Salam pagi Isnin 1 Sya'aban 1442 Hijriah. Pada hari pertama bulan Nabi Muhammad SAW ini biar dipersembahkan artikel kedua tentang perjalanan 28 tahun lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji.
Tempat pertama sampai di Glasgow tentulah stesyen kereta api utama iaitu Central Station kerana sampai dengan kereta api dari Carlisle, sebelum itu dengan kereta api dari London ke Carlisle. Untuk menghiasi artikel ini biar digunakan gambar-gambar berkenaan yang dapat ditemui di Internet ya. Walaupun keadaan dalam gambar harus sudah banyak berubah berbanding ketika saya sampai (kecuali mungkin di bangunan-bangunan lama) cukuplah untuk menggambarkan suasana di tempat-tempat yang diceritakan...
Walaupun Glasgow yang merupakan bandar raya terbesar di Scotland dan salah satu terbesar di UK memiliki tarikan tersendiri sangat sedikit dapat diingati tentang pengalaman di sana. Langsung tak ingat bagaimanakah rupa dan keadaan jalan-jalan di tengah kota. Yang ingat banyak berada di persekitaran universiti tempat sepupu saya belajar di Glasgow.
Sepupu yang muda setahun sahaja di bawah saya itu sedang mengambil ijazah bagi menjadi doktor perubatan di University of Glasgow, sekitar 3-4 km ke barat laut Central Station. Sebut pasal universiti di Scotland teringat bahawa seorang adik ibu saya pernah mengambil ijazah kejuruteraan pada tahun 80an di sebuah lagi universiti terkemuka iaitu University of Strathclyde di bahagian timur Glasgow. Seorang adik bapa juga pernah mengambil ijazah kejuruteraan di Scotland sedikit lebih awal tapi tak ingat di universiti mana. Rasanya di Strathclyde juga. Adik bongsu saya pula mengambil ijazah kedoktoran di Edinburgh, kota kedua terbesar di Scotland. Tetapi itu pada tahun 2000an. Sebetulnya ramai saudara mara saya pernah belajar di UK termasuk seorang lagi adik, rasanya ada dalam 20 orang juga. Cuma beberapa orang ini yang saya ingat belajar di Scotland.
Walaupun rasanya banyak menghabiskan masa di persekitaran University of Glasgow, seperti halnya keadaan di tengah kota yang tentu pernah diterokai kerana sudah perangai mesti berjalan ke sana sini saya tak ingat langsung bagaimanakah keadaannya. Yang ingat banyak melepak dengan sepupu dan kawan-kawannya di rumah sewa mereka yang berbentuk apartment moden 4 atau 5 tingkat gitu. Paling dekat dalam ingatan rupanya seperti dalam gambar di bawah...
Apapun, walau tak ingat butiran tempat dan perjalanan di Glasgow saya tahu ada juga pergi ke beberapa tempat. Ada mengikut sepupu dan kawan-kawannya menziarahi rumah kawan-kawan di 2-3 tempat lain. Seingat saya bahkan kami ada pergi ke suatu konsert kumpulan muzik tapi tak ingat langsung kumpulan apa dan lokasi tepatnya.
Yang betul-betul masih berbekas dalam ingatan selain melepak dengan sepupu dan kawan-kawan adalah menaiki kereta api bawah tanah (underground) sana. Sampai sekarang masih teringat bagaimana terasa agak lucu kerana kereta apinya lebih kecil dan comel berbanding di London. Selain itu masih boleh tahan jelas dalam ingatan adalah lawatan ke tasik besar Loch Lomond yang hujung terdekatnya terletak sekitar 30 km ke barat laut Glasgow. Lebih jelas dalam ingatan adalah lawatan ke kota Edinburgh sekitar 80 km ke timur.
Tetapi biarlah hal ini dihuraikan dalam artikel-artikel lain. Sebagai mengakhiri artikel ini cukuplah dikatakan bahawa walaupun tak ingat langsung butiran perjalanan di Glasgow saya percaya telah berjalan dengan pelbagai jenis pengangkutan awam jumlah jarak yang tidak kurang 30 km dalam bandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan