Hari ini timbul rasa untuk mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. Pergi kita pada artikel ke-4 perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Antara Loch Ness dan Loch Lomond, dua tasik terbesar di UK.
Setelah 2-3 hari (kalau tak salah ingatan) membuat lawatan ke tasik Loch Lomond saya mengorak langkah ke suatu tempat yang lebih jauh di Scotland. Ia adalah ke Edinburgh, kota kedua terbesar di negeri itu. Letaknya sekitar 75 km ke timur Glasgow. Untuk pengetahuan ia telah menjadi ibu negeri Scotland sejak selewatnya abad ke-15 Masihi.
Edinburgh adalah pusat pemerintahan kerajaan Scotland (ya, Scotland pernah memiliki raja-raja sendiri sebelum terserap ke dalam United Kingdom) sejak beberapa ratus tahun lebih awal. Disebabkan itu memiliki banyak bangunan lama bersejarah yang menonjolkan kehebatan. Kecantikan bangunan-bangunan lamanya terus kelihatan terserlah sebaik sahaja memasuki kawasan pusat kota dengan menaiki kereta api. Begitu terserlah sehingga ingatan terhadap pemandangan masih berbekas hingga kini.
Berbanding itu Glasgow kelihatan seperti suatu kota yang hambar. Ia terasa seperti sebuah kota industri tempat banyak kilang sahaja, tidak terasa ada nilai seni. Pun begitu saya menginap di satu kawasan luar kota Edinburgh yang juga terasa agak hambar. Saya menumpang di rumah teres dua tingkat lama yang disewa beberapa orang pelajar dari Malaysia.
Rupanya lebih kurang seperti dalam gambar atas. Sudah lupa bagaimana boleh mendapat tempat dan kenal orang situ. Seingat saya tidak mengenali sesiapa di Edinburgh ketika itu. Mungkin kenalan sepupu (yang belajar untuk menjadi doktor perubatan di Glasgow itu) atau kenalan kawannya. Sekadar berkongsi, adik bongsu saya kemudian belajar ilmu perubatan selama 7 tahun di University of Edinburgh. Tetapi itu selepas tahun 2000.
Walaupun tidak ingat lokasi sebenar rumah tempat menumpang menginap itu saya tahu ia terletak berdekatan sebuah bukit yang terserlah tinggi malah paling tinggi dapat dilihat boleh kata saujana mata memandang di sekitar Edinburgh. Nama bukit tersebut atau lebih tepat, nama puncak tertingginya adalah Arthur's Seat. Gambar rumah tadi diambil menggunakan kemudahan Street View dalam Google Map dari Kilmaurs Terrace salah satu jalan yang terdapat berdekatan bukit . Cuma seingat saya rumah terletak di suatu jalan besar, bukan jalan kecil atau cabang jalan seperti Kilmaurs Terrace.
Tempat saya menginap itu boleh jadi mana-mana jalan besar di tepian kawasan bukit (kelihatan berwarna hijau dalam peta atas). Gambar rumah ditemui setelah main 'taram' sahaja masuk Street View atau pandangan dari paras permukaan pada suatu lokasi jalan tepian bukit lalu dicari rumah yang kelihatan serupa seperti dalam ingatan. Yang ingat dari halaman rumah boleh kelihatan bukit dan puncaknya Arthur's Seat itu. Hal ini membuat saya suatu hari tidak dapat menahan diri untuk mencari jalan bagi mendaki berseorangan hingga ke puncak...
Begini rupa bukit daripada satu sudut pandang yang lebih meluas tetapi jauh dari bukit. Seingat saya tempat penginapan sangat dekat dengan bukit. Tetapi biar digunakan gambar daripada Internet ini untuk menunjukkan bagaimana ia begitu terserlah di Edinburgh. Susah hendak mencari gambar dekat dari tepian jalan sepertimana yang saya ingat keadaannya dari tempat menginap.
Begini pula rupa puncak yang dikenali sebagai Arthur's Seat itu. Ada batu penanda dan itulah yang saya lihat dari rumah penginapan sehingga satu hari terasa terasa tak tahan 'dipanggil' agar memanjat naik ke puncak. Rupanya boleh tahan tinggi juga tempatnya. Dari atas itu boleh dilihat pemandangan cantik saujana mata memandang ke segenap sudut persekitaran kota Ediburgh membawa ke laut.
Oh. Puncak ini dinamakan sempena cerita legenda King Arthur yang terkenal di UK. Dikatakan bahawa baginda pernah duduk di atas sana. Namun terdapat juga puncak-puncak bukit lain memakai nama serupa. Ini mungkin disebabkan bentuk yang terserlah menonjol lalu mudah dikaitkan dengan kisah legenda.
Saya ingat mendaki seorang diri menggunakan jalan mana entah tetapi sekadar mengikut apa yang nampak di hadapan mata dalam kesejukan ditiup angin pagi dingin. Rasanya ada kelihatan tompok-tompok salji di beberapa tempat. Seperti disebut pada artikel pertama siri iaitu Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji perjalanan harus berlaku pada musim sejuk. Tetapi boleh juga pada penghujung musim luruh yang mendekati musim sejuk atau awal musim bunga yang masih ada pengaruh musim sejuk.
Setelah menyemak dengan Internet untuk mengisi artikel baru tahu ketinggiannya adalah 823 kaki dari paras laut. Jalan di sekitar pula terletak pada ketinggian sekitar 200 kaki dari paras laut. Mendaki dari rumah ibarat menaiki tangga sehingga ke puncak bangunan 60 tingkat.
Saya ingat menginap di rumah tersebut sekurang-kurangnya 2 malam. Tak sampai 4 malam, mungkin 3 malam. Itu yang sempat mengambil masa untuk mendaki sehingga ke puncak Arthur's Seat. Selain itu ada juga berjalan-jalan ke pusat kota dan kawasan sekitarnya. Perjalanan pergi balik dari Glasgow ke Edinburgh adalah 150 km. Campur berjalan-jalan di dalam kota Edinburgh termasuk mendaki Arthur's Seat boleh dianggarkan jumlah jarak perjalanan dalam tempoh beberapa hari itu mencapai 170 km.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan