Salam malam Jumaat. Menyambung proses mempercepatkan perkongsian cerita-cerita perjalanan lama. Pergi kita pada artikel ke-5 dan terakhir perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Edinburgh dan puncak Arthur's Seat yang dipersembahkan kurang 15 jam tadi.
Setelah menginap 2 atau 3 malam di Edinburgh saya pun kembali ke Glasgow. Selepas beberapa hari lagi di Glasgow sampai masanya untuk kembali ke tempat saya belajar di London. Namun apakah mahu terus ke sana atau membuat beberapa persinggahan dalam perjalanan kembali itu? Dalam ingat-ingat lupa rasanya pada waktu itulah ada pergi ke suatu wilayah yang dikenali sebagai Lake District...
Ia merujuk pada satu kawasan di England di mana terdapat beberapa tasik besar cantik dikelilingi kehijauan kawasan bukit dan kampung. Letaknya sekitar 200 km ke selatan Glasgow, keluar sedikit dari laluan utama ke London. Sebetulnya saya tidak ingat bilakah ada pergi ke Lake District itu. Yang pasti memang ada tetapi bila?
Berdasarkan kebiasaan diri menjimatkan belanja selagi boleh mustahil saya ada bergerak lebih 400 km dari London semata-mata untuk ke sana sahaja. Harus disertakan sekali dengan persinggahan ke beberapa tempat yang boleh dikatakan sejalan baru buat kerana berbaloi belanja. Saya pun cuba mengimbas kembali ingatan terhadap beberapa perjalanan lain yang pernah dilakukan di UK. Paling mendekati Lake District adalah perjalanan ke sekitar kota Leeds dan Bradford lebih 100 km ke tenggaranya. Sedangkan persekitaran tasik jauh lebih dekat dengan laluan dari Glasgow ke London.
Semakan dengan Google Map menunjukkan kita boleh berhenti di stesyen Oxenholme yang terletak dalam laluan kereta api dari Glasgow-London. Dan memang pun ia adalah pintu rasmi ke Lake District jika menaiki kereta api. Dari Oxenholme pula boleh menaiki kereta api tempatan kurang 20 km untuk sampai ke tepian timur Tasik Windemere. Dengan panjang 18 km dan kelebaran sekitar 1 km ia adalah tasik semula jadi terbesar di Lake District malah di seluruh England.
Yang saya ingat memang cuma menuju ke Tasik Windemere sahaja walaupun terdapat banyak lagi tasik besar dan cantik di Lake District. Namun saya ingat sampai ketika langit sudah mula gelap. Ketika itu kan sekitar musim sejuk? Jam 3 petang dan malam.
Saya ingat ada berjalan kaki dalam 2-3 km, mungkin lebih untuk mendapatkan penginapan murah di sebuah Youth Hostel, penginapan untuk belia. Murah tak murah pun 20 Pound Sterling. Cukup terasa bagi orang tidak berduit seperti saya.
Semakan dengan Google Map menunjukkan ingatan yang sedikit itu benar. Dapat dilihat dalam peta atas jarak dari stesyen kereta api Windemere ke Youth Hostel adalah 3.4 km. Memang saya berjalan kaki hingga ke hostel.
Ini membawa pada jumlah jarak perjalanan 1,640 km. Kalau dicampur persinggahan ke Tasik Windermere dan Blackpool jadi 1,750 km. Tetapi disebabkan ada rasa was-was tentang bilakah persinggahan sebenarnya dibuat biar keseluruhan perjalanan ini diisytiharkan sebagai memakan jarak 1,640 km sahaja. Sekian perkongsian tentang perjalanan lama ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan