OK. Pergi pada artikel dan cerita ketiga tentang perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Apa ada di Glasgow?.
Scotland sebagai negeri paling utara di negara United Kingdom agak terkenal dengan tasik-tasik besar panjang lagi dalam yang diapit bukit bukau dan tanah tinggi. Paling terkenal adalah Loch Ness lebih 250 km perjalanan ke utara kota Glasgow.
Panjangnya 39 km tetapi bahagian paling lebar tak sampai pun 3 km. Sebetulnya terdapat banyak tasik di Scotland dengan rupa sebegitu seperti boleh dilihat memanjang berwarna biru dalam peta Google Map ini. Jadi apa yang istimewa tentang Loch Ness?
Satu adalah kedalamannya. Kalau menurut saiz permukaan airnya iaitu 56 km persegi ia adalah tasik semulajadi kedua terbesar di Scotland dan keempat di seluruh UK. Tetapi kedalaman yang mencapai sehingga 800 kaki dengan purata lebih 400 kaki menjadikannya tasik paling banyak air di UK. Sehingga dikatakan isi padu airnya itu melebihi jumlah isi padu air semua tasik yang terdapat di England dan Wales (satu lagi negeri di UK).
Tetapi lebih istimewa lagi adalah cerita-cerita mengatakan di situ wujud suatu jenis makhluk purba serupa dinosaur air. Google sahaja nama tasik "Loch Ness" atau panggilan bagi makhluk tersebut iaitu "Nessie" lalu boleh ditemui pelbagai cerita tentangnya. Saya sendiri telah membaca pelbagai kisah tentang tasik dan makhluk tersebut sejak kecil lagi. Tentunya ada keinginan untuk melihat sendiri tempat dan suasana.
Namun apakan daya? Duit belanja saya terhad, tidak mampu untuk pergi begitu jauh ke utara Glasgow. Apa yang dimiliki pada waktu itu sekadar cukup untuk membuat perjalanan pergi balik London ke Glasgow dan sedikit jauh ke kawasan sekitar laluan perjalanan itu. Dengan hati yang berat perjalanan ke Loch Ness harus dilupakan sekurang-kurangnya buat masa itu. Sebagai gantinya boleh pergi ke satu tasik besar yang terletak cukup dekat dengan Glasgow.
Tasik yang dimaksudkan bernama Loch Lomond. Penghujung selatannya terletak sekitar 33 km sahaja ke barat laut Glasgow sementara perhentian kereta api yang membawa nama tasik terletak 13 km lagi ke utara. Oleh itu belanja ke sana sangatlah kurang berbanding ke Loch Ness yang kota terdekatnya adalah Inverness, sekitar 270 km ke utara Glasgow. Dan lagi, kalau ke Loch Ness saya harus memikirkan belanja penginapan juga selain belanja perjalanan jauh. Kalau ke Loch Lomond boleh balik hari ke Glasgow.
Pada hari ke-3 atau hari ke-4 di Glasgow kalau tak salah baru saya bergerak ke Loch Lomond dengan menaiki kereta api. Ternyata tempatnya cantik dan menenangkan. Ketika menulis artikel ini lalu menyemak fakta-fakta berkenaan di Internet baru tahu ia adalah tasik terbesar di Scotland.
Panjang tasik ini 36 km adalah 3 km lebih pendek berbanding Loch Ness. Tetapi kelebaran yang mencapai sehingga 8 km menyebabkan saiz permukaanya iaitu 71 km persegi adalah 15 km persegi lebih luas. Di atas adalah gambar yang diambil menggunakan kemudahan Street View di Google Map. Ia adalah daripada kedudukan yang ditanda dalam peta sebagai Loch Lomond.
Semakan melalui Google Map menunjukkan dekat hujung selatan tasik terdapat sebuah istana berkubu (castle) yang dikenali sebagai Ballock Castle. Ia adalah satu bangunan warisan awal abad ke-19 Masihi yang dibina di atas tapak castle lebih awal abad ke-13. Rasanya ada terlihat ia dalam perjalanan pergi ke perhentian utama Loch Lomond dan kembali ke Glasgow. Perjalanan pergi balik itu dicampur perjalanan pergi balik ke rumah sepupu harus mencapai 100 km.
2 ulasan:
loch ness masih ada smpai skrng ? apa yang terjadi pada tasik ness pada hari ini ?
Tasik masih ada. Panjang 18 km lebar hingga 2 km dalam sampai lebih 800 kaki camana nak bagi hilang? Yang hilang adalah kisah Nessie atau raksasa Loch Ness. Orang dah tak berapa nak ambik tahu agaknya sebab ada banyak lagi raksasa lebih terkenal termasuk yang lawan Ultraman... :v
Catat Ulasan