OK. Keluar sebentar daripada cerita-cerita perjalanan lama. Masuk bab majlis ilmu.
Konsep kebenaran pun dikupas dengan perkataan Haq katanya muncul 247 kali dalam Al-Quran dan 40 dalam bentuk lain tetapi sama makna. Ia ditemui paling awal dalam Surah Baqarah ayat 26 yang menyebut tentang kebenaran disampaikan melalui perumpamaan. Sesungguhnya banyak perumpaan telah disampaikan oleh Tuhan dalam Al-Quran. Misalnya ada disebut tentang awan yang dipenuhi air hujan yang boleh dipanjangkan makna fahamnya melalui kawasan-kawasan yang ada guruh dan petir bagi menunjukkan keadaan roh seseorang. Bila kita terperangkap di luar lalu cuba mencari tempat teduhan ada perasan takut boleh terkena petir. Pada masa sama ada perasaan mengharap segalanya akan surut lalu tenang.
Disebut juga tentang Ayat 73 Surah ke-22 (Al-Haj) yang mana lalat dijadikan perumpaman bagi menunjukkan ketidakupayaan makhluk mahu mencipta sesuatu namun mereka lupa lalu menyembah selain daripada Allah. Seterusnya ada perumpaan tentang labah-labah dan sarangnya dalam Ayat 41 Surah 29 (Al-Ankabut) untuk menunjukkan betapa lemahnya sistem manusia seperti sarang labah-labah. Dikupas lagi beberapa makna Al-Haq antaranya untuk merujuk pada Al-Quran itu sendiri dan kebenaran wahyu. Sesungguhnya Haq sebagai kebenaran menandakan hak dan keadilan. Disebut pula kebenaran pengorbanan sebagai kebenaran dalam undang-undang Ilahi/keTuhanan iaitu Syariah.
Begitu banyak kupasan diberikan tentang makna kebenaran dalam pelbagai hal dan situasi. Paling tinggi adalah kebenaran tentang Allah. Tentang Allah itu siapa sebenarnya dan bagaimana. Maka disebutlah ayat Al-Quran yang menyatakan Allah tidak memberanakkan mahupun diberanakkan. Lalu disentuh tentang keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang menggemparkan umat Islam di Malaysia kerana membenarkan orang Kristian menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.
Kata Osman menggunakan perkataan Allah itu tiada masalah. Yang bermasalah adalah pemahaman tentang siapa itu Allah lalu ini boleh membawa pada pertembungan teologi antara orang Kristian dengan orang Islam. Di sini biar ditambah sedikit sahaja lagi perkara lagi iaitu kaitan antara kebenaran dengan keadilan. Sesungguhnya keadilan membawa makna sebenar meletakkan sesuatu pada tempatnya sedangkan untuk melakukan itu memerlukan ilmu yang benar.
Kebiasaan saya adalah menamatkan artikel siri syarahan dengan memautkan video rakaman majlis supaya umum dapat mengikutinya sendiri. Tetapi kali ini tidak dapat menemuinya dalam Facebook rasmi ISTAC mahupun Youtube. Apakah telah berlaku suatu masalah teknikal? Entahlah.
Peliknya poster majlis seperti diletakkan pada permulaan artikel ini pun tak dapat jumpa dalam FB walhal kebiasaanya mesti ada untuk mewar-warkan majlis sebelum berlaku dan sebagai rekod selepas itu. Nasib baik saya telah mendapatkannya lebih awal melalui WhatsApp lalu memuat turun ke komputer sendiri. Terasa ada semacam gangguan kerana majlis ada menyentuh mengenai penggunaan perkataan Allah oleh orang Kristian. Harap-harap tidak begitu.
Untuk mendapatkan kepastian saya menelefon seorang pelajar ISTAC yang biasa terlibat dengan kerja-kerja menjayakan majlis ilmu kami sekitar jam 8.20 malam tadi. Menurut beliau telah berlaku black out menyebabkan siaran FB dan Youtube rasmi ISTAC terputus. Memang pun tadi petang sekitar jam 4 hujan dikatakan mencurah-curah turun, ada petir guruh di beberapa tempat termasuk di kawasan rumah saya. Untuk mendapatkan lebih kepastian pelajar tersebut meminta agar menggunakan pautan FB juga Youtube untuk majlis yang diwar-warkan khas bagi pelajar ISTAC. Tengok-tengok keluar rupa paparan seperti dalam gambar atas apabila diklik pautan FB...
Kalau begitu tiada video rakaman majlis dapat ditemui, Mungkin kena cari daripada sumber lain sebagai ganti. Saya cuba pula masuk pautan Youtube yang diberikan kepada pelajar. Rupa-rupanya ia milik institusi lain yang rajin mengikuti majlis-majlis ilmu di ISTAC.
Tengok-tengok alhamdulillah ada isi. Tapi kelihatannya tidak penuh. Setahu saya majlis termasuk sesi soal jawab berjalan selama lebih satu setengah jam. Sedangkan video ini panjangnya 55 minit lebih.
Apapun, untuk meringkaskan keadaan dan cerita boleh tonton bermula pada minit ke 51:24. Di situ masuklah bab penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian dalam konteks kebenaran tentang Allah. Namun timbul rasa risau video boleh 'dihilangkan' disebabkan hal sensitif ini. Oleh itu saya pun membuat rakaman sendiri bahagian berkenaan supaya ada simpanan juga supaya boleh diwar-warkan kepada umum. Lihat sini.
Nota tambahan (dibuat jam 9.51 malam 21 Mac) : Tadi ketika hendak bersedia bagi menulis satu artikel perjalanan baru tersedar rupa-rupanya artikel "Islam sebagai jalan kebenaran dan keadilan" adalah yang ke 2,020 di blogspot ini. Bagi saya ada sesuatu yang signifikan tentang itu. Di celah-celah pelbagai artikel perjalanan yang ditulis sejak 4 bulan kebelakangan cuma ada sedikit sahaja artikel tentang majlis ilmu. Tiba-tiba yang ini muncul sebagai yang ke-2,020. Tentu ada makna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan