun mahkamah memutuskan agar dianugerahkan kepada peringkat cucu Muhammad Amin apa yang dipanggil sebagai Wasiat Wajibah. Dengan itu anak-anak kepada Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif boleh mendapat 1/3 daripada keseluruhan harta Muhammad Amin. Inilah yang boleh diturunkan kepada anak cucu mengikut hukum faraid biasa.




Sebetulnya ada lagi 2-3 perkara kami bangkitkan, antaranya tentang orang yang dikatakan anak kandung Laksamana Muhammad Amin namun kami telah menemui bukti berupa surat sumpah orang itu sendiri menyatakan beliau lahir tahun 1907 sedangkan Muhammad Amin meninggal dunia tahun 1904. Ini tidak disentuh langsung dalam penghakiman. Mungkin kerana secara teknikalnya perbicaraan adalah cuma untuk menentukan apakah Arsyad, Aminah dan Ahmad Syarif layak mendapat bahagian faraid harta Laksamana Muhammad Amin. Lain-lain hal yang muncul dalam perbicaraan boleh diketepikan.



Saya rasa cukuplah bercakap tentang keputusan. Selepas makan tengah hari bersama saudara mara saya membawa anak beriktikaf ke Masjid Panglima Kinta, kemudian ke Hoga Tea Valley dekat Gopeng kemudian ke masjid Kampung Gunung Mesah Hilir. Kemudian mencari satu tempat berbatu-batu besar yang rupanya perlu naik ke lereng gunung berdekatan bandar Kampar. Semua ini ada dalam gambar-gambar  atas menurut turutan. 

Oleh kerana anak penat tidak mahu mendaki kami pun bergerak ke Malim Nawar untuk mencari sebuah tasik yang ada batu-batu kapur terjojol keluar daripada permukaan. Lihat artikel Limestone lake of Malim Nawar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.  Selepas itu singgah ke masjid sana. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Malim Nawar  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Jam 6.30 petang baru sampai ke pusat peranginan Sungai Bil dekat Ulu Slim. Sedangkan ini merupakan tempat utama mahu dibawa anak selepai selesai urusan di mahkamah.



Dekat waktu Mahghrib sampai ke bandar Tanjung Malim lalu menunaikan solat Maghrib di masjid situ.



Masuk kembali ke negeri Selangor singgah dahulu di masjid lama di Ulu Bernam. Oh, seperti biasa apabila sampai ke suatu masjid saya mesti beriktikaf walau cuma beberapa minit. Paling kurang akan buat solat Tahiyatul Masjid. Kalau lama akan baca Al-Quran dan solat wajib. Apabila penat lelaplah sampai rasa cukup rehat sebelum menyambung kembali perjalanan.



Apabila sampai ke rumah jam 9 malam didapati saya telah memandu sejauh 645 km. Selesai cerita perjalanan,  alhamdulillah. :]


Nota tambahan (dibuat jam 8.39 malam) : Baru teringat. Saya tidak memberikan latar belakang kes perbicaraan tentang harta faraid Laksamana Muhammad Amin. Kenapa pihak saya dan lain-lain yang disebut itu masuk dalam perbicaraan? Sebetulnya ada disebut sedikit dalam artikel-artikel sebelum ini tentang perjalanan perbicaraan. Tetapi untuk memudahkan pemahaman biar diceritakan seperti berikut.

Perbicaraan berlaku untuk menentukan sama ada 3 orang anak Laksamana Muhammad Amin yang dinyatakan seperi berikut - OK Arshad, Aminah dan Ahmad Sharif - masih hidup ketika Muhammad Amin meninggal dunia tahun 1904 lalu layak menerima bahagian faraid daripada harta almarhum di mana-mana sahaja, bukan sekadar di Mekah seperti disebut dalam artikel-artikel sebelum Ini. Ini adalah kerana pihak lawan iaitu responden telah lebih awal memohon kepada mahkamah untuk menerima mereka sahaja sebagai waris-waris yang layak menerima faraid  - atas alasan mereka sahaja yang datang daripada keturunan anak-anak juga isteri yang masih hidup ketika Laksamana meninggal dunia, anak-anak lain telah lebih awal meninggal dunia. Lalu ini telah diputuskan oleh mahkamah pada tahun 2018. Difahamkan mereka pun mula bergerak berurusan dengan pihak berkenaan di Mekah bagi mendapatkan pampasan.

Pihak kami datang kemudian setelah menyedari wujudnya tuntutan sebegitu rupa. Sedangkan kami tidak pernah dimaklumkan tentangnya ketika ia berlaku. Lalu pada tahun 2020 mahkamah rayuan membenarkan pihak kami masuk sementara mahkamah syariah membuat semakan lalu diadakan perbicaraan baru. Namun pokok pangkalnya, pihak lawan tetap menolak kami lalu bersungguh-sungguh mahu menegaskan ketiga-tiga OK Arshad, Aminah dan Ahmad Sharif telah meninggal dunia awal lalu tidak layak menerima bahagian faraid, maka begitu juga anak cucu keturunan mereka. Kami mengatakan sebaliknya. Itulah sebabnya berlaku perbicaraan sejak beberapa tahun lalu. 


Khamis, Julai 18, 2024

Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak tempat punca nama anak

OK. Balik pada cerita-cerita perjalanan Perak. Bersambung daripada Demi Muhammad Al-Aminul Rasyid - Menjejak laluan pertama ziarah makam bersama anak.



Hampir tengah hari Isnin 8 Julai 2024. Setelah puas berehat dan beriktikaf di surau ini di Kampung Tempong kami pun bersedia untuk menyambung perjalanan.




Ziarahlah ke makam Tok Temong.




Kemudian melihat Sungai Perak dari jeti di sebelah makam...







Kami makan tengah hari di Kota Lama Kiri. Beberapa hari itu saya asyik sibuk mencari laksa telur sarang...




Puas makan berjalan-jalan di kawasan riadah bandar diraja Kuala Kangsar. Lihat artikel Pedestrian bridge at the real Kuala Kangsar dan Perak river from different spots at the Kangsar jetty di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Dari Kuala Kangsar bergerak ke pekan Manong.




Singgah lagi makan. Tapi cuma ada laksa biasa, bukan telur sarang.




Kemudian ke Kampung Semat lalu singgah di masjid lama. Lihat Views from Kampung Semat old mosque.



Sebetulnya laluan yang diambil sejak meninggalkan Kampung Temong adalah sama seperti ketika perjalanan pertama saya seumur hidup ke makam-makam lama lebih 23 tahun lalu. 







Setelah beberapa lama sampailah ke jambatan menyeberang Sungai Perak menuju ke pekan Parit dari arah Kuala Kangsar.




Di tengah-tengah jambatan inilah saya mendapat nama Muhammad Al-Aminul Rasyid yang kemudian dijadikan nama anak. Lihat ceritanya dalam artikel lama Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Terbitnya nama Muhammad Al-Aminul Rasyid.



Ini pula selepas berjalan kaki menyeberangi jambatan bagi pejalan kaki dan kenderaan ringan dari pekan Parit. Lihat Across the Parit bridge. Dengan  ini selesailah tujuan utama saya membawa Rasyid berjalan ke Perak. Masuk ke asbab utama perjalanan ini sendiri dibuat. Nanti disambung cerita...